Friday, February 09, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 19


KERETA berhenti tepat di depan pagar rumah Sera.  Naz pandang dia.  Rizqi juga.  Sera resah.  Dia tahu, pelbagai soalan muncul dalam kepala dua orang kawan baiknya sekarang.  Tapi, dia tak berdaya nak bercerita tentang Buya malam-malam buta ni.  Dia benar-benar nak lupakan segala apa yang dah jadi antara dia dan Buya.  Nak anggap itu mimpi ngeri.  Tak nyata. 

Kalau dicerita pada Naz dan Rizqi, segalanya akan meleret.  Dia mahu letak tanda noktah.  Bukan lagi koma atau titik bertindih.  Dia mahu kehidupannya kembali seperti sedia kala. 
“Korang nak pandang aku atau nak balik ni?”  soal Sera sinis.
Naz kerling pada Rizqi.  Rizqi mencebek.  Nak mengelak.  Tahu sangat dah perangai Si Sera ni.  Kalau ada benda yang tak nak cakap, nada Sera memang akan pedas berdesip. 
“Aku tak nak balik selagi aku tak tahu apa yang dah jadi…”  Rizqi peluk tubuh bersandar pada Honda Civic silver miliknya. 
“Yup.  Aku jugak…”  Naz menokok.  Menyokong kata-kata Rizqi. 
“Guys, serius.  Dah lewat malam.  Kalau aku tahu korang hantar aku balik lepas tu, nak soal aku macam-macam, baik aku balik sendiri tadi…” 
“Seraaaa…”  Suara Naz dan Rizqi berpadu serentak. 
“Kami ni kawan kau.  Risau.  Nak-nak bila ayat kau lain macam aje bila cakap dalam telefon tadi.”  Seboleh-bolehnya Rizqi pujuk Sera berterus-terang.
“Sera, aku tahu ada  yang tak kena.  Kalau tak, tak kan kau petik nama Riz tadi dalam kereta?”  Naz menyambung.  Matanya tajam merenung Sera.  Nampak sangat Sera ada sembunyikan sesuatu daripada mereka berdua. 
“Benda tak ada apa, korang.  Serius.  Aku dah lupa semua…”  Biarpun dia tahu dia sedang tipu diri sendiri.  Diri sendiri.  Masih boleh terima.  Bukan orang lain. 
“Maksudnya, memang adalah.  Kalau tak ada, kau nak lupakan apa.  Betul tak?” 
Mata Rizqi dan Naz dipandang silih berganti.  Dua orang ini ajelah teman  yang dia ada hingga mati rasanya.  Ini adalah kawan yang mak su luluskan.  Malah, dia juga percayakan dua orang ini seperti percaya pada diri sendiri.  Cumanya, tentang hal Buya… terlalu sukar untuk dia terangkan.
Arwah Uncle Bakri.  Arwah orang tuanya.  Dendam lama.  Kisah lalu yang dia baru tahu.  Wasiat.  Duit berjuta.  Hingga membawa pada perasaan Buya padanya.  Perasaan yang dia risau, itu hanya rasa yang tak perlu wujud pun dalam hati Buya.  Tapi, Buya sengaja paksa atas kehendak orang tua. 
“Kau nak cakap ke tak?”  tanya Naz mengejutkan Sera yang nampak termenung sendiri. 
“Susah aku nak cakap, guys…”
“Make it simple, Sera,” giat Rizqi pula.
Liur ditelan.  Sera toleh ke pintu sesekali.  Risau mak su muncul tiba-tiba macam hari tu.  Naya aje dia.  Memanglah dengan Rizqi dan Naz.  Tapi, topik mereka ini tentang orang yang mak su tak suka.  Kebencian mak su pada keluarga Buya hinggakan nak dengar nama lelaki itu pun, mak su tak sudi.  Bernanah telinga.
“Kau kenal kan Uncle Bakri?” 
Naz dan Rizqi angguk.  Mereka juga tahu, jutawan itu dah tiada lagi. 
“Dia ada anak…”
“Lepas tu?”  Naz tak sabar.
“Bunyamin nama dia.” 
“Yang aku pergi jemput kau dekat rumah Uncle Bakri tu, dia ada dengan kau malam tu?”  Rizqi pula menyusun soalan.
Sekali lagi, Sera angguk.  Mengiyakan pertanyaan Rizqi. 
“Masalahnya?”  Dahi Rizqi kian berkerut.  Tak sabar memanti patah bicara Sera. 
“Mak su tak suka dia…”  Sera memulakan bicara.  Menamatkan dengan seringkas mungkin. 
Cukuplah Naz dan Rizqi faham.  Dia tak perlu nak bercerita hingga tindakan dan kata-kata Buya padanya.  Biarlah menjadi rahsia dia sendiri buat selamanya. 
“Masalahnya, nak sekat dia datang jumpa aku.  Itu yang aku buntu.  Sebab tu aku petik nama Riz.” 
Naz merenung Sera dengan renungan yang sukar untuk Sera tafsirkan.  Dia rapati Sera bila Rizqi sudah berlalu ke pintu pemandu.  Tangan Sera dipegang.  Tadi, dia hanya berdiam diri bila Rizqi memujuk Sera.  Kini, dia mahu katakan sesuatu yang boleh jadi Sera dah tahu atau sengaja buat-buat tak tahu.
“Aku tak rasa Buya dekat dengan kau semata-mata sebab wasiat arwah daddy dia, Sera…”
“Maksud kau?” 
“Kau memang faham apa yang aku nak cakap ni.  Betul tak?” 
Dahi Sera berkerut.  Membalas pandangan Naz.  Tak angguk.  Tak juga menggeleng.  Dia tak nak Buya disakiti lagi.  Naz tak tahu, betapa peritnya hati melihat Buya digari.  Semuanya kerana dia tak mampu mengatakan kebenaran. 
“Aku memang tak faham, Naz.  Tapi, apapun… yang kau fikirkan tu adalah tak betul.  Aku memang tak nak apa-apa.  Aku pujuk mak su untuk pulangkan semuanya pada dia.  Lepas tu, aku akan hidup macam biasa…”  tegas Sera.  Sejak itu, dia tak pernah tenang.  Sejak hari dia tahu tentang wasiat itu.  Sejak dia sign semua dokumen.  Hati tak lapang. 
Genggaman tangan dibalas kemas.  “Aku perlukan sokongan kau dengan Riz, Naz.  Aku tak nak benda buruk jadi lagi.  Dekat sesiapa pun…”  pinta Sera lembut.  Senyuman tawar terukir.  Payah.
Akhirnya, Naz angguk.  Setuju dengan berat hati.
“Tapi, tentang apa yang kau syak tu… Riz tak boleh tahu…”
“Yalah.  Aku tahu tu.  Aku tak cakap,” janji Naz. 
Senyuman bertukar.  Sera menghantar kepergian Naz dan Rizqi dengan lambaian.  Hati dia resah sebenarnya.  Buya nampak seperti seorang lelaki yang berpegang pada kata-kata sendiri.
Putih pilihannya, maka putihlah. 
Tapi, dia mahu memilih warna lain.  Warna yang berbeza daripada lelaki itu.   Warna apa saja.  Janji tak serupa. 



ENJIN kereta dihidupkan.  Lega bila dia nampak dengan mata kepala sendiri Sera dah selamat masuk ke rumah.  Hampir sepuluh minit dia tiba di rumah Sera, barulah dia nampak sebuah kereta berhenti di depan pagar.  Bila Sera turun, diikuti dengan seorang perempuan dan lelaki, hati dia dipagut cemburu juga. 
Padahal dia dah katakan pada Sera perasaannya pada gadis itu namun masih ada lelaki lain yang mendekati.  Tapi, apa nak kata.  Sera bukan berdua-duaan.  Sera bertiga.  Benarlah kata Sera.  Yang ketiga antara gadis itu dan Rizqi adalah manusia.  Tapi, yang ketiga dengan dia adalah syaitan.  Kerana itu dia begitu tertarik melihat bibir merah basah milik Sera tempoh hari.
Sudahnya, sehari meringkuk dalam lokap.  Mujurlah Zul berjaya memujuk Sera hadir ke lokap melihat keadaan dia.  Dia nampak sebunya pandangan Sera.  Dia nampak mata Sera tak lepas meratah wajahnya yang selekeh.  Jatuh pada pergelangan tangan yang bergari. 
Mata Sera basah masa tu.  Andai bukan kerana rasa asing dalam hati, mana mungkin Sera begitu.  Dia… cuma perlukan sedikit lagi usaha.  Sedikit saja lagi. 



BARU saja keluar daripada bilik air, pintu bilik diketuk.  Sera tahu itu mak su.  Dah lewat.  Dia pandang jam.  Dah lebih tengah malam.  Mak su tak tidur lagi.  Dia masuk rumah tadi, dah gelap.  Ingatkan mak su dah dibuai mimpi. 
“Kenapa mandi tengah-tengah malam ni?”  soal mak su sebaik saja dia masuk ke dalam bilik.  Memandang anak buahnya yang sedang mengeringkan rambut. 
“Badan lekit.  Tak boleh nak tidur nanti.”  Sera labuhkan duduk di atas bangku meja solek.   “Sera ingat mak su dah tidur?” 
“Dah.  Tapi terjaga tengok jam dah dekat pukul dua belas tapi Sera tak balik lagi.  Itu yang bangkit.  Sera balik dengan siapa?”
“Dengan Riz dan Naz.  Diorang tolong Sera dekat kedai hari ni.  Riz cuti.  Naz half-day.  Lepas tu, diorang ajak makan sama.  Sera ada bagitahu mak su, kan?” 
“Erm…”  Mak su angguk lemah.
Memang Sera ada bagitahu.  Tapi, risau seorang ibu mana mungkin diketepikan.  Tambah pulak dia tahu ada yang sedang memburu anak buahnya yang seorang ini. 
“Mak su nak tanya Sera satu benda ni…” 
Sera diam.  Berhenti daripada mengelap rambut.  Sepenuh tumpuan dituju pada mak su.  Dia dah dapat agak sebenarnya apa yang mahu mak su katakan dan dia juga dah sediakan jawapannya sejak dia buat keputusan itu lagi.
“Mak su tahu Sera pergi batalkan report pasal Bunyamin.”   
Sera angguk.  Tunduk.  Memandang jari-jemari runcingnya.  Kuku yang sedikit rosak tak sempat nak dirawat.  Kesan calar yang Buya katakan, masih nampak jelas. 
“Kenapa?” 
Sepatah soalan mak su, buat mata Sera basah.  Dia dah buat mak su sedih lagi gamaknya.  Teruk betul dia!  Kepala diangkat.  Menentang mata mak su yang nampak lembut pandangannya seperti biasa tapi kekecewaan dalam dada, siapa  yang tahu. 
“Sera mintak maaf sebab tak bincang dengan mak su dulu.  Tapi, Sera ada sebab sendiri…”
“Sebab yang Sera cakap tu, mak su nak tahu…” 
Sera bangkit.  Mendekati mak su dan duduk di sisi wanita itu. 
“Mak su tahu kan, kita tak ada apa.  Rezeki kita hanya rumah ni dan kedai bunga tu.  Itu pun Sera sewa.  Kita tak ada harta, pangkat.  Jauh sekali kuasa, mak su.  Yang ada hanya hati yang reda, tawakal dan rasa syukur atas segala yang telah Tuhan berikan.  Kita bahagia berdua selama ni.  Memang salah Sera sebab sembunyikan daripada mak su tentang pertolongan arwah Uncle Bakri dulu.  Arwah yang mintak dan Sera tak fikir bukan-bukan langsung.  Apa yang dah jadi, Sera tak nak fikir apa-apa.  Sera tak nak dendam atau membenci.  Yang dah jadi, biarlah.  Sekarang, tak perlu kita nak terikat lagi dengan keluarga jutawan tu kerana hal tu…” 
Ya, hal yang dia maksudkan bila dia sendiri hampir membiarkan Buya mengucup bibirnya.  Dia hampir hanyut dengan renungan mata kuyu Buya. 
Tuhan… malunya. 
Mata Sera terasa suam.  Dia pandang lagi mata mak su. 
“Kalau kita biarkan dia terus dalam lokap, siapa boleh jangka yang pihak dia tak akan ambik tindakan pada kita.  Sebab tu, Sera pergi batalkan report.  Kita fitnah dia sebab hari tu, Sera pun salah.  Lagi satu, mak su...”  Liur ditelan.
Tak pastilah adakah saat ini masa yang sesuai untuk dia bicarakan tentang wasiat itu.  Andai mak su tak nak mereka terus berkait dengan Buya, elok dia lepaskan segalanya.  Selama ini, dia tak kebulur.  Dia masih boleh hidup dengan bahagia. Cukup segalanya. 
“Sera nak pulangkan semua duit tu?”  duga mak su.  Tak payah Sera ungkapkan dengan kata, riak Sera dah begitu jelas berkata-kata. 
“Kita pulangkan, ya mak su?  Itu bukan hak kita…”
“Itu hak Sera.  Hak orang tua Sera yang Bakri dah belot dulu.”  Bulat mata mak su menolak permintaan anak buahnya kering-kering. 
Pegangan tangan Sera ditolak sedikit kasar.  Mak su bangkit.  Merenung Sera tajam. 
“Kenapa Sera nak pulangkan?” 
“Sebab memang bukan hak Sera, mak su.  Sera tak usahakan semua tu.  Sera tak nak.  Lagipun, kalau mak su nak kita betul-betul bebas daripada Bunyamin, itulah cara terbaik, mak su…”    Teringat kata-kata Buya tempoh hari.  Mereka akan terus bertemu atas urusan itu.  Sekarang, semuanya bagai dah selesai tapi hakikatnya tidak! 
Buya masih datang dan rasanya tak akan berhenti begitu saja. 
“Tak, mak su tak setuju yang tu.  Keputusan nak serahkan harta dia pada Sera adalah keputusan Bakri.  Kita tak mintak.  Kita terima aje dah itu wasiat dia.  Sera jaga tu semua baik-baik.  Mak su tak nak sesen pun.  Sekali lagi mak su tekan.  Itu hak Sera.  Ingat tu!”  Jari telunjuk mak su lurus tepat pada wajah Sera.  Lantas, berlalu pergi.
Daun pintu bilik Sera dihempas kuat. 
Bahu Sera terhinggut sedikit.  Terkejut dengan sikap mak su sekarang.  Dia tahu mak su tak mahu duit itu tapi dia juga sama.  Dia juga tak nak semua tu.  Dia cuma nak lepas daripada Bunyamin sekarang.  Dia bimbang, andai satu hari… dia yang pergi menyerah diri pada lelaki itu. 
Saat itu, tiada apa yang mampu menghalang lagi. 

13 comments:

  1. Serah je la semula harta tu sera..
    Sedangkan sera boleh lepaskan buya tanpa persetujuan mak usu, kenapa penyerahan harta ni jadi tak boleh pula?
    Itu kalau betul sera mahu buya jauhkan diri la..
    kalau x mahu, jgn rasa tersepit bila buya terus menghimpit.

    Noriatul

    ReplyDelete
  2. Lau serahkan pn..pasti ke buya akn jauhkan diri..buya kn dh terpikat dgn sera..huhuhuhu...bertabahla sera lyn buya yg sewel sbb cinta tu..huhuhu...tq sis rehan

    ReplyDelete
  3. Bila serah kan harta tu baru la sera tahu himpitam buya tu ikhlas atau kerana plan B..
    Please be smart sera, dont make ur hati lead your akal

    Noriatul

    ReplyDelete
  4. Serah hati je la sera... Dapat semua

    ReplyDelete
  5. Takpe, nanti jadi duit bersama , untuk anak2 jugak..yedok sera, hehe

    Buya dah fikirkan semua tu,hahahahahah, nanti tak kemana pon duitnya. Anak awok bedua kan😜
    Optimist trhadap keberjayaan hubungan ini haha

    ReplyDelete
  6. kenapa mak su x bagi sera serah semula harta tu?..
    kenapa sera x bgtau mak su psl buya kejar dia?..
    kenapa...kenapaaa....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yes.. sera perlu beritahu mak su why dia perlu pulangkan duit tu. Atau mak su rela anak sedara nya itu terus dikejar buya?

      Delete
  7. Kenapa saya sorg yg nmpk buya x ikhlas ni hahahaha ��

    Noriatul

    ReplyDelete
    Replies
    1. mulanya mmg la x ikhlas kn....tp lama2 jatuh hati....harta tu harta la....tp perasaan hati ni lain....cewaahhhh...

      Delete
  8. Hmm... isu hati ni klu dh terjatuh.. mmg Xblh nk kawal lg 😅 thx RM for the update 🌹🌷

    ReplyDelete