Thursday, April 21, 2016

Sugar? 6

SESEKALI dia senyum pada Nel yang sedikit berjarak.  Telefon masih lagi melekap ke telinga.  Suara dan pesanan mama masih gagah masuk ke pendengaran.
“Ya, mama.  Wahyu jaga diri.  Alaa… bukan Wahyu tak pernah balik lewat.  Wahyu nak pusing-pusing cari barang kejap…” 

“Ya, mama tahu.  Cuma risau bila ayah balik tengok Wahyu tak balik lagi.  Wahyu tahulah ayah tu sekarang macam mana…” 
“Mama cakaplah dengan dia, Wahyu keluar dengan Nel.  Senang.  Lagipun memang betul apa Wahyu keluar dengan dia ni.”  Malaslah nak mencipta alasan.  Memberi pembohongan pada mama. 
Bukan boleh kira.  Haikal tu ramai kaki.  Buatnya ada salah sorang nampak dia dengan Nel, sampai ke telinga Haikal… lepas tu mendarat pada gegendang telinga ayah… lagi pedih telinga dia nanti. 
“Okey, ma.  Tren dah sampai ni…”  Talian diputuskan. 
Dia terus dekati Nel.  “Kita nak gi mana?”  Tadi, dia pun tak tahu Nel beli token untuk ke mana.  Dia ikut ajelah dah alang-alang Nel tekad ponteng kerja.  Dia tak hasut ya. 
“KL Sentral aje…”
“Lor, ingatkan manalah tadi…”
“Hai…”  Nel toleh pada Wahyu sebaik saja mereka sama-sama masuk ke dalam perut monorel.  Mengeluh kecewa nampaknya. 
“…cukuplah tu dulu.  Tak kan awak ingat saya nak bawak awak ke dalam hati saya pulak?”  seloroh Nel dengan senyuman tipis.
“Ish awak ni…”  Wahyu tarik muka.  Rona wajahnya telah berubah.  Bahang tiba-tiba. 
“… saya tak cakap gitu pun, kan?”  Wajah merajuk.
Nel tahan tawa tapi dia biarkan saja.  Sesekali dia kerling Wahyu yang memandang terus ke depan. 
“Pernah naik public transport?” 
“Dah lama tak naik…”  jawab Wahyu jujur. 
“…ini pun lepas tiga belas tahun tak?” 
“Wah… memang daripada zaman sekolah dah pakai kereta ke apa?  Tak pun jangan cakap awak ada driver?”  telah Nel.  Dia tekup mulut dengan mata yang bulat.  Sengaja dia buat wajah terkejut. 
“Saya sekolah asrama penuh daripada tingkatan satu sampailah habis SPM.  Lepas masuk U, ayah bagi kereta…”  Dia ingat lagi.  Masa tu ayah dah berjaya.  Dengan bantuan Dato’ Seri Hamdan yang pastinya.  Bapak pada Si Haikal.
Dia berkeras nak dok asrama.  Ayah tak bagi.  Dia nak guna pengangkutan awam.  Pun ayah larang.  Sudahnya, ayah sediakan sebuah kereta siap dengan driver dan kerana tak nak ada driverlah, dia pilih untuk memandu sendiri.  Tidaklah nampak macam puteri sangat. 
“Cik Wahyu?”  panggil Nel.  Jauh tu mengelamun.  Mana lagilah Wahyu terbang ni. 
“Ya?”  sahut Wahyu menoleh pada Nel.  Terkebil-kebil pada lelaki yang sedang ukir senyum itu. 
“Mana lagi awak sampai ni?  Mana awak pergi?  Sedangkan saya ada dekat awak…”  ujar Nel separuh berbisik. 
Wahyu telan liur.  Dia ketap bibir.  Nel ni bergurau… rasa nak terduduk dia dibuatnya.  Sendi dia mudah betul lemah dengan Nel ni.  Haih…
“Eh, Times Squarelah.  Lama saya tak datang,” ujar Wahyu sebaik saja pintu monorel ternganga lebar di stesen Times Square. 
Orang ramai berpusu masuk.  Kakinya terkebelakang beberapa tapak hingga dia rasa bahunya ditahan oleh orang.  Dia langut pandang.  Nel sedang menahan bahunya.  Andai tidak, dia pasti dah terduduk. 
Pintu monorel terkatup rapat.  Wahyu telan liur.  Bila dah lama tak rasa naik pengangkutan awam, dan kena berhimpit pulak… dia benar-benar tak selesa. 
“Cik Wahyu…”  panggil Nel berbisik.
“Erm…” 
“Sini…”  Lengan Wahyu ditarik.  Dibiarkan tubuh gadis itu berdiri di tepi dinding.  Dia nampak Wahyu tak selesa bila mula berhimpit dengan lelaki. 
Nel paut pemegang yang ada di atas kepala.  Dia tahu Wahyu sedang memandang dia tapi wajah yang ada di bawah dagu dia itu, langsung tak dipandang. 
“Encik Nel…” 
“Ya…”  Mata Nel tunduk sedikit. 
Tapi, dahi dia berkerut.  Mata Wahyu sedang berair. 
“Kenapa?” 
Terus Wahyu tunduk.  Menggeleng kecil.  Nel ukir senyum.  Manjanya la hai… kata pernah dok asrama.  Biasa budak-budak boarding school ni tabah dan kental. 
“Nak makan aiskrim lagi tak?”  tanya Nel tiba-tiba.
“Kan dah cakap saya tak suka manis…” 
“Tapi awak suka saya…”  ujar Nel laju.
Wahyu angkat pandangan.  Apa pulak kaitan suka Nel dengan aiskrim.
“Awak bukan aiskrim…”
“Saya tak kata saya aiskrim.  Tapi, saya manis…”  Mata dikenyit. 
Wahyu gigit bibir bawah.  Menahan tawa.  “Ikut hati saya, saya memang nak ketawa kuat ni…” 
“Eloklah.  Saya suka awak gelak tapi awak terus hilang dalam dunia yang entah ada orang temani awak atau tidak…”  sahut Nel penuh makna tersirat.
Dia tak nak dah Wahyu jauh tenggelam dalam memori yang menyakitkan. 
“Encik Nel…”  Wahyu kehilangan kata. 
Kening Nel terjongket.  Bertanya dalam diam.  Tapi, sepatah kata pun tak terbit daripada celah bibir comel itu melainkan Wahyu terus tunduk tak angkat kepala hinggalah mereka sampai di hentian terakhir.
“Sini ada aiskrim sedap…”  ujar Nel sebaik saja mereka melangkah masuk ke dalan NU Sentral.
“Aiskrim lagi…”  Wahyu buat muka.
Nel gelak.  “Okey…okey… silap.  Tapi, sungguh.  Aiskrim dia sedap.  Sangkaya nama kedai dia.  Aiskrim kepala…”
“Kelapa?  Naaa…”  Wahyu geleng kepala tanpa tak sudi.
“Okey.  Kalau gitu, nak pergi mana?  Tengok wayang?” 
Kali ini juga Wahyu menggeleng.  “Pusing-pusing ajelah…” 
“Nanti kali lenguh…” 
Wahyu jongketkan senyum.  Dia kerling susuk tubuh Nel atas bawah.  “Apa guna ada pakwe gagah perkasa macam awak kalau tak boleh nak tampung saya nanti…”  Terus dia menapak mendahului Nel. 
Mendengarkan kata-kata Wahyu, giliran Nel pula gigit bibir menahan ketawa.  Boleh tahan melawan ni.  Dia terus berlari anak mendekati Wahyu dan berjalan seiring dengan langkah itu. 



AKHIRNYA kedai kopi jugaklah mereka duduk menghilangkan lenguh kaki setelah hampir sejam pusing NU Sentral dan KL Sentral.  Memang tahap ketagih Wahyu pada kopi ni menakutkan sungguh. 
“Sedap ke?”  soal Nel seusai menyisip coklat ice-blendednya. 
“Sedap, tapi…”  Wahyu senyum. 
“…sedap awak buat lagi…” 
“Ouch…”  Nel kerutkan dahi.  Memegang dadanya dengan wajah berkerut seribu.  Persis menahan sakit yang bukan sedikit.
“Eh, awak kenapa ni, Encik Nel?”  Wahyu kalut.  Dia seret kerusinya mendekati pada Nel. 
“Sini…ouch…”  Nafas Nel kedengaran berat. 
“Awak sakit kat mana-mana ke?”  Matanya mula mencari sasaran.  Mengharap pertolongan tapi tawa halus Nel matikan segalanya.
“Tertusuk jantung saya dengar awak cakap macam tu tadi, Cik Wahyu…” 
“Awak ni…”  Terus Wahyu tolak semula kerusinya.  Wajahnya ketat. 
Dia mati-mati ingat sakit betul.  Tapi, Nel mainkan dia. 
“Sakit sungguh nanti, baru tahu…”  bebel Wahyu. 
“Kalau sakit nak datang, saya tak boleh sekat.  Itu ujian kan.  Sebab ujian ni datang daripada pelbagai bentuk, masa dan cara.  Semuanya berbeza.  Kita tak boleh nak duga.  Betul tak, Cik Wahyu…”  soal Nel serius.
Wahyu angguk sekali dua.  Betul kata Nel. 
“Kenapa awak tak tanya saya tentang apa yang dah jadi hari tu, Encik Nel?”  tanya Wahyu tiba-tiba. 
Dia yakin sangat, Nel dah lama perhatikan dia.  Nel dah tahu akan apa yang jadi antara dia dan Haikal biarpun dia tak pernah sebut nama Haikal pada Nel. 
“Awak nampak hari tu, kan?” 
Perlahan, Nel jatuhkan kepala. 
“Sebab tu awak bagi saya kek hari tu, kan?  Suruh saya rasa nikmat kemanisan?”
Sekali lagi Nel angguk. 
“Jadi, awak mesti fikir yang saya ni perempuan lemah, kan?  Kalah di depan seorang lelaki?”  Dia tahu Nel akan angguk juga tapi pelik bila lelaki ini menggeleng.
“I won’t judge…”
“Habis tu, kenapa tak tanya?” 
“Saya rasa itu privacy awak.  Dan tentu awak ada sebab sendiri.  Lagipun, kita baru kenal, tak mungkinlah saya tanya…” 
“Betul cakap awak, Encik Nel.  Tak mungkinlah awak tanya.  Tak mungkinlah saya akan bercerita.  Tapi…”  Anak mata Nel dipandang.
Kenapa?  Mata itu nampak begitu tenang.  Wajah itu sentiasa bertunas dengan senyuman tanpa putus.  Seperti sepanjang masa, wajah Nel dihurung musim bunga.  Tiada langsung dingin, panas atau luruh seperti emosinya. 
“Jangan tenung saya, Cik Wahyu,”  tegur Nel. 
“…saya takut perasaan awak nanti terkurung dalam mata saya.  Masa tu, awak tak akan boleh bawa perasaan awak keluar lagi…”

Wahyu terus tunduk.  Hatinya sedang dilanda gempa yang hebat.  

...bersambung

32 comments:

  1. Thank u rm... Xsabar tggu next bab.. Owh.. Sangkaya sedap...

    ReplyDelete
  2. Memanh nel ni manis....hehehehe. tq rm

    ReplyDelete
  3. Amboiii.. wahyu pon dh dijangkiti virus pick up line nel 😉😆😁

    ReplyDelete
  4. Aduhhh..memang nel mulut manissd

    ReplyDelete
  5. Aduh En Nel....sepertinya hatiku juga dilanda gempa yg hebat...

    ReplyDelete
  6. Wow wahyu dah jatuh cinta kat nel ke 😃😃😃

    ReplyDelete
  7. Wow wahyu dah jatuh cinta kat nel ke 😃😃😃

    ReplyDelete
  8. Wahhhhh kita pun dah terjatuh kt awak nel...crita nie jd novel ke RM. Best...

    ReplyDelete
  9. alahai Nel..manisnya dia...tak lama lagi perasaan Wahyu tu akan terperangkap jua ke dlm mata, hati Nel..haiihhh...

    ReplyDelete
  10. Sory lari tajuk jap,tp kak still nak tau Apa jd pada naqiah ngan ariq plisss ehhehe...#cintabiarsajaada

    ReplyDelete
  11. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  12. sweet sgt Nel ni, takut Wahyu terjatuh cinta tanpa sengaja pulak

    ReplyDelete
  13. Jangan tenung saya.... heheehehe
    RM dh tambah kemanisan dalam jiwa saya... heheheh

    ReplyDelete
  14. fuh..dah pandai melawan eh..hebak2

    ReplyDelete
  15. Ayattt swett nawnaw hah😍😍😍

    ReplyDelete
  16. Manis sangat.. sesuai la dgn tajuknya.. 😄😄

    ReplyDelete
  17. Masih menunggu ayat manis RM...Encik Nel dan Cik Wahyu

    ReplyDelete
  18. Slalu mcm ni..ble ada..direct trus bg..ble stop bkurun nk tgu smbung lg..

    ReplyDelete
  19. Bkn mudah tu...idea ni kdg2 turun bak hujan kdg2 kering mcm musim kemarau...

    ReplyDelete
  20. Kak rehan dah tak sambung ke cerita ni? Lelah tunggu.

    ReplyDelete
  21. Bila nk sambung ni huhuhu

    ReplyDelete
  22. sambungan sugar 7 xde kee. huhuhuhu

    ReplyDelete