Monday, February 05, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 8

SAMPAI ke bilik mak su ikut dia malam tadi.  Hai… memang salah dia. Tiada apa yang mampu dilakukan melainkan terus diamkan diri.  Menerima bebelan mak su.  Hampir empat pagi dia masih jaga.  Mata langsung tak boleh lelap. 
Satu, teringat akan soalan Buya.  Kelakar sungguh.  Tapi, kenapa tak boleh nak gelak pun.  Urat muka dia dah keras gamaknya.  Dua, bebelan mak su mengaum tak henti-henti.  Tertanya-tanya, tapi mana jawapan pada semua soalan? 
“Sera cakap dengan mak su Sera nak pergi kejap aje.  Cukup untuk ziarah dia.  Tapi, kenapa sampai ke malam Sera duduk rumah tu?  Diorang ugut Sera tak bagi Sera balik ke?” 
“Bukan macam tu, mak su.”  Sera menafi, sopan.  Ini kenyataan.  Tiada siapa sekat dia.  Dia sendiri yang nak bantu. 
Sementelah pulak rumah Buya memang tiada perempuan.  Nak harap dekat mak long, pembantu rumah yang Uncle Malik kenalkan tu, lagilah tak menang tangan. 
Ada pun, adik Buya.  Nama pun dia dah lupa.  Entahlah.  Tak terfikir pulak pernah ke Uncle Bakri ceritakan tentang anak perempuannya.  Pembantu rumah yang lain macam tak berani nak melayan tetamu. 
“Sera cuma tolong, mak su.  Rumah dia tak ada perempuan…”
“Habis, kalau tak ada perempuan, Sera la yang kena jadi perempuan dalam rumah tu?  Gitu?”  Suara mak su mengaum.   
“Maaf, mak su.  Sera janji tak buat lagi…”  Sera tunduk.  Akur dengan kesilapan. 
Mak su bingkas bangun.  Tak berhasrat nak melanjutkan soalan yang berselirat dalam kepala memandangkan hari dah tengah malam.  Tambah pulak dia nampak anak saudara dia ni begitu letih.  Entah makan entah tidak.
“Diorang bagi Sera makan tak?” 
Bibir Sera pecah dengan senyum bila soalan itu diaju.  Laju dia angguk biarpun dia hanya minum air masak dan dua keping roti bahana tak selera. 
“Sera mintak maaf, ya, mak su…” 
“Erm… iyalah…”  Kepala Sera yang baru saja terdedah daripada selendang diusap perlahan.  Marah mak su reda dengan sendiri. 
“Tapi, lain kali mak su tak izinkan Sera pergi rumah tu lagi.  Elakkan jugak daripada jumpa Bunyamin atau siapa saja daripada keluarga tu.  Kalau perlu, kita pindah rumah.  Jangan bagi diorang kesan kita…”  Bersungguh mak su bersuara.
Besar sungguh masalah ni sampai tahap tu mak su fikir. 
Tapi, Sera hanya sengih.  Timbul rasa nak mengusik.  Dia tarik telefon bimbit daripada beg tangan.
“Eh, nak buat apa telefon tu malam-malam buta ni?” 
“Nak google rumah sewa baru, mak su.  Kedai bunga baru.  Semua barulah.  Esok jugak kita pindah…”  Wajah Sera serius.
“Budak bertuah ni…”  Pipi gebu Sera dicubit. 
Sera mengaduh.  Mengusap pipi.  Bangkit dan memeluk mak su dengan begitu erat.  Wanita ini dah banyak berkorban untuk dia.  Tapi, apa yang dah terjadi di sebalik pengorbanan ini?  Siapa yang berkorban, siapa yang terkorban?  Hingga membawa kesan yang begitu dalam pada hati mak su? 
Letih menelah jawapan.  Satu pun tak berhasil dalam pada menahan rasa mengantuk dan  tersengguk di meja beberapa kali hingga akhirnya, Sera tewas sebelum masuk tengah hari.  Terlentok di atas meja tempat dia bekerja.  Langsung tak hirau akan pintu kedai yang tak berkunci.  Dia dah letih.  Sangat. 
Makin hanyut apatah lagi, soalan terakhir mak su semalam membuatkan dia kian sukar untuk lena. 
“Benda paling mak su takutkan, Bakri gunakan Sera sebagai perantara.” 
“Maksud mak su?” 
“Untuk buat Sera jatuh cinta pada anak dia…” 
Mak su…  namun, lidah Sera membeku.  Dia hanya mampu menyeru nama itu di dalam hati. 



DAH lima minit dia duduk di atas bangku setelah masuk ke kedai kecil ini.  Pintu tak berkunci.  OPEN.  Tapi, tauke kedai terlena menyembam ke meja.  Dengan alatan gubah bunga selerakan.  Buya tongkat siku atas meja.  Kemudian jatuhkan lengan lantas menyangkut dagu di atas lengan.  Memandang wajah lena Sera. 
Dia senyum sendiri bila ingat akan cerita Zul pagi tadi.  Nak harap pada Uncle Malik, memang sampai ke sudah kunci mulut.  Tak payahlah acah-acah nak pujuk.  Diugut bunuh pun, Uncle akan kunci mulut rapat. 
“Awal kau telefon, Zul?”  Buya memisat mata.  Badan dia masih lagi terasa berat.  Malasnya nak bangkit.  Tapi, terpaksa jawab panggilan Zul yang tak henti-henti menjerit. 
“Aku ada berita, bro.  Aku buat misi mustahil dengan ayah aku…”
“Hah?”  Terus Buya angkat tubuh.  Macam menarik ni.
“Sera tu bukan sesiapa dengan daddy kau.  Dia macam errr… anak angkat kot.  Sebabnya, ayah Sera dengan arwah daddy kau kawan baik.  Rapat sangat.  Tapi, dah meninggal masa Sera umur sepuluh tahun tak.  Kiranya, daddy kau tolong jaga anak kawan baik dialah.”
“Lor, gitu ke kisahnya?” Fuh… lega.  Kejap.  Dahi Buya berkerut.  Dah kenapa dia nak rasa lega pulak?  Gila!
“Ni betul-betul ke cubaan, Zul?” 
“Kau mimpi apa malam tadi, sengal?  Ini betul-betullah.  Cubaan kepala otak kau!”  maki Zul pulak.  Orang kemain carik maklumat untuk kau atas dasar kawan sampai mati, kau boleh pulak cakap cubaan. 
“Kalau cubaan, kenapa, Buya?  Kau kecewa ke?”  usik Zul terkekek-kekek ketawa. 
“Dah kenapa aku nak kecewa?”
“Eh yalah.  Sebab perempuan muda macam tu jadi ibu tiri kau…”
“Eh, gila.  Sini aku cakap.  Kau pun tahu pasal wasiat arwah daddy, kan?  Kalau aku nak kecewa pun sebab tu.  Tapi ini, aku lagi kecewa.  Kalau bukan bini daddy, kenapa macam tu sekali wasiat daddy tinggal?”  Soalan itu lebih pada diri sendiri.
Apa niat sebenar daddy ni? 
Apa yang dah jadi hingga daddy buat keputusan begitu sekali? 
Kalau kata tolong jaga anak kawan, jaga ajelah.  Bagi pendidikan, makan.  Tapi ini, Sera dah dewasa kot.  Sampai nak bagi harta segala, dah kenapa?
“Kau boleh korek dengan ayah kau?”
“Eh, gila kau.  Kau tahulah ayah aku macam mana dia seal mulut dia.  Ini pun kalau ayah aku tahu, mahu aku kena buang keluarga ni!  ” 
Kali ini, Buya memicit pelipis.  Argh… kalut.  Apa rahsia di sebalik semua ni?! 
Bunyi ketukan pada meja kaca itu membuatkan Buya kembali ke alam nyata.  Dia terus angkat kepala sebaik saja matanya menatap wajah Sera yang dah jaga. 
“Dah berapa lama awak sampai?” 
Senyuman Buya koyak.  “Cukup lama.  Kalau saya nak rompak seluruh kedai ni dengan awak sekali, pun sempat,” gurau Buya. 
“Eh dia ni…”  Tak sedar, Sera terlanjur mengucapkan tiga patah perkataan tersebut.  Kemudian, dia kerutkan wajah. 
Aduhai… patutnya cakap dalam hati aje. 
Sorry.  Benda tu patut saya cakap dalam hati.  Terluah…”  Tak mampu tarik balik kata-kata, Sera hanya sengih.
Buya tunduk seketika, menyembunyikan senyum yang kian lebar.  Teringat akan cerita Zul pagi tadi, kecewakah dia andai Sera benar-benar ibu tirinya?  Atau kecewakah dia bila Sera bukan sesiapa tapi daddy meninggalkan lebih separuh harta ini pada Sera?  Melebihi dia sebagai pewaris sah. 
“Errr… Encik Bunyamin ni datang kedai saya kenapa, ya?”
“Oh, saja.” 
Ceh.  Jawapan.  Sera mencebek dalam hati.  Ada ke saja datang kedai dia.  Mesti ada sebab ni. 
“Nak beli bunga kot?”  ujar Sera lagi.  Dia bangkit dan berlalu ke deretan bunga yang baru sampai pagi ini. 
Carnation?  Ini adalah kegemarannya.
Sunflower?  Ini juga.  Warna kuning terang itu begitu menceriakan. 
Roses?  Well, ini kegemaran pasangan bercinta. 
Tapi ini… sebatang bunga lily putih itu diangkat.  Disua pada Buya.  Ini yang paling buat dia jatuh cinta.  Warna putih  dan kelopak lily ini, entahlah.  Sukar untuk dia gambarkan dengan kata-kata. 
“Ini mesti bunga kegemaran awak, kan?”  telah Buya sebaik saja dia sambut huluran Sera. 
Dicium.  Kemudian mencebek lebar.  Bukan ada bau pun.  Citarasa Sera ni tak menahan.  Baik pilih bunga tahi ayam.  Ada jugak bau. 
Sera tarik bangku.  Duduk di depan dia.  Berjarak dua meter.  Buya talakan mata sepenuhnya pada Sera.  Sabar.  Tenang.  Nampak Sera mahu katakan sesuatu yang agak sukar. 
“Awak mesti dah tahu yang saya ni dengan arwah daddy awak, bukan sesiapa.  Jauh sekalilah isteri dia.  Sah-sahlah bukan mak tiri awak…”
“Syukurlah bukan…”  Kening Buya terjongket sebelah menghantar rasa lega pada kata-kata Sera. 
“Kita bukan jugak saudara-mara…”
“Itu pun saya tahu.”
“Jadinya, kita memang tiada hubungan.  Betul tak?” 
“Tepat,” sela Buya sepatah.  Masih tenang duduk menyilang kaki sambil memutar batang bunga lily tersebut. 
“Hari pertama awak serang kedai saya… harap awak tak kisah saya guna perkataan serang sebab saya memang rasa terancam masa tu…”
“Setuju.” 
Sera hampir buat muka bosan dengan sikap Buya sekarang.  Tenang seperti tiada apa terjadi padahal sehari dua ini, pelbagai perkara yang dah berlaku.  Dan, salah satu agendanya adalah dia! 
“Kan saya dah mintak maaf sebab serang dan buat awak terancam…” 
“Betul.”
Dahi Buya berkerut seketika.  Eh, pulangkan paku buah keras pulak ke pada dia.  Amboi, boleh tahan ni.
“Okey.  Awak teruskan.  Saya nampak Cik Sera macam ada sesuatu yang nak cakap dekat saya.  Saya sudi mendengarnya…” 
“Baiklah!”  Serentak itu Sera hembus nafas kasar dan cukup pendek.  Sesekali, dia menoleh ke pintu.  Bimbang andai muncul jasad yang satu itu…
“Toksah tengok ke pintu.  Hari ni saya datang sorang.  Jangan risau…” 
“Okey…”  Kata-kata Sera mati di situ.  Buya salah faham.  Dia bukan maksudkan orang Buya tapi mak su.  Padahal dah janji beria-ia.  Sudahnya, dia di sini dengan Buya.
Benar dia tak mencari Buya, tapi lelaki ini ada dengan dia… pengakhirannya juga adalah sama.  Kesan juga serupa.  Tiada yang berbeza. 
“Saya nak jujur dengan awak, Encik Bunyamin…”
“Saya suka orang jujur,” caras Buya. 
“Boleh bagi saya habiskan dulu?”  Wajah Sera nampak tegang. 
Buya telan liur.  Jatuhkan sebelah kaki yang tergantung tadi ke lantai.  Memberi tumpuan penuh malah lebih lagi pada Sera kali ini.
“Jujurnya, mak su saya tak suka awak.  Awak dan keluarga awak.  Jangan tanya kenapa…”  Sera angkat tangan kanan menahan Buya mengutarakan soalan kerana daripada riak Buya, lelaki ini memang tertanya-tanya.
Yalah.  Tiba-tiba tak disukai.  Atas sebab apa?  Tapi, malaslah dia nak fikir.  Uncle Bakri juga dah tak ada.  Dia halalkan segalanya.  Sekarang, tak mungkin dia nak sambung hubungan ini dengan Buya pulak.  Dia tak tahu, adakah Buya baik seperti arwah Uncle Bakri atau sebaliknya. 
“Sebab awak tak bagi saya tanya, biarpun saya memang nak tahu sangat jawapan dia.  Tiba-tiba, orang tak suka ni… aneh, kan?”  Janggal sungguh Buya tersenyum. 
“Bukan sesuatu yang tiba-tiba rasanya.  Sebab tu ada, cuma saya masih tak tahu.  Itu aje.  Apapun saya tak tahu, Encik Bunyamin.  Melainkan kalau awak tahu sesuatu, tolong…”  Sera jeda.  Membalas renungan mata Buya.
Tepat.
Berharap. 
“Bagitahu saya…” 
Liur ditelan.  Memang nampaknya Sera tak tahu apa-apa tentang hubungan lama dua keluarga yang boleh jadi terpisah atau bertelagah.  Gamaknya, bertelagah.  Andai tidak, mana mungkin mak su Sera tak suka pada dia dan keluarganya seperti kata gadis ini.
“Apa yang saya baru tahu, orang tua awak dan orang tua saya… kawan baik.  Sebab tu, arwah daddy saya baik dengan awak.  Mungkin awak buat dia ingat pada kawan baik dia.”
“Kawan baik?  Saya…”
“Ya, saya tahu.  Awak tak pernah tahu dan saya pun tak pernah tahu apa yang dah jadi, Cik Sera…”
Kata-kata Buya membuatkan Sera terdiam sejenak.  Melarikan mata ke koleksi bunga segar yang dia ada.  Bangkit dan mencapai botol spray.  Disembur pada bunga-bungaan.  Dia sebenarnya cuba mengelak daripada bertanya sesuatu pada Buya.  Tambah pulak, terkejut.  Kenapa Uncle Bakri dan Uncle Malik tak pernah cakap tentang hal ni?  Kenapa pulak mak su begitu membenci? 
“Sera?” 
Tak sedar, Buya dah berdiri di sisinya.  Bila berpaling ke kanan, terpaksa dia mendongak, menadah wajahnya menjadi hidangan mata kuyu Buya. 
“Awak mungkin tak tahu.  Tapi, arwah daddy ada tinggalkan saya wasiat sebelum dia pergi. Dalam wasiat tu…”  Buya pejamkan mata. 
Berat lidah dia nak bersuara tentang wasiat arwah daddy.  Bila mata terbuka, wajah indah dengan pandangan suci itu masih memandang dia, menagih jawapan. 
“Daddy nak saya terus jumpa awak.  Bantu awak, Sera…”  Fuh… jawapan apa yang aku berikan ni? 
“Jadinya, sebab tu awak datang rempuh kedai saya hari tu?  Awak syak saya ni isteri daddy awak sebab wasiat tu?  Sebab wasiat tu jugak awak…”
“Ya, saya datang lagi hari ni.  Demi awak, Sera.  Bukan sebab wasiat tu semata-mata…”  Buya menyambung suara Sera. 
Glup… Sera telan liur dengan bicara Buya.

Apa maksud lelaki ini?  Dan, pandangan mata kuyu itu semakin hampir membawa dia jauh pergi di alam yang sukar  untuk dia tafsirkan dengan sekadar bicara.  

6 comments: