Wednesday, February 07, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 17

SEDANG elok aje Buya keluar, pintu kaca kedainya ditolak orang.  Wajah Rizqi tersembul.  Tersengih dengan sejambak bunga lily buatnya.  Sera senyum dengan helaan nafas lega.  Andai Buya tertangkap pulak oleh Rizqi, dia tak jamin Rizqi tak syak apa-apa. 
“Baru teringat dekat kau, Riz…” 
“Teringat ke… rindu?”  Sengaja Rizqi meleretkan kata.

“Sama ajelah tu.  Aku ingat semalam lagi kau nak datang jumpa aku.  Tengok-tengok hari ni dah nak balik, baru kau muncul…” 
“Aku penat, Sera.  Letih gila.  Itu yang tidur aje.  Aku bangun ni pun sebab mimpi pasal kau rindu aku sangat.  Sebab tu, awak bawak ni…”  Jambangan lily itu disua pada Sera.
Pemberian yang buat Sera tergelak.  Rizqi ni, setiap kali bersua setelah lama tak berjumpa, harus ada sejambangan bunga.  Paling tidak, sekuntum.
“Kau tengok, Riz… dalam kedai aku ni, banyak bunga.  Termasuklah aku.  Kau masih lagi bawak bunga…” Tapi, huluran Rizqi disambut juga.  Dipeluk perlahan. 
“Hey, bunga dalam kedai kau, untuk orang lain.  Itu, aku beli untuk kau.  Khas untuk kau.  Jangan kau jual pulak…”  Rizqi sengih.
Dia dah biasa begitu.  Dia juga makin dalam tenggelam dalam perasaannya pada Sera.  Dia juga tahu, Sera sudah tahu tentang hatinya namun sengaja Sera buat tak tahu.  Gamaknya, mahu menjaga persahabatan yang sudah bertaut begitu lama.  Tapi, siapa boleh menduga hari esok.  Jika benar dia dan Sera berjodoh.  Tak perlu bercinta sekarang.  Mereka akan bercinta kemudian. 
“Ini aku tengok banyak sangat ni, kau dapat tempahan khas ke?”  Rizqi belek gubahan yang dah siap.  Tapi, masih banyak lagi yang belum siap. 
“Ha’ah.  Kau kenal kan?  Auntie Jane…” 
“Oh, Florist Jane yang famous tu?  Yang kau selalu ambik stok dekat dia, kan?” 
Sera angguk.  “Dia dapat projek mega.  Dia bagi aku buat sikit.  Semua dah siap.  Ini, sebab anak dia tak sihat, dia mintak aku buat semua.” 
“Kisahnya… ini yang kau kerja macam tak ingat dunia ni, ya?”  usik Rizqi.
“Eh, kalaupun aku tak ingat dunia, aku masih ingat kau…”  Sera mencebek lebar. 
Berbual dengan Rizqi, rasa lapang sikit dada yang menyempit dengan asakan demi asakan soalan oleh Buya. 
“Kau dah pergi rumah aku, Riz?”
“Pergi.  Aku ingat nak tunggu kau dekat rumah aje.  Tapi, mak su cakap kau mungkin lewat.  Itu yang aku datang sini.” 
“Mak su ada cakap apa-apa?” 
Mata Rizqi juling ke atas.  Menyusun beberapa pesanan yang telah mak su berikan untuknya. 
“Dia pesan berkali-kali untuk aku tengok-tengokkan kau…” 
“Itu aje?”  Sera nampak tak puas hati dengan jawapan Rizqi. 
Mata Rizqi tunak memandang Sera.  “Kau ada masalah ke, Sera?”  Tiba-tiba, soalan itu diusul.   
“Kenapa kau tanya gitu pulak?”
“Entah.”  Bahu sasa Rizqi terjongket. 
“Aku dapat rasa sejak mak su kau suruh aku pergi ambik kau dekat rumah besar tu hari tu lagi, memang ada masalah timbul.  Aku tanya Naz, tapi Naz pesan jangan fikir bukan-bukan.  Lepas tu, tadi mak su kau pesan untuk tengok-tengokkan kau.  Bukan sekali tapi berkali-kali dia bagi pesanan sama.  Lagilah aku syak kau memang ada masalah.  Ada orang kacau kau ke?”  Wajah mendung Sera direnung dalam-dalam. 
Entah-entah, lelaki itu…
“Lelaki tu ke?”  duga Rizqi. 
“Eh, tak adalah, Riz.  Macam Naz pesan, jangan fikir bukan-bukan.”  Senyuman Sera bertunas.  Tapi, terbantut. 
“Aku tak nak fikir, Sera… tapi, entahlah.  Tak sedap hati betul.”  Rizqi bangkit.  Dirapati Sera.  Kedua-dua belah tangannya mendarat pada bahu Sera.  Menepuknya perlahan.
“Kau… kalau ada masalah, bagitahu aku.  Jangan simpan sorang-sorang.  Aku tak suka.  Paling tak pun, kau cakap dekat Naz.  Nanti, Naz boleh sampaikan dekat aku.  Okey?”  pinta Rizqi dalam senyuman.  Saja dia mengusik Sera.
Bibir Sera mencebek. Kemudian gelak kecil sambil menolak tangan Rizqi.  Suka sangat bergurau.  Kan dah cakap, mujurlah dia ada kawan seperti Rizqi.  Perasaan Rizqi padanya, sukar untuk dia balas tapi andai dipinta janji sebuah persahabatan… dia akan lunaskan tanpa banyak cerita. 
“Riz, tolong aku…”  Sera menceber pada bunga-bunga yang masih belum dipotong.
“Oh, inilah masalah kau sebenarnya, ya?  Tak ada orang nak tolong.  Haih…”  Tapi, Rizqi capai jugak gunting.  Membantu Sera memotong apa yang patut. 



MELIHAT layanan Sera pada lelaki itu dan dia, bezanya langit dan bumi.  Dia tahu, itulah lelaki yang sama yang menjemput Sera malam itu di rumahnya.  Andai mereka tak rapat, macam mana Sera boleh percaya lelaki itu menjemputnya tengah-tengah malam buta.  Dan sekarang, main senyum-senyum siap dengan gelak tawa pulak. 
Dengan dia, Sera lebih banyak diam.  Wajah Sera sentiasa berkerut.  Mata Sera, selalu nampak berkaca-kaca.  Jangan kata nak ketawa, nak senyum pun ada masanya Sera paksa saja.   Memang nampak tak rela bila dia ada depan mata. 
“Boleh kita gerak, bos…”  soal Rizman. 
Dah setengah jam Buya masuk kereta tapi mereka masih di sini.  Memerhati ke dalam kedai.  Tambah pulak ada lelaki lain masuk ke kedai dan ketawa bahagia.  Dia tak nak ada pertumpahan darah pula di sini.  Buya ni boleh tahan jugak pandai berlawan.  Jangan kata Judo, Muay-Thai pun Buya pernah belajar. 
“Kejap, Man…” 
Fuh… Rizman lepaskan nafas.  Risau pulak dia tengok bos sehari-dua ni. 
Mata Buya terus tunak merenung Sera yang tergelak-gelak.  Apatah lagi melihat lelaki itu membawa jambangan lily dan Sera menerima lantas memeluknya erat. 
Sera Nur!  Hati Buya menjerit kuat.  Terasa pilu dan ngilu. 
“Kita balik, Man,” ajak Buya tiba-tiba.
“Okey, bos…” 
Humvee itu bergerak perlahan meninggalkan kawasan tersebut.  Buya sepi.  Tak berkata apa.  Kemudian, dia pejamkan mata.  Wajah dan gelak tawa Sera berubah menjadi tangisan dan airmata.   Sebaik saja dia muncul di depan gadis itu.



BIBIR Sera nampak bergetar.  Macam nak kata sesuatu.  Buya renung bibir merah itu.  Dipujuk sabar.  Dia nak dengar kata-kata yang bakal terbit daripada celah bibir Sera setelah dia katakan, gadis ini adalah segala-galanya pada dia sekarang. 
“Boleh tak Encik Bunyamin pergi sekarang?” pinta Sera tak semena. 
Buya tunduk.  Jelas, Sera halau dia lagi biarpun dia begitu rendahkan ego sendiri dalam meluahkan rasa pada gadis ini. 
“Kali ini, saya betul-betul tak akan kisah kalau awak dok mengerekot kesejukan atas lantai lokap.  Saya memang tak akan kisah lagi sebab dah berbuih mulut saya pesan dekat awak.  Jauhi saya.”  Sera terus bangkit. 
Namun, lengannya pantas dilelar oleh tangan Buya yang turut sama bangkit.  Gadis itu menoleh.  Memandang Buya tajam.  Merentap tangannya. 
“Dan, jangan sentuh saya!  Saya tak suka!”  Jari telunjuk Sera lurus pada wajah Buya memberi amaran.  Dekat pada hidung mancung milik lelaki tampan itu. 
Menerima amukan Sera, Buya hanya diam.  Tak apalah dia mengalah dulu.  Mengalah bukan beerti dia kalah.  Dia akan menang satu hari nanti.  Menang dalam miliki segalanya.  Termasuk hati dan jasad Sera.  Itu janji dia pada diri sendiri. 
“Saya balik dulu, Sera.   Ada masa saya datang lagi…”
“Tak, jangan datang,” larang Sera.  Tak puas hati.   
“Saya tak nak tengok muka awak lagi.  Tolonglah faham.  Saya tak nak timbul masalah lagi dengan mak su saya.  Susah sangat ke awak nak faham?”  Nada suara Sera dah separa menjerit. 
Senyuman tersungging pada hujung bibir Buya bila Sera menyoal.  Dia angguk dua kali.  Dia faham sangat.  Sejak awal.  Tapi, dia jugak faham yang Sera ada perasaan padanya.  Dia cuma nak Sera mengaku.  Itu aje.
“Kalau tak boleh datang, saya call awak.  Boleh?  Dengar suara saja, tak tengok muka… mungkin kurang sikit rasa benci awak tu pada saya…”
“Saya tak benci awak…”  Lemahnya jiwa saat ini.  Sera hampir mengalah.  Pandai-pandai aje Buya ukur akan rasa yang ada dalam diri dia pada lelaki ini. 
“Ya, saya tahu.  Awak risau dekat saya.  Saya faham tu.  Saya balik dulu.  Awak pun banyak kerja.  Oh ini…”  Buya goyangkan tangan dia di depan Sera.
“Terima kasih…”  Senyuman tipis koyak. 
Buya tolak pintu kaca.  Nafasnya serasa begitu berat.  Langkahnya kian rapuh.  Entah bagaimana lagi dia harus lakukan demi memenangi hati Sera agar sepenuhnya menjadi milik dia.  Hanya dengan itu, segalanya akan berjalan lancar. 

Dia toleh belakang.  Mata bundar itu masih memandangnya.  Buya senyum dan melambai lantas berlalu ke kereta.  

15 comments:

  1. Ok buya, apapon aku tak kisah asalkan kau jujur dengan sera..ishhhh, aq geram la dengan hang ni buya, hang xsama macam hero2 rM yang lain tapi hang misteri dia aq tak taula..
    Tak taula buya oi..aq xkidah sgt pasai hang , aq lebih risaukan sera dari hang.hmmmm

    Please layam sera baik2 eh. Kbye 😊

    ReplyDelete
    Replies
    1. sabar... jgn kena sindrom hero ke2 pulak.. kekeke

      Delete
    2. Haha kakkk, emo betul eh saya semalam..huhu still team buya kak.. Xde lagi nak tukar team riz or sesapa..hehe

      Btw tq kak untuk penulisan ni..alhamdulillah saya enjoy baca, yg lain pon for sure

      Delete
  2. Mana la sera nk lyn ko buya oiiii..perkenalan awal pn ko dh garang n takutkan sera...jlau ikhlas dgn sera xpela..jgn nnt plan mkn tuan sudah la..tq sis rehan...

    ReplyDelete
  3. Aduihhh...geram plk kt Buya. Tp sian pun ada. Cmne nih.?

    ReplyDelete
  4. Cik SeraNur,,,,bukakanlah hatimu,,,,En Buya,,,bersabarla sikit,,,papun,,karya karehan mmg meletop la,,,,

    ReplyDelete
  5. Macam biasa tetap terbaik.tk sbar tunggu smbungan.tanks rm

    ReplyDelete
  6. Macam biasa tetap terbaik.tk sbar tunggu smbungan.tanks rm

    ReplyDelete
  7. Penampakan lagu Menang by Faizal Tahir disini.

    >>k<<

    ReplyDelete
  8. Seperti selalunya karya RM, kak menanti sambungannya...terima kaseh.
    ~ Aminah AR

    ReplyDelete
  9. ada agenda lain si Buya ni, jangan main2 Buya

    ReplyDelete
  10. cer upah Private investigater dan siasat latarbelakang keluarga Sera dan apa pertalian mereka ngan arwah ayahnya..walaupun lawyer ayahnya tidak mahu beritau..sbb marahnya mak su bukan sedikit tapi selaut pun tak dapat nak menyejukkan hati mak usu walaupun dia tahu bapanya da meninggal

    ReplyDelete
  11. Aduhaiiiii bila buya nk sedar ni? Bukan hanya sera yg jd mangsa nti buya oiiiii... sekali hilang kepercayaan sera.. seumur hidup pon blm tentu blh dptkan kembali 😟 thx RM for the update 🌹🌷

    ReplyDelete