Tuesday, January 10, 2017

Maghfirah 14

SEBAIK saja melihat ayah keluar rumah untuk ke rumah Pak Suhaimi, Maghfirah kembali ke dapur.  Tersenyum sendiri melihat Ian yang sejak semalam tak sudah-sudah nak gelak.  Gelakkan dia sebab dulang.  Tak pasal-pasal keluar pepatah.  Tapi, pelengkap pepatah itu… hai… hati yang patah pun boleh bercantum balik.
Penawar!  Mungkin benar, Tuhan hantar orang asing ini menjadi penawar.  Dia duduk di atas anak tangga melihat Ian yang sedang mengupas kulit ubi kayu.  Dia tak suruh tapi Ian yang nak buat.  Nak makan bingka ubilah pulak.  Pertama kali dia masak untuk orang lain selain untuk tekak sendiri dan ayah. 

Tapi, ayah selalu cakap sedap.  Malah lebih sedap daripada arwah mak masak.  Gamaknya ayah nak ambik hati.  Tak apa… kita tengok pulak apa encik penawar ni nak cakap. 
“Termenung?” 
Hah?  Maghfirah tegakkan badan.  Dia kelatkan wajah.  Sengaja. 
“Kata orang, awak tu termenung…”
“Haa tengok.  Nak kena pepatah dulang lagilah ni…” usik Ian.
Maghfirah mencebek lebar.  Dia bangkit dan turun ke bawah.  Dicapai besen sederhana besar untuk diletak ubi kayu yang dah siap Ian kupas. 
“Ini besen.  Bukan dulang.” 
Ian ketawa kecil.  “Tak kanlah saya tak kenal besen dengan dulang pulak.  Awak ni la hai…” 
“Manalah tahu.  Terkenan dekat dulang semalam, kan…”  Maghfirah angkat tubuh dan berlalu ke sinki. 
“Saya terkenan dekat awak aje kalau awak nak tahu…”
“Haih…”  Maghfirah cekak pinggang.  “Berapa kali nak cakap, jangan buat kelakar.  Tak kelakar langsung…”
“Eleh… padahal itu nak ketawa…”
“Mana ada.”  Maghfirah tekup mulut.  Dia berpaling ke sinki.  Macam-macam mimik muka dia buat nak menghalang daripada tawanya berderai.  Malulah ketawa kuat-kuat.  Dia mana pernah gelak kuat-kuat. 
“Cepat sikit kupas tu.  Nanti saya nak masak benda lain lagi…”
“Eh, masak apa lagi?  Kata Pak Mansor pergi kenduri?”
“Memanglah ayah pergi, tapi yang ada dengan saya ni nak makan apa kalau saya tak masak?”  Seraya itu dia menoleh.
Ian kenyit mata.  “Terima kasih tak lupakan saya…”
“Gelilah buat muka macam tu…”
“Eh, saya tak kacak ke?  Ini muka yang mampu mencairkan hati mana-mana perempuan…”  Kata-kata Ian mati di situ.
Dia kerutkan kening lebatnya sebelum melarikan pandangan.
Ya, wajah ini mampu mencairkan hati mana-mana perempuan.  Ada yang sanggup lakukan apa saja demi cinta dia.  Malah ada yang buat-buat sakit kerana nak jumpa dia tapi perhatian dia hanya dicuri oleh sepasang mata.  Hati dia hanya mampu dihuni oleh sekeping hati itu.  Hati yang begitu rapuh dah sudah reput.  Hati yang tak mampu dia selamatkan pada akhirnya. 
Hati itu… entah dah tinggalkan dia atau dia yang buat-buat lupa akan adanya hati itu dalam sejarah hidup dia. 
“Ian?” 
Entah bila, Maghfirah sudah tercongok di depan dia.  Ian melarikan anak mata.  Dia pandang ubi yang dah siap dikupas. 
“Saya dah siap kupas.  Masak sedap-sedap sikit eh.  Saya naik atas kejap…”  Dia terus bangkit.  Membasuh tangan ala kadar dan terus memanjat tangga ke atas. 
Bahu Maghfirah jatuh.  Dia tahu masa lalu Ian masih rapat mengekorinya.  Ian tak pernah lupa malah adanya dia, tak mungkin dapat buat Ian lupakan kisah lalu.  Gamaknya, dia bukan penawar buat Ian sedangkan dia mula rasa seluruh hati dan jiwanya kini telah menjadi milik lelaki itu sedikit demi sedikit. 
Dia tahu… Ian ada wanita yang pernah dicintai. 
June!  Dia pernah dengar nama tu.  Pernah atau masih, dia tak pasti. 




PAK MANSOR dah lama terlelap.  Penat membantu Suhaimi menguruskan majlis anak bongsu yang lebih muda daripada anak sendiri.  Biarpun ramai orang pandang dia sinis tapi kerana senyuman Suhaimi, dia sabar.  Kerana janji Tuhan, dia sabar.  Biarlah orang nak mengata, orang tak pernah tahu.  Malah, tak pernah tanya sepatah pun. 
Maghfirah letak selimut atas kaki ayah.  Ayah memang macam ni.  Kena selimut hingga paras pinggang aje.  Tidur ayah tertib.  Seperti jenazah yang sedang qiam.  Tenang dengan helaan nafas yang perlahan.  Dahi ayah dijamah.  Demam ayah dah banyak hari kebah.  Harap tak datang balik.  Dia risau. 
Entah apa yang ayah nampak pada Ian hinggakan ayah pinangkan Ian untuk dia?  Dia nak tanya ayah, tapi kata ayah, “Satu hari, Firah sendiri akan nampak dengan jelas…”   
Entahlah.  Sekarang, masih sangat samar.  Apatah lagi dengan  sikap Ian siang tadi… akhirnya dia perlu mengaku yang dia sedikit cemburu. 
Tuhan… Maghfirah memandang ke atas.  Kemudian tunduk meraup wajah.  Adakah hati ini kembali mencintai?  Jika ya, lindungi hati ini Tuhan.  Moga bila dilukai lagi, akan menjadi sangat tabah.
Airmata terbit di juring mata.  Dia bangkit nak masuk ke bilik tapi langkahnya tertahan bila terdengar suara Ian mengerang.  Tanpa berfikir panjang, Maghfirah terus menapak laju.  Pintu bilik dirempuh.  Lampu dipasang dan Ian didekati.
“I sayang you, June.  Jangan buat I macam ni.  I mintak maaf.  I salah.  June, jangan.  Jangan!”  Mata Ian terbuka bila dirasa ada tangan sejuk sedang meraup wajahnya. 
Bila dia buka mata, dia nampak wajah lain.  Bukan wajah June.  Mata itu nampak berkaca tapi bibirnya nampak terkumat-kamit membaca sesuatu dan sekali lagi, tangan halus itu melekap ke wajahnya.  Diraup lembut. 
Ian sambar tangan Maghfirah.  Dia angkat tubuh dan bersandar lemah.  Peluh membasahi seluruh tubuh.  Baju pagodanya lencun.  Nampak jelas dada bidang.  Dia tarik tangan Maghfirah.  Memaksa wanita itu duduk dibirai katil usang itu. 
“Bila awak masuk?”  Wajah diraup sebaik saja tangan Maghfirah dilepaskan.
“Saya dengar suara awak.  Macam sakit.  Sakit sangat?” 
Ian diam.  Langsung tak pandang Maghfirah.  Semakin hari, semakin terbuka aib sendiri.  Tapi, Maghfirah dan Pak Mansor tak pernah menyoal lebih.  Hanya kali ini, Maghfirah ajukan soalan.  Itu pun ‘sakit sangat’.  Nama June langsung tak meniti pada bibir Maghfirah. 
“Pak Mansor dah tidur?” 
“Ayah tidur dah.  Penat gamaknya.  Awak pun, awal terlelap.  Dah solat belum?” 
Ian geleng.  “Niat hati nak rehat aje.  Kenyang sangat.  Tertidur.”  Dia angkat pandangan. 
“…awak mesti terkejut, kan?” 
“Sikit.”  Maghfirah paksa dirinya senyum.  Biarpun hati sedikit tergores mendengar igauan Ian. 
“…tapi, dah dua tiga kali saya dengar awak macam ni.  Jadi, tak adalah terkejut sangat…”  Saat ini, airmatanya menitis ke pipi. 
“Ini…”  Tangan Ian naik menyentuh pipi Maghfirah.  Titisan air jernih yang setitis itu hinggap pada jari telunjuk kasarnya.
“…kenapa?” 
“Entahlah…”  Terus Maghfirah ketawa.  Ketawa yang dibuat-buat.  Nampak janggal.
“Saya tak buat lawak, Firah.  Jangan ketawa,” tegur Ian.
Tawa Maghfirah padam tiba-tiba.  Dia tolak tangan Ian yang  mahu memegang tangannya.  Bangkit dan memandang Ian.
“Awak mimpi.  Bangunlah solat dulu.  Lepas tu, baru sambung tidur.  Saya keluar dulu…” 
“Firah…”  panggil Ian dengan dada yang berdebar-debar.
“Boleh tak awak temankan saya kejap?”  Pandangan penuh merayu dihantar. 
Pada mulanya, Maghfirah nampak tak sudi tapi demi pandangan mata mata kuyu yang begitu memerlukan itu, dia akhirnya angguk.  Kembali dekati Ian dan duduk di birai katil. 
Tanpa menanti, Ian sandarkan kepala pada bahu Maghfirah. 
“Maafkan saya, Firah.  Saya cakap dekat awak, bahu saya ada untuk awak bersandar andai awak keseorangan.  Rupanya, saya yang lebih perlukan bahu awak untuk saya bersandar.  Maafkan saya…” 
Dan… Maghfirah pejam mata bila dia rasa ada titisan airmata Ian jatuh ke tangannya.  Ian menangis kerana seorang wanita bernama June dan dia tahu, dia tiada tempat dalam hati lelaki ini. 

Ian terima dia, mungkin kerana belas.  Itu yang dia katakan pada diri demi mengelak rasa kecewa di depan hari.  

...bersambung

PS : Jangan speku ^_^

8 comments:

  1. Sian firah tapi lebih sedih perasaan ian...

    ReplyDelete
  2. Alaaaaa sian firah.. smpai bila ian nk terus berahsia.. firah yg byk speku ni 😅 thx RM for the update 🌹🌷💐

    ReplyDelete
  3. firah, janganla cepat sgt mengalah..go firah..akak support you, haha

    ReplyDelete
  4. Makin mengerit hati.....aduh firah, sian dia....
    Risau kena tangkap basah pulak dia org ni....

    ReplyDelete
  5. Ian, tolong lepaskan kelukaan itu..sian kat Firah makan hati..Pak Mansor cptla kawenkan diorg..makin lama makin berani lak si Ian sentuh Firah..hehe

    Zulyati

    ReplyDelete
  6. "PS : jangan speku "

    Eh diaorg dah kawen ke sebenarnya kak?

    -awek cun-

    ReplyDelete