Tuesday, October 16, 2012

Izinkan Aku Menangis 28


BAB 28

BENING mata Zuraida memandang sekeliling rumah Cikgu Siti yang cantik dirias.  Baru hari ini dia berkesempatan untuk datang beraya ke rumah Cikgu Siti.  Sibuk melayani tetamu yang hadir dan dalam pada itu, ada juga tetamu yang ringan mulut bertanyakan khabar ALaina dan Adiana. 

Kala itu, Zuraida diam.  Emaknya, Zakiah juga sama.  Setelah peristiwa dia ditampar  oleh emaknya tempoh hari, hubungan dia dan emaknya agak dingin.  Zakiah sudah jarang bercakap dengannya membuatkan Zuraida terus diserang rasa bersalah.  Biarpun ampun dan maaf telah dipinta pada hari raya itu, hatinya tidak tenang.  Terasa yang emaknya masih lagi berkecil hati dengan tingkahnya tempoh hari. 
Namun, satu yang pasti, Zuraida bersyukur bila tiada lagi herdikan atau umpatan tentang Alaina daripada bibir emaknya.  Ada juga yang baik akan apa yang telah terjadi.  Barangkali ini adalah hikmah yang mahu Tuhan berikan.  Hatinya juga sudah tidak sakit mana dan dia mampu menghela nafas tenang biarpun sedikit.
“Jauh termenung, Zu?” tegur Cikgu Siti.  Dulang air diletakkan di atas meja.
Kebetulan pula dia beraya di kampungnya tahun ini, maka bolehlah dia menjemput pelajar-pelajar dan rakan sejawat datang beraya.  Jika tidak, pasti tidak berpeluang beramah mesra. 
“Eh… Kak Siti.  Terkejut saya.  Tak ada apalah.  Saja tengok anak-anak akak main kat bawah tu ha.  Seronok ya ada ramai anak-anak ni.  Tak adalah sunyi, kan?”  tanya Zuraida menyembunyikan kecanggungan diri.  Tertangkap oleh mata Cikgu Siti sudahnya. 
Cikgu Siti senyum.  Dia bukanlah tidak dapat membezakan kala khayalan melanda atau sebaliknya.  Dia lagi tua daripada Zuraida.  Dia tahu Zuraida menyimpan rasa terhadap Adan.  Tapi, pada dia juga berkali-kali Adan tekankan, hatinya hanya untuk Alaina dan jika Tuhan tidak mengizinkan mereka bersama, Adan berharap agar hatinya kekal didi?”ami oleh Alaina. 
“Minum, Zu?”  pelawa Cikgu Siti.
Zuraida angguk dan tersenyum nipis.
“Kenapa tak bawa mak Zu datang?” 
“Erm… mak payah sikit Kak Siti kalau ajak berjalan rumah orang ni.  Kalau rumah kawan-kawan dia kat kampung tu tak apa,” jawab Zuraida.  Air oren yang dihidang oleh Cikgu Siti disisipnya perlahan bagi menghilangkan dahaga.
“Orang tu, Zu.  Biasalah tu.  Mak Kak Siti pun macam tu jugak.  Kalau ajak datang tinggal dengan Kak Siti, macam-macam hal.  Itik ayamlah.  Lembu kambinglah.  Haih…”  Bibirnya senyum menyenget.  Lumrah orang tua.  Barangkali dia juga akan begitu satu hari nanti kerana dunia ini adalah satu kitaran kehidupan. 
Zuraida angguk dan air tadi disisipnya sekali lagi.  Lidahnya kelu.  Dia mahu bertanya tentang Adan dan Alaina.  Barangkali, sudah bahagia menjadi tunangan orang.  Atau boleh jadi juga, Adan terus saja mengangkat Alaina menjadi isterinya yang sah.  Segalanya mungkin.
Melihatkan kegelisahan pada wajah Zuraida, Cikgu Siti bagaikan mengerti.  Balang biskut raya yang masih tertutup rapat dibukanya lantas diletakkan di depan Zuraida. 
“Zu ada perkara nak tanya Kak Siti, kan?”  duga Cikgu Siti. 
Bungkam Zuraida dibuatnya.  Dia berdehem beberapa kali.  Jemarinya menyentuh bibir gelas yang ada di tangannya.  Lambat-lambat dia mengangguk.
“Pasal Adan?”  tebak Cikgu Siti lagi dan kali ini juga Zuraida mengangguk.
“Kak Siti tak pergi ke majlis tunang Adan dengan Alaina?” 
Dia tahu, hanya pada Cikgu Siti Adan akan bercerita itu ini.  Kisah bahagianya atau juga masalah yang menimpa.  Tapi, dia masih tidak mampu memastikan sama ada Adan telah memberitahu perkara sebenar tentang hubungan dia dan Alaina. 
Cikgu Siti menggeleng berkali-kali.  Gelengan yang menyatakan kesal yang tak terhingga dengan apa yang terjadi terhadap Adan.  Berita yang Adan sampaikan biarpun dalam bentuk pesanan ringkas benar-benar membuatkan dia terduduk. 
“Adan tak jadi tunang dengan Alaina, Zu.  Ada masalah yang timbul sikit,” ujar Cikgu Siti sebu.  Tak pernah dia duga, lelaki sebaik Adan diduga begini. 
“Hah?  Tak jadi?”  Mata Zuraida membulat. 
Bila Cikgu Siti mengangguk, Zuraida melepaskan keluhan.  Tak pasti sama ada keluhan lega atau keluhan resah.   Dapat dia rasakan sesuatu yang telah terjadi dan adakah berkaitan dengan emaknya?  ZUraida resah. 
“Ada masalah sikit.  Itu yang tak jadinya dan akak rasa memang dah tak mungkin untuk dua orang tu bersama dah,” ujar Cikgu Siti. 
Dia membuka lagi balang biskut yang lain.  Satu persatu hingga semua balang yang ada sudah terngaga luas.  Entah hendak dimakan, entahkan tidak biarlah. 
“Kenapa akak cakap macam tu?  Apa yang tak mungkin, kak?”  desak Zuraida ingin tahu.
Cikgu Siti menggeleng.  Malas hendak dia bercerita tentang kepedihan yang sedang ditanggungi oleh Adan.  Jika benar Zuraida mahu tahu, biarlah dari mulut Adan sendiri.  Cukuplah sampai di sini saja.  Bimbang dia pula yang menitiskan airmata mengenangkan lelaki yang sudah dianggap seperti adiknya sendiri itu.
Bila Cikgu Siti hanya diam tanpa menghiraukan soalannya, Zuraida juga diam.  Tiada lagi niat hendak bertanya kerana dia tahu, Cikgu Siti mula tidak selesa berbicara tentang itu.  Air yang bersisa terus disisip hingga separuh gelas tapi tidak lama, bila suasana sepi itu dikejutkan dengan deruman enjin kereta dan jeritan riang anak-anak Cikgu Siti.



MELIHATKAN anak-anak Cikgu Siti bermain, lega sikit hati walang Adan.  Sungguh tidak sangka, dia bertemu Zuraida di sini.  Dia juga tidak merancang hendak ke sini tapi rasanya,  lebih baik dia melayani karenah anak-anak Cikgu Siti.  Tapi, bonus atau tidak, rasa macam pelik bila bersua dengan Zuraida setelah peristiwa itu.
“Awak okey. Dan?”  tanya Zuraida ketika mereka sama-sama duduk di atas pangkin di depan rumah Cikgu Siti.  Adan langsung tidak memandangnya.  Hanya tersenyum saja daripada tadi.
“Alhamdulillah, saya sihat,” jawab Adan sedikit berat mulut.
“Saya dapat berita dari Kak Siti.  Awak nak kongsi dengan saya?”  pelawa Zuraida lagi.  Tapi, Adan pantas menggeleng.
“Tak ada apa nak kongsi, Zu.  Alhamdulillah…. Allah sedang rancangkan yang terbaik buat kita,” jawab Adan tenang.
Zuaida memaksa dirinya tersenyum.  Rasa mahu tahu melonjak dalam diri mengapa majlis merisik dan bertunang antara Adan dan Alaina tidak menjadi?  Adakah emaknya menjadi batu penghalang, rasa tidak logik pula.  Tapi, bila Adan berkata demikian, memberikan jawapan  mati, dia tiada pilihan melainkan terima saja kata-kata Adan.
“Zu…”  Adan menyeru Zuraida. 
Biarpun Alaina bukan lagi untuk dia, dia mahu tahu, mengapa terlalu kejam keluarga Zuraida melayani Alaina dan Adiana? 
“Kenapa mak awak tak suka dengan Alaina?  Apa silap dia, Zu?” 
Rasa terhenyak Zuraida dengan pertanyaan Adan sedangkan dia sendiri tidak tahu apakah yang membawa emaknya terlalu berdendam dengan keluarga Zuraida. 
“Sejujurnya saya juga kurang pasti, Dan.  Demi Tuhan, kali  ini saya tak selindungkan apa-apa.  Memang saya tak tahu kenapa mak saya marah sangat dengan arwah Pak cik Ahmad dan Mak cik Anida,” akui Zuraida.  Tudung yang sedikit melambai-lambai ditiup angin, dipegangnya dengan hujung jari.  Matanya menjeling Adan lagi tapi lelaki  itu masih statik. 
“Oh… saya percaya dan saya juga yakin yang awak ada sebab tersendiri kenapa awak sorokkan semua ni dari saya,” balas Adan dan serentak itu, suara Cikgu Siti menegur dari belakang.
“Ya Tuhan… betul ke apa yang Kak Siti dengar ni?”  Langkah Cikgu Siti kian mendekat bersama dulang yang berisi sejug air dan juga gelas.  Mujur tak terlepas dulang yang dijinjitnya itu.  Terkejut sungguh dengan kata-kata Zuraida.  Haih… Adan pun bukan nak bercerita.  Gerutu hati Cikgu Siti.
Dia duduk di depan Zuraida dan dulang tersebut diletakkan di atas meja.  Matanya agak tajam menikam mata Zuraida berharapkan kepastian. 
“Sungguh ke, Zu?”  Perlahan-lahan Zuraida mengangguk bila Cikgu Siti bagaikan mendeksa.  Lepas bebannya.  Tanpa dia pinta, semuanya terluah dengan sendiri. 
“Kenapa keluarga Zu buat dia macam tu?”  tekan Cikgu Siti. 
“Budak tu pandai Zu… sayang dia berhenti sekolah macam tu je.”  Cikgu Siti melahirkan rasa kesal. 
“Maaf, kak.  Masa tu saya tak mampu, kak.  Mak saya memang larang saya bantu Alaina dua beradik lepas ayah dia  meninggal.  Bila fikir balik, saya rasa kesal sangat,” ucap Zuraida sedikit lirih menyatakan rasa hati yang benar-benar kesal.
Dalam hati Adan menduga, pastilah ada kisah lama yang membuatkan kebencian pada emak Zuraida tak pernah padam tapi biarlah jika Zuraida sendiri mengatakan tidak tahu.  Malas dia hendak ambil tahu setelah apa yang dipertahankan selama ini lebur begitu saja. 
Cikgu Siti melepaskan keluhan lagi.  Dia kesiankan Adan.  Taat sungguh anak muda ini pada orang tuanya.  Mata Cikgu Siti beralih pada Adan.
“Adan okey ke?  Malam ni tidur rumah akaklah,” ajak Cikgu Siti.  Bukannya dia berseorangan.  Anak-anak dan suaminya ada. 
Adan  menggeleng.  “Adan nak kemas rumah, kak.  Alang-alang balik awal dari bercuti ni, Adan ingat nak menziarah rumah pelajar-pelajar.  Atau boleh jadi saya nak pergi beraya di rumah awak Zu, kalau awak pelawa,” gurau Adan bagi menutup pilunya.  Tawa halusnya meletus.
Zuraida gamam.  Cikgu Siti juga.  Dia tahu Adan bergurau.  Tak mungkin Adan bersungguh kerana ayat-ayat seperti itu tidak pernah lahir dari celah bibir Adan.  Saat ini, masing-masing diam.  Cuba menerima hakikat hidup masing-masing. 



SEPANJANG perjalanan pulang, Alaina diam.  Dia teruja mahu bersua dengan ibu.  Dia mahu tapi bila mereka menjadi asing pada ibu, Alaina mula lemah.  Adiana menangis mahu memeluk ibu tapi ibunya tak mampu mereka dekati.  Anida nampak hanyut dalam dunia sendiri.  Diam dan mengalirkan airmata saja. 
Juadah yang dibawa mereka langsung tidak dijamah.  Kata-kata doktor pula berdengung dalam telinga. 
“Ibu puan banyak bersendiri.  Sejak dimasukkan ke sini, boleh bilang berapa patah dia bersuara.  Kadang-kadang dia menangis sendiri tapi puan kena bersyukur juga sebab emosi dia semakin stabil.   Dia tak meracau-racau dan mengamuk macam mula-mula dulu.  Cuma bila dia tak nak bergaul tu buat kami sukar nak berbicara dengan dia.  Payah juga nak buat pesakit sembuh kalau pesakit tu sendiri menolak,” beritahu doktor wanita itu pada Alaina dan Mikhail. 
“Ada harapan nak sembuh sepenuhnya ke doktor?”  soal Alaina sebak.  Jemari Mikhail digenggam erat.  Bimbang jika jawapan doktor mengecewakannya dan masa itu, dia perlukan kekuatan.
Doktor muda itu senyum.  “Insya-Allah.  Itulah yang kami sedang usahakan sekarang ni, puan.  Kami ada tanyakan tentang keluarga Puan Anida… tanya pada dia sendiri dan dia ingat bila dia sebutkan dua nama… Alaina dan Adiana,” jawab doktor itu lalu dia menjeling pada Adiana yang ada di ribaan Mikhail.
Mikhail memaut bahu isterinya.  “Alhamdulillah.  Kejap lagi ibu datang, mesti dia kenal Alai dengan Yana,” bisik Mikhail ceria.
Alaina angguk penuh harapan.  Mata doktor itu dipandang lagi.  Mata yang tersenyum bagai memberi harapan pada dia.
“Kita tunggu kejap lagi.  Jururawat saya akan bawa Puan Anida ke sini,” ujar doktor tersebut dan serentak itu, pintu diketuk. 
Doktor itu bangkit dan menuju ke pintu.  Kala daun pintu terkuak, Alaina bangkit.  Bibirnya bergetar.  Airmatanya murah mengalir tanpa mampu di tahan lagi.  Adiana menjerit memanggil ibu dan terus melompat turun dari ribaan Mikhail.  Dia meluru dan memeluk Anida yang nampak terpinga-pinga.
Langkah Alaina nampak lemah.  Pincang sana-sini.  Jarak antara dia dan ibunya kini sungguh dekat tapi mengapa terasa terlalu jauh hendak dia gapai jemari yang nampak kering itu?  Bila langkah keduanya hampir rebah, Mikhail pantas menyambar dan merangkul pinggang Alaina agar berjalan bersama. 
“I…ib… bu,” panggil Alaina perlahan. 
Dadanya sesak melihatkan Adiana yang memeluk kaki ibunya erat.  Bila dia sudah rapat pada Anida, jemari Anida disapa dan dikucupnya berkali-kali.
“Alai rindu ibu.  Alai sayang ibu.  Sungguh, Alai rindukan ibu.  Rindu hanya Allah yang tahu, bu,” rintih Alaina lalu dia jatuh melutut di kaki ibunya. 
Anida terpinga-pinga.  Lama dia memandang Alaina dan Adiana lalu memandang wajah doktor.  Dia cam wajah itu tapi wajah di depannya kini bagaikan wajah yang sering menghambat dia dalam lena.  Wajah yang dirindui.  Namun, siapakah mereka pada aku.  Itulah yang bermain dalam fikiran Anida yang terasa kosong.  Dia hanya merindui Ahmad, suaminya dan juga anak-anaknya. 
“Ini anak-anak Kak Anida.  Yang Kak Anida dok ceritakan dengan saya tu,” bisik doktor dekat pada cuping telinga Anida. 
Alaina mendongak bersama wajah yang basah.  “Ibu,” serunya tidak putus.
Melihatkan situasi ini, jururawat itu mengalirkan airmata juga.  Doktor hanya tersenyum dan Mikhail ketap bibir.  Betapa isterinya itu merindui si ibu.  Dia punyai ibu yang sihat dan baik tapi baru sekarang dia hargainya.  Beruntungnya dia jika hendak dibandingkan dengan Alaina dan Adiana. 
Kaki Mikhail menapak pada Alaina.  Bahu isterinya dipaut dan membawa Alaina berdiri.  Baru Alaina hendak memeluk Anida, wajahnya dipegang erat oleh Anida. 
“A… Alai…”  tanya Anida gagap.
Alaina angguk.  “Ini Yana, bu,” beritahu dia pada ibunya dan mata Anida jatuh memandang wajah comel.  Ya, memang benar.  Wajah ini yang menghantui lenanya.  Wajah ini yang dia rindui saban waktu. 
“Ya… Yana?”  soal Anida lagi lalu Adiana menangis kuat bagaikan mengerti akan penderitaan mereka sekeluarga. 
“Ya, bu.  Kami anak ibu,” akui Alaina namun sayang bila Anida mula menolak.  Menolak dia dan adiknya. 
Anida menggeleng berkali-kali.  Wajahnya cuak.  Dalam mindanya hanya ternampak perbuatan dia pada suaminya.  Dalam kepalanya juga berdengung akan hinaan Zakiah.  Herdikan Zakiah yang mengatakan dia tidak layak menjadi isteri Ahmad.  Tanpa asal-usul malah dengan sakit yang diwarisinya, Anida semakin takut.
Semakin dia menekan kepalanya, semakin kuat laungan dan cercaan Zakiah hari tu.  Malah setiap kali bersua, pastilah Zakiah mengatakan Ahmad menerima dia hanya kerana simpati.  Ahmad menerima dia hanya kerana dia yatim piatu sedangkan Ahmad ada perempuan lain di luar sana. 
“Kau memang dasar berpenyakit jiwa.  Aku doakan moga-moga anak-anak kau pun turut sama warisi penyakit kau tu, Anida!  Biar Ahmad tinggalkan korang semua merempat tepi jalan!!!” 
Kepala Anida semakin sakit.  Dia mahu menghalau kata-kata itu tapi dia tak mampu.  Dia mahu memeluk kedua-dua anaknya tapi dia tidak mahu.  Dia tidak mahu kedua-duanya berasa tertekan sedangkan dia sendiri kalah dengan emosi.  Dia tak mampu menahan tekanan.  Dia tak mahu Alaina atau Adiana mengalami nasib yang sama. 
Mata Anida memandang Mikhail.  Dia tidak tahu siapakah lelaki itu tapi bila melihat lelaki itu memeluk Alaina dan Adiana, Anida nampak Ahmad memeluknya dulu tapi Ahmad sudah tiada. 
“Tak… tak… kamu bukan anak aku.  Aku tak boleh ada anak.  Aku gila.  Nanti anak aku menurun penyakit jiwa aku. Tak… tidak!!!”  tempik Anida lalu doktor dan jururawat pantas memeluknya.
“Err… Puan Alaina, kami kena tenangkan Puan Anida dulu.  Minta puan tunggu saya di luar, ya?”  pinta doktor dan Alaina mengangguk dalam tangisan.
Mikhail membawa Alaina dan mendukung Adiana yang sedang teresak-esak.  “Yana nak ibu.  Yana nak ibu.  Yana rindu ibu!!!”  laung Adiana dan Mikhail mengeratkan pelukan. 
“Syhh… Yana jangan nangis.  Ibu penat tu.  Bagi ibu rehat dulu.  Nanti dia datang pada kita,  ya?”  pujuk Mikhail biarpun dia tahu, Adiana tidak mudah dibohongi.
Bila dia memandang isterinya, Alaina diam.  Airmata mengalir tapi tiada suara, jauh sekali esakan.  Pilunya hati Mikhail lalu dia menarik tubuh Alaina dan mengucup dahi isterinya.
“Sabarlah, sayang.  Abang ada di sini.  Abang ada menemani…,” bisik Mikhail lalu pelukan pada tubuh kecil Adiana juga diperkemaskan.
“Assalamulaikum,” sapa Mikhail. 
Sejak dia menolak daun pintu dan merapatkannya kembali, Alaina tidak sedar akan kehadirannya.  Dia juga sedih bila bercerita pada mama dan Malisa tentang keadaan ibu mertuanya itu.  Harus bagaimana lagi mahu dia pujuk hati Alaina, Mikhail buntu. 
“Biarlah dia tenang.  Pergilah Khail naik temankan dia.  Mama dan temankan Yana.”  Itulah ayat mama yang membawa Mikhail berada di dalam bilik saat ini.
Alaina berpaling pada Mikhail yang sedang merapati dia.  Airmata yang mengalir pantas dia seka.  Sejak pertemuan dengan ibunya, Alaina pantang tercuit.  Pasti airmatanya murah menitis. 
Melihatkan keadaan Alaina, Mikhail tahu isterinya sedih tapi dia juga sudah tidak tahu hendak menenangkan isterinya bagaimana.  Jika mampu dia bohongi Alaina, dia pasti lakukan tapi  itu mustahil kerana Alaina melihat dengan mata kepalanya sendiri.
“Barangkali Alai satu hari nanti akan jadi macam ibu,” ucap Alaina perlahan namun masih mampu ditangkap oleh Mikhail.
“Kenapa ni, sayang?  Jangan cakap macam tu.  Abang tak suka,” pujuk Mikhail. 
Mikhail melutut di birai katil dekat dengan lutut isterinya.  Airmata isteri yang mengalir disapu lembut dengan hujung jari.  Dia panggung kepala dan menentang pandangan Alaina yang basah dek airmata.  Simpatinya tumpah.  Dia tahu Alaina sedih.  Teramat sedih. 
“Abang akan tunaikan apa yang abang dah janji, Alai.  Percayakan abang,” pujuk Mikhail lagi. 
Alaina angguk dalam esakan.  Perlahan-lahan, tangan Mikhail yang ada di lututnya digenggam kemas.  Berharap agar sedikit kudrat suaminya itu masuk mengalir di dalam pembuluh darahnya agar dia mampu bertahan. 
“Kita akan selalu jenguk ibu.  Kita akan selalu temankan dia.  Kita bantu ibu, kita doa banyak-banyak dan sampai masa, kita bawa ibu tinggal dengan kita,” pujuk Mikhail lagi dan kali ini lebih bersungguh-sungguh.
Tidak sampai hati dia hendak melihat wajah mulus itu terus dinodai airmata lagi.  Padanlah selama ini Alaina tidak menangis kerana sekarang, pantang tercuit, pasti bening mata bundar itu basah. 
Kini, hatinya agak tenang.  Janji Mikhail tersemat rapi.  Janji demi ibunya.  Janji untuk menjaga mereka sekeluar tapi dia bimbang jika dia juga menjadi seperti ibu.  Tapi, sampai bila dia mahu nafikan hak Mikhail pada dirinya?
“Rehatlah.  Jangan fikir bukan-bukan.  Abang tak ada ilmu sangat nak pujuk Alai tapi Alai sendiri tahu Allah maha adil.  Dia sayangkan kita,” ujar Mikhail sebelum dia menyapu pipi Alaina sekali lagi.
“Abang keluar dulu.  Alai tidurlah kalau dah mengantuk.  Jangan tunggu abang, ya?”  Mikhail seraya itu bangkit dan meleraikan genggaman tangan Alaina namun lebih pantas isterinya itu menyambar. 
“Abang nak ke mana?”  Alaina menjeling sedikit kawasan bilik yang agak asing biarpun sudah beberapa hari dia di sini.  Dia kini di rumah Mikhail dan berada di dalam bilik lelaki itu.
Adiana juga nampak bahagia dimanjai oleh ibu mertuanya dan juga Malisa.  Dia senang namun hatinya tidak tenang.  Ada hutang yang belum terlunas.  Biarpun suaminya tersenyum tapi dia tidak bodoh hendak mentafsirkan renungan dan lirikan Mikhail yang mendambakan kasih dan belaian. 
“Abang tahu Alai tak selesa.  Mungkin nak tukar pakaian ke, nak rehat ke.  Silalah… abang tak kacau.  Abang nak tengok TV kejap,” ujar Mikhail bagaikan terlupa yang separuh tubuh Alaina pernah dilihatnya sehari setelah mereka sah. 
Pegangan Alaina pada bahu Mikhail terlerai dan matanya hanya merenung Mikhail yang sedang berlalu.  Susuk tubuh suaminya itu semakin menghampiri daun pintu.  Rasa berat lidah hendak menyeru Mikhail.  Tapi, dia sudah tidak sanggup menanggung beban.  Dia tidak tahu sejauh mana keikhlasan Mikhail mengatakan tidak apa itu.  Jika ikhlasnya tiada, Alaina hanya mengutip dosa.
“Abang!”  seru Alaina lalu dia bangkit dan berlari ke arah Mikhail.
Sedang elok saja Mikhail berpaling, Alaina menyapa tubuh Mikhail dan memeluknya erat. 
“Terima kasih, bang,” ucap Alaina kembali tersedu.
Mikhail kaget.   Lekuk tubuh Alaina membawa rasa tak menentu di dalam diri.  Dia semakin resah. 
Aku kemain nak elak takut dia tak sedia tapi dia bagai menyua.  Peluh jantan merenik di dahi Mikhail.  Langsung tidak dibalas pelukan Alaina.  Bimbang dia tak mampu bertahan dan akan menyakitkan isterinya nanti.
”Sa… sama-sama.  Alai dan keluarga Alai adalah tanggungjawab abang sekarang.  Ingat tu,” jawab Mikhail bersama senyuman resah.
Alaina tidak tahu tapi Tuhan maha mengetahui.  Dadanya kian berdebar bila pelukan Alaina semakin kemas.  Sedaya upaya Mikhail menolak bahu isterinya namun Alaina membatu.
Alaiplease, yang.  Don’t do this to me,” pujuk Mikhail dengan makna yang mendalam. 
Alaina mengerti.  Dia mengerti. Matanya dipejam rapat.  Mikhail semakin menolak tubuhnya namun dia semakin memeluk ketat tubuh sasa Mikhail.  Dia tahu Mikhail sudah tidak mampu bertahan dan dia juga sampai bila harus beralasan.  Jika dulu, Mikhail yang banyak menggoda dan hari ini, biarlah dia pula menggoda suaminya  itu.
“Apa Alai buat?”  soal Alaina dan dia angkat wajahnya mendongak pada Mikhail. 
Saat itu, wajah yang tak seberapa jauh itu bagaikan memanggil Mikhail agar mendaratkan bibirnya pada bibir yang merah basah itu.  Tapi, bila menyedari ketidaksediaan Alaina, Mikhail pejamkan mata.  Aduhai, isteri aku ni.  Soalan dia… keluh Mikhail.
Matanya dibuka.  “Jangan goda abang,” tegur Mikhail jujur.
Alaina senyum.  Sisa airmatanya dikesat sedikit dan pelukannya dilepaskan.  Mikhail menghela nafas lega.  Baru saja dia mahu capai tombol pintu, Alaina pantas mengunci.  Bulat mata Mikhail memerhatinya sang isteri. 
Alai kenapa?”  soal Mikhail kian resah. 
Ikutkan hati, mahu saja dia seret Alaina ke katil tapi dia bukan dayus hendak memaksa.  Dia mahukan kerelaan seperti mana selayaknya dia.
“Alai goda suami Alai.  Kenapa?” 
Wajah Mikhail tegang.  Peluhnya semakin merenik.  Kali ini pada sekitar belakang tengkuknya pula. 
“Kalau abang tergoda?  Alai nak buat macam mana?”  tanya Mikhail pula.  Cuba bermain tarik tali. 
Dia dapat rasakan, merpati ini sudah mahu berjinak-jinak dengan dia.  Dia yakin kerana Alaina wanita yang punyai ilmu.  Tak mungkin dia tidak tahu hak seorang suami. 
“Kalau abang tergoda, Alai akan tanggung akibatnya,” jawab Alaina malu-malu.  Dia sendiri pelik.  Tak sangka dia mampu menggoda suaminya itu.  Biarpun sayang itu tidaklah sepenuh hati, tapi dia mahu berikan hak-hak Mikhail.
“Alai tahu apa yang Alai cakap ni?”  Mikhail tidak mahu isterinya itu menitiskan airmata lagi dan menyalahkannya. 
“Alai hanya akan cakap apa yang Alai tahu dan Alai hanya menggoda pada yang halal.  Alai tahu…. dalam ni…”  Telapak tangannya dilekapkan pada dada Mikhail dan dia mengusapkan perlahan.
“…abang perlukan Alai.  Alai tahu dan demi Allah, Alai hanya untuk abang.  Seluruh jasad dan jiwa ini.  Dari hujung rambut hingga hujung kaki,” bisik Alaina dekat pada peluput telinga Mikhail setelah dia menjingkitkan kakinya.
Tanpa suara, Mikhail merangkul pinggang Alaina hingga kaki isterinya itu tidak lagi berpijak pada lantai.  
“Abang tak nak paksa…”
“Tak… sebab Alai rela,” sahut Alaina pantas. 
Dia tahu suaminya bimbang tapi dia benar-benar rela.  Biarlah cinta itu datang dengan sendirinya.  Apa yang pasti, hak Mikhail perlu dilaksanakan lalu Mikhail berbisik mengucapkan salam.
“Assalamualaikum wahai permaisuri di hati suami,” bisik Mikhail lagi.  


bersambung 

RM : Bab ini ada dipotong dan akan ada dalam manuskrip je nanti.  Tapi, tak ada la tergantung. :D

52 comments:

  1. Rehan goda akak! Siapa nk tanggungjawab nih...InsyaAllah, akak tuntut hutang ahad nih..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sabtu la shaf... haishhhh mak cik ni pelupa tul kih kih

      Delete
  2. best la kak rm.. waaa alai dh pnda mgda ye

    ReplyDelete
  3. waaaa....bergetar jiwa...hahaha....bes2...tq sis..

    ReplyDelete
  4. da lulus penilaian ke karehan..??waaa...hebat hebat hebat..

    ReplyDelete
  5. huhuhu...cian kat alai..tbahkn ati mu alai m'hdpi dgaan idup..n jgn lupa kmu x sndrian...heheh...tq RM...sweet psgan nie...alai da mula trma mika 2...sswweeettt...3x...!! suka sgat...heheheh

    ReplyDelete
  6. ha ha ha... saya yang blushing ni! pandai betul Alai menggoda :)

    ReplyDelete
  7. Adan nak pi rumah Zu sebab nak jumpa dengan mak Zu dan hendak tahu kenapa mak cik Zakiah benci dengan kelurga Alai....
    Akhirnya Alai telah menjadi seorang isteri yang sempurna untuk Mikhail .... pandai juga ya Alai mengoda.....

    ReplyDelete
  8. hahaha tahu pun kail takut kt godaan alai. apalagi.... kn dh sh? go ahead

    ReplyDelete
  9. alaiii pandaii dia goda khaill...hehhee saya yg malu2 bace...hehhe

    ReplyDelete
  10. alhamdulillah......moga bahagia milik mereka

    ReplyDelete
  11. PART yg ai likeee..
    Assalamualaikummm...

    ReplyDelete
  12. ni yang x kesabaran nak jd buku terus nih hahahhaha

    ReplyDelete
  13. alahai alai...akak pun tergoda ni

    ReplyDelete
  14. eh tergoda lah...malu sggh bab2 menggoda nih..

    ReplyDelete
  15. Bila akan mula dipassrksn? X brape nk sabar ni. Hihihi

    ReplyDelete
  16. Rehan N3 ni yg terbaik. Bila nk buat Novel ni? BNS pn dh publish dh. Cepat Ckit Boleh X?????????? hehehehe xsbr nk baca smpai hbs...

    Ida83

    ReplyDelete
  17. aduhhh dah tergoda nihhh.. :)

    ReplyDelete
  18. Blh kena kencing manis ni..so sweet..tq RM..

    ReplyDelete
  19. salam..

    Adan yg kita lihat hari ini...mencuba untuk melupakan kesakitan yg dirasainya dengan melarikan diri dari rumah keluarganya..tapi dapatkah dia meredakan resah ..terkilan dan sakit hatinya dengan penolakan ibu dan ayahnya..walaupun telah diluahkan segala rasa tetapi masih terasa kekosongan dalam jiwanya akak rasa kan..

    Adakah Zu tidak berhenti mengharap akan kehadiran Adan dalam hidupnya dan adakah ibunya akan mefitnah dan menceritakan kejahatan ibu Alai ..tidak kah wanita ini takut akan dosanya yg mengaibkan org yg sudah tentu semua kejadian yg berlaku adalah kerana kesalahan diri dia yg kecewa dengan aruah Ahmad yg tidak memilih dia sebagai suri nya..

    Melihat kebahgian alai dan Mikhail sudah cukup untuk kita doakan akan kebahgian mereka kan.. akak harap ibu alai akan sembuh..dan Mikhail tidak akan berubah setelah manisnya dhisap oleh nya..

    ReplyDelete
  20. Waa...tergoda ai...miahaha...
    -ieja-

    ReplyDelete
  21. RM, terimakaseh utk n3 ini...
    ~Aminah

    ReplyDelete
  22. ohhhh tiiiiidaakkkkkkk!!!!!!!!!!!

    ReplyDelete
  23. dua-dua n3 kali ni mendung je, hehe, tapi dalam mendung2 tu, Alai alert pulak dengan batin Khail, hehe, nice n3 k Rehan, ^_^.

    ReplyDelete
  24. so sweet,,,thank kak rehan.
    next n3 bley x??hehe

    ReplyDelete
  25. pandai ali goda. trgoda yang baca ni

    ReplyDelete
  26. haha.. gud job kak rehan.. ramai dh tergoda..

    ReplyDelete
  27. Yeay..... dah selamat.....hihihi....

    Sekejap lagi, adalah konflik2 yg akan mengganggu- gugat kebahagiaan Alai & Mikhail... Tolong panjangkan sedikit episod suka-ria & gelak-ketawa sebelum typhoon tiba... pls....

    ReplyDelete
  28. thanks.bila nak dipasarkan ni.tak sabar rasanya(kak ina)

    ReplyDelete
  29. pandainya alai menggoda...haha
    x sabar2 nak tggu smbungannya!.. :)

    ReplyDelete
  30. Alamak Rehan, sy dah tergoda nih! siapa nak tangungjawab?

    Selamat menjalani kehidupan suami isteri dalam erti kata sebenar Mikhail dan Alaina..

    ReplyDelete
  31. Hadoi...libang libu hati ni kak rehan kerjakan.
    thanks akak ada double entri hari ni. Dah siap bukukan nanti, sila war2kan ya.Lebiu!

    ReplyDelete
  32. owh my...im blushing....comelnyer alai goda khail...hehehehee...& i've got awkward stare dr my staffs sbb tersengih2 bce n3 nih.... awesome RM...

    ReplyDelete
  33. akak pun tergoda dah ni... adehhhh sapa nak tolong ni!

    ReplyDelete
  34. mengoda n tergoda,dua insan yang tetap mempunyai keperluan jiwa....nafsu yang halal,itu lah tuntutan dalam islam.ALLAH telah titip kan wat hamba nya kaum adam n hawa melunas kan tanggung jawab masing2 asal ianya ade lafaz akad so menghalal nafsu pada yg hak,takut andai alaina leka akan ade anasir2 luar cuba mengoda.khail pun bukan malaikat yg dapat bertahan andai nafsu melebihi akal fikiran.layari lah bahtera bersama hukam hakam islam,berlandasan kan keiklasan n bukan paksaan....caya lah khail walau pernah berstatus playboy but kuat n kental iman.

    ReplyDelete
  35. Sweet la..tq RM.. 'Aku kemain nk elak..' buat sy gelak tergolek..

    ReplyDelete
  36. kak,semoga novel ni kuar cpt kat pasaran :) happy ending utk alai-khail

    ReplyDelete
  37. kak, nk terbitkan ke IAM ni??bila kak...bila bca n3 ni, makin x sbr nk tau next n3...suka sgt

    ReplyDelete
  38. kak...sy x tau nk komen apa...terkedu

    ReplyDelete
  39. Alai oh Alai..Jgn teriak sudah...

    ReplyDelete
  40. erk..emmmm...grrrr..purrrr....*speechless*...

    ReplyDelete
  41. hmmmm... i'm speechless! cerita nie nak dibukukan ker? wah best!! tak sabar nak tunggu nie..

    ReplyDelete
  42. wah.. yg membaca pun leh blushing giler2.. tp mmg sweet and natural ajer si ali ni goda khail..
    salute khail gak sbb walaupun dah cam tak tahan tp still considerate gak ngan situasi and condition wife dia..
    anyway keep up the good work and the ideas running & flowing and making us too soaring reading your creation dear writer..

    ReplyDelete
  43. BESTNYE.... AKHIRNYE TEMATRI JGK IKATAN NI.....

    ReplyDelete
  44. kak rehan.. jdkan buku terus la., x sabar la nk bca! ;D
    -athirah

    ReplyDelete
  45. Tak sabar nak tggu next entry.....so sweet Khail & Alai....

    ReplyDelete
  46. acap kali sudah sya baca bab alai dan yana jumpa ibu mereka.. pasti urat mata jadi panas dan terbitkan airmata.. sedih sgt2.. leleh jugak weh!..

    ReplyDelete