BAB 14
AKU garu kepala yang diselaputi tudung.. Sudah seminggu berlalu setelah mak khabarkan peristiwa itu padaku. Namun, aku masih tidak dapat mencernanya dengan baik. Ditambah pula dengan kesibukan yang semakin melampau angkara Zikri yang lepas tangan.
Ya Allah, bantulah aku. Doaku di dalam hati. Aku kentalkan semangat, kuatkan jiwa tabahkan hati. Kali terakhir aku berjumpa dengan Zikri adalah dua hari sudah sewaktu kami membuat pembentangan artifak sebuah masjid yang akan aku dirikan daripada polisterina tanpa bantuan Zikri biarpun sedikit.
Rasanya perkara itu masih belum sampai ke telinga Zikri kerana sikapnya biasa saja. Bagaikan tiada apa-apa yang berlaku. Jadi, aku masih punyai masa untuk memperbetulkan keadaan ini sebelum semuanya menjadi tunggang langgang.
Selepas aku keluar daripada kampus ini, aku akan memulakan hidup baru bersama teman-teman baru. Biarpun tiada Iwan, Dyla dan mungkin juga Zikri, Allah ada bersamaku. Cukuplah Dia, kerana Dia adalah sebaik-baik pelindung.
Jam menunjukkan hampir ke pukul 1.00 tengah hari. Lagi sejam setengah, aku akan menduduki peperiksaan kertas pertama. Melalui cuti minggu belajar yang menyesakkan nafas benar-benar membuatkan semakin kuat hendak melangkah. Aku perlu senyum kerana takdir hidupku masih terlalu jauh.
Jam 1.15 tengah hari. Azan Zohor berkumandang dan aku terus menunaikan fardhu Zohor. Memanjatkan doa sepenuh rendah diri dan kesyukuran serta bermohon ketenangan jiwa dan terangnya hati untuk menjawab kertas pertama nanti. Tidak mahu bayangan Zikri menghimpit mindaku waktu ini.
Kaki ini aku atur kemas bersama doa yang tidak putus terbit dari celah bibir. Tatkala aku sedang mengunci pintu, aku ternampak kelibat Dyla sedang menuruni anak tangga dengan Nia. Pantas aku menuruni anak tangga kerana kehendak diri ini sukar ditolak. Aku perlukan kemaafan daripada dia dan aku mahu dia tahu, aku telah lama memaafkannya.
“Betul ke Kak Shaq tu rampas Abang Iwan lepas Abang Zikri tolak dia, Kak Dy?”
Langkah pantasku semakin perlahan bila aku terdengar soalan itu dari celah bibir Nia tanpa ku sangka yang berita ini telah Dyla khabarkan pada Nia.
“Memang pun. Dasar perempuan jahat. Tak boleh nak tengok orang lain bahagia.” Pegun langkahku seketika mendengarkan suara Dyla menjawab.
Aku tahu, jenuh Iwan menasihati dia namun ternyata dia terlalu sukar dipujuk. Rasanya pembentangan dua hari sudah, dia juga sama seperti Zikri. Menyerahkan bulat-bulat pada Iwan menyiapkannya. Aku tahu Iwan kecewa dengan perubahan Dyla tapi aku lebih-lebih lagi kecewa.
“Eii, patutlah masa Nia minta dia kenalkan Nia dengan Abang Zikri dulu, dia banyak dalih. Tak sangka dia busuk hati macam tu. sudahnya padan muka, dua-dua dia terlepas,” ujar Nia lagi.
Aku telan liur berkali-kali. Peritnya tekak. Rasa terbang segala semangat yang baru aku kumpul ini.
“Memang padan muka dia terlepas dua-dua. Benci sebut nama dia. Tak naklah sebut lagi,” balas Dyla keras dan tegas. Aku dengar Nia ketawa halus.
Kau sedang memfitnah aku, Dy. Kau sedang adakan cerita. Mengiyakan segala cerita yang direka itu. Aku tidak mengejar Zikri, aku juga tidak pernah mengejar Iwan malah berlaku sebaliknya. Zikri pergi kerana dari awal dia bukan milik aku, Dy. Kau sedang fitnah aku. Rintih hatiku pedih dan tanpa ku sedar, setitis airmataku gugur jua.
Langkah kaki longlai tiba-tiba namun kala ini, aku ternampak wajah mak dan ayah yang sedang tersenyum. Berharap aku kembali dengan kejayaan dan aku terus melangkah laju. Airmata ini aku seka rakus. Tak mungkin ada lagi airmata selepas ini. Itu aku pasti. Tak mungkin dan tak akan!
***
SELESAI menduduki kertas pertama, Zikri mendekat padaku tatkala aku bersama Iwan. Berbual kosong bagi mengurangkan tekanan peperiksaan.
“Boleh ganggu?” tanya dia sinis.
Iwan angkat bahu. “Boleh je. Sembang kosong.”
Aku tersenyum tawar bila melihatkan jelingan Dyla dan beberapa pelajar lain. Rasanya, Dyla telah menghebohkan segalanya tentang kisah aku dan Zikri serta Iwan dan pastinya yang buruknya adalah aku.
“Rancak sembang, Shaq?” tanya Zikri padaku pula.
“Macam yang Iwan cakap, sembang kosong,” jawabku tanpa minat.
“Wan, aku cakap dengan Shaq kejap, boleh?” Zikri angkat kening pada Iwan dan Iwan memandang ke arahku.
“Err, cakap jelah, Ziki. Tak ada apa yang nak dirahsiakan kot dari Iwan. Dia kan kawan kita jugak,” selaku geram.
Begitulah dia, sesuka hati saja meminta Iwan pergi sedangkan dia tidak pernah sedar, yang aku telah dipulaukan sejak perisitiwa dia mengoyakkan lukisan itu dulu. Hanya Iwan yang sudi menemani biarpun sesekali aku mengelak tidak mahu menyusahkan dia.
Zikri memandangku dengan renungan yang tidak percaya; “Aku nak cakap dengan kau je,” ucap dia sedikit tegas.
“Errr, tak apalah, Shaq. Aku ke sana dulu. Good luck, second paper. Kau pun sama Ziki,” ujar Iwan lantas berlalu kea rah sekumpulan kawan yang lain.
“Kenapa?” tanyaku tenang.
“Kenapa kau nak elakkan aku sehari dua ni?” Dari nadanya aku tahu dia tidak berpuas hati.
“Siapa yang elakkan siapa ni?” tanyaku lembut.
“Siapa yang tak datang siapkan lukisan kerja tu? Siapa yang tak datang tolong aku buat artifak tu?”
Zikri gigit bibirnya. “Err, kau marah ke?”
Aku senyum dan menggeleng. “Tak ada sebab aku nak marah pada kau, Ziki. Aku ikhlas buat buat tu untuk kita dan rasanya tak ada apa-apa masalah, kan?”
“Aku minta maaf sebab biarkan kau siapkan semua tu sendiri.” Entah kali ke berapa Zikri menuturkan kata maaf dan aku juga sudah letih hendak menerimanya.
“Aku maafkan. Kita kan kawan baik. Tak ada apalah,” balasku dengan ceria yang dibuat-buat.
“Habis final ni, kita ada dinner, kan? Kau ikut tak?” tanya dia mengubah topik.
Aku menggeleng. “Tak kot. Aku nak balik cepat. Mak ayah aku suruh aku balik cepat.”
Sesungguhnya benar begitu. Aku perlu tiba di kampung lebih awal daripada Zikri. Aku perlu khabarkan dengan mulut sendiri tentang hal aku dan Zikri pada keluarganya. Aku tidak mahu semua itu terjadi.
“La, tak nak balik sama ke? Lagipun aku ada hal nak bincang dengan kau sikit.” Zikri tersenyum.
Aku membalas senyum itu seadanya kerana aku sudah tahu akan perancangannya hendak melamar Annesa. Aku tahu dia mahukan pertolonganku untuk memujuk kedua ibubapanya sedangkan dia tidak tahu yang aku perlu memujuk mereka terlebih dahulu agar tidak menjodohkan aku dan Zikri.
“Aku dah tahu. Kau nak minta aku tolong pujuk mak kau pergi pinang Ann, kan?” soalku dalam tawa kecil. Menyembunyikan kepedihan hati sendiri.
Zikri melopong. “Eh mana kau tahu?” Dia sengih kemudiannya.
“Kau salah hantar SMS hari tu. Masuk ke telefon bimbit aku.”
“Waa, baru nak buat surprise untuk kau, Shaq. Dah tak jadi surprise.” Dia ketawa kecil tapi aku menahan nafas seketika.
Aku sudah terlalu terkejut, Ziki. Sudah cukup aku terkejut dengan semua tindakan kau sejak kau kenali Annesa. Sudah cukup dan tak mungkin aku mampu menerima kejutan lagi kerana aku bimbang, aku tidak mampu lagi melihat wajahmu dan jauh sekali memayungimu, keluh hatiku lirih.
“Tolong, ya?” pinta dia merayu dan aku hanya diam mengulum senyum.
“Sayang kau, Shaq,” ucapnya dan tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Bibir itu tersenyum bila melihat pada skrin dan sudah dapat ku agar bila dia menjauh.
“Okey ke?” Suara Iwan membawa aku memandangnya yang beriak cuak.
Aku senyum. “Okey je tapi tak berapa okey bila semua orang dok jeling aku,” selorohku. Semakin kalut wajah Iwan.
“Aku pun dah tak tahu nak cakap apa dekat Dyla tu, Shaq. Payah sungguh nak faham. Kalau kau boleh lepaskan Zikri pergi dengan kebahagiaan dia, kenapa dia tak boleh nak lepaskan aku dengan kebahagiaan aku?” Dia menggeleng kesal.
“Wan, kau tak boleh nak duga seseorang tu macam mana. Cara penerimaan orang ni lain-lain, Wan. Apatah lagi perkara yang berkaitan dengan cinta ni. Manusia mudah tewas tapi aku bangga bila aku, kau tak mudah tewas, kan?” pujiku pada dia.
“Aku sama macam kau, Shaq. Cintakan kau untuk melihat kau bahagia. Sebab aku aku biarkan kau sendiri andai ini yang buatkan kau bahagia,” ucap Iwan tenang.
Aku hela nafas lega. Dia sememangnya baik padaku namun sayang, perasaanku bukan untuknya biarpun aku terus mencuba. Mungkin hari ini tidak, tapi satu hari tiada siapa yang tahu.
“Semoga berjaya, Wan,” ucapku mematikan tajuk tadi.
Dia mengedipkan matanya sekali. “Kau pun. Moga berjaya dapat keputusan cemerlang.”
“Shaq, aku nak kau datang tau farewell tu nanti. Aku ada sesuatu untuk kau.” Entah dari mana datangnya, Zikri terus menyampuk perbualanku dan Iwan.
Aku tarik muka dan Iwan juga sama. Adakah pada matanya, aku ini hanyalah seekor lembu yang telah dicucuk hidung dan sewenangnya dia hendak menarik dan menolak aku begitu saja?
“Eh, malaslah aku, Ziki. Kan aku dah cakap tadi aku ada hal nak balik cepat. Mak aku suruh aku balik cepat!” tekanku sedikit berharap agar Zikri tidak terus memaksa.
“Ala, kali ini je. Lepas ni belum tentu kita nak jumpa mereka semua ni lagi, kan Wan?” Zikri jungkit kening pada Iwan. Nadanya bagaikan menyindir.
“Emm, tengoklah. Tapi, aku tak janji,” ujarku lagi lantas berlalu ke kelas kerana peperiksaan akan bermula sekejap saja lagi.
Malas hendak bertekak dengan Zikri. Bimbang aku tertewas oleh pujukannya. Cara yang terbaik adalah melarikan diri. Duduk dan bersedia menghadapi peperiksaan dengan penuh ketenangan.
Sedang aku menghadap buku nota, ada susuk tubuh tegap berdiri di hadapanku dengan berpeluk tubuh. Bila aku panggung kepala, wajah Dyla tersenyum sinis.
“Kau tak tahu, Shaq? Kau layan dua-dua jantan sekali gus, membuatkan kau nampak terlalu murah,” herdik dia perlahan.
Terpana aku mendengarnya. Sampai ke tahap ini dia berubah. Tiga tahun benar-benar tidak mampu membuatkan dia mengenaliku sedalamnya. Terlalu cetak persabahatan kami selama ini.
Aku beristighfar panjang. “Jangan menuduh, Dy. Aku takut satu hari nanti kau tak daya nak memikul beban akibat fitnah kau ni.” Aku memberi amaran dengan suara yang lembut.
Dia mencebik. “Aku risau kau tu yang dihimpit rasa bersalah sebab tikam aku dari belakang. Aku doakan kau sentiasa masalah, Shaq!” tekan dia lagi dengan mulut yang terjuih-juih.
Aku angkat tubuh dan Dyla menapak ke belakang. Aku tahu dia takut andai telapak tanganku singgah lagi ke pipinya.
“Dan aku mendoakan moga kau sentiasa bahagia dan berjaya dalam peperiksaan ini, Dalyla,” balasku pula dan aku hadiahkan dia sekuntum senyum.
Belum sempat dia membalas, pelajar yang lain juga mula masuk ke dewan bila pengawas peperiksaan tiba untuk kertas kedua untuk hari ini membawa Dyla jauh dariku. Jauh sesungguhnya jauh.
***
BUKU-BUKU itu aku susun dengan teratur di dalam sebuah kotak. Tidaklah terlalu banyak kerana aku telah berikan kepada adik-adik junior apa yang boleh mereka gunakan. Banyak juga aku berikan pada mereka buku-buku rujukan yang agak mahal. Yang tinggal hanyalah notaku sahaja. Nota yang akan menjadi rujukan sampai aku bekerja nanti.
Bibirku menguntum senyum sendiri. Lega bila peperiksaan akhir telah tamat dan aku telah mampu menjawabnya setelah lelah berusaha. Malam ini, merupakan malam pertemuan terakhir kami, pelajar-pelajar tahun akhir jurusan senibina.
Bila Iwan memujuk, aku terpaksa bersetuju. Wajah penuh merayu dan berharap itu benar-benar mengusik hatiku.
Biarlah ini menjadi pertemuan terakhir kami. Perpisahan yang kami muktamadkan dengan titik hitam.
Baju kurung moden yang sudah sedia tergantung itu, aku pandang lama. Satu-satunya baju pemberian mak yang tidak pernah aku pakai. Agak bergaya dan seksi kerana potongan yang mengikut bentuk tubuh itu. Agak malu hendak menggayakannya tapi bila difikirkan, apa salahnya. Ini adalah malam untuk kami biarpun aku jelas tersisih.
Kotak pemberian Zikri itu aku renung lama. Sejak dia memberikan kotak itu padaku, aku tidak pernah berniat hendak membukanya.
“Ambillah, Shaq,” pujuk Zikri padaku setelah kami selesaikan kertas akhir.
“Apa ni? Aku tak naklah,” tolakku sopan.
Zikri menarik tanganku lalu dia meletakkan kotak itu di atas kedua belah telapak tanganku.
“Ini yang aku cakap nak bagi pada kau tu. Aku harap kau suka,” pujuk dia lagi.
Semakin aku menolak, semakin dia mendesak. Malas hendak berpanjangan, aku ambil kotak hadiah pemberiannya itu, lalu aku kelek pulang ke asrama.
“Emm, bukak jelah. Dah orang bagi. Nak buang buat apa?” ujarku setelah menghalau suara pujukan Zikri pergi.
Kertas pembalut yang cantik berhias itu aku koyak perlahan-lahan. Aku cam kertas pembalut ini. Ya, aku cam. Ada debar pula hadir ke hati. Peristiwa di Megamall hari itu terbias di mindaku. Jangan-jangan?
Dan, bila aku buka kotaknya, ternyata telahanku benar. Segalanya benar dan ayat Zikri kala itu hadir menyapa. Bagaikan pita perakam yang diulang main berkali-kali.
“Berapa ramai awek yang kau nak dalam satu masa? Kata serius dengan Ann, ni dah beli dua pasang kasut.” Itulah ayat yang aku persoalkan buat Zikri tatkala melihat bungkusan ini hati itu.
“Yang ni special sikit dari Ann. Ann tu special dah. Tapi, dia tu lagi special,” dan inilah jawapan yang aku terima daripada dia kala itu.
Hampir saja airmataku menitis. “Apa maksud kau dengan semua ni, Ziki? Tak puas lagikah kau keliru dengan perasaan sendiri hinggakan kau dera perasaan aku sama?” tanyaku dengan perasaan sebak.
Namun, hendak menitiskan airmata tak mungkin sama sekali kerana aku tidak mungkin memungkiri janji pada diri sendiri. Aku angkat kasut bertali setinggi dua inci itu. Berkilau warna kuning keemasannya itu dan bila aku renung pakaianku untuk malam ini, ternyata sesuai. Aku senyum mengingatkan keadaan kami kala itu.
Bila dia meminta diri hendak membeli sesuatu, rupanya inilah dia. Bila aku tanya untuk siapa, rupanya akulah insan yang istimewa itu. Tapi senyumku tidak lama. Sebentar saja menghiasi bibir bila mengenangkan pesanan ringkas dan pengakuannya padaku beberapa hari lepas.
Malamnya, setelah menunaikan fardhu Maghrib, aku terus saja bersiap kerana bas akan tiba bila-bila masa saja hendak membawa kami keluar menikmati jamuan perpisahan kami dan pastinya pertemuan terakhir aku dengan Iwan dan Dyla.
Setelah siap, aku terus melangkah tenang ke bawah dan ternyata bas sudah menanti. Penumpang tidaklah terlalu ramai tapi hampir separuh bas juga. Ada yang senyum sinis, tak kurang juga yang membulatkan mata melihat penampilanku.
Jalanku juga agak pelik kerana cuba membiasakan diri dengan kasut bertali tinggi seperti ini buat pertama kalinya. Make-up tipis aku sapukan ke wajah. Cukuplah hanya bedak dan sedikit gincu serta pemerah pipi.
Bila aku mengintai kelibat Dyla, dia tiada di dalam bas. Aku mengeluh lantas mencari tempat duduk yang agak jauh ke belakang. Memencilkan diri kerana aku tahu, aku sedang diperhatikan.
Hampir 20 minit perjalanan, bas berhenti tepat di hadapan Riverview Hotel di bandar Kuantan. Semuanya teruja namun tidak padaku. Belum sempat aku turun, Iwan sudah sedia menanti di hadapan pintu bas.
Mata itu tidak berkelip memandangku. Bibir itu juga tiada dihiasi senyuman. Dia telan liur berkali-kali.
“Ya Allah, cantiknya kau, Shaq,” ucap dia teruja.
Aku gariskan senyuman tipis. “Tak adalah. Biasa je ni,” balasku pula.
“Andai kau benarkan aku menjadi seseorang yang halal buatmu, Shadiqah… aku memang mahu!” sambung dia tiba-tiba.
Tak jadi aku melangkah. Terkejut dengan kata-katanya yang sedikit lain ku rasakan.
“Kau ni dah kenapa pulak?” tanyaku bersama tawa kecil.
“Aku tak sangka, begini cantik kau rupanya,” akui dia lagi.
“Wan, cantik kat luar ni tak ada apa-apalah. Allah punya. Aku pinjam kejap je,” jawabku lalu aku menapak meninggalkan dia.
“Eh, ramainya hari ni. Macam dah berlebih ni budak-budak senibina ni.” Aku memanjangkan leher melihat kelibat tetamu yang ada. Memang ramai.
“Kalau kau nak tahu, kita semua dibenarkan membawa pasangan. Tak kiralah, lelaki ke perempuan. Tapi, sah-sahlah, yang perempuan bawa teman lelaki dan yang lelaki bawa teman wanita,” jawab Iwan tenang. Dia senyum bila aku menjeling ke arahnya.
Aku tidak tahu hendak menjawab apa kala ini. Mata ini hanya mahu mencari kelibat Zikri kerana aku yakin, dia akan membawa Annesa dan sungguh, dari kejauhan aku terlihat Zikri sedang berbual mesra dengan kekasihnya itu. Indahnya wajah Annesa kala itu dengan rambut yang disanggul tinggi. Cantiknya dia, puji hatiku tanpa sedar.
“Dengki dengan awek Zikri?” tebak Iwan.
Aku yang baru tersedar, pantas menggeleng. “Tak la. Cuma aku terfikir, apalah perasaan semua orang yang gilakan
Ziki tu bila Ziki bawa Ann sama malam ni.” Aku ketawa.
“Dan perasaan kau?”
“Perasaan aku milik akulah. Tak ada apa-apa pun,” jawabku mengelak. Kami sama-sama melangkah bila Iwan hanya diam mengulum senyum
Aku juga memaksa diriku tersenyum bila mataku dan Zikri bertembung pandang. Pada Annesa juga aku ukir senyum seikhlas mungkin.
Bila majlis bermula, Annesa mendekati tatkala Zikri sibuk membuat persembahan akustiknya di pentas. Ramai yang melayan suara Zikri. Aku juga sudah lama tidak mendengar suara itu menyanyi.
“Cantik kasut?” tegur satu suara dan bila aku berpaling ternyata Annesa ada di sisiku. Melabuhkan duduk di atas kerusi yang kosong kerana aku memang duduk sendiri sejak daripada tadi.
“Err, terima kasih,” balasku tanpa tahu apa yang harus aku katakan.
“Seperti yang aku rasa, memang kasut ini yang ada dalam bungkusan hari tu. Aku yakin memang sepasang kasut cumanya aku tak sangka kaulah orang yang Zack hadiahkan kasut ni,” luah Annesa telus.
Aku telan liur. “Err, saya tak tahu menahu yang Zikri nak hadiahkan saya kasut ni.”
“Memang kau tak tahu sebab kau sentiasa berharap pada dia, kan?” tebaknya lagi.
“Apa maksud awak?”
Annesa ketawa kecil. “Jangan buat tak tahu, Shaq. Mana ada perempuan dan lelaki boleh berkawan baik melainkan salah seorang tu ada perasaan pada seorang lagi dan dalam masalah ini, kau ada perasaan pada Zack sedangkan Zack tak,” tekan dia tegas.
Aku memandang mata tajam Annesa dengan lidah kelu. Benar seperti yang ku sangka, dia tahu akan perasaanku pada Zikri selama ni.
“Maafkan saya, Annesa. Memang saya akui saya sukakan dia, tapi suka sebagai teman saja. Tak lebih dari itu,” dalihku.
Tawa Annesa semakin galak. “Kau tak boleh nak tipu aku Shaq. Hal-hal cintan cintun ni, aku lebih hebat dari orang lain,” ujarnya bangga.
“Tapi, aku tak harap kau terus berharap pada Zack sebab kami akan bertunang dalam masa terdekat ni dan aku percaya, Zack dah beritahu kau, kan?”
Lambat-lambat aku angguk menerima kata-kata Annesa. Rasanya, aku sudah tidak mampu berada di sini lagi.
“Aku rasa kau tak layak nak pakai kasut tu. tak sesuai dengan kau!” tekan dia lagi sambil menilik ke arah kakiku.
Gelas di tangan aku letak di atas meja. Kaki aku angkat sedikit dan membuka kasut yang tersarung lalu aku tanggalkan keduanya lalu aku angkat dan aku letakkan di atas meja. Tepat di hadapan wajah Annesa.
“Kembalikan pada Zikri. Rasanya dia tersalah. Kasut ini bukan untuk saya tapi untuk awak. Maaf sebab dah terpakai,” ucapku dan aku angkat tubuh lantas berlalu dengan kaki yang tidak beralas mencari teksi untuk pulang.
Pedih hatiku. Malam yang aku harapkan berlalu dengan baik, ternyata bukan juga rezeki buatku.
Hubungan kami tamat di sini. Tanpa ucapan selamat tinggal tiada juga doa yang dijanjikan. Aku tinggalkan Iwan dan Dyla begitu saja. Teman-teman lain juga. Membawa diri dengan niat hendak membuka lembaran baru setelah aku berjaya memutuskan pertunangan aku dan Zikri yang telah ibubapa kami patrikan pada hari mak menelefonku hampir dua minggu yang lalu dan aku pasti Zikri masih tidak mengetahui.
~~> bersambung...intermission (tetiba) huhu..segala idea dan pendapat anda di dalam bab 13 akan sy ambil n olah dgn baik. terima kasih membantu setelah lama sy biarkan novel ini tanpa update

best-2! suka dngn dorang berdua.. betullah, x de dua org laki dan permpuan dpt berkawan.. ada kut tpi susah sngt sbb mcm yg syud dlm novel teja aulia, salah sorng pasti tergelincir~ hehe
ReplyDeletewah...shaq..x sgka mcmtu skali...cool gler..bukak kasut time tu jgk..perghh..best aa..
ReplyDeletesy baru je abih bace bab 13.. tetiba dah kuar entry baru.. best2..
ReplyDeleteweyhh... aku nak n3 terlerai kasih.. plizzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzz
ReplyDeleteaduhai...sowi guys..TK tu mmg kena stop sebab dah hantar ke kakinovel..huhu..harap sabar sikit je lg ek..maaf sangat - rm
ReplyDeletebest2!! nk kene zik ni...best kak RM..tp kn nk mtk la kak RM edit ckit..xnk bunga2 nmpk bebalam2 mata bile bace pastu bole x akak buat space btween prgraph? heheee...best cite ni tp juling gak mase membace..tq!! ;)
ReplyDeletebest la.. lepas ni buat shaq tak layan.. zikri.
ReplyDeleteharap shaq dpt menerima perpisahan dengan zikri dengan tabah....jangan lembut hati sangat...
biar la shaq dapat peneman hidup yang menyanyangi n mencintai shaq..
kesian shaq sepatutnya happy malam tu but sedih jugak :( Anyways,yes ! shaq bawak diri..biar zikri tahu siapa dalam hati dia and harap dyla tahu cerita yang sebenarnya :) Harap shaq akan berubah menjadi shaq yang lebih baik :)
ReplyDelete~A~
bestnye Rehan....sedih n3 ni, kasian kat Shaq...
ReplyDeletebagus Shaq buat mcm tu, padan muka Anessa tu..tapi Zikri tu, yg. mana satu dia nak, hiskkkk tamaknya dia....
Eloklah Shaq jauhkan diri dari Zikri, biarkan masa dan takdir menentukan.....
betul tu, Shaq kena tabah, biar saja masa dan
ReplyDeletetakdir menentukan segala-galanya dn hidup
harus diteruskan, jgn toleh lagi ke belakang.
makin bes cita ni. Selalulah up date kat blog RM. Saya rasa semua orh ternanti2 cita ni..
ReplyDeleteaduhhh...sedihnya...shaq terluka lg..
ReplyDeletecepat sambung yer RM
mama Izz