Wednesday, February 07, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 16


SENYUM Sera lebar bila rezeki hadir lagi mengetuk pintu kedai bunganya.  Wajah Auntie Jane dipandang dengan ucapan terima kasih yang tak terhingga. 
“Auntie betul nak bagi saya uruskan semua ke?” 

“Yes, my dear.  Auntie memang nak bagi Sera.  Anak auntie tak sihat.   I can’t make it on time.  Kiranya, Sera siapkan semua tempahan termasuk plan event tu, the rest auntie akan uruskan.  Setiap bayaran auntie akan bagi Sera enam puluh percent.  Okay?” 
“Eh, banyak sangat tu, auntie…” 
“Eh, don’t worry, my dear.  Itu tak banyak.  Memang pun banyak yang Sera buat.  Auntie cuma take part as a event manager.  Silap-silap hari tu Sera jugak yang kena datang tolong auntie.  Again, my dear.  I’m so sorry.  Benda nak jadi, kan… auntie harap Sera tak serik…”  Riak risau tergambar jelas pada wajah Auntie Jane.
Manalah tahu, permintaan dia telah menyekat perniagaan Sera.  Tapi, apa nak kata.  Selama dia kerja dengan Sera, gadis ini begitu tekun dan ikhlas menyediakan tempahannya. 
“Jangan risaulah, auntie.  Saya dah biasa.  Auntie bagi saya job ni pun dah sangat elok dah.  Thanks to you, auntie…”
“Okay, my dear.  Kalau macam tu, auntie balik dulu.  Ada appointment dekat hospital ni.  Sera siapkan on time, okey?” 
“Sure, auntie.  Jangan risau.”  Mata dikenyit sebelum Auntie Jane hilang melepasi pintu kedainya.
Sera hela nafas lega.  Tarik kerusi.  Duduk.  Memandang beberapa bakul bunga segar yang baru saja Auntie Jane hantar.  Termasuklah sejambak bunga lily putih.  Dia tarik sekuntum.  Memandang lama pada bunga itu, teringat Buya yang dah banyak hari tak muncul.  Eloklah macam tu.  Dia yang meminta.  Cuma, dia tak nak Buya pergi bersama fikiran yang negatif tentang dia.  Harta itu, bukan milik dia.  Satu masa, dia akan pulangkan.  Cuma, bukan sekarang.  Mak su terlalu berkeras tentang itu. 



RAYUAN demi rayuan, langsung tak berbekas pada mak su.  Sera dah buntu.  Ayat apa lagi yang perlu disusun untuk memujuk mak su?  Entahlah. 
“Itu bukan hak Sera, mak su…” 
“Siapa cakap?  Kalau nak kira, patut dia bagi semua pada Sera.  Itu pun, mak su tak puas hati lagi…”  Marah mak su meluap-luap. 
“Habis tu, mak su nak apa untuk buat mak su puas hati?  Harta, kita dah dapat.  Uncle Bakri pun dah tak ada.  Ayah dengan ibu pun tak akan hidup balik.  Mak su nak apa lagi?”  Kecewanya Sera dengan mak su.
Sampai hati mak su.  Selama ini, mak su yang ajar dia untuk redha dengan segalanya.  Tapi, kenapa sekarang macam ni pulak? 
“Memang abang dan kakak ipar mak su tak akan hidup balik.  Memang Bakri dah tak ada.  Tapi, mak su tak nak anak dia terus dekat dengan keluarga kita.  Sera ingat dia akan senang-senang lepaskan semua harta yang dah bapak dia bagi dekat Sera?  Sera percaya dia ikhlas terima wasiat bapak dia tu?”
“Mak su curiga dengan Buya?”   Soalan Sera, tak ubah seperti menolak telahan mak su ke atas Buya. 
“Bukan takat curiga, Sera.  Tapi, mak su tak percaya langsung!”  jawab mak su keras. 
“Mak su…”  Hati Sera mengeluh sendiri. 
Sukar untuk dia terangkan pada mak su.  Buya tak seperti yang mak su sangka.  Malah, semasa dia tandatangan surat itu, Buya hanya senyum.  Seperti lega bila amanah yang dipikul selama ini dah terlunas.  Dah lepas daripada bahu.  Selebihnya, dia tak nak fikir yang buruk-buruk tentang orang. 
Susah sangat ke mak su nak nampak semua tu?
“Dia ikhlas, mak su…”
“Ikhlas?”  Tercengang mak su dibuatnya dengan kata-kata anak saudara sendiri.  Berlapis kerutan pada dahi dengan kata-kata Sera. 
Cenduai apa yang dah Buya calit pada Sera hinggakan anak buah dia ni percaya bulat-bulat pada Buya? 
“Apa yang Sera tahu tentang manusia bila Sera sendiri tak kenal dia?” 
“Sera cuba kenal dia, mak su.  Dia tak macam yang mak su fikirkan.”  Sera terus meningkah. 
Mak su tergelak kecil.  “Jadinya, Sera memang dah percayalah dekat dia?”
“Bukan sampai tahap percaya, mak su,” nafi Sera biarpun itulah hakikatnya.  “Tapi, Sera tak ada sebab untuk syak dia bukan-bukan…”
“Sebabnya ada dalam wasiat tu, Sera.  Itu penyebab utamanya.  Sera tunggulah satu hari bila kata-kata mak su ni, terbukti.  Tapi, buat masa sekarang… mak su nak Sera terima semua pemberian Bakri.  Itu keputusan mak su.  Melainkan Sera dah tak sayang mak su, Sera boleh buat ikut suka hati Sera!”  putus mak su dan terus masuk ke bilik.
Sera terduduk di atas sofa.  Memicit kepala sambil memandang salinan wasiat itu.  Membacanya berkali-kali.  Harta itu bukan sedikit.  Jutaan ringgit.  Tapi, kenapa dia tak tenang menerimanya? 



DAH banyak hari dia menyepi.  Ingatkan Sera tertanya tentang beritanya namun langsung tiada khabar daripada gadis ini.  Hari ini, dia rendahkan ego sendiri.  Datang lagi ke kedai ini biarpun dia pernah dihalau pergi.  Melihatkan Sera yang termenung sambil merenung lily putih itu, Buya dekati meja.  Tarik kerusi dan duduk.  Namun, kehadiran dia langsung tak mengusik lamunan yang sudah begitu larut nampaknya. 
“Renung bunga tu, bukan boleh makan pun…” 
“Hah?  Selamat datang.  Boleh saya…” 
Kening Buya terjongket.  Matanya merenung wajah Sera yang sudah kematian kata bila menatap wajahnya. 
“Kenapa renung bunga tu lama sangat?  Sampaikan saya masuk pun, awak tak sedar…  bahaya tu.”  Buya tarik kuntuman lily itu daripada tangan Sera.  Giliran dia pula merenung.
“Atau pandang lily ni, nampak macam saya?  Gitu?”  Mata Sera direnung tajam.
“Err… saya nak mula kerja.  Saya tak terima pelanggan hari ni…” 
“Oh, okey… sekarang saya dah jadi pelanggan.”  Buya mencebek lebar.  Menyindir.  Dia letak lily tersebut atas meja.  Memandang bunga yang ada di depan mata. 
“Banyak kerja?” 
“Ya.  Sebab tu saya tak boleh terima pelanggan.  Ada tempahan khas yang nak kena siap minggu ni…”  Sekali lagi Sera ulang yang dia tak boleh terima pelanggan. 
Pelanggan yang dimaksudkan adalah lelaki di depan dia sekarang ni.  Harap sangat Buya faham dan berlalu pergi tanpa membuat onar hari ini.  Cukuplah sekali dia tengok Buya bergari.  Hati dia seperti disiat hidup-hidup.  Sakit yang tak mampu dia luahkan dengan kata-kata. 
Matanya sesekali jatuh pada tangan Buya.  Kesan itu masih nampak sedikit.  Tak letak ubat ke? 
“Pelanggan tu… saya ke, Sera?” 
“Sesiapa saja sebenarnya.  Selain saya, orang lain adalah pelanggan.  Saya tak ada kawan…”
“Habis tu, lelaki yang datang jemput awak dekat rumah saya malam tu?  Bukan kawan?”  Mata Buya mengerling pada Sera yang nampak gamam. 
“Teman lelaki gamaknya…”  tambah Buya menyindir. 
Baru dia teringat akan Rizqi.  Dah banyak hari Rizqi keluar negara atas urusan kerja.  Patutnya malam tadi dah balik.  Ini masih senyap tanpa khabar.  Letih gamaknya. 
“Dia kawan saya.”
“Tadi, kata tak ada kawan…”  Buya pandang wajah Sera yang nampak terkulat-kulat dengan ekor mata.  Nak halau dia, cakap ajelah terus-terang.  Tak payah berlapis.  Dia tak biasa. 
“Encik Bunyamin!”  seru Sera sedikit tegas.
Lemas dia dihimpit dengan pelbagai prasangka Buya.  Dia tak tahu apa tujuan Buya kemari.  Kata-kata mak su dan keyakinan sendiri sedang bertingkah tak sudah-sudah. 
“…saya tak tahu awak datang jumpa saya lagi kenapa.  Padahal saya dah cakap dah, jangan datang jumpa saya lagi.  Mak su saya tak suka.  Tak kan awak nak masuk lokap lagi sekali?  Awak tak serik ke?”  tanya Sera bertalu-talu. 
“Serik?  Setakat lokap, kena tumbuk sedas dua, tidur atas simen… apalah sangat Sera.  Saya tak pernah kisah dengan semua tu.  Yang saya nak tahu sekarang, tak kan sebab kebencian mak su awak tanpa sebab tu, awak pun nak buang saya sama?”
“Mak su tak suka awak, bukan tak bersebab, Encik Bunyamin.  Semua berlaku dalam dunia ni, ada penyebabnya.  Penyebab yang rasanya, tak perlulah awak tahu.  Saya pun nak lupakan semua yang dah jadi.  Sejak awak datang sini, hidup saya dah jadi tunggang-langgang.  Semua benda tak berjalan dengan lancar.  Saya nak kembali ke asalnya.  Tanpa awak, tanpa segalanya…”
“Tanpa wasiat itu jugak?”  soal Buya tajam. 
Sera telan liur.  Benar gamaknya tanggapan mak su.  Tak mudah Buya nak terima wasiat yang begitu tak adil.  Andai dia pun, dia akan meroyan.  Langsung tak usaha apa-apa, tiba-tiba dapat duit jutaan ringgit.  Dalam sekelip mata. 
“Jadinya, awak tak puas hati tentang wasiat tu?”  teka Sera.  Manalah tahu syak wasangka mak su itu memang ada asasnya. 
“Tak…”  Buya geleng.  Laju menafi.   “Itu kehendak daddy.  Tiada siapa boleh larang.”
“Habis tu, tak puas hati saya terima?”  Sera masih tak puas hati. 
“Pun tak.  Itu hak awak nak terima atau tidak.  Saya tak boleh tentukan apa-apa.  Cumanya satu yang buat saya rasa saya berhak…” 
Wajah Sera berlapis kerutan.  Dia pandang Buya.  Menanti bicara lelaki itu selebihnya. 
“…saya berhak tahu, kenapa awak tak suka saya, Sera?”
Hah?  Bahu Sera jatuh.  Itu ke yang Buya nak katakan?  Dia menggeleng kecil dan tersenyum janggal. 
“Mak su saya…”
“Saya tak kisah mak su awak, Sera.  Saya nak jawapan awak…”
Mata bundar Sera dan kelopak mata kuyu Buya beradu pandang.  Sera langsung tak alih renungan.  Begitu juga Buya. 
“Mak su saya tak suka awak,” jawab Sera.  Memberikan jawapan yang serupa biarpun berjuta kali Buya menyoalnya.
Buya tergelak.  Menggeleng berkali-kali.  Kesalnya dengan jawapan Sera. 
“Kalau gitu, awak kena sabar sikit, Sera.  Selagi semua proses wasiat tu belum selesai, kita tetap akan jumpa.  Lepas semuanya dah selesai, masa tu awak boleh buat keputusan sama ada nak buang saya jauh atau nak saya ada dekat dengan awak.  Masa tu, saya hormat semua yang awak nak…”  Lantas, Buya terus bangkit. 
Tapi, tak sempat dia merapati pintu kaca tersebut, suara halus Sera menghentikan langkahnya.  Dia menoleh sembilan puluh darjah.  Memandang ke susunan bunga.  Tidak terus pada gadis itu biarpun dia tahu, sisi wajahnya sedang ditenung dalam oleh Sera. 
“Tangan awak dah okey?”  Mata Sera jatuh pada pergelangan tangan yang baru Buya selak.
“Ini?”  Kedua-dua belah tangannya diangkat dan digoyang di depan Sera. 
Kesan lebam itu masih ada.  Memakai gelang besi buat pertama kalinya kerana gadis ini, memang sesuatu yang luar biasa pada dia. 
“Kenapa?  Nak tolong saya letak ubat?” 
“Sakit?”  tanya Sera sambil melangkah mendekati Buya.
“Tak sesakit awak tolak saya, Sera…” 
Liur ditelan.  Sedaya-upaya Sera cuba abaikan kata-kata Buya.  Dia tak akan biarkan  hatinya terpedaya. 
“Lebam tak hilang.  Padahal dah dua tiga hari.  Awak tak letak ubat gamaknya.  Sebab tu susah nak hilang sakit tu…”
“Saya cuba mintak ubat tu daripada awak, Sera.  Tapi, susahnya awak nak preskrepsikan ubat tu untuk saya setiap kali saya mintak.  Macam mana saya nak sembuh?”  Sekali lagi, Buya melemparkan rahsia di sebalik setiap bicaranya. 
“Encik Bunyamin…”  Sera merapatkan kedua-dua matanya.  Nafas berat dilepaskan. 
“Sini… saya dah beli first-aid simpan dekat kedai…”  Tangan Sera menarik lengan Buya.  Meminta Buya duduk di kerusi tadi. 
Kemudian, first-aid kotak saiz sederhana dibuka.  Sebotol minyak angin dan cotton-ball dikeluarkan.  Disapu perlahan.  Sambil meniupnya.  Dalam kepalanya, masih jelas terbayang Buya yang begitu selekeh dengan tangan bergari.
“Jangan sampai bergari macam hari tu, Encik Bunyamin.  Tak sampai hati saya tengok…” 
“Kalau awak tak sampai hati, kenapa awak tolak saya dalam keadaan macam tu?” 
Tangan Sera terhenti daripada terus menyapu minyak panas.  Dia simpan kotak first-aid.  Duduk di depan Buya.  Tak faham sebenarnya apa yang Buya mahu sampaikan. 
“Awak tolak saya, saya terus datang sini.  Esok-esok, akan tertangkap oleh mak su.  Masa tu, saya sekali lagi akan diheret ke balai polis atas tuduhan cuba nodai awak.  Sedangkan awak tahu, saya tak buat semua tu.  Saya datang sini, demi awak, Sera.  Sejauh mana awak tolak, sedekat itu saya akan rapat.  Atau, awak sebenarnya tak nampak apa yang saya cuba sampaikan?  Tak rasa apa yang saya sedang rasa?”  Mata kuyu Buya turut sama berbicara.  Harap Sera faham. 
“Saya bukan tak faham, Encik Bunyamin.  Tapi, saya tak nak faham.  Sebab tu saya tak bagi awak datang sini lagi.  Saya tak tahu apa yang mak su boleh buat lagi bila dia nampak awak dekat sini.  Saya sendiri dah jenuh bagi alasan sampaikan saya dah tak tahu nak bagi alasan apa.  Saya sayang mak su saya.  Dia adalah segala-galanya ada saya…”
“Dan awak tak sedar, awak adalah segala-galanya pada saya sekarang, Sera Nur…”  pangkas Buya.
Sera kaku. 

19 comments:

  1. adoi....Buya ni nk main2kan perasaan Sera ke? kalo betul2...xpe. kalo saja nk bals dendam...you play with a fire Buya..haha.
    kang terbakar diri sendrik.

    ReplyDelete
  2. aduhai buya..kesian nya awak..kesian sangat dgn sera..

    ReplyDelete
  3. teringat dekat iklan yg pernah RM up pasal Buya menyesal..hmmm..x sabar..

    ReplyDelete
  4. Jgnla percaya sera..

    ReplyDelete
  5. jangan la mainkan perasaan orang buya

    ReplyDelete
  6. Buya ni la..haih...kejam tul 😢😢😢😢...tq sis rehan

    ReplyDelete
  7. Buya cube cucuk jarum..! jgn nnt diri sndiri yg tercucuk... :|

    ReplyDelete
  8. Aduiii tersepitnya seorang Sera Nur

    ReplyDelete
  9. Buyaaa.. Kau main dengan api Buya. Sakitnya Sera nanti, kau yg lebih terluka!

    ReplyDelete
  10. uih Buya...jgn bermain dgn api...nnt terbakar diri sendiri....

    ReplyDelete
  11. Iyaka buya??
    Buya. Jangan main2 kan hati sera, dia xsalah, maksu tak salah..hopefully ini cerita bahagia...huarghhh xlarat nak nampak sefih2 ni

    ReplyDelete
  12. manisnya ayat Buya...saya yg celaru Buya masih dlm Plan dia @ betul²

    ReplyDelete
  13. Mesti frust giler si sera klu tahu buya ayat dia sbb "plan B"

    ReplyDelete
  14. Mesti frust giler si sera klu tahu buya ayat dia sbb "plan B"

    ReplyDelete
  15. kenapa akak rasa mcm mak usu rasa...Buya mmg jahat orgnya...mengunakan kepolosan diri Sera...utk mengambil balik harta arwah ayahnya..apa sebenarnya yg ayah Buya dah buat pada keluarga ini...

    ReplyDelete
  16. Sampai hati buya... cakap perkara yg X betul hanya sbb Xnk harta keluarga jatuh ke tgn org luar.. tanpa siasat hakikat sebenar 😓😟 thx RM for the update 🌹🌷

    ReplyDelete