Geng

Wednesday, August 01, 2012

Izinkan Aku Menangis 6


BAB 6

DARIPADA sahur tadi lagi, Zakiah masih belum puas membebel pada anaknya, Zuraida sampaikan Zuraida sendiri tidak tahu apakah yang dimahukan maknya itu.  Apa lagi la mak ni.  Tak sudah-sudah.  Keluh hati Zuraida sewaktu dia bersiap hendak ke sekolah barunya.  Melapor diri di sana.

Mujur juga permohonannya selama setahun lalu untuk balik berbakti pada anak kampungnya disamping menjaga emaknya yang tinggal sendirian diluluskan oleh Kementerian Pelajaran. 
“Apa  yang tak kena lagi, mak?”  Tangan Zuraida yang sedang memegang sterika terhenti.  Dia memandang emaknya dengan penuh rasa kesal. 
Tak sudah-sudahkah kebencian maknya pada dua beradik yang malang itu?  Dia sendiri tidak mengerti, apakah yang bermain dalam fikiran dan hati Zakiah kini. 
“Tak ada apa tak kena, Ida.  Yang tak kenanya dua ekor tu ha.  Tak baik-baik sakit hati mak ni dok ingatkan mereka tu,” cemik Zakiah sambil menyinsing lengan baju kurung Kedahnya. 
“Yang mak nak sakit hati, kenapa?  Bukannya diorang tinggal sebumbung dengan kita.  Jangan kata sebumbung, sekampung pun dah tidak.  Bukan ke mak dah halau diorang?  Apa lagi yang menyakitkan hati, mak?”  sinis Zuraida geram.
Tidaklah dia mahu menderhaka dengan menyindir emaknya sendiri tapi emaknya itu risau tidak bertempat.  Jika tiada simpati, janganlah ada benci sedangkan pada mata hati Zuraida, Alaina dan Adiana langsung tidak bersalah. 
“Memanglah diorang dah tak ada.  Tapi, kesan tu tak nak hilang!”  tekan Zakian sedikit keras bila merasakan Zuraida sudah pandai menyindirnya. 
“Kesan apa lagi, mak?”  Zuraida mengeluh tipis.  Sungguh dia keliru kala ini.  Nak pergi mengajar pun tak senang kalau macam ni. 
“Yalah, semalam mak pergi kedai Haji Hassan tu, jumpa dengan beberapa orang kampung tanyakan Anida dok hospital gila mana.  Yang mati tu, matilah… yang hidup dan dah tak betul ni tak habis-habis nak susahkan orang,” adu Zakiah tidak puas hati.
Dia tidak suka orang kampung bertanya pada dia tentang keluarga itu.  Benar, Zakiah adalah satu-satunya saudara terdekat keluarga arwah Ahmad tapi kedegilan arwah hendak menikahi Anida dulu membuatkan dia benar-benar marah dengan Ahmad. 
“La… diorang tanya je.  Kalau mak tak nak jawab, mak diamkan sudah.  Apa masalahnya?”  tanya Zuraida lagi. 
Dia menggeleng berkali-kali.  Kesal dengan sikap emaknya.  Sudahnya, dia beralih pandang dan terus menghayunkan sterika, menggosok tudung bawal  yang akan dipakainya itu. 
“Mak ni tak boleh nak dengar nama dia pun, Ida.  Kamu bukan tak tahu!”  Marah Zakiah meledak. 
Zuraida sekarang ada saja bantahan.  Itu tak kena, ini tak kena.  Kalau macam ni, lebih baik dia tinggal sendiri.  Tak payah susah-susah Zuraida nak memohon mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Atan di kampung sebelah sana dengan alasan hendak menjaganya. 
“Kalau tak nak dengar, mak tutup telinga,” tekan Zuraida sudah tidak mahu menahan geram. 
Bulan-bulan puasa ni, mak sengaja nak naikkan darah aku.  Fikirnya dan terus berlalu ke bilik setelah siap menggosok.  Dia terus saja meletakkan tudung itu di atas kepala.  Telinga bingit sejak malam tadi lagi sebenarnya.  Tak habis-habis.  Apa yang tak kena?  Yang pasti, Alaina entah di mana.  Entah selamat, entah tidak.  Bagaimana dengan puasanya, dia sendiri tak mampu mencari jawapan.  Apa yang pasti, dia berbelas. 
“Itulah kamu!”  sergah Zakiah kala Zuraida mahu mengenakan pin pada bawah lehernya. 
Pin itu terjatuh dek rasa terperanjat.  Mak ni… tiba-tiba masuk bilik orang.  Hati dia merungut juga sedikit. 
“Kalau mak cakap, ada je kamu bantah.  Kalau kamu kasihan sangat pada Alai dengan Yana tu, pergilah cari.  Tapi, jangan sesekali kamu bawa dia balik ke rumah ni selagi mak masih hidup!”  sambung Zakiah lebih kuat daripada tadi. 
Zuraida beristighfar di dalam hati.  Apalah yang tak kena dengan maknya, dia pun tak tahu.  Dia nampak kemarahan dalam mata emaknya.  Dia nampak dada Zakiah yang berombak sedikit. 
“Mak…”  Suara Zuraida sayu.  Dia lelah dengan sikap Zakiah.
“Sudahlah tu, mak.  Kita tak tahu pun kat mana dua beradik tu.  Kalau kata mak tak nak tumpangkan mereka, cukuplah mak mendoakan moga Alai dan Yana tu baik-baik je.  Dahlah.  Moga diorang selamat.  Lagipun diorang tu saudara kita.  Anak sepupu, mak,” ujar Zuraida persis memujuk. 
Tak jadi dia mahu memakai tudung.  Bahu emaknya disapa.  Diusapnya perlahan dan berdoa sedikit berharap hati emaknya tenang. 
“Kamu jangan pandai-pandai dok kata budak berdua tu anak sepupu mak.  Dah lama mak buang arwah bapak diorang tu.  Mak benci Anida tu.  Entah manalah Ahmad pergi kutip anak  yatim gila tu,” bentak Zakiah tidak puas hati.
Wajah Zuraida dijeling tajam.  Dia semakin geram dengan Zuraida sehari dua ni.  Jelas terentang Zuradai menyebelahi Alaina biarpun tidak secara terangan. 
“Mengucap sikit, mak,” nasihat Zuraida pasrah bila emaknya bagai kerasukan.  Pelukan pada bahu emaknya dilepaskan dan dia berlalu menatap cermin. 
Jam di pergelangan tangan, dikerling.  Sudah agak lambat.  Hari ini, hari pertama dan sebagai seorang guru, dia harus berdisiplin.
“Kita ni bulan puasa, mak.  Jangan tambah dosa semudah ini… mengata orang sedangkan kita boleh buat pahala dengan berzikir,” ujar Zuraida lagi tanpa niat hendak menyindir sedikit pun.
Zuraida hanya mahu Zakiah sedar akan apa yang sedang diperkatakan.  Lebih-lebih lagi di bulan mulia ni.  Buat rugi saja.  Orang lain berkejaran demi pahala tapi mereka semudah itu mengerjakan dosa. 
“Kamu jangan sindir mak, Ida!”  marah Zakiah sambil bercekak pinggang.
Zuraida diam seketika.  Tudungnya dikemaskan.  Kemudian dia menilik penampilannya yang telah siap.  Beg tangan dicapai dan disangkut pada bahu.  Kunci kereta juga dia gapai. 
Langkahnya maju pada Zakiah yang sedang berdiri bersebelahan pintu.  Telinganya menghayati suasana hening ini.  Sungguh terasa damai hati pertama di bulan penuh barakah ini. 
“Ida tak sindir, mak.  Ini kebenaran.  Erm… Ida dah lewat ni.  Ida jalan dulu, ya.  Seronok juga nak mengajar tempat baru ni.”  Cepat saja Zuraida menukar topik perbualan. 
Sungguh dia teruja hendak menjejaki sekolah barunya.  Sedangkan dia tidak pernah tahu yang sekolah itulah yang menjadi sekolah tempat Alaina menuntut ilmu sebelum ini.  Dia tidak pernah tahu kerana sekembalinya dia ke kampung, kala Alaina ditimpa musibah dan kala gadis itu sudah tidak ke sekolah untuk seminggu lamanya. 
“Assalamualaikum, mak,” ucap Zuraida lembut.  Tangan Zakiah dicapai dan dia berlalu setelah mengucup jemari tua emaknya. 
Saat kakinya tiba di muka pintu, Zuraida nampak bayangan Alaina dan Adiana yang merayu-rayu dan berlalu di dalam hujan.  Seperti saat itu, hari ini juga langit nampak mendung bagaikan memerlinya tentang peristiwa itu. 
Dia tahu, emaknya yang menghasut Mak cik Jah agar menghalau mereka berdua.  Itupun, setelah dia terdengar akan  perbualan maknya dengan Mak cik Jah. 
Zuraida tak mampu membantu.  Dia bimbang dia akan menderhaka pada emaknya dan dia tidak mahu begitu tapi hari ini, jika dia mampu menemui Alaina dan Adiana, dia pasti membawa mereka berdua tinggal di tempat yang selamat. 
Ya Allah, ampuni aku dan emak.  Sesungguhnya kami telah menzalimi anak yatim itu, Ya Allah.  Kau jagalah mereka kerana Kau adalah sebaik-baik penjaga, doa Zuraida di dalam hati. 
Kakinya pantas menapak menuruni anak tangga dan berlalu ke arah Proton Persona kelabu metalik itu dan membolosi pintu lalu menghidupkan enjin dan terus bergerak.  Tak perlu nak tunggu enjin panas seperti biasa memandangkan hatinya sendiri telah panas dibakar amarah emaknya. 
Hujan yang mula merintik, sedikit sebanyak membuatkan hati Zuraida menangis.  Maafkan Kak Ida, Alai…Yana, bisik hatinya lirih.

**

BEBERAPA buah buku yang belum habis diperiksa, dia belek.  Masih tinggal beberapa buah saja dan hari ni dia akan pulangkan buku ini kepada pelajar.  Lega bila jadual hari ini telah selamat diatur.  Silibers pembelajaran juga masih mengikut apa yang telah dia tetapkan pada awal tahun dulu.  Tak payah nanti hendak mengajar. 
Adan menghela nafas lega bila mana buku terakhir ditutup.  Dia bersandar pada sebuah kerusi yang memang miliknya di dalam bilik guru dan membiarkan kepalanya terdongak sedikit.  Tubuhnya berasa penat.  Mujur juga perhimpunan mingguan hari ini dibatalkan kerana hari hujan.  Bolehlah dia berehat untuk sejam lebih sebelum memulakan kelas.
“Kelas pukul berapa, Dhan?” 
Adan tegakkan tubuh dan memandang empunya suara.  Cikgu Siti sedang tersenyum padanya dan duduk di hujung meja sana
“Lepas habis masa perhimpunan terus kelas, kak.  Tapi, dah alang-alang tak ada assembly ni, rehatlah dulu,” balas Adan tersengih juga. 
“Itulah.  Akak pun seronok ni.  tak adalah nak dok tercongok je,” ujar Cikgu Siti pula. 
Cikgu Siti adalah senior di sini.  Anak jati Kampung Haji Atan.  Pulang mengajar di tempat kelahiran sendiri setelah bertahun-tahun tercampak di Sabah.  Seorang isteri dan ibu pada lima orang anak  yang cerdik-cerdik belaka. 
“Seronok nampak kak… tak ada perhimpunan,” tegur Adan mengusik.  Haih… memang pandang dibatalkan, pasti ramai yang tersengih lebar. 
Cikgu Siti mengangguk.  “Siapa tak seronok, Dhan?  Semua seronok, kamu je tak seronok,” balas Cikgu Siti juga mengusik. 
Keningnya terjongket sedikit pada Adan yang sedang melihatnya dan dalam tidak sedar tawa mereka meledak.  Waktu ini ramai cikgu-cikgu di kantin.  Hanya beberapa orang saja yang sudah sedia berada di dalam bilik guru ini.  Adan kembali membelek nota yang dibuatnya semalam.  Inilah yang akan dia ajar hari ini. 
“Dengar kata ada cikgu baru masuk hari ini, Dhan.  Kamu tahu tak?”  Pertanyaan Cikgu Siti kali ini membawa Adan memandangnya lagi. 
“Tak tahu pulak, kak.”  Adan menggeleng tanda tidak tahu.
Dia memang agak ketinggalan andai ada kemasukan baru melainkan ada yang bertukar, itulah baru dia tahu.
“Kamu tu memang.  Haih…”  Cikgu Siti merungut. 
Dia sengaja mengusik Adan.  Bukan dia tidak tahu, Adan jarang mengambil peduli urusan lain selain mengajar saja.  Namun, ramai  yang senang dengan Adan.  Biarpun dia agak pendiam, guru muda itu sangat menjaga tingkah dan pandangan mata lebih-lebih lagi pada perempuan. 
Berkali-kali Cikgu Siti hendak mengenenkan Adan dengan beberapa orang cikgu muda juga namun sayang bila Adan hanya menggeleng dan tersenyum.  Padanya, Adan memang baik.  Ringan tulang dan tak lokek membantu.  Saat dia sarat mengandung dulu, Adanlah yang banyak membantu dia menggantikan kelasnya.  Jika dia punyai adik perempuan, pastilah dia meminta Adan meminang adiknya itu.
“Lelaki ke perempuan?”  Adan menyoal tenang.  Kepalanya ditelengkan sedikit pada Cikgu Siti.
“Erk…”  Cikgu Siti nampak terperanjat.  Biar betul budak Adan ni.  Sejak bila pandai tanya jantina?
“Hai, Dhan… nak tahu jantina nampak,” sela Cikgu Siti dan Adan ketawa.
“Saja je.  Kalau perempuan, nak elak siap-siap.  Takut akak kenenkan dekat saya lagi.  Kalau lelaki tu, okeylah.  Tak payah nak elak,” usik Adan pula. 
Membulat mata Cikgu Siti mendengarkan kata-kata Adan.  Ingatkan dia mahu mengusik Adan tetapi Adan terlebih dahulu mengusiknya.  Dia memang pelik dengan Adan hari ini.  Nampak lain.  Wajah bersih itu nampak bercahaya.  Biasanya, orang dilamun cinta je macam ni.
“Kamu ni, Dhan… akak tengok lain macam je.  Terjatuh ke?” 
Dahi Adan berkerut.  “Bila masa saya jatuh?”  Dia membelek tubuhnya sendiri mencari kesan jatuh.  Kotor mungkin atau boleh jadi juga terluka sana-sini tapi tiada sebab dia memang tak jatuh.
Main-main, ya?  Maksud akak tadi, kamu terjatuh cinta ke?  Muka berseri lain macam je,”  ujar Cikgu Siti berterus terang. 
“Eh, ya ke?  Biasa je,” dalih Adan lantas melarikan wajahnya daripada pandangan Cikgu Siti.  Dia tahu, Cikgu Siti mula mengesan perubahannya. 
Nampak sangat ke aku jatuh cinta ni?  Adan menyoal dirinya dan dia hanya mampu tersenyum bila hatinya mengiyakan.  Dia bahagia.  Dia gembira dan dia juga resah bila sebentar lagi, pasti nama Alaina meniti di bibir cikgu-cikgu  yang lain. 
“Akak pun pernah muda, Dhan.  Kamu ni. Oh, ya Dhan.  Tadi sebelum naik akak singgah kantin.  Akak ada dengar seorang pelajar pandai sekolah ni dah seminggu tak datang sekolah tanpa surat atau makluman.  Dengar katanya hari ini pelajar tu tak datang juga. Tak nak sekolah dah kot,” beritahu Cikgu Siti tiba-tiba.
Jantung Adan tersentap.  Baru saja dia memikirkan nama Alaina dan kini, kisah Alaina menjadi bualan antara guru pula. 
“Err… siapa?  Alaina binti Ahmad tu ke?”  Adan menyoal sedikit gugup. 
Dia benar-benar sedih jika nama Alaina menjadi umpatan dan haruskah dia tampil menjawab persoalan?  Adan tidak tahu.  Apa yang pasti, dia perlu menyiasat sebab musabab Alaina menjadi begitu. 
“Eh, macam mana kamu tahu, Dhan?”  Cikgu Siti menyoal sedikit pelik tapi dalam hatinya, siapalah yang tidak kenal akan Alaina binti Ahmad itu. 
Seorang pelajar pintar yang cantik namun sayang, wajah itu jarang tersenyum.  Jalannya menunduk ke bumi dan kisah hidupnya juga terlalu dirahsiakan.  Jarang berteman dan banyak menyendiri.
“Siapalah tak kenal Alaina tu, kak,” sela Adan berlagak tenang sedangkan dalam hatinya, bagaikan mahu membawa kakinya berlari mengejar Alaina di rumah Nur Raudhah sanaAda rindu kini tapi dia harus bertahan moga rindu itu adalah rindu yang diberkati.
“Itulah…”  Cikgu Siti mengeluh. 
“Tak tahu apa masalah dia.  Tadi katanya, cikgu kelas dia nak pergi kampung dia nak tanya apa masalah.  Tak tahulah pergi ke tak,” tokok Cikgu Siti lagi lantas dia bangkit dan berlalu ke hadapan sana bila melihatkan Guru Penolong Kanan masuk ke bilik guru dengan seorang guru baru yang agak biasa kelihatan wajah itu pada mata Adan lantas dia juga turut sama bangkit menuju ke sana bagi menunjukkan rasa hormat pada Guru Penolong Kanan.
Zuraida hanya tersenyum.  Keluar saja daripada bilik Pengetua tadi, dia terus dibawa oleh Guru Penolong Kanan ke bilik guru.  Dia berasa lega bila ramai yang ramah.  Namun, bisik-bisik tenang nama yang cukup dikenalinya itu sedikit sebanyak mengganggu hari.  Tidak sudah-sudah nama Alaina menjadi perbualan sejak daripada tadi. 
“Ini Cikgu Siti,” ujar Guru Penolong Kanan itu. 
Zuraida tersenyum dan menghulurkan salam pada Cikgu Siti.  Ditebarkan pandangannya ke sekeliling.  Masih tidak ada guru lain.  pastilah yang lain bertenggek di di mana-mana.
Zuraidah menghulurkan salam tanpa sedar, Adan mula mendekat dan semakin hampir.  Kala tautan tangan mereka terlepas, Adan menyapa bersama salam.
“Assalamualaikum.”  Gigi Adan nampak jelas. 
Dalam hati Adan, dia gembira tak terkata.  Benar bagai ditelah.  Dia kenal wanita di hadapannya kini. 
Waalaikummussalam,” jawab mereka hampir serentak. 
Zuraida berpaling pada Adan dan matanya membulat dan mulutnya melopong.  Masakan tidak, dia kenal lelaki ini.  Antara lelaki yang menjadi kegilaan pelajar dulu dan termasuk juga dia.  Adan!  Seru hati Zuraida.  Dia sudah tidak mampu mengukir senyum.  Bagaikan berjodoh pula. 
“Lama tak jumpa,” ucap Adan mesra.  Seraya itu, dia memandang Cikgu Siti dan Guru Penolong Kanan.
“Eh, Cikgu Adan dah kenal ke cikgu baru kita ni?” 
Adan mengangguk.  “Sama-sama belajar dulu,” sela Adan.
Zuraida mengangguk.  Adan sendiri tidak menyangka, ada lagi pertemuan antara dia dan Zuraida.  Setahu Adan, Zuraida pernah menyimpan perasaan padanya namun tidaklah dia pasti sedalam mana.  Banyak cerita daripada kawan-kawan dan dia  hanya membiarkan di angin lalu saja. 
“Emm… kalau macam tu, mudahlah.  Adan bolehlah tunjuk tempat pada Cikgu Zuraida ni,” suruh Guru Penolong Kanan lagi.
Adan hanya mengangguk.  Cikgu Siti menjeling penuh makna.  Namun dia dapat rasakan, tiada renungan lain dalam mata Adan melainkan pandangan seorang lelaki yang tiada berperasaan istimewa pun pada wajah Zuraida.  Emm… ternyata Zuraida juga tak mampu membawa debar dalam hati Adan.  Fikir Cikgu Siti.
Zuraida sudah tidak mampu menyembunyikan senyumnya.  Dulu dia pernah meminati lelaki ini.  Sesekali, ingatan itu hadir juga.  Ternyata, takdir menolak mereka mendekat sekali lagi.  Malah lebih dekat daripada dulu. 
Bila Adan meminta diri, Cikgu Siti hanya mengangguk dan Zuraida terus mengikuti langkah Adan memandangkan di depan Adan, masih ada meja kosong dan pasti di situlah tempat Zuraida selama ini.
Tak salah aku pilih nak balik sini.  Fikir Zuraida di dalam hati dan hatinya terus berbunga.  Langsung hilang resah kerana Alaina.  Adan menjeling Zuraida yang nampak ceria.
Happy?”  soal Adan sepatah. 
Zuraida mengangguk pantas.  “Allahamdullillah… boleh dekat dengan mak saya,” jawab Zuraida namun dalam hatinya juga berbisik, mampu dekat dengan awak Adan. 
Adan angguk dan hanya tersenyum menyenget.  Dia lelaki dan dia mengerti apakah bahasa tubuh seseorang wanita.  Namun, mengapa bahasa tubuh Alaina terlalu sukar untuk dia mengerti? 


SELESAI mengaji bersama dengan Adiana, Alaina terus bangkit dan menuju ke ampaian bersama dengan sebaldi kain yang telah di cuci.  Ada sehelai jubah milik umi dan babanya.  Betapa Ustazah Fatima menegah, Alaina tetap buat tidak endah.  Dia tidak betah tanpa kerja.  Jika dulu, bersama arwah ayah dan ibu pun, dia memang ringan tulang. 
Alai tak penat ke?”  soal Ustazah Fatima dari serambi kala melibat Alaina yang sedang menjemur pakaian. 
Sudahlah basuh pakai tangan.  Sejak lepas sahur tadi, tidak sekalipun dia melihat Alaian duduk diam.  Ada saja kerja yang mahu dilakukan.  Mengelap perabot, mengemop lantai dan menukar langsir.  Bagaikan hari raya pula.  Bila di tanya, gadis itu hanya tersenyum dan Ustazah Fatima juga hanya mampu memandang. 
“Tak adalah, umi.  Alai dah biasa,” jawab Alaina berpaling sedikit pada uminya. 
Ustazah Fatima mengangguk dan menggariskan senyuman.  Dia terus memandang susuk tubuh Alaian daripada belakang.  Selasai Dhuha tadi, dia terlelap seketika dan bila tersedar, Alaina sedang mengajar Adiana mengaji. 
“Dah nak tengah hari ni, Alai.  Nanti berehat kejap sementara masuk Zuhur.  Umi tengok kamu tak berhenti buat kerja.  Jangan paksa diri,” nasihat Ustazah Fatima.  Dia mengambil berat akan Alaina kerana menyayangi gadis itu.
“Emm… baiklah umi.  Tapi, bulan puasa tak elok rehat banyak sangat.  Nanti, Alai jadi malas.  Lebih baik Alai buat kerja.  Isi masa.  Nanti dah siap semua, boleh belajar agama dengan umi,” jawab Alaina membantah dalam penuh kesopanan. 
Haih… ada saja jawapan Alaian.  Fikir Ustazah Fatima.  Memang itulah rutin Alaina.  Jarang melihat Alaina terlena pada siang hari.  Andai terlena seketika usai Zohor itu sunat, dia hanya pernah nampak Alaina merebahkan tubuh saja.  Namun, mata itu terus menatap buku-buku agama.
“Baiklah, anak umi… Alaina,” sindir Ustazah Fatima sedikit dan dia terus berpaling dan menapak ke dalam.  Alaina hanya ketawa halus. 
Tangannya masih lagi menjemur saki baki pakaian yang ada.  Matahari mula terik di atas kepala.  Adiana juga kembali terlena.  Hari pertama dipaksa puasa, merungut juga adiknya itu.  Bagi Alaina, dapat separuh hari pun jadilah buat mendidik jiwa anak kecil itu mengerjakan rukun Islam itu.
Bila pakaian terakhir siap dijemur, peluh sudah merenik di dahinya.  Bila Alaina melangkah menuju ke anak tangga, telinganya tersapa oleh deruman enjin kereta yang semakin hampir dan terus saja berhenti tepat di depan Nur Raudhah. 
Alaina berhenti melangkah dan berpaling ke belakang.  Demi terpandangkan kereta putih itu, matanya membulat dan bila pemandunya keluar, baldi di tangannya hampir terjatuh.  ‘Buat apa dia ni datang sini hari ni?’  Bisik hati Alaina bersama kerutan pada wajah.
“Alaina!”  Mikhail menyeru nama Alaina sedikit gugup. 
Dia juga bingung dengan sendiri.  Entah mengapa ringan saja tangannya memusing stereng menuju ke Sungai Buloh.  Hatinya meronta-ronta hendak menatap wajah Alaina.  Wajah yang menghantui lenanya tiap-tiap malam.  Kadang-kadang Mikhail merasakan Alaina ini adalah jelmaan Pontianak.  Cantik tapi misteri dan mampu membawa rasa asing dalam hatinya. 
Jika benar begitu, pastilah ada paku  yang tertusuk pada belakang tengkuknya dan itulah yang mahu Mikhail pastikan.  Dia sudah tidak mampu berfikir dengan waras tentang gadis di depannya kini.  Pertama kali dia merasakan begini.  Pertama kali dia merasakan kedinginan seorang perempuan kala memandangnya.  Jiwa lelakinya rasa sedikit tercabar.  Sungguh begitu. 
“Err… ya?” 
Suara Alaina juga tersekat-sekat.  Dia gugup bila mata helang Mikhail memandangnya tanpa sebab.  Dia gundah bila lelaki itu menapak.  Dia resah bila Mikhail terpacak di depannya kala ini. 
‘Masih dendamkan Mikhail pada aku pasal hari tu?’  Itulah yang bermain di dalam fikiran Alaina.  Dia bimbang andai masih ada marah dalam diri Mikhail akan kejadian di tengah-tengah jalan raya tempoh hari. 
“Boleh kita cakap?”  soal Mikhail jujur. 
Dia bukanlah seorang yang pandai berkias.  Apa yang dia inginkan, dia akan meminta dan jika sebaliknya dia akan keras menolak. 
“Kalau pasal kejadian tempoh hari, saya minta maaf,” ucap Alaina pantas. 
Dalam kepalanya hanya hal itulah yang bermain sedari tadi.  Malah sejak kali kedua mereka bertembung pandang. 
Mikhail menggeleng.  “Nope.  Bukan pasal tu.  Aku ada hal lain nak cakap.”
‘Aduh… nak cakap saya, tercakap aku pulak.’  Mikhail mengeluh.  Permulaan pertemuan yang buruk dan pertemuan seterusnya juga lagi teruk.  Patutnya dia berlembut sedikit kerana hati perempuan mudah terpujuk dengan kata-kata rayuan lelaki. 
“Kalau bukan sebab tu, rasanya tak ada hal lain lagi yang perlu kita cakapkan.  Assalamualaikum!”  tegas Alaina. 
Tiba-tiba saja dia terkesan akan niat lain dalam diri Mikhail.  Renungan Mikhail tak lepas dari wajahnya.  Langsung tidak menjaga pandangan.  Tambah-tambah lagi bulan Ramadhan ni.  Dia tidak suka lelaki begitu.  Dia tidak hormat dengan lelaki bersikap demikian.  Merenungnya bagaikan hendak ditelan dia hidup-hidup. 
“Alaina, tolong…”  rayu Mikhail tiba-tiba.  Dia cuba menahan tapi Alaina pantas melangkah. 
Boleh dikatakan, Alaina adalah wanita pertama  yang dia ucapkan perkataan itu selain pada mama dan Malisa.  Ya, Alaina adalah orang pertama yang mampu membuatkan dia mengucapkan ‘tolong’.
‘Ish perempuan ni.  Kalau aku dapat, memanglah…,’ gerutu hati Mikhail menahan geram.  Sabarnya kian menipis.  Andai Juana, pastilah mengikut telunjuk dia saja.  Tak susah hendak menentukan arah tapi dengan Alaina dia perlu bekerja keras.
“Maaf.  Tak sopan kita berbual kat sini…”
“Habis tu kat mana?  Dalam bilik?”  pangkas Mikhail penuh sinis.  Langsung terpesong dari apa yang ingin Alaina katakan.
Alaina membulatkan mata bundarnya.  Dia merenung Mikhail tajam.  Dia tak suka bila Mikhail berbicara demikian. Langsung tidak menghormatinya dan bulan mulia ini.
“Encik Mikhail…”
“Oh… rupanya tahu nama aku,” ujar Mikhail memangkas kata-kata Alaina sekali lagi.
Dia berpeluk tubuh memandang Alaina sedikit jengkel.  Dahinya sudah merenik dengan peluh kecil.  Panas hari ini dan semakin menipis sabarnya yang sememangnya sudah sedia tipis. 
“Tolonglah.  Saya tak tahu apa niat encik datang sini tiba-tiba dan tolong juga ingat.  Ini bulan puasa.  Tak manis orang tengok dan saya sendiri tak kenal encik.  Kalau encik nak jumpa umi, saya panggilkan,” tegas Alaina menahan geram. 
Sejujurnya, dia agak marah kala ini.  Hari pertama puasa terus terduga.  Rasa geram dengan kehadiran lelaki ini tiba-tiba dan juga membuat permintaan yang pelik-pelik.  Mahu saja dia hempuk baldi yang ada di tangannya pada kepala Mikhail.  Biar kembali berfungi otak itu. 
“Aku datang sebab kau dan atas permintaan mama aku!”  tekan Mikhail mematikan langkah Alaina. 
Mendengarkan nama Puan Maryam, Alaina tak jadi melangkah.  Ada berita burukkah?  Dia lantas kalih pada Mikhail dengan wajah sedikit berkerut sana sini.  Mata Mikhail dipandang seketika.
“Kenapa dengan Puan Maryam?” 
Ternyata, Mikhail berjaya dalam menggunakan nama mamanya bila dia melihat wajah Alaina berkerut hebat. 
‘Gadis ini memang lain.  Keras di luar tapi sesungguhnya, aku yakin dia lembut dari dalam.’  Putus Mikhail penuh yakin dan kelembutan itulah yang mahu dia lihat dengan mata kepalanya sendiri.
“Mama sakit kepala.  Dia tak ingat nak datang jumpa kau hari ni tapi dia tak larat.  Jadi, dia minta aku datang jemput kot-kot kau sudi datang mengajar tajwid dekat mama hari ini memandangkan kau memang sepenuh masa dekat sini,” jawab Mikhail berbohong pada Alaina lantas menambahkan catatan pada bahu kirinya. 
Mikhail tersengih menyenget bila wajah Alaina menunduk.  Menggeleng tidak, mengangguk juga tidak tapi Mikhail yakin, Alaina pasti mahu.  Dia nampak kemesraan yang ada antara Alaina, mamanya dan Malisa.  Kebetulan, bukankah Puan Maryam memang minta dia belajar dengan Ustazah Fatima dan Ustaz Fadzil jadi tidak salah jika dia memilih guru agamanya sendiri dan hati dia berkata, Alainalah orangnya. 
“Saya masih belajar,” tukas Alaina menolak dalam lembut.
“Nanti saya maklumkan umi.  Dia akan ikut awak,” sambung Alaina lalu dia melangkah masuk meninggalkan Mikhail yang mengeluh berat.
“Huh, payah betul perempuan ni.  Nak bercakap pun macam ada emas dalam mulut!”  rungut Mikhail geram. 
Dia labuhkan duduk di atas anak tangga.  Waktu ini, segera terbayang wajah Alaina saat itu.  Mikhail pegun.  Jiwa lelakinya berkocak hebat.  Dadanya bergetar.  Ada alunan indah yang masih sumbang lagunya. 
Alaina masuk ke dalam rumah dan waktu itu, dia nampak Ustazah Fatimah sedang berbual di telefon.  Kakinya melangkah ke pintu dapur, dan terus diletakkan baldi di situ sementara menanti Ustazah Fatima habis berborak. 
Ustazah Fatima memandang Alaina dan tersenyum.  “Emm… yalah, Yam.  Nanti saya hantar Alaina ke sana,” ucap Ustazah Fatima. 
Kini, Alaina tahu, dengan siapakah uminya berborak.  Puan Maryam rupanya.  Adakah benar Puan Maryam menghantar Mikhail untuk menjemputnya?  Jika benar, kenapa hatinya masih ragu-ragu?
Puan Maryam seronok di hujung talian.  Dia akan menghantar Malisa ke sana untuk menjemput Alaina ke rumahnya hari ini.  Dia mahu berbual lebih lama dengan Alaina.  Tidak ada niat lain.  Jauh sekali hendak membiarkan Alaina jatuh ke mulut buaya anak lelakinya.  Dia tidak sanggup melihat kehancuran Alaina biarpun dia masih berharap, Alaina mampu menjadi cahaya untuk Mikhail kembali ke pangkal jalan. 
“Saya suruh Malisa pergi sekaranglah, ya?”  ujar Puan Maryam teruja.  Dia gembira bila Ustazah Fatima membenarkan. 
“Tak kerja ke budak tu?”  soal Ustazah Fatima pula.
“Dia cuti.  Hari pertama puasa ni, nak dok dengan mama katanya,” balas Puan Maryam bersama tawa kecil tanpa dia tahu  yang Mikhail sudah bertapak-tapak terkedepan mengambil langkah. 
“Kalau macam tu, tak apalah Yam.  Saya suruh Alaina bersiap.”  Talian dimatikan. 
Ustazah Fatima memandang Alaina yang sedang berdiri tegak bagai menanti arahan yang seterusnya.
“Yam telefon tadi.  Dia minta Alai ke rumah dia.  Saja nak kenal-kenal dengan Alai dan sambil-sambil tu boleh belajar sikit,” beritahu Ustazah Fatima tanpa Alaina menyoal.
Jadi, benarlah kata Mikhail.  Puan Maryam memang mahu dia ke sana.  Benar begitu tapi tidaklah Mikhail yang disuruh menjemput Alaina tapi Malisa. 
“Patutlah…” sela Alaina mengangguk sedikit.
Ustazah Fatima senyum.  “Alai pergilah.  Malisa ada kat sana.  Boleh berkawan.  Pergi siap,” suruh Ustazah Fatima.
“Tapi, Yana…”
“Umi ada.  Lagipun, Yana tengah tidur tu.”
Alaina mengangguk lambat-lambat.  Dia bukanlah tidak sudi tapi memikirkan Mikhail yang menjemput, dia berat hati.  Tak sedap hati. 
“Pergilah bersiap.  Tunggu kat depan je.  Apa-apa hal, telefon umi nanti,” ujar Ustazah Fatima lagi lalu dia masuk ke bilik bersama senyuman.
Dia yakin dengan ilmu Alaina.  Dada Alaina tidak kosong.  Dia ada pengisian agama.  Alaina ada ilmu yang boleh membawa sedikit cahaya dalam hidup mereka yang kelam.
Tak sempat Alaina bersuara, pintu bilik tertutup rapat.  Ustazah Fatima tidak tahu, Mikhail sudah setia menanti.  Otak yang sedang berfikiran bukan-bukan itu, Alaina bersihkan sebaik mungkin.  Dia tak tahu ada syak wasangka buruk pada Mikhail.  Dia tak mudah hendak mengadili seseorang pada beberapa pertemuan saja.  Itulah putus minda warasnya dan dia terus saja masuk ke bilik dan bersiap. 
Mikhail sudah mengerling jam di pergelangan tangannya berkali-kali.  Pesanan yang dia terima daripada Malisa tadi benar-benar membuatkan rancangan gilanya itu berjalan lancar kerana dia yakin, Alaina akan mengikutnya nanti. 
Baru saja dia mahu melebarkan senyum, terpaksa pula dia matikan bila terdengar derap tapak kaki Alaina.  Mikhail berpaling pantas dan tubuhnya terus tegak kala melihatkan Alaina yang sedang menyarungkan selipar tanpa sesaatpun memandang dia. 
‘Cantik!’  Hati Mikhail terbersit lagi.  Biarpun Alaina bertutup dari hujung rambut sampai hujung kaki, mata Mikhail tak mampu berkalih pandang.  Padahal Juana lagi menarik dipandang tapi mengapa pandangannya bagaikan terpaku pada gadis ini kali ini?
Baju kurung dari jenis kain kapas yang tersarung pada tubuh Alaina dan juga selendang dari rona yang berbeza itu nampak menarik bila digayakan oleh Alaina biarpun selendang itu hampir menutup separuh wajah Alaina.  Mikhail  yakin, Alaina sengaja menarik selendang itu agar menutup lagi wajahnya.  Dia nampak wajah itu merah membuatkan bibirnya herot lagi dengan senyuman.
“Percaya dah?”  soal Mikhail sinis. 
Alaina hanya tunduk dan meniti anak tangga satu persatu hinggalah Mikhail juga melangkah dan kereta terus menderum lagu meninggalkan perkarangan Nur Raudhah.
“Eh, cepatnya Malisa sampai,” gumam Ustazah Fatima lalu dia berlari ke arah pintu hendak melihat tapi sayang, kelibat Alaina dan kereta Malisa langsung tidak terbias lagi namun hatinya berdoa, moga Alaina diberkati. 
“Kenapa diam?”  tanya Mikhail bila melihatkan Alaina hanya diam memeluk beg sandangnya erat. 
“Ada harta karun ke dalam beg kau tu?”  soal Mikhail lagi bila Alaina tetap membisu.  Tunduk saja memainkan jari-jemarinya yang runcing dan putih itu. 
“Ada emas ke dalam mulut kau, Alaina?”  Mikhail ketap gigi.  Geram sungguh dia dengan perempuan ni. 
Berpuluh soalan, satu pun payah hendak dia jawab.  Tapi, dia nampak mulut Alaina terkumat-kamit. Entah jampi serapah apa yang Alaina baca, dia tidak tahu.
“Alaina, aku tanya ni!”  marah Mikhail tiba-tiba. 
Stereng dicengkam kuat.  Pedal minyak ditekan lagi menambahkan kelajuan.  ‘Aku heret ke hotel karang minah ni, mahu bisu seumur hidup!’  Marah Mikhail dalam hati. 
“Maaf.  Saya memang tak diajar bercakap banyak akan hal yang sia-sia.  Saya ikut awak ini tujuan saya hanya satu.  Jumpa Puan Maryam je,” jawab Alaina sopan.
“Sia-sia ke?  Kan aku tanya soalan tu!”  marah Mikhail lagi namun kali ini suaranya agak kendur. 
Tenang sungguh perempuan ni.  Diherdik dan dimarahpun, langsung tidak membalas.  Tersusun saja ayatnya biarpun pedas dan panas. 
“Habis tu kau ikut aku ni tak apalah pulak?”  Mikhail masih tidak mahu tewas.  Disindir lagi Alaina. 
“Tujuan saya satu je,” tegas Alaina sekali lagi. 
“Huh… tercabar sabar aku hari ini!”  bebel Mikhail lebih pada dirinya sendiri.  Butang kemeja dibuka sedikit membiarkan penghawa dingin menjamah dadanya yang hangat. 
“Sabar itu dituntut dalam agama.  Tambah pula bulan puasa macam ni.  Memang manusia mudah tercabar dan hilang sabarnya sebab kita memang sukar hendak mendidik diri menjadi sabar,” jelas Alaina bersahaja. 
Dia menjeling Mikhail sekilas dan ternyata Mikhail  juga sedang mengerling tajam padanya. 
“Kau ingat aku tak mampu sabar ke?”  tegas Mikhail.
“Kalau aku tak mampu sabar, hari pertama tu lagi aku marah kau teruk-teruk tau.”  Mikhail cuba mengingatkan kembali akan pertemuan pertama mereka. 
Wajah Alaina berkerut sedikit.  Sabarkah Mikhail kala itu jika mulutnya berapi menyembur Alaina waktu itu?  Jangan kata hendak bertanya khabar, hendak bersimpati juga jauh sekali. 
“Memang kita mampu kalau kita rasakan kita ni mampu.  Tapi, sejauh mana kemampuan itu kerana sabar itu terlalu sukar untuk kita raih bila Allah katakan, sabar itu adalah sebahagian daripada iman.  Sukar untuk kita sebahagian daripada keimanan itu sebab kita manusia yang sentiasa khilaf bersama iman yang lebih tipis daripada kulit bawang ni,” jelas Alaina lagi. 
Tidaklah dia maksudkan hendak menyindir Mikhail tapi dia juga mengingatkan dirinya sendiri bila hari ini saja, sudah diduga dengan Mikhail.
Mikhail diam.  Dia merengus sedikit.  Tak mampu berkata apa bila Alaina berbicara soal agama.  Dia tidak punya ilmu itu.  Hanya asas yang menjadi teman namun sayang, asas itupun tidak lagi dia amalkan. 
“Huh… lebih baik aku diam.  Puasa-puasa ni tak elok cakap banyak.  Kurang pahala puasa,” sela Mikhail sinis.  Entah pada siapa.  Dirinya sendiri atau boleh jadi juga pada Alaina. 
Sebenarnya dia kehilangan kata.  Perdebatan pertama yang ternyata ditewaskan oleh Alaina membuatkan dia semakin berkehendakkan gadis itu.  Dia mahukan Alaina dalam apa cara sekalipun biarpun hatinya belum lagi mampu ditembusi cahaya.

~~> bersambung

21 comments:

  1. citer ni best sgt2..mcm tgk drama ramdhan kt tv..

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul la..best sangat2..RM.. suka watak Alai ngan Mikhail...

      Delete
  2. wah!!! awal2 dh mula nk lancarkn perang ea... menarik... thanks, kk rehan..

    ReplyDelete
  3. eeeeee.... risau ni.... apa akan terjadi kat alaina... jgn ler hendaknyansi mikhail tu buat benda tak senonoh kat alaina.... byk tul dugaan kat alaina...

    ReplyDelete
  4. Wah.....hebat jugak penangan Alaina,sampai kn mamat kassanova cam Mikhail pun leh haru biru jadi nya.caya lah RH akak suke...........banyak2 ko sabar Mikhail,kalo nk cair kn ati Alaina.silap sikit gigit jari lh Mr Kassanova Malaya.he..he..heee

    ReplyDelete
  5. best giler....x sabar nak baca...cepat sambung yea..

    ReplyDelete
  6. Nk lg.....hihi :-)

    #nana jamil#

    ReplyDelete
  7. Alaa pendek je entri kali ni, tak puas nak baca lg. Tp takpe la, asalkan ada hehe. Kesian malisa nnti smpai2 raudhah alaina dah tkde. Mikhail dah culik tehee

    ReplyDelete
  8. Wah makin best....Semoga mikhail beubah...Alai yg sgt penyabar.... Usma

    ReplyDelete
  9. wah ada watak baru..... plot bertambah menraik. so zuraida @ alai, adan @ mikail? hmmmmm.....tak sabar nak tunggu entry seterusnya.

    ReplyDelete
  10. puasa2....redho je la ape yang berlu pon Alaina....Sabar yeh....kite pon tengah sabar banyak2 nih (ape yang aku merapu nih muahhahaa)

    ReplyDelete
  11. saya dah mula rasa bahangnya...adan, alai, zuraida, mikhail...

    ReplyDelete
  12. best cter nieyh, ramadhan tue memang terbayang2 asyraf muslim =)

    ReplyDelete
  13. salam.
    eeeee...geram tol lah ngn mikail 2.
    lau sabar skit ngn alaina xbley kew???
    nie x...asyik nak marah2 jew...huhu
    ooppppssss sory kak rehan...teremo lah plak...;)

    ReplyDelete
  14. nak adan dgn alai la RM

    ReplyDelete
  15. SIAN PLAK ADAN..DOK ANGAU, ADE ORG MASUK PLAK...HEHEHE

    ReplyDelete
  16. huhuu! best! best! entry baru esok ye kak? kekekeke. drama bersiri ni! harus tonton setiap hari! :D

    ReplyDelete
  17. mmg sesuai la citer ni ngan bulan ramadhan wpun saya x sokong alai-adan. saya masih sokong alai-khail lagi setakat neh. hehehe

    karehan, tq en3 kali neh.mmg sabar menanti

    ReplyDelete
  18. rehan sambung cepat tgh best nie

    ReplyDelete