Monday, February 05, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 7

SUSAHNYA dia nak lena bila ingatkan senyuman akhir Sera tadi.  Apatah lagi bila melihatkan kemesraan lelaki muda itu dengan Sera.  Rasanya, lelaki tadi tu hampir sebaya dia.  Entahlah.  Dia yang tahu usia Sera yang beza empat tahun daripada dia.  Lebih muda.  Benarkah gadis itu isteri arwah daddy?  Ibu tirinya? 
Senyuman Sera tadi, adalah senyum yang mengiyakan segala telahan dia.  Bukan penafian.  Tapi, kenapa Sera begitu tenang setelah kepergian daddy?  Sedikit pun tak sedih atau rasa kehilangan?  Andai Sera tahu betapa kasihnya daddy hingga segala harta ini diserahkan pada wanita itu, macam mana gamaknya penerimaan Sera? 
Bangga?
Puas hati?
Terkejut? 
Entah.  Argh… kalut. 
Buya angkat tubuh sasanya menuju ke pintu.  Sebaik saja daun pintu dikuak, wajah Rizman muncul.  Mujur tak terhantuk kepala. 
“Aku ingat kau dah tidur?”  Sengaja dia kerutkan dahi.  Menghantar isyarat yang dia tak selesa Rizman ada depan dia sekarang. 
Dia tak kejam mana.  Bila pekerja perlukan rehat, dia tak akan terus paksa ada bersamanya.  Rizman ni pun manusia biasa biarpun hebat bertumbuk. 
“Saya baru siap makan, bos.  Bos dah makan?” 
“Erm…”  Ringkas jawapan yang Buya berikan. 
“Sedap cik puan masak…”
Kening Buya terjongket sebelah.  Ya, dia akui masalah yang simple itu sedap.  Cuma, dia tak berapa nak boleh rasa.  Tapi, panggilan Rizman begitu mengganggu emosinya. 
“Siapa yang kau panggil cik puan?”  Soalan Buya kedengaran separuh mengugut.
Rizman terus tunduk.  “Maaf, bos…” 
“Apa-apa ajelah.  Yang kau terpacak depan bilik aku ni, dah kenapa?”  Dia kerling jam di pergelangan tangan.  Dah hampir tengah malam. 
“Tuan Malik tunggu bos dekat bawah.  Ada benda nak bincang katanya…”
“Hai, tengah-tengah malam?”  soal Buya tak puas hati. 
Penting sangat ke apa yang Uncle Malik nak bincangkan sampai tengah-tengah malam buta pun panggil dia.  Tak boleh tunggu esok ke?
“Jomlah…”  Dia terus meniti anak tangga turun ke bawah.  Langsung menuju ke ruang tamu di mana Uncle Malik, Balqish dan Zul?
Buya senyum.   Kawan lama dia muncul sudahnya.  Tangan Zulkhairi dijabat.  Tubuh lelaki itu dipeluk erat. 
“Sabar, Buya…”  bisik Zul. 
“Aku dapat tahu terus aku balik.  Aku baru sampai terus ajak ayah ke sini.”  Pelukan terlerai.
Mata kuyu Buya dan mata sepet Zul bersabung pandang. 
“Kau nampak tak okey ni,” komen Zul. 
Wajah Buya nampak pucat sedikit.  Dengar kata, dua hari tak makan tak tidur.  Logiklah kalau tak sihat.  Buya bukan alien.  Itupun kalau alien tu wujudlah. 
Tapi, Buya terus sengih.  Angguk.  Bahu Zul diramas.  “Aku okey.  Kau dah balik, aku rasa kuat sikit.  Tiba-tiba, aku rasa seluruh dunia tak memihak pada aku, Zul.  Terima kasih balik walaupun kau banyak lagi kerja nak uruskan dekat sana…”  Dalam makna ayatnya.  Entah kenapa, memang dia rasa sendirian ditinggalkan daddy dengan seribu tanda tanya. 
Nak harap ke Balqish?  Apalah budak mentah itu tahu tentang hidup.  Hanya tahu seronok saja. 
Mujurlah Zul dah kembail daripada Dubai.  Rasa ringan sikit beban dalam kepala. 
“Duduk, Buya,” pinta Uncle Malik perlahan. 
Duduk dilabuhkan.  Buya condongkan sedikit tubuh ke depan.  Menongkat siku di atas kedua-dua lutut.  Menyulam jari-jemari.  Menanti isu yang bakal dibangkitkan.  Dan, dia tahu… ianya adalah kerana surat arwah daddy. 
Sesekali dia kerling pada Balqish yang hanyut entah ke mana.  Langsung tak memandang pada dia.  Entah mana Balqish pakukan anak mata.  Adik dia tak okey.  Dia tahu tu.  Apatah lagi, Balqish sangat rapat dengan daddy dan sekarang daddy dah tak ada.  Impaknya pasti besar buat Balqish.
“Qish kalau letih, pergi naik rehat.  Abang nak bincang dengan uncle ni,” tegur Buya.
Barulah Balqish menoleh.  Matanya merah.  “Qish nak dengar…”
“Toksahlah.  Naik,” larang Buya lembut.  “Abang tengok Qish lemah sangat.  Mari, abang teman ke bilik…”  Tubuh dah diangkat tapi Balqsih menahan.
“Kalau gitu, Qish nak naik dulu.  Qish boleh naik sendiri.  Abang jangan risau…”  Langsung Balqish atur langkah ke atas.  Mata Buya mengisyaratkan agar Rizman mengekori adiknya hingga ke pintu bilik.
Risau tergolek atas anak tangga.  Sehingga Rizman turun dan memastikan Balqish telah masuk ke bilik, Buya kembali memandang Uncle Malik.
“Apa yang penting sangat, uncle?”  Dia tak selesa sebenarnya.  Masa ni nak bincang?  Macam urusan hidup mati aje. 
“Tentang surat dan wasiat arwah, Buya…” 
Gelak halus Buya lepas.  Dia tersandar sendiri.  Daddy baru saja dikebumi siang tadi tapi malam ni, semua orang dah cakap tentang harta.  Dia sebagai pewaris sah pun, malas lagi nak fikir.  Semak.   Biarpun marahnya masih membara mengingatkan sebaris nama dalam wasiat daddy. 
“Tak boleh ke tunggu esok, uncle?”
Uncle Malik renung mata kuyu Buya.  Tahu, dia nampak gelojoh.  Tapi, ini pesan arwah Dato’ Bakri.  Sebaik saja surat itu dibuka, Sera perlu tahu.  Harta itu akan dibahagikan sebaik saja Sera duduk bersama.  Ada di saat wasiat itu dibaca.  Tak kiralah bila-bila masa.  Secepat mungkin yang pastinya. 
“Tuan memang nak diuruskan segera, Buya.  Patutnya hari pertama Buya bukak surat tu Sera dah perlu tahu isi kandungannya dan sekarang, dia patut ada untuk dengar sendiri segala wasiat arwah.  Itu kehendak arwah, Buya.  Ikut hati, uncle pun tak nak.  Tapi, sebagai seorang pemegang amanah dan peguam pada keluarga ni, uncle hanya ikut pesanan arwah.”  Uncle Malik sedaya-upaya buat Buya faham.  Perkara ini penting. 
Lemah semangat Buya.  Ya, itu memang daddy.  Tak akan bertangguh dalam apa saja termasuklah hal ini.  Apatah lagi dia tahu betapa setianya Uncle Malik pada keluarganya.  Secara tepatnya, pada arwah daddy. 
“Bagi saya masa, uncle…”  Wajah diraup.  Buntu dia nak fikir segalanya.
“Kalau Buya tak boleh nak cakap dekat Sera, biar uncle cakap dekat dia…”
“Jangan!” Keras Buya melarang.
Dia tak nak Sera tahu dengan begitu awal.  Dia masih perlukan masa untuk pastikan siapa perempuan itu pada daddy. 
“Saya ada syarat uncle…”  Timbul rasa untuk memancing jawapan daripada Uncle Malik biarpun dia tahu, Uncle Malik orangnya begitu amanah pada janji.
“Apa, Buya?” 
“Saya nak tahu, siapa Sera pada keluarga saya?  Apa hubungan dia dengan arwah hinggakan arwah daddy bagi lebih pada Sera.  Untuk saya dan Balqish tak sampai separuh.  Sedangkan kami ni darah daging dia.  Pewaris sah…”   Sempat dia kerling Zul yang nampak terpinga-pinga. 
Argh… malas nak terangkan.  Dia perlukan jawapan sekarang namun bila Uncle Malik senyum dan geleng, telahan dia memang tepat.  Tak akan ada jawapan daripada mulut Uncle Malik.  Terpaksalah dia cari jawapan sendiri. 
“Siapa pun Sera pada arwah, eloklah Buya cari sendiri jawapannya.  Uncle dah janji dengan Dato’…”
“Okey…”  Buya tepuk peha.  Bangkit dan mengurut leher.  Memandang pada Zul dengan senyuman kelat.  Zul yang tak tahu apa-apa biarpun daripada ayah sendiri. 
“Uncle bagi saya masa. Saya faham uncle nak tunaikan amanah tapi bagi saya masa.  Sebagai pewaris, saya mintak masa sikit aje.  Lepas tu, saya sendiri akan bagitahu Sera tentang wasiat daddy.  Uncle jangan risau…”  Terus Buya pasang langkah menuju ke atas. 
Baru saja dia nak tutup daun pintu, ada tangan menahan.  Zul muncul.  Buya berlalu ke beranda.  Duduk di atas kerusi besi bercat putih.  Membiarkan tubuh yang hanya dibalut baju-T putih tipis, disapa angin malam yang dingin. 
“Apa dah jadi ni, Buya?”  Zul turut sama labuhkan duduk.  Menanti jawapan daripada Buya.  Tanya ayah tadi, ayah hanya berlalu.  Seperti biasanya.  Kalau hal-hal sensitif ni, ayah suka buat tak dengar suara dia.  Dah macam tanya tunggul kayu pulak. 
Susah jadi peguam ni.  Amanah sungguh! 
“Betul kau tak tahu?” 
Wajah Zul berkerut. 
“Kau pun tahu, ayah aku tak pernah cakap lebih-lebih depan aku.  Dia selalu cakap aku tali-barut kau.”  Sejak bilalah Buya ragui dia?  Tidakkah mereka banyak habiskan masa kanak-kanak dan masa remaja bersama.  Malah hingga sekarang. 
Segaris senyum koyak pada bibir Buya.  Betul kata Zul. 
“Kau tahu, ada penama lain dalam wasiat daddy…” 
“Serius?”  Mata Zul dah membulat.  Terkejut.  Tak mungkinlah Buya ada adik-beradik lain.  Anak luar nikah Dato’ Bakri gamaknya.  Eh, apa kau fikir ni, syaiton?!  Haih. 
“Siapa?”  soal Zul nak tahu. 
Buya tarik surat daripada poket seluarnya.  Diletak atas meja bulat itu.  Biarlah Zul baca sendiri. 
“Sera Nur?”  Nama itu disebut.  Zul angkat mata memandang Buya setelah membaca susun aksara itu dengan bertemankan cahaya lampu daripada telefon bimbitnya.  Surat diletak atas meja. 
“Tak pernah dengar pun…”
“Aku pun sama, Zul.  Balik gesa-gesa, daddy bagi aku ni.  Bila aku baca, nganga aku dibuatnya.”
“Kiranya, kau dah jumpa Sera Nur tu?”  Kening Zul naik sebelah.  Saja tanya kerana dia dah boleh agak.  Pemburu seperti Buya, mana mungkin menanti mangsa melintas depan mata. 
Buya akan menyerang terlebih dahulu.  Cuma, tak pasti serangan itu bersifat serangan mental atau fikizal. 
“Cantik orangnya, Zul.”  Mata Buya terpejam seketika.  Cuba ingat balik pertemuan pertama dengan Sera.  Bagaimana takutnya Sera tapi masih ambik berat. 
Adakah sebab tu daddy boleh jatuh sayang pada Sera?  Nature Sera memang macam tu?  Ambik berat dekat sesiapa saja?  Tengoklah macam mana Sera sesuaikan diri dalam rumah besar ni.  Masak lagi.  Layan tetamu bagi pihak dia.  Ya, memanglah atas permintaan Uncle Malik, tapi kalau orang tu tak biasa… canggung jugak. 
“Lembut aje tapi…”   Mata Buya terbuka.  Terhenti pada tapi.  Tapi itu, tapi ini.  Banyak tapinya pasal Sera ni. 
Heh.  Zul senyum sinis.  Lain pulak kisahnya.  “Kau berkasar ke?” 
“Hampir…”
“Maksud kau?” 
“Hey…”  Jari diketik di depan Zul. 
“Kau tanya macam tak kenal aku.  Hampir tu, maksudnya aku belum buat lagilah.  Perempuan.  Tak kan aku nak tumbuk pulak.”  Zul ni tak beragak nak syak bukan-bukan. 
“Cuma, Man aku kunci pintu kedai dia.  Masa tu nampak dia nak menangis.  Siap pegang gunting lagi bersiap sedia…”  Terus Buya tergelak kecil.  Ingatkan telatah Sera, kelakar jugak.  Dalam takut, air dihulur juga pada dia. 
“Kau senyum ni, lain macam aje, Buya…”  Giliran Zul senyum.  Tongkat siku atas meja merenung segala kemungkinan yang berselindung di balik riak wajah Buya.
“I got a plan.  You in or…”  Sengaja Buya leretkan suara pada Zul.
Well, untuk kau apa saja.  I am in.  I won’t think twice, bro…” Salam berjabat kejap.

Sengih Buya nampak tajam.  

13 comments:

  1. Adeh la buya ni kan..haih...krg nyesal kang...tq sis rehan 4 da update wlpn bz...

    ReplyDelete
  2. Buyaa. Kau nak buat apa ni? And you Zul, elok sangat la tu! Patutnya awak nasihat Buya, bukan tambah perasa!

    Widad Amsyar

    ReplyDelete
  3. Hadirkan Zul dalam hidup saya..

    >>k<<

    ReplyDelete
  4. haiyakk! ape je la plan si Buya ngn Zul ni....tau la kamcing kan...♥

    ReplyDelete
  5. Haha..jgn nyesal ye Buyaaa...haaa

    ReplyDelete
  6. Aduhai buya.. Apa pulok plan ni...

    ReplyDelete
  7. Apa plak plan diaorg ni...Buya....buya ..

    ReplyDelete
  8. Aduhaiiii apa pulak la plan buya ni... pelik betul.. klu proceed je ikut kt uncle malikkan dh blh clear status sera 😔 thx RM for the update 🌹🌷

    ReplyDelete