Geng

Wednesday, September 14, 2011

"SINI, AKU PAYUNGKAN KAU!: 1

BAB 1

HUJAN kian lebat. Aku masih terpacak berdiri di depan Masjid Sultan Ahmad Shah. Ternanti-nanti teman baikku muncul tapi sayang, jangan dikatakan batang hidung, bebayangnya juga jauh sekali. Eh, pastilah jauh. Bukankah bebayang itu hadir bersama kita? Protes hatiku pada diri sendiri. Andai tidak difikirkan hujan yang mencurah, mahu sahaja aku gelak tergolek-golek di atas padang MPK3 ni. Erk, gelakkan diri sendiri la. Bukan gelakkan orang!
Ramai yang sudah keluar dari pintu masjid setelah usai Solat Jumaat tadi tapi dia ni ke mana sangkut? Solat sunat pulak ke? Haish...
Payung di tangan tidak lagi menjadi teduhan yang baik. Angin yang sesekali menghembuskan garang membawa tempias hingga separuh badanku basah kuyup. Baju kurung dari jenis kain kapas itu sudah boleh diperah.
“Mana kau ni, Ziki?” gumamku. Tubuh ini sudah menggigil menahan kesejukan.
“Shaq!” Bahuku dicuit seseorang dengan tiba-tiba. Serentak itu guruh berdentum kuat. Hampir gugur ke tanah jantungku.
“Tengok, cuit kau lagi. Kau pergi mana, Ziki? Lama dah aku tunggu ni,” rungutku selepas melihat wajah Zikri tersengih di dalam hujan yang masih lebat. Pantas saja aku dekat padanya dan berkongsi payung.
“Gila ke apa berhujan? Payung tak ada ke?” marahku. Zikri sengih lagi. Erk, nasib baik awak tu handsome, Ziki. Kalau tak, saya biar je awak berhujan!
“Kau kan ada payung. So, buat apa aku nak sediakan payung lagi,” jawabnya bongkak. Eleh, berlagak awak ni, Ziki. Mentang-mentanglah saya ni selalu kongsi payung dengan awak! Ejek hati ini.
“Yalah, kot ya pun aku selalu sediakan payung, tak payahlah jumpa aku berhujan segala. Demam karang, susah. Kenapa tak tunggu hujan reda je baru datang?”
“Aik, kau ni biar betul, Shaq? Baru kejap tadi marah-marah sebab lambat. Ni nak tunggu pulak,” ejeknya bersama tawa halus. Aku tarik muka. Tinggal muncung saja tak keluar lagi.
“Yalah, aku lupa hari hujan.” Aku beralasan bodoh.
“Ada apa kau suruh aku tunggu kau ni, Ziki?” tanyaku ubah topik perbualan. ZIkri ketawa. Gelakkan aku la tu!
“Alasan tak logik. Hujan tengah mencurah ni, boleh kau cakap tak lupa. Tak tahu nak bagi dalih apa la tu, kan?” ejeknya. Dia ketawa lagi. Dia ni, kalau tak hujan ni, memang sudah gelak guling-guling gamaknya.
“Yang kau tu, kenapa jauh benar datang solat Jumaat. Sampai ke bandar segala. Dekat poli tak ada masjid ke? Ke ada apa-apa ni?” tebakku. Dia sengih lagi. Sengih je manjang. Lahir kembar dengan perkataan sengih agaknya?
“Haa, ni sebabnya aku suruh kau datang. Jom, jalan dulu lepak kat bus stand sana. Dah reda hujan kita gerak tempat yang sepatutnya. Nanti kau akan tahu jugak sebabnya,” beritahu Zikri berahsia.
Sejak bila dia pandai berahsia? Aku sendiri tidak pasti. Setahu aku, sejak dari dulu, akulah ‘penyimpan mohor besar’ bagi semua rahsia dia. Dari kebaikan hingga kenakalan sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Tapi, kali ini nampak serius benar.
Kami sama-sama menapak ke bus-stop di depan bangunan Persatuan Hokkien. Bersempit-sempit di bawah satu payung membuatkan langkah kami berdua menjadi perlahan. Tapi, tak kan kalahlah dengan sang kura-kura pulak.
“Petang kau ada kuliah lagi ke, Shaq?” tanya Zikri tatkala aku sedang melipat payung putih itu. Memandangkan hari hujan, dan hari Jumaat pulak tu, sesaklah tempat menunggu bas ini. Kaki yang sedia lenguh ni, bertambah la bengkok sebab tak boleh nak duduk.
“Aku nak ke studio. Dyla tunggu aku kat sana. Nak siapkan projek akhir tu te,” jawabku sedikit terjerit melawan titisan hujan yang kasar.
“Eh, bukan ke kita geng berdua? Apahal pulak kau dengan Dyla?” Wajah Zikri berkerut.
“Kau kan sibuk, Ziki. Jadi, biarlah aku siapkan projek tu dengan Dyla dan Iwan. Kau nanti tinggal cuci tangan je. Terima markah masa presention je nanti,” selaku bernada ejekan.
Wajah Zikri ku jeling dengan ekor mata. Dia sedang merenung wajahku. Mungkin tidak percaya dengan sindiran yang aku lemparkan untuknya sebentar tadi. Masakan tidak, sejak dari dulu, aku tidak pernah berkata sinis padanya, jauh sekali untuk berkasar.
Tapi kini, saat ini, aku mula merasakan Zikri makin jauh padaku. Hadirnya sekadar hendak meminta tolong atau kerana assignment yang belum dia siapkan atau lebih teruk lagi kerana seorang perempuan. Pedih hati bila bermacam nama wanita yang terbit dari bibirnya. Memuji dan meminati mereka tanpa dia sedar, hatiku ini tercarik kerana itu.
Cinta? Ya, aku akui. Aku cintai dia. Cintai dia sejak dari dulu. Andai dulu cinta monyet, atau sekarang mungkin boleh dipanggil cinta kingkong. Satu yang pasti, cinta itu kini ku gelar cinta hanya aku seorang. Aku tahu, Zikri tak mungkin memandangku lebih dari teman, tapi aku tidak dapat menafikan hatiku yang sudah menganggapnya lebih dari teman.
Pulang ke kampung juga aku kerap kali berseorangan kini. Andai dulu, ke Terminal Makmur membeli tiket berdua, dalam Dewan Kuliah juga berdua, lab partner juga berdua dan anganku juga mahu hidup berdua dengannya. Tapi kini, segalanya aku sendiri. Dia sesekali memesan dan rasanya anganku itu makin jauh pergi. Jauh di sudut hati, aku mengharapkan ada keajaiban.
“Shaq?!” tegur Zikri. Aku tersentak. Pantas aku kalih pada wajah tampan itu. Memang ketampanan itu digilai semua pelajar daripada tahun pertama hingga tahun ketiga. Hinggakan secara tidak langsung, aku menjadi telefon karat untuk Zikri.
“Erk, ya!’ sahutku kalut. Rautnya aku kerling. Dengan status Ketua MPP yang disandang, kapten pasukan ragbi dan pelajar anugerah Ketua Jabatan, Zikri memang pakej yang lengkap.
“Kau dah sampai mana? Ingat pakwe ke?” Zikri tarik muka. Bengang barangkali denganku.
Aku seperti biasa, menahan hati yang pedih tatkala Zikri menukas perkataan ‘pakwe’. Nampak benar tidak langsung tercalon sebagai calon hidupnya. Emm, sabarlah Shadiqah! Pujuk hatiku pantas. Bimbang juga andai wajah ini meriakkan apa yang tersirat.
“Aku kat sebelah kau la ni. Tahulah aku tak ada pakwe, Ziki. So, toksahlah kamu merenjis aku dengan penambah perasa bagai. Nak menyindir segala,” selaku mendatar. Aku benar-benar memaksudkan itu. Zikri ketawa. Seperti biasa langsung tidak terpijak akan rasa hati ini.
“Kau tu bukan tak ada orang nak. Ada je. Tapi, sikap kau sedingin aisberg tu dah buatkan semua lelaki tu tak berani nak dekat. Tak pun aku adjustkan kau blind date dengan member aku, nak?” tanya Zikri tersengih sumbing.
Wajahnya aku jeling tajam sebelum aku tebarkan pandanganku ke dada langit. Hujan masih lebat. Perhentian pula semakin sesak. Hampir saja berhimpit-himpit. Sebolehnya aku menjaga jarak dengan Zikri. Tidak mahu bersentuhan biarpun selama ni dia suka sangat mencuit bahuku. Mujur sahaja berlapik. Andai tidak, aku taekwondokan ini budak!
“Terima kasih jelah, Ziki,” ujarku menyindir. “Member-member kau bukan best pun,” sambungku lebih sinis.
“Eh, jangan cakap, Shaq. Kau tak pernah kenal dia orang. So, kau tak kan tahu dia orang tu macam mana?” bantah Zikri mempertahankan koleksi teman-teman playboynya. Aku mencebik.
Siapalah tak kenal kumpulan senior Majlis Perwakilan Pelajar POLISAS itu? Melintas sahaja di kafe atau di padang waima di dalam perpustakaan sekalipun, pelajar perempuan yang bermata bola keranjang mula terhegeh-hegeh pada lelaki hidung belang. Emm, dah kena sangat la ‘pantun’ tak jadi aku tu! Rungut hati ini.
“Aku bukan apa, Shaq. Aku takut nanti, aku dah steady nanti, kau tinggal lone ranger pulak. Karang sunyi sepi hidup kau,” ucapnya bersahaja.
Terasa sarat tubir mata. Aku pejam mata. Semakin meniti ketika, wajah itu makin membawa debar di hatiku. Tapi sayang sejuta kali sayang, kerana tutur yang terbit dari celah seulas bibir yang sensual kemerahan itu kerap merobek hatiku.
“Aku tak sepelahap itu untuk ada pakwe, Ziki!” tegasku dalam kelembutan.
“Don’t you ever make such a stupid joke with me anymore!” tekanku lagi. Lantas membuka payung dan berlalu dari hujan yang masih mencurah. Setitis airmataku gugur jua.
‘Aku mahu kamu, Ziki! Aku hanya mahu kamu, Ziki!. Hanya kamu yang satu.’ Jerit hatiku kuat. Tidak mahu Zikri terus mencari pasangan buatku.
“Err… sorry, Shaq! Aku gurau je tadi!” Zikri sudah menyaingi langkahku. Menyelit dirinya di bawah payungku ini. Tidak dapat tidak, aku memberi ruang untuknya. Kalau dia demam, kau jugak yang risau terlebih, Shadiqah!
“Sorry, sorry naik feri la!”
“Ops, maaf, maaf. Aku minta maaf, ya?” ulangnya berbahasa ibunda. Lucu dengan telatahnya, aku akhirnya mengukir senyum. Payah nak merajuk lama-lama dengan Si Zikri ni. Nanti aku yang parah menanggung rindu.
Yang peliknya, hanya dengan aku dia tertewas oleh perkataan maaf. Dengan wanita lain, jangan harap! Ego tinggi menggunung. Nak tinggi lagi. Ego melangit!
“Tapi kan, Shaq! Satu aku pelik dengan kau ni,” ujar Zikri. Aku jungkit kening bertanya dalam diam.
“Dalam semua hal kau okey je kalau speaking London segala. Tapi, kenapa kalau maaf kau nak dengar dalam Bahasa Melayu pulak?” Zikri usap janggut tipisnya.
“Bagi aku ada dua jenis ayat yang perlu aku dengar dalam Bahasa Melayu. Dengan itu, baru ada feel. Rasa menusuk ke hati,” jawabku telus.
“Boleh aku tahu dua jenis ayat tu?” Dia senyum lagi.
“Yang pertama ‘Aku minta maaf’ dan satu lagi...” Aku meleretkan kata. Tidak sanggup berkata sebaris ayat keramat itu di depan Zikri. Andai terungkap juga, ini akan menjadi kali pertama sebaris ayat itu terluncur dari celah bibirku.
“Satu lagi?!” soalnya kedengaran mendesak.
“Satu lagi tu... ermmm... toksah tahu la, Ziki,” balasku cuba mempercepatkan langkah bila hujan yang lebat sudah kembali reda. Hanya tinggal gerimis sahaja.
“Alaa, cakaplah Shaq. Dengan aku pun kau nak berahsia. Kita tak pernah berahsia, kan?” rengek Zikri mengada-ngada. Dia mula buat muka raih simpati. Wajahnya handsome tapi perangai macam budak tadika!
“Tak penting pun,” selaku mencari dalih.
“Eh, Ziki! Kita ni nak kemana sebenarnya? Aku belum solat Zohor lagi ni. Nak ke Teruntum ke Parade?” tanyaku lagi berlari marathon dari menjawab soalan Zikri. Tersedar juga kaki ini main melangkah je. Ke mana tujuan aku tidak tahu!
“Parade!” jawabnya mendatar.
Dia ku jeling sekilas. Emm, wajah dah bertukar monyok. Hati ini ketawa sendiri. Begitulah dia sejak dari kecil. Pantang kehendaknya dibantah, wajah itulah yang sering muncul. Buruk! Erk, buruk tapi kacak.
“Kau ada dating, ya?” tebakku bernada usikan sambil tangan melipat payung bila hujan sudah benar-benar terhenti. Zikri diam. Aku menggeleng kecil.
Kami sama-sama berdiri tegak di tepi jalan raya hendak melintas jalan menuju ke Kuantan Parade untuk urusan Zikri. Aku tidak tahu apakah yang bakal berlaku nanti? Tapi, hati ini sudah dapat mengagak yang dia ingin berjumpa dengan seorang wanita.
Kebiasaannya, dia akan meminta pendapatku terlebih dahulu untuk dia akui wanita itu sebagai teman wanitanya dan aku seperti sebelumnya juga, pasti mengatakan wanita itu sesuai dengannya dalam menahan perit di hati bila Zikri menghampiri wanita tersebut dan menyuruh aku pulang ke asrama.
Tanpa ku sedar, keluhan tipis terbit juga dari mulutku. Zikri menoleh. Terentang kerut di dahinya.
“Mengeluh kenapa?” tanya dia pelik. Aku pantas menggeleng.
Selama ini, aku tidak pernah mengeluh tapi semakin hari, jasadku makin lelah dan hati aku makin parah dihambat rasa cinta buat dia yang tidak pernah mengerti.
“AKu rasa aku tahu apa satu lagi perkataan tu, Shaq!” ujar Zikri dengan wajah yang kembali ceria. Ada senyuman sinis yang tersungging di hujung bibirnya.
Aku memusing tubuh 45 darjah menghadap jasad yang sasa itu. Mata kami mula bertatapan sesama sendiri. Aku jungkit kening inginkan jawapan darinya. Nampak yakin je. Tak tahan betul!
“Aku cinta kamu,” ujarnya senafas. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya. Aku terpempan sendiri.
Entah bagaimana hendak ku gambarkan riak wajah kala ini. Satu yang pasti, terkejutku bukan kepalang. Hampir saja aku melompat sendiri. Hati ini berbunga demi ucapan yang terasa tulus dan benar itu. Anak mata kami bersabung. Kelopak mataku terasa suam.
“Aku cinta kamu, kan?” tanya dia lagi. Aku pantas mengangguk. Menjawab kata-kata cinta itu buatnya yang tidak mempunyai apa-apa makna di sebaliknya.
Wajah Zikri aku rasa dekat denganku. Tersenyum manis bagaikan akulah ratu hati buatnya. Dan bila aku sedar, sebuah kereta sedang meluncur laju melalui lopak air di depan kami. Aku pantas mengadang tubuh Zikri, tidak mahu dia dibasahi.
Sudahnya, tubuhku yang basah lencun dek simbahan air itu. Beberapa orang budak lelaki yang ada di situ gelak sakan. Aku menahan pedih hati. Marah juga bila seluruh pakaianku kotor dan lebih marah lagi, perasaan bahagia sebentar tadi, hanya singgah sebentar. Terasa sarat airmata bila dijadikan bahan tawa dan lebih parah lagi bila Zikri langsung tidak membelaku. Malah dia juga turut ketawa terkekek-kekek. Lain yang ku harap, lain yang ku dapat.
Sebentar saja di awangan dan kini, aku berpijak di bumi nyata. Aku kalihkan tubuh membelakangi Zikri dan serentak itu airmataku laju mengalir tanpa mampu aku seka. Hati ini walang demi kamu, Ziki!

***bersambung***




6 comments:

  1. Akak,orng 1st yg baca..hehe..jahatnya Zikri,nk jumpa awek ajak Shaq.sampai ati ya...xkan x perasan kut...ish2...suke citer nie akak...

    ReplyDelete
  2. okeh! terpaksa admit, pompuan n laki tak sesuai jadik best frienddd.... huhhu

    ReplyDelete
  3. AKHIRNYAaaaaaaa.........xthn gak na tgu....terbaca gak.....hehehe......dr awl lg buat xsbr ni.....

    ReplyDelete
  4. ERM...BLH THN...POLISAS??MENGEMBALIKAN INGATAN BERTAHUN YANG LALU...CONFIRM SAYA BC SMPAI HBS...

    ReplyDelete
  5. Xsabr nk bce smpai hbis,ade polisas lg,tmpt sy tmba ilmu zamn dlu2,keep up the gooD Work..

    ReplyDelete
  6. kureng asam punya lelaki ! arghhh

    ReplyDelete