Thursday, November 06, 2014

Beast and The Beauty - Cp. 19 & 20

Cp. 19

ENTAH bila, diri sendiri tak pasti.  Entah bila dia mula berani bersendiri.  Entah bila ketakutan itu pergi.  Dia tak tahu.  Tapi satu yang dia tahu, sejak kehadiran Benjy.  Benjy yang selalu ada bila dia memerlukan.   Benjy yang sentiasa ada bila dia sendirian.  Tapi sekarang, Benjy katakan itu kesilapan. 

Setelah menghantar mama, ayah dan Abang Jo pulang – dia tak tahu nak menuju ke mana.  Langkah kaki dihayun tanpa tujuan.  Melewati kaki lima dan bila sesekali bahu dilanggar tanpa sengaja, dadanya berdetak hebat.  Dia masih takut rupanya. 
Birai matanya basah.  Dia tak boleh balik sekarang.  Nanti bermacam soalan yang diaju sedangkan dia tiada jawapan.  Dia tahu, setitis airmata dia menitis, boleh jadi setitis darah akan tumpah daripada celah bibir Benjy yang manis berjanji.  Dia tahu Abang Jo tak akan duduk diam. 
Akhirnya, Sufi terduduk di balik tiang depan bangunan Quill.  Nafas dia lelah.  Sedaya upaya cuba ditenteramkan.  Jika diikutkan hati, nak aje dia berlari ke pejabat yang tak berapa jauh mana daripada tempat dia duduk sekarang.  Nak aje dia serang Benjy dengan pelbagai soalan.  Nak aje dia tanya apa maksud kesilapan yang Benjy katakan. 
Dia terdiam lama tadi.  Dia terkedu.  Lidah dia terpaku.  Akhirnya, hanya salam diberi.  Dia tahu Benjy perlukan waktu dan dia juga sama.  Boleh jadi Benjy baru terbuka mata.  Nampak segala kelemahan yang dia ada.  Gamaknya tak ada satu pun kebaikan dan kelebihan pada dirinya hingga Benjy kata ini semua kesilapan. 
Allah… lemahnya aku ni.  Lemah sungguh.  Tidaklah aku berharap pada kasih seorang lelaki tapi fitrah hawa yang Kau tanam – mahu disayangi dan dilindugi.  Tapi… bicara hati Sufi mati. 
Airmata dia jatuh setitis.  Bertahan begitu kuat pun, pecah juga tembok airmata.  Dua titis.  Tiga titis.  Cepat-cepat dia seka bila ada suara menegur.  Sufi angkat wajah.  Menoleh 90 darjah.  Lantas melangut tinggi.  Keningnya berkerut.  Wajah yang menegur tersenyum.  Nampak ikhlas. 
“Kenapa kat sini sorang-sorang?” 
BIbir diketap.  Mendamaikan dada yang sesak.  Nafas dihela.  Mencari tenang dalam kata-kata.  “Err… saja jalan-jalan.  Tak tahu nak pergi mana, duduk sekejap…”  jawab Sufi sopan. 
Lelaki itu senyum lagi.  Dilabuhkan duduk sebelah Sufi menyebabkan gadis itu mengesot dan memeluk beg ke dada.  Nampak ketakutan. 
“Jangan takut.  Saya tak ada niat buruk.  Lagipun, saya kawan Benjamin.  Ingat saya, kan?” 
Sufi angguk.  Mana mungkin dia lupa sedangkan koleksi wajah yang dia kenal adalah terhad.  Dia kenal dan masih ingat lelaki yang mengaku kawan Benjy dan hilang begitu saja tempoh hari. 
“Saya Nazir…” 
Kepala Sufi jatuh beberapa kali.  Tanda ambik tahu akan nama Nazir.  Dia tak tahu nak berkata apa.  Saat ini, apa saja berkaitan Benjy rasa nak dilupuskan daripada memori. 
“Awak ni, kenapa?”  soal Nazir sekali lagi. 
Kali ini Sufi hanya menggeleng.  Tak menjawab.  Bimbang jika terjawab dengan airmata.  Harga dirinya terlalu mahal untuk dia tumpahkan airmata kerana seorang lelaki.  Sekadar lelaki.  Bukan suami! 
“Gaduh dengan Benjamin?”  tebak Nazir.  Ya, sesuatu yang dah boleh ditebak.  Dia kenal adiknya.  Dia tahu betapa hebat Benjamin agungkan keluarga.  Saat dia dalam tahanan, bukan sekali Benjy merayu untuk bersua empat mata tapi dia nyata enggan.  Rasa nak diputuskan segala hubungan dengan Benjamin tapi kasihnya tersisa. 
Namun, apa yang membuat hati dia retak, ingatkan Benjamin meratap tapi Benjamin hidup bahagia.  Berjaya.  Dan ada wanita di sisi.  Wanita yang dia kenal biarpun bertahun berlalu. 
“Saya dah lama tak jumpa Benjamin.  Apa yang saya tahu, dia baik dan tak mungkin dia akan lukakan hati sesiapa…”  tambah Nazir tanpa banyak soal.  Tak payah Sufi akui, dia tahu Benjamin sedang melukakan gadis ini buat kali kedua dan rasanya luka kali ini akan jadi luka yang tak akan terubati.  “…tak pastilah kot-kot dia dah berubah sekarang…”  Ayat Nazir tergantung di situ.
Kepala Sufi kalih lipat.  Dipandang Nazir sedikit curiga.  “Macam mana awak kenal dia?”  DIa buntu mencari tahu siapakah Benjamin sebenarnya.  Bukan anak kandung Haji Dasuki.  Bukan juga kawan yang suka meluah perasaan pada Abang Jo.  Bukan bos yang bercampur dengan anak buah yang lain.  Melainkan Benjy hanya suka menegur dia. 
“Siapa dia sebenarnya?”  Sufi dah hampir menitiskan airmata saat soalan itu terluah.  Dia perlukan jawapan.  Dia tahu jawapan ini tak akan terluah daripada celah bibir merah Benjy.  Tak mungkin!  “Awak kawan dia, mesti awak kenal dia, kan?  Siapa dia sebenarnya?”  Soalan bertubi-tubi diaju.  Hinggakan Nazir ketawa kecil. 
Nampak sinis dan cukup memeritkan hati Sufi.  Nampak bodoh sangatkah dia sekarang?  “Saya tak kenal dia sangat…”  Rendah perlahan dia bersuara.  Cukup untuk pendengaran sendiri tapi jelas juga di telinga Nazir. 
“Memang awak tak kenal dia.  Tak akan kenal.  Sebab dia…”  Nazir jeda.  Dia mencari wajah lembut Sufi.  Wajah cantik itu mendung.  “…tapi pada saya, lebih baik awak jauhkan diri daripada dia.  Nasihat saya ni adalah untuk kebaikan.  Dia tak sesuai untuk awak.  Awak akan terluka dengan dia…”
Mendung pada wajah Sufi bertukar taufan.  Riak wajahnya jelas menunjukkan dia terhenyak hebat.  Seperti ditimpa balak.  Tak bernafas rasanya. 
“Apa maksud awak?” 
Bibir Nazir mencebek.  “Tak ada apa maksud.  Tapi, daripada cara awak ni, memang boleh tahu dia akan tinggalkan awak.  Awak adalah kesilapan dia…”
Dang!  Langit yang cerah bertukar kelam.  Dunia Sufi malap.  Suara Benjy berdengung lagi.  Perasaan Benjy pada dia adalah satu kesilapan.  Perlukah dia bertanya kenapa dan sebabnya?  Mahukah Benjy memberi jawapan pada rasa ingin tahu yang hampir tak terbendung ini? 
“Agaknya, saya ni terlalu cepat suka dia…” 
“Jadi, cepat-cepatlah benci dia…” 
“Tapi saya…”  Sufi angkat mata.  Bertentangan dengan mata Nazir yang dirasakan tajam menikam.  “…saya…”  Lidah dia kelu tiba-tiba. 
Nazir senyum sinis.  “…dia tak sesuai untuk awak, Cik Sufi.  Kalau tak caya, nanti tanya dia kenapa dia tak panggil awak Sufi tapi dia panggil awak Juliana.  Tanya dia…”  Senyuman sinis Nazir kian tajam menikam. 
Dia angkat tubuh dan membetulkan jaket kulit hitam yang tersarung pada tubuh yang tegap.  Wajah didongak tinggi.  Langit sedikit mendung.  Kemudian Nazir tunduk pada wajah Sufi yang melangut padanya. 
“…tanya dia kenapa.  Dia ada jawapan segalanya…”  Nazir angkat tangan tanda nak berlalu dan tanpa berkata apa, lelaki itu menghilang begitu saja. 
Sufi termangu.  Siapa awak, Benjy?  Ya, awak tak pernah panggil saya Sufi.  Kenapa saya tak pernah perasaan?  Atau awak ada sebab tersendiri?  Segala andaian menerjah minda.  Sufi menggeleng.  Ditolak semua hasutan pergi. 
Dia yakin.  Juliana adalah nama pertama yang dia perkenalkan pada Benjy.  Juliana adalah nama yang Benjy tahu terlebih dahulu sebelum Sufi.  Namun, hati dan seiring dengan akal.  Minda tak selari dengan jiwa.    


“SUFI!!!” 
Benjy buka mata.  Astaghfirullah.  Dia mengusap dada.  Menyebut nama Allah berkali-kali.  Menggenyeh mata.  Terlena rupanya usai menunaikan solat Maghrib.  Dia masih atas sejadah.  Masih berbaju melayu dan berkain pelikat.  Masih ada tasbih ditangan.  Jantung dia bagai melompat keluar.  Nama itu berdengung dalam kepala. 
Suara teman Sufi menjerit sepuluh tahun lepas kekal menjadi teman lenanya.  Kekal hinggap dalam setiap mimpinya.  Entah mimpi buruk atau mimpi indah, dia tak pasti.  Apa yang pasti, setiap kali itu dia rasa betapa Sufi kesakitan. 
Suf… Suf…
Lidah Benjy beku.  Sejak dulu dicuba sedaya-upaya untuk menyebut nama tersebut tapi setiap kali itu juga semangat dia lemah.  Dia tak berdaya.  Bagai menggalas beban yang berat.  Harus bagaimana dia lupakan jeritan itu, dia tak tahu.  Sufi kesakitan.  Sufi menangis.  Sufi ketakutan dan dia juga ketakutan. 
Perlahan, airmatanya menitis laju.  Rindu pada babah.  Rindu pada arwah mak.  Rindu pada seseorang bergelar abang.  Rindu pada masa lalu yang tak mampu dibaiki.  Masa lalu yang dah terlalu jauh meninggalkan dia.  Masa lalu yang menjadi saksi betapa banyak dosa yang dilakukan.  Apatah sekarang ini, rindu pada seorang wanita yang dia yakini dia mampu lindungi. 
Benjy pejam mata rapat.  Seketika.  Sebelum berpaling ke pintu yang ditolak daripada luar.  Wajah Benazir tak beriak.  Memandang dia tanpa rasa. 
“Kau pergi mana hari ni, Zir?”  Benjy meraup wajah.  Bangkit dan duduk di birai katil.  “Dah solat Maghrib ke?”  Soalan diaju tanpa memandang langsung pada abangnya. 
“Aku jumpa awek kau… eh silap…”  Sengih sinis ditarik kemas pada bibir Nazir.  “…bekas awek kau…” 
Kepala Benjy berkalih pada Nazir.  Laju.  “…kan aku dah cakap, aku tinggalkan dia.  Kenapa kau dekati dia lagi?”  soal Benjy tenang dalam kekecewaan.  Nazir dah janji.  Dia akan lupakan segalanya bila dia tinggalkan Sufi.  Tapi, kenapa?  Hati Benjy retak dihentak kecewa. 
“…dia dah tak ada kaitan dengan aku, Zir.  Jauhi dia,” pesan Benjy dengan mata menatap sejadah yang belum dilipat.  “…cukuplah sekali aku lukai dia…”  Bicaranya mati.  Hati menyambung sendiri, dank au tak tahu kali ini aku juga terluka teruk, Zir. 
Wajah masing-masing tenang.  Tak mampu Nazir tebak rasa di hati Benjy tapi dalam hatinya, tetap wujud rasa benci pada Benjamin apatah lagi Sufi. 
“Aku rasa dia patut mati 10 tahun lepas, Min tapi kau…”
“Kalau dia mati, aku jadi pembunuh, Zir…”  Laju Benjy menyampuk. Dia panggung kepala.  Merenung mata abangnya dan mengukir senyuman tipis.  “…tapi, kalau jadi gitu mungkin kau tak jadi macam sekarang ni.  Pastinya aku yang ke tali gantung.  Dan kau tak akan jadi seperti mana kau jadi sekarang.  Ada masanya… aku tanya diri aku.  Kenapa aku tak tikam tepat ke jantung dia…” 
Lidah Benjy kaku seketika.  “…tapi sekarang, aku dah tikam tepat pada jantung dia…”  Dengan perasaan yang daripada awal adalah satu kesilapan.  Nafas lelah dilepas.  Dipandang pada siling.  Juring matanya basah.  “…jauhi dia, Zir.  Dia tak ada kaitan lagi dengan kita.  Kita pindah daripada sini.  Kita mula hidup baru.  Kau dan aku.  Aku tebus segalanya.  Satu aku mintak…”
“Jangan ganggu Sufi?”  cantas Nazir dengan senyuman senget.  Disandar tubuh pada bingkai pintu.  “…mana mungkin, Min. Bila aku tahu yang kau tak akan tenang seumur hidup bila perempuan tu resah…”  Serentak itu Nazir berlalu. 
“Nazir!”  Laungan Benjamin tak dihiraukan.  Hanya senyuman keji terukir kemas. 
“Benazir!”  laung Benjy sekali lagi.  “…aku buat apa saja untuk kau, Zir.  Tapi…”  Tubuh Benjy jatuh melurut ke birai katil.  Airmata dia menitis lagi.  ...apa saja, Zir.  Apa saja.  Tapi, bukan Suf… Suf…fi. 
Pertama kali dalam sepuluh tahun, nama itu disebut. 




Cp. 20

RAYA HAJI sepatutnya menjadi satu hari bermakna dan benar, ianya meninggalkan makna yang mendalam.  Pengorbanan di sebalik segalanya.  Pengorbanan untuk memujuk moga tidak lagi berlaku kesilapan dalam hubungan mereka adik-beradik. 
Cinta… boleh dicari. 
Namun, muncullah mentari daripada barat sekalipun dia dan Benazir adalah saudara seibu dan sebapa.  Berkongsi darah yang sama.  Mereka berdua adalah amanat satu sama lain.  Pulang daripada surau, Benjy dapatkan abangnya yang sedang goyang kaki, menonton TV.  Diajak ke surau, Nazir hanya mendiamkan diri. 
“Zir…”  Diseru abangnya lembut.  “...selamat hari raya korban, Zir…”  Basah birai mata Benjy saat mengucapkan ayat itu.  “…aku nak minta ampun daripada kau…”  Lututnya jatuh di sisi Nazir.  “…dalam dunia ni, kau ajelah ada untuk aku dan kita hanya ada diri masing-masing.  Aku tak nak kita terpisah lagi, Zir.  Aku sayang kau.  aku nak kita sama-sama berubah pada kebaikan.  Yang lepas tu, biarlah lepas, Zir.  Tak mampu dah kita nak ubah sejarah.  Kita cuma perlu baiki masa akan datang.  Kau nak kan, maafkan aku?  Mulakan hidup baru?  Lupakan yang lalu?” 
Nazir yang terbaring hanya buat tak dengar.  Matanya tunak pada skrin TV namun telinga dia mendengar dengan jelas setiap patah kata Benjy.  Dapat dia rasa, pujukan Benjamin hanya kerana bimbangkan Sufi.  Dia tahu.  Bukan ikhlas kerana dia. 
“Kau cakap gitu sebab kau risaukan perempuan tu, kan?”  bidas Nazir.  Geram. 
Benjy jatuhkan kepala.  Tunduk menekur ke lantai.  Melutut menagih simpati Nazir lagi.  Tak akan pernah puas. 
“Aku akui.  Memang dia salah satu puncanya sebab aku pernah bersalah pada dia…”
“Tapi, kau dah balas…”  bentak Nazir tapi tak sempat dia menyambung, suara Benjy mencantas kembali. 
“…sebab utama aku adalah kau, Zir.  Kau abang aku.  Kalau bukan aku, siapa lagi?  Kalau bukan kau, siapa lagi yang akan ada untuk aku?”  Nada suara Benjamin juga naik.  Terasa lelah nak berlembut tapi dia tak boleh kalah. 
Tak mungkin dia marah sedangkan marah itu adalah punca berbalah.  Dalam marah ada api dan api adalah syaitan.  “Kau adalah sebab utama aku…”  ulang Benjamin sekali lagi.  “…sebab untuk kita sama-sama balik tempat asal kita.  Balik pada pencipta kita.  Tak lambat lagi, Zir.  Aku tak pasti sama ada syurga untuk aku atau tak.  Tapi, aku usaha dan aku tak nak jika diizinkan Tuhan ke syurga, aku nak dengan kau.  Aku nak sama-sama dengan kau…”  pujuk Benjy sesungguh hati.
Payahnya Nazir nak mengerti.  Cinta dia pada Sufi tak pernah sehebat rindu dan kasih pada seorang abang.  Cinta pada Sufi padanya adalah sesuatu yang mampu diubati dan dia berdosa melukakan hati Sufi.  Dia tahu Sufi akan belajar menerima.  Sufi ada pegangan yang kukuh.  Tapi, abangnya rapuh.  Terus dihempas ombak.  Ditolak ke tepian, bila cuba digapai tangannya ditarik pula oleh ombak ke tengah lautan.  Nazir sedang kelemasan! 
“Zir…”  rayu Benjamin agar Nazir memandangnya.  Bila masih tak dilayan, tangan Nazir cuba digapai namun, dibentak hebat oleh Nazir.  Tubuh kasar Nazir terangkat.  Direnung Benjamin tajam. 
“Eh, Min… dengan aku kau jangan nak jual-beli agama  sangatlah.  Kau ingat sikit, siapa abang dan siapa adik,” herdik Nazir kasar. 
“Ya…” Benjy bangkit.  Berdiri – dia lebih tinggi daripada Nazir.  Dia lebih tegap daripada Nazir.  “…kau juga kena ingat, tugas abang sepatutnya mendidik adik.  Tunjukkan adik pada kebaikan sebab kau abang.  Kau hidup dulu daripada aku.  Tapi, kau salah jalan.  Tak salah aku sebagai adik tunjuk jalan yang benar untuk kau, Zir.  Bukan niat nak ganti tempat kau sebagai abang.  Menangis airmata darah pun semua tu tak akan jadi.  Kau tetap abang.  Sebab kau tetap mengaku yang aku adik kau dan kau abang akulah, aku nak kau berubah.  Dendam apa lagi yang ada dalam hati kau ada aku dan dia aku tak pasti.  Kau tak nak aku bahagia, ya aku menderita sekarang, Zir.  Aku menderita rindukan dia.  Raya haji ni lepas babah balik, aku nak bawa niat baik aku pada dia.  Aku nak dia jadi bini aku.  Aku nak jaga dia.  Aku nak kita semua bahagia.  Tapi, kau tak setuju dan sebagai adik aku dengar apa yang kau nak.  Lagipun…”  Liur ditelan kasar.  Tak boleh nak cerna dia kata-kata Nazir tadi.  Entah apalah yang membalut jiwa dan hati abangnya, dia tak tahu.  Sampai begitu payah nak dimasuki. 
“…tidak pernah sekalipun aku jual agama aku untuk ajak kau kembali ke jalan yang benar melainkan aku menceritakan tentang kebenaran semata-mata…”  Serentak itu, Benjamin menoleh dan berlalu ke biliknya. 
Saat ini – dia terlalu letih.  Dia perlukan rehat.  Minda dia semak. 
“Kau memang cinta dia sangat, Min.  Daripada dulu.  Aku patut tahu bila kau menangis masa peluk dia sepuluh tahun dulu.  Aku patut tahu yang kau jejaki dia hingga kau jumpa dan kerja sebumbung dengan dia.  Aku tahu yang kau…”  Tak sempat habiskan ayat, Benjamin berpaling dan merenung Nazir tajam.  Tak bagi disudahkan ayat itu. 
“Itu balasan dosa aku pada dia, Zir dan kau…”  Perlahan, renungan tajam itu bertukar mesra.  “…jika kau nak nyawa aku, aku akan beri, Zir…”  Matanya berkedip sekali.  Terus diboloskan diri ke dalam bilik. 
Tubuh dihempas.  Airmata mengalir lesu. 
Allah… dia abang aku yang baik.  Tiada sesaat yang dia tak hargai aku.  Namun, dia masih samar.  Pinjamkan cahaya-Mu pada dia, Allah.  Jangan dibenci dia.  Dia dahagakan kasih sayang-Mu. 
Tak sedar, esakan mengakhiri doa.  Dia menangis! 


JOHAN mendekati adiknya.  “Ingatkan Jaemin datang…”  Punggung dihenyak tepat di sisi Sufi.  “…Sufi gaduh dengan dia?” 
Lama Sufi diam.  Tak menjawab soalan langsung.  Malas nak berkata.  Dia cuba ceria seperti biasa.  Ya, dia Berjaya Cuma ada masanya, murah itu tercipta sendiri.  Dia pun tak sedar bila wajahnya bertukar riak. 
“Tak nak share dengan Abang Jo?”  soal Johan. 
“Tak ada apa nak share…”  Senang jawapannya. 
Keluhan tipis lepas daripada celah bibir Johan.  “Jaemin tu bukan jenis sakitkan hati orang…”
Sufi angguk.  Ayat sama dengan Nazir.  Dia senyum senget.  Menanti ayat Johan yang seterusnya. 
“…dia mungkin ada sebab kalau dia tersakitkan hati Sufi…”  Johan kekal optimis.  Dia kenal Benjamin tu.  Tak mungkinlah berubah?  Tapi, tak mustahil jugak! 
“Ter?”  Akhirnya Sufi buka mulut.  “Ter ni adalah perbuatan tak sengaja.  Tapi, pada Sufi Benjy bukan tak sengaja.  Daripada awal, dia tahu perasaan dia pada Sufi satu kesilapan.  Sekarang, lepas Sufi betul-betul suka dia, ini semua kesilapan.  Kat mana silapnya, Sufi tak pasti.  Sufi tak tahu.  Benjy mungkin ada jawapannya.  Sufi tak ada daya nak tanya dia lagi.  Sufi tak ada kekuatan tu…”
Terdiam Johan dengan luahan hati adiknya.  Wajahnya berkerut seribu.  Diraup kasar.  Jaemin, apa kau buat ni?  Buaian yang tadi berayun perlahan, kini berhenti langsung.  Sufi hanya memandang ke depan.  Kosong.  Johan masih keliru dengan kata-kata Sufi. 
“Payah nak percaya…”  komen Johan.  Jika daripada awal kesilapan, kenapa begitu berani merengkuh kesilapan?  Bila dah tak berdaya, patah balik begitu saja tanpa hiraukan hati yang lain? 
Penumbuk di kepal.  Geram.  Tapi lebih pada simpati.  Entah kenapa, Johan yakin yang kawannya itu ada menyembunyikan sesuatu.  Dia yakin tu!  Sesuatu yang tak boleh diberitahu pada Sufi. 
“Tak apalah, bang.  Begini aturan Tuhan…”  Sufi senyum.  Dia bangun dan sedia nak berlalu.  “…selain terima, tak ada apa yang mampu dilakukan.  Mujurlah Allah tunjuk kesilapan tu sekarang.  Jika lepas dia jadi suami, kesilapan itu boleh jadi menjadi senjata membunuh…”  Senyuman tawar terukir. 
Sufi masuk ke rumah. 
Johan mengeluarkan telefon bimbit.  Rasa ingin tahu membuak.  Tapi rasanya, Benjamin layan menerima satu tumbukan daripada dia. 


TERKEDU!  Itulah satu perkataan yang mampu digambarkan saat ini.  Johan tak berkutik.  Penumbuk yang sejak daripada tadi digenggam kemas, dilepaskan akhirnya.  Bahu dia jatuh.  Semangat dia longlai. 
Setiap cerita Benjy, mengejutkan.  Setiap patah bicara Benjy menakutkan.  Bercampur juga dengan kemarahan dan kebencian.  Tapi, perkara dah lama berlalu dan dia tak gila nak menghukum seseorang yang rasanya sedang terima hukuman sendiri.  Dikejar rasa bersalah sendiri, rasanya itu adalah hukuman yang cukup ngeri. 
“Aku tak tahu nak kata apa, Jaemin…”
“Jangan cakap apa-apa, Shah.  Melainkan kau nak maki atau pukul aku, aku dah sedia…” 
Johan gelak.  Dia menggeleng.  Tak gila dia!  Dia orang ada iman dan ada pendidikan.  “Waras lagi aku nak buat semua tu, Min.  Tapi, macam mana kau boleh ikut jejak Sufi sejak sepuluh tahun lalu?  Gamaknya, kau kerja tempat sama dengan dia pun…”
“Ya…”  sampuk Benjy belumpun sempat Johan menghabiskan ayat.  “…tapi aku sekadar merancang, Shah.  Tidaklah berdaya aku tanpa pertolongan Allah.  Bukan sekali isthikarah aku hingga aku berani dekatkan diri dengan dia. Tak pernah tak timbul rasa bersalah dalam diri aku.  Apatah lagi lepas aku tahu kau abang dia…”
“Kalau kau sedar aku abang Sufi, tak patut kau diamkan diri macam ni, Jaemin…”  sampuk Johan pula.  “…Tak patut kau cakap kau dan dia adalah satu kesilapan.  Kau tahu adik aku tu baru kenal dunia.  Dia baru berani keluar menikmati dunia tapi akhirnya, dia kembali ketakutan.  Takut yang bukan sikit, Min.  Sufi dah lain…”  Wajah Sufi menerjah minda.  Sufi dah jadi pendiam.  Mata Benjamin dipandang.  “…pada aku, aku maafkan kau tapi macam mana aku nak maafkan, jika kali kedua pun kau lukakan dia…” 
Bibir diketap.  Nama Nazir tak mungkin disebut.  Tak mahu Nazir menjadi sebabnya dia dan Sufi terpisah.  “Anggap ajelah tak berjodoh kami, Shah…”  Benjy cuba ketawa namun jengkel. 
“Jodoh ni setelah kau berusaha, Min…”
“Aku dah…” 
“Kau belum…”  Johan menggeleng.  “…luahkan pada Sufi apa yang terbuku dalam hati kau.  Dia akan terluka tapi kau akan mengubati…”  Johan bangkit.  Ditepuk bahu Benjamin beberapa kali.

Kakinya melangkah lemah.  Kecewa.  Entah patut dia ceritakan pada Sufi atau tidak, dia tak pasti.  Apa yang tentu, dia mahu Benjamin sendiri bersuara.  Mungkin jodoh masih panjang atau itu semua akan terus jadi batu penghalang.  

...2bCont...

25 comments:

  1. ya Allah....pasti benjy dan sufi sgt tersiksa sekarang.

    ReplyDelete
  2. Kalau lah masa boleh di putar...
    pasti peristiwa itu akan d hindar..
    jika lah kasih senang d lebur..
    takkan hatiku berani menghulur..

    ReplyDelete
  3. kesian benjy...
    tersepit keadaan...

    ReplyDelete
  4. moga ada kasih untuk berpaut...ada sayang yang takkan hilang...

    ReplyDelete
  5. Menangis baca part min dgn nazir. Knpa nazir jd cm2? Kdg2 mcm syg min, kdg2 mcm bnci.

    ReplyDelete
  6. makin penat nak folow. arap cepatla abes dan da x bnyk konflik lg. pis yo/

    ReplyDelete
  7. Saya sama-sama rasa terseksa sekarang ni.. Ouchh!

    ReplyDelete
  8. terubat rindu saya kat benjy..skali 2 chpter akak kasi..tq sesgt
    benjy3..hebat ko,smoga sukses brsama nazir n sufi

    ReplyDelete
  9. Deep.. Xtau mcm mane nak ckp.. Tq RM ;)

    ReplyDelete
  10. Rm..
    Sungguh tiada kata yg dapat diungkapkan..
    Perit rasa hati..pedih..
    Kenapa jalan benjy dan sufi ini terlalu berliku..

    Setiap kali bc kisah ini.. Hati sering menangis..
    Ya Allah... Dekatlah hati ini sentiasa denganMU..

    ReplyDelete
  11. RM....
    You betul2 buat akak rasa sedih yang amat dan turut merasai apa yang dirasa oleh Benjy dan Sufi. Geram pada Nazir pun ada juga.

    ReplyDelete
  12. Replies
    1. Betul xtau nk kate ape..menant ape yg jadi..cam org sakit..dah mkn ubat..dah doa..kini berserah...terserah pada tuan tanah...

      Delete
  13. benjy tlg hadapi kenyataan ni walau perit .. kesian sufi baru berani terus dihentam ketakutan semula , allahhh sedihh sgt

    ReplyDelete
  14. Kesian Benjy, yang tersepit dengan rasa sendiri dengan abang kandung dia. speechless.... btw, ade spelling error siki2 kak RM...

    ReplyDelete
  15. Kesiannya..benjy. Antara cinta pd sufi..dan kasih pd abg..

    ReplyDelete
  16. Allah..... sesaknya dada
    Dpt rasa kesulitan benjy
    susahnya mengapai bahagia
    kesilapan lalu mmg sering menghantui
    bertabahlah Benjy
    Do the best and Allah will do the rest.... InshaAllah....

    ReplyDelete
  17. aduhhh...saya xleh tahan airmata dr gugur...

    ReplyDelete
  18. Tak terluah dek kata.
    Cinta itu andai disusuri dari rasa kerana DIA, pasti rasa nyaman dan tenang...
    Nazir... zahirnya dendam rasa itu sudah terbalas tapi jiwamu nyaman tenteram?
    Puan penulis, detak rasa itu masih menghantui... syabas!

    ReplyDelete
  19. Kak rehan bila nak sambung.....x sabar nak tahu cite lanjut nya

    ReplyDelete
  20. Saya setuju..memang suspen..bab2 menunggu ni yg tak brape syok..hehe

    ReplyDelete