BAB 26
DERINGAN telefon membuatkan aku terjaga. Tidak sedar yang aku ini sedang lena di dalam kereta milik Zaim. Dia pula entah ke mana. Terasa lenguh tengkuk mungkin juga kerana agak lama terlentok. Cepat-cepat aku jawab panggilan itu bila ternyata nombor telefon rumah yang muncul pada skrin.
“Assalamualaikum, mak.” Aku menghulurkan salam selepas membetulkan nada suaraku.
“Waalaikummussalam, nak,” sahut mak jauh di hujung talian.
Terasa sayup saja suara itu menyapa gegendang telingaku. Aku pandang telefonku seketika sebelum kembali melekapkan ke telinga.
“Mak kenapa sedih ni?” tanyaku lancar.
Boleh jadi mak bersedih dan kerana itulah suaranya tenggelam timbul saja.
“Eh, mak tak sedihlah. Kamu ni...,” tegur mak menidakkan pertanyaanku.
“Dah tu... Iqa dengar suara mak sayup je. Macam mak nangis je. Betul ke tak ada apa-apa ni?”
Mak menghela nafas panjang.
“Mak tak ada apalah. Yang Iqa tu macam mana pulak? Jumpa Zaim ke? Dah jumpa keluarga dia? Dah selesai ke urusan JPA?”
Bertubi-tubi soalan yang mak ajukan padaku sampaikan aku sendiri tidak tahu jawapan yang manakah yang aku berikan padanya. Entah apa yang penting. Aku dan Zaim kea tau urusan aku dan JPA?
“Mak nak tahu yang mana dulu ni?” tanyaku lagi di luar sedar.
Mak ketawa kecil.
“Kenapa? Dah jumpa bakal mak mertua terus tak pandai nak jawab soalan?” Mak pula bertanya padaku namun aku terima itu semua sebagai satu sindiran daripada mak.
Malunya kala ini sudah dikata. Entah mengapa lidah ini bagaikan tidak petah hendak menjawab.
“Err, pagi tadi Zaim dah tunggu Iqa dekat perhentian bas...”
Aku diam seketika. Berkira-kira hendak memberitahu mak atau pun tidak perkara berkaitan Annesa, bekas tunangan Zikri itu.
“Owh, sekarang ni dengan Zaim la ya?” tebak mak membuatkan aku tersentak.
Sudahnya, aku telan saja nama Annesa itu dari terluah pada pendengaran mak. Tidak mahu mak bertambah risau atau boleh jadi mak terus menghalang hubunganku dengan Zaim yang ku rasakan baru saja hendak bermula.
“Err... ya mak tapi Zaim ke mana entah dah. Iqa tertidur tadi. Sedar-sedar dia tak ada. Dia ke tandas agaknya.” AKu memisat-misat mataku beberapa kali lalu memandang ke sekeliling stesyen minyak Petronas ini.
Rasanya kami masih di dalam kawasan Putrajaya setelah aku dan Zaim menyelesaikan urusanku bersama pihak JPA sebentar tadi.
“Astaghfirullahha’azim, Iqa....” Mak tiba-tiba beristighfar panjang.
“Err, kenapa mak?” soalku pelik. Dia terus mengucap.
“Apa yang Iqa buat ni? Iqa tidur dengan Zaim ke? Ya Allah, kamu sedar tak Iqa. Mana agama kamu, Shadiqah?” tanya mak kuat.
Aku ketawa kecil. Lucu pula dengan telahan mak yang jauh menyimpang. Mungkin salahku juga kerana berkata demikian sedangkan mak tidak tahu, aku tertidur di dalam kereta.
“Mak... apa ni? Iqa tak buat perkara terkutuk macam tu lah. Apa yang mak fikir ni?”
“Dah tu, kamu cakap tidur, Zaim pergi bilik air. Kamu berdua masuk hotel ke apa?”
“Astaghfirullahhal’azim, mak...” Kali ini giliran aku pula beristighfar.
“Mana ada macam tu mak. Mak tak percayakan Iqa ke? Iqa tertidur dalam kereta lepas kami balik dari JPA tadi. Ni singgah stesyen minyak, agaknya Zaim ke tandas kat stesyen minyak la kot. Ya Tuhan, Iqa tak sejahat tu mak,” ucapku lembut menyatakan hakikat yang sebenar.
Mak menghela nafas lega. “Huh, seriau mak dengar. Mak bagi izin ni jangan sampai jadi bukan-bukan, Iqa. Nak buat apa-apa
lepas dah sah, Iqa. Pesan dekat Zaim sekali.”
Aku ketawa menerima arahan atau juga nasihat daripada mak itu.
“Jangan risau mak. Kami ni dah dewasa. Dah tahu fikir mana baik mana buruk.” Aku melahirkan keyakinanku pada mak agar dia tidak terus dihambat bimbang akan keadaanku dan Zaim.
“Dah jumpa keluarga Zaim ke?”
Aku berdehem beberapa kali sebelum menjawab pertanyaan mak.
“Err, dah mak. Zaim ada mama dia je. Ayah dia dah lama tak ada. Tapi, Iqa tak sempat nak sembang lama sebab nak uruskan hal lain dulu. Ni balik tak tahulah, nak balik terus atau nak singgah dulu jumpa keluarga Zaim sekali lagi?”
Perbualan sepi seketika. Agaknya mak sedang mencari akal hendak memberikan jawapan buatku. Aku sendiri juga tidak tahu penerimaan Puan Yuzana setelah Annesa lantang berkata-kata.
Benar bukan salahku tapi bila namaku terkait sama di dalam drama yang Annesa dan Zikri lakonkan, aku yakin pandangan Puan Yuzana padaku, tidak akan menjadi semesra mana. Atau mungkin lebih teruk, dia akan menghalang aku bersama Zaim. Waktu ini, aku benar-benar berharap Yuzaini pulang segera.
Biar tidak bersama Zaim, aku masih perlu bersihkan namaku daripada tuduhan Annesa dan berlalu dengan penuh bermaruah dan harga diri yang tinggi.
“Macam mana dengan mama dia? Terima Iqa tak?”
“Err, terima kot. Tapi, masih awal lagi mak. Iqa baru jumpa mama dia kejap je. Tengoklah nanti macam mana, ya mak. Jangan risau. Apa-apa terjadi, Iqa kuat. Nanti kalau Iqa jadi balik hari ni, Iqa telefon mak. Ingat alang-alang dah datang ni, nak jugaklah jenguk-jenguk jawatan kosong,” ucapku melencongkan tajuk perbualan.
Mak mengeluh tipis.
“Mak tak harap, Iqa terduga lagi. Mak doakan kebahagiaan buat Iqa. Kirim salam pada Zaim sekeluarga. Mak nak pergi jenguk kakak kejap. Abang Riz tak balik lagi. Risau pulak, kot-kot tersakit perut dah ke.”
Aku ketawa kecil. Sebenarnya hatiku turut risau mengenangkan kakakku yang seorang itu. Bila-bila masa saja akan melahirkan sedangkan aku masih sibuk dengan urusan sendiri.
“Emm, tak apalah mak. Iqa balik secepat mungkin. Nanti apa-apa hal mak terus telefon Iqa tau. Sepantas kilat Iqa balik,” selorohku.
Mak juga ketawa.
“Mentang-mentanglah dah ada yang sudi menghantar menjemput... amboi dia...,” usik mak.
Tawa halusku bertukar kasar bila mengerti apa yang mak maksudkan. Pastilah nama dan wajah Zaim yang terlintas di minda mak kala ini. Aku tahu, mereka pasti tewas dengan kematangan dan kebaikan Zaim padaku.
Bagaikan sudah terlalu lama tidak menghamburkan tawa dengan mak. Andai dulu, setiap kata, pasti ada usikan dan pasti ada cemikan dan tawa. Biarlah waktu pedih itu berlalu.
Talian dimatikan selepas usai menjawab salam dan kebetulannya, Zaim menarik pintu kereta lalu dia masuk dengan membawa setin milo sejuk.
“Dari jauh Zaim tengok Iqa ketawa sorang-sorang?” tanya dia sambil menghulurkan minuman itu padaku.
Aku menyambutnya lalu aku hadiahkan Zaim sebuah jelingan.
“Orang cakap dengan maklah dekat telefon.”
Zaim ketawa. “Mak cakap apa?”
“Mak pesan...” Lidahku kelu tiba-tiba.
Nak ke aku cakap apa yang mak pesan tadi? Nanti malu je diri sendiri kalau aku beritahu dia. Atau lebih teruk dia ketawakan aku. Bisik hatiku sendiri sambil menggigit bibir.
“Mak pesan apa?” desak dia.
“Err, tak ada apa. Mak pesan suruh balik awal,” dalihku.
Zaim bulatkan mata tanda tidak puas hati. Dia menarik semula minuman itu daripada tanganku.
“Air Iqa...” ujarku sedikit manja.
“Sebagai balasannya, cakap mak pesan apa?” Dia menggoyangkan tin minuman itu di depan mataku.
“Tak apalah... Iqa keluar beli lain.” Baru saja aku hendak menolak pintu kereta, Zaim terlebih dahulu menguncinya.
Aduhai, dia ni. Semakin nakal pula. Renungannnya kadang-kadang nampak penuh misteri. Dia matang namun, ada masanya aku rasa dia bagaikan berumur 18 tahun.
“There’s no way to get you out of my car untill you tell me the truth,” ucap Zaim dengan suara yang lunak merdu.
“Aduhai, tak apa apa pun. Mak pesan...” Kata-kataku terhenti lagi.
“Mak pesan?” Zaim jungkit kening.
“Err... mak pesan duduk baik-baik. Nak buat lebih-lebih lepas dah sah nanti,” luahku akhirnya.
Ternyata benar telahanku bila Zaim ketawa lepas hinggakan dapat ku kesan akan juring matanya yang sedikit berair.
“Yuzaimi... stop it,” arahku agak keras.
Dia masih lagi ketawa. “Nanti Iqa pesan dekat mak, Zaim boleh tahan lagi tapi tak tahulah kot-kot anak dara dia ni tak boleh tahan tengok Zaim yang macho dan tampan ni.”
Aku jegilkan mata. “Banyak cantik cakap orang macam tu ek?”
“Iqa yang cantik dan Zaim tampan. Iqa tergoda?” tanya dia tiba-tiba.
“Err....”
“Kalau belum jangan angguk. Zaim masih tahu batas-batas kita. Sebab lepas dah sah nanti, Zaim yakin Iqa sendiri akan menyerah pada Zaim,” ujarnya separuh berbisik.
Waktu ini, seluruh tubuhku sedikit menggeletar. Meremang bulu tengkukku bila Zaim berkata demikian. Aku telan liur berkali-kali.
Dia selamba saja meneguk minuman yang dia berikan padaku tadi.
“Fuh, hilang dahaga. Banyak sangat gelak.” Dia menggeleng kecil bersama sekuntum senyum.
“Err, Zaim... tu bukan air untuk Iqa ke?” tanyaku lambat-lambat.
Dia memandangku dan tin minuman itu silih berganti lantas dia tepuk dahi.
“Ya Allah, Zaim lupa sayang... Maaf sangat,” ucap dia.
“Emm, pergi beli lain. Iqa dahaga jugak ni.”
Zaim menggeleng sebaliknya dia menghulurkan tin itu kepadaku.
“Err, kenapa?”
“Minumlah,” suruhnya.
“Ni kan Zaim dah minum...” Serba salah aku dibuatnya dengan lelaki ini. Sedangkan selama ini, dengan Zikri pun aku tidak pernah berkongsi air begini.
“Tak sudi?”
Aku hanya diam tidak menjawab.
“Kan nanti kita akan berkongsi segalanya. Kenapa kita tak mulakan dari sekarang? Lagipun, Zaim sihat... tak ada penyakit,” gurau dia.
Aku terhenyak sendiri bila terasa dia memerliku. Lambat-lambat aku sambut juga tin tersebut dan baru saja hendak aku suakan ke mulut, dia mengeluarkan sebatang straw.
“Nah... pakai ni.” Dia ketawa melihat wajahku yang terkejut.
“Zaim tahu Iqa tak boleh lagi. Ambil ni.”
Aku sambut straw yang dia suakan. Terasa melampau pula andai aku benar-benar menunjukkan diriku tidak sudi menyentuh tin yang baru saja dia sentuh dengan bibirnya.
Zaim tidak berkata apa. Dia hanya menukar gear dan terus meluncur laju membelah jalan raya hendak keluar dari Putrajaya dan tanpa aku tahu arah destinasinya.
Aku sudahnya meletakkan straw itu di sisi lalu aku dekatkan mulut tin itu ke bibirku dan aku teguk milo sejuk itu perlahan-lahan.
“Err, Iqa minum macam tu je?” tanya Zaim tidak percaya.
“Salah ke?” tanyaku pula.
Dia menggeleng. “Tapi, Zaim tak gosok gigi tadi.”
Aku bulatkan mata. “Yuzaimi!!!
Dan dia ketawa lepas.
***
KAMI tiba di rumah keluarga Zaim akhirnya bila berkali-kali Zaim memujukku untuk bertemu mamanya sekali lagi. Perkara yang bermula, patut berakhir. Mungkin jalannya sukar tapi harus juga kami tempoh.
“Duduk, Iqa,” pelawa Puan Yuzana.
Aku mengangguk sekali lantas melabuhkan duduk di depannya. Zaim pula laju saja duduk di sisiku tapi cepat-cepat dia bangkit bila mamanya menjeling, mengarahkan dia menukar tempat duduknya.
“Dah selesai urusan dengan JPA?” Mata Puan Yuzana tepat menikam bola mataku.
Aku mengangguk beberapa kali. “Dah, pu...an,” jawabku lambat-lambat.
Takut sudah hendak memanggilnya mama seperti dia minta pagi tadi. Akhirnya, ‘puan’ juga yang terlontar dari celah bibirku.
“Kan mama dah pesan, panggil mama... Kenapa tak panggil? Atau Iqa tak sudi nak jadi anak menantu mama?” sinis dia.
Liur yang ku telan terasa kelat. Langsung tiada kemesraan di dalam lantunan suaranya.
“Err.. ma..maaf pu... eh, mama.”
Aku menjeling ke arah Zaim dan dia dengan selamba membuat muka padaku. Dengan kata lain, sedang membuat wajah mengejek padaku bila mamanya menegurku begitu.
“Kalau tak keberatan, mama nak tahu siapa ada dalam keluarga Iqa?”
“Err, ada mak dan ayah. Seorang kakak dan seorang abang ipar, dan Iqa. Tu je,” beritahuku ringkas.
Puan Yuzana mengangguk-angguk tanpa mengerti. Dia mengurut dahinya perlahan-lahan bagaikan ada bebanan yang berat terhempap di atas kepalanya.
“Iqa tak ada adiklah ni?”
Aku angguk lagi menjawab soalannya.
“Tapi, bakal ada adik ipar.” Cepat saja Zaim menyampuk tapi lepas tu dia diam, setelah pehanya ditepuk oleh Puan Yuzana.
Menyeringai wajah itu. Aku pula rasa hendak tergelak pula tapi aku tahan bila wajah mama Zaim masih lagi tegang.
“Im tinggalkan mama dan Iqa kejap. Kami nak cakap soal perempuan. Mama dah siap masak, nanti kita makan sama-sama. Dah petang ni, mesti tak makan lagi.”
Zaim pada mulanya berat hati hendak mengikut arahan mamanya namun sudahnya dia akur bila Puan Yuzana menjeling dan aku juga mengangguk meminta dia menuruti arahan mamanya.
“Apa pun terjadi, selagi Iqa tak tinggalkan Zaim, Zaim tak akan berlalu.”
Sempat dia berbisik padaku saat dia hendak berlalu.
Setelah kelibat Zaim menghilang, Puan Yuzana menarik aku bangkit menuju je pintu luncur yang terbuka lebar. Angin petang agak mendamaikan namun masih tidak mampu menenangkan resah hatiku bila mata Puan Yuzana terus memandangku penuh rahsia.
“Duduk, Iqa.”
Aku terus melabuhkan duduk di atas kerusi batu di laman rumah yang dihiasi sebuah taman mini yang cantik hiasannya. Taman yang pernah aku lihat di dalam gambar milik Yuzaini dulu. Masih terjaga keasliannya.
“Pasal Annesa cakap tadi...”
Kata-kata PuanYuzana terhenti di situ. Dia memandangku dengan mata yang berkaca-kaca.
“Kalau pasal Annesa tu, Iqa sendiri tak tahu sejauh mana kebenarannya.” Aku pantas mengakui.
Sesungguhnya aku sendiri tidak tahu, apakah kebenaran di sebalik perpisahan dia dan Zikri dan juga kemalangan yang menimpa Zikri membuatkan hamba Allah yang seorang itu masih terbaring menjadi mayat hidup.
“Memang Iqa tak tahu, kan sebab Iqa dah lama duduk luar Negara. Cuma, mama tak sangka, kecilnya dunia ni bila kita dipertemukan dalam keadaan begini?” Dia mengeluh kecil.
Aku diam menantikan butir bicara Puan Yuzana yang seterusnya. Aku yakin, dia punyai banyak perkara yang ingin dia utarakan padaku.
“Kenapa Annesa begini? Mama tahu dia putus tuning dan memang begitulah alasannya bila dia kata, tuning dia tu lebih mencintai perempuan lain dari dia. Malah sejak dulu. Mama tak sangka perempuan tu adalah Iqa,” ucap Puan Yuzana membuatkan aku semakin tersentak.
Zikri... seru hatiku tiba-tiba di luar kemahuanku.
“Tak, ma. Iqa rasa itu salah faham sebab Iqa dengan Zikri, bekas tunang Annesa tu, kawan baik je, ma. Sejak dari kecil...”
“Tapi, Iqa cintakan dia, kan?” tanya Puan Yuzana memangkas kata-kataku.
Aku menggeleng pantas. “Tak... Iqa pernah cintakan dia tapi hari ni, saat ini Iqa nak cinta Zaim je,” akuiku cepat-cepat.
Puan Yuzana mengeluh berat. “Cinta dan nak cinta ni besar bezanya Iqa. Mama dah jatuh suka pada kamu bila Yuza ceritakan hal kamu pada mama. Apatah lagi setelah melihat kamu sendiri, memang kamu anak yang baik, Iqa. Tapi, mama ini mak. Mama nak kebahagiaan Zaim. Jika benar dia bahagia bersama Iqa, mama memang nak satukan kamu berdua, tapi masalahnya sekarang ni, Iqa mampu ke bahagiakan Zaim dalam keadaan sekarang ni?”
Aku terkedu bila melihatkan air jernih yang sedari tadi meniti di tubir mata Puan Yuzana mengalir laju menodai pipinya. Aku bangkit dari duduk, dan cepat-cepat menyekanya untuk dia seperti mana aku sentiasa seka airmata mak setiap kali dia bersedih.
“Iqa dah lupakan cinta Iqa pada Zikri bila Zaim hadir, mama. Percayalah. Mungkin masih ada sayang Iqa pada dia, tapi sayang teman semata-mata, ma. Zaim tahu, Iqa sedang belajar menerima dia dan Iqa nak mama juga tahu, Iqa ikhlas nak cinta Zaim.
Mungkin agak sukar, tapi tak mustahilkan. Hati Iqa ni, bukan lagi milik Iqa. Iqa nak bagi Zaim. Iqa serahkan pada Tuhan supaya Dia berikan hati ini pada Zaim,” beritahuku penuh dengan keyakinan biarpun sebentar tadi, nama Zikri jelas dibisikkan oleh hatiku.
Keliru, benar-benar keliru. Namun, harus diakui. Zaimlah satu-satunya jalan hidupku. Tak usah aku lahirkan dengan kata-kata kerana bahasa tubuh ini sudah lebih awal berbicara.
“Zikri koma sekarang, kan?”
“Ya, ma. Dia tak sedarkan diri lagi.”
“Mama yakin, Iqa mesti nak tunggu Zikri sedar, baru nak kahwin dengan Zaim, kan?” tebak Puan Yuzana lagi.
Aku telan liur. Telahan dia tepat dan padat dan aku lambat-lambat mengangguk.
“Mama tak nak Iqa berbelah bahagi. Mama nak kamu berdua bahagia, kalau kata Iqa tidak mampu membuat pilihan bila Zikri sedar nanti, macam mana?”
Ah, hatiku tersiat-siat lagi. Aku tidak salahkan dia tapi kata-kata dan anggapannya itu mungkin juga ada benarnya. Aku tahu dia ibu. Hati seorang ibu sentiasa inginkan kebahagiaan buat anaknya.
“Iqa yakin dengan hati Iqa tapi kalau mama nak Iqa kahwin dulu dengan Zaim, Iqa terima.”
Aku akhirnya temui jawapan pada persoalan Puan Yuzana untuk aku buktikan cintaku sememangnya akan menjadi milik Zaim biarpun baru ku semai kasih ini untukku. Biarpun putik cinta kami baru bercambah dan biarpun pohon cinta kami masih jauh untuk tumbuh merimbun.
Tubuhku terus disapa ke dalam pelukannya. Eratnya pelukan Puan Yuzana dan juga tangisan halusnya membuatkan hatiku dibelit rasa terharu dengan penerimaan dia padaku. Kisah ini telah berlalu dan akan terus berlalu.
Andai ini untuk kebaikan semua, aku rela diriku mencintai Zaim setelah kami disatukan. Seperti mana niat baik mama Zaim dan juga kebenaran mak dan ayah, aku redha. Dan Zikri? Dia tetap di hati sebagai temanku biarpun hidup atau setelah mati.
“Terima kasih sebab sudi mencintai Zaim. Mama mohon, bahagiakan dia sebab dia seorang anak yang baik, Iqa,” bisiknya lalu dia lepaskan pelukan.
Kami sama-sama bangkit dan terus berlalu ke dalam rumah. Rupanya, anggapanku silap. Ternyata telan Zaim benar dan tepat. Mamanya sangat baik hati seperti dia juga. Seperti Yuzaini.
“Err, bagaimana dengan Annesa?”
Aku tiba-tiba teringatkan Annesa. Entah apa yang berlaku setelah kami keluar daripada rumah besar ini tadi.
Puan Yuzana menggeleng. “Jangan risau. Setiap kebahagian menuntut sedikit pengorbanan, kan?” Dia bersuara penuh makna.
“Pengorbanan?” tanyaku pada dia.
Puan Yuzana tersenyum. “Jodoh kan rahsia Allah. Iqa jangan risau. Tak ada apalah,” pujuk mama Zaim padaku.
Sudahnya aku diam sedangkan hati ini masih ada resah yang tidak mahu pergi. Minda ini, masih ada persoalan yang belum terungkai. Puan Yuzana berlalu mendahuluiku dan aku tiba-tiba saja terpandang Zaim yang sedang mengelap rambutnya dia balkoni di tingkat dua. Bilik dia mungkin. Bilik yang akan menjadi milikku juga nanti andai benar Tuhan mengizinkan.
Dia tersenyum padaku dan aku membalas senyuman itu lalu aku melangkah ke dalam bila Puan Yuzana menggamit aku mendekati dia.
“Iqa nak balik bila?” tanya Puan Yuzana setelah kami sama-sama menapak ke dapur.
Mataku terus melihat sekitar dapur rumahnya. Agak luas dan tersusun rapi dengan kabinet kayu berwarna coklat tua. Cantik dan kemas.
“Iqa...”
“Err, ingat nak balik hari ni sebab risau kakak bersalin.”
“Oh, ingatkan nak cari kerja ke?”
Aku senyum. “Niat memang macam tu tapi bila dok fikir kakak tunggu masa je tu, lain kali la Iqa datang.”
“Tak pun, Iqa kerja je dengan Zaim. Iqa Interior Design, kan?”
“Ya, tapi Zaim kerja apa?” tanyaku polos.
Mama Zaim ketawa. “Memanglah kamu berdua ni kena honeymoon lama-lama sikit sebab nak kenal diri masing-masing. Kerja dia pun kamu tak tahu ke?” tanya Puan Yuza dan aku menggeleng.
“Tak sempat nak berkenalan rapat. Banyak sangat perkara terjadi,” gumamku pada diri sendiri.
Aku menyambut mangkuk yang Puan Yuzana hulurkan, lalu aku atur di atas meja dengan penuh cermat. Mangkuk berisi masak lemak nenas itu, masih berasap-asap. Sememangnya dia seorang yang menjaga keluarganya biarpun berkerjaya.
“Iqa ni memang mudah mesra. Betullah yang Yuza beritahu mama. Pertama kali tengok mungkin nampak dingin, tapi hati Iqa memang baik. Pasal Iqa dengan Zaim, nanti Iqa tanyalah sendiri Zaim dia kerja apa, ya? Tanyalah apa yang Iqa nak tahu sebelum kamu berdua nikah ni. Sebab dah terlalu banyak perkara terjadi, mama makin yakin, lagi elok kalau kamu berdua cepat-cepat terikat antara satu sama lain,” beritahu mama Zaim padaku.
“Err, Iqa kena cakap dekat mak dan ayah dulu,” beritahuku sopan.
Puan Yuzana tersenyum penuh makna.
“Lepas makan kita terus ajak Zaim hantar Iqa,” ucapnya tenang lantas dia berlalu ke luar setelah meletakkan pinggan lauk di atas meja.
“Zaim!!” laung dia kuat.
“Turun makan. Nanti nak sampai lambat pulak kat kampung Iqa,” sambung Puan Yuzana lagi membuatkan aku terkedu sendiri.
Dari ayat yang dia tuturkan, ternyata Zaim sendiri sudah tahu akan niat mamanya hendak ke rumahku hari ini. Ya Tuhan, moga dipermudahkan semuanya buat kami.
Usai makan dan selepas mengerjakan solat Asar petang itu, kami terus bertolak pulang. Perjalanan mengambil masa hampir tiga jam. Aku tahu Zaim penat namun bila aku menawarkan diri hendak memegang stereng dan membiarkan dia berehat, dia tidak mahu.
Aku lihat ke belakang, ternyata Puan Yuzana sudah terlena setelah kami berhenti untuk solat Isyak tadi.
Beberapa ketika lagi, kami akan tiba di perkarangan rumahku. Aku langsung terlupa hendak memberitahu mak dan ayah akan kedatangan Zaim dan mamanya hingga menyebabkan aku tepuk dahi tanpa sedar.
“Eh, kenapa tepuk dahi?” tanya Zaim sambil mengerling sekilas ke arahku.
“Aduhai, Iqa lupa nak beritahu mak awak dengan mama nak datang,” jawabku separuh berbisik.
Risau juga andai mama Zaim terdengar. Bukan sengaja, tapi aku benar-benar terlupa.
“Tak apalah. Kita buat kejutan,” sela dia tenang.
Aku mengeluh. “Nak telefon mak lah kejap.”
Belum sempat aku tarik telefon bimbitku daripada beg tanganku, Zaim terlebih dahulu memegang pergelangan tanganku yang dibaluti baju kurung.
“Kenapa?” tanyaku pelik. Dia melepaskan genggamannya.
“Tak payah. Nanti mak Iqa buat persediaan lebih-lebih pulak. Kami datang hantar Iqa je. Tak ada apalah,” ujarnya tenang.
Aku mengeluh akhirnya menerima kedegilan Zaim.
“Kalau kena tidur dekat serambi, jangan salahkan Iqa.” Aku menggumam menahan geram.
Dia ketawa halus.
“Demi Iqa, kat kandang kuda pun Zaim sanggup.”
Eleh dia ni. Kandang kuda tak ada. Kandang lembu ada. Suruh tidur kandang lembu sungguh nanti, baru dia tahu seronok ke tidak, desis hatiku sendiri.
***
PINANGAN Puan Yuza terhadapku, aku terima penuh rasa syukur. Terlalu besar harga yang dia bayar untuk melihat senyuman di bibir anak lelaki tunggalnya ini.
Mak tersenyum namun ada kesedihan di dalam mata tua itu. Ayah rasanya terlalu berpuas hati. Kak Shadirah dan Abang Rizqin juga tersenyum tidak lepas.
“Kak, saya datang tetapkan tarikh dan nak minta izin, andai kakak dan abang benarkan, saya nak mereka bernikah secepat mungkin,” ucap Puan Yuzana sewaktu aku menghidangkan air untuk mereka berdua petang itu.
“Eh, cepatlah elok,” tokok ayah menyokong.
Tapi, tidak pada mak.
“Nak cepat buat apa? Iqa tak kerja lagi ha. Tunggulah dulu, Iqa dah dapat kerja,” ujar mak berdalih.
Kadang-kadang keliru juga pada mak. Sekejap dia berkata ya dan sekelipan pula tidak. Air wajahnya agak keruh. Aku juga terasa sebu bila mak bagaikan menolak pinangan Zaim terhadapku.
“Eh, eloklah tu, mak. Semakin lama berdua, bahaya pulak.” Suara kakakku mengusik namun langsung tidak dapat meraih senyuman mak.
“Betul tu, Ira. Ayah memang setuju. Anak perempuan kan elok kahwin awal-awal. Bulan depan pun boleh,” cadang ayah bersungguh-sungguh.
Cawan yang berisi milo panas itu ayah sambut. Lalu aku hulurkan pada mak dan seterusnya pada Puan Yuzana dan Zaim sendiri.
“Kak, jangan risau. Zaim dah stabil sangat dah nak bela anak bini kalau kata Iqa tak kerja pun. Kalau kata kahwin pun, saya yakin Zaim akan izinkan Iqa bekerja. Boleh ya, kak?”
Sedih pula hatiku melihatkan mata Puan Yuzana yang sedikit berair merayu mak mengizinkan aku dan Zaim disatukan secepat mungkin.
“Kalau itulah yang semua dah setuju…” Mak bersuara setelah suasana diam seketika.
“Ikutlah, janji Iqa bahagia. Mak restuinya,” ucap mak sambil memandang tepat ke arahku.
Bibir Kak Shadirah mekar dengan senyuman. Ayah, Abang Rizqin dan Zaim meraup wajah dan genangan airmata pada tubir mata Puan Yuzana menitik setitis.
“Iqa macam mana?” tanya ayah padaku.
Aku tidak menjawab sebaliknya hanya tersenyum malu pada ayah. Tubuh ini aku angkat hendak berlalu ke dapur bila ada suara yang memberi salam.
Aku matikan langkah dan kami sama-sama berpaling. Ternyata wajah mengah Pak Zul tersembul di muka pintu.
“Eh, Zul… naik… naik…,” pelawa ayah sambil mendekat pada pintu.
Aku pandang Kak Shadirah kemudian aku pandang pula wajah mak sebelum berakhir dengan wajah Zaim yang agak berkerut.
“Iqa…” Pak Zulkifli menyeru namaku.
Suara itu cemas membuatkan seluruh tubuhku kian longlai segala sendinya.
“Zikri, Iqa… Zikri…,” ucap dia dan aku terus saja terlepas dulang dari tangan.
“Kenapa dengan Zikri, Pak Zul?” tanya Abang Rizqin bagi pihak kami semua.
Ayah, Zaim, Abang Riz semuanya bangkit mendekat pada pintu. Hanya aku yang masih kaku di tempat aku berdiri menanti kata-kata dari mulut Pak Zul.
“Zikri tenat!!” beritahu Pak Zul dengan suara yang tertahan-tahan.
Mataku membulat dan nafasku semakin sesak.
~~~> bersambung

laaa... Zikri! Caiyok3... jgn la tenat .. hu hu ...
ReplyDeletehuhuhu suspen nih sik rehan oii... di saat ati dh makin tenang bila kdua belah pihak dh setuju tetiba zikri lak tenat. bkn la minta kan tp klu zikri xde pun xpe. jgn marah ye cik penulis hihihi-kak zaiton
ReplyDeletesy setuju klu ziqi xde...kesian zaim klu iqa x jd kawin dgn dia...kan zaim je yg nak payungkan iqa, bkn ziqi...kak penulis, t buat la zaim kawin dgn iqa ye dan mrk bahagia...baru best...klu x sedih la cte ni...hehehehe...
Deletesya pn setuju zikri tu xde...kak, buat la cpt iqa dan zaim tu kawin..xyah la dia nk payungkn zikri tu lg
Deletealahai..dik..semput akak bila baca diakhir citer mamat zikri tu tenat.. mudah mudahan jgnlah kerana ini..iqa berpaling kepada zikri..ini yg akak tak sanggup nak hadapi ni..dik..ooi..jantung akak tak boleh take it anymore (teremosi sekejap) dah lah lagu background ni..sayu semacam..pergh..akak harap biaqlah iqa dan zaim bersatu dalam alam realiti dan tiada kesalan lagi bagi diri iqa..sudah sudahlah dia memayung hidup zikri selama ini..biarlah zaim pula memayungkan dirinya..
ReplyDeletesaya rasa zikri ttp hero nie :) go zikri go
ReplyDeleteorg nak hapy2 dia pulak tnat. Kacau daun lah Zikri ni... elok koma terus x yah bangun2.Klau nk bagun pun lpas ika nikah dgn Zaim.
ReplyDeletebtul3....tp klau x bngun trus pn x pe kot...hahaha...kejamnya...
Delete-aniscute-
Zikri tenat!!!!!! oh tidakkkk....bertahan Zikri......
ReplyDeleteSokong kak zu...
Deletebetul tu, kalau boleh biarlah Iqa kawen dulu dgn Zaim.
ReplyDeleteJgnlah Iqa berpaling tadah pula pada Zaim kerna kesian.
Kesian pun biarlah kerana dianggapnya Zikri tu sebagai
sahabat saje kerna Zaim sudah ada disisi Iqa memayungkan
Iqa. cukuplah berkorban utk org lain, kali ni fikir
tentang kebahagiaan sendiri pula ye RM. Nak Iqa dn Zaim
jugak... Jgn ada lagi halangan yg terjadi utk Iqa mendpt
kebahagiaan hidupnya pula ye RM...
i setuju dgn u anor. biar la iqa kawen zaim. biar apapun tjadi pd zikri, itu pilihan yg dia buat sendiri. klu dl betul iqa yg sentiasa ada dlm ingtan dia tp kenapa dia bsungguh2x tolak iqa sbgai tunang dia??? so pilihan yg dia bt dah mjatuhkan aib iqa n keluarga. cukup2x la zikri mnyusahkan hidup n hati iqa. biarlah iqa bahagia dgn zaim yg mencintai iqa seadanya. klu zaim yg kenal sekejap dgn iqa boleh lihat keistemewaaan iqa n terus jatuh cinta kenapa zikri tidak dpt mlihat??? so disini kelemahan zikri paling nyata. dia tidak mampu mlihat org yg sayang pd dia. so bg sy skrg pilihan yg dia ada terima la apa jua yg iqa ingin kan demi kebahagiannya n ats rs kcintaannya dahulu yg tulus n setia bt zikri yg tak tau hargai. so biar la iqa bahagia dgn zaim.
DeletePesanan pd kak Rehan: Plz tis time biar watak heroin tak menjadi manusia yg sering beralah kerana org lain. biar la dia yg tentukan jalan hidup dia sendiri setelah lalui liku2x cinta btepuk sbelah tangan. wajarkan org lain mhormati kehendak n pilihan dia sendiri. biar kan dia bahagia dgn org yg tahu menilai n mhargai diri dia dgn ikhlas. Rasa sy Zaim plg sesuai n layak. wlau zikri wajar diberi pilihan kedua tp bg sy ini swajarnya pengajaran paling besar dlm hidup dia supaya tak melukakan hati insan yg tulus ikhlas mcintai so sewajar dia pulak beralah demi kebahagian iqa. klu dia betul2x cinta iqa. sbb klu benar kita cintai org itu kita akan biarkan dia lalui hidup dia dgn bahagia dgn insan yg dia pilih. I love Iqa n Zaim forever. hehehe... ;D zaim such a mature guy i love him better than zikri.
setuju ngan pendpt IVORYGINGER..........mula dr bab mak iqa call suh balik till now ...mmg debar2 n smcm je andaian yg bermain2 kt fikiran....mcm realiti pula.......klu kate iqa ngan zikri better dr awal x perlu ada watak zaim......konflik ..dah mcm cinta 3 segi pula.....hope iqa tetap ngn zaim....
Deletekalau iqa kena kawin ngn zikri... confirm x follow citer nie dh... please2.. jgn laa iqa n zikri... sy bantah rehan.....
ReplyDeleteiqa dengan zikri la :) zaim jadi watak hero ke2 yang setia...hero pertama mestilah kena jahat2 skit dulu
ReplyDeletealahai.....
ReplyDeletewrong timing btol la...
huhuhu
tpi hero citer ni mmg zikri kan??
Tgk tajuk pun dh tahu zikri yg hero..
Deletekeliru dah x tau nak pilih mana 1 ni...kalo pilh zikri kesian pulak zaim..kalo pilih zaim kesian dgn zikri..uishhh susah jg ni...
ReplyDeletehuhuhu.. nak zaim jugak!! kalo kate zikri tu hero.. biar la die hero yg kuar last2 skali.. kire 10 pages dari blakang tu baru letak name zikri balik.. boleh tak RM.. hehehehe..
ReplyDeletejodoh pertemuan, ajal maut di tangan Tuhan,
ReplyDeleteusah pula Pak Cik Zul cakap Zikri nazak dan
minta Iqa berjanji untuk kahwin dgn. Zikri
selepas itu Zikri sihat, dan Iqa terbelit dgn. janji..
itu klise!
harap Iqa tidak tergugat dengan kenyataan Zikri "nazak"
kali ini biar pula Zikri membuat pengorbanan dan
Iqa tetapkan matlamat berkahwin dengan Zaim!
ya Allah panjangkan lah umur zikri. amiin. hehehe
ReplyDeletezikri mati pon xpe..*dengan nada emosi nie.
ReplyDeletesempoi ar mama Zaim !!
ReplyDeletekahkahkahkah!
hrp watak zikri cpat dtmtkan .
xske la dy!
biarlah zaim ngan iqa.....
ReplyDeletezikri pula dgn org lain yg boleh bahagiakan dia.... mencintai tak semestinya memiliki.... jika org yg kita cintai itu bahagia walaupun bukan dgn kita...itu barulah cinta sejati....
anggap ini satu pengorbanan zikri buat iqa pula dgn membiarkan iqa bersama zaim...hukum karma....harga bagi kekhilafannya terhadap iqa..
Ajal maut di tangan Tuhan....Andai Zikri dijemput mengadap Yang Maha Esa...yang ditinggalkan tetap perlu meneruskan hidup....
ReplyDeleteTapi kalau Zikri dipanjangkan usianya....mungkin Iqa tak perlu berkorban lagi untuknya...cukup-cukuplah dengan pengorbanannya selama ni.
Zikri perlu jadi orang baru selepas koma ni, dengan berkorban untuk Iqa pula.
-ety.s
sungguh mendebarkan bila saya selesai membacanya. timbul pula satu persoalan n harapnya jawapan yang diperolehi tidaklah sesuatu yang menyedihkan. hehehe.
ReplyDeletebagus la. dalam bab kali nie dah ade unsur2 lawak. pandai zaim membuat lawak. ok la 2. ciri2 lelaki idaman wanita. sentiasa membuatkan pasangannya tersenyum.
komen for the overall bab kali nie. kesalahan ejeaan 2 biasalah. boleh dperbetulkan before hantar manuskrip. yang lain 2 xde ape la. ok la. sekali lagi suke ngan gaya bahasa penulis. then macam ape yang penulis cube nak tulis 2 mcm benar lak. realiti.
saya doakan yang tbaik untuk penulis. saya sukekan bab kali nie. hope next bab lagi baik. amin...last before saya pergi. tbaik, alhamdulliah n amin...really like ziki. bleh ke? hahaha
Huh? Just let Iqa with Zaim la. Salah time betol lah. Haish. Tak suke dgn Zikri. Iqa dah lame sangat payungkan Zikri. Just let Zaim yg payungkan Iqa. Please writer! Let Zaim with Iqa. :')
ReplyDeleteterpaut la pada zaim nie...
ReplyDeletelh cair ngn dia...
walaupun first time ikut cerita nie...
kena baca dari mula nie klo nk faham lbh mdalam...
sakit hati betul dgan zikri..menyampah sgat2 dia tu..x matang langsung n langsung x leh jd pemimpin iqa..lainlah zaim ni..huh ckup pakej..
ReplyDelete