BAB 16
TANGAN Kak Shadirah tidak henti-henti melipat pakaianku sejak daripada tadi. Itulah tidak kena, inilah tidak kena.
“Minggu depan kakak nak kahwin, tapi Iqa nak pergi belajar dah. Iqa ni memang tak sayang kakak agaknya,” bebel Kak Shadirah padaku.
Aku yang sedang membelek buku-buku yang perlu aku bawa itu menghentikan tindakanku. Buku-buku itu aku letak di atas katil lalu mendekat pada dia. Bahunya aku peluk erat tapi dia tetap begitu. Terus menyusun pakaianku di dalam bagasi besar itu bagaikan aku tidak ada di sisinya.
“Kakak, Iqa sayang kakak tapi dah tuntutan tu dah seru Iqa ke sana. Iqa tak ada pilihan lain. Peluang dah ada, tak kan Iqa nak tolak macam tu je. Kakak tetap akan kahwin juga biarpun Iqa tak ada, kan?”
Dia menghentikan kerja mengemas pakaianku itu. Bila mata kami bertembung pandang, renungannya nampak kecewa. Wajah itu muram dan matanya berkaca-kaca.
“Kakak tak tahu yang kekecewaan Iqa pada dia akan bawa Iqa pergi sejauh ni,” ucap dia. Airmata itu mengalir akhirnya.
Aku menguntum senyum. “Iqa tak pernah kecewa, kak,” bantahku tenang sambil tersenyum manis pada dia.
Semoga senyumku ini mampu membawa jauh kedukaan dan kepedihan bakal pengantin baru ini pergi. Airmata yang mengalir di pipinya aku seka dengan hujung jari. Tubuh langsing Kak Shadirah aku raih ke dalam pelukan.
“Iqa pergi kerana dahagakan ilmu demi cita-cita Iqa dan juga demi mak dan ayah,” sambungku lagi.
Kak Shadirah mengangguk di bahuku tapi anggukan itu bersulam sendu. Tatkala aku tolak bahunya, airmatanya masih setia mengalir.
“Jangan hantar Iqa pergi dengan airmata, kak,” pintaku. Dia angguk terpaksa.
“Hari ni, Zikri bertunang. Minggu depan kakak nak kahwin. Iqa pula pergi jauh dari kami. Entah ada umur entahkan tidak untuk kakak jumpa Iqa lagi lepas ni.”
Waktu ini, betapa pedihnya hati mendengar sepatah perkataan itu daripada bibir kakakku. Berkali Mak Nab memujukku agar mengikut mereka bersama ke rombongan meminang sekaligus majlis pertunangan Zikri dengan Annesa tapi aku juga berkeras tidak mahu ke sana setelah aku nekad tidak mahu melihat wajah Zikri lagi pada kali terakhir aku bersama di jalan denai tiga bulan yang lalu.
Mak juga tidak pernah merungut lagi nama Zikri di hadapanku. Ayah apatah lagi. Aku tahu mereka cuba mengelak hendak bertutur mengenai ajakan Mak Nab dan Pak Zul menjadi rombongan mereka di depanku. Aku tahu mak bimbang aku terasa hati sedangkan mak tidak pernah tahu yang hatiku sedang mati dengan sendirinya.
Sejak itu, aku hanya berkurung di dalam rumah. Membantu mak dan Kak Shadirah menyediakan persiapan pernikahan kakakku itu tak lama lagi. Tiga bulan juga, tanpa bersua dengan Mak Nab dan Pak Zul. Tiga bulan tanpa berita daripada Zikri dan tiga bulan memujuk derita kerana desakan hati yang mahu menatap seraut wajah itu.
Mujur juga keputusan permohonanku telah JPA memberi maklumbalas seawal ini. Biasiswaku juga akan bersambung hingga aku menamatkan pengajian Ijazah nanti. Rasanya, masa juga tidak mahu aku bersama Zikri. Sebab itu, peluang itu terbuka saja di depan mata.
“Kakak…” seruku pantas.
“Jangan cakap sesuatu yang kita sendiri tak tahu, kak. Entah-entah Iqa yang pergi dulu. Bukan kakak. Untuk itu, kita berdoa moga kita terus panjang umur untuk bertemu lagi nanti. Jaga mak dan ayah baik-baik. Kakak dah nak jadi isteri. Iqa sentiasa doakan kakak biarpun Iqa tak ada masa hari pernikahan kakak nanti.” Semakin lembut aku memujuknya.
“Tapi, kakak sedih bila Iqa tak ada nanti. Dulu, masa kakak bertunang Iqa tak ada juga. Sekarang hari penting kakak, Iqa juga tak ada.” Kak Shadirah merungut lagi.
“Iqa tak ada tak semestinya Iqa tak doakan kakak. Iqa pergi bukan kerana dia, kak. Tapi kerana cita-cita dan impian. Iqa mungkin tewas dalam cinta, tapi Iqa nak berjaya dalam cita-cita. Tak kan kakak nak tengok Iqa tewas dalam keduanya? Macam tu?” dugaku pula cuba memancing emosi dan psikologinya.
Kak Shadirah memandangku lembut. Telapak tangannya menyapa pipiku lalu membelainya seperti biasa. Bagaikan menyalur sedikit kekuatan buatku yang mungkin nampak lemah dan hampir rebah pada matanya.
“Kakak doakan Iqa. Pergi dengan harapan dan pulang dengan kejayaan. Moga Iqa temui kebahagiaan Iqa kat sana nanti. Iqa tak tewas dalam cinta. Langsung tak tewas sebab cinta itukan memerlukan pengorbanan. Bukan semua orang mampu berikan pengorbanan sehebat ini buat orang yang dicintai….”
“… kerana cinta tak semestinya memiliki, kak. Cinta tak menjanjikan orang yang kita cinta itu bahagia dengan kita melainkan kita lepaskan orang yang kita cinta itu pergi mencari kebahagiaan dia sendiri. Bila dia berpaling dan kembali, itu bermakna dia memang tercipta untuk kita,” sambungku pula.
Kak Shadirah mengangguk dan pelukan kami bertaut lagi. Hanya esakan halus dia yang menyapa telingaku sedangkan aku, langsung tidak mampu mengalirkan airmata. Bukan tidak terluka menerima berita yang Zikri telah selamat ditunangkan dengan Annesa, bukan tidak kecewa pada cinta yang tidak pernah berbalas dan bukan tidak pedih menelan kepahitan hakikat sebuah cinta.
Namun, aku kuat kerana berpegang teguh pada cinta Allah padaku. Aku teguh bila berpegang pada cinta Rasulullah pada umat baginda. Aku hebat kerana mampu menyatukan dua hati dan bakal terbina sebuah masjid lagi nanti di bawah lembayung kebesaran Allah yang Esa.
Bila pelukan terlerai, Kak Shadirah kembali mengemas bagasiku. Emak dan ayah pula masih belum pulang daripada Kuantan. Kala ini, hanya kami berdua. Aku bergerak ke arah rak buku.
Buku lukisan yang sentiasa ada bersamaku dulu, aku keluarkan. Sehelai demi sehelai aku belek, ternyata hanyalah wajah Zikri saja. Wajah tersenyum, wajahnya yang marah, wajah yang suram, wajah yang ketawa. Semuanya dia. Bila aku belek lagi pada helaian terakhir, tersergam indah lukisan sebuah masjid yang aku ingin binakan nanti andai Allah memberi sedikit rezeki buatku.
Sebuah masjid yang pernah aku impikan untuk mendirikan masjid aku dan Zikri di dalam masjid tersebut. Namun benar, kudrat tidak di tanganku. Apa yang terhidang oleh takdir, aku hadap dan aku telan dengan penuh redha. Mungkin pahit kala ini, namun manis yang mendatang siapa menduga.
“Cantik lukisan masjid impian Iqa tu,” tegur Kak Shadirah yang sudah berada di belakangku. Aku senyum sendiri.
Memang cantik, desis hatiku mengiyakan pujian Kak Shadirah. Rumah Allah yang aku lakarkan dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang ini memang sempurna di mataku. Tapi tidak pada Zikri kerana dia pernah mengoyak lukisan kami dulu. Waktu itu, aku yakin Zikri menyintaiku tapi akhirnya aku sedar, dia hanya mementingkan persabahatan kami demi cintanya.
Ada keluhan terbit dari celah bibirku akhirnya. “Iqa nak hadiahkan buat dia, tapi sayang dia tak pernah tahu.”
Kak Shadirah mengusap bahuku. “Satu hari nanti, andai Tuhan berkehendakkan begitu, pasti dia akan tahu juga.”
“Dan masa tu, Iqa tak harap lagi dia tahu tentang ini, kak,” bantahku pula.
Senyuman Kak Shadirah sumbing. Senyumku juga. Sudah lama sumbing bersama hentakan hati yang sumbang.
“Tapi, kakak jangan risau. Hati ini, milik Iqa. Mungkin sesekali tatkala keliru, Iqa serahkan segalanya pada Allah yang Maha mengetahui agar Dia kemudiki hati ini ke jalan yang benar dan bila Iqa buat keputusan hendak memujuk Mak Nab menerima pilihan anak lelaki dia tu, Iqa yakin itu adalah keputusan yang terbaik yang telah Allah titipkan pada hati Iqa,” ucapku lagi.
“Iqa memang tabah. Memang kuat!”
“Iqa kan adik kakak. Kalau kata kakak dulu redha terima pinangan Rizqin yang kakak tak pernah kenal tu, masakan Iqa tak boleh nak terima semua ni? Kakak lagilah, lepas ni nak hidup dengan suami yang tak pernah kakak kenal sangat pun. Tapi, Iqa doakan yang terbaik.” Aku melarikan tajuk perbualan kami.
Bila nama bakal abang iparku Rizqin meniti di bibir, aku lihat wajah Kak Shadirah sedikit ceria. Aku sendiri tidak pernah mengenali Rizqin secara langsung. Hanya sekeping gambar yang pernah Kak Shadirah tunjukkan padaku. Rasanya, mereka berdua juga hanya beberapa kali bersua empat mata, itupun di rumah kami. Memang mak dan ayah sentiasa bertegas di dalam hal ini dan aku tahu, ini adalah untuk kebaikan kami semua.
“Sebelum nikah minggu depan ni, kakak tak jumpa Rizqin dulu ke?” tanyaku sambil meletakkan buku lukisan tadi di dalam bagasi.
Kakakku menggeleng. “Tak dah. Mak larang. Katanya darah manis. Jangan jumpa.”
Aku ketawa. “Betullah tu. Tapi, macam mak tu pernah rasa darah, kan?” selaku sengaja berbuat lawak cuba menghiburkan hati sendiri.
Tawa kecil Kak Shadirah meletus. Aku senang melihat dia ketawa. Mungkin agakanya, hidupku ini telah ditakdirkan bergembira di atas kegembiraan orang lain? Aku yakin kebahagiaan menanti buatku biarpun dengan cara menumpang kebahagiaan orang lain kerana Tuhan itu menganugerahkan kegembiraan pada kita dalam cara yang kita sendiri tidak pernah duga.
“Lambat pulak mak sampai. Kata balik hari? Entah-entah tidur kat sana tak?”
“Eh, kan tadi mak telefon masa cakap Zikri dah selamat bertunang tu masa dia dalam perjalanan nak balik dah,” jawab Kak Shadirah.
Aku senyum tapi dia gamam merenungku tidak berkelip. “Kakak tak sengaja Iqa.”
“Eh, tak ada apalah. Dah jodoh Zikri dengan Annesa. Baguslah kalau kata dia dah selamat bertunang. Syukurkan, semoga dia bahagia,” ucapku cuba menayang riak gembira.
Wajah kakakku itu tetap begitu. Itulah dia, payah hendak menutup kesedihan sedangkan aku yang sepatutnya bersedih. Dia sepatutnya bergembira kerana bakal bernikah nanti sedangkan aku jauh akan membawa diri demi setitis ilmu.
***
LEWAT petang itu, mak dan ayah tiba di rumah. Wajah tua keduanya nampak penat benar. Bila mak dan ayah labuhkan duduk di kerusi, aku terus saja menatang air untuk mereka.
“Minum, mak,” pelawaku sopan.
Mak memandangku dengan mata yang merah dan sembab. Ayah pula dengan wajah yang sebu. Pelik!
“Kenapa mak dan ayah pandang Iqa macam tu?” tanyaku pada mereka. Mak tidak menjawab sebaliknya, terus bangkit menuju ke biliknya.
“Kenapa mak tu, yah?”
Ayah mencapai gelas berisi air sirap sejuk itu dan diteguknya hingga separuh gelas. Dia memandang ke arah pintu bilik yang sudah tertutup rapat.
“Mak penat tu. Ayah pun nak masuk berehat kejap. Nanti nak ke surau pulak.” Ayah bangkit.
“Kakak mana?” tanya dia.
Aku juga turut bangkit memandang ayah. “Kakak kat belakang angkat kain.”
“Emm..” Ayah mengangguk.
“Iqa dah kemas semua barang ke?”
Kali ini giliran aku pula mengangguk.
“Banyak lagi yang belum kemas? Atau ada apa-apa lagi yang Iqa nak bawa?”
“Tak ada dah, yah. Rasanya pakaian dengan buku-buku Iqa dah cukup dah tu. lain-lain keperluan Iqa beli kat sana jelah kalau kata tak cukup lagi.”
Ayah merenungku seketika sebelum berlalu. Aku terkesan yang dia mengesat juring matanya. Hampir saja airmataku mengalir jika aku tidak kuat bila merasakan yang aku sedang membuat hati kedua orang tuaku bersedih kali ini.
Malamnya, mak datang padaku yang sedang menyiapkan barang-barang hantaran Kak Shadirah. Masih ada tiga barang hantaran yang belum lagi kami siapkan. Kala ini, kakakku itu sedang menggubah hantaran sehelai t-shirt berkolar untuk Rizqin dan aku pula sedang meletakkan kasut kulit itu di dalam pelbagai cara dan gaya hendak dapatkan hasil yang terbaik.
“Ini je ke yang tak siap lagi, Ira?” tanya mak.
“A’ah, mak. Ini je lagi. Yang lain, Iqa dah tolong siapkan semua. Bekas telur dan beg kertas untuk orang tu pun semua Iqa dah siapkan. Tinggal nak letak telur je nanti,” jawab Kak Shadirah pula.
“Iqa banyak masa tolong kakak, barang Iqa macam mana?” Suara mak kali ini kedengaran sebak. Aku pandang mak. Dada itu nampaknya semput menahan kesedihan barangkali.
“Dah, mak. Kak Ira tolong Iqa tadi.” Aku jeling Kak Shadirah dan menghadiahkan dia sekuntum senyum.
Tadi, dia kemain menyebut namaku pada mak, dan kini giliran aku pula. Aku mahu mak tahu yang hubungan kami semakin akrab biarpun kami bakal berpisah nanti.
“Iqa nanti kat tempat orang jaga diri baik-baik. Jangan ikut sangat hati tu…”
Aku menghamburkan tawa sebelum sempat mak menghabiskan ayatnya. Rasa lucu bila mak berpesan demikian.
“Eh, kenapa Iqa ketawa pulak?” Nada suara mak tegas.
“Mak ni, kenapa pesan macam tu? macamlah selama ni Iqa suka ikut hati? Jangan risau, mak. Iqa akan ikut akal waras ni bila buat keputusan. Selama ni kan Iqa baik-baik je. Mak tak payahlah risau sangat. Iqa okey je, ya mak?”
“Dulu lain, Shadiqah. Dulu Iqa…” Mak diam. Dia memandangku dan aku memandang Kak Shadirah yang juga terdiam.
“Mak nak cakap dulu lain sebab Iqa ada Zikri tapi hari ni lain sebab Zikri putuskan pertunangan tanpa rela kami, macam tu?” tanyaku menyambung ayat mak yang tidak mampu dia habiskan.
“Mak cuma…” Mak terus kehilangan kata.
“Kalau mak nak cakap mak risaukan Iqa, Iqa terima. Mak sayangkan Iqa, itu Iqa tahu. Tapi, mak janganlah risau sangat. Kalau tak ada Zikri pun, selama ni Allah ada dengan Iqa. Doa mak ada untuk Iqa. Iqa okey jelah, mak,” ujarku bernada memujuk.
Mak senyum. Senyuman yang tawar dan hambar. Senyuman inilah yang menghiasi bibir dan wajahnya sejak pertunanganku dengan Zikri putus tiga bulan lalu. Begitu pantas masa berlalu meninggalkan kami bersama kesedihan hinggakan terlalu payah hendakku kikis sisa kesedihan yang melekat di wajah tua mak.
“Iqa….”
Aku panggung kepala bila suara ayah menyeru namaku di depan bilik Kak Shadirah.
“Apa, yah?”
“Agaknya telefon Iqa kot dari tadi berbunyi,” beritahu ayah dan aku cepat-cepat bangkit meninggalkan mak dan Kak Shadirah di situ.
Bila sampai di bilik, telefon bimbitku tertera dengan tiga panggilan yang tidak dijawab. Bila aku menekan, ternyata nombor tiada di dalam senarai dan juga bukan nombor biasa tapi nombor dari talian tetap di rumah dan jauhnya berkod Kuala Lumpur.
“Siapa pulak ni? Malam-malam telefon. Kalau JPA empat kali nombor lapan kat depan dia,” gumamku sendiri.
Baru saja hendak ku letakkan telefon bimbit itu ke katil, deringan dari nombor yang sama sekali lagi masuk.
“Ya, cari siapa?” tanyaku sopan setelah memberi salam.
“Cari Cik Shadiqah!” jawab si pemanggil sambil ketawa. Waktu ini, aku sudah cam benar akan suara itu.
“Kau, Wan?” tanyaku kuat. Aku ketawa juga. Tak menyangka Iwan menelefonku selepas berbulan sepi tanpa berita.
“Ya, aku. Soalan pertama aku nak tanya kau sebelum kau tanya aku adalah, kenapa kau balik macam tu je dulu?”
Aku terhenyak sendiri bila Iwan bertanya begitu. Peristiwa aku ditempelak oleh Annesa kerana sepasang kasut kuning keemasan yang Zikri hadiahkan untukku itu menari-nari di ruang mata.
Hinaan dan herdikan Annesa yang meminta aku melupakan Zikri juga terngiang-ngiang di peluput telinga. Bagaikan baru semalam perkara itu terjadi. Hendak melupakan tidak mungkin namun hari ini, bila Iwan mengungkit perkara itu, rasanya bagaikan belati yang menhiris tangkai hati yang kian putus.
“Err, aku kan nak balik esok tu. Aku cabut awallah sikit,” jawabku menyorok kebenaran kerana Iwan tidak pernah salah di dalam perkara ini.
Dia tidak pernah tahu apa yang terjadi malam itu. Dia tidak tahu apakah kenangan akhir kami yang aku perlu galas selama ini?
“Emm, tak apalah. Janji kau selamat cumanya aku lagi satu tak puas hati, kenapa kau nak sambung belajar tak cakap pada aku?” tanya Iwan lagi.
Aku senyum sendiri. “Aku saja mohon JPA lanjutkan biasiswa aku tapi tak sangka pulak permohonan aku yang satu lagi tu dapat dan diluluskan secepat ni. Kau dapat mana?”
“Aku dekat UTM Skudai. Nak ikut kau tapi tak ada rezeki la pulak.” Iwan mengeluh.
“Eh, nak mengeluh kenapa? Okey dah tu dapat sambung belajar. Orang lain yang tak dapat tempat tu lagi la sayang tau,” pujukku.
Iwan ketawa halus. “Kau tu memang pandai bab-bab pujuk orang ni. Kau tu tiga bulan sepi tanpa berita. Kemain payah aku nak telefon kau. Sekarang ni baru dapat.”
“Aku sibuklah, Wan. Kakak aku nak kahwin minggu depan ni. Persiapan dia lagi, persiapan aku lagi. Dua-dua mak aku nak kena buat. Jadi, aku kenalah tolong,” jelasku pada dia.
“Eh, kakak kau kahwin, kau tak adalah nanti?” soal dia lagi.
Aku angguk. Eh, macamlah Iwan dapat melihat anggukanku. Aku senyum, lucu dengan diri sendiri.
“Yalah. Aku tak ada. Kau nanti datanglah, ya. Nak kirim kad dah tak sempat kot. Nanti aku SMS alamat jelah,” pelawaku.
“Tak naklah.” Iwan menolak pantas. “Kalau pergi kau tak ada buat apa? Buat penat aku je. Oh ya, Zikri apa cerita. Teringin juga nak dengar khabar member kita sorang tu.”
Aku telan liur. Nafas ini aku hela sedalamnya cuba mencari kekuatan hendak berbicara mengenai Zikri. Hendak melafazkan hakikat pertunangan Zikri dengan Annesa siang tadi. Mungkin aku tiada di sana, tapi dapat ku bayangkan betapa manis dan lebarnya senyuman Zikri kala Annesa sudah hampir menjadi miliknya.
“Zikri dah bertunang dengan Annesa siang tadi.” Iwan diam. Mungkin terkejut dengan apa yang aku khabarkan.
“Aku tak pergilah. Mak dengan ayah aku ikut rombongan dia. Jadi, kau jangan tanya aku, majlis dia macam mana.” Pantas aku menyambung dengan nada ceria sebelum Iwan bertanya lagi.
“Aku tak nak tanya majlis dia macam mana, Shaq. Tapi, aku nak tanya kau tu macam mana?” Dia mengeluh di hujung talian.
Aku hampir ke tingkap dan aku selak tingkap itu lebar menjemput angin malam menjamah wajahku yang terasa keras hendak mengukir senyum kala ini.
“Aku okey je, Wan. Okey sangat. Jangan risau. Kau kan pernah pesan, dah tiba masanya aku fikirkan diri sendiri. Jadi, sekarang ni aku memang fikirkan diri aku dan keluarga aku je. Jangan risau, kawan!”
Dia diam lagi. Aku tahu Iwan tidak pernah mahu mempercayai jawapanku sejak sekian lama.
“Jangan fikir sangat pasal aku, Wan. Oh ya, kau ada dengar berita pada Dalyla? Kadang-kadang aku rindu nak telefon dia, tapi aku takut dia marah aku lagi.” Cepat-cepat aku bertanya tentang Dyla pada Iwan. Rasa lepas rinduku biarpun bertanya pada lelaki yang mungkin juga tidak pernah menerima khabar daripada wanita itu.
“Ada je. Dia selalu up-date khabar dengan aku. Ingat malas je nak layan ingatkan apa yang dia buat pada kita tapi itulah… tak nak layan kawan. Dia pun dapat Skudai jugak sama dengan aku. Sekelas lagi la agaknya,” keluh Iwan.
Aku ketawa kuat. “Okeylah tu. menyambung semula silaturrahim dan tali persabahatan. Jaga diri kamu berdua, Wan. Kalau kata berpeluang, bisikkan rindu buat Dyla dari aku. Dia pernah doakan aku memiliki segala keburukan dan kepedihan dalam hidup aku tapi aku tetap mendoakan segala kebahagiaan ini menjadi milik dia.”
Pedih telingaku mengingatkan kata-kata Dyla. Nekad benar dia mendoakan aku begitu dan rasanya, dia benar dan aku salah kerana hari ini, segala kedukaan itu memang menjadi milikku.
“Shaq, kau…”
“Eh, aku tak ada apalah. Wan, mak aku panggil dah ni. Nanti kita sembang lain kali, ya?”
“Bila?”
“InsyaAllah, selepas lima tahun,” jawabku mengusik Iwan dan dia mengeluh panjang.
Perbualan aku dan Iwan tamat di situ dan aku benar-benar berharap itu adalah perbualan terakhir kami buat seumur hidup ini. Bukan niat hendak memutuskan silaturrahim. Berdosa begitu tapi aku mahu dia terus melangkah tanpa berpaling ke arahku.
Tapi, aku mahu dia melangkah tanpa berpaling lagi kerana aku yakin, seseorang pastilah sedang menantinya di depan hari nanti. Seseorang yang telah Tuhan ciptakan untuk melengkapkan tulang rusuknya yang hilang itu.
Aku kembali melangkah menuju ke bilik Kak Shadirah bila aku terdengar esakan halus mak. Langkahku pegun di balik langsir. Pintu yang sedikit terkuak itu membuatkan esakan mak semakin jelas menyapa gegendang telingaku.
“Sudahlah tu, maknya. Dengar dek Iqa nanti, makin sedih budak tu,” ucap ayah memujuk mak.
“Sai tak tahu, bang. Semakin Iqa senyum, semakin sakit hati Sai ni. Sai ni mak dia, bang. Sai tahu yang dia sedang berlakon bahagia depan kita. Sai tahu hati dia tu sakit, bang.”
Ayah mengeluh berat. “Kalau Iqa buat-buat kuat depan kita, tak boleh ke kita pun buat-buat bahagia depan dia, Sai?” tanya ayah agak keras.
Aku tunduk memandang tikar getah berwarna biru laut itu. Rasa lemah sendi hendak terus berdiri bila mak berterusan menangis. Tidak mampu hendak tersenyum lagi bila mak tertangkap akan hatiku yang merintih biarpun bibir ini mekar dan merekah dengan senyuman setiap masa.
“Sai rasa bersalah sebab paksa Iqa terima pinangan Nab dulu, bang. Kalau kata Sai dengar kata Ira dan Iqa sendiri, Iqa tak mungkin macam ni, bang. Dia tak mungkin nak bawa diri jauh daripada kita,” rintih mak lagi.
Pilunya hatiku mendengar rintihan itu. Lemah segala tulang temulang. Perlahan-lahan aku terduduk di atas lantai memeluk erat lututku dan menyakut dahuku di lutut. Mata ini aku renung ke siling. Membendung airmata agar tidak menitis.
“MasyaAllah, Sairah. Cuba awak bawa mengucap. Budak tu pergi sebab dia nak sekolah. Nak tuntut ilmu. Benda baik tu, Sai. Dah takdir dia begitu. Saya yakin yang Iqa tu boleh terima. Kalau tak, masakan dia beria pujuk Nab dengan Zul tu terima pilihan budak Zikri tu?” Suara ayah aku dengar semakin kuat.
“Itulah yang buat Sai sedih sangat, bang. Abang tak tengok macam mana dia merayu pada Nab tu. Masa Sai tengok Zikri senyum tak putus masa bergambar dengan tunang dia siang tadi, Sai nampak wajah Iqa menangis, bang. Hati Sai ni tak tahan,” tekan mak dengan esakan yang semakin keras.
“Abang pun sama tak tahan nak ingat anak kita bersedih. Tapi, jodoh mereka dah tak ada. Nak buat macam mana. Iqa tu tabah budaknya Sai. Dari kecil lagi dia lindungi Zikri tu. Dia mesti nak Zikri bahagia. Dahlah tu, Sai. Kita doakan yang terbaiklah buat Zikri dan Iqa tu. Bukan salah sesiapa pun. Takdir Tuhan memang macam ni. Yang awak tu, sepanjang-panjang jalan menitis airmata. Nasib baik kita naik kereta sendiri. Kalau kata naik kereta Nab dengan Zul tadi tu, tak ke haru?” Ayah mengeluh tipis.
Aku terhenyak. Padanlah sewaktu mak tiba siang tadi, wajah itu sembab dan matanya merah. Rupanya sepanjang jalan mak menangis kerana melihat senyuman kebahagiaan Zikri. Aku paksa diriku mengukir senyum seboleh mungkin. Perjalanan masih jauh. Tanpa Zikri aku tetap melangkah bersama dua penjaga di kiri kananku dan juga Hakim yang Agung yang Maha Mengetahui ini.
“Eh, Wan. Aku nak tolong kakak aku dah ni. Nanti kita sembang lagi.” Sengaja aku kuatkan suaraku di depan bilik Kak Shadirah..
Berlagak bagaikan aku baru saja kembali dari bilikku dan berpura-pura tidak mendengar biarpun sepatah perkataan daripada bibir mereka. Mak cepat-cepat mengelap wajahnya. Ayah mencabut kopiahnya dan Kak Shadirah hanya tunduk membetulkan hantaran yang dia sedang gubah itu. Senyumku melebar. Dalam hati ini mengucapkan syukur. Syukur di atas segalanya.
“Siapa?” tanya ayah.
Aku labuhkan duduk di depan Kak Shadirah dan membelakangi mak yang sedang duduk di birai katil.
“Kawan Iqa. Kawan masa belajar dekat Kuantan dulu. Dia dapat sambung dekat UTM Skudai. Dua orang kawan baik Iqa dapat belajar kat situ,” beritahuku ceria.
Mahu saja aku berpaling melihat bening mata mak. Aku mahu usir rasa bersalah itu dari relung hatinya. Mak tidak salah, mak. Dah suratannya begini. Kita redhakan. Pujuk hatiku pada mak andai dia mampu merasa rintihan hatiku.
“Syukurlah. Semua dapat sambung sekolah lagi,” ucap ayah. Aku angguk sebelum kembali menggubah hantaran yang masih tinggal sedikit untuk aku lengkapkan.
Melihatkan kasut yang akan Kak Shadirah pakai pada hari pernikahannya nanti, aku teringat akan kasut yang pernah seketika cuma menjadi milikku. Entah apa yang Annesa lakukan pada kasut pemberian tunangnya itu padaku?
Mustahil andai dia mahukannya. Dia anak orang berada. Citarasa juga menggunung. Pastilah tidak akan menyentuh kasut yang pernah tersarung di kakiku. Mungkin juga telah tercampak ke sungai malam itu juga sebelum Zikri melihat kasut yang aku tinggalkan di atas meja malam itu.
“Kau tahu tak Ziki, kalau kau hadiahkan orang yang kau sayang dengan kasut, orang tu nanti akan lari dari kau?” Masih jelas soalanku pada Zikri satu waktu dulu.
“Eh, betul ke, Shaq?” Wajah cuak itu juga jelas juga. Aku senyum sambil menggeleng.
“Tak adalah. Kau tak percayakan takdir dan jodoh ke?” tanyaku lagi.
“Kau ni, buat takut aku je. Dah semestinya aku percayakan takdir dan jodoh aku!”
Waktu itu, aku tidak sihat. Tapi, demi dia, aku gagahkan diri menemani dia mencari hadiah untuk Annesa dan tanpa ku duga, dia juga membeli sesuatu untukku. Sesuatu yang telah aku pegang pada masa tu.
Bila kasut itu menjadi milikku, sayang kerana hanya seketika aku mampu memilikinya dan mungkin secara kebetulannya, kasut itu benar-benar membawa aku jauh meninggalkan Zikri yang sedang berbahagia. Satu yang pasti, tanpa membawa kasut itu sama dan pastilah tanpa Zikri. Yang ada hanyalah kenangan manis kami bersama dan selebihnya pula adalah kesakitan saja.
***
AIRMATA mak berjuraian. Sudah tidak mampu aku seka. Ayah menggeleng kesal. Kak Shadirah dan Rizqin hanya memerhati. Pertama kali bersua dengan Rizqin, rasanya dia memang sesuai dengan Kak Shadirah. Sama cantik, sama padan. Mungkin Rizqin agak jauh bezanya umur dengan dia, tapi mereka memang secocok digandingkan bersama.
“Iqa minta maaf, mak. Bukan niat Iqa nak halang mak dari hantar Iqa sampai ke Kuala Lumpur sana. Tapi, Iqa takut Iqa tak jadi pergi kalau lihat mak menangis je nanti. Dah tu mana nak sambung belajar?” tanyaku mengusik mak. Bahunya aku peluk erat.
“Mak faham. Iqa jaga diri, ya nak kat tempat orang tu.” Nasihat mak aku terima dengan anggukan.
Lapangan terbang Sultan Ismail agak lengang waktu ini. Mungkin kerana bukan hati cuti am atau cuti umum, jadinya tidaklah sesibuk mana.
“Jaga diri, Shadiqah!” pesan ayah pula. Aku angguk.
Kak Shadirah pula menghampiri. “Kakak doakan Iqa.” Aku angguk lagi.
Bila mataku memandang wajah Rizqin, dia tersenyum padaku. “Abang Riz jaga kakak Iqa baik-baik tau. Kalau kakak emel dekat Iqa abang buli dia, siap abang.”
Pertama kali berseloroh dengan bakal abang iparku ini rasa senang hati juga. Dia ternyata mudah mesra dan tidak lokek hendak membantu bila ayah mengajaknya menghantarku ke lapangan terbang.
“InsyaAllah. Nanti kalau kata Iqa timang anak buah, kena balik tau. Dahlah kenduri kami nanti Iqa tak ada dah. Kalau timang anak buah nanti, Iqa tak balik juga, emm, abang suruh kakak Iqa ni beranak lagi tahun berikutnya. Sampailah Iqa balik,” gurau dia.
Mata Kak Shadirah bulat. Dia menjeling bakal suaminya tajam. Aku ketawa kecil. Boleh tahan juga abang ipar aku ni nanti.
“Emm, elok jugaklah tu. Lima tahun Iqa tak balik, lima oranglah anak buah Iqa dapat. Waaa, meriah rumah kita nanti, mak.” Sengaja aku mengusik kakakku yang sudah merah wajahnya.
Dia tertunduk malu sebelum aku peluk dia seerat mungkin. “Moga segala kebahagiaan menjadi milik kakak. Jaga mak, jaga ayah. Utuskan berita buat Iqa selalu,” bisikku dan dia mengangguk.
“Okey, dah sampai masa dah ni. Nak kejar yang kat sana pulak ni,” ucapku pada mereka.
Tangan mak dan ayah aku salami sekali lagi. Bila berakhir dengan tangan Kak Shadirah, aku rasanya bahuku di tepuk orang dan bila aku angkat wajahku ternyata dia yang tidak mahu aku temui, ada di depanku kini. Berwajah lelah dan menjinjit sesuatu di tangannya.
“Kenapa aku tak tahu kau nak pergi, Shaq?” tanya Zikri.
Aku kelu. Tidak tahu hendak menjawab apa setelah pada mak dan ayah aku beri amanah agar berita pemergiaanku tidak sampai kepada sesiapa sehinggalah aku tiada lagi di bumi Malaysia.
“Err, aku… aku….” Ternyata lidahku berat. Berat sangat.
“Kau memang tak berniat nak bagi tahu aku, kan?” tanya dia dan aku mengangguk. Entahlah. Aku tidak tahu apakah jawapan yang harus aku berikan.
“Kau memang bukan Shadiqah aku lagi rupanya,” ujar dia berbisik. Cukup sekadar kami yang mendengarnya.
“Kerana kau juga bukan lagi Ziki kepunyaan aku tapi kau adalah Zack milik Annesa,” sambung sedikit sinis. Dia mengangguk lemah. Bibir itu tersungging dengan senyuman sinis.
“Aku tak datang untuk halang kau, Shaq. Tapi, aku nak pulangkan apa yang pernah aku hadiahkan untuk kau.” Zikri suakan sebuah kotak yang sudah ku tahu apa isinya.
Aku senyum segaris. Tidak pula aku tahu bagaimana kasut itu boleh berada dengannya. Hendakku tanya tapi ini bukan masa yang sesuai. Aku perlu berlalu. Masa tidak pernah menantiku.
“Aku tak sesuai hendak memakai kasut secantik ini, Ziki.” Aku menolak lembut. Begitulah kata Annesa dulu. Aku tidak sesuai untuk kasut itu.
Zikri menggeleng. “Ini milik kau dan akal kenal jadi milik kau tak kiralah sesuai atau tidak.” Zikri menarik tanganku lalu dia letakkan kotak itu di atas telapak tangan ini.
“Terima kasih,” ucapku lemah. Rasa sebak hadir lagi bersanggah di laman hati. Penat ku usir tapi akhirnya, sebak dan sedih ini hadir bersama insan bernama Zikri.
Panggilan kedua bergema di seluruh lapangan terbang ini. Aku memandang mak yang kembali menangis. Ayah tersenyum begitu juga Rizqin. Kak Shadirah diam membisu.
“Aku pergi dulu,” ujarku separuh berbisik. Zikri diam. Bibir itu bergetar bagaikan hendak menyatakan sesuatu.
Beberapa langkah aku menapak, kakipun pegun. Pada Zikri aku kalih buat kali terakhir. Kotak kasut itu aku letak di atas kerusi tempat menunggu. Mata Zikri bulat. Wajah itu terkejut.
“Ini bukan hak aku pada asalnya dan tak akan menjadi hak aku sampai bila-bila,” laungku kuat lalu aku berpaling dan melangkah laju melarikan pandanganku yang sudah sarat ditakungi airmata.
Betapa hebat aku menghalang, air jernih ini mengalir juga. Menitislah kau wahai airmata. Mengalirlah semahumu kerana di bumi Inggeris nanti, aku haramkan kau singgah di wajahku biar apapun dugaan hadir bertamu.
~~~> bersambung.
Menyintai bukan dengan syarat dapat memiliki kerana cinta itu adalah untuk melihat orang yang kita cinta itu bahagia dengan caranya sendiri. Usah kecewa kerana di sisi kita sentiasa ada menemani setiap langkah dan ada yang memerhati setiap detik untuk kita terus melangkah di atas landasan yang benar biarpun tiada dia yang kita cintai. Terima kasih, harap sudi komen & bagi idea mungkin. Mungkin dapat menyumbang sedikit idea untuk bab seterusnya..

bagus shaq..jgn amik kasut tu..wahhh..suka dengn karakter shaq..nnt kt bumi inggeris jumpe ngn lelaki yg lagi baik tau..
ReplyDeletesedihnya...huhuhuuhu... blh nangis ar...Biarlah Shaq cari kebahagiaan dia sendiri...
ReplyDeletek.rehan:) update hari-hari please.Setiap sejam saya bukak blog akak sbb nak tngok akak update atau tak:)
ReplyDeletebest2...padam muka ziki 2...hehehe..akak t buat shaq jmpa lelaki lain yang lebih baik dan lbh hensem, baru best...hehehehe
ReplyDeletewaahhhh.. shaq dah tegas dgn pendiriannya :)
ReplyDeleteI love it.. adakah hati shaq akan beku sedingin salju terhadap mana-mana lelaki nt? yelah.. pengalaman hidup biasanya mematangkan diri utk buat keputusan. bukan mudah kita nak ikhlaskn hati memayungi orang lain wlpn kebahagiaan kita tercalar..
setuju ngan afiqah...bukan setiap jam...asal on je lappy trs cari n3 baru ....sedih kn baca ...sian iqa tp bagus sbb dia ttp trskn cita2 n tabah walau kecewa......pasni nak tgk zikri cmne bila dah x de yg tlg payungkn dia...bila x de depan mata baru nk tersedar kot hati tu utk sape sebenarnya....x sabar nk baca kisah iqa kt sana pula .....cite ni watak heroin dia lain ....seorg yg berfikiran matang n tabah ....moga iqa jumpa kebahagiannya nnti....
ReplyDeleteRM thanks for this entry, like it cause Shaq moves on.. just an idea.. Shaq who is still sad attracting an interest of a special someone while on the plane, he switches place and sits next to her..getting to know her n making her laugh. Make him a young businessman with all the good qualities (enough with students!). Maybe love at first sight for him!! (but not her, she needs some convincing after being hurt) Let him be Shaq's umbrella to protect her..later3 on, make known to readers that the man once rejected Annesa so she would be so jealous seeing them so in love, Ziki? melepas.. padan muka dia!
ReplyDeletesbnarnya x follow pun citer ni.tpi n3 15 n 16 ni mcm mnarik tuk dibaca.mgkin sbb slalu diupdate kot.
ReplyDeletepapepun suka watak shaq.she deserve better~
>>k<<
memang terbaik.... suka la dengan watak shaq...
ReplyDeleteshaq jangan berpaling kebelakang untuk zikri... cari teman baru .. untuk payung kan shaq, butkan shaq gembira dan jatuh cinta....
cepat la sambung sy selalu bukak blog RM... nak tau cite selanjutnya...tq ..menarik sgt cite ni..
jangan lupe update cepat cikit...
RM, esok letak n3 bru pulak.Sedih sngat ni... sian dgn Shaq...
ReplyDeletewaa...inilah shaq yang sy tunggu2.bgus shaq!zikri tu,memang selfish!bukan dia seorang jer yang ade kat situ.shaq,seorang yang baik macam kau perlukan someone to protect u..akak rehan..please jangan jadikan zikri seorang hero dalam cerita ni..shaq deserve someone else...
ReplyDeleteSalute kat Shaq, watak macam inilah yang saya cari
ReplyDeletedalam setiap novel tp jarang ketemu..
Shaq lupakanlah kisah silam dgn. Zikri yg. x pandai
menilai, yg. gunakan nama persahabatan atas kepentingan diri sendiri... moga Shaq bertemu kebahagiaan di tempat baru & jangan kunci hati itu kerana seorang Zikri masih ada lagi ruang kasih untuk bertapak di bumi sana..
Pastinya selepas 5 thn., Zikri menyesal x sudah melepaskan Shaq pergi...
like...like..huhuhu..shaq pergi mmbwa hti...smoga di bumi ingeris 6ti..ada kbagian yg mnggu shaq
ReplyDeleteKak Rehan , terbaek ar ! Tapi kesian shaq . Harap kat sana nanti , dia jadi kuat lagi . Nak ziki menyesal tak sudah lepaskan shaq tu .
ReplyDeleteaduh sedihnya....cerita yg padat..terbaik lah RM
ReplyDeletemama Izz
pergh..satu tindakan yg cukup hebat dari shaq dengan melangkah pergi meninggalkan kenangan dan cinta yg tak kesampaian ..mencuba untuk melangkah pergi tanpa zikri disisinya..dan mebuka langkah baru di bumi asing ..
ReplyDeleteAkak mengharap agar diketemukan dengan jejaka yg lebih baek..lebih kaya..kalo boleh jutawan dimana boleh memayungkan dirinya ..tidak kira diwaktu apa sekalipun ..dia masih tetap disitu memayung shaq hingga ke akhir hayat mereka bersama..(sori dik teremosi sikit ngan E3 ni sbb akak rasa akak kejam bila zikri menyuruh shaq memujuk emaknya menerima dan meminang Annesa untuk dirinya tanpa memikirkan perasaan shaq yg mana dia telah ketahui menyintainya sepenuh hati..dan boleh pulak kasi kasut tu lagi kat shaq sdgkan dia tahu shaq tidak mahu ada apa apa hubungan dengan mamat poyo tu..semenjak mereka berjumpa kali terakhir didenai itu..) wa..dik..akak dah sedih giler ni..macam nak jetus dan empuk mamat poyo tu..
Adik sambung la cepat citer ni..
sedih gila. hope kat bumi orang putih nie baik2 sahaja hendaknya. hope dpertemukan dengan insan yang sebaiknya untuk heroin.
ReplyDeleterm, tahniah. tbaik. alhamdulliah. amin...
setuju je ngan "anonymous said"...
ReplyDeletebiar shaq jumpa someone dlm flight nanti yg boleh menyembuhkan lukanya n buat shaq jatuh cinta padanya n lupakan terus zikri...
shaq, u better deserve someone better than zikri....bagus tindakan u utk tidak menerima kasut pemberian zikri...buat apa disimpan n dikenang... buat tambah luka dihati je...bangkitlah dari kesedihan dan capai cita2 mu itu...buktikan pada zikri, tanpa dia disisi shaq tetap berjaya n bahagia....
Syabas Shaq, suka dgn tindakan yg diambil,
ReplyDeletetinggalkan je kasut hadiah dari Zik tak perlu
lagi kenangan yg pahit utk dikenang. RM berilah
Shaq jumpa dgn jejaka yg dpt memayungi Shaq pula
setelah begitu lama Shaq payungkan Zik tapi tak
pernah dihargai. Biarlah dia jumpa dgn jejaka
yg dpt jatuh cinta dn terus melupakan si Zik yg
tak guna tu...
saya suka dgn tindakan shaq! zikri akan tahu betapa berertinya shaq di sisinya selama ini.
ReplyDeleteila danish
memang sedih bab ni....biarlah masa 5 tahun dapat menyembuhkan luka di hati iqa.semoga iqa bertemu lelaki yg benar2 menghargai kasih dan sayang dia.
ReplyDeletesedihnye....
ReplyDeletebgla shaq dpt lelaki yg lbh baik...
sambung cpt2 ye..
jauhnya shaq pg..kasut tu msti zikri simpan wat kenangan..dpt ke simpan?kot2 annesa buang t
ReplyDeletethere you go girl! harap2 shaq jumpa someone yang boleh ubati luka di hati tu. agreed w anonymous; meet in the plane... hehehe cpt sambung. -tia
ReplyDeleteGo syaq,biarkan si zikri tuh...
ReplyDeleteaduh,boleh nangis sama aku baca novel ni,hati pon sakit je dengan zikri...
hope syaq lebih tabah bila dia dah ke oversea tuh...
Saya suka karakter shaq..lambang wanita kuat dan gigih...wanita masa kini...
ReplyDeleteAssalamualaikum semua..maaf baru sempat reply komen sbb sy kurang sihat..terima kasih sangat2 pd yg bagi idea cadangan utk next chapter..sy hargai..mane yg sesuai sy akan amik..kadang2 penulis pon lost gak..huhu..
ReplyDelete