BAB 13
ENTAH bagaimana hendak ku jawab persoalan kakakku itu. Harus bagaimana aku tolak pinangan keluarga Zikri kerana niat mereka hendak menjodohkan kami sejak dari dulu lagi. Aku yakin ini bukanlah atas permintaan Zikri namun kerana niat dan sebuah janji lama yang termetri antara ibu bapa kami.
Zikri pasti membantah keras kerana dalam dirinya hanya ada Annesa dan bukannya Shadiqah. Sudahlah hari ini kami berempat bercakaran. Terbelit dalam simpulan kasih yang entah bila akan terlerai dan andai berita ini sampai ke telinga Zikri, pastilah akan semakin terbelit pula.
Masa itu, aku bimbang andai kekusutan antara kami tidak mampu diuraikan lagi lantas membawa kami semakin jauh dari diri masing-masing sedangkan aku sedaya upaya hendak melihat lelaki kesayanganku itu bahagia bersama jalan hidupnya
namun aku tetap mahu berada di sisinya menjadi penemannya di kala resah. Hanya di situ niatku.
Pesanan ringkas Zikri kepada Annesa tadi juga menari-nari di mataku. Rasa ada baik andai aku beritahu saja perkara ini kepada Kak Shadirah memandangkan Zikri juga mahu melestarikan hubungannya dengan Annesa tidak berapa lama lagi.
“Iqa dengar tak apa yang kakak tanya ni?” Sergahan Kak Shadirah kali ini membawa aku kembali kepada perbualan kami yang terhenti.
“Eh, ya kak. Dengar… dengar…,” balasku tergagap-gagap.
“Iqa ni mengelamun apa? Terkejut dengar Pak Zul datang meminang ke? Atau ada masalah lain ni?” Kak Shadirah mula membuat telahan sendiri.
Aku diam seketika. Mencari ayat-ayat yang sesuai hendak aku tuturkan kepadanya. Aku mahukan yang terbaik buat Zikri dan ke luarga kami. Tentang perjanjian mereka, rasanya tidak usah diperbesarkan. Bukankah bahagia anak-anak lebih penting? Tapi bagiku, bahagia mak dan ayahlah yang paling bermakna dalam hidup ini.
“Macam mana ni, Shadiqah? Kalau nak, cakap ya. Kakak nak beritahu mak ni biar mak beritahu keluarga Pak Zul.”
“Err, sebelum tu Iqa tanya satu soalan, boleh tak?”
“Apa dia?” soal kakakku pula.
“Ziki tahu ke semua ni?”
Kak Shadirah ketawa mendengarkan soalanku. Dalam hatiku sudah dapat menebak yang Zikri langsung tidak ketahui akan perkara ini.
“Yang tu kakak tak tahu. Agaknya dah Pak Zul datang meminang tu, Zikri dah setuju la kot. Mak cuma amanahkan kakak tanya Iqa je. Yang lain lebih baik Iqa tanya mak sendiri.” Jawapan Kak Shadirah mengundang resah dalam hatiku.
Jawapan tergantung. Jawapan yang memungkinkan segalanya. Jawapan yang bakal memusnahkan hubungan lama antara aku dan Zikri andai silap perhitungan. Jawapan yang bakal merosakkan hati seorang wanita kesayangan milik lelaki yang aku cintai.
“Kalau macam tu, payah Iqa nak bagi jawapan, kak sebab Iqa baru tahu yang Ziki tu dah ada teman wanita,” beritahuku pada Kak Shadirah.
Senang aku berterus terang agar tidak menimbulkan sengketa dan silap faham andai aku menerimanya tanpa memberitahu
keadaan sebenar milik hati lelaki itu yang telah berpenghuni dan yang pastinya bukannya aku.
“Pulak dah?” soal Kak Shadirah tidak berpuas hati.
“Kalau kata macam tu, yang Iqa pulak dah berpunya ke belum?”
Bila soalan itu berdengung di hujung talian, aku terkedu sekali lagi. Waktu ini wajah penuh mengharap Iwan dan wajah kecewa Dyla hadir silih berganti.
Hendak ku jawab ada, entah siapa yang harus aku pilih andai mak dan ayah mahu aku kenalkan kepada mereka? Hendak ku jawab tiada, rasanya keluarga bagaikan punyai perancangan lain buatku nanti.
Hendak memaksa diri menerima Iwan, aku bimbang lebih banyak hati yang terluka dan yang pastinya hatiku ini sendiri, mampukah berdiri di atas paksi keikhlasan untuk itu? Dan bila jawapan yang aku temui adalah tidak, itulah yang setepatnya.
“Tak ada, kak. Iqa sibuk dengan belajar. Tak sempat nak cari kawan lelaki pun.” Aku ketawa kecil melindungi kecewa yang membalut hati sendiri.
“Sibuk belajar sebab Zikri sibuk bercinta?” sinis kakakku. Aku telan liur.
“Err, tak adalah. Jangan cakap macam tu kat mak ayah dia pulak, kak!” pesanku besungguh-sungguh.
“Emm, yalah. Kalau betul Iqa tak ada kawan rapat lagi, kakak beritahu je pada mak ayah.”
Itulah ayat terakhir yang sempat menyapa peluput telingaku sebelum talian mati. Aku hela nafas lega bila Kak Shadirah berkata demikian namun entah mengapa, ada rasa tidak sedap hati pula. Rasa sedikit pelik dengan ayat terakhir itu tapi kerana tidak mahu memeningkan kepala, sementelah pula aku percayakan kakakku itu, aku biarkan saja perkara itu berlalu dan aku rebahkan tubuh ke katil. Memandang siling putih dan akhirnya terlelap sekali lagi.
***
SETELAH siap menunaikan fardhu Asar, aku labuhkan duduk di atas kerusi di hadapan meja belajar. Bila aku kalih ke belakang, ternyata kosong. Biarpun hati berkali-kali menidakkan pemergiaan Dyla setelah dia mematahkan hubungan kami, mata ini masih tidak mampu melihat katil dan meja yang kosong bagaikan tidak pernah berpenghuni itu.
Aku kembali menatap mejaku. Membelek jadual pembentangan yang akan berjalan tidak lama lagi. Kini, bukan masalah Zikri, Iwan dan Dyla yang perlu aku fikirkan sebaliknya, peperiksaan inilah yang harus aku dahulukan demi harapan besar mak dan ayah padaku.
Kertas lukisan yang Zikri koyakkan pagi tadi, aku keluarkan dari dalam fail. Entahkan cukup entahkan tidak cebisan itu hendak aku cantumkan ini. Aku amat berharap, aku telah mengutip setiap cebisannya di dalam tong sampah tadi. Aku mahu cantumkan dan melukisnya kembali.
Biarpun hasil lukisan itu adalah dari kerja tanganku dan telah ditambah sedikit sebanyak oleh Zikri pagi tadi, aku bagaikan kabur hendak melukis semua rekaan masjid itu. Bagaikan masa depanku dengan Zikri yang juga semakin kabur dan malap.
“Ya Allah, aku mohon agar mak menolak pinangan itu demi persabahatan aku dan Zikri. Yakinlah hati ini yang Kau utuskan dia buatku hanya untuk bersahabat dan tidak lebih dari itu,” gumamku sendiri sebelum aku menghalakan seluruh tumpuanku ke arah cebisan kertas tersebut.
Sudah hampir sejam berlalu, aku baru saja menyiapkan separuh cebisan itu rasanya. Lenguh di pangkal leher mula menggigit rasa. Belakang juga bagaikan hendak patah kerana terlalu ralit memilih dan menyusun sedangkan hasilnya tetap tidak memuaskan.
“Mana satu yang ni, hah?” tanyaku pada diri sendiri.
Jari ini masih lagi cuba mencantumkan sesuatu yang agak sukar namun tiada mustahilnya. Hanya aku dan Zikri serta Iwan dan Dyla juga rasanya mustahil hendak kembali bersama. Berteman seperti waktu dulu kerana masing-masing tewas kerana cinta. Kalah menghadapi dugaan cinta yang telah TUhan turunkan.
Airmataku mengalir laju. Betapa aku seka, semakin berjuaraian titisan jernih itu melalui lekuk di pipi. Tanpa mampu aku lap lagi, aku terus menyusun cebisan itu satu persatu. Membelek-membelek dan mencantumkannya dari segenap sudut dan segi hingga akhirnya aku berjaya jua.
Alhamdulillah…. Ucap hatiku penuh rasa syukur. Pensel dan kertas lukisan, aku gapai dari bawah meja. Kerja yang akan memastikan kejayaan kami untuk peperiksaan akhir ini perlu aku siapkan biarpun tanpa Zikri. Biarpun tanpa dia aku mampu. Beritahuku pada diri sendiri agar meneruskan segalanya biarpun tanpa dia lagi kerana persabahatan kami sejak dari kecil itu ternyata tertewas oleh cinta Zikri pada Annesa.
Lakaran demi lakaran aku lorekkan. Semakin ligat tarian mata pena di atas kanvas, semakin laju airmataku kembali menitis. Tanpa sedar, azan Maghrib berkumandang dari masjid di atas bukit sana. Andai dulu, bergegas aku dan Dyla bersiap hendak berjemaah di masjid tapi saat ini, Dyla tiada bersamaku.
Aku letakkan kanvas dan pensel di atas meja, lalu aku bergerak ke bilik air hendak berwudhuk.
“Eh, Kak Shaq,” tegur seorang junior yang aku temui sewaktu di Megamall dengan Zikri semalam.
“Err, ya.” Aku senyum.
“Kenapa Kak Dyla pindah bilik? Kakak berdua bergaduh ke?” tanya dia telus.
Aku telan liur. Tidak tahu apakah yang harus aku berikan sebagai jawapan. Malu itu sudah menjadi urusan nombor dua. Malu kerana bertekak di usia begini. Malu pada adik-adik yang sepatutnya kami menjadi contoh buat mereka. Tapi, yang utamanya, aku takut hendak menerima hakikat yang sudah terang terbentang ini.
“Eh, tak adalah. Kak Dyla tu ada projek berkumpulan. Sebab tu dia pindah bilik senang nak buat dengan geng-geng kumpulan tu. Kak Shaq kena dengan geng lain,” bohongku pada junior yang ku kenali sebagai Nia ini.
Setahuku, Nia ini juga meminati Zikri. Ramai sangat yang meminati Zikri hinggakan mereka berteman dan tegur sapa denganku hanya kerana Zikri. Menjadikan aku titi untuk titipan salam mereka buat Zikri.
“Oh, kakak dengan abang Zikri eh?” Wajah Nia teruja. Aku senyum
“A’ah, kakak dengan dia. Kenapa? nak ikut kakak buat kerja berkumpulan ni jugak ke? Nak jumpa abang Zikri ya?”
Sengaja aku duga Nia. Hendak melihat reaksi dia dan selebihnya menutup kewalahan hati sendiri.
Nia menepuk tangannya kuat. “Eh, boleh ke kak?”
Aku menggeleng kecil. “Tak boleh sebab kerja kami dah siap. Tinggal nak present je lepas study week ni,” jawabku sengaja mengusik dia.
Wajah Nia kelat. “Ala Kak Shaq. Bolehlah. Nia nak sangat jumpa abang Zikri dekat-dekat. Bolehlah, kak,” rayu dia sambil meraih tanganku.
“Bukan tak boleh, Nia.” Aku senyum.
“Tapi, kerja kami dah siaplah. Kakak pun tak tahu boleh jumpa Abang Zikri lagi ke tak dalam minggu belajar ni.
Rasanya tak dah kot sebab kami akan mulakan presentation kami minggu depan dah. Dia mesti nak belajar.” Sekali lagi aku beralasan.
Memang Zikri akan belajar tapi belajar bercinta dengan Annesa. Membiarkan aku sendiri tanpa ada kata putus akan lukisan yang masih belum siap. Ini juga belum termasuk protaip.
“Emm, tak apalah kalau Kak Shaq tak sudi nak kenalkan saya dengan Abang Zikri.” Suara Nia seakan merajuk dan dia terus berlalu ke biliknya.
Aduhai, letih hendak menghadapi karenah masyarakat. Sedangkan mereka tidak tahu masalah aku dengan Zikri dan aku berharap agar Dyla juga tidak membuka mulut tentang masalah kami berdua.
Tidak suka bila diri dipandang serong nanti. Harga diri dan nilai persahabatan kami terlalu berharga buatku.
“Good luck final nanti, Nia,” jeritku pada dia dan dia hanya mengangkat tangan tanpa berpaling ke arahku.
Bibirku menguntum senyum sebelum berlalu ke bilik air. Masih banyak tugas yang belum aku selesaikan. Kali ini, aku tidak boleh tertewas oleh waktu. Perkara ini harus diselesaikan satu persatu.
Setelah selesai menunaikan fardhu Maghrib, aku gapai surah Yassinn. Mengalunkan keindahan ayat-ayat itu sementara menanti masukkan waktu Isyak kerana selepas ini, aku akan berjaga hingga ke pagi.
Belumpun sempat aku habiskan ayat terakhir, azan Isyak berkumandang tapi aku tetap teruskan bacaan perlahan-lahan.
Sesudah itu, terus saja aku mengangkat takdir hendak menunaikan solat Isyak pula.
Dalam lebih kurang 10 minit, aku kembali ke kerusi. Duduk menghadap kerja tanpa memikirkan diri yang masih belum makan apa-apa sejak dari pagi. Rasa lapar ini sudah terisi dengan hadiah daripada Zikri dan Dyla hingga aku kenyang begitu saja.
Teringat pula pada kata-kata Kak Shadirah siang tadi. Aku benar-benar berharap mak dan ayah menolak dengan baik pinangan keluarga Zikri. Entah mengapa, ada rasa tidak puas hati yang membelit diri. Lantas aku gapai telefon bimbitku lalu aku tekan nombor Kak Shadirah.
“Kakak,” seruku bila mendengarkan suara lemah kakaku di hujung talian.
“Kenapa Iqa telefon lewat malam ni,” rungut dia.
Aku kerling jam di atas meja. Padanlah Kak Shadirah merungut. Jam sudah melepasi angka 12 malam. Tidak sedar waktu itu berlalu kerana asyik menyiapkan kerja yang tertangguh.
“Maaf, kak. Iqa tak sedap hati pasal hal peminangan keluarga Pak Zul tu. macam mana? Kakak dah beritahu mak pasal Iqa tolak pinangan tu?” tanyaku.
Kak Shadirah diam seketika. Aku dengar helaan nafas halusnya menyapa telingaku namun aku tetap sabar menanti. Aku mahukan jawapan yang pasti.
“Kakak dah beritahu mak dan ayah pasal Iqa tolak lamaran Pak Zul untuk Zikri tapi kakak tak tahulah apa yang mak dan ayah cakap pada mereka. Sebab petang tadi, kakak tak ikut mak dan ayah ke rumah Pak Zul. Balik tadi, kakak tanya mak tapi mak diam!”
Jawapan Kak Shahirah membuatkan aku terpana sendiri. Aku yakin mak bersikap demikian kerana kecewa denganku setelah sekian lama dia menyatakan hasrat dua buah keluarga hendak berbesan.
Dulu ya, aku senyum menerima cadangan itu tapi hari ni tidak lagi. Andai mak dan ayah ingin melihat airmataku tumpah seumur hidup ini, aku tiada pilihan jika dia tetap berkeras hendak melihat aku menjadi suri di dalam hidup Zikri yang langsung tidak inginkanku.
“Mak marah Iqa ke, kak?” Hatiku digigit sebak. Rasa pedih jika benar mak berkecil hati denganku. Rasa bersalah. Rasa berdosa.
“Kak tak tahulah, Iqa. Tapi, kan dah lama mak nyatakan hasrat dia ni. Tiba-tiba Iqa menolak, mesti mak terasa sikit. Tadi, mak ada tanya sebabnya tapi kakak tak tahulah sebab Iqa sendiri pun tak bagitahu,” ujar Kak Shadirah.
Aku diam memandang telefon bimbitku sebelum kembali melekapkannya ke telinga. Mahu saja aku nyatakan kebenaran yang telah aku lalui sejak akhir-akhir ini tapi aku tidak mahu membuatkan mereka di kampung melatah dengan karenah kami.
“Lepas periksa akhir ni, semua kan tahu sebabnya kak,” beritahuku perlahan setelah mata ini terbias dengan pesanan ringkas Zikri pada Annesa siang tadi.
Segalanya akan terjawab mengapa aku menolak pinangan daripada keluarga lelaki yang aku cinta.
“Nanti Iqa balik cakap sendiri dekat, mak. Kakak suruh tanya mak kata tak nak ganggu Iqa periksa. Jaga diri.”
Pesanan terkhir Kak Shadirah membuatkan aku termenung lama. Entah apa yang harus aku beritahu pada mak. Tapi, bukankah jawapannya akan terzahir bila Zikri sendiri menolaknya nanti? Jadi, untuk aku apa memeningkan kepala? Sudahnya aku campak telefon bimbit itu ke atas katil dan meneruskan lukisan yang baru separuh siap itu.
***
PAGI esoknya, aku terus bersiap hendak keluar bandar. Masih banyak barang yang perlu aku beli untuk projek akhir kami ni. Cukuplah aku berharap pada Zikri tapi namanya pasti ada sama bila membuatkan persembahan kepada Puan Anum nanti.
Baru saja aku keluar daripada kedai buku MBH, mataku tertangkap oleh susuk tubuh yang cukup aku kenal. Zikri dan wanita yang sedang memaut erat lengannya itu adalah Annesa.
Aku sengaja buat-buat tidak nampak. Laju saja kaki ini melangkah membelakangi mereka tatkala aku dengar namaku diseru kuat. Zikri!
“Err, aku nak cepat ni, Ziki,” uajarku sambil memandang Zikri dan Annesa silih berganti.
“Hai,” sapaku pada Annesa. Terasa janggal pula menerima renungan Annesa yang sedikit menyindir bila dia mampu meraih lengan sasa Zikri.
Memaut lengan lelaki yang bukan muhrimnya. Membiarkan kulit mereka bersentuhan tanpa ikatan yang sah, aku jadi malu sendiri kerana aku dan Zikri tidak pernah sekalipun bersentuhan tanpa sengaja sepanjang kami berteman ini.
Aku larikan pandangan ke arah Zikri pula. Dia senyum saja bagaikan terlupa akan amukannya padaku semalam. Bagaikan kehilangan ingatan. Hendak aku bersoal jawab, rasanya yang berlalu biarkan saja. Yang penting kini, aku masih berpeluang melihat senyuman itu di wajahnya. Sedapa upaya aku juga mengukir senyum buat dia.
“Banyak beli barang?” soal Annesa. Aku angguk.
“Untuk projek akhir kami tu. minggu depan dah kena present.” Sengaja aku ingatkan Zikri secara tidak langsung. Sudah terlalu sibuk dengan cinta. Bimbang terabai cita-cita.
“Eh, kenapa tak cakap dekat aku nak buat protaip dah?” Zikri buat wajah bimbang. Aku sengih sinis.
“Eh, tak ada apalah, Ziki. Semalam kan kau dah siapkan lukisan tu. kini, giliran aku la pulak siapkan artifaknya. Kata kerja berkumpulan, kan,” sindirku lagi.
Zikri telan liur. Dia menolak tangan Annesa dari lengannya dan terus menarik lengan bajuku berjalan sedikit jauh daripada Annesa.
“Shaq, pasal semalam tu…”
"Kau nak minta maaf, kan? Aku maafkan,” pangkasku.
Zikri telan liur. “Aku betul-betul minta maaf. Tak tahu kenapa aku boleh buat macam tu.” Dia menggeleng kesal.
“No hal la, Ziki. Aku tahu kau tak sengaja.” Aku ukir senyum lagi.
“Kau dah buat lukisan baru ke?”
Aku angguk. “Dah tapi mungkin tak secantik yang asal tapi aku dah cuba yang termampu. Semalaman aku buat, akhirnya siap juga. Okeylah. Kau nak join buat artifak ni dengan aku tak?”
Zikri senyum. “Sebelum tu aku nak tanya kau satu soalan dulu.”
“Apa?”
“Kau dengan Iwan….”
“Kami kawan je, Ziki. Jangan salah faham,” jawabku mencantas soalan yang belum ada penamatnya itu.
Senyuman Zikri lebar. “Betul ni?” Wajahnya ceria kembali.
“Betullah. Tak akan nak tipu pulak. Ni soal hati dan perasaanlah. Nak tipu buat apa?”
“Aku dah tahu kau dengan dia tak ada apa-apa. Kalau betul kau bercinta dengan dia, aku tak tahu aku boleh terima ke tak?”
Soalan Zikri membuatkan aku merenung anak matannya tidak berkedip. Lama. Dia juga begitu. Merenungku lama tanpa dapat aku ertikan apakah makna renungan itu pada dia. Detak hatiku kembali bergetar. Kala ini, mahu saja aku khabarkan pada mak agar menerima kembali lamaran untukku itu.
“Kenapa kau cakap macam tu? kau kan dah ada Annesa.” Aku kerling pada Annesa yang sedang berpeluk tubuh tidak jauh dari kami.
Zikri juga berpaling dan dia tersenyum pada Annesa. Ranap kehendakku bila melihatkan dia mengenyit mata pada teman wanitanya itu.
“Aku tahu aku dah ada Ann dan aku cintakan dia. Tapi, aku memang tak boleh kalau kau ada teman lelaki selain aku. Kita kawan dari kecil kan. Aku nak kau teman aku sampaikan aku lepaskan kau sendiri, Shaq. Boleh, kan?”
Pertama kali mendengarkan permintaan gila daripada Zikri membuatkan lidahku kelu hendak berkata-kata. Entah apa jawapan yang perlu aku berikan untuknya waktu ini. Menerima bererti aku akan menderita sendiri. Menolak rasanya tidak pula sampai hati.
Sudahnya aku mengangguk. Perjalanan masih jauh. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang tersirat. Buat masa ini, biarlah aku iyakan saja kehendak dia. Aku bahagia melihat insane yang aku cinta mampu tersenyum lebar biarpun aku tahu, senyuman itu telah merampas senyumanku.
“Kan aku dah janji, aku akan payungkan kau sampai bila-bila. Jangan risau. Cuma aku tak puas kau koyak lukisan tu semalam. Sedih hati aku ni,” ujarku memaknakan kesedihanku.
Zikri berwajah kelat. “Maafkan aku sekali lagi, Shaq. Pasal semalam tu, aku sebenarnya tak dapat nak terima kalau betul kau dengan Iwan. Tak tahu kenapa, tiba-tiba je aku jadi marah. Maaf, ya?”
Aku angguk. “Aku maafkan.”
Kami berbalas senyum.
“Kau ada terima berita dari kampung tak, Ziki?” Tiba-tiba saja aku teringatkan perkara itu.
Zikri menggeleng. Aku hela nafas lega. Bermakna perkara ini masih belum tiba ke telinga Zikri dan ternyata mak dan ayahku menolak lamaran itu.
“Tapi, aku ada kejutan untuk keluarga aku dan kau lepas final ni. Kau tunggu, ya?” Zikri melebarkan sengihannya. Menunjukkan barisan gigi yang putih bersih. Senyuman yang ku impikanmenjadi milikku tapi ternyata rezeki bukan bersamanya.
“Waa, ada kejutan. Tak sabar nak tunggu ni,” balasku cuba berbahasa sedangkan aku sudah tahu kesemuanya.
Tahu dengan niatnya hendak menyunting Annesa menjadi miliknya nanti. Tahu secara tidak disengajakan.
“Ehem... ehem…”
Kami kalih pada Annesa yang sudah berada tepat di belakang kami dengan wajah yang masam mencuka menjeling ke arahku.
“Zack, lambat lagi ke?” tanya dia manja.
Zikri mendekat pada Annesa. Rambut wanita itu dia kuak ke belakang. Kau juga sama Zikri. Sudah terleka akan pahala dan dosa menyentuh dia yang masih belum sah untukmu. Leka dengan cinta hingga akhirnya tidak mampu membezakan antara yang halal dan haram.
“Err, okey, Ziki. Aku balik dulu. Pasal projek ni kau jangan risau. Aku siapkan untuk kita. Tapi, kau tu jangan lupa nak belajar pulak. Paper lain kena jawab juga. Present ni tak apalah aku ada,” nasihatku dan terus saja aku berlalu tanpa menantikan kata balas darinya.
Lemas diri ini menerima tikaman mata Annesa yang tajam bagaikan belati itu. Memberi amaran bahawa Zikri adalah miliknya. Aku yakin, Annesa dapat membaca perasaanku pada Zikri. Perasaan sayang sebenarnya sayang. Cinta sesungguhnya cinta tapi cintaku pada Allah adalah yang utama. Aku yakin itu kerana itu aku merelakan Dia mendugaku.
Langkah ini terhenti di sebuah kedai makan di belakang pasar. Perut lapar perlu diisi. Andai dulu, aku dan Dyla sentiasa bersama menikmati hidangan di gerai ini tapi hari ni aku bersendiri.
“Kak, bungkus macam biasa ek,” beritahuku pada pekerja itu. Sudah hampir tiga tahun aku mengenalinya tapi bertanya nama tidak pernah sekali.
Dia senyum. “Bungkus hari ni? Mama kawan sorang lagi tu?”
Seperti yang telah aku agak, dia pasti bertanyakan Dyla kerana tidak pernah terpisah. Tidak dapat tidak, aku gariskan senyum.
“Dia sibuk. Kan dah nak periksa akhir ni,” jawabku memberikan jawapan mati.
“Oh…” Dia angguk.
Selepas beberapa minit, bungkusan nasi kerabu itu bertukar tangan dan setelah membuat pembayaran, aku terus berlalu ke stesen bas. Di sini, tidak lain dan tidak bukan, semuanya wajah yang biasa aku lihat. Wajah-wajah pelajar.
Ada yang senyum, tidak kurang juga yang menjeling. Silapnya hanya satu andai menerima jelingan, iaitu kerana Zikri. Cemburu aku rapat dengan Zikri tanpa mereka tahu, letih aku berhadapan dengan lelaki itu selama ini.
Semakin hari sikapnya semakin sukar ku duga dan aku berharap, dia masih mampu membezakan apa yang lebih penting dan apa yang kurang. Aku mahu dia berjaya. Aku mahu kami sama-sama berjaya dalam bidang masing-masing.
“Syukur perkara ini tak sampai pada dia, Ya Allah,” doaku perlahan.
Terima kasih pada mak ayah kerana menolak lamaran itu. Aku tahu mereka lebih menyayangi persabahatan mereka jika benar salah seorang daripada kami menolak.
Aku lebarkan senyum dan terus saja menapak ke arah bas bila pintu bas terbuka lebar mempelawa penumpang naik untuk menuju ke destinasi masing-masing.
Aku tercari-cari tempat duduk bila sudah berada di dalam perut bas tapi hampa kerana semuanya telah penuh terisi. Hendak tidak hendak, aku terpaksa berdiri lagi. Mataku tercari tempat duduk yang selama ini menjadi tempat kesukaanku dan Dyla andai menaiki bas. Duduk di haradan pintu tengah bas. Menikmati angin jika pemandu membuka pintu. Cepat saja turun andai tiba di depan pagar asrama tapi hari ini, aku lihat tempat itu juga mempunyai dua orang teman.
Nampak rapat berdua bagaikan aku dan Dyla. Semoga persabahatanmu kekal dan jangan tewas andai diduga oleh cinta. Pohon hatiku buat mereka. Secara tak sengaja mata kami bertembung, dia ukir senyum dan aku membalasnya sebelum aku alihkan mataku ke arah lain.
Tiba di asrama, aku terus memulakan tugas. Lebih baik aku siapkan awal-awal manakala masaku dapat pula aku tumpukan pada subjek yang lain.
“Assalamualaikum.”
Aku melarikan mataku ke arah pintu yang diketuk orang. Siapa? Kaki ini aku atur kemas menuju ke pintu dan bila daun pintu terkuak, wajah Dyla kelat memandangku.
“Eh, Dy. Waalaikumussalam,” jawabku tergagap-gagap. Terkejut dengan kehadirannya.
“Boleh aku masuk?” tanya dia tanpa riak. Aku senyum.
“Masuk, Dy. Ni bilik kau jugak. Kan kita tinggal berdua.” Semakin lebar senyumku pada dia.
Dyla menapak masuk setelah aku melebarkan daun pintu. Dia terus saja duduk di kerusi belajar yang pernah menjadi miliknya dan terus ditarik kasar laci kayu itu.
“Aku nak ambil barang aku je yang tertinggal sikit ni. Aku tak lama,” beritahu dia tanpa memandang ke arahku yang sedang tegak berdiri di pintu.
Lidahku kelu. Hanya mampu menerima apa yang bakal dilahirkan oleh lidah DYla buatku.
“Jangan ingat aku sudi nak hidup sebilik dengan pengkhianat macam kau, Shaq dan jangan ingat aku kembali ni nak duduk lagi sebilik dengan kau lepas kau khianati persabatan aku,” tekannya lantas dia bangkit bersama sebuah buku di tangannya.
Laci itu dia tolak kasar. Berdentum bunyinya. Dia menapak ke arahku dan langkah itu pegun tepat di sisiku.
“Aku memang tak sangka kau boleh buat aku macam ni, Shaq. Sampai saat ini aku aku tak percaya.” Dia senyum sinis.
“Dan aku juga tak sangka hati kau buta hendak menilai kesetiaan aku pada kau hanya kerana cinta yang belum tentu menjadi milik kau, Dyla!” balasku pula.
Aku ketap bibir kuat. Menahan sebak yang menggigit hati. Sampai hati kau menuduh aku begitu, Dy? Terlalu murah harga persabahatan kita di mata kau kini. Rintih hatiku pedih.
Dia gariskan senyuman sinis. Lebih sinis daripada tadi. “Memang aku buta selama ni. Buta dengan penipuan dan kepolosan wajah kau. Buta menilai yang kau sebenarnya menipu aku. Tak sudi hendak lihat aku bahagia. Suka melihat aku menderita macam kau saat aku tagih cinta Zikri. Setia pada yang tak sudi,” cebiknya.
Aku tarik nafas dalam-dalam. Ya Allah, kau beratkan telapak tanganku agar tidak lagi singgah pada wajah dia buat kali kedua. Andai benar begitu, aku tidak mungkin mampu memaaafkan diri sendiri.
“Memang aku setia menyintai pada yang tak sudi. Dan kau tak akan pernah tahu apa yang aku rasa kerana mata kau hanya memandang, Dy. Tapi, bahu aku yang memikul. Hati aku yang tercalar tapi kau silap. Kerana aku tak pernah menagih kasih Zikri menjadi milik aku. Aku tak pernah paksa Zikri terima aku sejak dari dulu. Dan aku tak akan memaksa dia buat selamanya kerana cinta yang Allah anugerahkan dalam diri kita ni, bukan satu paksaan, Dy. Kau kena ingat tu,” ujarku panjang lebar.
Memberi ingatan pada dia yang sebenarnya dialah yang menagih kasih Iwan menjadi miliknya hingga sanggup memutuskan segalanya dengan kami. Memaksa cinta yang mungkin bukan untukku itu menjadi miliknya. Kami berbeza. Berbeza segalanya kerana aku menyintai Zikri dengan harapan dia bahagia. Bukan untuk lihat dia menjadi milikku.
Bibir Dyla bergetar bagaikan hendak menyatakan sesuatu namun kelu tidak terluah. Bila aku lebarkan senyum, dia merenungku tajam.
“Moga segala kedukaan hidup di dunia ini menjadi milik kau selamanya, Shadiqah. Ini doa aku pada kau bermula saat ini!” tekannya keras lantas dia menarik tombol pintu dan berlalu pergi.
Berdentum pintu dihempaskan. Mujur juga penghuni ramai yang tiada waktu ini andai tidak, pastilah tertangkap oleh mereka akan keretakan hubunganku dengan Dyla dan aku, terduduk menangisi nasibku. Terus memaksa diri menerima doa Dyla buatku.
Seketika itu, aku menerima panggilan daripada mak. Aku lap airmata dan terus menjawab panggilan mak.
“Ya, mak,” sapaku pantas setelah aku pastikan suaraku tenang dan teratur.
“Mak dah cakap dekat keluarga Pak Zul tentang keputusan Iqa,” beritahu mak tanpa sempat aku bertanya apa-apa.
“Maafkan Iqa, mak,” ucapku penuh rasa bersalah kerana menentang kehendak mereka. Mengecewakan empat hati yang penuh berharap.
“Mak harap kita semua dapat terima keputusan ni!” ujar mak membuatkan aku tertanya sendiri apakah yang telah diputuskan.
~~~> bersambung
boleh bagi sikit cadangan untuk part seterusnya..hehe..kadang2 penulis jugak lost

best..hrp2 iqa jmpa lelaki lain yg lbh baik..jgnlah buat iqa jd kawin dgn ziki ea...bce cte ni mcm ziki 2 x lyk buat iqa..lps tu biar iqa bahagia kawin dgn lelaki yg lbh baik...blh x penulis??? hehehehe.....
ReplyDeleteplot cite ni agak mendatar .. jalan crita dah best tapi lambat sangat nak tunggu apa yang berlaku seterusnya.. asyik dgn kekecewaan hati shaq saja.. intro nya terlalu panjang.. tapi overall olahan, bahasa sume best..
ReplyDelete-rhn-
alahai kesiannya shaq and zikri ni apa kes ? dah ada ann but suruh shaq jangan kawan dengan lelaki lain ! geram sangat ! and shaq please cuba lupakan zikri dan cari orang lain and cuba baikkan hubungan dengan dyla sebab kawan lebih penting daripada cinta :) Btw,harap kak rehan boleh buat watak shaq lebih tegas jangan mudah kesian or simpati dekat zikri kalau dia buat silap..Anyways kak rehan,suka cerita ni ! :)
ReplyDelete~A~
cite nie mmg sedih mcm TK yea? erm...nak menangis la. sedih pulak jadi perempuan 2. sanggup bkorban demi kawan tapi telah disalahertikan. adesss...
ReplyDeletecite dah ok tapi simpati la ngan watak utama. asyik kene duga je. hehehe
ape pun gud luck tuk penuilis. keep it up....
Setuju dgn RHN .
ReplyDeleteRM...
ReplyDeletejgn bagi shaq sedih2 lagi...ketemukan dia ngan org yg shaq syg...bukakan hati shaq...sedih tgk keaddan shaq..sanggup makan hatti
kesian shaq..bila Dy nak insaf ni...kerana cinta persahabatan musnah..
ReplyDeleteMama Izz
bagi la shaq lupakan zikri...n bercinta n sayang dengan orang lain...
ReplyDeletebagi la kawan dyla cepat sedar.. atas kebodohannya berharap pada orang yang tidak sudi pada cintanya..dan berkawan kembali dengan shaq.
cepat la but zikri...bersedih pula sukan shaq tapi shaq dah ada orang lain...
Assalamualaikum kak Rehan.. tergerak nk komen.. selama ni silent reader je.. ni just cadangan.. shaq tak dapat nak terima pinangan keluarga zikri sebab dia dah pun ditawarkan untuk sambung belajar kat luar negara. Bagi mencari kekuatan dengan masalah yg datang, shaq terima tawaran tersebut and pergi jauh dari hidup Zikri, Iwan dan Dyla. sepanjang tempoh Shaq kat luar negara tu, barulah zikri rasa kehilangan Shaq walaupun dia dah mengikat tali pertunangan dengan Ann. Walaupun kekasih hati ada disisi, tapi dia rasa tak lengkap hidup tanpa Shaq. Kat sini, berlakulah kekeliruan perasaan Zikri, betul ke dia cintakan Ann. ape pun cerita ni dah best. tahniah kak Rehan.
ReplyDeletewaaa tenkiu sume sudi komen n bagi cadangan..pada rhn, A, anony sume..kak ani..peminat RM n Iman..k rehan hargai..mmg lost sbb lama giler tinggal cite neh utk TK..so TK dh siap cite ni plk..hehe..
ReplyDeleteade benarnya komen mgkin cite ni mendatar je..pnjg intro..sy pon rs gitu..cadangan n pendapat ni akan sy pakai pada next bab ek..syg anda semua..n thanks utk terus menyokong cite neh..
RM!! betul kata iman, biarla shaq bljr kt luar negara..nnt die jmpe lelaki lain yg lg baik kt luar negara tu..
ReplyDeleteSalam RM, Shaq deserves someone better, more matured and a gentleman. Idea Iman yang Shaq pergi sambung study kat oversea tu okay jugak, there she meets a new guy.. Ziki's too shallow and selfish to be a hero unless after Shaq leaves him, he realises his mistakes and change.. tapi tak mau la Shaq senang2 terima Ziki yg dah kecewakan Shaq dgn teruknya huhuhu..<3
ReplyDelete