Wednesday, February 21, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 22

SEMALAM, syukurlah mak su benar-benar dah lena.  Andai tidak, dia memang akan dihukum.  Sera raup wajah.  Apalah tak kena dengan dia.  Apalah yang ada pada Buya hinggakan dia tak mampu berbuat apa bila lelaki itu mendekati.  Lain yang dia rancang, lain pulak yang jadi. 

Tuhan… aku tak patut macam tu! 
Atau pun dia juga seperti Buya.  Ada rasa ingin dicintai oleh lelaki itu dan mahu sentiasa ada dekat dengan Buya.  Lena dalam pelukannya.  Jaga disambut kucupan hangat lelaki itu. 
Tangan Sera terus bekerja.  Nafas dilepas perlahan.  Dihela dalam dan dilepaskan lagi.  Sesekali mata mengerling pada jam di pergelangan tangan.  Casio ini dah lama menemani perjalanan dia.  Dah hampir tiga tahun.  Masih lagi setia dan kukuh.  Masih lagi tabah berjalan bersamanya menyusuri masa. 
Sesekali, dia toleh ke pintu.  Dah hampir tengah hari.  Gamaknya, Buya tak sempat datang.  Lelaki itu mesti sangat sibuk menguruskan segala peninggalan arwah Dato’ Bakri.  Memikirkan perkara itu, tangan lincah Sera terhenti.  Termenung lama.  Benarkah seperti kata mak su? 
Tapi, Buya langsung tak usik tentang wasiat arwah.  Atau boleh jadi, mak su yang paranoid sendiri kerana kisah lalu?  Dia tak boleh jugak tuding jari pada mak su.  Mak su begitu kehilangan saat dia tak mengerti apa-apa.  Patutlah mak su simpan rasa curiga pada seluruh keluarga Buya. 
“Betul ke dia nak aku sebab harta tu?  Atau dia betul-betul suka aku?”  Wajah Sera berkerut sana-sini cuba mencari jawapan.
Telahan mak su dan pengakuan Buya, kedua-duanya meresahkan.  Dia menggeleng berkali-kali.  Risau sungguh dia akan hati sendiri.  Tak nak fikir semua tu.  Dan sekarang, dia harap sangat Buya tak jadi datang.  Biarlah lelaki itu terus sibuk sepanjang hidup.  Dia tak boleh.  Benteng pertahanan dia sedang mahu runtuh ni. 
Namun, bila loceng pada pintu berdenting… wajah Sera berkerut.  Dia pejam mata rapat untuk beberapa ketika.  Harap yang masuk itu adalah orang lain.  Atau paling tidak pun, Rizqi dan Naz.  Tapi, Riz sibuk hari ni.  Naz juga sama. 
Mata dibuka.  Sera toleh ke pintu.  Wajah itu tersenyum tipis.  Nampak penat. 
“Tak nak cakap selamat datang?”  Kening Buya terjongket sebelah. 
Bahu Sera jatuh.  Tangan yang bekerja, terhenti. 
“Awak dah selamat masuk pun,” balas Sera dingin.
Dahi Buya berlapis kerutan.  Hai… semalam lain macam aje angguk.  Semua boleh.  Itu boleh, ini boleh.  Patut semalam dia ajak Sera kahwin terus.  Tentu Sera angguk.  Lepas tu, dia rakam buat bukti.  Agak-agak Sera berubah hati, dia ada bukti. 
“Tak suka saya datang?” 
“Bukan tak suka.  Saya banyak kerja…”
“Semalam kan awak kata okey…”  Rasa kecewa menyelinap dalam dada Buya.  Layanan Sera pada dia dan Rizqi beza sangat.
Gamaknya, dia memang tak pernah diundang dalam diri Sera.  Yalah.  Entah mana muncul, tiba-tiba mengaku suka.  Tambah pulak, dia tak tahu hubungan Sera dan Rizqi sejauh mana biarpun Sera kerap katakan mereka hanya kawan. 
“Semalam tu…”  Kata-kata Sera meleret.  Apa ya dia nak bagi sebagai jawapan ni? 
Dia terpukau?  Argh… tak!  Dia tak akan izinkan hatinya terpikat dengan lelaki ini.  Mak su tak suka. 
“Awak takut saya apa-apakan awak, kan?  Sebab tu, awak angguk aje.  Langsung awak tak percayakan saya, kan?  Betul tak?”  duga Buya bila Sera hanya memakukan kata-kata di situ. 
Dia masih berdiri tegak.  Memandang Sera yang duduk di meja.  Bersama susunan bunga yang belum digubah. 
Sera tak menjawab.  Sebaliknya, dia bangkit.  Menolak bangku di depan Buya.  Menghantar isyarat agar lelaki itu duduk di situ.  Sejak tadi berdiri tegak macam patung cendana. 
“Saya mintak maaf,” pinta Sera tiba-tiba. 
Entah kerana apa tapi lidah dia ringan untuk mintak maaf daripada Buya.  Dia mendongak pada jasad tinggi Buya. 
“Duduklah…”
Buya pandang bangku itu sebelum kembali memandang Sera.  “Betul awak nak saya duduk?  Kalau tak, saya boleh pergi.  Lagipun, hari ni saya ada masa dalam sejam lebih aje. Datang untuk tunai janji saya…”
Mendengarkan kata-kata Buya, Sera menyepi.  Duduk.  Menyusun bunga-bunga di depannya.  Kisah di sebalik bunga ni, terlalu banyak untuk dia ceritakan.  Buya yang tiada masa untuk dengar semua itu.  Tanpa sedar, bibir Sera mengukir senyum sendiri. 
“Dah makan?”  soalnya tanpa memandang lelaki itu.
Dahi Buya berkerut.  Betul ke dia dengar soalan daripada Sera ni?  Atau pendengaran dia kian lemah.  Sebab tu dia dengar soalan aneh daripada bibir comel tu? 
“Errr… awak tanya saya, kan?” 
Dah Buya buat muka pelik pulak?  Apa yang aneh dengan soalan tu?  Ini yang malas nak tanya soalan ala-ala ambik berat ni.  Buya tak percaya.  Sera menjeling Buya daripada ekor mata. 
“Saya tanya diri sendiri…” 
Gelak Buya lepas.  Dia tarik bangku dan terus duduk.  Sedikit jauh daripada Sera. 
“Serius awak tanya saya?”
“Eh, saya tanya diri sendiri,” selar Sera menahan geram. 
Tadi, kata ada sejam aje.  Ini nak buat drama, dah kenapa?  Buang masa?  Suka dia menyindir. 
“Habis tu, diri sendiri tu dah makan belum?” 
Sera diam.  Tak menjawab.  Jujurnya dia pun belum makan.  Nak keluar rumah tadi, minum susu aje segelas.  Nanti mak su bising tak sentuh makanan langsung daripada rumah. 
“Saya pun belum makan.  Pagi pun tak sempat sentuh apa-apa walaupun dekat rumah ada yang sediakan sarapan.  Memandangkan masa sedang berlalu, boleh kita pergi makan?”  pelawa Buya sopan. 
Dalam hati, rama-rama sedang mengepak tak henti-henti.  Dia rasa nak senyum sepanjang masa.  Nanti, Sera cakap dia tak betul pulak. 
“Awak ada sejam aje, kan?”
Buya angguk menjawab soalan Sera.
“Datang sorang?” 
Sekali lagi dia angguk.   “Man ada kerja lain.  Lagipun, saya tak nak diorang tahu saya ke sini…”
“Sebab?” 
Bahu Buya terjongket.  Dia pun tak tahu kenapa dia tak nak orang tahu dia ke sini.  Pada dia, biarlah hanya matanya menatap wajah Sera.  Dia tak mahu orang lain menikmati keindahan yang sama dengan dia. 
Tamak?  Ya, katalah apa saja.  Ikut suka dialah! 
“Tak apalah.  Tapi, sebab kita ada sejam aje…”  Sera bangkit. 
Rak kecil di bucu kedai didekati.  Beg non-woven itu diletak atas meja.  Dia sempat masak ni semalam.  Pagi tadi, hanya panaskan.  Saja bawak.  Atau, sengaja bawak.  Okey.  Itu punyai dua mak sud berbeza biarpun ayat kedengaran serupa. 
“Apa ni?” 
“Kalau awak yakin saya tak letak racun, silalah makan…”  Bekas jenama Tupperware itu diletak atas meja.  Tepat depan Buya. 
“Awak masak?” 
“Saya beli,”  jawab Sera loyar-buruk.
Buya dah tersengih-sengih.  Membuka penutup bekas dan menyambut sudu yang Sera hulurkan. 
Lama dia perhatikan nasik lemak yang Sera sediakan.  Tengah hari makan nasik lemak perkara biasa orang bandar ni.  Mungkin jugak Sera bawak untuk sarapan pagi tapi tak sempat nak jamah. 
“Tak basi lagi, kan?” 
Mata Sera bulat.  Eh, dia ni… “Sini, kalau tak nak makan!”  Dia nak tarik bekas itu tapi Buya laju menahan.  Lelaki itu gelak lagi.
“Saya gurau ajelah…”  Sisa tawa masih ada.
“Awak ada sejam aje, kan?  Makanlah…”  Wajah Sera serius.
“Tak nak…”
Pulak dah.  Bosan betul layan orang macam ni.  “Tak nak makan, sudah…”
“Tak, kalau awak tak makan…”  ujar Buya perlahan. 
Fuh… Sera duduk di depan Buya.  “Saya bawak untuk saya.  Tapi, nampak macam awak lagi perlukan sekarang.  Makanlah dulu.  Nanti kejap lagi, saya keluar carik makan.  Lagipun, kalau kita makan berdua… awak tak cukup pulak nanti…” 
“Sera,” seru Buya lebih lembut daripada tadi. 
“…saya nak kongsi susah senang saya, bahagia derita saya dan segalanya milik saya dengan awak.  Tak kan sebekas nasik ni, kita tak boleh nak kongsi berdua?”  soalnya. 
Sera telan liur.  Memandang Buya lama.  Perlahan-lahan, dia angguk beberapa kali.  Tersenyum tipis.  Sudu satu lagi, dikeluarkan daripada beg tadi.  Doa dibaca.  Matanya memandang suapan pertama Buya.  Lelaki itu senyum lebar sendiri.  Langsung tak sedar matanya yang tunak memerhati. 
“Sedap?”  tanya Sera sepatah.
Buya angguk sekali.  “Esok, nak macam ni lagi, boleh?” 
“Nak setiap hari pun, tak apa.” 
“Tapi?”  Sengaja Buya tanya kerana dia tahu, ayat itu pasti berakhir dengan syarat. 

Namun, bila Sera diam menyepi… senyuman gadis itu sudah cukup memberi jawapan untuknya.  

15 comments:

  1. Alhamdulillah ada pun smbungan.nk lgi pls rm

    ReplyDelete
  2. hati mau ni....mesti byk rintangan nk bersama ni....bertabahla buya dan sera yaa....

    ReplyDelete
  3. Harap2 buya xmain2 kan sera..nnt camne la nk hadap maksu plak....tq sis rehan

    ReplyDelete
  4. Serius.dalam hati saya pun rama-rama sedang mengepak. Ehhhh

    ReplyDelete
  5. wah... dah nampak manisnya.. semoga sentiasa kekal manis.. sikit2 je pahit takper..

    ReplyDelete
  6. Yeay, tqvm RM for the update! 🌹🌷 sera tu dh loading 100% tu 😂 sbb tu smpai terlupa apa blh jd klu mak su tetiba dtg buat spot check 😅

    ReplyDelete
  7. Rama-rama 🦋 berkepak dlm dada..😍

    ReplyDelete
  8. Aduhai......share nasi lemak ...nasi lemak buah bidara....😚

    ReplyDelete
  9. saya baru perasan. cerita ni mcm drama thailand la. tajuk dia The Fox and the Sugar Cube/Roy Leh Sanae Rai. saya tgk cerita ni sbb my favourite actor Tik Jesadaporn. anyway, keep writing okay RM.

    ReplyDelete