Tuesday, February 06, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 14


SEMALAMAN dia tak tidur.  Disiapkan semua pesanan Auntie Jane dalam satu malam.  Biarpun habis jari-jemarinya luka, Sera teruskan juga.  Setelah dia turun daripada grab-car lepas menghantar bunga pada Auntie Jane, dia terus ke balai polis.  Berat kaki nak menapak.  Seumur hidup, tak pernah lagi dia jejakkan kaki ke tempat sebegini tapi sekarang, dah dua kali. 

Sebaik saja dia dekati kaunter, seorang pegawai perempuan menyapa sopan. 
“Err… saya nak jumpa…”
“Tahanan?” 
Perkataan itu membelah telinga Sera bagai belati yang tumpul.  Sakitnya tak mampu ditahan.  Tapi, dia hanya angguk. 
“Siapa ya, puan?”
“Bunyamin.” 
Dua minit, pegawai wanita tersebut kembali memandang Sera.  Senyum mesra.  “Bunyamin bin Bakri ke?” 
Sera angguk. 
“Bunyamin dalam proses bebas dengan ikat jamin.  Pegawai kami sedang uruskan kes tu, puan.  Kejap lagi, dia akan keluar.  Apa kata, puan duduk dulu, ya?”  pinta pegawai tersebut.
Syukurlah… hati Sera menangis, lega. 
“Tapi, puan.  Boleh saya tanya satu soalan?”
“Silakan…”
“Kes dia tu, kira selesai ke, macam mana?” 
“Kes itu masih dalam siasatan, puan.  Dia cuma bebas dengan ikat jamin lepas disoal siasat.  Kami akan panggil dia semula untuk sebutan kes dan kalau sabit kesalahan, dia akan dihukum mengikut akta yang telah ditetapkan…”
“Penjara?”  Laju Sera menyoal.
Pegawai wanita itu senyum.  “Boleh jadi, puan.”
“Macam mana nak elak semua tu, ya?”
“Err… mungkin puan boleh pujuk pengadu tarik balik kes?”  Haih… serba-salah pulak pegawai tu nak jawab. 
Lama Sera menyepi.  Meramas jari-jemari sendiri.  Ini, kalau mak su tahu… lagi meletup.  Tapi, nanti cakap ajelah Buya bayar peguam paling handal.  Buya kan banyak duit.  Itu lagi logik.  Mak su mesti terima. 
“Kalau saya nak gugurkan kes, macam mana proses dia?” 
Pegawai tersebut memandang wajah Sera lama.  Hai… mangsa sendiri datang merayu untuk membebaskan tertuduh?  Tak semena, pegawai itu senyum sendiri. 
“Puan yakin nak gugurkan kes?”  soalnya.
Sera angguk. 
“Kalau gitu, sebagai mangsa puan boleh gugurkan kes.  Saya akan check report puan dulu dan lepas tu, kita akan terus gugurkan atas permintaan yang membuat laporan,” ujar pegawai tersebut.
Sekali lagi, Sera tarik nafas lega. 
“Puan duduk dulu, ya?”
“Erm… terima kasih…”  Langkah kaki di bawah ke kerusi yang berdepan dengan kaunter.  Menanti penuh debar. 
Hampir lima belas minit, akhirnya… wajah itu.  Dengan pakaian sama pada dua hari lepas. Malah, rambut yang begitu kemas selama ini begitu berserabai.  Hujung bibirnya nampak merah.  Darah ke?  Wajah itu juga nampak kotor dan comot.
Dengar cerita, dalam tahanan reman macam ni, tahanan akan bergaduh sesama sendiri.  Entahlah.  Dia tak tahu.  Boleh jadi itu cuma khabar angin.  Tapi, wajah Buya… Sera angkat tubuh.  Melangkah mendekati Buya dan bila melihat kedua belah tangan yang bergari itu… dia tekup mulut.  Pergelangan tangan Buya merah dan lebam. 
“Sakit?”  soalnya seraya cuba memegang tangan itu tapi tertahan bila ada mata yang memandang. 
“Tak sesakit saya tahu awak menangis sebab saya, Sera…”  Tak payah dia cerita lebih kerana Sera mesti boleh agak siapa yang sampaikan berita. 
Airmata yang mahu menitis, Sera seka.  Dia cuba senyum biarpun otot wajahnya mengeras.  Tangan yang mahu menyentuh tangan bergari itu dipandang oleh mata kuyu Buya.  Dahi lelaki itu berkerut lebat melihat luka halus dan kesan calar-balar itu.
“Awak luka lagi, Sera…”
“Saya terpaksa luka…”
“Kenapa?”
“Kalau saya tak siapkan semua tempahan Auntie Jane, saya tak boleh keluar hari ni,” jawab Sera lembut.
Wajah Buya yang keruh, beransur jernih.  
Tak boleh keluar hari ni?  hailah hati… kenapa berbunga tiba-tiba.  Bila dia dapat baca maksud di sebalik kata-kata Sera.  Tak siap tempahan, tak boleh keluar.  Tak boleh datang sini. 
Tempahan Auntie Jane, memanglah kerja.  Tapi, separuhnya adalah alasan.  Untuk datang pada dia. 



SEPERTI yang dia pinta, segalanya telah disusun rapi.  Sebaik saja keluar daripada balai, Rizman dengan Zul sudah sedia menanti.  Mata dikenyit pada Zul dan teman baiknya itu hanya jongket sebelah kening. 
“Sera, awak kena ikut saya kejap…”
“Tak boleh,” bantah Sera laju. 
“Saya kena balik.  Nanti mak su saya syak bukan-bukan.  Lagipun, saya tak nak jumpa awak dah lepas ni.  Ini kali terakhir.  Saya tak boleh…”
“Awak bukan tak nak?  Tapi, tak boleh?”  duga Buya.
Sera tahu, Buya sengaja mahu menjerat dia lagi sekali.  Menolak dia dalam lubang serba-salah hingga dia tertimbus sekali lagi.  Kali ini, tak akan! 
“Tak boleh dengan tak nak, sama aje pada saya, Encik Bunyamin.  Tolonglah saya.  Kali pertama dan terakhir saya mintak tolong pada lelaki yang bukan sesiapa pun pada saya.  Melainkan ayah dia pernah tolong saya.  Itu aje.  Jangan ganggu saya lagi.  Jangan datang jumpa saya lagi.  Saya tak nak mak su saya terluka…”
“Awak risau mak su awak terluka, sebab tu awak tak nak jumpa saya?”  Sekali lagi, Buya memasang jerat. 
Nafas pendek dilepaskan.  Sera tenangkan hati.  Berdepan dengan lelaki seperti Buya, dia perlu tenang dua kali ganda daripada sebelumnya.
“Mak su adalah segala-galanya.  Awak bukan sesiapa.  Tak penting untuk saya risau dan jaga hati awak,” tempelak Sera pula.
Sengih senget Buya tersungging pada hujung bibir.  Memang nampak Sera berkeras kali ini.  Berkali-kali mengulangi perkara sama.  Dia bukan sesiapa.  Dia bukan sesiapa.  Tak penting pun perasaan dia.  Okey.  Kita tengok, penting ke tak lepas ni. 
“Saya ada benda nak cakap dekat awak, Sera.  Penting…”
“Tapi, saya tak nak.  Saya dah cakap semua yang saya nak cakap.  Bukan sekali, tapi dah jadi ayat berulang.  Lagipun, saya tak banyak masa.  Kalau Encik Bunyamin boleh tumpangkan saya sampai ke kedai, saya yakin saya akan gunakan masa tu untuk cerita semua A sampai Z tentang satu hubungan lama yang saya sendiri baru tahu…” 
Melihat pada ketegasan Sera kali ini, tidak dapat tidak Buya hanya angguk.  Setuju.  Dia isyaratkan Zul masuk di depan bersama Rizman.  Dia buka pintu pada Sera tapi gadis itu berlalu ke pintu sebelah sana.  Dia menggeleng sendiri.  Sukar betul nak telah sikap Sera sekarang. 
Tak kan dalam beberapa hari aje Sera sudah berubah langsung sedangkan dia tahu sejak pertama kali, gadis ini ada debar padanya.  Biarpun sedikit. 
Kereta bergerak perlahan meninggalkan kawasan balai polis.  Buya pandang Zul dalam rear-mirror.  Temannya itu jongket kening.  Kemudian dia toleh pada Sera, serentak itu gadis itu juga memandangnya.
“Boleh saya cakap sekarang?”  tanya Sera.
Buya angguk beberapa kali. 
“Tak kisah depan kawan-kawan awak?”  Yang dia maksudkan adalah Zul dan orang kanan Buya yang dia masih ingat dengan jelas wajahnya.  Tapi, dah lupa nama. 
“Tak apa.  Diorang berdua dah macam adik-beradik…”
“Okey.  Lepas saya cerita ni, saya harap Encik Bunyamin tak datang carik saya lagi.  Lupakan segalanya biarpun nama saya termasuk dalam wasiat Dato’ Bakri.  Jangan datang jenguk saya.  Saya dah pernah cakap, saya boleh jaga diri…”  Sera mulakan bicara. 
“Makna kata, pengakhiran cerita ni saya dah tak boleh jumpa awak?  Gitu?”
“Ya,” sahut Sera ringkas. 
“Kalau gitu, biar saya dulu cakap dekat awak apa yang saya nak cakapkan.” 
Zul menghulurkan satu sampul surat berwarna coklat cerah pada Buya dan lantas sampul itu disua pada Sera.
“Bukaklah.  Baca.  Dan, awak tahulah kenapa cerita kita tak boleh berakhir begitu saja sedangkan saya baru mula merangka plot.  Hanya sempat masuk prolog.  Saya nak kita sudahkan dengan beberapa episode epilog.  Tapi, cepat sungguh awak nak tamatkan.  Biarkan cerita ini tergantung,” ujar Buya penuh makna. 
Dahi Sera berkerut.  Setiap kata-kata yang dia himpun sejak dia tahu kebenarannya, dia telan sendiri.  Surat itu dikeluarkan.  Dibuka lebar.  Barisan demi barisan dibaca dan dia mengucap panjang.
“Apa ni?”  Dia pandang Buya.  Tak faham dia.
“Arwah daddy bukan hanya minta saya tolong dan jaga awak, tapi lebih sebahagian daripada harta daddy, dia wasiatkan untuk seorang gadis.  Gadis itu adalah awak.  Sera Nur binti Sarifudin.”
“Ya Tuhan…”  Sera menggeleng berkali-kali.  Dia harap sangat dia silap membacanya. 
“Awak nak lepaskan semuanya?”  tanya Buya perlahan. 
Dia renung sisi wajah Sera dalam-dalam.  Menanti jawapan.  Jawapan seperti mana gadis itu luahkan sebelum ini.  Mahu lepaskan segalanya.  Tapi dia yakin sesuatu…
“Saya tak tahu…”  Kepala Sera menggeleng beberapa kali.
Buya lepas nafas.  Tepat apa yang dia jangka.  Dia pandang Zul yang menoleh sedikit. 
Plan B. 

4 comments: