Geng

Tuesday, January 03, 2012

Sini, aku payungkan kau! 15

BAB 15

AKU buka mata yang terlelap bila ada suara yang mengejutkanku. Bila aku angkat kelopak mata luas-luas, wajah mak tersenyum mesra.

“Bangun, Iqa. Pak Zul dengan Mak Nab datang,” beritahu mak.

Aku pandang sekeliling rumah. Memang aku di dalam bilikku, di rumah mak dan ayah, di Kampung Bukit Indah dan bukannya lagi di Kuantan. Sudah tiba semalam setelah melalui makan malam perpisahan dua hari sudah. Membawa pulang kenangan pahit dalam hidupku namun terpaksa aku telannya jua kerana tidak mampu meluahkannya. Aku angkat tubuh bersandar pada kepala katil.

“Kenapa mereka datang? Iqa letih la mak.”

Baru saja hendak rebahkan kembali tubuh ke katil, mak menarik tanganku memaksa aku bangun.

“Bangunlah, Iqa. Bakal mertua datang tu nak jumpa, dia boleh pulak nak tidur. Pak Zul dengan Mak Nab tu datang nak melawat kamu. Bangunlah, Iqa,” pujuk mak lembut.

Aku hanya membatukan diri. Bukan tidak sudi tapi tubuhku benar-benar kepenatan. Setelah tiga tahun bertungkus lumus memerah keringat dan minda, rasanya inilah kali pertama aku mahu melepaskan tekanan yang ada tapi ada pula tetamu.

“Nantilah Iqa keluar. Iqa memang penat ni,” dalihku lagi.

Mak bercekak pinggang. “Kamu jangan nak mengada, Shadiqah. Tu mak ayah bakal suami kamu. Jangan buat perangai tak senonoh macam ni. Mereka dah tunggu kat luat tu. Pakai tudung, keluar cepat,” arah mak tegas lalu dia melangkah ke pintu.

Aku melepaskan keluhan berat. Pasti ada yang ingin ditanya dan aku pula pasti terpaksa menjawabnya. Tidak mahu membantah kata-kata mak dan menjadi anak derhaka, aku akhirnya bangkit dan menuju ke bilik air dengan malas.

“Kat sana, anak kacau. Balik rumah, mak bapak dia pulak kacau,” rungutku sambil membasuh muka.

Mujur sahaja sudah membersihkan diri sebelum Subuh tadi. Jadi senang untuk aku bersiap. Baju ini sudah sesuai. Sudah sopan dan menutup aurat. Selendang berwarna biru lembut itu aku capai dan aku lilit ke kepala.

“Lambat lagi ke, Iqa?” Pertanyaan Kak Shadirah di muka pintu membuatkan aku cepat-cepat mengemaskan selendang.

“Dah siap ni,” jawabku lantas berlalu ke arahnya.

Kak Shadirah tersenyum dan aku membalas senyumannya itu antara hendak dan tidak. Penat tersenyum dalam kepalsuan.
Bila aku tiba di ruang tamu, Pak Zul dan Mak Nab berdiri menghulurkan salam. Baru saja hendak tunduh mengucup jemari Mak Nab, ibu Zikri, dia terlebih dahulu meraih aku ke dalam pelukannya.

“Bakal menantu, mak,” bisik dia dan aku mendengarkan tanpa perasaan.

“Sihat, Mak Nab, Pak Zul?” tanyaku ramah seraya melabuhkan duduk di sisi mak..

Mereka merenungku tidak berkelip. Lebih-lebih lagi Mak Nab. Bagaikan tidak pernah berjumpa bertahun lamanya.

“Makin cantik Iqa ni, Mak Nab tengok,” ujar dia lalu dia kerling suaminya di sisi. Aku gariskan senyuman.

Senang hati sebenarnya dapat melihat senyuman yang mereka di bibir ibu bapa kami serta Kak Shadirah. Tapi, entah berapa lama senyuman itu mampu tersungging di bibir mereka jika aku khabarkan kebenaran ini.

“Biasa je, Mak Nab. Dah makin hitam ni ha, asyik berjalan ke sana ke mari pergi kuliah,” balasku lembut.

“Mana ada hitam. Pak Zul tengok makin cerah. Tapi kurus sikit. Itu semua tak jadi hal. Janji kamu pandai jaga diri, aurat, adab sopan,” tokok ayah Zikri pula.

Aku tersenyum malu bila dipuji begitu. Rasanya tidak layak untuk itu semua. Masih terlalu banyak kekurangan di dalam diri ini. Mungkin kerana itu juga, Zikri tidak pernah melihat aku lebih daripada seorang sahabat. Tidak pernah nampak akan kasih yang aku sirami untuknya. Tidak pernah terbias oleh cinta yang aku sediakan untuk membalut hatinya.

Mak senyum padaku. Kakakku jua. Ayah juga sama. Lebar sengihan mereka. Siapa yang tidak bangga bila anak dipuji dan aku yakin keluargaku juga begitu sedangkan mereka tidak tahu, pujian itu langsung tidak berbekas di hatiku. Langsung tidak mampu mengubah pendirianku hendak memutuskan tali pertunangan ini.

“Iqa sayang mak dengan ayah. Sebab tu Iqa ingat pesan mak dan ayah selama duduk jauh ni. Mungkin Iqa jarang balik, tapi nasihat mak sentiasa ada bersama Iqa.” Aku pandang mak sekilas.

Telapak tangan mak singgah ke bahuku. Mengusap lembut bagaikan berharap sesuatu pula. Aku dapat rasakan yang mak sudah bisa menelah apa yang ada di dalam benakku. Renungannya lain macam Mungkin ada kemesraan seperti biasa namun lebih kepada renungan amaran.

“Alhamdulillah. Memang tepat kami buat pilihan untuk budak bujang tunggal kami tu,” ucap Mak Nab lagi disambut dengan anggukan suaminya.

“Ni, semalam Ziki telefon, dia kata dia lambat sikit. Hari ni kot baru sampai. Kenapa dia tak balik sama dengan Iqa?”
Persoalan Mak Nab aku tidak terus jawab. Akal ini ligat mencerna jawapan yang mampu membuatkan mereka berpuas hati. Tidak pernah begini. Inilah pertama kali kami pulang berasingan.

“Ziki kata nak lepak dengan kawan-kawan dia dulu. Kata dia, nanti belum tentu ada peluang lagi,” ujarku menyatakan kebenaran yang sedikit terselindung kerana dalam teman-teman itu, sudah pastilah terselit nama Annesa.

Pak Zul dan Mak Nab terus merenungku. Senyuman mereka sedikit sumbing bagaikan tidak mampu menerima kenyataan yang aku ucapkan tadi. Mungkin inilah yang dikata, usah menipu andai tidak pernah menipu. Akhirnya, pasti tertangkap dan sebelum mereka membuka mulut bertanya tentang hal lain yang tidak mampu aku jawab, aku berniat hendak berlalu.

Aku lemas direnung begini. Tidak mampu tewas oleh wajah tua mereka dalam mempertahankan kehendakku. Tubuh ini aku angkat dan terus meminta diri dan belum sempat aku berlalu, mak menyambar tanganku.

“Iqa nak ke mana?” tanya dia cuak.

Aku gariskan senyuman. “Iqa tak lari, mak. Iqa ke dapur buat air dulu.”

Mak hela nafas lega. Aku pasti mak telah tahu sesuatu telah berlaku antara aku dan Zikri tapi dia masih mahu menerima pinangan itu.

Kak Shadirah mengikut langkahku. Kakakku yang hanya beza setahun sahaja. Menanti masa dinikahkan dengan pilihan mak juga selepas dia tidak berjaya dalam SPMnya dulu. Kami rapat bagaikan kembar. Hanya pada dia tempat aku mengadu tapi hari ni, aku tahu dia sudah tidak mampu menolongku kerana dia juga anak yang mengikut kehendak ibu bapa.

“Iqa dah cakap dengan mak?” tanya dia sewaktu aku mengacau air.

“Cakap apa?”

“Pasal hal Zikri dan ada teman wanita tu,” jawab dia. Aku menggeleng.

“La, kakak dah cakap pada mak tapi mak tak percaya. Sebab tu kakak cakap lebih baik Iqa balik cakap sendiri tapi tak cakap pulak. Tengok-tengok, mak dah tunangkan Iqa dengan Zikri. Macam mana ni?” tanya dia bimbang.

Bibirku tersenyum tipis. Cawan yang ada di atas rak, aku capai dan aku susun di atas dulang dengan cermat manakalah Kak Shadirah pula mengeluarkan biskut daripada balang kaca.

“Kakak bukan tak tahu mak. Sekali dia kata putih, putih. Tak ada apa lagi yang Iqa nak katakana. Kalau mak tak percaya Iqa tak boleh nak buat apa tapi Iqa yakin, petang nanti bila Zikri tahu semua ni, dia akan membantah dan masa itulah Iqa akan lepaskan diri Iqa dari cincin ni!” Aku angkat jari manisku di hadapan Kak Shadirah.

Menunjukkan dua bentuk cincin yang mak paksa aku sarungkan ke jari malam tadi. Cincin yang aku yakin tidak akan mampu mengikat aku pergi sikit masa lagi. Kak Shadirah mengeluh berat.

“Cantik sangat ke teman wanita Zikri tu sampai dia tak pernah nampak yang Iqa sukakan dia?”

“Cantik ke tak, itu terserah pada yang memandang kak. Dan Zikri memandang Iqa hanya sebagai kawan dan Iqa hormat perasaan dia tu. Dia tak pernah katakan yang dia suka Iqa jadi dia tak salah dalam hal ni. Mungkin ada masa-masa dia buat Iqa rasa dia cintakan Iqa tapi dia tak pernah silap. Jadi, Iqa tak mungkin teruskan hubungan ni sebab mak dan ayah dan terus hidup dalam kesilapan bersama dengan Zikri,” tekadku.

“Kakak takut mak akan terus paksa Iqa?”

Jemari Kak Shadirah aku raih lalu aku usap perlahan. “Jangan risau, kak. Percayakan takdir dan jodoh. Zikri bukan jodoh Iqa dan Iqa yakin, bila Zikri menolak, mak dan ayah tak boleh nak buat apa,” tekanku.

Kak Shadirah mengangguk lemah. “Mak niat nak nikahkan kita serentak. Tapi, entahlah. Kakak sendiri pun tak gembira sangat nak kahwin bila tahu Iqa tak bahagia macam ni.”

“Jangan macam tu, kak. Jodoh kakak dah elok dah. Lagipun, Iqa nak sambung belajar lagi. Dah mohon pun. Kalau dapat, tak sampai setengah tahun Iqa akan pergi belajar lagi,” akuiku tenang.

“Mak dah tahu pasal ni?”

Aku menggeleng. “Kalau kata mak tahu pun, Iqa yakin mak akan izinkan. Iqa kan pergi belajar. Bukan buat benda bukan-bukan!”
Dia senyum dan aku juga. Sudahnya kami sama-sama menatang dulang yang berisi air dan biskut itu ke atas.

“Aku ingat nak langsung je sebelum budak-budak ni sambung belajar lagi, Sai.” Itulah ayat pertama yang singgah di telingaku bila aku hidangkan air pada mereka. Ayat pertama mak Zikri kepada mak aku, Sairah.

Aku diam menelan liur sendiri yang terasa kelat. Bagaikan tumbuh sederetan duri di tekakku. Kesat dan pedihnya usah dicakap. Mata aku dan Kak Shadirah bertembung dan dia hanya mengedipkan matanya sekali memberi isyarat agar aku diamkan diri saja.

“Aku tak kisah, Nab. Kau tanyalah empunya diri sendiri dulu macam mana. Kalau dua-dua kata okey, kami memang tak ada masalah.” Mak menjeling ayah yang tersenyum. Perlahan-lahan ayah mengangguk.

“Iqa setuju ke?” Soalan Mak Nab beralih padaku. Aku tidak terus menjawab sebaliknya, aku suakan cawan yang berisi milo panas itu kepadanya dan juga Pak Zul serta mak dan ayahku.

“Macam mana Iqa, Mak Nab tanya tu?” ulang ayahku pula.

Aku tebarkan pandangan ke mereka semua. Hentak menolak kala ini rasanya mustahil. Pastilah ada yang berjuraian airmatanya.

“Iqa tak boleh bagi keputusan dulu sebab Iqa kena tunggu Zikri balik. Nanti kita dengar keputusan dia pulak. Baik pada dia, baiklah pada Iqa,” jawabku penuh makna.

Saat ini, hanya kakakku itu yang memahami maksud di sebalik kata-kataku itu. Mungkin juga mak tapi dia hanya senyum melayani berita gembira yang bakal bertukar duka sebentar saja lagi.

“Emm, kalau macam tu kita tunggu anak bujang kau baliklah dulu, ya Zul. Nanti barulah kita bincang tarikh dia. Aku yakin, Iqa tak ada masalah. Kan Iqa?” Ayah jungkit kening dan aku mengangguk lemah.

“Tak mengapalah, Qi. Petang ni budak Zikri tu sampai la kot. Aku tanya terus la petang ni. Moga-moga jadilah dia kita sekalikan dengan majlis Irah nanti,” sambung Pak Zul pula. Kak Shadirah tersenyum. Begitu juga aku.
***
AKU tahu mak sedang memerhatikanku yang sedang membasuh pinggan mangkuk setelah kami selesai menikmati makan malam tadi. Rasanya ayah ke rumah Pak Zul bila Pak Zul khabarkan kepulangan Zikri lewat petang tadi.

“Zikri dah balik,” beritahu mak padaku.

Aku berpaling dan memandang dia seketika sebelum kembali membasuh pinggan. Eleh, macamlah Si Ziki tu balik daripada luar Negara. Padahal daripada Kuantan tu je kot. Dan mak pula, macamlah aku tak berjumpa Ziki sudah berkurun sampaikan ketibaan Ziki pun dia nak maklumkan aku.

“Iqa baru jumpa dia hampir seminggu sudah mak. Sihat lagi kot masa tu,” selaku tanpa nada.

Mak mendengus. “Mak tak cakap yang Iqa tak pernah jumpa dia tapi mak nak kata putus dari Iqa ni. Macam mana? Betul ke yang kakak cakap tu?”

Aku membasuh tangan dan mengelap dengan kain setelah siap membasuh pinggan terakhir. Wajah mak aku pandang.

“Mak memang tahu, kan? Dah memang itu hakikatnya dan Iqa kenal siapa wanita tu. Tapi, kenapa mak masih nak terima pinangan ini untuk Iqa?” Aku kecewa dengan mak sebenarnya.

Kata-kataku dan kata-kata Kak Shadirah langsung tidak berbekas di hatinya dan setelah cincin ini dipaksa tersarung ke jari manisku, dia mula mempersoalkan perkara ini.

“Mak percaya yang Iqa cakap dekat Kak Ira tapi masa tu mak tak boleh nak tolak bila Nab bersungguh-sungguh benar nak jodohkan Iqa dengan Zikri. Lagipun, Kak Irah cakap Iqa tak ada sesiapa lagi. Iqa juga mengaku, kan?”

Aku mengeluh. “Mak….,” seruku lemah. Memang lemah segala sendi ini hendak menerima kata-kata mak kali ini.

“Memang Iqa tak ada sesiapa dalam hidup Iqa setakat ni tapi itu tak bermakna mak boleh jodohkan Iqa dengan Zikri, mak. Iqa tak membantah tak bermakna Iqa setuju. Zikri tu tak mahukan Iqa, mak. Dia dah ada pilihan hati sendiri. Bila jadi macam ni, Iqa yakin Zikri akan putuskan pertunangan kami. Ini dia tak tahu lagi. Kejap lagi dia tahu, Iqa yakin dia akan marah Iqa, mak,” terangku pada mak agar dia memahami apa yang cuba aku sampaikan ini sedalam-dalamnya.

“Tapi, Iqa cintakan dia, kan? Mak yakin sebab tu mak tunaikan janji mak pada keluarga Nab nak jodohkan kamu berdua!”
Aduhai. Ya Tuhan, kenapa terlalu sukar hendak membuat mak faham akan situasi aku yang bertepuk sebelah tangan.

“Memang Iqa suka andai betul jodoh Iqa dengan Zikri. Memang Iqa cintakan dia tapi hakikatnya dia tak pernah dan tak akan cintakan Iqa. Janji lama tu tak boleh pakai dah, mak. Janji lama tu akan buat kami menderita je nanti,” beritahuku dengan nada kecewa.


“Iqa kahwinlah dulu dengan Zikri. Mana tahu kot-kot nanti dia boleh cintakan Iqa. Kuasa Tuhan kita tak tahu, nak. Sekali Dia kata jadi, maka jadilah.”

Rupanya mak masih mahu menegakkan benang yang basah. Masih cuba mahu aku menjadi isteri di hati lelaki yang punyai penghuni yang lain.

“Kalau kata Zikri nak terima Iqa, kalau tak nak? Macam mana pulak nanti mak?” sampuk Kak Shadirah tiba-tiba.

Wajahnya yang berdiri di ambang pintu dapur, kami renung sama-sama. Ada benar katanya tapi mengapa mak masih tidak mahu memutuskan pertunanganku ini? Tidak sayangkah mak pada anaknya ini?

“Kan mak dah cakap, satu hari nanti mungkin Zikri terima Iqa. Kita doakanlah, Ira!” tegas mak dengan nada tegas.

“Mak cakaplah apa saja pun sebab Iqa yakin, Zikri akan putuskan pertunangan kami!” tekanku sebak lalu aku berlalu ke atas. Melalui mak yang duduk di tangga tanpa berpaling ke arahnya.

Hendak aku titiskan airmata tapi sudah tidak mampu. Tidak mampu hendak memungkiri janji pada diri sendiri. Tidak mampu membiarkan hatiku yang pedih terhiris menjadi lebih perit angkara tempias airmata.

Esoknya, selepas siap menolong Kak Shadirah mengemas ruang tamu, aku terus melangkah menuju ke rumah Zikri yang selangnya hanya beberapa buah rumah dari rumahku setelah menerima pesanan daripada ayah malam tadi yang Zikri ingin aku ke rumahnya.
Dalam hatiku, pastilah dia telah maklumkan tentang Annesa pada keluarganya dan pastilah juga dia sudah mengetahui akan pertunangan kami yang bukan atas pengetahuanku juga.

Baru sahaja aku hendak memberi salam, Zikri terlebih dahulu muncul di depan pintu. Wajah itu ceria bagaikan tiada apa yang berlaku.

“Naiklah, Shaq,” pelawa Zikri lalu dia menapak ke serambi.
Aku melangkah perlahan-lahan dan membontoti dia lalu duduk di atas kerusi rotan di hadapannya.

“Kenapa suruh aku datang?” tanyaku cuak.
Dalam hatiku bermohon agar Zikri tidak menuduh aku sengaja menerima pinangan orang tuanya. Aku tidak rela difitnah lagi.

“Pasal yang aku minta tolong kau tu lah,” jawab dia. Aku mengerutkan wajah.

“Pasal aku nak mak aku masuk pinang Annesa tu,” tekan dia perlahan.

“Nanti kau pujuk mak aku kejap lagi, ya?” sambung dia meminta padaku.
Aku angguk kerana sudah pastinya Zikri masih belum dikhabarkan akan berita pertunangan itu.

“Yalah,” jawabku pendek dan dia tersenyum puas.

“Eh, dah sampai dah Iqa,” tegur Mak Nab dan aku bangkit menghulur salam.

“Assalamualaikum, Mak Nab. Maaf Iqa datang kacau pagi-pagi ni,” ujarku berbahasa.

Mak Nab menggeleng dan terus duduk di sebelah anak tunggalnya itu. “Awal budak bujang ni bangkit hari ni. Dia kata, dia dan Iqa ada berita nak beritahu Mak Nad.”

Aku telan liur. ZIkri memang sengaja menggantung aku hidup-hidup. Sengaja membiarkan aku berbicara untuknya sedangkan hendak bersuara untuk diri sendiri juga aku tidak mampu.

“Err, pasal apa ya?” Aku pandang Zikri dan dia membulatkan matanya.

Aku kembali memandang mak nya. “Err, Mak Nab sebenarnya Ziki ni nak suruh Mak Nab masuk meminang…”

“Eh, meminang apa pulak?” tanya dia cepat. “Kan cincin Iqa dah pakai tu? Ke dah tak sabar nak nikah dah kamu berdua ni?” Mak Nab senyum penuh erti.

Tatkala itu, Zikri bangkit berdiri tegak merenung aku dan mak nya silih berganti. Wajah itu berkerut seribu dan aku juga turut bangkit. Seperti telahanku, peperangan pastilah terjadi sebentar lagi.

“Mak meminang dah? Cincin dekat jari? Pinang siapa dan untuk siapa?” tanya dia sedikit marah.
Aku telan liur melihat Mak Nab. Wajah Zikri langsung tidak aku pandang. Takut hendak menerima tikaman mata lelaki itu.

“Eh, memang kamu tak tahu. Mak ingat Iqa dah beritahu kamu. Mak pinangkan Iqa untuk kamu. Cincin tu pun Iqa dah sarung. Tinggal nak tanya persetujuan kamu je untuk nikahkan kamu hujung bulan ni,” terang Mak Nab tanpa menyesyaki apa-apa.

“Apa semua ni, mak? Apa semua ni, Shaq?”

“Err, aku pun baru tahu semua ni, Ziki. Sungguh ni aku baru tahu beberapa hari lepas je yang kita dah ditunangkan. Sebelum ni memang aku tak tahu,” jawabku terketar-ketar.

Zikri meraup wajahnya. “Kenapa kau terima? Kau tahu kan aku cintakan Annesa? Kau tahu kan aku nak mak aku pinangkan Annesa? Bukan pinangkan kau!”

Aku ketap bibir menahan getaran yang melanda seluruh tubuhku. Aku memandang ke atas seketika menghalang air jernih yang sedang menari-nari di tubir mataku ini agar tidak tergelincir ke bawah sebelum kembali memandang Zikri.

“Aku memang tak tahu, Ziki. Aku tak pernah kata ya atas pertunangan kita ni,” ucapku bersungguh-sungguh.

“Arghh, memang betul Annesa cakap, kau memang sukakan aku. Bukan takat suka, kau memang cintakan aku dari dulu! Sebab tu kau buat apa saja yang aku nak!” bentaknya.

Aku terpempan sendiri. Mak Nab juga begitu. “Jangan cakap macam tu, Zikri. Mak yang pinang dia untuk kamu dan dia tolak pada asalnya tapi mak nak juga dia terima kamu!” beritahu Mak Nab membelaku.

Zikri merengus. “Kenapa mak tak cakap dengan Ziki dulu tentang hal ni? Mak tahu tak mak dah rosakkan segalanya kebahagiaan Ziki, mak? Ziki tak boleh nak terima semua ni. Ziki tak boleh nak teruskan!” tekan dia dan terus saja dia masuk ke dalam rumah.

Berdentum pintu dihempasnya dan aku hampir saja terduduk namun airmata Mak Nab menghalang aku dari terus menjadi lemah. Baru saja hendak memujuk Mak Nab, mak aku dan Kak Shadirah sudah tiba dekat dengan kami. Mata mak berkaca-kaca, begitu juga dengan kakakku itu.

Puas hati, mak? Puas hati mak sebab segalanya yang Iqa ungkapkan ternyata benar. Zikri pasti menolak dan yang pedihnya adalah hati Iqa ini kerana terpaksa melihat Zikri menola Iqa mentah-mentah di hadapan semua orang, rintih hati ini dan andainya mak bisa mendengar segalanya.

“Sabarlah, Mak Nab,” pujukku biarpun akulah sebenarnya yang menjadi mangsa keadaan.

Aku pandang mak. Air matanya mengalir perlahan-lahan dan aku hanya mampu mengukir senyuman hambar biarpun hati ini menangis hiba. Betapa terhinanya diri bila ku rasakan betapa aku tidak layak hendak bergandingan dengan Zikri.

Mak hanya diam tertunduk membisu tanpa bersuara lagi. Aku menang besar bila segala telahanku tepat. Ternyata Zikri menolak aku mentah-mentah. Angan-angan mak dan Mak Nab bersepai. Senyuman dan gelak tawa mereka beberapa hari sudah tandus dari bibir.

“Maafkan mak, Iqa,” ucap mak padaku.

“Tak adapalah, mak. Kan Iqa dah cakap, Zikri bukan untuk Iqa. Mak jangan risau, mak dah bagi cukup didikan agama untuk Iqa untuk Iqa terus kuat menerima semua ni kerana ini bukanlah kehendak kita semua,” pujukku pada mereka semua.

Pelik tapi inilah kenyataan. Akulah mangsa kedaaan tapi akulah yang sejak dari tadi memujuk dan menyapu airmata mak aku dan mak Zikri.

“Aku memang tak sangka Zikri tolak semua ni, Sai,” keluh Mak Nab.

“Ini ayah dia tak tahu lagi, kalau ayah dia tahu aku tak tahulah apa nak jadi.”

Mendengarkan kata-kata Mak Nab, aku meraih jemarinya. “Pesan dekat Pak Zul, terima je semua ni. Iqa okey je. Dah tersurat bukan jodoh kami sebab Iqa pun salah. Sepatutnya dari awal Iqa dah beritahu mak dan Mak Nab yang Iqa dengan Zikri kawan je. Dah macam adik beradik, tapi percayalah cakap Iqa, pilihan Zikri kali ini tepat Mak Nab.”

Terbayang di mataku raut wajah Annesa yang cantik dan jelita itu. Terlalu moden orangnya. Aku yakin Mak Nab pasti tidak bersetuju jika Zikri mimilih Annesa dan bila saat itu tiba nanti, aku haruslah menunaikan janji pada Zikri. Janji untuk memujuk emaknya menerima Annesa. Janji terakhir yang akan membawa aku jauh daripada Zikri dan tak mungkin aku menoleh lagi.
***
SETELAH dua hari berlalu tanpa khabar daripada Zikri, aku sekali lagi ke rumahnya. Ada perkara yang perlu aku jelaskan padanya setelah cincin yang dua bentuk itu aku letak kembali di atas telapak tangan Mak Nab.

Tuduhannya padaku perlu aku perbetulkan. Terlalu ramai orang yang mempersalahkanku di atas apa yang berlaku. Dyla juga begitu sudahnya persabahatan kami putus begitu saja dan Iwan? Aku tidak tahu bagaimanakah keadaan dia hari ini kerana talian telefon langsung aku matikan.

Baru saja aku hendak memberi salam, telinga ini pantas menangkap suara Zikri memujuk emaknya. Tiada niat hendak memasang telinga tapi bila namaku disebut berkali-kali, langkah pegun. Tidak jadi hendak melangkah pulang.

“Mak yakin hati kamu tu ada Iqa, Ziki tapi kamu dibutakan dengan perempuan tu. Biar sejuta keping gambar pun kamu tunjuk pada mak, mak tetap tak setuju,” tekan Mak Nab.

Aku tahu dia marah tapi kehendak Zikri itu rasanya tidaklah keterlaluan. Aku sendiri redha dengan suratan ini, kenapa orang tua kami terlalu kecewa dengan ini semua? Terlalu berharga sangatkah janji lama yang sememangnya bukan milik kita itu?

“Memang Shadiqah ada dalam hati Ziki ni, mak tapi hanya sebagai kawan. Macam mana Ziki nak layan dia sebagai seorang isteri bila dalam hati Ziki ni hanya nampak dia macam adik beradik Ziki sendiri?” Aku dengar Zikri bertanya begitu pada maknya.

“Belajar menyintai Ziki sebab mak yakin Iqa tu boleh menjadi isteri kamu yang baik. Dia mampu menyintai kamu dan mampu menjadi ibu yang baik untuk anak-anak kamu nanti!” tekan Mak Nab lagi.

Zikri merengus kasar. Dapat aku bayangkan betapa kusut wajah itu merayu demi cintanya yang kian terhalang keranaku.

“Tak boleh, mak. Kalau betul Ziki kahwin dengan dia, Ziki takut Ziki seksa batin dia, mak bila Ziki tak mampu pandang dia sebagai seorang isteri. Lagipun, dia sendiri dah pulangkan cincin tunang tu. Tak ada masalah dah rasanya kalau Ziki minta mak pinangkan Annesa untuk Ziki. Ziki dah janji dengan Annesa, mak!”

“Itu kamu yang janji, bukan mak!”

Lemah semangatku mendengarkan kata-kata tegas Mak Nab. Aku tahu dia berniat baik hendak bermenantukan aku yang terlalu banyak celanya, namun usahlah begini. Benar kata Zikri, andai kami dinikahkan, kami berdua yang akan menanggung derita nanti.

“Mak fikirlah, mak. Kalau kata mak tetap nak Ziki terima Iqa, Ziki akan terima tapi Ziki tak pernah janjikan kebahagiaan buat Iqa!”

Suara Zikri bagaikan mengugut emaknya dan aku terus memaut tiang besar itu bila mana lutut ini terasa goyah dan kala aku dengar derap tapak kaki Zikri menghampiri pintu, pantas aku membawa tubuhku menyorok di balik tiang dan dia terus berlalu ke arah motosikal milik Pak Zul dan terus memecut laju.

Aku kuatkan hati. Semangat ini perlu utuh. Kesilapan ini perlu aku perbetulkan selagi aku tidak terikat secara sah.

“Assalamualaikum Mak Nab,” hulurku mesra.

Mak Nab angkat wajah yang dijeruk airmata. “Waalaikummussalam, Iqa,” jawabnya teresak.

Aku dekati dia dan terus saja aku labuhkan duduk di sisinya. Jemari tua itu aku raih kemas. Aku tahu Pak Zul juga sudah mengetahui perkara ini kerana ayah juga telah tahu segalanya daripada mulut mak. Mereka lebih redha menerima kenyataan tapi tidak pada mak.

“Iqa datang ni, nak minta pada Mak Nab. Jika benar Mak Nab sayangkan Iqa, Iqa akan tetap jadi anak Mak Nab sampai bila-bila. Kalau kata, Iqa tak mampu nak menjadi menantu dan memberi cucu anak dari benih Zikri untuk Mak Nab, anak-anak Iqa nanti juga tetap cucu Mak Nab,” ujarku memulakan bicara.

Bening mata itu redup memandangku. Airmata yang berjuraian itu aku seka lembut. Tidak rela melihat seorang ibu menitiskan airmata kerana anak-anak seperti kami. Tidak layak rasanya hendak menerima tangisan itu. Rasa berdosa benar.

“Mak Nab sayangkan kamu, Iqa. Terlalu sayang tapi kenapa Zikri buta tak nampak kasih sayang kamu pada dia selama ni?” tanya dia padaku sedangkan aku juga tidak tahu.

“Iqa tak ada jawapan untuk soalan Mak Nab tu, tapi kalau benar Mak Nab sayangkan Iqa, Iqa mohon, kita restui Ziki. Kita pergi meminang Annesa untuk dia,” pintaku merayu.

Semakin kuat tangisan Mak Nab. “Kamu memang baik, Iqa. Kenapa kamu masih nak bela Ziki bila dia dah buat kita semua macam ni?”

“Annesa juga baik, Mak Nab. Dia sesuai dengan Ziki. Iqa kenal dia dan Iqa berani jamin Ziki akan bahagia dengan dia,” ujar lagi penuh dengan rasa tulus yang lahir dari hati ini demi lelaki yang aku cintai.

“Iqa redha macam ni? Ikhlas lepaskan dia?” tanya Mak Nab padaku. Aku angguk bersungguh-sungguh.

“Iqa cintakan Ziki, Mak Nab. Tapi, dengan harapan dia akan bahagia. Kebahagiaan dia bukan dengan Iqa jadi, Iqa memang ikhlas dan redha,” akuiku tenang.

Sebenarnya, terlalu sukar juga aku hendak memujuk hatiku. Terlalu payah hendak membiarkan hati ini sendiri tanpa rintihan, tanpa kepedihan dan tanpa calar luka namun, seperti yang Zikri katakana, tiada guna kami dinikahkan andai ini akan menyeksa jiwa masing-masing.

“Maafkan Mak Nab, Iqa,” pintanya lagi bila aku meminta diri hendak berlalu.

Aku tunduk menyalami tangan tua itu dan belum sempat aku kalih, Zikri sudah terpacul di muka pintu. Tidak pula aku dengar deruman enjin motosikalnya. Pandangannya padaku lain macam. Mungkin terselit secubit sayang dan selebihnya adalah benci semata-mata. Aku gariskan senyuman dan melangkah ke arahnya.

“Boleh kita cakap?” tanyaku pada dia dan Zikri mengangguk dan terus melangkah turun.

Kami sama-sama berjalan melalui denai yang pernah kami lalui dulu. Cardigan hitam yang membaluti tubuhku, aku sinsing hingga ke lengan. Akhirnya, langkah kami terhenti tepat di tempat yang pernah aku payungi Zikri sewaktu kami kecil dulu.

“Kenapa kau buat semua ni, Shaq?” tanya dia tanpa memandang ke arahku.

“Aku tak ada pilihan masa tu sebab mak aku dah terima dulu tanpa pengetahuan aku, Ziki! Maafkan aku.”
Dia ketawa kecil. “Dan aku memang tak sangka, kau memang cintakan aku tapi kenapa kau tak pernah beritahu aku tentang perasaan kau tu?”

“Sebab aku tahu, dalam hati kau, tiada cinta untuk aku. Mungkin kau pernah keliru, tapi yakinlah hati kau kali ini yang kau hanya cintakan Annesa dan percayalah pada aku, yang aku dah cuba sehabis baik menunaikan janji aku untuk payungi kau. Aku yakin mak kau akan terima Annesa.” Aku terus memaksa bibirku mengukir senyum pada dia.

Mempamerkan lesung pipit yang menghiasi pipiku. Lesung pipit yang pernah menjadi pujaan Zikri tapi sayang, hanya pujaan semata-mata. Tiada bermaksud lain.

Zikri diam tidak berkutik. Hanya jemarinya yang sesekali meramas rambutnya yang agak panjang itu. Aku dongak ke langit petang yang semakin kelam. Mungkin hujan akan turun bila-bila masa memandangkan angin semakin bertiup. Membawa liuk lintuk tanaman padi yang baru hendak tumbuh. Cantik disapa mata. Sejuk rasanya pandangan yang kelam ini.

“Maafkan aku, Shaq. Kau adalah teman terbaik aku, Shaq dan kalau benar cinta di hati aku ni memang ada untuk kau, aku memang berharap Tuhan membalikkan hati aku agar aku sepenuhnya menyintai kau tanpa keraguan lagi,” ujarnya separuh berbisik.

Aku senyum mendengarkan niat tulusnya itu tapi sayang kerana waktu itu, aku pasti tiada lagi di sini. Masih banyak tuntutan yang perlu aku jalankan selepas ini. Mungkin akan ada peluang untukku membawa diri jauh daripada Zikri dan kenangan terindah ini.

‘Dan aku sudah tidak mampu hendak memayungimu lagi, Ziki!’ bisik hatiku lirih dan serentak itu airmataku gugur jua tatkala merenung sisi wajahnya.

Kala ini, hujan mula merintik bagaikan mengerti akan aku yang tidak sudi dinodai airmata lagi. Membawa titisan yang kian kasar singgah di wajahku lantas mampu menyembunyikan airmata yang mengalir.
Zikri diam namun aku terus membuka cardigan hitam itu. Biarpun tidak mampu melindungi Zikri dari kebasahan, hanya inilah yang aku mampu sediakan untuk memayungi dia buat terakhir kali.

“Ziki,” seruku selepas aku buka cardigan hitam itu.

Dia berpaling dengan wajah yang keruh dan rambut yang jatuh ke dahi kerana titisan air hujan ini. Sekali lagi aku ukir senyuman paling manis buatnya.

“Sini, aku payungkan kau,” panggilku dan dia bagaikan terpukau dengan ajakanku, tenang saja melangkah ke arahku.

Cardigan hitam yang sudah agak basah itu aku tebarkan ke atas kepalanya. Tidak sanggup membiarkan dia ditimpa badai hujan sebenarnya. Betapa hebat aku melarang hatiku menyintai dia, semakin membentak hatiku hendak setia pada dia.

“Ini saja yang aku mampu berikan untuk menjadi teduhan untuk kau,” gumamku lalu aku berlalu tanpa menoleh lagi. Membiarkan Zikri melaung namaku kuat melawan titisan hujan yang semakin lebat.

~~~> bersambung

Aku berada di persimpangan. Di sebelah kiri, Zikri, dan di sebelah kanan pula Iwan. Di sisi mereka ada Annesa dan Dyla. Bila Zikri melambai, kaki pegun, tatkala Iwan menyeru, langkahku mati. Sudahnya, aku melangkah ke depan tanpa menoleh lagi ~~ Shadiqah

19 comments:

  1. org biase said;
    sabar shaq...sedih n3 ni..hukhuk..:-(

    ReplyDelete
  2. aduh RM...sedihnyaaa..sob..sob..sob..

    mama Izz

    ReplyDelete
  3. xsabar nak tggu shaq pergi dari hidup zikri.. akan tiba ke masanya? ke shaq akan setia membodohkan diri dgn si ziki tu? gerammmmm

    -rhn-

    ReplyDelete
  4. apa yang jadi pada shaq..
    shaq nak sambung belajar kat mana...
    harap shaq akan jumpa orang lain masa sambung belajar nanti dan gembira disana ...
    cepat la shaq bahagia lepas ni.. jangan la dia menerima tekanan lagi..

    ReplyDelete
  5. jangan lupe cepat sambung...
    best sangat cite ni...

    ReplyDelete
  6. kesian dekat shaq...napa ler zikri buta dlm menilai wanita

    ReplyDelete
  7. cinta tak semestinya memilikki..kalo syg kita lepaskan dia..dan bila dia kembali balik kepada kita..mmg dia kepunyaam kita..tapi pastikah masa itu..kita akan menerimanya kembali..mungkin masa itu kita sudah ada cinta baru..yg lebih baek dari kini.. hanya iti yg akak nak nasihatkan kat shaq dn juga zikri untuk mrk renung renungkan

    ReplyDelete
  8. tenkiu semua..bab16 nanti kita akan tau shadiqah ke mana ek..luv u all..

    ReplyDelete
  9. kak rehan,sudah sudahlah shaq payungkan si zikri tu..biarlah zikri belajar payungkan diri dia sendiri bila shaq dah pergi.and shaq macam selalu comment,tabahkan hati and cubalah lupakan si zikri..and kak rehan if zikri dah sedar dia cintakan shaq..biar si zikri pulak yang payungkan shaq :)

    ~A~

    ReplyDelete
  10. begitu tega Shaq membela Zik walau pun hati telah
    dilukai org yg dicintai.. Lepaskanlh kepedihan ini
    Shaq, mungkin diluar sana Allah telah menetapkan
    seorg jejaka untukmu dn sekiranya Zik sendiri
    tdk pandai menilai mana kaca atau permata lepaskn
    saja jgn nk lukakanlh hati mu Shaq sekiranya org
    kita kasehi tidak menghargainya....carilh
    pengganti untuk mu...cepat sambung ye RM lagi
    teruja dn tak sabar nak baca n3 baru.

    ReplyDelete
  11. Kesian gila kat shaq . Lupakan je la ziki tu . Dia bukan hargai shaq sangat pon . RM , sambung lagi ek ? Tak sabar nak tau lagi . Nak shaq happy plak .

    ReplyDelete
  12. ntah kenape. .
    sangat2 berharap bia la shaq ngn iwan.
    even die belom jatoh cinte ngn iwan. .
    tp bia la dengan org yg lebih mencintainye. .
    kerana xsemestinye org yg kte cinte cinte kte balek. .

    ReplyDelete
  13. biarlah shaq dpt belajar kt luar negara..masa tu baru zikri tau dlm hati die ada shaq..

    ReplyDelete
  14. sedihnya....sob..sob..sob...kasian Shaq.....

    tinggalkan Zikri tu Shaq....tak guna menagih cinta pada org, yg tak sudi...

    ReplyDelete
  15. RM tolonglah post n3 ni hari2 k

    ReplyDelete
  16. sedih2...harpnya Tuhan balikkan hati Zikri tu klu mmg da cinta kt Shaq

    ReplyDelete
  17. penat dah shaq asyik payungkan ziki, bagilah a knight in a shining armour pulak kat shaq.. lelaki sepatutnya jadi pelindung perempuan kan?

    ReplyDelete
  18. wah! tbaik lah. alhamdulliah. xleh komen panjang2. ada mata2 yang memerhati. hehehe

    ReplyDelete
  19. Citer ni dah semakin menarik dan makin sedih sgt...biarlah shaq pergi dah tak perlu payungkan ziki lagi....tp satu hari nnt ziki akan sedar yg dia sgt perlukan shaq dlm hidup dia....masa tu dia baru sedar siapa sebenarnya yg dia lebih perlu...bila ini berlaku....shaq kena kuat...buat smpi shaq pulak jumpa org lain yg lbh segala2nya drp ziki....biar ziki rasa mcmana yg shaq rase masa dia sibuk bercinta sakan dgn annesa tu....cepat2 smbg ye.....

    ReplyDelete