Geng

Tuesday, July 24, 2012

Izinkan Aku Menangis 1


BAB 1

            BATU nesan bulat itu dia pegang.  Semakin erat genggaman itu, semakin lebat titisan airmata yang menodai pipi gebu itu.  Alaina bersendu, menahan tangis.  Bahu adiknya, Adiana dipeluk erat.  Bagaikan berkongsi segalanya dengan si adik yang masih belum mengerti apa-apa melainkan hanya menayangkan wajah polos saja. 
Wajah polos yang menambahkan lagi derita pada hati Alaina. 

“Kenapa kita dekat sini, kakak?”  Soalan daripada bibir mungil milik Adiana itu mematikan sendunya. 
Airmata yang masih tersisa itu disapu lembut lalu bibir merah merekah itu menguntum senyum selebar  mungkin. 
“Kita melawat ayah.  Untuk kali terakhir,” bisik Alaina dalam pada menahan sendu.  Ya, terakhir kali kerana dia perlu berhijrah.  Berhijrah mencari sebuah kehidupan bersama Adiana.
“Kenapa ayah kat sini?”  Semakin petah pula pertanyaan Adiana. 
Alaina ketap bibir.  Entah apa yang perlu dia utarakan memberi jawapan pada Adiana.  Dia tahu, Adiana tidak mengerti apa-apa.  Adiknya itu terlalu suci untuk mengetahui apakah  yang terjadi pada mereka sekeluarga. 
“Ayah akan tinggal di sini.  Satu hari nanti, kita juga akan datang ke sini menemani ayah,” jawabnya berharap agar tiada lagi soalan yang terbit dari bibir itu. 
Setelah arwah ayahnya selamat disemadikan, hanya tinggal mereka berdua kini dan bakal berdua buat selamanya setelah ibu juga tidak mampu menemani.  Tidak salah ibu namun takdir itu hadir menduga dan dia hanya mampu berdoa moga ada pembelaan buat ibu tercinta. 
Adiana mengangguk saja.  Entah faham entahkan tidak, hanya Allah yang tahu.  Alaina mengeluh tipis.  Tidaklah dia berputus asa namun getirnya hidup sukar untuk dia gambarkan kala ini. 
Di kala umurnya memerlukan kasih sayang ayah dan ibu, takdir memisahkan mereka.  Seorang hidup namun tiada di depan mata dan seorang telah sahih kepergiaannya menyahut seruan Ilahi meninggalkan dia dan adiknya sendiri. 
“Jom kita balik kakak.  Yana laparlah,” rengek Adiana lantas dia bangkit menarik tangan Alaina agar turut sama bangkit.
Alaina senyum.  Dagunya diangkat sikit menatap redupnya langit hari ni.  Barangkali hujan bakal menyimbah bumi di tengah hari ini.  Bagaikan hidupnya yang semakin suram dan kelam laluannya. 
Dengan berat hati, Alaina turut sama bangkit.  Tikar mengkuang milik wakaf digulungnya pantas kala guruh pertama bergema membawa khabar yang hujan bakal tiba tidak lama lagi. 
“Kita balik, nanti kakak masak untuk Yana, ya?”  ujar Alaina kala menatap mata bundar milik Adiana itu. 
Jemari mereka bertaut.  Dipimpinnya Adiana penuh cermat, bimbang kanak-kanak berusia lima tahun itu tersepak batu nesan yang ada.  Kala langkah mahu melepasi pagar tanah perkuburan Kampung Haji Daim itu, Alaina berpaling lagi.  Menghantar pandangan sayu buat kali terakhir kerana dia tahu, dia tak mungkin berpeluang ke sini lagi.
‘Alai akan jaga Yana, ayah.  Dengan nyawa Alai.  Demi ayah dan ibu.  Apa saja untuk Yana.  Apa saja termasuk nyawa Alai,’ desis hati Alaina dan dia terus berpaling menapak ke arah wakaf bagi memulangkan tikar tersebut.
Tangan di cuci.  Beg sandang disangkut pada bahu lalu dia menyapa tubuh Adiana ke dalam gendongannya dan menapak tanpa menoleh lagi. 

**

SALAM yang dihulurkan berkali-kali tidak bersambut.  Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, Alaina terhenyak sendiri.  Mujur saja tidak terjatuh Adiana dari atas gendongan kala mereka tiba di rumah sewa itu tadi.  Tuan rumah terus melemparkan beg pakaian mereka ke tanah.  Jatuh tepat di kaki Alaina lalu dia membawa diri mencari sedikit belas daripada kakak sepupu arwah ayahnya. 
“Assalamualaikum, mak cik,” laung Alaina entah kali ke berapa. 
Kini, Adiana hanya berdiri tepat di sisinya.  Nampak lelah dan penat.  Mata itu terpisat-pisat menahan kantuk.  Tekak adiknya itu nampak beralun menahan dahaga.  Pedih di hati namun, tekadnya sudah pasti.  Tak mungkin ada airmata lagi bersama langkahnya.  Cukuplah tangis Adiana dan dia akan terus tersenyum bertahan demi janjinya. 
“Hah?  Kau nak apa?  Dari tadi bagi salam… memekak je,” herdik Mak cik Zakiah kuat.  Wajah itu penuh benci mencerlung pandang pada dua beradik itu. 
Adiana yang merasa takut pantas membawa tubuh kecilnya berselindung di balik tubuh langsing milik Alaina.  Dia tahu, sejak dari dulu layanan Mak cik Zakiah pada mereka sekeluarga tidaklah elok mana. 
“Maafkan kami, mak cik.  Mak cik Jah dah kunci pintu rumah sewa kami.  Alai baru balik dari kubur ni.  Kalau boleh Alai nak tumpang bermalam kat rumah mak cik malam ni.  Kesian dekat Yana.  Tak makan lagi dia,” beritahu Alaian takut-takut.
Dalam hatinya berharap agar Mak cik Zakiah mengizinkan biarpun dia tahu, keizinan itu tak mungkin dia dapat.  Wajah Adiana dijeling seketika.  Sungguh dia jatuh sayu melihatkan adiknya itu. 
“Kau ingat ini rumah peninggalan bapak kau ke, Alaina?  Heh…”  Jari telunjuk Mak cik Zakiah lurus pada mereka. 
Alaina telan liur bila kaki Mak cik Zakiah mula menapak mendekat pada dia dan Adiana dengan wajah yang semakin keruh dan marah. 
“… masa bapak kau hidup, susahkan aku.  Sekarang ni, dah mampus pun susahkan aku lagi.  Susahkan aku dengan anak-anak dia pulak.  Kau pergilah dengan ibu kau tu.  Pergi duduk dengan dia dalam penjara sana.  Pergi!”  tempik Mak cik Zakiah nyaring.
Alaina menangkap bahu Adiana  yang sedikit terangkat.  Terkejut dengan jerkahan Mak cik Zakiah yang berdentum.  Pantas dia memaut bahu adiknya itu. 
“Arwah dah tak ada, mak cik.  Tak ada guna kita nak sebut orang yang sudah pergi dan orang tak tahu yang ibu tak salah,” tegur Alaina mempertahankan ibu dan ayah yang telah tiada. 
Mak cik Zakiah mencemik.  Dalam hatinya, dia benci dengan keturunan gila itu.  Keturunan yang tidak waras.  Yang meragut nyawa adik sepupunya yang degil itu.  Pada dia, langsung tidak berbaloi pengorbanan Ahmad pada Anida kala itu. 
“Maafkan Alai kalau Alai berkasar dengan mak cik,” pinta Alaina lagi setelah dia tersedar akan keterlanjuran kata-katanya tadi. 
Ibu tidak pernah mengajar dia begitu.  Ayah juga jauh sama sekali mendidik anak bertegang urat dengan yang lebih dewasa jadi dia harus  menerima.  Harus dia telan juga.
“Alai cuma nak tumpang semalam je memandangkan hari nak hujan ni.  Kalau kata mak cik tak mampu nak tumpangkan kami berdua, mak cik tumpangkan Yana pun jadilah, mak cik,” rayu Alaina bersungguh-sungguh.
Biarpun hati pedih dek kata-kata Mak cik Zakiah, dia masih mahu merayu andai Adiana temui tempat berlindung buat sementara waktu.  Mata Mak cik Zakiah dia pandang lama.  Menghantar rayuan yang lahir dari hati berharap belas ihsan wanita separuh umur itu pada adiknya. 
“Kat rumah aku tak ada tempat untuk kau mahupun adik kau ni, Alaina.  Rumah aku ni ni tak ada tempat  untuk keturunan pembunuh yang gila macam keluarga kau!”  herdik Mak cik Zakiah lagi dengan bibir yang terjuih. 
“Tolong, mak cik,” rayu Alaina bersungguh-sungguh.
Andai Mak cik Zakiah mahu dia melutut merayu, dia juga sudi.  Andai dia terpaksa mencium kaki wanita separuh umur itu, dia juga rela.  Dia tidak punya pilihan.  Jika dia bersendiri, mudah dia merencana namun Adiana tak layak hendak lalui semua ini. 
Ramadhan juga bakal menjengah beberapa hari lagi andai Allah masih izinkan roh itu bertamu di dalam jasad dan waktu itu, dia benar-benar perlukan tempat berteduh. 
“Jangan kau ingat, kau merayu aku macam tu, aku sudi nak izinkan.  Aku memang tak sudi setelah ibu kau bunuh adik sepupu aku, tau tak?”  tempik Mak cik Zakiah tanpa menghiraukan anak perempuannya yang lagi dewasa daripada Alaina memujuk.
“Sudahlah tu, mak.  Kasihanlah dekat Alai dengan Yana tu.  Kalau kata mak tak nak tumpangkan dia dekat rumah mak ni, janganlah herdik dia lagi,” tegur Zuraida sopan. 
Mata Zuraida memandang dua beradik itu penuh simpati namun, dia tidak mampu berbuat apa-apa.  Maknya terlalu tegas dan garang.  Bukan sekali maknya bertegas dan  berkata benci pada keluarga Alaina. 
“Kak Zu… tolong Alai, kak.  Tak lama lagi nak puasa, Alai hanya nak tumpangkan Yana je.”  Alaina beralih pandang pada Zuraida pula. 
Mata Zuraida tampak berkaca-kaca.  Dia menggeleng perlahan-lahan lalu bersembunyi di belakang tubu gempal maknya. 
“Kau jangan masuk campur, Zuraida!  Biar dia pergi mana-mana je.  Ramadhan ke, puasa ke, hidup kamu dua beradik tak ada kaitan dengan aku!” tekan Mak cik Zakiah lagi. 
Bibir merah Alaina bergetar.  Kala ini, gerimis mula merintik.  Bila-bila saja rintik halus ini akan bertukar kasar menyimbah tubuh mereka berdua.  Sudahlah perut masih belum berisi, pulang ke rumah sewa saja mereka di halau. 
Kini, berharap belas dari darah daging sendiri juga langsung tidak dipandang.  Hina sangatkah dia?  Alaina tidak mampu menjawab soalan itu sendiri namun seluruh dunia sedang menuding jari atas kehancuran keluarganya. 
Dia angkat wajah menatap bening mata Mak cik Zakiah lama.  Dia tahu, tiada tersisa belas dalam diri wanita itu sejak dulu dan dia harus pasrah berlalu mencari sebuah kehidupan buat Adiana. 
“Tak apalah, mak cik.  Terima kasih,” ucap dia lemah lantas beg galas  yang ada di atas tanah itu dia capai dan disangkut pada bahunya.
Tangan kecil Adiana digenggam kemas.  Mereka berpaling dan berlalu bersama rintik gerimis yang mula bertukar garang.  Membasahi mereka dalam langkah  yang tiada hala tuju.  Hanya berserah pada takdir semata-mata.
“Kita nak pergi mana, kakak?”  tanya Adiana resah. 
Dia tahu yang mereka sedang menjauh dari rumah dan kampung halaman.  Menapak di dalam hujan lebat meninggalkan segalanya di belakang dan pastinya ayah.
“Kenapa kita nak tinggalkan ayah dan rumah kita?”  soal mulut comel itu lagi.  Tangan Alaina direntap sedikit bila kakaknya itu tidak menjawab. 
“Kita tak akan balik situ lagi, Yana.  Itu bukan tempat kita lagi.  Bukan rumah kita, bukan keluarga kita,” jawab Alaina perlahan. 
Dadanya sesak.  Sedaya-upaya dia cuba membendung rasa sebak dalam dirinya.  Cukuplah titisan hujan yang menyapa wajah mulus itu.  Dia tidak mahu airmatanya menodai pipinya. 
“Tapi, mana kita nak tinggal?”  soal Adiana dengan wajah yang sedang menahan tangis.
“Macam mana kakak nak masak untuk Yana?  Yana lapar ni…”  Adiana terus menggugah tangan Alaina yang kejap memimpinnya.  Dia sudah mengalirkan airmata. 
Alaina ketap bibir.  Bagaikan nafas  sudah sampai ke kerongkong, langkahnya terhenti.  Dia duduk mencangkung di dalam hujan  yang kian lebat memerhatikan mata basah Adiana.  Dia tahu, itu adalah airmata milik adiknya.  Bukan air hujan. 
“Kita tak perlu masak.  Kita jalan dulu sampai depan perhentian bas sana… nanti kita pergi makan dekat kedai, ya?”  pujuk Alaina seraya mengelap wajah Adiana yang kebasahan. 
Adiknya mengangguk terpaksa.  Benar dia masih kanak-kanak, namun dia juga sudah reti menilai kebencian saudaranya sendiri.  Kepala ditoleh lagi ke belakang melihatkan rumah Mak cik Zakiah yang nampak halus pada matanya. 
“Kenapa mak cik benci kita, kak?”  soal Adiana lagi.
Kali ini, Alaina terpegun.  Sungguh dia tidak menyangka, anak seumur itu mengerti akan sebuah kebencian.  Tidaklah salah dia dan besar juga pengorbanan ayah pada mereka.  Berkali-kali ayah pernah tegaskan, bukan salah ibu namun takdir membawa ibu menjadi begitu. 
Alaina menggeleng bersama senyuman tipis.  Dia bangkit dan menyentuh pipi Adiana lembut.  Hujan yang lebat juga semakin reda dan barangkali, kelam hidupnya juga akan kembali bersinar seperti mana munculnya matahari setelah hujan.  Untung nasib, ada juga pelangi yang akan membawa warna warni dalam hidup dia dan Adiana yang suram.
Dia tidak menjawab sebaliknya terus menggendong tubuh kecil  yang kesejukan itu menuju ke perhentian bas, mencari tempat berteduh.  Pakaian Adiana perlu ditukar.  Jika tidak, pastilah adiknya itu dilanda demam dan itu menjadikan harinya makin parah. 
Setelah dia menjejakkan kaki di perhentian bas, Alaina terus mendudukan Adiana di atas tempat duduk yang disediakan.  Beg galas itu dibuka.  Mujur saja pakaian itu diisi di dalam plastic sebelum disumbat ke dalam beg.  Andai tidak, entah di mana harus dia mencari sehelai pakaian buat adiknya. 
Setelah pakaian bertukar, Alaina melabuhkan duduk di sisi Adiana.  Bahu adiknya di sapa sedikit.  Bibir itu nampak kebiruan dan dia sendiri sudah menggigil kesejukan. 
“Adiana…”  Alaina menyeru nama itu dengan cukup lembut. 
Kala Adiana berpaling, dia terus menggariskan senyuman.  Mahu menghalau resah dan duka yang bertapak dalam diri Adiana. 
“Mak cik tak benci kita.  Dia nak kita hidup berdikari setelah kita kehilangan ayah dan ibu.  Kita juga tak boleh nak bergantung harap pada orang lain sebab satu hari nanti, kita akan pulang ke tempat yang sepatutnya, juga bersendiri,” jelas Alaina biarpun dia tahu adiknya itu tak mungkin mengerti akan masalah dunia  yang sememangnya begitu.
Adiana mengangguk sedikit.  Dia sendiri keliru dengan kata-kata kakaknya.  Kenapa Alaina menafikan kebencian Mak cik Zakiah sedangkan segalanya jelas?
“Sekarang ni, Yana ada kakak dan kakak ada Yana menjadi sumber kekuatan.  Yana jangan sedih.  Kakak tahu Yana lapar.  Nanti kita makan, ya?”  Pipi Adiana dielus  lagi dengan jemari yang terketar-ketar. 
Adiana senyum.  Alaina menghela nafas lega bila adiknya itu mengangguk berkali-kali. Sudah termakan pujuk. 
‘Allah menduga pada yang mampu menggalasnya dan aku mampu.  Aku mampu,’ bisik hati Alaina.  Memujuk hati sendiri buat ke sekian kalinya biarpun dia sendiri hampir tidak mampu menerima percaturan takdir namun apakah kudrat dia untuk menolak kemahuan takdir.
Kala ini, hujan benar-benar berhenti.  Alaina mendongak ke langit  yang nampak semakin cerah.  Awan mendung tadi kian berarak.  Dalam hatinya pantas mengucapkan syukur.  Beg galas itu diseluk lagi.  Beg kecil di dalamnya ditarik keluar lantas zipnya dibuka. 
Matanya memandang dan hatinya mengira dengan rasa hiba.  Tidaklah banyak wang yang berbaki.  Entah sampai bila mereka mampu bertahan untuk semua itu.  Namun, dia nekad.  Usah difikirkan sekolah, peperiksaan STPM juga bukan lagi keutamaannya.  Niat  untuk mendapat keputusan cemerlang demi masa depan keluarga terkubur bersama jasad ayah, terkurung bersama jasad ibu yang punyai roh namun tiada jiwa.  
“Kita cari rumah baru nanti, kakak kerja, Yana masuk tadika, ya?”  ucap Alaina ceria.  Dia ketawa sedikit melihat mata bulat Adiana. 
“Nanti Yana boleh sekolah ke, kak?”  soal mulut kecil itu petah.
Lega hati Alaina beberapa detik.  Dia tidak menjawab selain mengangguk saja.  Kepala Adiana diusap lagi. 
“Yana suka, kan?” 
“Suka-suka,” jerit Adiana. 
Dia turun dari duduk dan terus melompat kegembiraan tanpa mengetahui hati perit kakaknya. 
“Yana nak jadi pandai macam kakak,” tokok Adiana lagi.  Mata itu bersinar galak.  Tidak dapat tidak, Alaina ketawa saja dan mengangguk lagi.
“Nanti kena lagi pandai dari kakak, tau,” pesan Alaina dan kali ini giliran adiknya pula menjatuhkan kepala. 
Dia memang pintar.  Semua keputusan peperiksaan juga cemerlang biarpun membesar dengan kesihatan mental ibu yang sesekali melelahkan.  Belajar bersama kesabaran ayah yang menjaga ibu selama ini  biarpun ramai yang mencerca.  Mengatakan ayah bodoh menikahi seorang anak yatim piatu yang tidak waras seperti ibu. 
Tapi, mereka tidak tahu, ibunya sembuh seperti sediakala.  Sembuh dengan baik hinggalah kewarasan ibu tercabar lagi kerana fitnah dunia.  Hati Alaina mengeluh lagi menghampiri hamba yang tewas. 
Matanya dipejam rapat-rapat cuba menghalau kala ibu menghunus sebilah pisau itu.  Dia bertempik nyaring.  Adiana menangis kuat namun, bila sebilah pisau sudah terbenam di pada dada arwah ayah dia kaku.  Jatuh terkulai.
“Kakak… bas dah datang!” 
Mata Alaina terbuka.  Suara Adiana menyentakkan.  Kisah perit itu berlalu pantas meninggalkan benaknya tapi kala melihat ke arah Adiana yang meluru ke jalan raya, dia terus berlari mendapatkan Adiana bimbang dilanggar. 
Dia lega bila bas nampaknya memperlahankan kelajuan namun sebuah kereta Mitsubhi Evo yang sedang memotong bas berkenaan meluncur laju.
“Adiana, jangan!!!”  tempik Alaina sekuat hati.
Kakinya pantas melangkah cuba mendapatkan Adiana yang pegun di tengah jalan.  Bola mata Alaina memandang ke kiri.  Kereta berwarna putih mutiara itu masih pada kelajuan yang sama dan bila Alaina sempat melelar pergelangan tangan adiknya, telinga dia tersapa akan bunyi brek yang ditekan cemas. 
Dia terduduk memeluk Adiana erat.  Tanpa sedar, bahunya dicuit seseorang.  Kala berpaling, wajah seorang lelaki dan seorang wanita jelas di matanya. 
“Kau gila ke apa, hah?”  tanya lelaki itu kasar. 
Dia tidak kisah akan wajah takut yang tergambar jelas pada wajah si gadis.  Satu yang pasti, dia hampir melanggar dua jasad itu dan hampir menyebabkan dahi wanita kesayangan di sebelahnya itu tercium dashboard. 
You all kalau nak bunuh diri, please… jangan atas jalan raya, okey?”  sindir wanita cantik itu.
Telinga Alaina panas.  Dia tidak pernah terdetik begitu.  Silapnya, dia terleka membiarkan Adiana berlari ke jalan raya. 
“Huh. Menyusahkan orang!”  herdik pemuda itu lagi. 
Alaina bangkit dan memimpi Adiana yang nampak ketakutan.  “Maaf, encik dan cik berdua.  Salah saya.  Maaf sebab leka,” mohon Alaina bersungguh-sungguh. 
Renungan tajam sepasang mata milik lelaki itu tidak mampu dia balas lantas dia tunduk menekur ke jalan rasaya.  Kelihatan beberapa orang dari dalam perut bas juga sudah mula keluar hendak menyaksikan peristiwa ini.
“Kamu berdua okey ke?”  tanya seorang lagi lelaki.  Kali  ini, penuh kelembutan dan beriak risau.
Alaina menoleh dan ternyata, lelaki itu dikenalinya.  Cikgu Adan, desis hati kecil Alaina.
“Eh, Alaina?  Awak buat apa kat sini?”  soal Adan risau.  Dia memandang Alaina dan lelaki itu silih berganti. 
Dia kenal Alaina biarpun Alaina bukanlah pelajarnya namun tahap akademik Alaian membuatkan dia dikenali di antara guru.  Namun, kehidupan luar pelajar itu langsung tidak diketahui orang. 
“Perempuan gila.  Mabuk todi ke apa, siang-siang buta ni duduk atas jalan raya!”  tuduh lelaki tadi.
“Eh, encik… tak baiklah tuduh dia macam tu.  Dia ada masalah kot?  Orang gila je akan duduk atas jalan raya ni, encik,” tegur Adan mesra cuba menenangkan lelaki itu.
“Memang orang gila la kot, ni!”  tokok wanita cantik itu lagi.
Alaina tersentak.  Dia membawa matanya merenung tajam kedua-dua makhluk berlainan jantina di hadapannya.  Dia marah.  Ya, dia sedang marah.  Perkataan ‘orang gila’ itu terlalu sukar hendak dia hadam.
“Maaf, encik.  Maaf cikgu.  Saya tak sengaja,” ucap Alaina lantas dia menarik adiknya dan berlalu mengambil beg pakaian lantas berkejar menuju ke arah bas yang sedari tadi terhenti.
Lelaki itu hanya memandang.  Cantik juga perempuan ni.  Hatinya tercuit dengan ketenangan Alaina biarpun diherdik dan dimaki.  Sudahnya, dia menyambut salam Adan yang juga menuju ke arah bas.

**

“GERAM I dengan perempuan tadi.  Mujur I tak terhantuk pada dashboard ni,” adu Juana pada Mikhail. 
Mikhail tersenyum sinis.  “Siapa suruh tak pakai seatbelt?” 
Sejak dari tadi dia meminta Juana mengenakan tali pinggang keledar itu tapi wanita itu buat tidak endah saja.  Pertama kali melalui jalan kampung ini, dia seronok memandu.  Lari dari kesesakan jalan raya, pedal minyak ditekan bagaikan tidak sedar langsung. 
Huh… hatinya mengeluh.  Mujur tidak dilanggar dua beradik itu tadi.  Andai tidak, mahu ke penjara dia. 
“You ni nak sindir I kenapa, Khail?  Yang perempuan gila tu dok tengah jalan tu kenapa?”  Juana mencemik benci. 
Masih lagi terbayang dimatanya bagaimana tajamnya renungan Mikhail pada seraut wajah Alaina.  Ya, Alaina nama dia.  Renungan yang jarang-jarang ada pada sepasang mata helang milik Mikhail. 
“I tak sindir youlah, baby.  Tapi, betul apa.  Buatnya you tak sempat nak tahan dengan tangan you tadi, terhantuk dan tak pasal-pasal you berparut kat muka.  You kena ingat, I tak suka wanita tercela sikit pun pada kulit. Nak-nak  muka,” ugut Mikhail. 
Dia tersengih sinis bila wajah Juana cemberut.  Bukannya dia tidak tahu akan sikap perempuan Cina Sabah itu.  Pantang diusik perihal kecantikan, pasti merajuk semalaman. 
“You memang gilakan yang cantik je, kan?”  soal Juana geram.
Mikhail mengangguk.  “Dan you mesti bangga sebab I pilih you dan sah-sahlah, you yang tercantik,” sogok Mikhail pula dengan puji-pujian.
Wanita… cepat tewas pada pujian.  Mudah cair dengan kata-kata sayang namun dia benar-benar selesa dengan Juana.  Terbuka orangnya.  Jarang ada perasaan cemburu dalam diri biarpun Mikhail berkepit dengan wanita lain. 
Wajah Juana sudah berubah ceria sedangkan tadi masam mencuka.  Dia lebih gemar begitu.  Hal sudah, biarkan dan dia sendiri tidak tahu siapakan gadis tadi.  Yang dia tahu, gadis itu nampak kesusahan.  Tapi, dia bukanlah badan kebajikan untuk menolong orang kesusahan. 
Hatinya menyeru nama itu seketika.  Alaina… Dia dengar dengan jelas lelaki tadi menyebut nama gadis itu.  Langsung tubuhnya pegun.  Bagaikan tidak wujud Juana di sisinya kala ini.  Stereng digenggam  kemas.  Renungan tajam Alaina terbayang-bayang di mata.  Terasa sesuatu tapi sayang, bila mata liarnya menjeling ke arah peha gebu milik Juana  yang terdedah, senyuman nakalnya terukir pada hujung bibir. 
Bayangan Alaina  hilang.  Renungan Alaina juga berlalu pergi.  Pedal minyak di tekan.  Ah… persetankan!  Bisik hati Mikhail.

~~> bersambung

Cik Penulis : Pertama kali menulis begini.. Sangat2 mencabar dan saya hormat pada yang pandai menulis menggunakan kata ganti nama ketiga ni... huhu.. harap tak tercela sangat.. ceritera ramadhan.. layan, komen, maaf atas kekurangan.. saya sedang belajar ni... 

42 comments:

  1. Waaa...1st komen...
    saya suka jalan cerita nya..cpt2 smbg kak RM..

    ReplyDelete
  2. Menarik.. walaupun mula dengan kesedihan tp sungguh menyentuh jiwa dan perasaan ku..

    ReplyDelete
  3. menarik sungguh jalan citer nir ...ada kelainan dari cerita yang lain...teruskan usaha RM ,x sabar nak tahu kisah alai dan yana ..hampir nak menangis tadi sayu nyer rasa...

    ReplyDelete
  4. A good start from you. I couldn't see any loophole in it. Congrats!

    ReplyDelete
  5. Kesiannyer dua bradik ni, harap2 nnt ad yg tlg dorang la,

    ReplyDelete
  6. msti cikgu adan yg menolong alaina....
    best sgt2...

    ReplyDelete
  7. Hbs kt blog eh? :)

    ReplyDelete
  8. menarik rm..suke dngn jln cter ni.. :)

    ReplyDelete
  9. RM, sy suka cite ni. Sy perhatikan semua cite yg anda tulis kebanyakkan bermain dengan emosi. Terutama emosi yg melibatkan airmata. Walaupun sedih tetapi akhirnya pasti bahagia menjelma. Teruskan usaha anda...

    P/S: Minta sgt awak keluarkan teaser cite BNS, sy rindu sgt-2 kat Usop dgn Lit.

    ReplyDelete
  10. Tahniah... suker ngn citer ni. Teruskn lg rehan btw sapa hero mikhail tu sweet hihihi

    ReplyDelete
  11. hmm... okay je.. jauh lebih baik dari y dulu tuh..

    ReplyDelete
  12. sy suka kak RM..menarik ni...seswai betul gmbr hero dan heroin yg diletakkan kat atas tu..dah ala2 tujuan promosi pulak..nak lagiiiii

    ReplyDelete
  13. interesting...honestly, saya lebih suka membaca tulisan yg seperti ini...dapat menyelami perasaan semua watak...

    ReplyDelete
  14. terbaik lah kak

    ReplyDelete
  15. Rehan, memang interesting. Penulisan yang menggunakan kata ganti nama seperti ini bagi saya sebenarnya lebih menarik. Teruskan. Errrr.... ini mini-novela ke, atau bakal dibukukan?

    Zailda.

    ReplyDelete
  16. beshhhhhhhh x sabo nak baca lg...heheh

    ReplyDelete
  17. waaaaaaaa...awal2 baca dah nangis!! best cite ni...sambung cepat2!

    ReplyDelete
  18. menarik lah RM,konflik keluarga yang lari dari apa yang pernah RM tulis kan.Good Job tak sabar nak tunggu N3 seterusnya

    ReplyDelete
  19. Sedih nya.... nak menanggis bila membaca .....

    ReplyDelete
  20. Mula2 bace WC da rase geram dgn mak cik zakiah tu... tak berhati perut langsung. Kesian Alaina ngn Adiana... Apa la yang jadi kat dia lepas ni...

    WC tgk ok je kak RM gune POV3 ni...
    WC plk xpandai sgt gune POV1...

    ReplyDelete
  21. best....Rm gunalah bhasa 12345 skalipun cerita ttp meletu.haaha

    ReplyDelete
  22. best..jln cite yg menarik.. cpt smbung ye...:)

    ReplyDelete
  23. sian kt Alain ngn Yana...huhu

    ReplyDelete
  24. ok je. teruskan. usaha tangga kejayaan.

    ReplyDelete
  25. x sabo nk tau hero yg mane satu....

    ReplyDelete
  26. ehemmm... RM mmg suka nama yg berawalan dengan huruf "A' ya?..

    Nama2 yg unik2 semua nya... anareesa, anahara dan aaa yg lain2 di dalam mini novel RM.. inspirasi nama anak2 nih..

    Hmm, terfikir juga, RM ada ker nak buat cerita yg menyedarkan diri didlm bulan Ramadan ni ker.. tertiba.. buka blog... ahh, ada punnn...

    Best cerita ni.. x sabar menunggu episod seterusnya..

    ada lagi org sekejam Tuan rumah dan makcik sepupu ni yaaa... itulah dia dunia...

    Semoga hidup Alaina penuh semgt mengalas tanggung jawab menjaga Adiana..

    Jgn lah dia terjatuh dlm genggaman si buaya MIKHAIL tuuu... x sukaaaa


    Yati

    ReplyDelete
  27. salam RM,crita yg menarik penuh konflik dn mengharu kn.akak rase perjalanan hidup yg bakal direntasi Alaina penuh kepayahan.......muga Alaina tabah dlm mengharungi hidup dgn adk tersyg.pape pn akak suke pd crita u lh RM.U R THE BEST.hehehe.....

    ReplyDelete
  28. so far so good..ok jek sy bc,,kn bnyk practise br ok kan..xpe2 percubaan pertama ni kira berjaya jugak la kan..

    ReplyDelete
  29. best certa ni ..,bab pertama yg menarik..

    ReplyDelete
  30. opening yang membuatkan den tertarik dan teringin nak baca sampai TAMAT... tahniahh...

    ReplyDelete
  31. baru nak jelajah mini novel ni..
    1st impression best

    ReplyDelete
  32. wah intro pun best! ske sgt. saya rasa mcm pernah baca cerpen kak rehan yang yang jln citernya mmg mcm ni tp lupa la plak tajuknye.hehe..apa2x pun all the best kak. moga akan jd novel dan diterbitkan :) -rabiatul adawiyah-

    ReplyDelete
  33. intro yg best & jln cerita yg sedih..
    br berkesempatan bace IAM..

    ReplyDelete
  34. beratnya coba-an dua beradik ni... :(:(:(

    ReplyDelete