Geng

Wednesday, November 28, 2012

Bisakah... 2, 3


BAB 2

AKU duduk di stesen bas di tengah-tengah Bandar Kota Bharu.  Entah mana arah yang patut aku tuju?  Entah pada siapa aku harus aku meminta bantuan?  Terasa asing.  Jika mahu kukira, hanya sekali aku pernah tiba di sini sewaktu zaman persekolahan bagi menghadiri pertandingan debat di Jabatan Pendidikan Kelantan tapi hari ini segalanya jelas berubah. 

Kelibat manusia yang ke hulu ke hilir langsung tidak menarik minatku.  Yang ada di dalam kepala hanyalah rencana masa depan yang masih kabur. 
Wajah ini menekur ke jalan tar.  Bas silih berganti berlalu pergi dan aku masih di sini sudah beberapa lama.  Hendak kucari ayah entah di mana hingga akhirnya aku tarik keluar kertas pemberian Tia padaku.  Nombor telefon tersebut aku amati.  Tiada keyakinan langsung hendak kuhubungi nombor tersebut tapi aku perlukan sesuatu.  Satu pekerjaan untuk meneruskan hidup. 
Aku bangkit mendekat pada pondok telefon awam.  Terketar-ketar jemariku menekan nombor telefonnya dan setelah beberapa kali deringan, ada suara lelaki menjawabnya. 
“Ya?”  sahut dia.
Aku telan liur.  Rasa lemah sendi ini hendak bersuara. Terngiang-ngiang penghinaan dunia padaku.  Namun, aku pejam mata kejap dan aku hela nafas yang panjang. 
“Err… saya telefon ni sebab Tia yang minta saya telefon nombor ni.  Kata Tia encik boleh bantu saya.”  Jantung ini hampir terkeluar.  Berdebar mahu menanti jawapannya.
Secara perlahan, aku dengar suaranya ketawa.  “Jadi, awaklah yang adik saya cakap tu, ya?” 
Mataku membulat.  “Adik?” 
“Ya… adik.  Saya yang hantar dia ke situ setelah kami tak mampu nak kawal dia lagi,” jawab dia berterus-terang.
Aku terdiam.  Tia tak pernah bercerita tentang abangnya.  Sepenuh hati aku katakan dia adalah anak tunggal tapi telahanku ternyata meleset. 
By the way… Tia ada cakap awak mungkin perlukan pekerjaan tapi saya tak kerja dengan parents saya.  Saya ada kerja sendiri.  Kalau kata awak nak kerja, nanti saya tanyakan sumber manusia ataupun tanya my parents sendiri.  Kalau tak kisah, awak boleh tinggalkan nombor telefon awak pada saya.  Saya hubungi awak semula, err…alah… lupa pulak nama.” 
Aku sengih mendengar rungutan halus lelaki yang menjadi abang Tia.  Mengerti dengan apa yang mahu dia ketahui, aku sedia memberitahu namaku. 
“Teratai Nur…,” beritahuku ringkas dan dia ketawa.
“Maaf… maaf.  Tia ada beritahu nama awak Teratai Nur.  Saya lupa sebab nama exotic sangat.” 
Aku telan saja kata-katanya itu sebagai satu pujian biarpun aku yakin, ada nada sinis pada hujung suara itu.  Ya, satu nama klasik.  Nama ibu juga Cempaka.  Kata ayah, kerana nama itu dia menyukai ibu pada awalnya dan namaku juga dipilih oleh ayah. 
“Okey, Cik Teratai Nur… boleh bagi nombor telefon tak ni?” 
Aku menggeleng di luar sedar.  “Saya tak ada telefon, encik…”  Suaraku meleret dan dia meyampuk, mencantas suaraku. 
“Taufiq…” jawab dia. 
“Kalau tak ada, awak call saya balik dalam dua hari lagi, waktu ni jugak,” beritahu Taufiq dan aku melepaskan keluhan lega.
“Baiklah, encik dan terima kasih, ya?” 
Talian terputus begitu saja tanpa sempat aku menitipkan salam dan bertanya lokasinya.  Kewangan yang ada sekarang terlalu terhad.  Sepuluh sen juga terlalu bermakna buat aku. 
Sesudah itu, aku terus berjalan mencari sesuatu untuk mengalas perut.  Kala melalui sebuah tong sampah yang penuh dengan sisa air dan roti, aku ketap bibir dan terus memandang ke langit bagi menahan airmata dari terus gugur ke pipi.  Jika dulu, di situlah aku.  Hidup tak ubah bagaikan haiwan yang tiada pegangan dan pedoman. 
Pantas, aku bawa langkahku berlari-lari anak ke gerai yang ada di depan The Store. 
“Nak apa, nak?”  soal peniaga tersebut.
“Berapa ya, nasi lemak ni, mak cik?” 
Penjual itu tidak menjawab sebaliknya dia merenung aku dari atas ke bawah kemudiannya dia bersuara.
“Kamu ni bukan orang sini, kan?” 
Aku menggeleng.  “Bukan-bukan…”
“Dari mana?” 
“Err… saya dari…”  Aku telan liur yang terasa kelat.  Payah untuk aku akui kebenarannya.  Bimbang diherdik bagaikan anjing kurap. 
“Emm… bagi saya dua bungkus, ya mak cik.  Air cincau tu satu.”  Cepat-cepat aku mengalihkan perbualan kami ke arah lain. 
Mak cik tadi mengagguk dan terus membungkus apa yang aku mahukan.  Setelah seketika, dia menghulurkan dua bungkus nasi lemak dan segelas air. 
“RM3,” beritahu dia dan aku terus membayarnya. 
Setelah itu, aku berlalu pantas kerana aku yakin, mata mak cik itu masih melihat padaku dan aku terus menapak sambil memandang rezekiku untuk hari ini. 
Alhamdulillah, ya Tuhan atas rezeki yang telah engkau berikan buatku hari ini.  Moga esok lebih terang sinarnya buatku meniti titian hidup yang masih meruncing ini.  Hatiku berdoa dan telapak tangan ini aku raup ke wajah, sambil mencari kawasan untuk menjadi tempat dudukku.



DUA HARI, aku tegarkan hati menumpang teduh di dalam masjid di tepi Pasar Besar Siti Khadijah.  Merebahkan tubuh yang keletihan dan juga menjadi tempat perlindungan kala malam menjelma semoga aku berada di bawah lindungan Tuhan. 
Tidak sanggup lagi membawa langkahku dan membiarkan diri ini berkeliaran di luar sana kala malam menjelma.  Aku bimbang andai langkah ini tersasar lagi.  Jujur kuakui, diri ini tidaklah sekuat mana.  Tidak hebat malah masih rapuh dan aku bimbang kerapuhan itu patah begitu saja sekiranya aku tersalah percaturan sekali lagi. 
Mendengarkan alunan azan dan yang menyeru hamba-hamba-Nya sujud pada Sang Pencipta, hatiku berasa sayu.  Kerdilnya diri kala ini.  Terbuang jauh namun seperti kata Ibu Hanah, cukuplah jika Allah saja menerimaku dan seisi alam akan turut sama menerima.  Apa lagi yang mahu aku kesalkan?  Tidaklah kasih sayang Allah itu melatari seluruh langit dan menghampiri seluruh muka bumi ini?
Kakiku menapak mencari sebuah pondok telefon awam.  Nombor telefon itu aku pegang dengan cermat.  Aku yakin, jika ini adalah rezeki buatku, pasti aku diterima dan jika tidak, Allah pasti sedang membuka jalan yang lain buatku dan tiada apa lagi untuk aku kesali. 
Setelah beberapa deringan, telefon masih tidak berjawab.  Hatiku mula resah.  Airmata sudah hampir mengalir.  Kusangka diri ini tegar tapi tidaklah setegar mana.  Sekali lagi aku dail nombor berkenaan dan kali ini setelah hampir berputus asa, talian bersambut dan ada satu suara asing menjawab. 
“Hello.”   Dia menyapa membuatkan jantung ini berdegap kencang.
“Err… Assalamualaikum,” sapaku pula.  Lebih bersopan. 
“Emm… waalaikummussalam.  Taufiq pergi bilik air.  Nanti I suruh dia telefon you balik,” beritahu dia. 
Aku pandang skrin kecil pada telefon awam tersebut.  Setiap detik, saat… waktu itu berlalu.  Aku tambah lagi jumlah syiling. 
“Err… tak boleh, encik.  Tak apalah… saya telefon lagi lima minit.”  Aku mengalah tapi lelaki tadi menahan.
“Tinggal nombor telefon you pada I… nanti I minta Taufiq call you balik.”  Sekali lagi dia memberi cadangan yang terpaksa aku tolak.
“Eh, tak apalah.  Nanti saya telefon semula.”
“Kau jangan nak ayat oranglah, Yad.  Tak agak-agak.” 
Tak sempat aku meletakkan gagang, ada suara lain yang menegur.  Suara yang kukenali.  Suara yang pernah menyapa telinga beberapa hari sudah. 
“Ya, siapa?” 
Bibirku menguntum senyum.  “Encik Taufiq, kan?”  tanyaku teruja.
“Ya… ya, saya.  Siapa, ya?”
“Teratai Nur.  Yang telefon dua hari lepas,” akuiku. 
“Oh… awak-awak.  Saya ingat.  So?”
Aku telan liur dan mengetap bibir.  Dia bagaikan terlupa akan janjinya padaku. 
“Err… pasal kerja,” beritahuku pada dia.
“Oh yalah, kan?  Kerja.” 
Talian sepi seketika dan aku terus tergesa-gesa menyeluk poket beg galasku dan syiling yang masih tinggal kurang daripada dua ringgit itu aku masukkan beberapa keping.
“Err… Encik Taufiq,” panggilku. 
“Eh, ya… ya.  Maaf-maaf.  Leka dengar suara awak ni.  Merdu menusuk.” Dia ketawa kecil dan aku bagaikan tiada perasaan hanya mendengarnya saja dengan rasa jengkel.
Ala… biasa suara sedap ni orang mesti tak cun, Fiq.”
Aku dengar suara lain menjerit dari dalam talian dan suara itu ketawa besar.  Entah mengapa, setiap kali mendengarkan suara itu, hati aku berdetak tak sudah lantas aku bawa telapak tangan kananku melekap ke dada, mahu menenangkan hati yang kain gundah.  Merasakan wajah itu kian mendekat. 
“Kawan saya,” ujar Taufiq padaku yang masih lagi diam. 
Diam berkira-kira untuk meletakkan saja gagang telefon daripada terus membazir duit ringgitku kala ini. 
“Teratai Nur…,” panggil dia dan aku masih diam.
Sorry… sorry… pasal kerja tu, kan?  Saya dah cakap dekat mak ayah saya.  Awak boleh pergi sana bagitahu saya yang suruh awak datang.  Nanti diorang bagi kerja yang sesuai untuk awak,” ucap dia dan kali ini barulah aku mampu menghela nafas tenang dengan senyuman yang terukir di bibir. 
“Oh… terima kasih, Encik Taufiq,” ucapku bersungguh-sungguh.
“Kalau macam tu, awak salin alamat yang saya bagi ni.  Awak naik teksi dalam setengah jam sampai kot kalau tak jammed.”
Aku pantas mengeluarkan sebatang pen dan sehelai kertas daripada beg galas.  Sudah bersedia hendak menulis alamat yang diberikannya. 
“Okey, ini alamat dia…”  Taufiq membaca alamat itu padaku sebanyak dua kali dan aku tenang menyalinnya.
“Dapat tak?”
Aku sengih.  “Terima kasih, Encik Taufiq.  Dapat… dapat.”  Dengan sekuntum senyuman lebar, aku bersuara. 
Telingaku menangkap suara Taufiq ketawa galak.  “Seriously rasa nak tahu awak siapa dengan suara awak bercakap dengan senyum ni, rasa lain pulak,” ujar Taufiq padaku dan aku berdeham beberapa kali.
“Err… kalau tak ada apa-apa, Encik Taufiq… saya letak telefon dulu, ya?” 
“Erm… baiklah.  Tapi, jangan awak hilangkan nombor telefon saya pulak, ya?  Ada apa-apa nanti, awak telefon je saya,” pesan dia dan aku matikan talian setelah menitipkan salam padanya. 
Alamat yang tertera itu aku pandang penuh minat.  Kakiku melangkah pantas menuju ke perhentian bas.  Mencari bas yang akan menuju ke arah sana dan bibirku menitipkan rasa syukur lagi.  Kelopak mata terasa sarat lantas aku seka sebelum sempat air jernih itu jatuh menodai pipiku lagi. 



WANITA itu menghidangkanku segelas air.  Dia tersenyum tawar padaku lalu duduk tepat di hadapanku. 
“Taufiq kata nama awak Teratai Nur, kan?” 
Aku angguk dan mengguriskan senyuman buat dia. 
“Saya Talhah je.  Macam mana Tia?”  soal Puan Talhah.
Aku angguk.  “Dia baik-baik je, puan.”
Keluhan tipis tersapa ke telingaku.  Aku memandang wajahnya lama.  Terkesan oleh mataku akan air wajahnya yang suram. 
“Teratai Nur berapa lama masuk situ?” 
Mendengarkan soalannya, terasa mahu menangis dan meraung kala ini juga.  Aku tunduk ke lantai dan tanpa kusedar, airmataku menitis jua setitis.
“Setahun, puan,” jawabku.
Suasana sepi.  Tiada suara yang terbit dari celah bibirku atau dia sendiri.  Terasa kerdil hendak berhadapan dengan dia kala ini.  Perlahan-lahan, aku panggung kepala dan memandang wajahnya yang nampak sedikit pucat.
“Kalau puan tak boleh nak terima saya kerja, tak apa.  Saya faham, puan.”  Aku sudah bersedia hendak bangkit tapi Puan Talhah menahan. 
“Eh, awak jangan salah sangka dengan saya.  Saya tak pandang serong dengan bekas-bekas penagih.  Anak saya Tiani tu juga sama, kan?  Saya faham macam mana perasaan keluarga awak sebab anak saya sendiri macam tu.  Boleh jadi kalau keluarga kami tak ada business sendiri, entah mana Tiani nak kerja dah keluar nanti.  Jadi, saya rasa lebih baik awak kerja dengan saya.  Tunggu Tiani keluar, boleh awak sama-sama dengan dia,” ujar dia memujukku agak kembali duduk.
Aku telan liur berkali-kali dan mengangguk perlahan-lahan. 
“Maafkan saya, puan,” pintaku dan dia mengangguk.
“Saya faham.  Awak mesti rasa rendah diri dengan masyarakat.  Mungkin, ya… itu saya tak nafikan.”  Puan Talhah menolak gelas air itu dekat di depanku.
“Minum ni, Teratai,” pelawa dia dan aku sekadar mengangguk. 
Keluhan dia lepaskan dan dia bangkit menapak ke arah cermin bilik pejabatnya seketika sebelum kembali memandangku dan bersuara.
“Tapi, saya tak tergolong dalam masyarakat yang macam tu, Teratai.  Saya faham sebab anak saya juga sama.  Saya hanya ada dua orang anak.  Seorang lelaki dan seorang perempuan.  Dulu ingatkan anak lelaki yang tak jadi orang rupanya anak perempuan.  Tiani dan Taufiq sama dan rupanya sangat berbeza.  Tak sangka Tiani yang kecundang…”  Keluhan kecil dia lepaskan. 
Taufiq?  Aku ingat nama itu.  Nama yang akan kukenang sampai bila-bila atas pertolongan yang tidak terhingga ini.  Jika berkesempatan, akan kupersembahkan ucapan terima kasih ini padanya satu hari nanti.
“Huh…”  Puan Talhah melepaskan lelah yang berat.  Dia kembali duduk dan tersenyum padaku. 
“Lupakan hal sedih-sedih.  Tiani pun tak lama dah.  Dalam enam bulan lagi akan keluar dah.  Apa-apapun, awak boleh mula kerja kat sini.   Rumah sewa saya sediakan.  Buat masa sekarang rumah tu ada orang tinggal sebab pekerja saya seorang tu baru berhenti.  Kiranya awak ganti dialah buat kerja marketing.  Kami tak adalah besar sangat tapi boleh dikatakan seluruh Bandar Pasir Puteh termasuk Bachok, Machang dan Kota Bharu adalah juga kami supplykan makanan frozen ni.  Nanti awak boleh belajar check stok dulu esok.  Hari ni saya bawa awak ke rumah sewa dulu.  Ada motorsikal kalau awak ada lesen,” beritahu dia membuatkan bibirku tersenyum. 
“Gaji dia kita kira kemudian.  Nanti saya ambil kira semua kos awak untuk tampung hidup awak.  Mungkin untuk kirim pada mak dan ayah kat Kuala Lumpur sana ke atau untuk adik-adik ke?”  tekanya membuatkan senyumku mati lalu aku menggeleng.
“Saya dah lama dah jumpa ibu dan ayah saya, puan,” beritahuku jujur lalu aku gariskan senyuman tawar.
Wajah Puan Talhah mencuka.  “Err… berapa lama?”
“Ibu tinggalkan kami sejak saya umur 12 tahun.  Mungkin sebab tekanan hidup, ayah mula menagih.  Bila saya dah menginjak remaja, saya pun terjebak sama.  Bila ayah hilang tak lama kemudian, saya jadi gelandangan dalam setahun sebelum saya dilanggar dan dimasukkan ke hospital dan masa tu ada dua orang doktor yang bantu masukkan saya ke pusat pemulihan,” ujarku dengan tenang.
Tenang dan sesungguhnya tenang.  Biarlah segalanya bermula dengan satu hakikat yang pasti.  Aku mahu dia tahu tentang kisah hidupku.  Hidup silam yang ternyata hitam dan kelam. 
Wajah Puan Talhah aku pandang.  Aku lihat matanya berair dan tidak lama kemudian, airmatanya menitis laju ke pipi dan aku tidak mampu berbuat apa-apa melainkan tersenyum pahit. 
“Ehem…”  Dia berdeham panjang.
“Yang dah lepas tu lupakanlah.  Apa-apa, pun pandai betul Tiani ni bagi nombor telefon abang dia pada awak, ya?”  usik Puan Talhah lalu dia ketawa. 
Aku menggeleng.  “Saya tak tahu pun Tia ada abang.  Dia tak pernah bagitahu pun.”
“Emm… mereka rapat.  Dengar kata Taufiq nak balik dalam beberapa minggu lagi sebelum dia belayar.  Entahlah jadi ke tidak,” rungut Puan Talhah lebih pada dirinya sendiri.
“Dia kerja apa?”  Dahiku berkerut.  Serta-merta mataku terbayang akan uniform putih yang pernah melekat dengan darahku dulu.  Darah yang kotor dan jijik serta wajah itu datang menerpa rakus. 
Puan Talhah senyum.  “Navy.”
Sepatah jawapan Puan Talhah membawa aku mengingat perbualanku dengan Taufiq dan juga temannya itu.  Adakah?  Namun jauh di sudut hati aku berdoa moga telahanku meleset sama sekali. 





BAB 3

HARI demi hari berlalu, aku benar-benar gembira.  Kegembiraan yang sukar hendak kugambarkan dengan kata-kata.  Bibir ini tak lekang dengan senyuman.  Berwarna-warni rasanya hidupku yang hanya ada satu warna saja sebelum ini dengan layanan Puan Talhah dan juga penerimaan rakan sekerja. 
“Abang Bidin nak masuk zon mana hari ni?”  Aku melaung sedikit melawan suara mesin yang sedang bekerja di dalam Nazri Ice & Frozen ini.
Abang Bidin, salah seorang pengedar senior yang bekerja di sini memandangku. 
“Bachok.  Kenapa?  Teratai nak ikut ke?”  tanya dia juga kuat.
Aku ketap bibir dan menggeleng.  Pahit hendak tersenyum.  Tiba-tiba rasa menggigil mendengarkan nama tempat itu lantas aku menggeleng.
“Tak naklah.  Saya ada kerja banyak sikit hari ni.  Stok banyak tak rekod lagi.  Yang Abang Bidin nak bawa hari ni, saya dah rekod dan boleh gerak bila-bila, ya?  Ni senarai stok untuk Abang Bidin.”  Aku melayang-layangkan kertas putih bersaiz A4 itu pada dia dan aku lekat pada celah viper. 
“Terima kasih, Teratai,” ucap Abang Bidin tersengih dan aku membalasnya dan senyuman lebar. 
Langkah kakiku menapak menuju ke arah pejabat Puan Talhah.  Pintu aku ketuk beberapa kali, tiada jawapan.  Bila aku pulas tombol pintu, aku lihat Puan Talhah sedang sibuk mengemas beg tangannya. 
“Eh, puan ada meeting kat luar ke?”  Aku bertanya seraya menapak ke dalam.
Dia tersenyum dan menggeleng.  “Nak balik.  Taufiq sampai hari ni,” jawab dia dan aku mengukir senyuman lebar. 
“Ya ke, puan?”  soalku teruja dan bila Puan Talhah mengangguk, aku terus tersenyum senang.  Nampak kerinduan pada wajah Puan Talhah yang sedang merindukan anaknya.
“Kata Taufiq dia nak terus jumpa Tiani.  Tak sabar nak jumpa adik dia la tu,” ujar Puan Talhah lagi dan aku mengangguk.
“Kalau macam tu, saya akan tengok-tengokkan kilang,” beritahuku.
Dia angguk.  “Awak memang boleh dipercayai.”  Saat ini dia sudah bersedia hendak keluar. 
“Saya keluar dulu, ya?”  ucap Puan Talhah dan baru saja dia menyentuh tombol pintu, daun pintu itu terlebih dahulu ditolak dari luar. 
Mata Puan Talhah terjojol.  Bila daun pintu terus terkuak lebar, ada sesusuk tubuh tegap menapak ke dalam dan tanpa salam, tubuh Puan Talhah terus disambar ke dalam pelukan.
Miss you damn much, mom,” ucap lelaki itu dengan mata yang terpejam.  Beg galas yang masih terbeban di belakangnya, dibiarkan saja begitu. 
Aku memeluk fail hijau itu erat ke dada.  Selendang yang membelit kepala aku betulkan sedikit dan menariknya agar menutup sedikit wajahku. 
“Kenapa tak tunggu kat rumah?  Mak dah nak balik dah ni.”  Puan Talhah menepuk bahu lelaki itu yang kutelah dia adalah Taufiq. 
Pelukan terlerai dan mata mereka bertatapan.  “Rindu mak sangat.  Tia macam mana?”  tanya lelaki itu pada Puan Talhah dan Puan Talhah sekadar tersenyum lalu berkalih padaku.
“Kalau Fiq nak tahu, tanya kawan baik Tia ni.”  Kali ini mata kedua-dua mereka merenungku dan aku menelan liur bila Taufiq meredupkan pandangannya padaku.
Tidak dapat tidak, aku ukir senyum dan mengangguk sedikit.  “Assalamualaikum, Encik Taufiq,” sapaku mesra. 
Dia menapak setapak ke depan dan aku melangkah setapak ke belakang.  Puan Talhah hanya senyum dan memandangku.  Bibirnya bergerak menyebut nama Taufiq dan aku hanya mengedipkan mata.
“Awak?”  soal Taufiq dan aku sekali lagi mengangguk. 
“Terima kasih bantu saya sebelum ni, Encik Taufiq,” ucapku tulus dan dia terus menepuk dahinya. 
Damn… you’re wrong, dude… you’re totally wrong.”  Tawa Taufiq meletus dan dia terus memeluk maknya. 
By the way, mak… Fiq bawa kawan.  Saja ajak kenal tempat kita.  Dia tu tak suka Kelantan katanya.  Kolot.  Tapi, kita tengok sama ada dia nak tinggal lama atau tidak,” ujar Taufiq penuh makna dan aku hanya mendengar tanpa memahaminya sepatah pun. 
Mata kami bertaut lagi.  Hanya beberapa saat, aku melarikan pandangan mataku dan terus meminta diri.
“Kalau puan nak balik rehat dengan Encik Taufiq pun tak apa, puan.  Saya ada je.  Apa-apa hal saya bagitahu pada puan,” ujarku sebelum aku berlalu keluar. 
Baru saja aku rapatkan daun pintu, ada suara menegur. 
“Cik… mana Taufiq, ya?”  Pantas aku berpaling dan memandang wajahnya. 
Saat ini, fail di tanganku jatuh ke lantai.  Mata kami bersabung lama.  Ada guruh dan petir sabung menyabung dalam hati dan mindaku.  Memori lama yang mahu kujauhi ternyata mendekat dan kini berada di depan mata. 
“Taufiq ada?”  soal dia lagi padaku yang kelu seribu bahasa. 
Mata kami bertaut tak lepas.  Dia memandangku tajam dan bila senyuman pada hujung bibir sensual itu terbit, lututku berasa longgar.  Pantas aku paut dinding dan nafasku lelah.  Ya Allah… apakah ini?  Soal hatiku resah. 
I think you are so beautiful… tapi sayang kalau you pekak,” sinis dia bagaikan tidak dapat mengecam aku langsung. 
“Err… saya… saya…”  Aku membetulkan duduk dan cuba menghela nafas tenang.
“Ma… maaf.  Encik Taufiq ada dengan mak dia kat dalam.”  Aku menepi.  Memberi laluan pada dengan kepala yang menunduk. 
Thank you,” ucap dia lalu dia mengetuk daun pintu sekali dan aku terus memasang langkah hendak berlalu.
Namun, belum sempat aku menapak, dia bersuara.  “By the way, boleh saya tahu nama awak?”  tanya lelaki yang pernah kutemui setahun lalu. 
Aku ketap bibir dan berpaling.  Aku yakin dia langsung tidak mengenaliku dan rasanya elok saja dibiarkan berkubur begitu tanpa diungkit secubitpun kerana penghinaan lalu masih berdengung nyaring. 
Aku telan liur beberapa kali dan berpaling lantas tersenyum penuh tenang yang kukumpul dengan susah payah.
“Teratai…”
What?  Teratai?”  Bunga tawa pada bening matanya kian pecah.  Dia ketap bibir dan menjungkitkan kening padaku.
“Ya… Teratai Nur,” beritahuku sekali lagi dan kali ini dia terdiam dengan wajah tidak beriak. 
What a unique name,” ujarnya dan aku terus berpaling dan memasang langkah. 
Dalam hati berdoa moga ingatan tentangku tiada lagi dalam mindanya.  Itulah yang lebih baik buat kami moga sepanjang waktu dia di sini, aku tidak janggal dan dia juga berasa selesa.  Jika tidak dan andai perlu… biarlah aku yang berlalu.
Seluruh tubuhku meremang.  Aku yakin dia masih merenungku dan langkahku mati lagi bila suara Puan Talhah memanggil.
“Teratai… tengah  hari makan dekat rumah saya, ya?”  ajak Puan Talhah dan aku segera berpaling lalu menggeleng.
“Tak apalah, puan…”  Saat ini ada tiga pasang memerhatikanku.  Terasa ditelanjangi oleh lelaki itu tapi aku harus bertahan agar tak mudah rebah dan melatah.
“…saya ada hal nak keluar kejap tengah hari ni,” sambungku lagi.
“Hal tu, biar je dulu.  Kita makan dengan Fiq dan Ziyad tengah hari ni.  Saya masak.  Kami balik dulu, awak datang tengah hari, ya?”  ajak Puan Talhah lagi dan aku hanya mampu mengetap bibir bila kurasakan dahi Ziyad berkerut-kerut mengamati aku. 
Ziyad… Ziyad… hatiku menyebut nama itu beberapa kali.  Baru hari ini namanya menyapa telingaku.  Sedaya-upaya aku tersenyum. 
“Insya-Allah, puan.”  Tidak sampai hati hendak menolak pelawaannya, aku jatuhkan kepala, bersetuju. 
“Berhentilah renung dia, Yad.  She’s not your taste,” ujar Taufiq pada Ziyad dan Ziyad tersenyum sinis.
Of course not… tapi, aku rasa nak try,” balas Ziyad pula setelah Puan Talhah berlalu masuk ke biliknya.
“Dan seperti biasa, kau akan error,” sindir Taufiq dan mereka terus ketawa sakan. 
Aku terus melangkah pantas meninggalkan mereka dan masuk ke bilik stor  yang dingin.  Menggeletar seluruh tubuhku dan lidahku tidak sudah-sudah menyebut nama Allah.  Moga tidak diduga hatiku yang mula terasa kelainannya. 



HATIKU resah.  Beberapa minit lagi waktu tengah hari akan menjelma.  Semua stok telah aku kemaskini.  Bagaikan tiada lagi alasan untuk aku berikan pada Puan Talhah untuk mengelat dengan ajaknya. 
Jari-jemariku, aku ramas sesama sendiri.  Sengaja aku tutup lampu dan kubiarkan saja bilik yang yang sememang tidak dijengah cahaya ini bergelap.   Hanya cahaya daripada skrin komputer saya  yang memberi sedikit sinar. 
Aku tekup wajah ke meja.  Memaksa diriku terlena namun sayang, bila aku tidak mampu memejamkan mata kerana wajah dia hadir mendekat dan suaranya berbisik rapat.  Saat ini, wajah ayah juga menerpa.  Suaranya, pujukannya membuatkan aku mahu carik wajah ayah hari ini jika aku mampu. 
“Rasalah ni… seperti mana ayah mampu lupakan ibu lepas hisap benda ni, ayah yakin Atai pun boleh lupakan masalah dan belajar dengan baik.” 
Aku tekap kedua-dua belah telapak tanganku ke telinga.  Pedih telingaku mendengarnya namun pedih lagi hatiku yang tersiat-siat tapi akhirnya, aku tersentak bila telefon meja menjerit nyaring. 
Aku beristighfar panjang dan pantas menjawabnya.  “Ya, puan…”  Aku dengar suara Puan Talhah di hujung talian.
“Kenapa tak sampai lagi?  Ada yang ambil stok ke?” 
Aku telan liur.   Hendak menipu adalah tidak mungkin.  Apa yang mampu kini, hanyalah beralasan saja.
“Saya ingat nak kemas fail hari ni, puan.  Kot kata saya bercuti nanti, diorang boleh cari dengan mudah setiap stok yang ada tersimpan,” ujarku sambil membelek sebuah fail yang agak tebal.
Puan Talhah mengeluh.  “Kerja tu tak habis-habis, Teratai.  Kami selalu okey je temankan saya.  Hari ni menolak pulak?  Tak kan sebab Taufiq dengan Ziyad kamu tak nak makan?”  tebak Puan Talhah.
“Eh… bukan macam tu, puan.  Lagipun, saya ada bekal.” 
Aku pandang sebungkus roti Gardenia yang ada di atas meja dan juga sekotak air soya yang kubeli semalam.  Masih belum sempat kumakan.
“Saya tahu… roti yang awak beli semalam tu, kan?  Itu boleh makan esok pagi.  Ini tengah hari.  Kena makan berat sikit.  Jangan risau, tubuh langsing awak tu tak terjejaslah makan sikit kat rumah saya ni,” ujar dia sedikit sinis.
Aku telan liur.  Entah apa lagi yang mampu  aku katakana untuk menolaknya bila Puan Talhah berterusan mendesak. 
“Baiklah, puan.  Kejap lagi saya sampai, ya?” 
Talian mati di situ setelah kami berbalas salam.  Aku pandang wajahku lama di dalam cermin.  Setelah itu, aku capai pula gambarku sewaktu pertama kali menjejakkan kaki ke dalam pusat pemulihan itu dulu. 
Jika Ziyad tidak mampu mengecam aku, tidak salah dia.  Bagaikan dua orang yang berbeza, gambar itu aku amati lagi.  Segalanya tidak serupa.  Hanya bening mataku tetap begitu sejak dari dulu.  Mata bundar yang sentiasa berkaca-kaca. Bukanlah aku mudah menangis tapi lumrah kejadian Tuhan memang begitu. 
Dengan rasa lemah, aku angkat tubuh dan berlalu keluar.  Pintu aku kunci dan terus saja aku menapak keluar daripada kilang.  Saat itu, Abang Bidin baru saja memarkirkan kenderaannya. 
“Eh, awal balik?”  tanyaku kala aku mendorong motosikal yang telah disediakan oleh Puan Talhah. 
“A’ah… lori ni macam tak sedap pulak nak bawak.  Abang rasa ada yang tak kena ni tapi kebetulan, abang hantar stok sampai Gunong je hari ni.  Tak sampai Kota Bharu,” beritahu dia.
Aku ketawa sakan.  Topi keledar aku pakai.  “Saya ni sampai hari ni tak tahu mana tempat yang Abang Bidin sebut tu.  Kalau tahu pun, Bachok jelah.” 
Ya, tempat yang tak mungkin aku lupakan sampai bila-bila.  Tempat di mana ada Ibu Hanah dan masih ada Tia di sana. 
“Kamu ni, macam-macamlah.  Itu nak ke mana?”  soal Abang Bidin.
“Bos ajak saya ke rumah dia,” jawabku lalu aku hidupkan enjin motosikal Honda Wave tersebut. 
“Erm… hati-hati.  Abang pun nak balik kejap ni.  Ambil anak sekolah,” beritahu dia dan kami sekadar berbalas senyum sebelum aku berlalu. 
Setibanya aku di depan rumah banglo yang tersergam mewah di tepi bendang ini, aku letakkan motosikal sedikit jauh daripada porch.  Bukan pertama kali aku ke sini tapi pertama kali bila ada yang lain selain Puan Talhah dan suaminya. 
“Assalamualaikum, puan,” sapaku bila aku ternampak kelibat Puan Talhah dari pintu dapur.
Dia sengih.  “Waalaikummussalam.  Kenapa masuk ikut dapur?  Pintu depan tu ternganga luas haa…”
“Eh, tak apalah, puan.  Saya dah biasa ikut pintu dapur ni,” selaku bagaikan tak logic.  Rasanya baru pertama kali aku masuk ikut belakang.
Puan Talhah sengih.  “Mari masuk.  Kita dah nak makan ni.  Suami saya jelah tak dapat balik.  Kita makan dengan diorang jelah, ya?  Esok kita cuti.  Kita pergi melawat Tiani,” beritahu Puan Talhah membuatkan aku menjegilkan mata.
“Eh… tak apalah, puan.  Puan pergi dulu dengan anak puan.  Nanti hari minggu saya melawat Tiani sendiri, ya?”  Aku menolak lembut.
“Alang-alang ni, biar ramai-ramai.  Mesti Tiani gembira.”  
Sejurus berkata demikian, PUan Talhah berlalu keluar dan aku masih pegun di depan kabinet dapur yang mewah rekaannya.  Berkira-kira sendiri apa yang harus aku lakukan sementara Taufiq dan Ziyad ada di sini.
“Teratai, bawa air ke depan,” laung Puan Talhah dan aku cepat-cepat menatang dulang air itu dan terus menapak cermat menuju ke ruang makan di sayap kanan rumah banglo besar ini. 
“Duduklah,” suruh Puan Talhah padaku saat aku meletakkan dulang itu di atas meja.
Aku tersenyum dan mengangguk.  Tanganku mencapai gelas dan kuletakkan satu persatu di depan mereka.  Setelah itu, aku tuang air oreng itu ke dalamnya.  Aku yakin, mata Taufiq dan Ziyad sedang memerhati.  Tiada apa lagi  yang mampu aku lakukan  melainkan cuba bertenang saja. 
Setelah siap, aku melabuhkan duduk tepat di depan Ziyad. 
“Emm… baca doa Fiq,” suruh Puan Talhah dan kami sama-sama menadah tangan. 
Makan tengah hari bermula dan aku langsung tidak mampu mengunyah makanan melainkan aku terus menelannya saja bila Ziyad tak sudah-sudah memerhatikanku biarpun Taufiq sedang galak berborak dengan maknya. 
“Oh, Yad… esok kita  melawat adik aku, tau.  Lepas tu kita pergilah mana-mana kau nak pergi,” ujar Taufiq membuatkan Ziyad tersedak sendiri. 
Tanpa kusedar, spotan aku menghulurkan gelas air itu padanya dan Ziyad memandangku dan mengenyitkan matanya sekali sebelum dia meneguk airnya. 
“Sangat manis,” puji dia dan aku menelan liur kerana aku yakin, tidak akan ada lagi pujian seperti itu jika peristiwa lalu terungkai satu persatu. 
“Emm… boleh-boleh.  Adik kau yang ada kat pusat tu, kan?  Macam mana dah dia?” 
“Haa… itu  yang kita nak pergi jenguk dia esok ni,” tukas Taufiq dan mereka ketawa.
Aku menelan saki-baki nasi yang ada dan sudah bersedia hendak bangkit. 
“Puan, saya dah siap.”
“Eh, cepatnya?  Tambahlah lagi.  Dahlah awak tu kerja kuat tiap-tiap hari.  Balik lambat datang awal.  Makan lebih sikit,” suruh Puan Talhah tapi aku menggeleng sopan.
“Saya dah kenyang, puan.  Saya ke dapur dulu, ya?”  Aku hadiahkan senyuman pada mereka dan terus berlalu ke dapur. 
Tiba di sinki, makanan yang tak mampu aku telan, aku muntahkan kembali.  Sesak dadaku lalu aku tadah mulut di bawah paip yang mencurah-curah airnya. 
“Kena taun nanti teguk air paip.”
Aku berpaling pada suara yang menegur.  Mataku membulat bila wajah Ziyad sedang menghampiri.  Pinggan yang dia hulurkan aku sambut dengan tangan yang menggelelar. 
“Err…” Aku kelu.
“Nah, minum ni.  Bagi hilang gemuruh tu,” pelawa dia lalu dia hulurkanku gelas yang telah menyentuh bibirnya itu.
Aku telan liur dan menggeleng.  “Saya dah tak dahaga…”
“Tapi saya dahaga, Nur,” balas dia pantas lalu dia ketawa sendiri.
Langkahnya mendekat dan dia duduk menyandar pada kabinet dengan kepala ditolek padaku yang sedang membasuh pinggan milik dia tadi.  Dari ekor mata, aku nampak Ziyad tersenyum sedang mengamati sisi wajahku.
“Saya rasa macam pernah jumpa awak,” beritahu dia tiba-tiba.
Pinggan yang sedang aku cuci itu terhempas sedikit dan ternyata sudah sumbing birainya dan bila aku cuba mengambil, kaca halus itu tercucuk pada jari manisku.
“Auchh…”  Aku mengaduh kecil dan melihat pada jari manis yang sedang terbit darah merah itu.
Ziyad melompat turun dari kabinet dan pantas menggapai tanganku dan di bawa ke mulutnya.  Dia menyedut jari yang sedikit berdarah tadi dan meludahkannya di dalam sinki lantas mengulangi perbuatan itu sekali lagi. 
Wajah Ziyad tidak beriak.  Matanya memandang aku lagi.  biarpun aku cuba menarik, dia makin kuat menarik.
“Saya suka nama awak dan saya sukakan awak,” gumam dia lalu dia mengucup jari manisku yang terluka tadi.
Dalam  hatiku menjawab… tak… memang tak.  Awak bencikan saya sangat, Ziyad.  

~~> bersambung

63 comments:

  1. he..he..he..suka la Teratai Nur & Ziyad...padan...

    ReplyDelete
  2. aiyoo.. ziyad oh ziyad.. nk T&E lg ngn atai ye..

    ReplyDelete
  3. fuh k rehan.. sangat best.. berdebar ja baca.. nice work.. makin jatuh suka dengn ziyad.. :)

    ReplyDelete
  4. uiihh!! meremang bila membaca....tak sabar nak tahu apa reaksi Ziyad bila dia tahu siapa teratai....SZ

    ReplyDelete
  5. BEST.....................

    ReplyDelete
  6. Terima kaseh RM utk penyambungan ini, bermula titik pertemuan Ziyad n Teratai Nur....

    ReplyDelete
  7. Rehan; terstop nak makan ikan pari masak asam pedas ni bila akka baca awak punya Teratai Nur..adeh..

    ReplyDelete
  8. huhuhu...error tak error ziyad ...kan dah terjatuh suka kat teratai nur...nak tunggu hati ziyad tergolek2 kat kaki si nur tu ....

    ReplyDelete
  9. gerrrrrrrr!speechless... :)

    ReplyDelete
  10. trylah ziyad.. lepas tu jgn tak sedar pulak kena error...

    ReplyDelete
  11. sebelum ni hero RM semua jenis gentleman. so ngorat jenis gentleman. yg ini kasanova so mari kita tgk macamana kasanova versi RM jual minyak urat. agak2 sampai langit ketujuh tak terbang melayang2? hehehehe

    -ct payung-

    ReplyDelete
    Replies
    1. nevy + penjual minyak urat.. hehe..

      Delete
  12. wahhhhh behs nyeeeeeee...x sabr nak tau klu ziyad tahu teratai nur tu sape....bessshhhh

    ReplyDelete
  13. eii best best... :)

    ReplyDelete
  14. best sangat.tak sabar nak tunggu next entry.

    ReplyDelete
  15. Ziyad dr persepsi lain..
    ermmmmm teratai Nur, jgn gelabahhh sgt tau.. rilexxxx

    ReplyDelete
  16. mantap...sesak nafas baca tiap ayat...
    Hero versi kasanova dari RM....

    ReplyDelete
  17. WEH.. tetiba terus jumpa ziyad..ingat jpe rina dan zayed dulu!

    ReplyDelete
  18. .. biarlah Teratai ja tahu siapa Ziyed tu dulu.... bagi Ziyed terjatuh sayang .dulu... hehehe

    ReplyDelete
  19. Ziyad xabis2 dengan trial dier....dok error2 ingat terror

    Aznati

    ReplyDelete
  20. ziyad kasanova tapi lepas ni xda dah istilah try and error kan..teratai nur punya penangan..hehehe

    ReplyDelete
  21. best... hihi... x sbr nk tau smbungan ziyad dgn atai.. hoho...

    ReplyDelete
  22. nak lagi nak lagi...perangai ziyad yg suka mengusik ini...teringat la adam mukriiz mengusik ain hawani....oh Aaronnnnnnnnnn

    ReplyDelete
  23. Sweet jugak Ziyad ni. Kalau behave sikit, kalau kurang kasanova sikit mesti best! Hopefully, soon! Thanks kak Rehan, goodjob :)

    ReplyDelete
  24. Hahaha...kali ni try n trus melekat la ko ziyad..suke2. tu la org kata jgn benci sgt nnt jatuh hati..

    ReplyDelete
  25. maigod maigod maigod. sukenya ngan ziyad tu.dah datang dah perangai kasanova dia tu.tak sabar nak tunggu sambungan kisah atai ngan ziyad tu.

    ReplyDelete
  26. karehan, bestnya kalo dpt ziyad satu.. ai love casanova~

    >>k<<

    ReplyDelete
  27. Ada jodoh niii hahaha, semoga Ziyad insaf. . .

    ReplyDelete
  28. GERAMNYE DGN zIYAD! DASAR KASANOVA BETUL!!!

    ReplyDelete
  29. suka lah mereka berdua ni...^^

    ReplyDelete
  30. Amek ko ziyad...sat lg tau la ko penah marah2 kt teratai

    ReplyDelete
  31. ok..nak lagi taw DR.TEREHAN..rndu dgn ziyad n atai..huhuhu =)

    ReplyDelete
  32. bestnye...
    x sabar nak tgu smbgn...
    next entry kak please...

    ReplyDelete
  33. MEMANG TERBAIKLH REHAN....HABISKAN KT BLOG YEA..

    IDA83

    ReplyDelete
  34. arghh...jatuh cinta dgn ziyad! > <'

    -athirah

    ReplyDelete
  35. suke2.....wah....ziyad ni sweet la pulak...tp still ade sinis die tu...

    ReplyDelete
  36. suka tahap maksim

    ReplyDelete
  37. Amboi Ziyad. Try and error kerr dgn Teratai ni? Berdebar-debar jerr baca ni.

    ReplyDelete
  38. haish! dah rasa macam jadi teratai nur... =D
    best!!!!

    ReplyDelete
  39. best sgtt...nanti la ko player...kali ni dah xerror dah

    ReplyDelete
  40. ziyad suka teratai nur? hmm..suka la sbb dia xtau sapa teratai nur tu..
    anyway, terbaik la k.reahn.. :D

    [hawa]

    ReplyDelete
  41. Oooseemmmmm...sgt suke.sian teratai...nsb baik ziyad x cam dia..

    ReplyDelete
  42. best..best..
    nk lg....

    ReplyDelete
  43. wah!!!!!!ziyad n teratai.....hmmm...menarik....tapi,kenape sye rse mcm nnti taufiq suke kat atai???...hahaha....just my feeling...pepon....terbaek k.rehan...
    -silent reader-

    ReplyDelete
  44. wow!!!!!!!!!!!! si romeo sudah mali..... hehehhehe nak msuk jarum la tuh.... bleh ke x eh?? sbb atai asyik ingat ziyad benci die... anyway thanks kak rehan
    best !!!!!!!
    -Song Hyun Sun-

    ReplyDelete
  45. Tu dia...kasanova kelas pertama dah mai...
    -ieja-

    ReplyDelete
  46. romeo tul dah ziyad nih..isk..isk..cubit kang...

    ReplyDelete
  47. oh yeah!! ziyad tunjuk belang!!
    kehkeh.
    kak rehan,..suka cite ni sbb rasa sgt familiar setting dia. hahak.

    ReplyDelete
  48. tak sabar nak tgk ziyad menahan godaan si Teratai...

    ReplyDelete


  49. kunjungan gan,bagi - bagi motivasi
    semoga bisa jadi semangat
    Hal mudah akan terasa sulit jika yg pertama dipikirkan adalah kata SULIT.Yakinlah bahwa kita memiliki kemampuan dan kekuatan.
    ditunggu kunjungan baliknya yaa :)

    ReplyDelete
  50. ish2 ziyad nie!!! kalau la ziyad tau saper teratai tu mcm maner agaknya?

    ReplyDelete
  51. oooo,,,my i really mcm cayaq abis dh nih dgn ziyad.. teratai nur..kuat kan smgt..x leh lmah...heheheh


    -royal phg @ engku nor jawahir-

    ReplyDelete
  52. Cepat2 ye rm naikkan next n3. Really love teratai - so innocent n polos.

    ReplyDelete
  53. Cepat2 ye rm naikkan next n3. Really love teratai - so innocent n polos.

    ReplyDelete
  54. Ziyad......rehan..kenakan ziyad cukup cukup...marah sgt dkt dia sebenarnya

    ReplyDelete
  55. hehehe.....tergoda ziyad tengok teratai nur...kita tengok apa seterusnya TERBAIK...tak sabar nak tunggu part seterusnya RM

    aisya_humaira

    ReplyDelete
  56. Mmg superb! Cpt2 bg next n3 ye Kak Rehan sygku!

    ReplyDelete
  57. rasa mcm real je
    rasa nk cr je ziyad kat sini...

    ReplyDelete