Monday, December 15, 2014

Beast and The Beauty - Cp.24

Cp. 24

SEBAIK saja berpaling, babah tercegat di pintu.  Bayang-bayang susuk babah menyekat cahaya daripada luar.  Bilik yang sememangnya terlalu samar ini, terasa bagai di penjara akhir.  Benjy tarik kopiah daripada atas kepala.  Bangkit, menarik sejadah lantas duduk di birai katil. 

Kepala diangkat.  Memandang babah tanpa jelas rautnya.  Tersenyum tipis seraya mengesat air hidung yang dirasakan meleleh. 
“Babah tak tidur lagi atau terjaga?”  Dia cuba hidupkan suasana yang terlalu kaku ini.  Tiada apa yang disembunyikan daripada babah kini.  Cuma, babah menanti jasad yang dikatakan sudah bebas tapi mahu memenjarakan dia. 
“Babah terjaga.  Nak ke bilik air.  Bila lalu bilik kamu, dengan sayup-sayup suara Ben.  Itu yang singgah.  Babah kacau ke?”  Dia risau jika dalam kekusyukan Benjy berbicara bahasa Tuhan, dia mencelah. 
Tiada apa yang dia tidak tahu sekarang.  Sejak dulu, Benjy terlalu memendam sendiri.  Sendiri tahu diri sendiri bakal terluka bila terjatuh cinta, Benjy tetap mahu dekati Sufi.  Setia.  Bukan 10 hari tapi 10 tahun lamanya. 
“Tidaklah, babah.  Ben dah siap dah…” 
Mendengarkan jawapan itu, Haji Dasuki menapak masuk.  Lantas duduk di sisi Benjy.  Telapak tangan tuanya mendarat tepat di atas belakang tangan Benjy yang dirasakan dingin.  Dahi Haji Dasuki berkerut lebat dengan dada yang sedikit berdebar.
“Ben tak sihat?” 
Seperti orang lurus bendul, Benjy lekapkan telapak tangan ked ahi.  Kemudian dia menggeleng dalam sengih sumbing.  “Ben sihat aje, bah…” 
Nafas Haji Dasuki bagai tersangkut.  Moga Allah jauhkan segala yang buruk dan dipelihara jiwa yang bersih ini.  Ya, bersih.  Biarpun pernah kotor, Benjy berusaha menyental kekotoran itu.  Bertahun direndam di dalam peluntur agar hasilnya putih berseri. 
“Babah tak tahu nak kata apa, Ben.  Ben tak cakap lagi dekat Sufi tentang Nazir.  Ben masih sorok tentang tu dan babah faham.  Sebab dia satu-satunya darah daging Ben sekarang.  Lagipun, Ben pernah terhutang budi pada dia.  Kerana pengakuan dia, Ben adalah Ben yang sekarang.  Tapi Ben, itu semua asbab yang telah Tuhan tentukan.  Sebaliknya, semua ini adalah kehendak Allah.  DIA terlalu sayangkan Ben.  Terlalu sayangkan Nazir.  Babah harap, masih tak lambat kita selamatnya Nazir.  Pujuk dia agar lupakan yang lalu.  Tentang Sufi tu…”  Suara Haji Dasuki terhenti. 
Bisikan syahdu Benjy tadi menujah telinga.  Tak jelas butir bicara tapi dia tahu, tangis Benjy adalah tangis daripada hati.  Kerana kesal, kasih-sayang, cinta dan pengorbanan.  Sekali lagi tangan Benjy diramas perlahan.  Sekarang, dia tak boleh terlalu menekan.  Sama ada Benjy atau Nazir, masing-masing sudah capai umur untuk buat keputusan sendiri.  Sama ada baik atau buruk, berharap moga keputusan itu tidak memudaratkan. 
“…tentang Sufi, Ben serah ajelah pada takdir.  Lagipun, dia masih tak tahu yang Ben…”
“Bah…”  Laju Benjy memotong.  Menggeleng perlahan.  Melarang Haji Dasuki meneruskan kata-kata.  “…harga yang Ben bayar tu, tak ternilai kalau nak dibandingkan dengan titisan darah dia, bah.  Tak ada nilai semua tu.  Betul kata babah, Ben dah serahkan pada takdir pada saat Ben putuskan untuk tinggalkan dia.  Cukuplah Ben kutip sedikit kenangan manis dengan dia.  Ben dah puas hati.  Itu juga sebahagian rezeki buat Ben.  Itu yang Ben mohon dan itu yang Tuhan kabulkan.  Tiada lagi nikmat yang mampu Ben dustakan, bah.  Sekarang, Ben nak jaga Nazir.  Dia perlukan Ben.  Apapun jadi, Ben tak akan khianati dia lagi.  Cukuplah sekali.  Ben nak kita sama-sama ke syurga, bah.  Ben tahu boleh jadi nama Ben tak tercatat pun di pintu syurga, tapi Ben tetap berharap sebab itu Ben usaha.  Tapi, tidak tanpa Nazir…” 
Setelah puas menitiskan airmata, mengadu-domba pada Tuhan yang Esa – tenang itu milik dia.  Sufi terluka dan waktu adalah penyembuhnya.  Allah adalah penawarnya.  Jika dia menjadi orang yang dibenci Sufi buat seumur hidup, pilihan apa lagi yang dia ada?
“Benjaminnnnn…”  Panjang Haji Dasuki menyeru nama anak angkatnya.  Dipaut bahu Benjy erat.  Kemudian dipeluk kemas.  “…insyaALLAH syurga buat mereka yang mencari.  Sebab orang yang dambakan syurga ni, dia akan buat perkara yang akan menjadi tiket kelas pertama untuk dia masuk ke syurga Allah.  Babah tahu, Ben terluka teruk antara Nazir dan Sufi.  Jika Sufi jodoh Ben, dia akan balik.  Jika tidak, pasti ada yang lain.  Bukan yang lebih baik atau lebih buruk…”  Pelukan pada bahu Benjy terlerai.  Mata bertentangan.  Haji Dasuki senyum sebelum menyambung… “…tapi yang tepat!” 
Moga Benjy terus yakin.  Teguh dan utuh.  Bimbang juga menguasi.  Bukan seorang dua dilihat anak muda tersungkur angkara derita hati. 
“InsyaALLAH, babah.  Yang terbaik buat Ben adalah daripada Allah semata-mata.  Ben tak akan sia-siakan apa yang dah Ben usahakan,” pujuknya pada Haji Dasuki yang nampak resah. 
Senyuman pada bibir babah mekar.  Pelukan bertaut lagi sekali.  Kemudian, terlerai.  Haji Dasuki bangkit.  “Rehatlah.  Kejap lagi Subuh.  Tak boleh nak lelap, zikirlah.  Itu terapi jiwa…”  nasihat Haji Dasuki sebelum berlalu keluar. 
Kepala Benjy jatuh.  Malam yang hening bertambah syahdunya.  Dia sandarkan belakang pada kepala katil.  Dipejamkan mata yang sudah beberapa hari degil untuk dilelapkan. 
Diraba telefon di sisi.  Rasa nak dihubungi Sufi tapi kekuatan tak juga dia temui.  Diletak semula telefon di sisi.  Beberapa ketika berlalu, dicapai kembali.  Hatinya kuat mengatakan yang Sufi sedang jaga.  Sufi juga sukar nak lena.  Sufi sedang mengubat luka.
Tuhan… sedikit saja kekuatan.  Pinjamkan aku.  Sedikit saja.  Nafas ditarik panjang.  Dihembus perlahan.  Lantas, panggilan kepada Sufi bersambung.


DEGIL sungguh!  Puas dipaksa tapi matanya gagah kuasa lagi terbuka.  Lantas, dibawa tubuh dan dipasang simpuh di atas sejadah.  Mencari Tuhan di kala hati dan jiwa terasa kelam.  Bagai tak temui jalan pulang. 
Sufi berteleku lama.  Mama, ayah dan Abang Jo pasti sedang diulit lena.  Beberapa hari ini, dia lebih banyak mendiamkan diri setelah berbiara panjang lebar dengan mama satu malam itu.  Dengan Abang Jo, lagilah dia tak boleh bersua.  Pandangan Abang Jo menambahkan resah. 
Dia tahu Abang Jo maafkan Benjy dan dia juga… bicara hati terhenti.  Entah rela dia memaafkan atau memang tak mungkin dia lupakan.  Bukan sekali Benjy lukakan dia malah dua kali. 
Kata mama, “…memaafkan akan mengurangkan beban di jiwa…”
Tapi, kuatkah dia untuk tuturkan perkataan keramat itu?  Benjy pula membisu.  Nyata, Benjy benar-benar tunaikan janji untuk pergi dan biarkan dia sendiri terus karam dalam ingatan yang dipanggil kenangan.  Tak banyak waktu mereka bersama tapi kesannya tetap terasa. 
Baru hendak tanggalkan telekung, telefon bimbitnya bergetar.  Sufi Tarik telefon daripada atas katil dan memandang skrin yang cerah.  Dahinya berkerut dan bibirnya bergetar.  Tak sangka! 
Allah… perlu ke aku jawab?  Kenapa hati berbelah bahagi sedangkan dia juga berharap Benjy menghubungi dia.  Biarpun untuk salam terakhir.  Dia berharap.  Hingga deringan hampir padam, barulah Sufi lekapkan telefon ke telinga.
Hening.  Sepi.  Hanya desiran angin saja yang menghiasi talian yang sunyi. 
“Sufi…”  Suara Benjy berdengung.  Syahdu namun terasa begitu tajam merobek hati. 
Sufi diam tak berkata apa.  Hanya mendengar helaan nafas kasar lelaki dan sesekali bagai jelas bunyi liur yang ditelan kasar. 
“Maaf telefon masa ni tapi saya kuat katakan Sufi tak boleh nak lena.  Sufi okey?” 
Tak.  Hati Sufi menjawab pantas.  Macam mana saya nak okey setelah semuanya pecah berderai? 
Bila tiada jawapan, Benjy ambik kesempatan menyambung kata.  Biarlah tiada tindak balas, setidak-tidaknya dia tahu Sufi mendengar kerana helaan nafas halus gadis itu sedang membakar dirinya. 
“Sufi sakit?”
Ya, sakit hati.  Tapi, jawapan itu hanya bergema dalam hati. 
Benjy ukir senyuman sinis.  “Maafkan saya lukakan Sufi…”
Jika benar Benjy menyesal, kenapa hati dia terus disakiti?  Namun sayang, tak mampu dia utarakan soalan itu. 
“Saya tahu Sufi tak sudi dengar suara saya lagi…”  Rendah perlahan Benjy bersuara.  Terasa diri benar-benar terbuang jauh daripada hati Sufi. 
Kalau saya tak sudi, saya tak jawab telefon ni. 
“Sufi… katalah sesuatu…” 
Sufi kekal diam. 
“Saya resah fikirkan Sufi…”
Sepi. 
“Sufi…”  seru Benjy tanpa putus asa.  Setidak-tidaknya, dia perlu tahu yang Sufi sedang sihat. 
“Apa yang perlu saya cakap dan apa yang awak nak dengar?”  Akhirnya, setelah kekuatan dikumpulkan dia bersuara.  Biarpun perlahan, tetap kedengaran tajam menikam telinga Benjy. 
Akhirnya…  dia mampu hela nafas lega.  Sufi bersuara biarpun jelas kebenciannya.  Tak apa.  Janji Sufi bersuara.  “Tak perlu cakap apa-apa lagi.  Saya tahu awak okey dan saya juga tahu awak kecewa…” 
“Saya memang kecewa, Benjy.  Sangat kecewa.  Lebih kecewa bila awak adalah orang yang patut saya Benjy selama ni.  Kecewa bila keluarga saya suka awak.  Kecewa bila diri sendiri pun suka awak.  Lebih kecewa bila awak permainkan saya.  Lebih lagi kecewa bila…”  Saat ini, birai mata Sufi sudah sarat.  Dia mahu menitiskan airmata. 
Sedaya-upaya ditahan namun esakan halusnya tetap tersapa telinga Benjy.  Remuknya jiwa Benjy hanya Allah yang tahu.  Entah berapa kali dia mahu lukakan Sufi, dia tak tahu.  Bukan dia mahu begitu.  Jauh sekali hendak menyalahkan takdir Allah.  Tapi, ianya tetap terjadi.  Dia tetap menjadi senjata dan hati Sufi makin musnah. 
“Saya tak bermaksud nak lukakan awak, Sufi…”
“Tapi, awak tetap lukakan saya.  Dan, betapa kecewanya saya bila awak buat saya jatuh cinta pada awak tapi akhirnya awak tinggalkan saya pergi.  Pergi dengan rasa bersalah awak sedangkan awak ada 10 tahun untuk meminta maaf,” ujar Sufi lebih tenang biarpun airmata masih menitis laju.  “…sekarang, apa lagi yang awak nak saya katakan?  Nak saya maafkan awak?  Saya akan maafkan.  Nak saya lepaskan awak?  Pergilah.  Jauh-jauh daripada hidup saya.  Jangan ditoleh lagi.  Jangan dikesali.  Jangan diingati.  Bimbang saya doakan yang buruk?  Jangan…”  larang Sufi. 
Dia temui keberanian.  Dia ada secubit kekuatan.  Dia lebih mahu berdendam.  Dia letih mahu mencari jawapan pada setiap bersoalan. 
“…satu awak kena tahu, Benjamin.  Saya tak pernah benci awak yang 10 tahun dulu, malah selepas 10 tahun dan 10 tahun akan datang.  Tak layak saya nak membenci sedangkan saya dididik untuk menyayangi,” tambah Sufi, menambahkan luka yang kian dalam pada hati Benjy.
Ditumbuk dadanya kasar.  Senak tapi dia tahu hati Sufi juga sedang sempit.  Aturan nafas Sufi tak lancar mana.  Kenapa dia mahu dekati Sufi?  Dia tak tahu.  Desakan atas rasa bersalah, sudah tentu.  Dan alasan untuk Sufi bahagia, itu sudah semestinya.  Namun, akhirnya mereka dua-duanya terluka. 
“…awak memang ada hati yang cantik.  Sebab tu awak terlalu cantik di mata saya…”
“Perlu ke saya berterima kasih dengan pujian tu?”  Sarkastik Sufi menanya.  Bibirnya tersenyum senget cuba membendung titisan jernih. 
Benjy ketawa janggal dengan soalan Sufi.  “…Sufi akan jadi satu-satunya wanita yang akan saya rindu, 10 tahun dulu, 10 tahun sekarang dan 10 tahun yang akan datang…”  balas Benjy pula. 
“Saya tahu tak mudah Sufi lupakan semuanya.  Tak mudah Sufi maafkan saya setelah berkali-kali saya lukakan hati Sufi.  Dan, saya akan pergi…”
“…terima kasih,” cantas Sufi belum sempat Benjy menamatkan kata-kata.  “…terima kasih sebab dah lukakan hati saya.  Sekali lagi!”  tekan Sufi keras. 
Benjy tak tahu.  Perkataan ‘pergi’ itu membuatkan dia terluka lagi-lagi dan lagi. 
“Maafkan saya, Sufi…”
Namun, talian sepi. 
“Sufi, marah tak kalau saya katakan yang saya…”  Sekali lagi suara Benjy menyapa.  Namun, kali ini lebih perlahan, lebih resah dan lebih pilu.  “…saya rindu…” 
Mata Sufi bulat.  Birai matanya basah.  Tapi, lidahnya beku dan terus membeku.  

...2btCont...

8 comments:

  1. Maafkan dia...

    Yang..."Mengadu domba merupakan perbuatan yang boleh mengakibatkan persengketaan dan perbalahan antara dua belah pihak.."

    che`leen

    ReplyDelete
  2. Terbaik la akak RM . sya suka semua karya akak.

    ReplyDelete
  3. Hati saling merindu...tp knape masin membenci

    ReplyDelete
  4. sebak saya baca Cp.24 ni.. berat je mata.. moga ada bahagia di akhir cerita..

    ReplyDelete
  5. N3 ni sangat menyentuh hati.....sedih sangat dengan apa yg tengah dilalui oleh mereka. RM karya ni mmg terbaik la...

    ReplyDelete
  6. Benjy kn yg dermakn slh satu buah pinggangnya...
    moga nazir insaf sblm semuanya terlmbt...siannya sufi n Benjy

    ReplyDelete
  7. Sis...awak mmg terbaik...selain daripada bahasa hati kita..beast & beauty buat saya tertunggu...menyentuh hati..da best!!

    ReplyDelete