BAB 25
NAFASKU sudah tidak selancar mana. Rasanya baru saja aku terlepas daripada mulut buaya namun terdedah pula pada mulut harimau. Jelingan Annesa dan renungan tanpa riak mama Zaim, iaitu Puan Yuzana benar-benar meresahkan. Hati ini berbisik sendiri, dugaan bakal membagai. Namun, hanya pada Tuhan aku serahkan segalanya kerana Dia maha mengetahui.
“Im nak bawa Iqa ke Putrajaya dulu, mama,” ujar Zaim pada mamanya setelah kami sampai di tempat letak kereta. Annesa tidak sudah-sudah menjeling ke arahku. Tajam sekali bagaikan sebilah pedang.
“Mama tak kata tak bagi kamu pergi Putrajaya dengan dia, Zaim. Tapi, mama nak kamu balik rumah dulu. Banyak benda mama nak tanya kamu ni!” Suara mama Zaim tegas di pendengaranku.
Zaim menjeling ke arahku. Aku faham bahasa mata redup itu lalu aku mengangguk perlahan bersetuju dengan cadangan mamanya. Aku tidak mahu Zaim menjadi anak derhaka keranaku. Aku bersendiri juga mampu ke sana. Bukan tidak biasa sebenarnya tapi bila dia ingin menghulurkan bantuan, aku mahu hargai pelawaannya itu.
“Err, awak balik jelah dulu dengan mama awak. Saya boleh je pergi sendiri,” ucapku lembut.
Wanita separuh umur itu aku pandang seketika dan menggariskan senyuman buat dia biarpun bibir merah merekah itu langsung tidak mahu tersenyum padaku. Baru sebentar tadi, rasa lancar liur yang ku telan, tapi kini terasa perit pula.
“Zaim, dia dah cakap dia nak pergi sendiri. Jom, ikut kami balik. I nak you terangkan pada I, apa semua ni.” Annesa bersuara akhirnya. Suara yang sama. Langsung tidak berubah. Hanya penampilannya saja yang sudah terlalu moden.
“I memang nak balik pun ni. Mama jom, masuk kereta and you, get in your own car,” arah Zaim agak keras kali ini. Mungkin dia sudah meluat dengan Annesa yang nampak benar ingin menakluki dia.
“I nak balik dengan you and aunty sekali. Kereta I tinggal kat sini. Nanti you hantar I ke sini semula ambil kereta I ni,” tegas Annesa bila mana Zaim sudah membuka pintu buat mamanya. Aku diam menjadi pemerhati.
“Annesa, please. You ada kereta sendiri, kan? I bawa mama I balik. Kalau you nak datang rumah I, pakai kereta sendiri. I tak suka perempuan yang bukan-bukan naik kereta I,” balas Zaim sinis lalu dia menjeling ke arahku.
Sekuntum senyum terukir di bibirnya. Aku telan senyuman itu dengan hati yang agak pedih. Langsung tidak mampu untukku balas senyuman ikhlas Zaim.
“Mind your words, Zaim. Jangan cakap bukan-bukan pada orang,” tegur mamanya pula. Zaim tunduk beralah.
“Ann ikut kami dari belakang. Jumpa dekat rumah.” Mama Zaim masuk ke dalam perut kereta dan Annesa terus berlalu.
Bila dia hampir padaku, dia menghentikan langkahnya. Bahu bertemu bahu, mata tertentang mata. Jiwa bergelora. Ada marah di sebalik matanya. Ada dendam di sebalik riak itu tapi aku, tetap tersenyum mesra buat dia.
“Dulu kau tak mampu dapatkan Zack, hari ni juga kau tak akan mampu dapatkan Zaim,” bisiknya bongkak lalu dia terus berlalu ke keretanya.
Lemah segala sendi waktu ini. Semput nafasku bila dia berkata demikian tanpa aku tahu apakah silapku selama ni. Percaturan takdir, aku juga tidak pernah menduga begini hebat onak yang perlu aku tempuhi.
Zaim tiba-tiba saja ada di depanku. “Iqa boleh ke pergi sendiri, sayang?” Wajah Zaim risau.
Wajahku mendongak mencari mata Zaim. Aku lebarkan bibirku. Aku hadiahkan senyuman manis yang agak kaku padanya seraya mengangguk.
“Boleh, jangan risau. Iqa tahu jaga diri. Nanti Iqa tunggu awak call Iqa kalau dah selesai semuanya,” jawabku separuh berbisik.
Dia mengangguk malas. Rambut yang jatuh ke dahi itu dia raup berkali-kali ke belakang. Wajah itu sedikit kusut dan aku tidak sanggup hendak mengusutkan lagi keadaannya.
“Iqa jalan dulu,ya?” Aku terus berpaling.
“Hati-hati, sayang,” pesan Zaim dan tanpa sempat aku melangkah pergelangan tanganku direnggut seseorang.
Aku berpaling dan ternyata mama Zaim sedang memegang erat tanganku. Wajah itu tetap masam.
“Kamu ikut sama, Shadiqah!” tekan Puan Yuzana padaku membuatkan aku dan Zaim berpandangan sesama sendiri.
***
PERJALANAN yang mengambil masa sejam ini bagaikan terlalu lama pula. Aku risau di hati. Ada rasa curiga dengan penerimaan keluarga Zaim padaku.
“Masuk, Iqa,” pelawa Zaim sopan.
Belum sempat aku menapak ke dalam rumah, deruman kereta milik Annesa masuk ke perkarangan rumah keluarga Zaim. Rumah lot yang agak rapat dengan jiran-jiran yang lain.
Aku memandang ke arah Zaim.
“Iqa masuk dulu. Mama ada kat dalam. Saya nak cakap dengan Annesa sikit.”
“Baiklah. Tapi, jangan lama-lama sangat. Iqa takut,” akuiku menyatakan yang aku benar-benar kecut hendak berhadapan dengan mamanya.
“Ya… jangan risau. Mama saya okey je. Iqa jangan risau ya, sayang,” pintanya.
Setiap kali aku mendengarkan dia memanggilku sayang, terasa meresap seluruh semangatnya di dalam pembuluh darahku membawa kaki ini terus melangkah ke dalam bila Zaim mendekati Annesa yang baru keluar daripada kereta.
“Assalamualaikum, puan.” Aku menyapa Puan Yuzana lembut bersama sepuluh jari yang aku susun untuk bersalam dengannya.
Dia hanya diam memerhatikanku. Mata itu galak menilik tubuhku dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas. Kemudiannya, mata kami bersabung sesama sendiri hingga akhirnya, aku tarik semula tanganku bila huluran salam tidak bersambut.
“Err, saya minta maaf puan,” ucapku kesal jika benar dia tidak suka aku bersama Zaim.
Usah diungkapkan, dari riak wajah dan bahasa tubuhnya juga aku sudah dapat memahami maksudnya itu.
“Kamu nak minta maaf pasal apa?” tanya dia dengan suara yang mendatar.
“Emm…” Nafasku semput. Tersekat-sekat rasanya suara ini hendak berkata-kata.
“Sebab, mungkin puan tak selesa Zaim berkawan dengan saya. Saya faham,” ujarku lembut.
“Ada saya cakap macam tu?”
Suaranya semakin tegas dan aku cepat-cepat menggeleng.
“Dah tu, kenapa kamu nak cakap macam tu pulak?” sinis dia.
“Saya… saya…”
Belum pun sempat aku menghabiskan kata-kataku, mama Zaim meraih aku ke dalam pelukannya.
“Waalaikummussalam, Iqa,” bisiknya.
Aku masih lagi kaku, tidak percaya akan tindakannya yang pantas ini. Sungguh aku tidak mampu mempercayai hakikat di depan mata bila dia memelukku erat malah semakin rapat padanya.
“Mama dah tunggu lama nak jumpa kamu, Shadiqah. Sejak kamu di luar Negara lagi. Sejak lima tahun lalu bila Zaim cakap pada mama yang dia jatuh cinta pada kamu.”
Mataku bulat. Aku langsung tidak menyangka begini sekali tindakannya membuatkan lidahku kelu, tingkah kaku. Bila Puan Yuzana menolak bahuku, dia tersenyum mesra. Riaknya berubah langsung.
“Kenapa puan…”
“Tak nak panggil puan. Panggil mama,” pangkasnya.
Aku angguk terpaksa bila dia berkata demikian. Rasa terkejut ini masih belum berkurangan lagi.
“Mama ada dengar sikit cerita dari Yuza. Cuma mama tak sangka, betul ke apa yang Yuza cakap tu? Bila mama tanya Zaim, betul ke macam tu dia diam. Jadi, hari ni alang-alang dah dah jumpa kamu, mama nak kamu terus terang dengan mama. Apa hubungan kamu dengan Zaim selama ni sampaikan dia tolak semua perempuan yang mama nak kenalkan termasuklah Annesa tu.”
Aku ketap bibir. Apakah sebenarnya yang Zaim katakan pada mamanya? Dan apakah pula yang Yuzaini beritahu pada mamanya tentangku?
Kami sama-sama menapak, mendekat ke ruang tamu. Puan Yuzana meminta aku duduk lalu dia juga turut melabuhkan duduk di sisiku. Telapak tangan tua itu menyapa belakang tanganku.
“Iqa ceritakan,” pinta dia lagi.
“Err, Iqa jumpa Zaim lima tahun lalu dekat Amsterdam. Masa tu kami transit. Sekali tu kami jumpa dan lepas tu, kami jumpa lagi dekat Manchester. Iqa tak pernah ada perasaan pada Zaim sebelum ni, tapi Iqa didik hati Iqa untuk terima dan cintakan dia,” jawabku jujur.
“Patutlah Zaim tu asyik minta masa je bila mama suruh dia bawa Iqa jumpa mama. Sejak dari lima tahun lepas. Jawapan dia, ada jodoh ada umur, mama boleh jumpa Iqa. Mama ingatkan kamu berdua memang contact sesama sendiri sebelum ni. Rupanya tak. Yuza pun tak cakap apa-apa. Kali terakhir dia telefon dia nak balik, dia tanya Abang Zaim dah bawa Iqa jumpa mama tak? Sejak tu mama memang desak dia. Iqa cintakan Zaim, kan?”
Lambat-lambat aku mengangguk menjawab soalan Puan Yuzana. Memang aku cinta biarpun tidak sepenuhnya. Memang aku sayang biarpun tidak sepenuh hati. Bagiku cukuplah anugerah ini buat masa ini. Zaim juga pasti memahami kerana aku sedang belajar bercinta semula.
“Iqa ingatkan puan…”
“Kenapa? Iqa ingat mama ni spesis ibu-ibu zaman dulu-dulu? Zaman antara dua darjat?” tanya dia memangkas kata-kataku.
“Kita sama je, Iqa. Yang membezakan hanyalah amalan kita. Masa dekat stesyen bas tadi, dari jauh dah mama nampak kamu dengan Zaim sebelum Annesa menyerbu. Mama nak tengok je dua orang perempuan yang nak dekat Zaim dan yang Zaim nak. Keduanya berbeza. Kadang-kadang mama macam tak percaya yang kamu ni pernah duduk luar Negara,” ucapnya lembut.
“Iqa dengan Annesa tu…” Aku masih tidak mampu memberitahu hakikat pada mama Zaim sebenarnya.
“Iqa kenal Annesa?” tanya Puan Yuzana.
Aku tidak menjawab. Hanya mata ini menghantar jawapan pada dia berharap agar dia mengerti biarpun aku tahu dia tak mungkin tahu akan perkara ini.
“Kalau Iqa nak tahu, Annesa tu anak kawan lama arwah abah Zaim. Dia baru putus tunang. Katanya, tunang dia tu dok gilakan kawan lama. Setiap kali jumpa, bercerita pasal kawan lama dia aje. Sebab tu, Annesa tu nak putus kebetulan pulak, Zaim tak ada sesiapa lagi. Jadi, mama cuma minta Annesa berkawan dengan Zaim kot-kot Zaim boleh terima. Tapi, bila Zaim tak boleh nak terima, dia tetap nak kat Zaim. Sekarang ni, mama ajak kamu berdua balik ni sebab nak tahu, tahap mana kamu dengan Zaim, senang mama nak cakap dengan daddy Annesa, Si Dato’Amri tu, Zaim tak nak dekat Annesa,” ucap Puan Yuzana panjang lebar.
Dalam dadaku, detaknya makin kuat menghentak. Bila aku berpaling, Zaim juga masih tidak masuk ke rumah. Entah apa yang dia bualkan bersama Annesa di luar? Ada rasa cemburu namun aku perlukan dia di sini kerana aku kelu hendak memberi jawapan pada mamanya.
Ungkapan ‘putus tunang’ dan kerana kawan baik itu pastilah aku yang Annesa maksudkan. Entah apa kebenaran di sebalik kemalangan Zikri dan terputusnya hubungan mereka. Adakah benar seperti yang Mak Nab ceritakan atau kebenaran itu sebenarnya berpihak pada Annesa?
Jika pada Annesa, aku semakin takut. Jika sesungguhnya, pada setiap pertemuan, hanya namaku yang meniti di bibir Zikri, mana-mana kekasih juga pasti marah. Tapi, naluriku kuat mengatakan yang Annesa membohongi Puan Yuzana.
Zikri sudah cukup segalanya. Mungkin tiada pangkat seperti daddy Annesa, namun statusnya sebagai seorang Arkitek, rasanya sudah cukup memberikan kehidupan yang selesa buat Annesa tapi pelik, entah apa yang perempuan seksi itu kejarkan.
“Iqa cintakan Zaim?” tanya Puan Yuzana sekali lagi.
Aku tersentak.
Segera aku berpaling pada seraut wajah ayu di depanku ini. Mata itu terus menyoroti anak mataku. Dia bagaikan tidak puas dengan jawapanku sebentar tadi.
Lambat-lambat aku mengangguk.
“Iqa sedang belajar cintakan dia,” akuiku lagi.
“Sebab dia cintakan Iqa, ma… ma,” sambungku. Kaku rasanya lidah hendak menggelarkan dia mama.
Puan Yuzana tersenyum.
“Mama besarkan Zaim dan Yuza dengan penuh kasih sayang bila abah mereka pergi untuk selamanya. Zaim tu baik. Sekali dia kata cinta, akan kekal selamanya. Cuma, mama silap bila dia lambat membawa Iqa jumpa mama, mama minta dia berkawan dengan Annesa dulu andai ada keserasian padahal bezanya Annesa dengan Zaim tu macam langit dan bumi. Masa tu niat mama, kot-kot lah Zaim mampu ubah Annesa. Model, kan?” luah Puan Yuzana bersama keluhan.
“Tapi, kalau betul mama nak Annesa ada di sisi Zaim, Iqa tak kisah. Iqa boleh undur diri sementara cinta pada Zaim dalam hati Iqa ni tak menebal sangat…”
“Mama tak berhak nak memaksa Zaim, Iqa. Mama biarkan dia memilih sebab tu mama ajak semua bersemuka. Kami orang tua rasanya langsung tak boleh nak halang soal hati anak-anak. Kalau betul Zaim nak Annesa, mama izinkan. Kalau betul nak Iqa, pun mama izinkan. Cumanya, andai nak dibandingkan dengan kamu berdua, hati mama lebih memilih kamu Iqa.”
Terasa lain benar mama Zaim dengan mak. Mak selalu memaksaku mengikut kehendaknya dan aku dengan tiket tidak mahu menjadi anak derhaka, seringkali tunduk menerima segalanya.
Aku melarikan mataku ke sekeliling ruang di dalam rumah ini. Tidaklah semewah mana tapi hiasannya cukup menarik. Rasanya memang sesuai dengan perwatakan ahli keluarga ini. Memang berada namun, sikap rendah diri Yuzaini, Yuzaimi malah mamanya sendiri iaitu Puan Yuzana membuatkan aku selesa berada di sisi mereka biarpun buat pertama kali.
“Iqa tahu kan, Zaim dah 31 tahun sekarang?”
Aku angguk lagi. Menjawab dengan kebisuan. Dalam hati ini sudah dapat ku tebak apakah soalan yang bakal menyusul nanti.
“Dah sampai umur untuk kahwin dia tu. Selama ni mama tengok dia kerja je. Bila dah jumpa Iqa, rasanya dia dah terbuka hati nak kahwin tu. Iqa dah sedia?”
Soalan mama Zaim benar-benar membuatkan aku menelan liur berkali-kali. Menggeletar tubuhku dari hujung kepala hingga hujung kaki mendengarkan soalan demikian. Rasanya, tidak semudah ini hubungan aku dan Zaim. Tidak semudah yang disangka.
Pertemuanku dengan Annesa, bekas tunangan lelaki yang aku pernah cintai itu benar-benar akan membelit kami di dalam masalah cinta yang tak berkesudahan ini. Puan Yuzana masih belum mengetahuinya dan Zaim sendiri, rasanya Annesa pasti sedang bercerita.
Ya Tuhan, andai benar aku terduga lagi, teguhkan hati ini pada Zaim. Biarlah seribu Zikri hadir, hatiku yang satu ini, aku serahkan pada-Mu dan juga Zaim, Ya Allah. Doa hatiku tidak sudah-sudah.
“Iqa tak boleh cakap Iqa dah sedia ke belum, selagi orang tua Iqa tak bagi kebenaran,” dalihku.
Kata-kata dan pesanan ayah terngiang-ngiang di telingaku. Aku tahu ayah sudah lama merelakan aku memilih Zaim dan mak juga nampaknya sudah berlembut hati hendak membiarkan aku bahagia bersama Zaim. Ternyata, itu masih tidak cukup. Dugaan kian menghimpit.
“Kalau boleh mama nak kamu menikah segera Iqa. Pening dah kepala mama dengan Annesa tu. Bila ingat balik, menyesal jugak tapi perasaan Annesa sendiri pada Zaim, mama tak mampu nak sekat,” luah Puan Yuzana bersama keluhan kecil.
“Iqa pun masih ada perkara yang tak selesai, ma,” gumamku.
Dia mengangguk. Aku yakin Puan Yuzana tidak mengerti apa yang aku maksudkan. Pada dia, pastilah urusanku dengan JPA atau mungkin juga urusan pekerjaanku terlebih dahulu sedangkan dalam hati ini, selagi Zikri masih belum membuka mata, aku tidak senang duduk.
“Kita selesaikan dengan Annesa dulu. Lepas Iqa selesaikan hal Iqa dekat JPA, mama ajak Zaim hantar Iqa ke kampung. Senang kita bincang apa yang patut,” pujuk Puan Yuzana padaku.
Waktu ini, aku mengangguk lagi. Betapa ringan tangan ini hendak menelefon ayah dan mak, memberitahu tentang penerimaan keluarga Zaim padaku. Aku gembira. Aku mahu ketawa dan tersenyum. Perlahan-lahan aku ukir senyum pada Puan Yuzana tapi tidak lama bila aku dengar suara Annesa kuat membentak di muka pintu.
“No, aunty! You just can’t do this to me. Aunty dah janji dengan daddy nak tunangkan Ann dengan Zaim dan sekarang aunty nak biarkan Zaim dengan perempuan kampung ni?” tanya Annesa sambil menapak ke arah kami dengan nafas yang mengah.
Mata itu merah menyala. Kesan mascara dan solekannya juga nampak meleleh di pipi. Mata itu sedikit lebam. Aku tahu dia menangis. Dan waktu ini, Zaim juga muncul dari belakang Annesa dengan wajah yang tenang namun mata itu sedikit suram.
“Annesa, please… behave yourself. Jangan jerit pada mama I,” tegur Zaim masih bersopan.
“No, Zaim. I tak kisah kalau you nak tolak I. Tapi, I tak boleh nak lepaskan you kalau kata you pilih perempuan ni!” balasnya dengan suara yang meninggi.
Jari telunjuk yang runcing itu diluruskan ke arahku.
“Apa tak kena dengan Iqa? Cuba you cakap dekat mama I. Biar dia nilai bagi pihak I. dah banyak kali I cakap dekat you, Ann. I tak sukakan you. Apatah lagi cinta. Hati I ni satu je, I dah bagi pada Iqa. Tolong, Ann. Jangan malukan diri you macam ni,” pujuk Zaim lagi.
Aku dan Puan Yuzana berpandangan sesama sendiri. Andai Puan Yuzana tidak mengerti, aku juga tidak dapat memahami kata-kata yang lahir dari mulut keduanya.
“Annesa, duduk dulu. Jangan jerit-jerit macam ni. Kita selesaikan baik-baik.” Kali ini giliran Puan Yuzana pula memujuk.
Bila dia menarik tangan Annesa, wanita muda itu menepis kasar. Berubah warna wajah mama Zaim kala itu.
“Annesa, don’t be so rude. Kita nak selesaikan dengan baik ni,” tekan Zaim dengan rahang yang turun naik.
Lama dia merenung Zaim. Bagaikan malu di telan Zaim hidup-hidup kala itu. Setelah berkali-kali Puan Yuzana menarik lengannya, dia akhirnya beralah lalu dia duduk di sisi Puan Yuzana dan aku pula, Zaim tarik duduk di sisinya.
“Kenapa duduk dekat sangat?” tanyaku berbisik.
Malu bila mata Annesa dan Puan Yuzana memerhatikan kami.
“Dia lain macam sikit. Saya takut dia apa-apakan Iqa. Lebih baik Iqa duduk rapat pada saya. Kot buatnya dia terkam, saya sempatlah halang.” Zaim juga menjawab separuh berbisik.
Hatiku tercuit ingin ketawa dengan kata-katanya namun bila mata aku dan Annesa bersabung lagi, bunga tawa itu kuncup dan aku hanya tunduk mengerling ke arah Zaim.
“Okey, Ann. Aunty nak tanya Ann dan Ann jawab dengan jujur depan kami semua, ya?”
Puan Yuzana membuka bicara. Annesa mengangguk kasar.
“Ann cintakan Zaim?”
“Ann sangat cintakan Abang Zaim, aunty. Kan aunty juga yang minta Ann kawan dengan dia. Sekarang ni aunty layan betina ni baik-baik kenapa?” Dia mencebik ke arahku.
Zaim tersenyum sinis.
“Aunty cuma cakap berkawan. Tengok sama ada Zaim boleh terima ke tak. Aunty cuma kenalkan, kalau Zaim tak sudi, aunty sendiri pun tak boleh nak paksa dia, Ann,” protes mama Zaim lembut.
Kala ini, aku rasa segala keistimewaan itu menjadi milikku. Puan Yuzana meminta aku memanggil dia mama dan pada Annesa, dia tetap membiasakan dirinnya aunty. Mahu saja aku beritahu pada Annesa tapi hatiku menghalang. Akal juga menidakkan tindakan buruk begitu.
“Tapi, Ann cintakan Abang Zaim, aunty.” Suara Annesa berubah merayu. Dia paut tangan Puan Yuzana kemas.
Aku lihat Puan Yuzana menepuk lembut belakang tangan Annesa.
“Ann, aunty tak kisah siapa yang jadi pilihan Zaim. Janji Zaim sendiri suka. Dia yang nak pakai. Bukan aunty. Ann tanyalah
Zaim sendiri. Kalau Zaim pilih Ann, biar dia lepaskan Iqa. Tapi, apa-apa pun sebaliknya, Ann kena terima, ya?”
Telapak tangan mama Zaim naik pula singgah membelai pipi Annesa lembut. Mata Annesa berkaca-kaca memandang ke arahku dan Zaim. Aku melirik ke arah Zaim dan dia masih juga suka mengedipkan matanya sekali.
“I nak you terus terang dengan I, you pilih siapa, Zaim?” tanya Annesa dengan suara yang bertukar serak.
“My action can speaks louder than my words, Annesa. You boleh nilai. Tapi, kalau you nak I jawab, jawapannya…” Zaim merenung wajahku dan aku bagaikan terpukau, membalas renungan itu penuh mesra.
“… Im cintakan Iqa, ma. Kami dah bertunang pun. Im dah sarungkan cincin kat jari manis Iqa sebelum ni,” jawab Zaim.
Dia kembali memandang mamanya dan Annesa. Aku tunduk membisu menahan wajah yang merona merah bila dia berkata demikian.
“What??!!”
Annesa pantas bangkit nak menerkam ke arahku. Tanpa sempat Zaim menghalang, dia terus saja meraih tangan kananku lalu mata itu tajam menikam cincin belah rotan di jari manisku.
“Tergamak you buat I dengan keluarga I macam ni, Zaim? You tak tau kesannya kalau daddy I tahu dan aunty, kalau betul aunty nak tahu, betina jahanam ni lah yang buatkan Ann putus tunang dulu. Betina inilah yang Zikri gila-gilakan dulu. Betina inilah yang
Zikri sebut setiap kali kami bertemu dan sekarang dia nak rampas Zaim pulak?” tempik dia padaku.
Aku melopong mendengarkan kata-katanya. Entahkan benar entahkan tidak namun, hatiku terjentik oleh sesuatu rasa. Rasa yang aku tidak mahu singgah di hati ini sekarang.
“Annesa!!” jerkah Zaim.
Dia menolak tangan Annesa yang menggenggam jemariku yang kaku.
“Kan I dah cakap, soal ni kita selesai kat luar. Tak perlu libatkan mama!” marah Zaim. Nafasnya berubah kasar.
Puan Yuzana juga bangkit mendekat ke arahku.
“Betul ke apa yang Ann cakap tu, Iqa… Zaim?”
“Mama… Iqa tak salah.” Zaim membelaku.
“Iqa?!” seru dia lagi.
Aku pandang Puan Yuzana dan beralih pula pada Annesa yang herot bibirnya dengan senyuman sinis.
“Err, Iqa… Iqa…”
“Ya atau tidak je Iqa!” tegas mama Zaim.
Aku menjatuhkan kepalaku mengiyakan kata-kata Annesa yang hanya ada sedikit kebenaran di dalam butir bicara itu. Kecut bila renungan mesra Puan Yuzana bertukar tajam.
***
KERETA Wolkswegen GTI putih mutiara milik Zaim laju membelah lebuh raya MEX menuju ke Putrajaya. Aku hanya mampu memandang ke bumbung kereta, cuba membendung airmata ini dari mengalir lagi.
“Iqa, kenapa ni sayang?” tanya dia padaku setelah suasana sepi tanpa muzik juga.
“Iqa okey.” Aku menggeleng sambil melarikan mataku ke sisi jalan.
“Mama okey tu, jangan risau.”
“Iqa takut…” luahku tidak sengaja bersama sendu halus.
Aku menangis akhirnya.
“Sayang tolong Zaim…,” rayu Zaim mesra.
“Tolong yakin dengan Zaim. Percaya yang mama tak macam tu,” pujuk dia.
“Iqa dah mula cintakan awak. Iqa takut mama awak halang lagi. Masa tu, macam mana dengan hati Iqa?” tanyaku secara tidak sedar aku akui cintaku pada dia.
Zaim ketawa halus. Mula-mula hanyalah tawa kecil hingga akhirnya dia menepuk-nepuk stereng keretanya.
Aku memandang dia dengan wajah pelik. Sedangkan aku ini benar-benar resah setelah mamanya mengetahui kebenaran itu daripada mulut Annesa, dia pula mampu ketawa. Benar Puan Yuzana tidak melahirkan rasa marah, namun renungan matanya penuh amaran. Tanpa sempat aku membetulkan apa yang tidak benar dalam kata-kata Annesa, dia terlebih dahulu menyuruh Zaim membawaku ke Putrajaya.
“Kenapa ketawa?”
Zaim menjeling ke arahku. Lampu merah di hadapan Bangunan Kompleks Perbendaharaan Putrajaya memaksa dia memberhentikan kenderaan. Gear ditukar kepada P, dan brek tangan ditarik.
“Hari ni Zaim suka sangat. Rasa macam dapat bulan dan bintang sekali kat tangan ni. Pertama kali bila Zaim dengar mama membiasakan dirinya mama pada Iqa dan yang kedua, Iqa akui cinta Iqa pada Zaim. Mujur tak dapat matahari je,” jawab dia bersama senyuman yang tidak pernah lekang dari bibir itu sejak pertama kali kami bertemu dulu.
“Itu je boleh buat awak ketawa?” tanyaku tidak puas hati.
“Don’t worry, sayang. Kalau pasal mama, Zaim tahu mama macam mana. Kalau pada pengakuan Iqa biarpun tak sepenuhnya, itu memang Zaim nantikan selama ni. Tapi…” Zaim mengangkat jari telunjuknya kepadaku.
“… cukuplah kali ni je, sebab Zaim nak Iqa buktikan pula cinta Iqa pada Zaim selepas kita dah sah nanti,” sambungnya.
Aku ketap bibir.
“Tak apa, kan?”
Zaim jungkit kening. “Apa yang tak apa?”
“Iqa belum sepenuhnya cintakan awak.”
Zaim mengangguk.
“Tak apa. Janji Iqa sanggup belajar. Kadang-kadang semakin susah kita cuba mencintai seseorang tu, bila dah cinta kita akan lebih menghargainya. Sama juga macam Zaim, jatuh cinta pandang pertama tapi terluah setelah lima tahun berlalu, sebab tu Zaim sangat hargai Iqa,” akui dia tenang.
“Terima kasih,” ucapku ikhlas.
Dia mengangguk.
“Tadi, Zaim dengar mama cadangkan sesuatu. Iqa setuju? Dah sedia?”
Aku tahu dia maksudkan tentang cadangan pernikahan yang diutarakan oleh mamanya tadi.
“Bagi Iqa masa. Selagi…”
“Okey, kita tunggu sampai Zikri sedar dan hal dengan Annesa selesai, ya?” pangkas dia.
Pedihnya hati usah dikata bila Zaim menyebut nama itu. Benar begitu. Aku mahu Zikri sedar terlebih dahulu. Sementelah pula, aku juga perlu mencari pekerjaan dengan kelulusan hiasan dalaman milikku ini.
“Maafkan Iqa kalau Iqa selalu sebut pasal Zikri.”
“Jangan minta maaf.” Dia menggeleng.
“Iqa tak salah. Macam pernah Zaim cakap, Zaim belum berhak ke atas Iqa, jadi sebelum kita diikat antara satu sama lain, Iqa boleh buat apa saja yang Iqa rasa perlu. Bila dah jadi isteri Zaim, Iqa wajib patuh pada Zaim je.”
Bibir ini menggariskan senyuman tipis buat dia. Aku juga mahu segalanya berlalu dan selesai secepat mungkin. Bangkitlah Ziki. Bangkitlah kerana aku mahu kau mengenali lelaki yang mampu mengubah arah cinta ini sedikit demi sedikit namun tetap terkesan di hati.
“Errr, pasal tadi tu mama…”
“Syhh…jangan risau. Kita yakin dengan mama. Dia tak marah, dia terkejut je dan percayalah, mama Zaim sangat rasional orangnya,” tekan Zaim bersungguh-sungguh.
Entah apa yang dia sorokkan daripadaku tentang mamanya, aku sendiri tidak tahu sedangkan aku benar-benar kalut bila Annesa berkata demikian.
Lampu bertukar hijau dan Zaim terus menekan pedal minyak lalu meluncur ke Parcel C, hendak ke destinasi.
Adakah benar bagai dikata? Zikri menyebut namaku tidak pernah putus? Tapi, untuk apa?
~~~> bersambung
Dan bila Zikri membuka mata, adakah akan terus gigih hati Iqa dalam belajar mencintai Zaim? Hanya Iqa yang tahu...

soo complicated...
ReplyDeleteakhirnya...lega bila mama zaim dpt terima Iqa tp Annesa lak buat spoil. apapun teruskan menulis cik rehan. x sabar tgu sambungan akan dtg- kak zaiton
ReplyDeleteermmmm.... suspennya........ xsabar nak tahu kisah seterusnya... apa yg akan terjadi......
ReplyDeletenk zaim ngann iqa..
ReplyDeletexnk ngan ziki..
hehe
zikri...zikri...zikri...
ReplyDeleteala...xpuas le bace....nak lagi..buleh??:)
ReplyDeletesigh...nape susah sgt nih..fening..fening...
ReplyDeleteRamai yg memilih zaim..tp sy tetap memilih zikri..
ReplyDeleterm sambung lg.x puas lagi ni..huhuhuhu
ReplyDeleteSambung lg...please.....
ReplyDeleteZikri tetap pilihanku dari mula sampai akhir.....
ReplyDeleteSetuju dgn kak zu.. Hanya sy dan kak zu shj yg faham kenapa..
ReplyDeletewah..rasanya macam satu kejutan bukan sahaja pada iqa tetapi pada akak dengan pertemuan pertama mama zaim pada iqa.. Akak ingat memang iqa akan kena kaw kaw dgn lontaran suara mama iqa atau ngan kata kata sinisnya.. rupanya seperti bulan jatuh ke riba.. E3 yg sungguh dan amat rasional..
ReplyDeleteAkak tak faham kenapa iqa masih menunggu zikri utk sedar dari koma nya.. macam tak logik dan hanya mementingkan diri sendiri kerana ibu zaim dah beritau bahwa umur zaim yg dah meningkat memerlukan ia utk berkawen cepat..baknya mamat zikri tu tak bangun bangun..alahai.. apa kata mereka bernikah sahaja ..ini dari pandangan akak lah kan..jadi tidak adalah iqa akan berasa serba salah bila mamat zikri sedar dan ingin kembali kepadanya..jgnlah berlaku kejam pada zaim..sebab dia terlalu baik utk disakiti..since ibu iqa sudah memberinya ruang..ambil lah kesempatan ini utk mencari bahgia utk diri sendiri..
alaa... nak Iqa dan Zaim... tak naklah Iqa balik pd Zikri.
ReplyDeletetetapkanlh hati Iqa utk bersama dgn Zaim. Zaim pun
hendaknya begitu tetap pada Iqa ye writer. Walau apepun
yg terjadi biarlah Iqa dgn Zaim akan berkahwin.
N3 yg cukup complicated. Rasa macam kecik je dunia ni kerana perempuan yg mama Zaim nak kenalkan tu ialah Annessa. Tapi apa pun teruskan ye...tak sabar nak tunggu next N3 .... Chaiyo, chaiyo !!!
ReplyDelete-ety.s
I suka ngan kata2 kat bawah tu, blh ke Iqa teguh ngan hatinya tuk mencintai Zaim.
ReplyDeleteanyway I lagi suka kalo Iqa ngan Zikri~
tak kira nk jugak iqa n zaim....
ReplyDeleteBenci Annesa gila2 . Menyebok je .
ReplyDeletePegi la Zikri tu balek .
Iqa , tolong la jangan pilih Zikri .
Kesian Zaim . Dia baik sangat .
Kak Rehan , sambung cepat2 please .
Tak sabar dah ni .
[syaza]
mama zaim tu kan lembut orgnya.. xkanla dia sanggup bg anak dia kat annesa yg x cukup asuhan tu... klu sy, mintak simpang la dpt menantu mcm tu...
ReplyDeletekawin je la iqa ngan zaim tu... tok sah dok tunggu2 si zikri tu...
bukan ke kalo berenti skjap kat traffic light, gear kat N ke? P guna tuk parking kan?
ReplyDelete>>k<<
sebenarnya hati Iqa untuk siapa?
ReplyDeletejika dah terima Zaim, kenapa perlu menunggu Zikri
sedar? mcm kata kak Ida, buatnya bertahun Zikri
masih tidur, apakah dia mesti menunggu lagi..
dan Zaim kerana sayang (biarpun umur dah matang untuk berkahwin) akan terus juga menunggu! maknya bagaimana pula? awal2 dia dah bagi hint untuk Iqa bahawa Zaim dah 31 tahun... cukuplah Iqa menanti Zikri menerimanya untuk 5 tahun yang terlepas!
sekali fikir masalah kini berpunca pada Iqa,
ayah dan ibu (dgn pujukan kakak & abang ipar)dah bagi green light... so please go ahead. bila Zikri sedar
pandai2lah keluarganya menerangkan; entah2 bila dah sedar, dia pun tak ingat siapa Iqa, dan dia juga mungkin tak ingat siapa dirinya...
nasihat untuk Iqa, jgn. bazirkan waktu untuk 5 tahun akan datang, kebahagiaan dah menanti di depan mata; usah lepaskannya hanya kerana Zikir atau Aneesa...
- Maya -
shadiqah!...ingat janji mu untuk belajar menyintai zaim..
ReplyDelete