Friday, September 28, 2012

Izinkan Aku Menangis 19


BAB 19

PULANG dari berterawih, Alaina terus ke dapur.  Jam sudah menginjak ke angka 9.30 malam.  Risau pula.  Sudah agak lewat tapi umi dan babah masih belum menghubunginya.  Pasti Adiana sudah terlena dan dia perlu meminta Mikhail menghantarnya pulang. 

Air dikacau perlahan.  Gelas disusun cermat di atas dulang.  Sedikit kuih yang berbaki semasa berbuka tadi disusun di dalam pinggan.  Keluar saja dari dapur setelah menyediakan sedikit minuman dan kuih-muih setelah mereka pulang dari terawih tadi, mata Alaina terpandang Mikhail yang sedang bergurau senda dengan mama dan adiknya. 
Kala terpandang Mikhail memeluk dan mencubit pipi Malisa, Alaina berasa cemburu.  Dia tidak sempat begitu.  Ayah sibuk mencari rezeki dan ibu pula asyik tidak sihat.  Hendak memanjakan Adiana juga dia tidak sempat apatah lagi menagih kasih sayang berlebihan daripada arwah ayah dan ibu. 
Melihatkan kemesraan tiga beranak itu, Alaina hampir rebah.  Mujur sempat dia berpaut pada kerusi dan langsung menarik perhatian Puan Maryam, Mikhail dan Malisa.  Dulang yang berisi air dan sedikit kuih itu mujur saja tidak terhempas ke marmar.  Alaina berdehem beberapa kali dan tersenyum pada Mikhail yang menapak mendekatinya.  Nampak tampan sungguh hamba Allah ini dengan sepasang Baju Melayu kuning cair yang mebaluti tubuhnya. 
“Kenapa susah-susah?”  soal Mikhail lalu dia mengambil dulang itu dari tangan Alaina.  Wajah Alaina dipandang lagi. 
Terasa bagaikan gadis ini sudah sah menjadi isterinya pula.  Adakah begini satu hari nanti dia dan Alaina.  Bila berehat bersama keluarga, Alaina akan membawa diri ke dapur dan menyediakan sedikit minuman dan makanan ringan untuk semua?  Adakah begini penampilan Alaina nanti?  Tudung yang herot itu langsung tidak mencacatkan.  Terlupa di mana dia berada, Mikhail terus merenung wajah Alaina.  Jodoh yang baik buat lelaki yang baik tapi kita siapa hendak menentukan baik buruk seseorang itu.  Hanya Allah yang Maha Tahu.  Itulah pesanan Ustaz Amar dan kata-kata Alaina juga.  Dia masih belum terlambat dan Alaina juga sudah tidak membentak dan sinis seperti dulu. 
“Ehem… ehem…”  Alaina berdehem cuba menyedarkan Mikhail yang sudah mula hanyut memandangnya.  Inilah lelaki.  Pantang!  Cemik hati Alaina. 
“Pandang sekali tak apa.  Pandang dua kali dah jatuh ke dosa,” sindir Alaina tapi Mikhail  hanya senyum dan menggeleng.
“Tapi, saya pandang Alai sekali je tak kalih-kalih?” usik Mikhail setelah sedar akan keterlanjuran diri. 
“Eiii… korek mata karang!”  Alaina buat muka. 
“Kalau buta nanti Alai sudi nak pimpin dan jadi tongkat saya seumur hidup?”  Kali  ini Mikhail agak serius. 
Wajah Alaina sedikit pucat.  Tekaknya terasa kering.  Dia melangut memandang Mikhail. 
Perlahan-lahan dia menggeleng.  “Alai tak berdaya nak jaga orang.  Alai ada tanggungjawab yang lebih berat untuk Alai jaga,” jawab Alaina juga serius. 
Melihatkan wajah Mikhail, dia nampak sinar cinta padanya.  Tidak seperti Adan.  Sedikit tersorok dan malu-malu tapi Mikhail terlalu telus hinggakan terbias segalanya pada riak wajah dan bening mata Mikhail.
Alaina mula keliru.  Di hatinya dia yakin ada Adan selain Adiana dan ibunya.  Dia sukakan Adan.  Terlalu suka hinggakan bibirnya hanya kan menguntum senyum bila nama lelaki itu disebut.  Cuma, bila Mikhail sudah berubah begini, Alaina berasa amat puas hati.  Apakah yang berbeza antara senyumannya bila menyebut nama Adan dengan kepuasan hati melihat Mikhail begini? 
Berkerut dahi Alaina.  Dalam tak sedar, dia mula menatap wajah Mikhail penuh minat.  Di mana hilangnya taring lelaki ini?  Tajamnya mata helang itu tidak lagi mengjengkelkan namun ada terselit kasih sayang.  Aura cinta yang ditunjukkan semakin menghampiri dan Alaina mahu menepis sedaya mungkin.  Biarpun tak mampu membalas, tapi dia sukakan Adan.  Dia yakin akan bisikan hatinya. 
“Pandang sekali tak apa… tapi pandang lama-lama tak apa jugak ke?” 
Alaina tersentak.  Teguran Mikhail membuatkan wajahnya terasa menebal beberapa inci.  Malu!  Sudahlah tadi dia menegur Mikhail dan kali ini dia pula merenung lelaki itu.  Entah di mana fikirannya melayang.  Terlalu yakin yang Mikhail mencintainya.  Boleh jadi Mikhail hanya mahu menguji atau menganggapnya teman untuk mengejar kebaikan. 
“Eh… mana ada.  Mari sini, Alai bawak dulang ni.”  Dulang tersebut cuba diraih daripada tangan Mikhail tapi sayang, bila Mikhail menjulang tinggi mengatasi ketinggian Alaina. 
“Mentang-mentang dia tinggi!”  cemik Alaina.
Mikhail ketawa bila Alaina tarik muka.  “Kan senang kalau saya tinggi.  Esok-esok mudah kalau Alai nak capai apa-apa tak sampai.  Saya boleh ambilkan,” gurau Mikhail. 
Lagilah Alaina buat muka.  Dia malu dan Mikhail tahu itu.  Melihatkan wajah yang sedang berubah warna itu sudah cukup membuatkan hati Mikhail melompat tak henti-henti. 
“Waa… dramatik betullah abang sekarang ni?  Ayat mat bunga saja ngorat Alai, ya?” 
Mereka berdua tersentak dan berpaling pada Malisa yang sedang berdiri memeluk bahu Puan Maryam.  Mikhail garu kepala dan meletakkan dulang tadi di atas meja kopi.  Aduhai… macam mana boleh terlupa mama dan Malisa ada sama. 
“Biasalah.  Sikit-sikit belajar untuk yang tersayang.  Apa masalahnya, kan Alai?”  Masih tidak sudah Mikhail mengusik Alaina yang sudah tunduk tak panggung kepala lagi. 
“Eii… jangan mulakan lagi!”  marah Alaina perlahan tapi pada Mikhail marah itu persis alunan puisi cinta yang indah buatnya.  Dia rela dimarahi begitu daripada menghadapi sikap dingin Alaina. 
“Kamu ni, Khail… kesian dok usik Alai ni.  Mari sini Alai.  Duduk sini.  Kita minum,” ajak Puan Maryam lalu menarik tangan Alaina. 
Mikhail labuhkan duduk di sisi Malisa dan terus saja dicapai cawan yang berisi milo panas itu dan dihirupnya perlahan. 
Suasana sepi.  Puan Maryam sudah menghubungi Ustazah Fatima.  Dia kan ikut sama menghantar Alaina nanti.  Risau juga jika Mikhail rambang mata.  Dihasut oleh sikap sendiri dan mengusik Alaina.  Dia tidak sanggup.  Sayangnya pada Alaina dua beradik memang tak terkata.  Ternyata benar apa  yang ditelahnya selama ini.  Hadirnya Alaina membawa cahaya pada Mikhail dan membawa senyum pada dia dan Malisa. 
Niat dan perancangan untuk meminang Alaina hari raya kedua nanti masih dirahsiakan.  Malisa juga tidak tahu.  Hanya dia sendiri, Ustazah Fatima dan juga Ustaz Fadzil.  Teringat perbualannya dengan Ustazah Fatima beberapa hari sudah.  Risau juga hatinya tapi Allah itu ada dan segalanya terjadi dengan kehendak-Nya.
“Hantarlah Yam kalau itu yang awak rasa yang terbaik.  Kami ni bukan ibu pada dia tapi kami benar-benar berharap yang terbaik buat Alaina.  Dia baik.  Tabah budaknya.  Kalau tentu dia bahagia, kami mendoakan.  Kalau kata dia pilih selain daripada Khail, saya harap Yam boleh terima juga.”
Pesanan akhir Ustazah Fatima terngiang-ngiang di telinga Puan Maryam.  Dia tahu pilihan selain Mikhail itu adalah Adan.  Dia juga berkenan pada Adan dan jika sungguh Alaina mahu memilih Adan, dia turut merestui dan Mikhail pandai-pandailah dia memujuk hati. 
“Err… rasanya Alai kena balik dah ni.  Dah lewat ni.  Takut umi dan babah risau pulak,” ucap Alaina memecahkan sepi. 
Puan Maryam berpaling.  Hilang suara Ustazah Maryam.  Dia kemudiannya memandang Mikhail dan Malisa. 
“Nak balik dah?”  tanya Malisa sedikit tidak puas hati.
Alaina mengangguk.
Alaa… Alai tidur sinilah.  Tidur dalam bilik Lisa, ya?”  pujuk Malisa bersungguh-sungguh tapi Alaina tetap menggeleng.  Dia risaukan Adiana. 
Alai risaukan Yana,” ujar Alaina jujur. 
Mikhail mengerti.  Dia juga berat hati hendak menghantar Alaina pulang tapi dia perlu berbuat demikian.  Dia tidak mahu gadis it uterus berasa tidak selesa. 
“Erm… toksahlah tidur dengan Lisa, Alai… dia berdengkur kuat.  Sampai bilik Khail dengar.  Alai tidur sini esok-esok ke.  Masa tu terus masuk bilik Khail je.  Senang.  Khail tidur static je tapi kalau dengan Alai tak tahulah jadi statik ke tidak.”  Mikhail langsung bangkit setelah berkata-kata.  Langkahnya maju ke bilik air membiarkan Alaina melopong lagi.
Mikhail ni memang suka kenakan dia.  Marah hati Alaina.  Tapi pelik, marahnya tidaklah seperti dulu.  Marah dia ada senyuman yang tersembunyi.  Malunya ada bahagia yang terselit. 
“Mak cik ikut.  Tak elok biarkan Khail sorang-sorang hantar Alai.  Tunggu kejap, mak cik naik cari tudung.”  Puan Maryam bangkit.
“Lisa nak ikut?”  tanya dia pada Malisa dan pantas Malisa mengangguk. 
“Takut dok rumah sorang-sorang,” jawab Malisa selamba.
Puan Maryam mencebik.  “Bulan puasa mana ada syaitan.  Semua dibelenggu.”
“Syaitan kepala hitamlah, mama.  Itu lagi menakutkan,” sela Malisa lalu dia juga turut berlari ke atas menuju ke biliknya. 
Alaina ketawa halus.  Benar kata Malisa.  Syaitan berkepala hitam itu lagi menakutkan.  Biarpun bulan mulia ini syaitan dan iblis semuanya dibelenggu namun masih ada syaitan dalam diri dan hati manusia.  Jika tidak, tak mungkin setiap hari ada saja berita penangkapan orang Islam yang tidak berpuasa. 
Hatinya terasa sayang dengan keluarga bahagia ini.  Rasa hendak merayu menumpang kasih tapi dia tahu di manakah tempatnya jadi dia terus menyedarkan diri akan hakikat itu.  Membayangkan kemesraan mereka membuatkan rindu pada ibu semakin kuat.  Sungguh, Alaina tidak sabar. 
Pintu luncur yang terkuak lebar itu didekati.  Angin malam yang menerobos sedikit garang membuatkan tubuhnya sedikit kedingingan.  Baju kurung yang tidaklah tebal mana itu langsung tidak menghangatkan.  Alaina memeluk tubuhnya erat.  Membayangkan pelukan kasih seorang ibu yang amat didambakan.  Biar bukan untuk dia tapi pada Adiana yang masih kanak-kanak. 
Kepala dilentokkan sedikit pada bingkai pintu.  Pelukan semakin kemas dan kejap.  Mata dipejam dan dia mula membayangkan yang indah-indah saja.  Masa depan antara dia, adiknya dan juga ibu nanti. 
“Kenapa berdiri kat sini?  Sejuk ni.  Macam nak hujan je angina kuat semacam.”
Teguran Mikhail membuatkan Alaina membuka mata.  Hilang angan itu.  Dia memandang Mikhail yang sedang memakaikan sehelai jaket kulit pada tubuhnya. 
“Eh, apa ni?”  Alaina cuba menolak dan membuka jaket tersebut tapi Mikhail melarang.
“Sejuk ni, Alai… nanti demam pulak.  Nak hujan gamaknya angin begini kuat.”  Mikhail buat biasa dan mendongak ke langit  yang jelas tiada dihiasi bintang.  Bulan juga sudah melepasi fasa mengambang.  Bermakna Ramadan sudah melepasi separuh bulan. 
“Nanti dalam kereta pasang air-cond sejuk jugak.  Lebih baik Alai pakai,” tambah Mikhail sambil menjeling Alaina yang agak jauh darinya. 
Mata gadis itu redup memandangnya.  Adan mengambil berat padanya tapi dengan cara yang berbeza.  Mikhail juga turut mengambil berat dan juga dengan cara yang tersendiri.  Lidahnya kelu.  Berat hendak berkata-kata biarpun hanya ucapan terima kasih.  Hanya hati saja yang berbisik.  ‘Terima kasih, Khail…’
“Erm… jauh termenung tadi?  Alai fikir apa?  Nak raya?  Tak beli baju raya lagi?  atau risaukan persiapan raya untuk Adiana?”  duga Mikhail biarpun berat hatinya mengatakan Alaina sedang merindui kasih sang ibu. 
Tubuhnya dikalih sepenuhnya pada Alaina.  Belakang disandar pada dinding dan mata terus memandang sisi wajah Alaina.  Jelas nampak hidung yang sederhana mancung itu.  Pipi yang gebu dan juga bibir yang herot ke kiri dan ke kanan.  Barangkali, Alaina malu bila diperhatikan lalu bibir Mikhail tersungging dengan senyuman tipis.  Suka hatinya melihat gadis itu malu-malu. 
“Tak adalah pasal tu.  Lagipun, kami dah biasa bersederhana dalam segala persiapan.  Yang mana perlu je.  Tak perlu tak usah membazir.  Lagipun, arwah ayah bukan gaji banyak mana pun,” jawab Alaina sedikit perlahan.
Dia bersyukur selama ini biarpun sudah beberapa tahun dia tidak punyai pakaian baru tapi cukuplah ibu sihat, Adiana bahagia dan ayah juga senang.  Mereka cukup makan dan pakai biarpun tidak mewah.  Keluarga mereka bahagia biarpun ibu sakit tapi akhirnya… entah apa yang merasuk ibu, Alaina masih tidak tahu. 
“Jangan risau… tahun ni ada rezeki Alai dengan Yana.  Nanti kita pergi cari baju raya sama-sama,” pujuk Mikhail pula. 
Alaina sengih sinis.  Dia mencemik sedikit.  “Puasa pun belum habis…”
Mikhail ketawa.  Pandai dia kenakan aku sekarang.   Kalau dulu bicara tenang itu tak ubah bagai belati.  Asyik kalah je dengan gadis muda ni. 
“Eh, memanglah tak habis lagi. Tapi, orang tak cukup puasa boleh raya ke?”  tanya Mikhail nampak macam orang bodoh.  Puasa tak puasa, apa ada hal.  Raya menjelma juga.  Dia dulu pun puasa bukannya cukup tapi raya kemain beria. 
Dia tahu itu tapi dia saja mahu mengenakan Alaina.  Dia ingin lihat wajah itu merah lagi.  Nampak comel sungguh. 
“Eh, siapa puasa tak cukup.  Yana puasa lagi tau sampai hari ni.  Tak tinggal lagi?”  cemik Alaina.  Nak kata dialah tu…
“Saya tak kata Yana… tapi Alai tu.  Puasa cukup ke?”  Kening Mikhail terangkat. 
“Err…”  Kan dah kata.  Mikhail mahu kenakan aku.  Hati Alaina mendongkol geram. 
Mikhail ketawa sedikit.  “Yang kita keluar minggu lepas tu Alai tak puasa, kan?  Sebab tu energatik semacam je saya tengok.  Tapi tak apalah.  Allah bagi cuti.  Untung jadi wanita, kan?  Beranak pun dapat pahala.  Layan suami pun dapat pahala.  Pendek kata memang Allah sayang betul dengan wanita ni, kan Alai?”
Alaina terbatuk kecil.  “Err… bila masa pulak Alai bersuami.  Nak beranak jauhlah sekali,” protes Alaina cuba menyembunyikan rasa malunya.  Ada ke patut Mikhail bercakap begitu dengannya.  Meremang seluruh tubuh. 
“Eh… saya tak kata sekarang.  Dah jadi isteri saya nanti, kenalah layan suami dan bagi anak pada saya, betul tak?”  duga Mikhail lagi dan kali  ini sungguh, Alaina terdiam terus. 
Benci betul dengan dia ni.  Sejak dah berubah ni asyik kenakan orang je.  Marah hati Alaina.  Dia sedar Mikhail sedang menjeling padanya.  Jelingan yang bersulam tawa. 
“Err… pasal baju raya tadi, kan… kami masih ada pakaian yang nak dipakai.  Kalau nak ganti nanti, bila saya dah kerja sendiri, saya belilah untuk Yana dan diri sendiri.  Awak tak perlu nak susah-susah,” ujar Alaina cuba melupakan topik tapi. 
“Hari raya tu kan hari untuk kita raikan kemenangan.  Tanda kita menang melawan hawa nafsu menjaga segalanya tingkah laku, pandangan, pertuturan dan perbuatan.  So, kenalah ada baju baju.  Nanti kita beli untuk ibu Alai sepasang.  Kita bawa Yana pergi jenguk ibu Alai, ya nanti?”  Bening mata Mikhail tersenyum.  Dia sudah terlajak kata.  Tapi, apa lagi hendak dinafikan.  Dia tahu segalanya dan elok juga jika ALaina  tahu yang dia tahu akan kisah perit itu. 
Terkejut dengan kata-kata akhir Mikhail, Alaina menapak mendekati Mikhail tanpa sedar.  Semakin dekat dan semakin hampir.  Bibirnya bergetar namun lidahnya memberat.  Tubir matanya sarat tapi pandangannya masih terang.  Air mata bertakung namun kering sebelum sempat dia hamburkan tangis.
Langkah kakinya kian menghampiri.  Tak semena-mena, telapak tangan Alaina mendarat pada dada bidang Mikhail.  Merasakan degupan jantung Mikhail yang pantas dan kian deras berlari. 
Mikhail telan liur.  Dia tidak fikir Alaina mahu menggodanya.  Dia tahu Alaina bagaikan tidak sedar.  Dia tahu Alaina terkejut dengan apa yang dia katakan lalu dia biarkan saja.  Andai Alaina menangis, dia akan menyeka airmata itu.  Jika Alaina mahu menamparnya, dia rela menerima habuan gadis itu. 
Jemari Alaina mencengkam bahu Mikhail.  Kejap.  Nafasnya kian lelah bagaikan berlari laju meninggalkan sejarah lalu.  Tapi sejarah tetap sejarah dan adanya dia di situ hari ini adalah kerana sejarah.  Wajahnya mendongak mencari mata helang milik Mikhail.  Pertama kalinya, dia sendiri mendekati lelaki itu.  Dia sendiri membawa wajah mereka dekat hingga dapat dia rasakan nafas resah Mikhail.
“Apa Khail cakap tadi?”  Begitu berat, namun terluah juga soalan itu.  Dia terkejut. 
“Err… Alai jangan macam ni,” larang Mikhail bila cengkaman Alaina pada dadanya semakin kuat. 
Dia telan liur berkali.  Jika Alaina begini saat di awal dulu, pastilah mereka sudah berakhir di atas katil tapi hari ini dia Mikhail  yang baru. 
“Alai tanya, apa Khail cakap tadi?”  desak Alaina sedikit keras.  Giginya dikacip  kuat.  Dia terlupa begitu dekat dia dengan Mikhail. 
“Khail… err… Khail… eh mama dah siap?” 
Mikhail ternampak Puan Maryam yang sedang menuruni anak tangga.  Diikuti oleh Malisa pula. 
“Ralit sembang?”  tanya Puan Maryam tersenyum. 
Dia ternampak kemesraan Alaina dan Mikhail sebentar tadi biarpun wajah Alaina nampak sedikit tegang.  Pasti ada sesuatu yang telah berlaku dan dia tidak mahu merosakkan suasana sekarang ini jadi dia diamkan saja. 
Alaina sedikit kaget.  Dia melarikan wajahnya dan menjauh sedikit daripada Mikhail.  Jaket yang ada pada belakang tubuhnya jatuh ke lantai.
“Eh, Alai… mari sini saya pakaikan jaket ni.  Sejuk.”  Mikhail sengih.  Berlakon mengalihkan pandangan mamanya dan Malisa. 
Alaina merelakan perbuatan Mikhail.  Dia juga malu jika benar perbuatannya tadi tertangkap oleh Puan Maryam.  Tapi sungguh… dia hilang pertimbangan bila mana Mikhail berkata demikian dan kini, hendak menyoal sudah tidak mampu.  Lalu, dia telan saja semua soalannya. 
“Jom.  Dah lewat ni,” ajak Malisa sambil menapak ke pintu besar. 
Alaina mengikut jejak Puan Maryam dan Malisa.  Mikhail yang turut membontoti mengeluh sedikit.  Bukan cara ini dia mahu bertanya tapi lidahnya ringan terlepas cakap dan Alaina… menggeletar sendiri.  Segalanya telah tersingkap dan pastilah tiada berbaki lagi. 

.... bersambung

Jenguk sini : INDAHNYA MENJADI WANITA

37 comments:

  1. Alai marah betul tu.. hingga lupa diri!!

    ReplyDelete
  2. akak, sambung lagi! Tertunggu-tunggu hanna nak tau ending IAM.. hee

    ReplyDelete
  3. cepat la kak sambung.. tak sabar nie..

    ReplyDelete
  4. maka akan naiklah nama alai di talefon mikail selepas ini.....betul tak?

    ReplyDelete
  5. Lg cepat lg bgs alai tahu, sng sikit xde la dia asyik nk larikan diri tkt org tahu kisah hidup dia. Alai dh semakin suka kat khail ka. Hati berbelah bahagi nampak. Klu tul dia suka adan harus dia x de buat perbandingan ant adan n khail kan kih kih kih. Bak kata Johnny Depp--- If you love two people at the same time, choose the second one, because if you really loved the first one you wouldnt have fallen for the second. adios hahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. setuju2...tp sy pn mcm dh pening nk pilih sape

      Delete
  6. terlepas ckp pulak mikhail nih...kalau alai tahu apa salahnya...tp jgn la bg alai marah dgn mikhail.. :(

    ReplyDelete
  7. bleh x nk ckp lg, sy suke khail.go khail!

    ReplyDelete
  8. Harap-2 Mikhail ikhlas hendak memperisterikan Alai. Jaga kebaikan gadis itu dan juga keluarganya terutama Ibu Alai.

    Hati-2 Alai, nnt betul-2 jatuh cinta kat Mikhail pula.

    ReplyDelete
  9. Dulu memang marah dengan Khail tapi bila Khail dah berubah ke arah kebaikan rasa nak Khail dengan Alai.... Tapi kasiahn Adan seorang yang banyak menyokong Alai dari dulu lagi ... macamana ni Alai ... hati dah terbahagi dua...hehehe
    Alai dengar dulu apa yang Khai nak cakap ya... jangan marah dulu... sedihhhh...

    ReplyDelete
  10. speechless,.konfius nk adan ke khail huhuu

    ReplyDelete
  11. kecewa. nak adan!!

    ReplyDelete
  12. kalo boleh nak adan n khail sebab dia banyak berkorban untuk alai.. lagi pun alai kan cayang adan..

    ReplyDelete
  13. kalo boleh nak alai dengan adan.. sebab adan banyak berkorban untuk alai.. n alai pun cayangkan adan ... adan sesuai buat suami alai

    ReplyDelete
  14. confuse gak ni adan ke khail huhu tp adan la..adan best

    ReplyDelete
  15. Salam RM...best macam selalu. Suka bila Alai dah sedar yang pandangan Adan agak berbeza berbanding Khail. Adan terlalu baik & malu2, itu agaknya rasa cinta tu x nampak kan. Compare dengan Khail....memang lain. Apapun, saya PILIH ALAI & KHAIL ( errr...saya pilih Malaysia juga ).

    ReplyDelete
  16. Wpon mcmanaa bgaimana n siapa pon ai tetap nak khail ngan alai!!!!!!! Mereka sgoh serasi....:

    ReplyDelete
  17. buat watak baru dlm IAM nie ...yg lbh bgus dr alaina untuk adan .......

    ReplyDelete
  18. Ala comel sungguh...Nak lagi

    ReplyDelete
  19. terkedu khail!!!spontan alai mendebar kan sanubari n jiwa nurani khail,hehe sat g tk leh tido lak...caya lh khail u leh kawal ati walau alai terlalu dekat disisi!!!so gud job dek.....

    ReplyDelete
  20. RM, terima kaseh. Menunggu n3 seterusnya...~ Aminah

    ReplyDelete
  21. alahai..Alaina dan Mikail..biaq betui.. macam mana pulak ngan Adan...ni..risaunya akak ..nanti apa persepsi adan pada alaina pulak ni..

    ReplyDelete
  22. thanks RM.... best nak lagi... kalau alai ngan Khail sian kat adan plak.

    Hairiah

    ReplyDelete
  23. adessss...alai ni..nsib baik khail da berubah. kalo tidak, naya ko jah~ish ish ish..
    go khail go

    >>k<<

    ReplyDelete
  24. k.rehan..cepat smbung lgik....best tahap maksim!!!!

    ReplyDelete
  25. Bestnya.... Ok, sekarang Alai yg kegelisahan pulak, tak tau nak pilih yg mana satu...Tapi Mikhail ada kelebihannya sbb Mikhail secara tak sengaja memberitau Alai bhw dia tahu ttg keadaan ibu Alai...

    Adan.... cepat bertindak... Kalau tak, Adan kalah tanpa bertanding....

    ReplyDelete
  26. Harapnya alai ngan khail. ....... Coz adan dah kukuh agamanya manakala khail masih d tahap bertatih. Biarlh alai yg membantu khail mengukuhkan lagi ilmu agamanya.

    ReplyDelete
  27. haaaaaaa best best!!! please pilih khail.. pleaseeee? :)))

    ReplyDelete
  28. nak khail rehannnnn

    ReplyDelete
  29. Tq RM, seronok bc suma cite yg RM tulis

    ReplyDelete
  30. kak, bessssst.kawen kan je la khail tu kak :) nex entry pleassse :D - lyn_intanazlleyna

    ReplyDelete
  31. jgn r alai mrh kt khail..khail cume ambk berat jer tu...RM, xmau adan, nk khail jgk..adan x romantik..kaku jer..

    ReplyDelete