Geng

Tuesday, January 17, 2012

Sini, Aku Payungkan Kau! 24

BAB 24

BIBIR wanita di depanku ini senyum terpaksa. Aku tahu kerana aku juga sedang memaksa bibir ini terus mengukir senyum. Mataku sedari tadi menekur ke lantai. Tidak tahu hendak berkata apa sebenarnya setelah bertahun tidak bersua sedangkan perpisahan kami ternoktah dengan begitu malang.

“Lama tak jumpa. Kau nampak makin matang,” tegur Iwan. Aku terus menyoroti mata Iwan dan dia menjeling ke arah Dalyla di sisinya.

Aku tidak terus menjawab sebaliknya, aku pandang wajah Zikri yang masih kaku tanpa ada tanda hendak sedarkan diri sedikit pun.

“Matang? Aku pun tak tahu apa makna matang tu, Wan,” balasku seadanya.

“Sihat?” soal Iwan lagi. Aku mengangguk. Berat lidah ini hendak berkata-kata melihatkan Dyla yang silih berganti melihat ke arahku dan Zikri yang terlantar di katil.

“Macam mana kau boleh ada kat sini, Wan?” Dalam hati ini terasa pelik juga bila dia tiba di muka pintu bilik ini.

Iwan memandang Dyla sekilas. “Kami dapat kad undangan dari Zikri tapi kami tak dapat datang sebab tarikh tu, aku dengan Dyla….” Suara Iwan terhenti.

Dia merenung ke dalam anak mataku. Menghantar isyarat agar aku fahami apa yang mahu disampaikan olehnya. Aku menggariskan senyuman. Faham benar dengan ayat yang bakal terluncur dari celah bibirnya.
Dari cara mereka, aku sudah dapat menebak, apakah status hubungan mereka sekarang dan akulah yang paling bersyukur bila doa ini termakbul. Mahu melihat mereka bahagia biarpun aku yang menderita.

“Tahniah,” ucapku pada keduanya. Dyla nampak malu-malu. Namun, sedikit senyum tidak terukir langsung pada wajah itu.
“Hari yang sama Zikri sepatut nikah tu, aku dan Dyla bertunang, Shaq.” Iwan akui akhirnya.

Telinga ini hanya menerima kenyataan itu dengan hati yang tenang. Sememangnya itulah yang sebetul dan sepatutnya buat mereka berdua. Lima tahun bersama, bukan satu jangka masa yang singkat. Sedangkan aku, hanya mengenali Zaim beberapa waktu saja, namun hati ini tetap terjentik oleh satu perasaan asing biarpun tidaklah sehebat mana kerana dari situ, aku akan belajar mencintai.

Dyla tunduk. Langsung tidak berani merenungku. Dia tunduk saja memusingkan cincin belah rotan di jari manisnya. Tanda dia kini adalah tunangan lelaki yang dia cintai sejak dulu.

Kepala ini aku pusing memandang Zikri. Sesekali, aku menyapa belakang tangannya yang berlapik selimut putih bersih itu. Menepuknya perlahan, berharap agar dia segera bangkit melihat ke arah kami. Teman-teman yang pernah melalui suka duka bersama dulu namun akhirnya, ternyata duka itu kekal menjadi milikku biarpun dia yang lain mampu kecapi bahagia dengan cara sendiri.

“Tahniah sekali lagi daripada aku. Ternyata, jodoh tu memang milik kau berdua. Aku tumpang gembira biarpun selama ni, aku tak pernah hantar berita sebab aku takut, orang tak sudi nak terima berita aku.”

Iwan tersenyum kelat. “Kenapa cakap macam tu. kami semua rindukan kau. Aku ada cuba jugak nak dapatkan alamat kau kat sana, tapi kakak kau cakap, kau dah amanahkan dia tak bagi cakap pada sesiapa,” ujar Iwan.

Aku ketawa kecil. “Memang kakak aku menjaga amanah, kan?”

Namun, mak tidak. Mak mudah lemah dengan tangisan Zikri. Mak sanggup membiarkan aku di sakiti lagi. Kadang-kadang aku terasa yang aku ini bukanlah anaknya, malah Zikrilah anak kepadanya. Tapi itu salah. Hakikat dan takdir menyatakan dia ibuku dan akal kekal biarpun aku tiada lagi di dunia ini. Aku yakin, mak juga resah kala itu. Dia juga keliru seperti aku. Dia juga serba salah hendak menyatakan tidak setuju.

“Maaf, Wan. Aku bukan sengaja tapi masa tu aku perlu bersendiri. Aku perlu belajar. Jadi, pada aku, cukuplah aku utuskan doa saja buat kau orang semua kat sini,” ucapku seraya bangkit mendekat kepada tingkap bilik ini.

Aku sebenarnya mahu melarikan diri daripada melihat wajah Dyla. Wajah yang pernah aku rindu. Wajah yang pernah aku sayang namun lidahnya lebih hebat memutuskan persaudaraan.

“Awak yang nak jumpa dia tambah pula awak yang banyak buat salah dekat Shaq. Pergilah minta maaf…”

Telinga ini menangkap suara Iwan berbisik pada Dyla. Rasa lucu pula bila keduanya membiasakan diri awak dan saya sedangkan selama ini, aku rasa itu adalah agak mustahil. Tapi, kuasa Tuhan tiada apa yang mahu menghalang. Sekali dia berkata jadi, maka jadilah. Begitu juga dengan kisah hidup dan kisah hatiku.

Aku berpaling sambil berpeluk tubuh dan menyandarkan belakang tubuhku pada dinding melihat ke arah mereka yang nampak agak serba salah bila aku merenung demikian.

“Kau okey, Dy? Sihat?” Aku bersuara ramah cuba menghalau resah di wajahnya.

“Si..sihat, Shaq. Kau?” tanya Dyla takut-takut.

Bila aku renung matanya, dia melarikan bola matanya ke arah lain. Takut hendak merenungku barangkali atau masih lagi marah denganku kerana cintanya yang tidak berbalas.

“Allhamdulillah, aku sihat.”

“Macam mana lima tahun dekat negara orang?” tanya dia lagi.

“Macam yang kau doakan. Segala keperitan hidup tu jadi milik aku!” jawabku sedikit sinis.

Tiada niat hendak mengungkit sebenarnya namun, entah mengapa lidahku lancar hendak mengungkit peristiwa lalu. Doanya itu benar-benar termakbul dan sehingga hari ini, segala derita itu benar-benar menjadi milikku.

Dyla aku lihat gigit bibir. Dia tunduk mengesat juring matanya. Aku tidak tahu adakah kerana kata-kataku menyebabkan dia menangis atau dia masih membenciku bagai dulu.

“Aku minta maaf, Shaq. Aku bersalah pada kau,” akui dia diselangi sendu halus.

Iwan memandangku beriak kesal. Aku tahu dia kesal dengan Dyla satu waktu dulu. Tapi itu perkara lama. Tidak perlu diungkit namun, segala kata-kata akhirnya sentiasa menemani perjalananku tatkala aku diburu perkara pahit.

Mata kami bertatapan lama. Aku terkesan, tubir mata Dyla yang digenangi air jernih. Bila-bila masa saja bakal mengalir ke pipinya. Aku menghadiahkan dia sekuntum senyum yang ikhlas.

“Aku dah lama maafkan kau, Dy. Betapa hebat kau menuduh aku, aku tetap maafkan kau sebab kau kawan baik aku biarpun kau akhirnya menoktahkan persabahatan kita kerana cinta dan syukur, bila doa aku juga termakbul bila cinta yang kau damba benar-benar ditakdirkan menjadi milik kau.” Aku memberitahu apa yang lahir dari hati kecilku.

Tipu andai aku katakan aku mampu lupakan segala fitnah dan kata-katanya padaku dulu tapi setidaknya aku mahu cuba melupakannya.
Airmata Dyla mengalir laju membasahi pipi. Iwan merenung tunangnya yang sedang mengesat airmata di pipi. Aku hanya memandang melihatkan Iwan yang sedikit terkumat-kamit. Memujuk Dyla barangkali.

“Aku bangga kau akhirnya belajar untuk mencintai, Wan.”

Iwan memandangku dengan wajah yang sedikit berkerut. Terentang benar kerut di dahi lelaki berwajah hitam manis ini. Dia memang berbeza dari dulu. Rambut itu sudah kemas terpacak. Nampak segak. Dyla juga sama. Nampak semakin bergaya.

“Tak mudah, Shaq. Aku usaha belajar kerana akhirnya aku sedar, mencintai orang yang mencintai kita adalah lebih baik daripada mencintai orang yang tak cintakan kita.” Renungan Iwan terarah padaku.

Mempunyai makna yang mendalam. Benar begitu. Aku pernah katakana pada dia dulu dan aku bahagia bila dia cuba hingga akhirnya cinta itu milik mereka.

“Cinta ini bukan milik. Sama juga cinta aku. Tak akan pernah jadi milik aku. Tak akan pernah mampu aku tetapkan cinta sendiri. Jadi, hargailah sesama sendiri Wan, Dy….,” nasihatku telus.

Mereka berdua mengangguk serentak. “Aku buta hati sebab cinta aku, Shaq. Maafkanlah aku. Andai kau tahu…” Suaranya mati. Dia bangkit mendekat padaku.

Aku leraikan silang pada dada. Bersedia menerima kehadiran Dyla dekat padaku.

“…aku sentiasa dihimpit rasa bersalah pada kau, Shaq…” Dyla menyapa tubuhku ke dalam pelukannya.

“Dan aku dah maafkan. Jangan risau.” Aku memangkas sambil meleraikan pelukan.

Sebenarnya, masih agak janggal dipeluk oleh Dalyla. Rasa kekok benar. Waktu ini, aku mula merindui Yuza. Diam saja tanpa khabar tapi aku yakin, dia sudah menerima khabarku daripada abangnya.

“Dahlah tu, jangan menangis.” Aku ringankan jariku menyeka airmata di pipi Dyla.

“Kau datang dari jauh nak melawat Ziki, kan? Pergilah, tegur dia. Nurse cakap dia boleh dengar apa yang kita cakapkan ni. Pergilah tegur, kot-kot dia nak bangkit,” ujarku pada Dyla dan Iwan seraya menjeling ke arah Zikri.

Iwan bangkit dari duduk dan terus melabuhkan duduknya di birai katil. Dia memegang tangan Zikri.

“Ziki, aku minta maaf,” ucap Iwan memulakan bicara. Aku dan Dyla hanya memerhati.

“Aku tak tahu kau tak sihat tapi Shaq ada, aku yakin kau akan cepat baik, kan Ziki?” tanya Iwan sambil menjeling ke arahku.
Waktu ini, aku tidak mampu tersenyum. Mereka tidak pernah tahu akan kehadiran Zaim dalam hidup dan hatiku tapi aku yakin Zikri tahu akan semua ini. Hanya menanti masa untuk dia luahkan saja bila mana dia bangkit dari lena ini nanti.

Andai dulu, dia pernah merayuku untuk hubungannya dengan Annesa, kali ini aku pula akan merayu dia untuk hubungan aku dan Zaim. Tekadku bulat di situ. Aku yakin dia akan memahami andai benar seperti yang mak cakapkan. Andai benar Zikri kini sudah terbalik hatinya dan mencintaiku, dia pasti mampu melepaskan aku pergi seperti mana aku pernah lepaskan dia pergi satu waktu dulu.

“Sungguh, Shaq. Aku tak sangka Annesa sanggup buat macam ni. Pertama kali aku melihat dia dan Zikri bergaduh sekali dulu masa farewell kita. Masa tu, kau dah balik.” Kata-kata Dalyla lembut menepuk gegendang telingaku.

Aku berpaling pada dia. Hati ini bergelodak ingin tahu apakah kesudahannya akan kasut yang pernah Zikri hadiahkan padaku dan kasut yang aku tolak bila Zikri menghulurkan buatku pada kali kedua.

“Mereka gaduh?”

Dyla mengangguk. “Gaduh teruk sebab Zikri nampak kau balik macam tu je. Bila dia berlari turun dari pentas, dia tengok kasut kau ada atas meja masa tu. Lepas tu….”

“Lepas tu?” gesaku bila Dyla bagaikan tidak sudi hendak bercerita setelah dia memulakannya.

“Lepas tu Zikri rampas kasut tu dari Annesa dan dia balik macam tu je. Masa kami sama-sama lepak menghabiskan masa-masa bersama beberapa hari setelah majlis tu, Zikri langsung tak bawa Annesa. Jumpa pun tak rasanya. Cuma hari sebelum kami sama-sama berpisah tu, barulah ayah Annesa jumpa Zikri kalau tak silap aku,” ujar Dyla.

“Betul tu, Shaq,” tokok Iwan seraya bangkit melangkah ke arah kami.
Aku memandang raut Zikri. Dada itu kelihatan agak berombak sedikit hentak dibandingkan dengan sebelum ini.

“Tak silap aku, budak-budak lain cakap, Dato’ tu yang pujuk Zikri supaya berbaik dengan Annesa sampailah membawa pada pertunangan ni. Aku tak tahu macam mana Ziki nak tunang dengan Annesa. Mungkin juga sebab cinta atau mungkin juga sebab pujukan keluarga Annesa masa tu. aku memang nampak Ziki keliru tapi nak campur tu tak adalah sebab kami kan tak rapat. Tambah pula lepas kes farewell tu, lagilah aku dengan Ziki tak bertegur, Shaq,” sambung Iwan panjang lebar.

Wajahku berkerut sana sini. Pada fikiranku dulu, Zikri pastilah bersama Annesa hinggakan dia membiarkan aku pulang terlebih dahulu. Sesungguhnya aku silap membuat penilaian terhadap dia. Tapi, bila dia merayu, aku yakin aku tidak silap.

“Dia yang merayu aku tolong dia pujuk mak dia nak tunang dengan Annesa masa tu, Wan. Tak mungkin dia terpaksa.” Aku menggeleng tidak percaya.

“Yang tu aku tak tahu. Tapi, rasanya Annesa sendiri pun berjanji nak berubah kot. Sebab dia yang hantar Ziki kat terminal masa tu,” tambah Iwan.

Aku terkedu memandang Zikri lagi. Lama kali ini hinggakan aku dapat rasakan dia sedang melihat ke arahku. Sedang mendengar setiap butir bicara kami ini.

“Cuma aku tak sangka, bila Zikri sambung study dekat UiTM, Annesa jadi model. Tup-tup nak kahwin, tak jadi then, Zikri terlantar kat sini. Aku rasa terlalu pantas masa berlalu, Shaq.” Dyla menambah.

Aku angguk beberapa kali. Benar, Dy. Terlalu pantas masa berlalu dan terlalu banyak perkara yang telah dan sedang berlaku tanpa engkau tahu apakah yang sedang aku lalu.

Hari ini, aku mendapat kenyataan tentang telahanku selama ini tentang kasut dan Zikri sendiri. Ternyata terpesong jauh tapi,
penolakannya pada cintaku itu benar dan aku tak mungkin tersungkur demi hakikat ini.

“Minta maaf. Masa melawat dah tamat, ya.” Kami sama-sama memandang ke arah pintu, bila seorang jururawat bersuara.

“Oh, maaf tak sedar,” balas Iwan sambil mengerling pada jam di pergelangan tangannya.

“Jom, Dy. Kita nak gerak jauh lagi ni,” ajak Iwan pada Dyla. Dyla mengangguk dan memandang ke arahku.

“Kami gerak dulu, Shaq. Nanti kalau Ziki dah sedar, call ya.”

“ Jaga diri, Shaq,” pesan Dyla lagi. Sama bagai waktu dulu. Waktu yang berlalu begitu saja bersama seribu satu kepedihan.

“Kau pun sama dan tahniah lagi sekali daripada aku. Moga selamat je jinjang pelamin,” ucapku sambil menepuk bahu Dyla.
Dia kemudiannya berlalu dan langkah itu terhenti seketika lalu dia berpaling dan tersenyum.

“Aku silap waktu tu, Shaq. Aku lupa yang cinta kau pada aku lebih hebat dari cinta aku pada Iwan. Nilai persabahatan kau terlalu mahal, Shaq,” ujar dia separuh berbisik. Airmatanya mengalir lagi.

Aku mengedipkan mata sekali. Syukur, bila akhirnya kau sedar akan nilai persabahatan aku yang lebih berharga daripada cinta kau itu, Dy. Mungkin terlambat tapi lebih baik daripada kau langsung tidak menyedarinya.

“Selamat kembali, Shaq,” ucap Iwan pula dan mereka sama-sama berlalu.

Jam sudah bergerak ke angka 6.30 petang. Rasanya sudah hampir 2 jam aku di sini. Bersyukur bila dipertemukan dengan Iwan dan Dyla biarpun dalam keadaan begini. Hendak berpenglipur lara pada mereka tentang kisah hati ini, rasanya tidak mungkin. Aku punyai Zaim dan hanya pada dia aku mahu sandarkan kepala ini andai aku lelah.

“Saya balik dulu, cik,” ucapku pada jururawat tadi bila aku menatap wajah Zikri seketika. Mengucapkan kata-kata selamat dan juga menghulurkan salam buat dia.

“Eh, puan tak nak tunggu suami puan ke? Mak mertua puan tak datang, kan?”
Aku melangkah mendekati pintu. Bila saja aku melalui jururawat itu, aku berhenti di kirinya.

“Maaf, cik. Saya bukan isteri dia dan dia pastinya bukan suami saya. Saya hanya teman lama je. Mungkin cik dah salah faham. Saya balik dulu,” ujarku separuh berbisik lalu aku melangkah keluar meninggalkan jururawat itu yang termangu sendirian.

Aku hela nafas lega bila menjauh daripada bilik Zikri dan terus menapak keluar daripada hospital. Mungkin aku lemah menatap bening mata orang tua, tapi selemah-lemahku, aku mahu jaga hati ini buat dia yang sudi.

Namun, hatiku dijentik jua oleh rasa pilu bila teringatkan kata-kata Iwan dan Dyla sebentar tadi. Semakin terngiang suara mereka di telingaku, semakin pedih pula rasanya. Sudahnya, aku beristighfar berkali-kali bermohon dan menyerahkan urusan hati ini pada Dia yang maha Mengetahui.
***
Jenuh menghitung hari namun Zikri tetap begitu. Jangan kata hendak sihat, kelopak matanya juga langsung tidak bergerak. Berhari-hari aku menjadi pengunjung setia pada dia di atas rayuan dan menghormati kehendak orang tua. Aku sebetulnya sudah tidak tahu apa yang harus aku lakukan lagi.

“Awak tak kasihan ke dekat Iqa tu, Saira?” Aku dengar suara ayah sewaktu hendak keluar dari bilikku. Langkahku pegun di balik pintu. Memasang telinga bagi mendengar perbualan mereka.

“Betul tu, mak. Ira tengok Iqa tu dah macam patung bernyawa je. Hari-hari pun melawat Zikri. Hari-hari pun macam tu. Kasihanlah mak dekat Iqa.” Suara ayah disambung pula dengan suara serak Kak Shadirah.

“Sai terikat dengan janji pada Zainab, bang.” Ayah mengeluh bila mak berkata demikian.

“Janji apa, Sai? Janji tu kan kita dah tunaikan lima tahun dulu, tapi Zikri tolak. Saya kasihan tengok Iqa tu. Sejak balik ni, dia dah tak pandai nak ketawa nak senyum. Sampai bila nak biar dia korbankan diri dia sebab budak Zikri tu?” tanya ayah agak keras.

Aku sudah mengalirkan airmata. Tersekat nafasku menahan sendu agar tidak terlalu keras.

“Betul tu, mak. Riz tengok Zaim tu baik je. Boleh jaga Iqa tapi Riz tak cakaplah Zikri tu tak baik, cuma sekarang ni, hati dan kebahagiaan Iqa tu paling penting, mak,” pujuk abang iparku pula.

“Tengok, Sai. Menantu awak pun boleh menilai. Tak kan awak tak boleh? Nab dengan Zul akan faham. Saya tak kisah kalau awak nak Iqa teman Zikri, bantu dia sampai dia pulih, tapi jangan paksa hati dia terima Zikri. Kalau suatu hari nanti dia nak pilih Zikri juga, kita restui jelah. Andai kata Zaim yang dia nak pilih, pun kita restui. Jangan kejam sangat pada anak-anak, Sai,” ucap ayah lalu aku dengar derap tapak kakinya menuju ke dapur.

Aku mengintai dari tirai kamarku dan ternyata Abang Riz juga bangkit berlalu ke biliknya. Hanya Kak Shadirah yang masih di situ.

“Mak salah ke, Ira?” Suara mak sebu bertanya pada Kak Shadirah.

“Mak tak salah, tapi kebahagiaan Iqa yang utama, mak,” jawab kakakku sopan. Mak tunduk membisu. Aku tahu dia menangis dan aku sendiri sudah dijeruk airmata.

Hari ini, rasanya mak sudah tidak kerap menyuruhku melawat Ziki. Hanya ada masa-masa tertentu dia bertanya begitu tapi bila aku menolak lembut, dia hanya diam saja. Sudah penat menangguhkan niatku, aku akhirnya berkeras pada mak hendak ke Putrajaya untuk melapor diri. Pihak JPA sudah berkali-kali menelefon. Bimbang juga andai pihak JPA mengambil apa-apa tindakan padaku nanti.
Mak bersetuju dengan berat hati. Aku tahu dia bimbang aku bertemu Zaim tapi itulah hakikat dan tiada gunanya aku menutup kenyataan.

“Iqa minta izin mak nak jumpa Zaim. Dia dah tunggu Iqa kat sana,” ucapku pada mak.
Mak diam. Ayah yang mendekat padaku memeluk bahuku erat. Senyumannya lebar bagaikan mahu memberikan sedikit kekuatan padaku.

“Pergilah. Ayah izinkan. Kirim salam pada Zaim tu. Cakap pada dia, kalau nak cepat-cepat. Nanti kena mak Iqa ni pelawa Iqa kat orang lain pulak,” ujar ayah menyindir mak.

Mak ketap bibir. Lambat-lambat dia mengangguk. “Pergilah. Baik-baik. Nanti dah sampai telefon mak.”

“Zaim jemput Iqa ziarah keluarga dia, boleh kan mak?”

Mak mengangguk lemah. Memberi jawapan di atas pagar. “Tapi, hati-hati,” pesan mak lagi.

Setelah tangan kedua mereka aku salami, aku terus saja berlalu. Rindu sesungguhnya rindu pada seraut wajah yang semakin mendapat tempat di hatiku.

Belum sempat aku melepasi ambang pintu, suara mak sekali lagi menyeru dan bila aku berpaling dia sedang menapak ke arahku.

“Mak tak nampak yang Iqa cintakan Zaim. Iqa betul ke sukakan dia, nak?” Persoalan daripada mak itu membuatkan aku terkedu sejenak.

Lambat-lambat aku ukir senyum. “Kenapa mak cakap macam tu?”

“Sebab selama ni mak nampak Iqa sangat cintakan Zikri, sebab tu mak tanya bila Iqa cakap tak nak pada Zikri.”

“Mak…” seruku. “Iqa ni pilihan kedua Zikri dan Iqa tak nak menjadi pengganti pada lelaki yang baru saja mengubah arah setelah arah yang dia pilih itu tertutup. Iqa bukan simpang untuk dia pilih, mak. Memang Iqa pernah cinta dia dan sekarang pun rasanya sayang tu tetap bersisa. Tapi, hati Iqa ni nak cinta Zaim. Iqa nak cinta dia. Iqa nak cinta dia,” tekanku bersungguh-sungguh. Jemari tua mak aku genggam erat.

“Iqa bahagia macam tu?”

“Iqa bahagia sebab dia cintakan Iqa.”

“Kalau itu kata Iqa, mak tak boleh nak buat apa. Tapi, jangan sampai terluka lagi. Mak sedih sebab pernah buat Iqa terluka dulu, dan hari ni hampir buat Iqa terluka lagi. Mak doakan Iqa tak kiralah siapa pilihan Iqa,” ucap mak. Tangan tuanya mengusap lembut kepalaku yang berselimut selendang berwarna hijau muda itu.

Aku agak terkejut dengan kata-kata mak. Pertama kali rasanya dia mengalah denganku. Andai selama ni, putih katanya, putihlah yang perlu kami warnakan. Aku jatuhkan pandanganku ke belakang mencari wajah ayah. Dia senyum dan memberi isyarat padaku membuatkan aku mengerti, mungkin saja ayah sudah mula campur tangan dalam hal ini.

Padanlah dia berkata demikian. Patutlah dia berharap agar Zaim menyuntingku secepat mungkin. Terima kasih, ayah. Ucap hatiku penuh rasa syukur mempunyai ayah yang memahami biarpun mak sering kali mendesak.
Perjalanan yang berjam-jam lamanya bagaikan berhari-hari pula bila merasakan Zaim sedang tidak sabar menantiku.

“Pergilah, nak. Mak restui,” bisik mak bersama linangan airmata sewaktu dia mengucup dahiku waktu itu.

“Cik, turun cik. Dah sampai ni,” tegur konduktor bas. Aku tersentak. Ya Tuhan. Terlalu kerap aku dilamun angan beberapa hari ini.

“Err, maaf bang. Terima kasih, ya!” ucapnya kembali dan terus saja melangkah turun keluar daripada perut bas dan tanpa sangka mataku terus bertentangan dengan mata Zaim yang sedang tersenyum padaku.

Tenang menanti dengan tangan yang diseluk ke dalam poket seluar slack hitamnya. Lengkap penampilan bergaya itu kameja biru laut yang dilipat separas siku dan vess di luarnya. Nampak berkaliber namun sampai hari ini kami masih tidak sempat hendak berbicara tentang diri masing-masing. Apakah kerjanya aku juga tidak tahu.

“Macam mana tahu saya turun dari bas ni?” tanyaku bila aku sudah berada tepat di depannya.

Hiruk pikuk Hentian Putra tidak langsung mencantas pertemuan kami yang penuh dihujani resah dan rindu bercampur menjadi satu. Rindu itu makin menderu setelah mak mengizinkan. Cinta ini makin bercambah bila ayah merestui.

“Hati saya ada pada Iqa. Jadi ke mana saja Iqa, saya tetap dapat rasa di mana Iqa,” jawab dia romantis.
Pertama kali, aku tersenyum malu pada dia. Rasanya aku baru belajar hendak tersenyum selama ini. Senyuman yang aku sendiri tidak tahu, pernah atau tidak aku ukirkan buat yang lain.

“Sini…” Zaim tekan kedua belah pipinya.

“… buat hati saya resah,” sambung dia. Dia kenyit mata sekali dan aku membulatkan mata.

Serta merta, pertemuan pertama kali lima tahun dulu singgah di memori. Pertemuan yang belum berbalas. Pertemuan yang menjadikan aku penghutang kepada secawan kopi dan akhirnya bertambah menjadi dua.

“Nak ke lesung pipit ni?” tanyaku sambil menyentuh pipiku sendiri. Zaim telan liur.

“Nak…” Dia angguk. “Tapi, bukan untuk saya lah. Untuk zuriat saya dari rahim Iqa nanti.”

Kali ini, giliran aku pula menelan liur yang terasa manis. Hilang wajah Zikri. Hilang rayuan mak. Hilang keluh kesah keluarga Zikri. Apalah ada pada cinta andai kita tidak mahu belajar mencintai kerana Iwan dan Dyla juga belajar tentang ini selama ni.

“Jangan renung saya macam tu, Iqa. You make me feel wanted by you. Yang pasti, jiwa lelaki saya resah,” ujarnya tiba-tiba. Aku terpempam. Termalu sendiri. Zaim ketawa kecil.

“Iqa datang ni mohon izin mak tak?” soal Zaim setelah tawanya reda.

Aku pantas mengangguk. “Alhamdulillah, mak izinkan,” beritahuku dengan nada gembira.

“Hai, gembira lain macam je ni. Iqa ada bawa berita menarik untuk saya ke?”

“Sangat menarik,” jawabku berseloroh. Zaim ketawa.

“Emm, boleh saya tahu?” Dia memandang bersama rayuan.
Aku pula membawa mataku jatuh pada jari manis yang masih ternyata ada cincin pemberiannya terletak elok di situ.

“Cincin ni, akan kekal kat jari manis Iqa sampai bila-bila,” ujarku berkias. Zaim melopong habis. Barangkali tidak percaya dengan kata-kataku.

“Ya Tuhan, syukur di atas rahmat ini.” Dia menadah tangan ke udara lalu dia raup ke wajahnya.

“Tapi, bagi masa untuk Iqa didik hati Iqa untuk mencintai awak sepenuhnya, Zaim.” Zaim mengangguk bersetuju. Aku tahu dia tak mungkin memaksa kerana dia sememangnya begitu dari asalnya.

“Berita baik ni. Jom, kita jumpa mama saya. Saya parking tingkat dua,” ajak dia bersama sisa tawa.

“Tapi, kan nak pergi Putrajaya dulu.” Aku mengingatkan dia lembut. Zaim tepuk dahi.

“Ya Allah, dapat berita baik dari Iqa terus lupa benda lain. Kita selesaikan hal Iqa dulu kemudian kita jumpa mama and guest what?” Dia jungkit kening.

“What?”

“Yuza dah nak balik Malaysia. Rindu awak katanya. Dulu nak balik sebab rindu Abang Zaim, then now she miss her sister in-law la pulak,” gurau Zaim. Aku ketawa malu.

Baru saja hendak berpaling, langkah Zaim pegun. Aku yang berada di belakangnya hampir melanggar tubuh sasa itu.

“There you are. No wonder I cari you dekat pejabat you tak ada. I dah cakap I nak jumpa you hari ni, Zaim. What the hell are doing here, hah?” Aku kecut mendengar suara seorang wanita yang memarahi Zaim di tengah-tengah orang ramai.
Perlahan-lahan aku sembunyikan tubuhku di belakang Zaim dan dia yang bagaikan mengerti hanya menjeling ke arahku. Tidak berani melihatnya.

“You ikut I?” tanya Zaim tegas. Wanita itu mendengus kasar.

“I ada urusan penting. Maaflah I tak cakap pulak I setuju you nak datang jumpa I hari ni,” balas Zaim tenang. Suara itu masih lembut. Membuatkan aku makin kagum pada dia.

“Apa yang penting dari I ni, Zaim. Cuba you cakap!” bentak suara itu lagi. Aku telan liur berkali-kali. Kecut sebenarnya.

Tanpa sedar, Zaim menarik lenganku yang berlapik dengan baju kurung kapas yang aku pakai. Bila aku benar-benar tepat di sisinya, tangan lelaki ini ringan memeluk bahuku buat pertama kalinya. Aku ingin menepis namun bila aku angkat wajah dan menatap wajah wanita ini, aku rasa terlalu kecilnya dunia.

Lidahku kelu. Mata wanita itu juga terpaku padaku. Bersinar-sinar, menyala-nyala dengan api kemarahan. Tapi, aku masih menolak kebenaran di depanku ini. Masih tidak percaya.

“Meet my fiancĂ©e, Shadiqah,” beritahu Zaim pada wanita di depan kami ini dengan penuh keyakinan.

Semakin membulat mata galak yang dihiasi bulu mata palsu itu. Pelukan Zaim semakin kemas di bahuku. Aku yakin Zaim dapat rasakan getaran pada tubuhku cuma dia tidak tahu, kerana apakah aku menggeletar sebegini.

“Zaim,” sapa satu suara dan bila kami berpaling Zaim beriak terkejut.

“Eh, mama buat apa kat sini?” Dia melepaskan bahuku lalu dia salami tangan wanita itu yang ternyata ibunya. Seorang wanita yang bergaya dan nampak berpendidikan. Mam Zaim merenungku seketika sebelum beralih pada Zaim kembali.

“Mama pergi pejabat Zaim tadi. Lepas tu nampak Zaim keluar, Annesa ajak mama ikut Zaim.”

Waktu ini, dunia bagaikan terhenti bila ternyata benar wajah itu adalah milik Annesa.

“I just can’t believe this!” ujar Annesa padaku.

~~~> bersambung

36 comments:

  1. hmmmm ingatkan dah takda halangan, tup2 ada yang lain haiiii kesian betul kat depa ni...susah sgt nak mengecapi kebahagian..ape2 pun layannnn XD

    ReplyDelete
  2. pompuan tu mesti annesa kan? don't tell me yg annesa tu calon pilihan mama zaim... TIDAK!!!!

    ReplyDelete
  3. Nampaknya dugaan buat Iqa tak berakhir lagi setelah dapat daripada restu ayahnya... Chaiyo Iqa for Zaim's love. And chaiyo Rehan for this novel.

    -ety.s

    ReplyDelete
  4. please...jangan wat citer nie berbelit...
    tolong la kata mama zaim tue atas pagar...
    anything kan be done as long as zaim happy....

    ReplyDelete
  5. dugaan dtg lagi..mesti annesa tu....

    ReplyDelete
  6. knp mesti Anessa yg jd penghlng ishhh..geram betul la...jgn bg iqa berubh hati pulak

    ReplyDelete
  7. Kesian gila Iqa :( Tembak kang Annesa tu -.-

    ReplyDelete
  8. adoiiii...kak rehannnn...ishhh hati ni sumpah mcm nak meletup..gerammmm ya amatttt..tp 2la novel y berjaya adalah ble kte mampu hayati ape y writer nak tuleh..so pape pn gud job akak..*even hati saya ni berdarah2 bace..huhuhu*

    ReplyDelete
  9. dulu anessa halang iqa dan zikri, skrg ni nak halang iqa dgn zaim lak ke...adoiyaiiii...

    ReplyDelete
  10. hohoho!!hope x jadi senetron yg berbelit2..

    ReplyDelete
    Replies
    1. sinetron ek..hehe..takde la.cite ni pendek je kot..hehe..

      Delete
  11. DH AGAK DAH MESTI ANNESA POMPUAN TU. ADUHAI LG KRONIK LA LEPAS NI. BC N3 NI PUN HATI DAH BERTERABUR. HARAP2 XDE KONFLIK YG DAHSYAT LPS NI. KESIAN PD ZAIM N IQA, X HBS DI UJI-KAK ZAITON

    ReplyDelete
  12. Saya yakin iqa masih cintakn zikri.. Gerak hati ibu selalunya benar.

    ReplyDelete
  13. salam RM, i pray iqa is strong enough to fight for her new found love for zaim and zaim's love is strong enough to protect iqa no matter comes what may. i wish zaim's mom is not like a typical malay mom who likes to meddle in their children's love life..

    ReplyDelete
  14. not again........................
    punyalah ramai perempuan dlmdunia ni,ngape Anneesa lak ???????
    apapun, best!!!!!!!!!!!!!!
    follow!!!!!!!!!!!!!!!!!!

    ReplyDelete
  15. Annessa jadi penghalang sekali lagi...
    nampaknya macam Zikri jugak yang jadi heronya,
    sebab Iqa mestilah payungkan Zikri yang tak kuat iman tu,
    and Zaim pulak payungkan Annessa,
    saling memayungi supaya Zikri dan Annessa tu jadi lebih baik :)

    ReplyDelete
  16. Dah agak dah mesti pompuan tu Annesa .
    Haisshh~ gatal betol Annesa tu .
    Dulu nak Zikri , skang Zaim pulak .
    Sape yg Iqa suka , tu yg dia nak . Dengki betol la .
    Harap mama Zaim terima Iqa seadanya .
    Kak Rehan , sambung lagi eh cepat2 .
    Tak sabar ni nak tau apa nak jadi pas ni .

    [syaza_nadiah]

    ReplyDelete
  17. cisssss...hampessss punya aneesa...sanggup tinggalkan ziki sbb nak kejar yg kaya raya... iqa kena kuat semangat..zaim mesti pertahankan iqa neh...

    ReplyDelete
  18. huhuhu dah agk dah annessa la orngnya...kacau daun btul la!

    ReplyDelete
  19. HADOII...dah kata dah mesti minah gedik tu....kacau orang jer...

    mama izz

    ReplyDelete
  20. alahai ..dik..baca permulaan hingga ke 3/4 citer ni..akak dah gembira..bila masuk bab akhir..kecewanya akak..bila Annesa tak jadi kawen kerana mengejar cinta zaim...alahai..mesti ada konflik lagi..antara mama zaim dan zaim sendiri..mengenai perhubungan mereka berdua..
    mesti iqa akan dilukai lagikan..ngan penolakan mama zaim yg mesti nakkan Annesa dan bukan gadis kg yg kolot seperti iqa menjadi menantunya..

    ReplyDelete
  21. Hahaha....what a small world!!!...

    ReplyDelete
  22. Before ni x pernah pun rasa nk comment.. Tp bila baca episo kali ni mmg rasa cam nk meletop jee.. Hope iqa will marry zaim.. Dan zikri akan pertahankan kbhgiaan iqa.. Mintak2 la anessa tu sebenarnya da pregnant pnbefore ni and zikri tu just kambing itam jee.. Ape2 pun good job tu writer!!

    ReplyDelete
  23. annessa is here..menarik neh.ase2 kalo wak ending Iqa dengan Zikri ag best kot..sbb Mak dia pun mcm faham2 jerk hati Iqa tu...IQA cintakan ZIKRI lagi la..x caya try tnya IQA sendri.

    ReplyDelete
  24. hahahaha..dah agak dah.. mesti perempuan tu... apa la nasib ko iqa... x sabar menanti next entry.. tahniah..

    ReplyDelete
  25. Biarlah mama Zaim berkenan sgt kat Iqa bukannya si Annesa
    yg gedik tu...Writer nak Iqa dgn Zaim, sudah-sudahlah
    halangan cinta Iqa dan Zaim. Semuga Iqa dan Zaim dpt
    disatukan segera tanpa apa apa halangan di kedua belah
    pehak.

    ReplyDelete
  26. wuwuwu... zaim pandai buat ayat bunga2 nk pikat iqa la... blajar dr william shakespeare ke ni? hehe...

    RM, jgnla bagi konflik berat2 sgt... xmampu nk tahan hati yg sayu nnt. huhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. menyampah sgt..x sdh2 dgn konflik. klu mcm ni bila shaq menemui kebahagiaan?

      Delete
  27. Ciss... sabar je la shaq. sendat betul annesa tu. haiyya... wo puchetau ma.. >.<

    ReplyDelete
  28. wooo..jgn cakap zaim nk kene kawin ngn annessa..adoyai..satu2 masalah tmbul..

    ReplyDelete
  29. hailahhhhh.....apa pulak annesa ni yg mama zaim pilih...masalah la

    ReplyDelete
  30. RM

    banyaknya konflik Iqa ni..
    banyak konflik panjang lagi cerita he he
    x mo mcm cerita yg. selalu dibaca, twist kan
    yang mak Zahim sukakan Iqa sebab dia melihat
    dari mata hati bukan di luaran saja...

    Mak Zahim suka Aneesa macam itu saja tapi
    Aneesa yang perasan lebih, lagak bagus! skrg
    baru dia tahu bukan mcm zaman dulu dia boleh
    perlekehkan Iqa kerana Zikri sukakan dia...

    well, waiting 4 ur new entry..

    ReplyDelete
  31. aneesa??dah agak perempuan yg nak dijodohkan ngan zaim tuh aneesa,,keciknya dunia...:)

    ReplyDelete
  32. aneesa???eee gerammm nyerrr!!! dasar penyibuk ,tak sukalh aneesa tu. hope ending citer ni iqa ngan zaim.sweetttt couple

    ReplyDelete
  33. what??
    aduhhh...nape lak ? semakin berselirat lah lepas nie.
    teguhkan hati shadiqah!

    ReplyDelete
  34. tiap2 entry novel ni saya dok nangis..adehhhh..biarkahlan shaq tu bahagiaaa....

    ReplyDelete