Tuesday, February 06, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 12

ANGIN berpuput lembut.  Sera senyum tipis.  Petang-petang ni taman permainan dekat dengan kedai bunga dia, meriah.  Nak-nak ada pasar malam.  Sempat dia beli apam balik nipis dengan air bandung cincau.  Saja, buat hidangan lepak petang-petang ambik angin setelah penat bekerja. 
Wajah tua di sisinya, dipandang.  “Uncle nampak tak sihat…”  Sejak tadi, dah banyak kali, Uncle Bakri batuk.  Kasar pulak tu. 
“Uncle baik-baik aje.  Sihat-sihat orang tua.  Macam inilah…”  Uncle Bakri senyum. 
“Sera banyak tempahan ke sekarang?” 
Sera geleng.  Straw masih di mulut.  Disedut air perlahan.  “Minggu depan kot.  Auntie Jane ada cakap nak mintak Sera tolong.  Sekarang ni, relaks-relaks ajelah…”

“Kalau gitu, bolehlah uncle order jambangan bunga…”
Tawa Sera terhambur.  Nasib baik tak tersembur air.  Dah kenapa Uncle Bakri tiba-tiba nak order bunga ni?  Bertahun dia kenal, tak pernah pulak Uncle Bakri mintak. 
“Uncle ada majlis apa-apa ke dekat ofis?”  Kotlah ada dinner syarikat ke.  Manalah dia tahu.  Kalau betul, berduitlah dia.
“Taklah.  Dinner tu lambat lagi.  Hujung tahun.  Tapi ini, nak bagi dekat anak teruna uncle tu…”
“Dia suka bunga ke?” 
Uncle Bakri gelak.  “Suka tu tidaklah.  Tapi, biarlah ofis dia ada bunga segar sikit.  Ini tidak.  Kosong aje uncle tengok.  Bila masuk bilik dia, sakit mata…”
“Alaa… lelaki uncle.  Biasalah tu…” 
“Eh, uncle pun lelaki tapi uncle suka bunga…”
Sera ketawa lagi.  “Itu yang membezakan uncle dengan anak bujang uncle tu…”
Giliran Uncle Bakri ketawa.  Gadis ini bijak orangnya.  Ada hati yang tulus dan baik.  Atau boleh ke dia kata, Sera begitu polos.  Ada masa, rasa bersalah dia makin berat bila tidak dia kata yang benar kerana kepahitan itu menghalang segalanya. 
“Boleh ke tak ni buat bunga untuk uncle?”  Senyum pada wajah tua itu kelat. 
“Boleh.  Jangan kata sejambangan, berjambang-jambang pun boleh…” 
“Kalau gitu, uncle hantar orang ambik esoklah.  Agak-agak, bunga apa yang sesuai untuk dia, ya?” 
Sera menggendang tulang pipi.  Tak ada bunyi.  Saja.  Tabiat.  Daripada cerita Uncle Bakri ni, lelaki bernama Bunyamin tu tegas. 
“Bunga tahi ayam, uncle…”  Sera ketawa bila Uncle Bakri bulatkan mata. 
“Sera mainkan uncle ke?” 
Terus Sera angguk.  “Sebab nampak uncle risau sangat.  Tak tahulah risau pasal bunga, atau pasal anak lelaki uncle tu?  Atau uncle ada masalah lain?”  Sera beri tumpuan pada Uncle Bakri. 
“Uncle risau dekat anak-anak uncle aje, Sera.”  Suara Uncle Bakri terhenti.  Dipandang mata bundar Sera. 
“Lebih-lebih lagi Buya,” sambungnya.
Wajah Sera tenang.  Tak syak apa-apa. 
“Sera anak yang baik.  Uncle harap, uncle ada masa yang lama dengan Sera.  Esok-esok kalau uncle tak ada, uncle tak nak hubungan ni putus.  Biarlah kekal sampai syurga…” 
Sera senyum.  Memujuk.  “Tiada apa yang kekal dalam dunia ni, uncle.  Semuanya fana.  Sampai masa, kita kembali ke Pencipta.  Boleh jadi uncle dulu.  Boleh jadi jugak, Sera dulu.  Tentang anak uncle, Sera yakin dia boleh jaga diri dia.” 
“Kalau uncle nak Sera tolong jaga dia?” 
“Jaga yang macam mana?”  Kepolosan Sera terserlah waktu ini.
Uncle Bakri ketawa.  “Sampai masa, uncle harap Sera boleh maafkan uncle…”  bisik Uncle Bakri menutup bicara mereka petang itu.
Sera mahu bertanya lanjut, tapi bila melihat wajah keruh Uncle Bakri, dia telan soalan itu sendiri. 



“APA alasan Sera nak bagi dekat mak su?” 
Soalan itu menyekat ingatannya tentang arwah lelaki yang dia dah anggap seperti ayah.  Dia menyumpah diri sendiri tak henti-henti.  Patutnya dia berkeras dengan Buya.  Dia patut halau lelaki itu pergi daripada kedainya dengan apa cara sekalipun.  Tapi dia, punyai iman yang begitu tipis.  Tadi, sudah tergores sedikit hanya dengan renungan lelaki itu.
Tuhan… apa aku buat ni?! 
Dia baru saja balik daripada balai polis bila mak su memaksa dia ke sana dengan selendang yang herot malah, tangan yang luka.  Ditambah pula dengan rakaman video mak su.  Di sebalik vertical-blind dan tanda CLOSED di kedai, pelbagai perkara yang mak su fikirkan dan itu bukan salah mak su.  Dia ingatkan seketika, tapi tak sangka hingga tertangkap.  Apatah lagi dalam keadaan yang begitu aib. 
Hati mak su dah tentu retak menanti belah dengan sikapnya.  Usai berdoa panjang mohon dikembalikan kekuatan iman, Sera terus buka telekung.  Turun ke bawah.  Mak su nampak tenang di meja makan.  Wajah yang tiada berperasaan.  Memandang dinding yang bercat lime-green di depan. 
“Mak su…”  Takut-takut Sera menyeru. 
Hampir dua meter dia berdiri daripada mak su.  Biasanya, dia akan dekati dengan senyap lantas memeluk tubuh itu daripada belakang.  Tapi hari ini, dia kecut.  Takut. 
“Mak su dah makan?”
Sepi.  Sera telan liur.  Sebak mencekik rengkung tiba-tiba.  Tak pernah dia dan mak su begini.  Ini pertama kali sejak dia hidup dua puluh enam tahun ni.
“Sera… min… min… ta mmm ma… ma… maaf, mmm… mak sss… su…”  Sera gagap dalam sebak.
Tunduk. 
Membiarkan airmata jatuh ke lantai.  Menyesali perbuatan diri.  Mak su melarang, pasti ada sebabnya.  Itu yang sentiasa dia kata pada diri selama ini.  Tapi, silap dia kali ini.  Pesanan itu dia lupa seketika. 
Telinganya tersapa dengan keluhan berat mak su.  Mak su peluk tubuh.  Masih memandang dinding. 
“Kalaulah orang tua Sera ada lagi, mesti diorang kecewa…”
“Mak su…”  Titisan airmata Sera kian lebat mendengarkan kata-kata itu.  Tangisnya juga berubah kasar. 
Kesatnya kata-kata itu mahu ditelan.  Jujurnya, dia tak berapa ingat akan orang tua sendiri.  Dalam memorinya,  hanya ada mak su bila kedua-dua orang tuanya dah pergi semasa dia hanya berumur empat tahun waktu itu. 
“Dua kali, Sera.  Dua kali…”  Nada mak su rendah tapi sebaknya jelas.
“Kenapa Sera tak nak dengar kata mak su kali ni?  Keluarga Bunyamin, bukan keluarga yang baik, Sera.  Keluarga dia dah banyak sakitkan hati kita.  Hati mak su.  Keluarga dia dah renggut bahagia kedua-dua ibu ayah, Sera.  Abang dan kakak ipar mak su.  Bakri rosakkan ibu dan ayah Sera dan sekarang dia hantar anak dia untuk rosakkan Sera.  Sera Sedar tak tu semua?”  Serentak itu mak su menoleh. 
Renungan tajam itu dihiasi airmata.  Jangan kata Sera aje kecewa dia terlebih lagi kecewa.  Salah apa dalam didikan dia hingga Sera begitu mudah lupa.  Dia dah tanam dalam-dalam memori pahit itu tapi kenapa Sera sewenang-wenangnya nak gali sedangkan dia juga dah pesan, usah dekati semua tu. 
“Sera… tak faham, mak su…” 
“Bakri tu dah buat jahat dekat keluarga kita.  Sesuatu yang mak su sendiri tak sanggup nak cakap dekat Sera dan mak su rasa, memang mak su tak akan cakap sampai bila-bila.  Cukuplah Sera tahu yang dia dah buat naya dekat ayah Sera… abang mak su.  Menderitanya ibu Sera… kakak ipar mak su.  Bertahun kami cuba bertahan demi Sera.  Kami cuba lupakan semuanya.  Nak-nak lepas ibu Sera pergi, semua tu bagi kesan dekat kami,  Lagipun orang tua Sera minta mak su pastikan Sera tak tahu apa yang dah pernah jadi atau kenal siapa keluarga Bakri.  Tapi, lelaki tak guna tu, carik Sera belakang mak su dan mak su yakin, itu semua bersebab.  Keluarganya tak akan dekati kita tanpa sebab.  Hanya satu yang mak su nak ingatkan Sera, kotlah Sera lupa…”  Mak su jeda.  Dipandang mata Sera lama dengan airmata yang jatuh berlinangan ke pipi mengenangkan peritnya  ujian satu waktu dulu.  Satu waktu yang tak mungkin dia lupakan. 
“Sera dah lupa apa yang pernah orang cakap tentang ayah Sera dulu?  Sampai Sera balik menangis?  Dan mak su cakap, jangan percaya cakap orang.  Sera dah lupa?” 
Mendengarkan cerita mak su, hati Sera terasa lebur. 
“Kiranya… apa yang Sera pernah dengar dulu tu…  kenyataan?”  Lambat-lambat dia sebut perkataan akhir itu. 
Bila mak su diam, dia terima jawapan itu sebagai ya.  Kerana itukah mak su tak pernah ceritakan tentang Uncle Bakri.  Kerana itukah Uncle Bakri minta dia rahsiakan segala pertemuan daripada sesiapa saja?  Kerana itukah Uncle Bakri bantu dia?  Dan, kerana itu jugakkah Bunyamin mendekati dia? 
Kisah yang dah lebih dua puluh tahun itu?  Yang dia sendiri dah lupa sebenarnya jika mak su tak ingatkan hari ini. 
Tuhan… Sera menerpa pada mak su.  Memeluk erat tubuh itu dan sama-sama menghamburkan tangis.  Dia tak tahu.  Andai dia tahu…
“Ampunkan Sera, mak su.  Sera tak tahu.  Sera menyesal buat mak su sedih.  Ampunkan Sera…”  Saat ini, dia sudah jatuh melutut di kaki mak su.  Memeluk betis itu erat dalam tangis yang kian bersahutan. 
Tangan mak su naik menyentuh kepala Sera.  “Kamu satu-satunya yang mak su ada, Sera.  Bahagia kamu, bahagia mak su.  Tapi, untuk biarkan Sera dipergunakan oleh keluarga Bakri dan sekarang, anak dia… mak su tak akan benarkan!” 
Jujurnya, saat mula-mula dia tiba di kedai bunga itu petang tadi, dia dah nampak apa yang tak sepatutnya.  Lama dia berdiri mengintai di balik vertical-blind itu.  Dia yakin, Sera cuba pujuk Buya pergi.  Vertical-blind itu dipasang demi melindungi Buya daripada pandangannya.  Tapi, yang merobek hati, apabila pandangan mata Sera pada Buya adalah pandangan yang tak pernah Sera lemparkan pada mana-mana lelaki.
Pandangan yang mula dihiasi sayang.
Pandangan yang telah berputik dengan cinta.
Jangan, Sera… hati seorang ibu menjerit kuat tapi dia tahu, satu hari nanti bila Sera merayu, tiada apa yang mampu buat dia bertahan. 

6 comments: