BAB 2
WAJAH resah Zikri terbias di mataku. Resah menanti subjek rahsia yang bakal dia kongsi denganku yang digelar teman baiknya. Benar, itulah statusku. Tak mungkin akan menjadi lebih.
“Kot ya pun, boleh tak kau duduk, Ziki? Berpusing mata aku tengok kau macam ni!” tegurku sedikit keras sambil membuka tutup botol mineral untuk menghilangkan dahaga. Zikri kalih padaku.
“Dia dah lewat 15 minit ni, Shaq! Aku takut dia tak datang. Padahal aku dah janji nak kenalkan bakal pengapit dia ni!” jawab Zikri tersengih. Memandang aku dengan wajah yang bahagia berbunga.
Botol air mineral yang baru ku suakan ke mulut jatuh ke riba. Habis basah baju yang hendak kering. Zikri langsung mendapatkanku. Duduk di sebelah lalu menghulurkan sapu tangan berjenama Nike itu padaku.
Aku tidak tahu dia berseloroh atau apa. Tapi, aku rasa kelainan dalam setiap tindakannya kali ini. Nampak bersungguh-sungguh. Aku renung wajah itu tidak berkelip. Sapu tangan yang dihulurkan tidak bersambut. Aku terkaku. Entah apa patut aku lakukan sekarang? Lari, bersembunyi lalu menangis atau menunggu sahaja untuk ku robek hatiku dengan tangan sendiri?
“Kau ni kenapa, Shaq?” tegur Zikri bersama keluhan.
“Kenapa kau ni dari tadi aku tengok serba tak kena?” Aku yang baru tersedar cepat-cepat mengambil sapu tangan yang masih dia hulurkan. Lalu aku lap bahagian yang basah dengan tangan yang terketar-ketar. Menahan airmata dari mengalir.
“Tak ada apalah,” jawabku. Zikri melepaskan keluhan.
“Aku rasa pelik dengan kau dua tiga hari ni, Shaq! Macam ada benda je kau nak beritahu aku. Kalau kau ada masalah, better kau cakap. Kita kan tak pernah berahsia,” nasihat Zikri padaku.
Ya, sesenang itu dia minta aku luahkan sebab dia tak pernah tahu akan perasaan ini yang semakin sarat dengan cinta padanya.
“Kau tak akan tahu, Ziki,” gumamku di luar sedar.
“Tak tahu? Apa yang aku tak tahu? Apa yang kau rahsiakan dari aku?” bentak Zikri tiba-tiba. Wajah cerianya tadi bertukar kelat tiba-tiba. Renungannya tajam menikam wajahku. Tidak sanggup menerima panahan mata kuyu itu, aku lantas menebarkan wajah ke serata tempat. Meneguk botol air yang sudah kosong. Serba serbi tidak kena. Takut andai Zikri dapat menangkap maksud di sebaliknya.
“Kau tak payahlah dok teguk botol kosong tu, Shaq,” tekan Zikri cuba menahan nada suaranya. Dari ekor mata, aku tahu dia sedari tadi merenung sisi wajahku.
“Kau ada berahsia dengan aku selama ni, kan?” tanya Zikri lagi. Aku telan liur.
“Aku nak tahu rahsia besar kau tu,” pinta Zikri lagi. Aku diam juga. Takut untuk menentang mata lelaki itu.
“Aku tak ada rahsialah. Kan kita dah janji tak nak berahsia antara satu sama lain!” balasku bernada sebak. Andai sebaris ayat lagi terbit dari bibir Zikri, pasti berderai airmataku.
“Mesti …” Kata-kata Zikri mati di situ. Tubuhnya pantas terangkat. Aku turut kalih ke belakang. Mengangkat pandanganku pada sesusuk tubuh yang tinggi lampai dan naik pula pada wajah cantik jelita itu. Dia tersenyum sinis.
“Lambat Ann sampai?” tanya Zikri pada si gadis. Lembut saja lantunan suaranya. Aku mencebik. Kalau dengan aku, macam nak berperang.
“Sorrylah, Zack! Ann tunggu teksi. Driver papa tak dapat hantar la!” adunya mengada-ngada. Lagilah aku mencebik.
“It’s okay, honey! Everythings for you,” pujuk Zikri pula. Serasa mahu muntah di situ juga. Everythings la sangat. Kau punya everythings tu aku yang selesaikan! Ejek hatiku pada makhluk Allah berdua ni.
“Ann tahu Zack akan tunggu Ann. So, shall we?” tanya si gadis yang ku dengar Zikri menggelarkan dia Ann dan dia memanggil Zikri, Zack? Hatiku ketawa tergolek-golek. Zack la sangat. Zigzag ada la kot.
“Jom kita pergi makan dulu,” ajak Zikri tanpa mempedulikan aku yang sedari tadi tegak berdiri macam patung cendana.
“Ehem… ehem…” Aku berdehem beberapa kali agar Zikri dan Ann sedar akan kewujudanku yang ada terpacak di sebelah mereka. Apa, mereka ingat aku ni tiang konkrit ni ke?
Keduanya berpaling serentak. Pertama kali melihat wajah si idaman hati dekat dengan wajah wanita itu, hatiku sayu tiba-tiba. Sama cantik, sama padan. Macam pinang dibelah dua. Tapi, kalau denganku, mungkin saja menjadi pinang dibelah dengan gergaji.
“Oh ya, Ann! Ni Zack kenalkan, Shaq! Kawan baik Zack yang Zack pernah cerita tu,” beritahu Zikri pada Ann. Aku ukir senyum.
“Shaq,” ujarku sepatah seraya menghulurkan salam dan dia menyambutnya antara mahu dan tidak.
“Annesa Dato’Amri,” sahutnya pula. Oh, anak Dato’. Anak orang kaya! Sela hati ini. Tapi, entah mengapa, riak wajah dan lirikan matanya benar-benar membuatkan aku tidak betah duduk. Terasa diri ini dipandang serba tidak kena oleh mata galak itu.
Aku tahan hati. Demi Zikri, demi kebahagian Zikri, aku tidak mahu cepat melatah. Andai Ann adalah kebahagiaan dia, aku rela menjadi titi untuk dia menuju ke arah kebahagiaan itu.
“Jom, Ann. Kita makan dulu, lepas tu Zack teman Ann shopping.” Ann mengangguk lantas memaut lengan sasa Zikri dan terus berlalu. Hatiku mendongkol marah.
Aku yang sejak dari kecil bersamanya tidak pernah bersentuh kulit tapi wanita ini selamba saja memaut lengan Zikri dan lebih pedih, bila Zikri pula langsung tidak membantah. Tidak tahukah Ziki, yang kamu sedang melakukan dosa percuma? Tapi sayang jua, bila aku hanya mampu memandang dan tidak mampu bersuara.
Tanpa ajakan dari Zikri seperti sebelumnya, aku jua turut melangkah lemah kerana aku yakin, aku masih diperlukan untuk beberapa waktu lagi. Sepertinya, Zikri benar-benar menyintai gadis ini. Andai dulu, setelah bertemu denganku baru dia berkeputusan tapi kini, mencariku demi sebuah keputusan yang telah dia buat.
Kami duduk di Kopitiam. Andai dulu, kami berhadapan, kini pula aku perlu mengadap wajah Ann bila Ann seperti tidak membenarkan Zikri menghadap wajahku. Melihatkan gedik manja Ann terliuk lintuk pada tubuh sasa Zikri, aku mengerling jam di pergelangan tangan. Melarikan pandangan. Tidak mahu menyajikan pandanganku dengan aksi sedemikian. Menyampah!
“Zack, Ann ke ladies kejap, ya,” pinta Ann manja mengada-ngada. Aku tatap keduanya. Ann bangkit menjinjit handbag POLOnya terus berlalu selepas Zikri mengedipkan mata sekali.
Mataku kalih pula pada beg galas yang aku peluk erat. Di dalamnya berisi laptop dan buku-buku dan segala keperluanku. Jauh benar bezanya diri ini dengan Ann. Benar aku berbaju kurung dan bersikap lemah lembut, tapi penampilanku biasa saja.
Tiada contengan menghiasi wajah. Sekadar tempekan bedak penghalang UV saja. Yang lainnya, aku sekadar menggunakan kurniaan Allah seadanya.
“Shaq,” tegur Zikri. Aku angkat wajah memandang rautnya yang kembali serius.
“Soalan aku tadi,” sambung Zikri.
“Soalan apa?” Aku buat-buat tidak tahu. Dalam hati tidak sudah-sudah membebel pada Zikri. Ingatkan sudah lupa selepas bertemu kekasih hati?
“Pasal rahsia kau tu!” tekannya. Anak matanya dijegilkan sedikit.
“Aku tak ada rahsia dengan kaulah, Ziki,” jawabku cuba bertenang. Aku ukir senyum seperti sebelumnya. Pasti sahaja lekuk perigi buruk di kedua belah pipiku timbul kala ini. Aku lihat Zikri telan liur lantas memalingkan wajahnya ke arah lain seketika sebelum kembali menatap wajahku.
“Betul ni?” tanya dia tidak puas hati. Aku angguk saja. Malas dipanjangkan akan perihal cinta terpendam yang akan terkubur tidak lama lagi ini.
“Yang kau ni, dok sibuk tanya aku. Ni aku nak tanya kau. Apa hal kau beria ajak aku keluar ni? Dahlah berhujan, tersimbah air tepi jalan lagi. Cuba cerita sikit apa kejutan kau tu?” Secara langsung aku mengubah topik.
Kali ini, Zikri tayang gigi. Emm, ni tak lain mesti pada Ann tadi. Getus hatiku. Zikri angkat punggung lalu duduk di hadapanku. Meletakkan tangannya di atas meja dan menyulam jemari sesama sendiri. Aku pula spontan menarik tanganku dari meja.
“Erk, kau ni kenapa? Macamlah aku nak pegang tangan kau!” sindir Zikri. Aku mencebirkan bibir.
“Eleh, kau tu bukan boleh kira. Jap lagi kau nampak aku ni Ann tu. Tak pasal kau pegang tangan aku pulak. Dah kurang harga hantaran aku nanti sebab kau dah pegang,” jawabku bersahaja. Kali ini, Zikri pula mencebirkan bibir.
“Aku tak rabun lagilah nak tertukar kau dengan Ann,” sela Zikri. Entah mengapa, aku terima kata-kata itu sebagai satu sindiran.
Pedih rasanya hati. Agaknya, dengan kata lain, dia tak mungkin memilih aku biarpun tiada Ann atau wanita lain. Aku ketap bibir. Menggenggam erat jemari, pohon kekuatan dari yang Esa.
“Yalah, yalah! Aku tahu kau tak akan tertukar! So, apa ceritanya ni? Aku rasa mesti pasal Ann tu, kan?” tebakku sendiri. Zikri mengangguk.
“Cantik tak dia?” tanya Zikri bersungguh-sungguh. Matanya membulat. Sengihnya melebar.
“Cantik,” jawabku pendek. Benar, aku ikhlas mengatakan Annesa cantik. Secantik dan selembut namanya.
“Aku serius dengan dia,” akui Zikri telus.
Nah, kan sudah ku telah tadi. Zikri memang menyintai wanita ini sesungguhnya. Tidak seperti wanita sebelumnya yang hanya dijadikan koleksi calon untuk memilih yang terbaik.
“Jadi, betullah ni kejutan kau suruh aku keluar hari ni?” tanyaku lagi pinta kepastian.
“Yalah. Aku nak kenalkan dia pada kau dulu sebelum kenalkan dengan keluarga aku. Kau kan tahu mak aku macam mana. Perempuan moden sangat ni dia tak suka!”
“Lepas tu kau nak aku buat apa?” tanyaku tidak puas hati. Andai mak dia tidak menyetujui perhubungan mereka, apa kena mengena dengan aku?
“Mak aku sayang kau, Shaq. Kalau kata aku nak bawa Ann balik kampung kita, aku harap kau bolehlah back-up yang mana patut,” ujar Zikri langsung tiada berdalih. Aku hela nafas panjang.
Sampai tahap ni kau nak aku tolong kau, Ziki! Keluh hatiku. Wajah tampan itu aku pandang lagi. Terpancar kebahagiaan di wajah itu. Sinar matanya menggambarkan api cinta yang kian marak pada Ann.
“Kau rasa dia sesuai ke dengan kau, Ziki?” Sedari tadi soalan itu bermain di minda setelah Ann memperkenal dirinya yang berstatus Dato’. Bimbang juga dengan penerimaan keluarga Ann terhadap Zikri memandangkan kami hanyalah daro golongan sederhana.
“Kenapa kau tanya soalan macam tu?” Aku mengeluh pendek. Soalan berbalas soalan. Terengtang kerut di dahi Zikri.
“Kau jangan salah faham, Ziki. Bukan apa, Ann tu anak Dato’. Orang kaya tu. Aku takut penerimaan keluarga dia pada kau je,” jawabku.
“Jangan risau, Shaq. Kata Ann, keluarga dia tak kisah, janji aku sudi jaga Ann sebaik mungkin,” jawab Zikri yakin.
Tidak dapat tidak, aku mengangguk mengiyakan kenyataan yang baru Zikri utarakan padaku.
“Okeylah kalau macam tu. Nampaknya aku benar-benar tinggal lone rangerlah,” ujarku lebih pada diri sendiri.
“Eh, apa kau cakap?” Zikri tidak dengar aku buat-buat tidak dengar aku tidak tahu.
Yang pasti aku harus segera berlalu. Berlalu membawa hati untuk aku ubati setelah cintaku pada Zikri selama ini tidak pernah kesampaian kerana aku sendiri tidak pernah cuba meluahkan.
Bukan kerana takut meluahkan rasa terhadap dia tapi aku lebih takut menghadapi kehilangannya sebagai teman. Andai kebahagiaan Zikri menagih secubit pengorbanan dariku, aku rela demi sebuah persabatan yang tidak terhitung tinggi nilainya padaku.
“Eh, aku gerak dulu. Dyla dah mesej ni nak jumpa dekat lab.” Aku langsung mengangkat batang tubuh. ZIkri mendongak menentang pandanganku.
“Eh, tak makan lagi,” rungut Zikri.
“Tak payahlah. Kau nak bagi kejutan je kan. Kejutan kau ni dah buat aku kenyang selamanya,” ujarnya berseloroh.
Mungkin kedengaran sebagai gurauan buat Zikri tapi tidak pada hati aku. Setiap tutur kataku padanya adalah suatu kenyataan. Setiapnya mempunyai makna yang mendalam.
“Oh, ya! Pasal kau nak bawa Ann balik kampung tu, nanti kau cakaplah dekat aku bila-bila pun. Aku kan sentiasa payungkan kau!” Tutur katakaku penuh makna. Zikri bangkit, tersenyum manis.
Kemanisan senyuman itu bukan lagi milik aku seorang. Sedangkan dari dulu bukan jua milikku, tapi setidak-tidaknya akulah pendamping terdekat dengannya dan kini, segala bakal berubah atau sudah berubah dalam pada aku tidak sedar.
“Aku sayang kau, Shaq. Aku memang harapkan kau akan payungkan aku sampai bila-bila,” sahut Zikri tanpa mengetahui maksud tersirat di sebalik tuturku.
Hatiku walang. Sudahnya, aku terus melangkah setelah ku titipkan salam buat Annesa yang telah berjaya memilik hati si dia yang aku cintai.
***bersambung***

ksian shaq..:(:(
ReplyDeleteAlah Kak..pendeknya...huhu..
ReplyDeletesmpai hati zikri buat shaq camtu.
Suka jalan cerita "Sini Aku Payungkan Kau" nie.
Plot dan jalan cerita yang bersahaja dan menarik...tahniah akak
xsuka Ann.. mengada2..
ReplyDeletekita memang macam tu kan kak.. bila ada depan mata tak reti hargai.. dah tak der baru nak tergapai-gapai...huhuhu
ReplyDelete