Geng

Wednesday, July 25, 2012

Izinkan Aku Menangis 3


BAB 3

            PINTU bagaikan hendak roboh bila Puan Maryam mengetuknya.  Berjam-jam dikejutkan Mikhail namun anak itu masih belum ada tanda hendak bangkit.
            “Ahmad Mikhail!!!”  laung Puan Maryam kuat.  Malisa yang di sisi hanya memandang.  Kecut dia melihat mamanya menjerit.

“Pukul berapa nak bangkit?  Dari Subuh sampai tengah hari, kamu tak bangkit-bangkit!”  Puan Maryan bertahan dari meledakkan rasa marah. 
Setelah  ketukan demi ketukan, Mikhail akhirnya muncul di ambang pintu dengan wajah yang serabai.  Rambut panjang itu nampak semak pada mata Puan Maryam.  Dia menggeleng kesal. 
Mikhail mengangkat wajah.  Dengan mata yang layu dan tubuh yang lesu, dia membalas pandangan mamanya.  Entah apa yang mamanya marahkan sangat, dia sendiri tidak tahu.  Tidakkah sebelum ini dia juga begitu.  Lima hari bekerja, ke hulu ke hilir melawat tapak projek.  Hari minggu adalah hari untuknya merehatkan tubuh yang penat.  Sepanjang hari itu adalah hari untuk dia tidur.  Bukan baru hari ni tabiatnya begitu malah sudah agak lama. 
Lagipun, tidakkah mamanya sudah ke kelas agama waktu-waktu begini?  Tapi, masih lagi terpacak di rumah atau kelas agama dibatalkan?  Mikhail berfikir sendiri. 
“Mama kenapa?” 
“Kenapa kamu cakap?”  soal Puan Maryam agak meninggi.
“Ini sudah nak membawa ke Asar kamu tak bangkit-bangkit jugak.  Perangai kamu ni makin lama makin buat mama tak senang duduk, Khail!” 
Nafas Puan Maryam mengah.  Dia lelah menghadapi Mikhail.  Anak yang diharap menjadi ketua dalam keluarga.  Menjaga dia dan Malisa, tapi terbalik pula.  Malah Malisa yang terlebih-lebih risaukan dia. 
Sesekali Puan Maryam terfikir juga.  Entah apa silapnya dalam mendidik Mikhail.  Dulu, dia pandai solat.  Rajin mengimamkan dia dan Malisa.  Tapi, itu dulu… sewaktu Mikhail masih di sekolah rendah.  Kian menginjak dewasa, Mikhail semakin ligat dan sekarang bagaikan hampir tersesat. 
“Mama…”  Mikhail mengeluh. 
Dia berpeluk tubuh mahu memberi kehangatan pada tubuhnya yang terdedah dek gigitan penghawa dingin dan sekaligus kipas yang berputar ligat.  Mata Puan Maryam dan Malisa yang sedari diam tidak berkutik, dipandang silih berganti. 
“… bukan hari ni je Khail macam ni.  Kan hari Ahad ni memang hari untuk Khail rehat.  Tiap-tiap minggu macam ni dan mama pun patut ke kuliah agama, kan?”  Dia menyoal mamanya kembali.  Lembut dan sopan biarpun dia agak marah bila tidurnya diganggu.
Mikhail memang begitu.  Juana sekalipun, andai merengek manja kala dia mahu lelapkan mata biarpun di dalam kereta, dia akan membentak keras tapi tidak dengan wanita di depannya kini. 
“Kami nak minta abang hantarkanlah ni,” sela Malisa geram. 
Sungguh dia marah melihat sikap abangnya dari sehari ke sehari semakin membuatkan mama sakit kepala.  Sakit jiwa dibuatnya.  Bibirnya digigit menahan rasa marah.  ‘Mujur abang aku, kalau tidak…’ Malisa mengeluh lagi.
Kan biasa Lisa drive.  Abang letih ni,” rungut Mikhail. 
“Lesen Lisa matilah, bang.  Lupa nak re-new.”
“Lisa buat apa sampai tak dan nak re-new lesen?”  soal Mikhail tidak puas hati.
Perkara sebegitu penting pun adik dia boleh lupa.  Dia menggeleng memandang Malisa yang berwajah kelat.
“Sudah, Mikhail.  Mama kejut kamu ni nak suruh kamu bangun.  Jangan tidur macam orang mati.  Kita selagi Allah bagi bernafas ni, kerjakan kebaikan.  Bukan buang masa!” sinis Puan Maryam.  Tak betah melihat renungan Mikhail pada Malisa.  Nampak marah. 
“Kalau kata kamu tak nak hantar pun, mama boleh bawa kereta sendiri dan kamu tu, jangan tidur balik.  Bawa-bawa solat, Khail,” pesan Puan Maryam. 
Dia terus menarik tangan Malisa dan turun meniti anak tangga menuju ke pintu besar.  Dibiarkan Mikhail terkulat-kulat sendiri mendengarkan sindiran pedas mamanya.  Tiada apa  yang mampu dia buat, dia hanya tersengih dan terus masuk semula ke bilik.
Tuala dicapai dan kaki terus melangkah ke dalam bilik air.  Sepantas kilat dia membersihkan diri.  Dia tahu, mamanya tidak berani hendak memandu setelah kemalangan yang meragut nyawa arwah papanya.  Dia tahu mamanya sedang menantinya. 
Setelah beberapa ketika, dia terus bersiap.  Dockers krim dan t-shirt berkolar berwarna hitam pekat disarung ke tubuh.  Rambut yang pendek, disikat dengan jari.  Memberikan gaya pacak yang melengkapkan ketampanannya. 
Pantas, kakinya melangkah turun ke bawah dan bila tiba di muka pintu, Mikhail mengukir senyum.  Ternyata telahannya benar.  Dua orang wanita terpenting dalam hidupnya setia menanti di sisi Mitsubihi putih mutiara itu.  Sopan mengenakan jubah berwarna gelap. 
Bukan dia tidak tahu, itulah rutin mama dan adiknya pada hujung minggu.  Mengisi masa lapang dengan menghadiri kelas-kelas agama.  Fikiran Mikhail tersapa oleh sesuatu.  Pelik… kenapa aku semakin jadi macam ni?  Kenapa tak pernah terdetik bila mama marah dan Malisa membebel?  Fikir Mikhail sekali lalu tapi dia terus matikan saja dan tubuhnya terus membolos ke dalam perut kereta.  Pertama kalinya dia akan menghantar mamanya ke tempat kuliah agama tersebut yang dia tahu terletak di Sungai Buloh. 

**

WAJAHNYA diraup berkali-kali.  Sudahnya, pada Adan juga Alaina mengadu nasib setelah tidak mampu bertahan melihat rengekan Adiana.  Tapi sayang, bila Adan tidak mampu memujuk Alaina bersekolah lagi.  Kesalnya Adan hanya Allah yang tahu kerana Alaina begitu tekad menolak pendidikannya. 
Alaina bersyukur dengan anugerah yang telah Allah kurniakan di saat-saat dia memerlukan.  Melihatkan Adiana yang sedang bermain, dia tersenyum.  Menumpang di sebuah rumah yang menjadi tempat agama Allah disebarkan, dia bersyukur biarpun banyak keperluan kurang.  Tidur beralaskan tikar, dia juga sangat-sangat bersyukur.
Fikirannya lantas melayang mengingati lelaki itu.  Nur Ramadhan.  Itulah sebaris nama milik cikgu muda itu.  Setelah Adan menghantarnya ke sini, Adan kembali ke kuarters di mana tempat dia mengajar di Hulu Selangor sana tapi hari ini, Adan akan kembali menjenguk dia.
“Awak nak ke mana, Alaina?”  soal Adan bila bas berhenti. 
Dia juga turut sama turun mengikut jejak Alaina kebetulan saja tempat yang dia hendak tuju juga telah tiba.
Alaina menggeleng.  Genggaman pada jemari kecil Adiana diperkemaskan lagi.  Dia menggeleng tak punyai jawapan.
“Awak tengah kesusahan, kan?  Izinkan saya tolong,” pujuk Adan. 
Mata Adan dipandang.  Nampak ikhlas saja wajah suci itu.  Renungan yang merayu-rayu mahu menghulurkan bantuan membuatkan Alaina yakin, Adan tidak hadir dengan sengaja.  Allah telah aturkan segalanya.  Perpisahan dan juga pertemuan.  Seperti mana perpisahan dengan kedua orang tuanya, begitulah juga pertemuan dengan Adan dikala dia kesulitan. 
“Saya tak tahu nak ke mana, cikgu,” adu Alaina.  Dia menggeleng sedikit. 
“Rumah awak?”
Alaina menggeleng lagi menidakkan soalan Adan.  “Kami dah tak punyai apa-apa, cikgu.  Ibu dan ayah saya…”  Suara Alaina mati.  Tak mampu dia meluahkan kebenaran  yang telah sedia maklum  oleh Adan. 
“Kenapa dengan mak dan ayah awak?”  Adan bertanya lagi.  Langsung tiada syak.
Pada fikirannya, barangkali Alaina adalah dari keluarga yang berantakan.  Kerana itulah dia lari membawa adiknya.  Mungkin ayahnya seorang kaki judi.  Segalanya mungkin.
“Tak apalah, Alaina.  Kalau awak tak nak jawab,” sambung Adan bila Alaina diam seribu bahasa. 
“Tapi, izinkan saya bantu awak dan adik awak ni.  tak kasihan ke pada dia.  Nampak sangat letih.  Nampak macam tak makan lagi.  Kita makan dulu, nanti saya awak tunggu saya pergi ambil kereta saya dekat bengkel, saya hantar awak ke satu tempat.  Kat sana awak selamat,” cadang Adan dan tanpa persetujuan Alaina, dia menapak menuju  ke sebuah restoran. 
Sungguh dia berasa belas pada Alaina.  Lebih-lebih lagi pada Adiana.  Wajah mereka pucat bagaikan tidak berdarah.  Sesekali tubuh Alaina nampak menggigil.  Andai Alaina halal untuknya, sudah pasti dia akan memaut tubuh langsing itu dan memberi ketenangan pada setiap helaan nafasnya. 
Bertahanlah Alaina.  Setiap dugaan yang hadir, tidaklah Allah berikan lebih melainkan sesuai dengan kesanggupanmu.  Tidaklah hadir duka itu tanpa hikmah  yang indah di sebaliknya.  Mungkin tidak hari ini, tapi kita tidak tahu percaturan Allah ke atas kita sebagai hamba-Nya.  Senyumlah, sabarlah, Alaina,’ desis hati Adan sendiri.  Lirih rasanya memandang langkah lesu Alaina dan Adiana. 
Dia akan bertanggungawab ke atas keselamatan Alaina dan Adiana mulai hari ni biarpun dia tidak jelas apakah yang sebenarnya terjadi antara Alaina dan keluarga.  Apa yang pasti, dia akan kembali ke Kampung Haji Daim untuk mencari sebuah jawapan yang pasti.
Alaina…” 
Alaina tersentak bila namanya diseru.   Dia kini tidak lagi di Kampung Haji Daim.  Tidak juga di jalanan.  Dia kini di wakaf Nur Raudhah.  Semalam adalah hari yang teruk buatnya.  Tapi hari ni, Allah datangkan cahaya melalui Adan. 
Alai dah solat?”  tanya Ustazah Fatima, seorang guru agama di sini.  Tempat dia menginap buat sementara bila Adan menghantarnya ke sini. 
Alaina menolak pada mulanya.  Tapi, Adan berusaha meyakinkan bahawa dia sudah lama kenal Ustazah Fatima yang merupakan kenalan maknya.  Seorang yang tawadhuk dan suka membantu.  Kebetulan juga, Nur Raudhah itu perlu dijaga dan rasanya Alaina mampu menggalas amanah itu. 
“Baguslah.  Tak elok kita lewat-lewatkan solat.  Kalau boleh, dengar je azan, kita terus ambil wudhuk,” ujar Ustazah Fatima lagi.  Dia terus labuhkan duduk di sisi Alaina. 
“Hari ni ada kelas agama.  Kejap lagi, sampailah semua orang.  Nanti, Alai ikut umi mengajar, ya?  Tengok dan perhati.  Belajar sama sebab umi pun masih belajar juga.  Ilmu ni… selagi kita hidup, selagi itulah kita cuba penuhkan dada kita ni dan yang pasti ilmu-ilmu itu kita praktikkan,” ujar Ustazah Fatima lembut.
Alaina mengangguk.  Sesekali dia menjeling pada Adiana yang sedang bermain.  Ada beberapa orang lagi anak-anak kampung turut sama bermain dengan Adiana.  Nampak gembira sungguh. 
Namun, di dalam sedar, telinganya tersapa akan keluhan tipis Ustazah Fatima.  Dia tahu, dari ekor matanya wanita separuh umur itu sedang memerhatikan sisi wajahnya dan tidak dapat tidak, dia lebarkan senyuman melemparkan pandangan ke arah adiknya.
“Umi tak tahu apa yang jadi pada kamu dua beradik tapi pertama kali mata umi memandang kamu, umi dapat rasakan sesuatu tapi biarlah menjadi rahsia kamu dengan Allah saja andai itu yang kamu mahukan tapi ingatlah Alai… yang suram tu tak selamanya suram.  Yang gelap tu, tak selamanya gelap.  Macam bumi, ada malam ada siang.  Allah dah jadikan cantik sangat dah…”  Ustazah Fatima memulakan kata lagi. 
Nafasnya dihela seketika sebelum menyambung dan kala ini, bila Alaina berpaling, senyuman tipis dia ukirkan.   Berharap agar resah hati anak gadis itu berlalu sedikit demi sedikit.
“Umi bersyukur bila Adan bawa Alai ke sini.  Setidak-tidaknya, dia dah selamatnya kaum yang lemah macam kita tapi jangan ingat kita lemah.  Tangan yang menghayunkan buaian ni mampu menggoncangkan dunia dan pastilah bukan pedang sebab kita tak ada kudrat untuk menghayun pedang.  Apa yang pasti, kita wanita ni, penuh kasih sayang dan itulah senjata  yang telah Allah anugerahkan buat kita  yang bernama wanita ni.”  Kata-kata Ustazah Fatima penuh makna. 
Dia mahu Alaina mengerti akan apa yang tersirat di setiap ayat yang mahu disampaikan.  Mata Alaina nampak sayu.  Bibir gadis itu tersenyum mekar.  Namun, dada yang nampak berombak itu sedang menahan sebak.  Dia tahu begitu kerana sudah ramai anak gadis yang bermasalah ditemuinya. 
Ustazah Fatima yakin, Alaina bukanlah gadis liar.  Lihat saja cara penampilannya.  Malam tadi, dia juga terkejut kala mendengar alunan surah Yassin dari bibir Alaina.  Indah dan mengasyikkan namun pada setiap akhir bacaan, Alaina bersendu dan dia mahu tahu apakah penyebabnya. 
Kala bertanya Adan semalam, anak muda itu juga menggeleng pasrah.  Hati Alaina bagaikan sekeras tugu.  Kiasan demi kiasan agar dia berterus terang hanya membawa senyuman lebar pada bibirnya. 
Kepala Alaina disapa.  Diusapnya lembut kepala  yang bertudung itu.  Herot sana sini.  Kedutannya jelas nampak namun manisnya wajah suram itu sukar dia gambarkan dengan kata-kata melainkan hanya ucapan Maha Suci Allah atas kurniaan yang hebat ini. 
“Ramai ke orang terduga lebih dari kita dalam dunia ni, umi?”  Lidah Alaina ringan menuturkan soalan begitu. 
Biarpun dia tahu dia tidaklah susah andai hendak dibandingkan dengan orang lain yang lebih menderita.  Barangkali dijual oleh keluarga sendiri, tak temui makan dan tempat berteduh tapi dia hanya mahukan sedikit nasihat bagi meredakan resah di hati apatah lagi melihat Adiana yang galak bermain. 
“Ada, Alai… ramai yang terduga.  Umi sendiri tak ada anak.  Allah tak anugerahkan anak buat umi.  Mula-mula dulu umi menangis.  Bagai salahkan takdir tapi Allah itu adil bila dia berikan suami pada umi, seorang suami yang memahami.  Sampai sekarang, kami bahagia biarpun tak ada anak.  Kebetulan lagi, ada sorang wanita yang datang kelas umi ni, dia ada sorang anak lelaki tapi sayang, anaknya itu semakin sesat dan bayangkan hati seorang ibu yang mengandung, melahirkan, membesarkan dan menyusukan anak itu.  Apakah perasaan dia bila melihat anak yang dia asuh menjadi liar dan jauh menyimpang dari agama Islam?”  soal Ustazah Fatima pada Alaina.
Dia mahu Alaina mengerti biarpun dia tidak tahu kisah pedih Alaina selama ini.  Padanya, hati seorang ibu adalah  yang terpenting dalam mencari redha Allah.  Redhakah seorang anak itu andai menyakiti ibunya dan tidakkah seorang ibu itu lebih hebat dugaannya?
Alaina terdiam.  Benar kata Ustazah Fatima.  Ibunya lebih terduga.  Penuh dugaan dari pelbagai sudut.  Dari sisi kiri dan kanan.  Dari mulut Mak cik Zakiah dan juga orang lain yang mengatakan ibu gila dan lantas ayah cuba mencari yang lain sedangkan hakikatnya tidak begitu.
Melihatkan Alaina yang diam, Ustazah Fatima tahu yang Alaina sedang berfikir sendiri.  Itu adalah lebih baik.  Allah mengurniakan akal untuk kita berfikir.
“Umi masuk dulu.  Kejap lagi pelajar umi dah nak sampai.  Alaina pun pergilah bersiap,” suruh Ustazah Fatima lembut.
“Baiklah, umi…,” balas Alaina sopan.
Airmatanya hampir gugur mendengarkan kata-kata Ustazah Fatimah sebentar tadi.  Dia tidaklah bodoh hendak mengerti kiasan demi kiasan yang Ustazah Fatimah luahkan tapi dia masih tidak mampu berkata benar tentang hakikat.  Dia juga tidak diajar menipu melainkan menelan segalanya sendiri. 
‘Satu hari nanti, andai umi tahu apakah yang terjadi dalam keluarga Alai, mampukah masyarakat menerima Alai, umi?’  Hati Alaina merintih pedih namun airmata bagaikan kering dari menitis ke pipinya.
Yana… main baik-baik.  Kakak nak ikut umi mengaji kejap,” laung Alaina pada Adiana yang nampak leka bermain. 
Adiana memandang dan mengangguk.  Lantas Alaina bangkit dari duduk dan menuju ke dalam rumah.  Dia perlu bersiap biarpun ala kadar.  Yang pasti, dia mahu nampak ceria dan sopan berada di sini.  Kerana niatnya hanya satu.  Allah sebabnya.  Syurga destinasinya dan iblis adalah halangannya. 
Alai dah siap?”  tanya Ustazah Fatima kala menjenguk bilik Alaina. 
Alaina mengangguk.  Telinganya sudah tersapa akan suara-suara orang yang hadir di luar sana.
“Dah sampai ke?”  soal Alaina.  Wajahnya cuak.  Entah mengapa, dadanya berdebar.  Bagaikan pertama mahu bertemu manusia. 
‘Kenapa dengan hati ini, Ya Allah?  Kenapa ada rasa takut dan resah ini?  Yakinkan aku, Ya Tuhan… yakinkan yang dunia mampu menerima kami.  Yakinkan hati ini.’ Alaina bersuara lirih di dalam hati. 
Dia tidak pernah bersua dengan orang ramai.  Dia banyak bersendiri selama ini.  Keyakinannya sedikit goyah namun dia harus bertahan.  Yang terjadi, biarlah berlalu.  Hari ini miliknya dan tak mungkin dia persiakan. 
Ustazah Fatima mengangguk.  “Umi keluar dulu.  Nanti Alai keluar, ya?  Jangan takut, tak ramai pun.  Dalam sepuluh orang je,” pujuk Ustazah Fatima lagi. Dia mengukir senyum lagi dan terus berlalu hilang di balik dinding. 
Alaina menghela nafas.  Dia mahu kelihatan tenang biarpun langkahnya kian memberat.  Kata Adan, dia akan ke sini hari ini menjenguk keadaan dua dia dan Adiana sebelum kembali ke Sungai Besar.  Andai debar ini  kerana Adan, haruskah hati dia merelakan dan bibirnya mengulum seulas senyuman?  Alaina keliru sendiri. 
Setelah berisghfar dan berdoa, dia melangkah juga ke arah ruang yang menempatkan sepuluh orang wanita yang hampir sebaya dengan Ustazah Fatima.  Masing-masing nampak tekun mendengarkan ajaran tajwid dan juga tafsir Al-Quran daripada uminya itu.
“Assalamualaikum,” sapa Alaina gugup.  Bibirnya nampak bergetar. 
Kala semua mata terhala padanya, tubuhnya pula menggigil sedikit.  Dia pandang Ustazah Fatima dan uminya itu mengisyaratkan agar Alaina duduk  bersama yang lain.  Alaina menapak sopan dan menyulam simpuh di sebelah seorang wanita dan anak perempuannya. 
Mata si anak ralit melihat pada wajah Alaina yang putih kekuningan itu.  Si ibu juga sama lalu dia larikan matanya pada Ustazah Fatimah setelah menyambut sepuluh jari Alaina yang terasa dingin. Sejuk mata memandang, tenang dan damai menyapa jiwa.
“Siapa ni, ustazah?”  soal Puan Maryam ingin tahu. 
Alaina menunduk.  Ustazah Fatima tersenyum.  Dia tahu, aura yang ada pada Alaina mampu menarik pandangan wanita daripada golongan ibu itu apatah lagi lelaki.  Tidak mampu dia bayangkan andai lelaki muda yang selalu diceritakan oleh Puan Maryam padanya itu menatap bening mata Alaina yang redup dan bagaikan merayu-rayu kasih. 
“Anak angkat saya, Yam.  Alaina nama dia,” jawab Ustazah Fatima lembut. 
Masing-masing berbisik sesama sendiri.  Ada yang pelik.  Seminggu yang lalu, gadis itu tiada di sini dan ada juga yang kagum melihatkan kelembutan pada seraut wajah mulus Alaina termasuk Puan Maryam.
“Cantik,” ucap Puan Maryam sepatah.
Entah mengapa, kala menatap wajah Alaina tadi, dia teringatkan Mikhail  yang entah ke mana tujuannya setelah menghantar dia dan Malisa tadi.  Dalam hati mula timbul niat pelik.  Dia mahu temukan empat mata antara Alaina dan Mikhail.  Bagaikan terbayang-bayang di matanya, Alaina hadir membawa cahaya pada anak lelakinya itu. 

**

DARI jauh Adan sudah ternampak kelibat seorang lelaki  yang agak dikenalinya.  Ya, dia cam lelaki itu dan juga Evo putih mutiara itu.  Lelaki yang bersandar pada kereta itu makin jelas di matanya. 
Toyota Vios miliknya perlahan-lahan mendekat ke laman Nur Raudhah.  Semakin jelas dan dia kini seratus peratus yakin akan wajah itu.  Bibir Adan mengulum senyum.  Dia ke sini hanya untuk melihat keadaan Alaina dan Adiana sebelum dia kembali ke kuarters di sekolahnya mengajar setelah pada Ustazah Fatima dia meminta menjaga amanah itu buat sementara.  Adan lega bila dia mampu memastikan gadis yang semakin mendapat tempat di hatinya itu selamat kini. 
Kala enjin dimatikan, Adan keluar dari perut kereta dan terus menapak pada lelaki yang sedang ralit memerhatikan skrin telefon bimbitnya.
“Assalamualaikum,” sapa Adan sopan. 
‘Entah bagaimana riak lelaki ni andai terbias akan wajah Alaina jika itu yang Allah telah aturkan buat mereka?’ soal Adan pada diri sendiri.
“Wa..a…”  Salam tak habis dijawab. 
Mata Mikhail tajam merenung. Dahinya sedikit berkerut.  Tajamnya renungan itu bagaikan mahu menembusi tubuh Adan. 
“Eh, kau!”  Telunjuk Mikhail terangkat. 
Adan hanya senyum dan mengangguk.  Tangannya ringan menghulur salam pada Mikhail namun sayang, bila tiada bersambut dan itu pun langsung tidak memberi impak pada hati Adan.  Tak mampu dia paksa salamnya disambut namun dia wajib memberi salam pada sesama Islam. 
“Saya Nur Ramadhan.  Boleh panggil Adan.”  Adan memperkenalkan diri.
“Kau buat apa kat sini?”  soal Adan kasar.  Dia merenung wajah Adan.  Timbul rasa benci pula dan dalam masa yang sama, wajah lembut Alaina hadir lagi. 
Inilah lelaki  yang menyelamatkan perempuan itu dari maki hamun aku.  Entah apa dia buat kat sini?  Fikir Mikhail.  Semakin ditolak, semakin mendekat wajah Alaina hadir.  Dadanya berdebar tiba-tiba.  Dia berpaling ke kiri dan kanan sebelum menatap semula wajah Adan.
“Saya nak jumpa umi saya.  Dia mengajar di sini,” jawab Adan sopan. 
Mikhail mengangguk resah.  Keningnya hampir bertaut memikirkan apa yang melanda dirinya malam tadi.  Dia  yakin, Alaina tidak tahu namanya tapi bagaimana dia mampu merasakan Alaina menyeru namanya? 
“Ermm…”  Hanya itu saja yang mampu dibalas oleh Mikhail.  Dia benar-benar kehilangan kata lalu dia menatap skrin telefon dan membalas pesanan ringkas Juana yang menggoda rasa. 
Bibirnya tersenyum.  Nama Alaina tiada lagi dalam kepalanya.  Dia lega.  ‘Aku tak akan benarkan nama perempuan tu masuk dalam kepala aku lagi!’ tekan Mikhail dalam hati.  Memberi amaran pada dirinya sendiri. 
Adan menggeleng dan terus melihat ke arah Ustazah Fatima dan seorang dua orang tetamu yang sedang menuruni anak tangga serambi Nur Raudhah.  Dia melambai sedikit.
Puan Maryam mengecilkan pandangan matanya.  Dia berpaling pada Ustazah Fatima. 
“Siapa pulak tu?” 
“Itu anak kawan lama saya.  Kita macam anak saya jugaklah.  Adan nama dia.  Baik budaknya tu,” jawab Ustazah Fatimah penuh makna.  Itulah hakikatnya tentang seorang anak muda yang sedang menapak ke arahnya kini. 
“Mama, abang dah sampai tu,” ujar Malisa pula sambil menarik tangan Puan Maryam.
Wajah Puan Maryam mendung tiba-tiba.  Dia melihat ke arah anaknya dan Adan yang sedang menapak ke arah mereka.  Dua orang lelaki yang Allah hadirkan ke bumi bagi menjadi khalifah.  Menjadi pemimpin. 
Dia nampak semua itu dalam diri Adan tapi mengapa sukar hendak dia temui nur pada wajah Mikhail, anaknya itu.  Tubir matanya bergenang tiba-tiba.  Ustazah Fatima yang memandang, kini mengerti.  Itulah lelaki  yang menjadi anak pada Puan Maryam.  Yang selalu dikeluh-kesahkan oleh bibir si ibu. 
“Sabarlah, Yam.  Adalah tu sinar untuk dia.  Esok lusa, bulan puasa ni, banyak-banyakkan berdoa untuk dia.  Doa ibu ni mujarab,” pesan Ustazah Fatima separuh berbisik.
Malisa mengesat ekor matanya.  Dia sakit melihatkan mamanya yang menitiskan airmata.  Andai Abang Mikhailnya persis Adan, pastilah mama gembira. 
 “Assalamualaikum semua.  Ramai hari ni, ya umi?”  soal Adan pula.  Dia bukan berlagak sopan tapi memang asuhannya begitu.  Sudah sebati dalam diri.  Sudah menjadi darah dan daging. 
“Waalaikummussalam, Adan.  Puan Maryam, tetamu Nur Raudhah ni,” jawab Ustazah Fatima.  Adan mengangguk tanda mengerti. 
“Mama, jom,” ajak Mikhail.  Dia menjeling Adan di sebelahnya.  Eleh… bajet bagus punya mamat.  Adan menjeling sinis. 
“Bersopan sikit, Khail,” tegur Puan Maryam lembut.
Mikhail merengus.  “Cepatlah, ma.  Khail ada janji dengan kawan ni,” desak Mikhail lagi.  Dia sudah berjanji dengan Juana dan dia tidak mahu terlewat dan membiarkan gadis itu muncung sedepa. 
Sebetulnya, dia sudah tidak betah berada di situ.  Bagaikan ada sesuatu bala yang akan muncul nanti dan dia tidak mahu menanti dihempap bala dan menjadikan dia hamba yang alpa.  Bahawa aturan Allah itu sudah termaktub.
Mata Puan Maryam terjegil memberi amaran sebelum dia berpaling pada Puan Maryam.
“Mah, saya balik dulu, ya?  Sakit kepala dah dengan budak Khail ni,” adu Puan Maryam pasrah. 
Ustazah Fatima mengangguk.  Adan dan Malisa sempat berbalas pandangan begitu juga dengan Puan Maryam.  Hanya Mikhail yang tercegat dengan wajah yang bosan menanti. 
“Kami balik dulu, ya Adan,” pinta Puan Maryam lagi. 
Kakinya melangkah menuruni anak tangga bersama Malisa.  Saat dia Mikhail menghulurkan beg yang berisi buku-buku agama itu, namanya diseru lembut.
“Mak cik… beg duit mak cik tertinggal ni.”  Suara Alaina menyapa gegendang telinga semua. 
 Mata Alaina yang jatuh pada wajah Adan nampak terperanjat sedikit sebelum dia mengukir senyum sebagai tanda terima kasih.
“Ya Allah, tercicir la tu,” keluh dia terhadap kecuaiannya sendiri.
Mikhail yang baru hendak melangkah, pegun kakinya.  Dia tak berani berpaling.  Adan pula hanya tersenyum melihat wajah Alaina yang nampak semakin ceria. 
“Alai menyapu tadi, ternampak pulak.  Maaf, Alai buka nak tengok tuan punya beg duit ni.  Mujur sempat kejar mak cik,” ucap Alaina dengan suara yang lunak. 
“Emm… terima kasih, ya Alai.  Syukur sangat bila orang macam Alai yang jumpanya,” ucap Puan Maryam.
“Ni, mak cik nak kenalkan anak lelaki, mak cik…” Bahu Mikhail ditepuknya.
Mikhail resah.  Nama itu hadir lagi.  Alai?  Adakah Alaina dan boleh jadi orang lain.  Tidak mungkin perempuan itu di sini?  Bisik hatinya. 
“Khail,” seru Puan Maryam lagi.
Alaina sabar menanti.   Tiada salah hendak berkenalan dengan saudara seagama.  Lagipun, ramai yang ada bersama.  Dia hanya mahu menjaga hati Puan Maryam.  Andai tidak, mahu dia berlari ke dalam rumah.
Dada Alaina berdebar.  Resah yang hadir di awal tadi, menjengah lagi.  Dia memandang Adan  yang berdiri tepat di sisi Ustazah Fatima dan kala lelaki yang dipanggil Mikhail itu berpaling, mata Alaina terbuntang luas.
Lelaki ni!  Ujar hati Alaina.  Mengapakah mesti ada pertemuan lagi?  Dia agak cuak melihat mata tajam itu.  Bagaikan helang yang mahu menyambar mangsanya.  Baru semalam dan  hari ni terus ada pertemuan.
“Ini anak mak cik, Ahmad Mikhail,” ucap Puan Maryam memperkenalkan mereka berdua.
Mikhail telan liur.  Sah Alaina tapi lain sungguh wajah dia hari ni.  Bibir pucat itu kini merah segar.  Merekah bak delima  yang merah.  Nama Juana hilang.  Lidahnya kelu.  Tidak seperti semalam yang lantang mengherdik Alaina. 
Tanpa sedar, telefon bimbitnya terlepas dari tangan.  Semakin tajam renungan mata Mikhail, semakin resah Alaina dibuatnya.  Semakin lebar senyuman Adan namun dia yakin, janji Allah pasti.  

~~> bersambung

49 comments:

  1. smkin menarik! tenkiu ksk rehan.. love u! :)

    ReplyDelete
  2. Hah ambik Mu Mikhail.... Lalalalal.... Eh, eh! Lupa nak ucapkan selamat berpose kak RM... heheheh

    ReplyDelete
  3. Hahaha!! Klako. Smpai terlepas hp tu. kaget sngt dh tu.. Hikhikk

    ReplyDelete
  4. Cerita ni quite complicated. But its fun. Congrats writer! Btw, nak STK kak Rehan! Please~

    ReplyDelete
  5. adan tu mcm tahu2 jer... aura kot... best, kak... good job...

    ReplyDelete
  6. Ayat last sekali tuu T.T Semakin melebar senyuman Adan? Erkk. Kenapa lebar pulak? Sebab dia suka Alai dah happy? Atau sebab Khail kaku tengok Alai? Woahh. Mana satu hero utama ni kak Rehan? Hehe :D

    ReplyDelete
  7. Bila mata bertentang mata..
    hampir luruh segala nya..
    fuhhh dasyatttt

    ReplyDelete
  8. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  9. menarik + best

    ReplyDelete
  10. Salam Madam

    alahai.... Ahmad Mikhail vs Adan plak,ehemmmmm.....so excited.........
    Tahniah Madam RM kerana anda sentiasa mempelbagaikan watak-watak dengan pelbagai gaya jalan cerita. Sungguh kagum dengan kreativiti anda. Tahniah & Slmt maju jaya.

    Hilman Yong

    ReplyDelete
  11. best.....best...hihi

    ReplyDelete
  12. kak RM!.. adakah alaina dgn mikahil? tp hrp sgt dgn adan sbb tgk adan tu mcm ad feeling lak degn alaina... huhuhu.. dpt rse kn cinta 3 segi bakal brlaku.... =)

    ReplyDelete
  13. Salam....WOW!!!
    Novel RM yg ni amat menarik sgt, lain dr yg lain

    ReplyDelete
  14. x sabar nk tggu episod seterusnya...

    ReplyDelete
  15. ruby muksan redsJuly 25, 2012 at 3:36 PM

    pertemuan ke 2...hihihi

    ReplyDelete
  16. RM, terima kaseh n3 ini. Suka Khail-Alai. tak tau nk ckp.sejak memiliki TK, n tau blog RM ni, kesemua novel/cerpen yg RM buat kak suka..tahniah! Teruskan menulis ya...~ Kak Aminah

    ReplyDelete
  17. Alaaa,,nak alai dgn khail!!biarlah adan dgn malisa!!nak alai dgn khail jugak!! gudluck kak rehan,,enjoy your every story!

    ReplyDelete
  18. xmo adan.adan tu dh mcm abang alai je.
    ok la tu mikael dh shock

    ReplyDelete
  19. waaa...tak sabar nak tunggu episod seterusnya!!!

    ReplyDelete
  20. bestnye..xsabar nk tggu nxt entry

    ReplyDelete
  21. nak kail & alai. semoga alai dpt membimbing kail ke jln yg benar

    ReplyDelete
  22. waaa ... tanak Adan . nak Mikhail dengan Alaina . kalau Adan dengan Alaina confirm jadi macam citer Stanza Cinta . tanak10x ... Kak RM boleh kan ? Alaina dengan Mikahil ? kan kan kan ... =)

    ReplyDelete
  23. besstttt sgtttttt2 akak suke cite ni....

    ReplyDelete
  24. klu ari2 de entry bru blh x... :)

    ReplyDelete
  25. nak alai ngan khail
    nak lisan ngan adan...Boleh?? :)

    ReplyDelete
  26. mmg terjatuh cinta la dgn cite ni..... tahniah kak rehan mmg best...

    ReplyDelete
  27. Saya tak suka bila bahagian akhir tu ada ayat 'bersambung'....Ngeeeeeeee...^_^..
    cepat sambung tau..hihi

    ReplyDelete
  28. makaaa, saya terjatuh cinta lagi dengan karya-karya kak rehan. huhuhu! best!best! sambung lagi ye kak! sangaaaaaat best! sampai jatuh phone tu! hambik mung mikhail. kalau iPhone, mau meroyan dua hari dua malam! kekekeke :D

    ReplyDelete
  29. adan snyum masa khail nmpk alai...dia rela kot klu alai dgn khail...hehe...pndai2 je...hahaha...yeahh nk alaina dgn mikhail jg tau...hehe

    thx sis...:)

    ReplyDelete
  30. Salam Kak RM... Saye nampak ramai btul penyokong Mikhail-Alaina sebelum saya ni. Tapi bagi saya pula, bila saya terbayang je couple MA ni, saya terus terbayang banyak drama2 Melayu dan novel2 Melayu yang pernah keluar sebelum ni. Kenapa perlu perubahan Mikhail kerana Alaina. Betul, Alaina boleh jadi 'catalyst', atau permulaan kepada hijrah Mikhail, tapi perlu ke Alaina berkorban dahulu utk mengubah Mikhail, mungkin kerana ibu Mikhail yang mahukan anaknya berubah. Dah jadi macam cliche sgt plot macam ni, tak gitu kak Rehan? Bolehkan Adan yang bersama membimbing Alaina. Takkan lah sebab Mikhail ada adik perempuan seorang, so Mikhail dapat, Adan pun dapat, so that fair dua2 dapat? Huhu. Saya harap sangat dapat membaca plot tidak terduga from you this time around. Suka baca kata2 nasihat yang Dalam bab2 yang ada setakat ini. Boleh jadi nasihat untuk pembaca yang berdepan dengan masalah juga. Thanks kak Rehan sebab selitkannya. Can't wait for more^^

    ReplyDelete
  31. haha , lawak la mikhail tu , nak yang cantik je . haha , padan muka juana . hahaha

    ReplyDelete
  32. cepatlah sambung... sgt tip top lahh :D

    ReplyDelete
  33. nk alaina dgn mikhail...hrap2 alaina dpt ubah mikhail jd baik...
    malisa ngan adan...boleh ye RM..hehe syg RM..

    ReplyDelete
  34. best2....tp best gak lau bg alaina n mikhail..malisa n adan tuh...hihihi..apa pn thums up kak RM...x sabo tggu next n3...

    ReplyDelete
  35. saya mmg kurang gemar membaca cter2 sedih ni...tp sebab RM yg tulis sy kuatkan hati tuk mem baca hahaha..
    ape2 pun gud job...sy doakan idea rehan akan sentiasa mencurah dan xkan diserang writer block.chaiyok! -liyahuma-

    ReplyDelete
  36. Cik Ann sp hero dlm ini punya cerita? Adan ke Mikhail?
    Khail pun ok..Adan pun ok..just Khail tu nakal sikit jek..biasa la ank muda kan..perlu ade seseorang y mgubah..persoalan sekarang adakah ianya Alai? hehehe sama2 la kita mngu kesudahannya kan..ape pun bgus la citer ni dselitkan dgn nasihat dsertakan dgn fakta or dalil y sah smpna Ramadhan ni, y bukan sj mberikan keinsafan pd Khail tp pd semua pmbaca juga

    ReplyDelete
  37. RM, seperti biasa tiap kali novel baru awk sure ramai yg follow termasuk saya sendiri.

    Suka sgt kalu Alaina dpt memberi hidayah kpd Mikhail tp utk dijadikan pelindung baik dia pilih Adan kerana lelaki itu amat sesuai dlm segi keperibadiannya.

    Harap-2 Alaina membuat pilihan yg betul, w/pun terpaksa melukakan hati org lain.

    ReplyDelete
  38. ya allah..bestnya kak..ternanti2 sambungan esok hari..interesting ni..lain dari cerita2 akak yang sebelum2 ni..aduhaiii..

    ReplyDelete
  39. hah..ambik kau mikhail terpegun dan terkejut sampai phone jatuh pun tak sedar..

    ReplyDelete
  40. waaaa mikhail da jumpe alaina!!!

    ReplyDelete
  41. sngt best.. stiap kata dlm cite nie sngt myentuh kalbu... banyak meberi pengajaran...

    ReplyDelete
  42. ada unsur agama.bg sy dakwah secara halus...

    ReplyDelete