Friday, April 06, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 26

DUA pasang mata di depannya, dipandang tenang.  Tenang pada riaknya saja sedangkan dalam hati, tak usah dikata.  Bergelora tak ubah seperti dibadai tsunami.  Dah banyak hari dia tak nampak Balqish sejak malam tu.  Malah, bila dia ketuk pintu bilik pun, Balqish langsung tak nak buka.  Terkesan sungguh gamaknya. 
Semua ini salah dia.  Andai dia awal-awal bincang dengan Balqish… tapi dia, terlalu sibuk dengan perasaan sendiri. 
“Apa tak kena ni, Buya?”  Perlahan, Uncle Malik menyoal. 
“Balqish tak puas hati…”
Uncle Malik senyum tipis.  Ingatkan apalah tadi.  Mati-mati dia ingat Buya nak mengamuk padanya sebab dah cakap pada Balqish tentang wasiat itu. 

“Seperti jugak Buya, dah tentu dia susah nak terima pada awalnya.  Nak-nak pulak dia tahu abang dia suka perempuan tu.  Boleh jadi, Balqish rasa kasih-sayang Buya padanya kurang lepas ada Sera…”
Tuhan… Buya raup wajah dengan telahan Uncle Malik.  Memang.  Dia dah abaikan Balqish. 
“Macam mana saya nak pujuk dia, uncle?” 
“Pada uncle, tak perlu nak pujuk.  Balqish dah cukup dewasa.  Dah sampai masa bagi dia fikir sendiri mana yang baik dan mana yang buruk.  Lagipun, menolak wasiat si mati adalah satu kesalahan dan dosa.  Kita tak tahu apa yang dah terjadi hingga arwah namakan Sera dalam wasiat tu.  Boleh jadi sesuatu yang tak terjangkau dek akal fikiran.  Jadi, untuk kemudahan semua… terima aje.  Hanya itu saja caranya.  Balqish akan faham nanti,” nasihat Uncle Malik perlahan. 
Dia bangkit.  Merapati Buya dan bahu anak muda itu diusap perlahan.  Dia tahu sesuatu.  Itupun terdengar Zul bercakap tentang itu.  Dia tak pernah bantah dan tak akan bantah.  Yang menjadi tanda tanya, sehingga tahap mana keikhlasan Buya. 
“Buya ikhlas tentang Sera Nur?” 
Wajah Buya mendongak.  Dia kerling Zul.  Zul jongket bahu.  Tanda tak tahu.  Jangan tuduh dia.  Ayah memang ada seribu satu cara nak siasat sesuatu perkara. 
“Kenapa uncle tanya macam tu?” 
“Sebab dengar kata, mak su Sera dah terima hubungan Buya dengan Sera.  Jadinya, uncle harap Buya tak sia-siakan peluang tu.  Mungkin Tuhan nak Buya balas segala kebaikan arwah orang tua Sera pada arwah daddy Buya dulu.”  Senyuman disimpul.  Uncle Malik berlalu tenang.  Meninggalkan seribu satu tanda tanya dalam kepala Buya.
“Apa maksud ayah kau tu, Zul?” 
“Kau tanya aku… aku lagilah haram nak faham.  Ayah aku tu pandai putar belit.  Dia kan lawyer.  Belit-belit ni memang kerja dia.  Tapi kan…”  Zul renung Buya penuh minat.
“Kau betul-betul ni?” 
Buya ketap bibir. 
“Plan B kau macam mana?” 
Kali ini, Buya pejamkan mata.  Cuba memberi jawapan yang tepat untuk Zul. 



JEMPUTAN Sera ke rumah gadis itu diterima baik.  Uncle Malik hanya senyum tipis biarpun mak su sejak tadi masam mencuka.  Tak berkata apa. 
“Ada apa uncle boleh bantu Sera ke sampai Sera ajak uncle datang segera ni?” 
Sera angguk.  Memang dia ada perkara penting nak minta tolong Uncle Malik.  Sampul surat berisi wasiat itu diletak atas meja.  Dahi Uncle Malik berkerut.  Mak su tenang.  Tenang kerana Sera terlebih dahulu tekad dengan keputusan ini.  Ya, demi kebaikan.  Apa saja.  Dia akan turuti.  Lagipun selama ini mereka tak pernah kebulur pun.
“Ini wasiat tu, kan?”  duga Uncle Malik walaupun dia dah tahu.  Sampul itu dia yang sediakan. 
“Kenapa Sera bagi dekat uncle?” 
“Ini bukan hak saya, uncle.  Jadi, saya nak pulangkan pada yang berhak.  Pada asalnya saya memang tak nak.  Mak su pun tak nak.  Cuma masa tu, mak su memang marah sebab saya jumpa arwah diam-diam jadi mak su nak saya terima tanpa apa-apa niat nak miliki semua ni...”
“Kiranya, Sera nak pulangkan pada Buya dan Balqish?” 
Sera angguk.  Dia pandang mak su.  Wanita itu tersenyum tipis. 
“Ini memang asalnya hak mereka.  Saya tak pernah berhak.  Boleh jadi arwah Uncle Bakri ada terhutang dengan arwah orang tua saya, tapi sebagai anak… saya halalkan, dan saya tak terima semua ni.  Saya tak pernah dididik untuk ambik hak orang.  Saya tak reti untuk uruskan semua ni.  Sebab tu saya minta Uncle datang untuk siapkan satu dokumen penyerahan hak pada Buya sepenuhnya.  Saya akan sign dan saya nak jadikan ni hadiah untuk dia…”  Saat ini, senyuman Sera benar-benar manis.
Seperti lepas beban yang begitu berat tergantung di bahu sejak dia tahu dia salah seorang penerima wasiat arwah Dato’ Bakri.  Dia tak nak Buya pandang dia sinis dan Balqish salah faham. 
Dia dan mak su nak hidup tenang. 
“Kenapa Sera tak nak?”
“Sebab bukan hak saya, uncle.  Lagipun, nanti kalau orang tahu saya banyak duit, dah satu hal saya nak kena pasang bodyguard la… nak tidur pun tak lena sebab risau orang merompak….”  Dia ketawa kecil.
“Jadi, cukuplah dengan apa yang ada ni…”   tambah Sera.
Dia cuma mahu bahagia dengan Buya.  Dia tak perlukan harta Buya. 
“Macam mana Puan?”  Uncle Malik memandang mak su yang diam sejak tadi.
“Demi bahagia Sera, saya ikutkan aje…”  Mak su capai tangan Sera dan diusap perlahan.  Dia kemudiannya memandang semula pada Uncle Malik.
Menghantar soalan dengan renungan yang begitu dalam. 
Ikhlaskah Bunyamin pada Sera Nur?  Tapi sayang, Malik sendiri seperti tak berkeyakinan. 



APA perlu dia buat ni?  Buya buntu.  Sejak tadi dia hanya memandang Sera daripada jauh.  Sakan ketawa dengan Naz.  Gamaknya, perang dingin antara Sera dan Naz dah tamat.  Itu  yang Sera senyum sampai nampak semua gigi.  Kalau tidak, hanya nama Naz yang terbit daripada mulut Sera setiap kali. 
Tapi, tak nampak pulak Riz.  Boleh jadi lelaki itu masih lagi merajuk.  Tapi, nak merajuk kenapa.  Bukan Sera tu makwe dia.  Nak merajuk pun, merajuklah.  Elok juga.  Dia pun tak selesa melihat lelaki itu dekat dengan Sera biarpun atas dasar kawan.  Kawan lama ke kawan baru ke… dia peduli apa. 
Tak sedar, Buya koyak senyum.  Melihat tawa Sera, kepala yang disesah pelbagai perkara, mula terasa lega. 
“Sampai bila kau nak tengok aje dia ni?”  Zul di sebelah bersuara.  Tiba-tiba senyum sorang-sorang.  Angau sungguh dah ni. 
Rasanya dah dekat sejam dia dan Buya ada dalam kereta ni.  Sera dan seorang kawan pula sedang makan di restoran depan kedai bunga. 
“Sera tu… cantik, kan?”  soal Buya tiba-tiba.
Zul terbelahak nafas sendiri.  Gila.  Terkejut dengan soalan Buya sampaikan dia tercekik dengan oksigen.  Tapi, dia tetap angguk.
“Yalah.  Kali pertama pun kau dah cakap dia cantik dan aku pun terpaksa mengaku yang dia cantik.  Tapi, Buya… cantik tak boleh buat perut kau kenyang, bro.”  Zul sarkastik.  Sekarang bukan masa nak memuji makwe sendiri. 
“Aku dahlah lapar ni.  Kau ajak aku makan dengan Sera tapi kau duduk dalam kereta.  Tenung dia berjam-jam.  Seksa perut lapar aku ni.  Tiba-tiba puji dia cantik.  Kalau kau tak nak turun, aku pergi ajelah join dia.  Kau teruskan ajelah niat kau memerhati daripada kejauhan sampai kau puas hati.  Tak pun aku suruh Sera datang temankan kau…”  ucap Zul dan baru dia nak buka pintu kereta, Buya menahan.
“Aku nak ajak dia kahwin…”  Buya pandang Zul.
“Kau rasa okey tak permintaan aku tu?”  Pandangan yang dia lemparkan saat ini, adalah pandangan yang benar-benar berharap pada sebaris jawapan daripada Zul.  Jika permintaan ini dirasakan gila, dia tetap mahu Zul bagi jawapan yang dia mahu dengar.  Mandatori. 
Zul ketap bibir.  Tiba-tiba rasa lapar hilang pulak dengan soalan Buya ni.  Kenal baru tak berapa lama, nak ajak kahwin dah kenapa?  Tak kanlah Buya betul-betul dah kena rasuk dengan cinta Sera?  Ini bukan Buya yang dia kenal. 
“Kau serius?” 
“Kau ada nampak aku main-main?”  Wajah Buya tak beriak. 
Zul lepaskan nafas tipis.  Parah dah budak ni. 
“Aku bukan tak nak kata okey, tapi mak su dia baru nak terima hubungan korang… tak kan kau nak terus tekan minyak…”  Susah Zul nak percaya dengan Buya ni.  Plan A jahanam … Plan B pun ke mana.  Kan aku dah cakap, jangan rancangan kau tu makan diri kau sendiri. 
“Aku tak kisah.  Aku kena buktikan pada Balqish, Sera tak macam tu.  Lagipun, aku takut mak su dia ubah fikiran lepas ni.  Macam mana aku dengan Sera masa tu?”  Dia toleh pada Zul yang jelas menghalang.
“Okey… macam ni.”  Zul lepaskan nafas berat.  Serius, memang terkejut.
“Kau ni sebenarnya takut hilang dia?  Atau takut Balqish terluka?  Atau kau ni sebenarnya takut…”  Zul leretkan suara.  Dia tahu Buya mengerti.
“Entahlah, Zul.  Aku dah tak tahu nak bagi jawapan apa dekat kau.” Nampak gaya, Buya sendiri bingung. 
“Jangan bagi jawapan dekat aku.  Kau bagi jawapan dekat diri kau sendiri.  Mula-mula aku memang tak kisah kau nak kahwin dengan Sera tapi aku boleh nampak, dia perempuan baik, bro...”
“Dah tu, kawan kau ni jahat sangat ke?”  Buya membentak.  Kawan apa ni?  Sejak bila Zul pandai buat ayat macam tu dekat dia.
Zul terdiam.  Terkejut dengan suara keras Buya.  Dia hela nafas pendek. 
“Aku tak kata kau jahat, tapi aku kenal kau.  Itu aje dan selebihnya, diri kau sendiri lebih tahu apa yang kau nak…”  Zul senyum tipis.  Terus membuka pintu kereta dan Buya juga sama.
Mereka sama-sama dekati Sera dan Naz yang sedang ralit berbual. 
Melihat Buya muncul, Sera senyum.  Memang Buya ada cakap nak datang.  Tapi, kenapa lelaki itu langsung tak senyum.  Malah, wajahnya begitu mendung. 
“Boleh kita cakap kejap…”  
Hai… sampai-sampai aje terus muka kelat.  Tapi, Sera angguk juga.  Boleh jadi Buya benar-benar ada hal penting nak dibincangkan. 
“Kita berdua aje?”  tanya Sera bila Buya diam tiba-tiba.
Bila lelaki itu angguk, dia pandang Naz dan Zul yang baru saja duduk.  Kemudian kembali pada wajah Buya.
“Diorang kawan kita.  Apa salahnya kita cakap depan diorang, kan?”  Bukan apa… dia tak nak Naz tak selesa.  Dahlah dia yang ajak Naz jumpa Buya.  Nanti makin teruk pulak Naz fikir tentang teman lelaki dia. 
“Ada yang tak kena ke?”  Perlahan, Sera ajukan soalan bila Buya akhirnya duduk di sisinya. 
“Saya nak jumpa mak su awak…”
“Untuk apa?”  Mata Sera mengerling Zul.  Lelaki itu jongket bahu. 
“Ada urusan sikit…” 
Wajah Sera nampak kalut.  Dia pandang pula pada Naz.  Teman baiknya juga diam tanpa tak pasti. 
“Bila?” 
“Segera…”
“Okey.  Nanti saya bagitahu bila mak su ready nak jumpa awak.  Tapi, boleh saya tahu untuk apa?”  Jangan cakap Buya nak sebut tentang wasiat tu lagi…
“Saya perlukan awak bukan setakat ini aje, Sera.  Tapi, lebih lagi.  Jadinya, saya nak minta izin mak su awak untuk jadikan awak isteri saya…”
Sera melopong.  Jauh sungguh dia berprasangka sedangkan niat Buya lain. Murni. 
“Kenapa diam?  Awak tak sudi?  Sebab baru kenal saya?”  Kala ini, rasa bahang juga muka bila Naz dan Zul renungnya tak berkelip.  Fuh...
Sera geleng.  Hakikatnya, dia dah lama kenal lelaki ini.  Hanya Buya yang baru saja kenali dia.  Itupun dalam pertemuan pertama yang menyakitkan. 
“Mungkin awak tak perlukan saya, Sera.  Tapi, saya perlukan awak…”  ujar Buya penuh makna. 
Mata mereka saling bertaut.  Lama.  Setelah itu, bibir merah Sera mula merekah dengan senyuman tipis.  Dia dah lama terima pinangan ini sejak arwah Uncle Bakri ada lagi. 
“Mungkin awak baru kenal saya tapi kenyataannya, saya dah lama kenal dan terima awak,” akui Sera bersama sekeping hati yang begitu luhur. 

Buya hela nafas lega.  Dia kerling Zul dan mengerdip sekali.  

12 comments:

  1. Wowww...straight forward Buya. Haha...cayalah.😍
    Jgn main2kan Sera....suda.

    ReplyDelete
  2. Harap2 xkantoila buya dgn sera psl hal plan2 sblm ni...huhuhu...tq sis rehan

    ReplyDelete
  3. ini plan alternatif ke...betul-betul????....
    saya ni...suka ada...sedih ada...syak wasangka pun ada...mcm saya sedara dgn Sera plak..😊

    ReplyDelete
  4. Yeayyy, go buya ..sikit lagi
    I percaya u ..thank you for doing this...yeayyy

    ReplyDelete
  5. straight tak bengkok2. hahaha
    harapnya niat buya bebetul ikhlas pada sera

    ReplyDelete
  6. Buyaaaa!!!! straight sangat ni knape??😍😍

    ReplyDelete
  7. Buyaaaa...i lap u.. But dont play2 ya..

    ReplyDelete
  8. suspen betul ngan perasaan diri buya... apa lah yg akn jadi next

    ReplyDelete
  9. Harap2 buya betul2 ikhlas. Thx RM for the update 🌹🌷

    ReplyDelete