Monday, February 05, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 9

WAJAH kecewa Uncle Malik dipandang.  Buya kemudian larikan wajah dan meraup muka berkali-kali.  Pening kepala.  Setelah berlalu daripada kedai bunga Sera lepas tengah hari tadi, dia terus pulang ke rumah.  Niat untuk ke rumah Uncle Malik, tertangguh bila hati melarang.  Namun, bila dia tiba di rumah, Uncle Malik dah setia menanti.  
“Arwah dah pesan pada uncle, Buya.  Wasiat tu kena terus dimaklum pada Sera sebaik saja dibuka.  Apatah lagi lepas arwah dah tak ada ni.  Buya buat macam tu, Sera boleh saman kalau dia tahu…”
“Tapi, dia tak tahu, uncle.  Jadi, biarkan dia tak tahu buat sementara ni.  Bagi saya masa.  Saya akan bagitahu dia dengan mulut saya sendiri.  Tolonglah uncle.  Percaya dekat saya,” pintanya separuh merayu.
“Ya… uncle percaya dekat kamu.  Tapi, itulah.  Sebagai peguam ni…”
“Saya tak mintak sebagai peguam, uncle.  Tapi, sebagai seorang ayah.  Tolong…”  Kali ini, rayuan Buya kedengaran sedikit dalam. 
Tidak dapat tidak, Uncle Malik hanya angguk.  Bangkit dan menepuk bahu Buya sebelum berlalu keluar. 
“Satu lagi…”  Hanya beberapa tapak, langkah kaki mati.  “Balqish pun kena tahu.”
Lagilah Buya kerut kening.  Uncle tak tahu apa yang dah dia lalu di kedai Sera tadi.  Bibir yang makin lebar dengan senyum dengan cerita Sera yang begitu mudah mesra itu, kering pecah tiba dengan kehadiran tetamu yang Sera bimbangkan. 



LAMA wajah Sera kaku tapi akhirnya, tersenyum.  Manis bagai madu.  Rasanya, tak payahlah dia makan madu kalau setiap hari dia dihidang dengan wajah dan senyuman Sera.
“Kalau sebab wasiat tu, awak terus datang nak sambung hubungan yang dah arwah uncle jalinkan, rasanya tak perlu.  Saya lepaskan awak daripada wasiat tu…”  Bukan apa.  Jalinan itu dah kusut masai bila mak su dapat tahu.  Dah terbelit.  Susah nak leraikan lagi dah.
Ini pun mujurlah dia yakinkan mak su dia dah bayar semua modal yang arwah Uncle Bakri bagi.  Kalau tidak, mahu mak su jual rumah peninggalan ni nak bayar semua hutang tu. 
Buya senyum senget.  Kalaulah Sera tahu wasiat yang sebenarnya… nak ke gadis ini berbicara demikian?  Aset yang bernilai jutaan ringgit.  Orang gila pun akan fikir berpuluh kali untuk lepaskan itu semua.  Ini pulak yang waras. 
“Awak pasti nak lepaskan semua wasiat yang ada nama awak?”  duga Buya.
“Ya.  Saya tak teragak-agak.  Lagipun, arwah dah banyak tolong saya.  Modal untuk bukak kedai ni…”  Mata Sera melingas ke seluruh kedai.
Tak adalah besar mana.  Tapi, cukuplah.  Ini minat dia.  Impian untuk ada rumah sendiri.  Rumah dalam taman yang dipenuhi bunga.  Lebih tepat lagi, rumah ladang.  Di mana dia boleh menaman apa saja tanaman yang dia inginkan.  Membela apa saja haiwan ternakan yang dia suka.  Ada tasik untuk itik angsa berenang.  Ada kandang lembu kambing untuk dia ternak.  Ada alur sungai untuk jadi tempat dia rendam kaki dan memikirkan keindahan alam ciptaan Tuhan. 
Dan, ada lelaki yang dia sayang…  tak sedar, Sera senyum sendiri.  Siapalah lelaki malang tu, ya?  Nak melayan cerita tentang siang dan malam. 
“Kenapa?”
“Hah?  Kenapa apa?” Senyum Sera mati.
“Awak senyum sorang-sorang…” 
“Tak ada apalah,” nafi Sera.  Dia terus menyembur bunga-bunganya yang masih segar dan mewangi. 
Buat masa sekarang, inilah taman buatnya.  Rumah ladangnya.  Dia seronok di sini.  Melihat pelanggan yang menghirup haruman jambangan bunga yang dia gubah lantas menzahirkan pujian akan seninya, itu adalah sesuatu yang indah. 
“Mesti ada sesuatu, kan?” 
Sera pandang Buya seketika sebelum jatuh pada sekuntum lily yang masih ada dalam tangan Buya. 
“Awak tahu bunga apa tu?” 
“Lily, kan?”
Mata Sera mengerdip sekali.  Tepat.  “Tahu apa nama saintifik dia?” 
Bahu Buya terjongket kali ini.  Manalah dia tahu.  Dia bukan mat bunga.  Dia belajar kejuruteraan.  Tak sempat nak berdansa dengan bunga segala. 
“Lily putih.  Zephyranthes candida.  Berasal daripada Afrika Selatan.  Daripada jenis Amaryllidaceae.  Ada setengah orang panggil bunga ni, bunga bawang.  Ada jugak yang panggil white lily rain.  Ada yang panggil fairy lily.  Tapi saya, panggil bunga ni lily putih.  Tahu tak kenapa, saya suka bunga ni?”  Kening Sera terjongket pada Buya.
“Encik Bunyamin?”
“Oh, ya?  Kalau saya boleh tahu…”  Cepat-cepat Buya redakan nafas tegangnya.
Mendengarkan Sera berbicara tentang bunga, memang patutlah Sera buka kedai bunga.  Dia tak tahu apa pun yang Sera katakan tadi.  Tapi, gadis ini memang pakar bunga.  Kagum… kagum…
“Sebab bunga daripada jenis tumbuhan ni orang panggil rain lily sebab sifat bunga tu sendiri yang akan mengeluarkan bunga banyak sangat selepas hujan.  Dekat Malaysia ni kalau Encik Bunyamin nak tahu, ada dua jenis warna bunga yang biasa ditanam.  Warna pink dan putih. Bunga ni adalah sejenis tumbuhan bebawang dan membiak melalui bawang. Selalunya lily ni akan dijadikan tumbuhan tutup bumi.  Tambah pulak,  nak jaga dia tak susah mana pun.  Kalau kurang air, daunnya layu, lepas tu mati.  Tapi, bawangnya masih boleh bertahan dan akan bercambah semula lepas dah dapat air yang cukup,” cerita Sera lembut dan perlahan.  Bersinar matanya. 
Ditilik bunga yang Buya pegang.  Disentuh kelopaknya perlahan.  Kemudian, melangut pandang semula pada Buya yang terpinga-pinga.  Sera sengih.  Dia tak salahkan Buya.  Malah, bila dia bercerita pada mak su pun tentang ni, mak su akan terlentok.  Lepas tu, dia mulalah gelak sendiri. 
“Awak mesti tak faham, kan?  Tak seronok, ya?  Cerita saya ni?” 
Buya tak nafi.  Namun, ada sesuatu yang dia dapat rasa.  “Cerita awak ni, ada makna tersirat pada saya, Sera.  Kalau awak boleh terangkan sikit lagi.  Saya akan faham.  Sebab saya dah mula seronok…” 
Sekali lagi, Sera telan liur.  Melarikan mata.  Menjarakkan sedikit jarak antara mereka.  Dia kemudian menoleh pada Buya.  Memeluk tubuh sendiri.  Berkira-kira, perlu ke dia ceritakan makna di sebalik kisah lily putih pada lelaki ini? 
Akhirnya, Sera hanya senyum apatah lagi bila pintu kedainya ditolak orang.  Pantas Sera menoleh.  Tersenyum lebar menyambut dua orang pelanggan. 
“Boleh saya bantu?”  soalnya ramah.  Dia tahu Buya sedang memerhati, tapi sengaja buat tak tahu. 
“Kak, bagi bunga untuk pujuk pakwe saya, kak…”  Yang putih gebu itu bersuara lepas. 
“Eh kau ni… lurus bendul sangat mintak.  Soroklah sikit.”  Yang hitam manis itu meningkah.
“Eh, aku mana reti bunga.  Kau yang suggest bunga.  Kalau dia buang dalam tong sampah, kau siap.  Ada ke cadang bagi bunga dekat lelaki.  Fuh…”  Yang putih gebu itu nampak tak puas hati. 
“Ini cadangan rare, tau tak?  Eh, lelaki pun suka bungalah…”  Si hitam manis itu makin yakin dengan cadangan sendiri.
Sera?  Senyum dan angguk mengerti. 
“Betul.  Abang pun suka bunga…”  Buya bersuara sebelum sempat Sera berbicara. 
Tiga pasang mata memandang pada Buya tapi sepasang mata kuyu itu, tepat pada Sera sambil menggoyangkan batang bunya lily tadi. 
“Abang suka bunga apa, bang?” 
“Bunga yang susah nak petik,” jawab Buya penuh makna.  Sempat mata dia kerling pada Sera yang buat tak tahu.  Memang tak tahu sungguh ke atau buat-buat tak tahu, entahlah.  Muka suci itu… hai… berderau darah dia. 
“Bunga yang abang pegang tu ke?” 
Kali ini, Buya menoleh pada dua orang pelanggan Sera yang tiba-tiba teruja melihat dia.
“Bunga yang abang pegang ni, sesuai untuk abang aje.  Awak berdua, apa kata ambik bunga matahari…”
Sera ketap bibir.  Nak gelak.  Hey… siapa tauke kedai ni?  Pandai-pandai pulak bagi cadangan. 
“Betul ke kak?” 
“Kalau dah lelaki cakap itu, betullah gamaknya tu…”  Sera buat isyarat agar Buya tak ganggu bisnes dia.  Ini kedai saya.  Awak tu tetamu, buat cara tetamu. 
“Okey… bunga matahari…” 
“Sejambangan, tau…”  tambah Buya buat tak tahu aje dengan amaran Sera.  Eleh, macamlah orang takut. 
“Awakkkkk…”  Mata Sera terjegil. 
Buya gelak.  Angkat tangan mengalah dan berlalu ke belakang kaunter. 
Sorry.  Abang saja usik.  Tanya kakak.  Dia arif pasal bunga.”
Dua orang anak gadis tadi turut buat muka pada Buya.  Cara bercakap tu macam memang tahu sangat pasal bunga.  Buang masa aje melayan.  Tapi, nasib baik terlajak kacak.  Kira tak rugi jugaklah. 
“Ros putih.  Tanda mintak maaf… well, kita tak percaya dengan tahyul, okey.  Tapi, ini saintifik kajian manusia.  Itu saja.  Untuk tunjukkan budi pekerti.  Itu aje.  Tapi, kalau awak betul ikhlas nak pujuk dia, keikhlasan awak tu akan sampai ke hati dia.  Insyaallah…” 
Saat ini, senyuman lebar Buya patah-riuk.  Setiap kata-kata Sera, ada impak yang tersendiri pada dirinya.  Bila Sera menoleh mendekati kaunter dan berdiri di sebelahnya, dia hanya mampu memandang.
“Sekuntum dah cukup.  Apa guna sejambangan, andai yang sekuntum inilah yang akan membawa bahagia.  Betul tak?”  soal Sera pada Buya tanpa memandang lelaki itu.
Tangannya ligat membungkus.  Setelah diserahkan pada pelanggan dan menerima bayaran, Sera lepaskan lelah.  Lega.  Setiap senyuman pelanggan yang berlalu dengan ucapan terima kasih, benar-benar membuatkan dia lega. 
“Sebenarnya, cerita panjang saya tu… untuk saya cakap yang saya lepaskan apa saja yang berkaitan saya dalam wasiat tu.  Lepas ni, Encik Bunyamin jangan datang lagi, ya?”  Permintaan Sera kali ini lebih pada rayuan.  Kalau Buya tak faham lagi, tak tahulah. 
“Awak memang tak suka saya, kan?”
“Tak, saya bukan tak suka…”  Heh.  Kan dah cakap, Buya ni tak faham!  Orang dah cuba berlapik dah. 
“Awak memang tak suka saya.  Betul tak, Sera?”  tanya Buya sekali lagi.  Mata Sera ditentang.  Tajam. 
“Aku yang tak suka!”  Belum sempat Sera menyangkal telahan Buya, mak su muncul dengan suara yang nyaring.   Wajah mak su merah padam. 
Sera pandang Buya.  Pantas dia berdiri di depan lelaki sasa itu. 
“Mak su dah salah faham…”
“Ini salah faham?  Padahal Sera dah janji…” marah mak su. 
“Mak su…”  Sera gigit bibir bawah.  Menoleh pada Buya. 
Dahinya bekerut lebat.  Orang dah cakap, pergi.  Tapi, silap dia jugak terlalu leka bercerita bila dia rasa dia semakin selesa melayani Buya.  Tak ubah saat arwah Uncle Bakri datang jenguk dia.  Macam inilah mereka habiskan masa.  Bercerita tentang impian dan kehidupan. 
“Awak pergi.  Sekarang!”  Nada Sera, biarpun perlahan tapi tegas. 
“Saya uruskan mak su saya.  Pergi…”  Lengan kekar Buya yang berbalut jaket hitam ditarik dan ditolak hingga melepasi ambang pintu.
“Pergi,”  suruh Sera separuh berbisik pada Buya yang masih kaku.  Macam berat kaki nak melangkah. 
“…dan, jangan datang lagi.  Selamanya…”  Lantas, pintu kaca itu tertutup.  Tanda CLOSED terpampang.

Damn!  Buya ramas rambut.  

7 comments: