Sunday, April 08, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 27

MAK SU tunduk.  Pasrah atau reda, dia sendiri tak tahu.  Naz juga diam.  Tak berniat nak masuk campur.  Dia datang ini pun sebab Sera minta temankan.  Jujurnya, dia juga terkejut dengan apa yang Sera sampaikan.  Malah, Sera langsung tak berdalih sebaliknya terus setuju.
Andai mak su sampaikan tertunduk, dia juga sama. 
“Mak su tak setuju?”  soal Sera menagih jawapan mak su.  Dah beberapa ketika hampir berlalu tapi mak su masih mendiamkan diri. 
Dia tahu, mak su berat hati.  Tapi, dia cuma zahirkan niat Buya.  Tak apa mak su tak setuju.  Dia faham dan dia akan pujuk Buya agar mengerti.  Berapa lama masa pun, dia akan pujuk Buya.  Setidak-tidaknya mak su dah terima hubungan mereka.  Nanti lama-lama mak su akan terimalah niat mereka nak dirikan rumahtangga. 

“Bukan tak setuju,” nafi mak su. 
“Tapi, mak su nak Sera fikir masak-masak.  Ini bukan hal main-main.  Ini hal hidup dan masa depan Sera.  Sebagai orang tua, mak su tak nak Sera buat keputusan terburu-buru.  Semua ni akan ubah seluruh hidup Sera.”  Lembut mak su bersuara. 
Sera melutut di depan mak su.  Menyoroti mata yang begitu suram.  Rasa bersalah bertimpa-timpa menindih dirinya. 
“Ya, Sera faham mak su risau.  Kalau dah itu kata mak su, Sera ikutkan aje.  Nanti Sera cakap dekat dia, tunggu dulu.  Lagipun, dia pun baru kenal Sera.  Kami masing-masing perlukan masa.  Betul tak?”  Dia cuba senyum tapi mak su masih begitu.
Sera toleh pada Naz.  Naz hanya mampu jongket bahu. 
“Sera memang dah lama kenal dia, kan?”  tanya mak su tiba-tiba.
Sera diam.  Tunduk memandang riba sendiri.  Perlahan, dia angguk. 
“Arwah Uncle Bakri banyak cerita tentang Buya pada Sera...”  Saat ini, Sera masih tak berani nak angkat wajah.  Berat kepalanya. 
“Macam mana sikap dia…pernah dia tunjuk gambar Buya pada Sera.  Bila dengar dia cerita tentang anak dia, Sera sendiri pun senyum.  Entahlah mak su… mungkin Sera tak ada mak dengan ayah, Sera seronok sembang dengan arwah.  Tidaklah Sera rasa kurang sebenarnya.  Ada mak su, seperti segalanya dah cukup.  Cuma itulah…”  Sera panggung wajah.  Menyoroti tepat ke mata mak su.
“Sera tamak, kan?”  soalnya dengan mata yang berair. 
Mak su senyum dan menggeleng.  “Sera tak tamak.  Itu memang sepatutnya yang Sera rasa.  Ada mak su, memang Sera rasa dah cukup tapi tak sama…”
Apa nak kata, arwah orang tua Sera pergi terlalu awal.  Malah, bukan Sera tak tahu hakikatnya.  Cuma, tak semua.  Dan hari ini, dia sudah tak mahu fikirkan sejarah perit itu lagi.  Dia mahu buang segalanya.  Biarlah Sera langsung tak tahu apa yang telah terjadi.  Cukuplah yang Sera dengar.  Tiada apa yang dapat ubah masa lalu tapi dia masih mampu jadikan Sera bahagia hari ini dan masa hadapan.
“Sera…”  Wajah Sera diusap mesra. 
Mak su lebarkan senyum.  Inilah yang terbaik.  Bisikkan pada hati hamba, Allah… ini yang terbaik kerana segala sesuatu itu terjadi hanya dengan izin-Mu. 
“Ajaklah Buya datang rumah.  Nanti kita bincang, ya?” 
Mata Sera bulat.  Airmatanya jatuh serta-merta. 
“Sungguh ke mak su?” 
Mata mak su mengerdip sekali. 
“Mak su tak akan main-main dalam hal bahagia Sera.  Hidup mak su ni, hanya untuk Sera aje.  Kalau mak su berjaya bantu Sera cari bahagia Sera, mak su rasa semua janji mak su dengan arwah orang tua Sera, tertunai.  Mak su betul-betul lapang dada…” 
“Mak su…”  Sera melutut dan terus memeluk leher ibu saudaranya. 
“Sera tak akan lepaskan tanggungjawab Sera pada mak su.  Mak su jangan risau. Sera janji.  Sera dengan Buya akan jaga mak su…”  bisiknya perlahan. 
Dahi mak su berkerut biarpun senyuman terkoyak lebar. 
Naz hanya mampu menyepi.  Entah kenapa, dia yakin yang rajuk Riz akan berpanjangan. 



MATA Naz langsung tak dipandang.  Ingatkan apalah yang penting sangat sampaikan Naz sanggup tunggu dia di lobby sampai habis kerja.  Dahlah dia habis kerja lambat.  Tak masuk ofis gamaknya Naz ni.
“Kau EL ke apa?”  sindir Riz sambil Caramel Machiato yang baru Naz letak di depannya. 
“Aku ada kerja luar.  Habis awal lepas tu aku minta off dengan bos.  Dia okey aje.  Itu aku datang jumpa kau…”
“Ada hal penting?”  Matanya masih tak memandang Naz.  Saja tanya waima dah tahu dah jawapan Naz.  Dah tentu tentang Sera. 
“Tentang kita.  Tentang kau.  Tentang Sera…” 
“Tentang kau, itu hak kau.  Tentang Sera, itu hak dia.  Tapi, tentang kita?  Apa kaitan dengan aku?”  Dingin sungguh nada suaranya. 
“Rizzzzz…”  Naz mengeluh tipis. 
“Berapa lama lagi kau nak merajuk?” 
“Aku tak merajuk…”
“Habis tu?”  Nada Naz sedikit keras. 
“Aku sedang belajar terima kenyataan yang aku kehilangan Sera.  Beza, kan?”  Senyuman sinis terjongket pada hujung bibir Riz.
“Itu tak merajuk kau cakap?”
“Kalau merajuk, aku langsung tak jumpa kau, Naz.”
“Okey…”  Naz mengalah. 
“Kau kehilangan Sera.  Kehilangan cinta Sera.  Habis tu, kau sanggup kehilangan persahabatan dia jugak ke?” 
Rizqi nampak terdiam.  Barulah mata itu memandang tepat pada wajah Naz yang nampak marah. 
“Kau sanggup, sebab cinta kau tu… kau rosakkan hubungan kita bertiga.  Tentang kita yang aku maksudkan tu, adalah kau, aku dan Sera.  Persahabatan kita.  Yang tak tagih apa-apa melainkan keikhlasan aje.  Kan itu yang kita janji sejak dulu.  Lagipun, kau jugak yang cakap selama ni, kau sayangkan persahabatan kita daripada cinta yang belum tentu milik kau…” 
Riz senyum tipis.  Mengangguk lemah.  Ya, betul kata Naz.  Cinta yang memang bukan miliknya sejak dulu kerana dia yakin, Sera memang sedar akan perasaannya pada gadis itu.  Andai Sera juga punya rasa yang sama dengannya, pasti dah lama Sera akui.  Tapi dia, begitu terbawa-bawa dengan perasaan marahnya. 
“Macam mana Sera boleh terima lelaki yang baru dia kenal…”  Riz menggeleng.  Rasa kesal.  Nak tuduh Sera terima sebab duit, tak mungkin.  Sera bukan gadis macam tu.  Sejak dulu, Sera begitu berusaha untuk memperbaiki hidup. 
Gadis itu tak pernah merungut sedikit pun. 
“Technically, Sera dah tahu tentang Buya lama.  Hanya Buya yang baru kenal Sera.  Tapi, aku yakin dia jatuh cinta pandang pertama pada Sera dan Sera juga dah jatuh cinta lama pada Buya.  Sebagai kawan, aku nak kita sokong aje keputusan dia, Riz.  Dan, aku nak cakap dekat kau… Sera dan Buya akan kahwin tak lama lagi…” 
Kerutan kian tumbuh pada wajah Riz.  Terkejut bukan kepalang.  Mujur saja air yang dia teguk tak tersembur.
“Ini kenyataan, kan?”  Soalan itu lebih untuk diri sendiri sebenarnya. 
“Ini tujuan aku datang jumpa kau.  Sera benar-benar harap kau boleh ada untuk sama-sama raikan hari bahagia dia.  Sebagai kawan yang sama-sama susah-senang.  Aku harap kau pun ada.  Kita kena ada untuk Sera rasa betul-betul bahagia.  Dia akan rasa kurang kalau kita tak ada…”
“Susah untuk aku, Naz…”  Nada Riz begitu sebak.  Hatinya bagai dicarik-carik. 
“Aku tahu… memang susah untuk aku.  Susah juga untuk aku.  Tapi, kita dah janji untuk saling ada masa susah senang kita.  Aku pun tak suka dengan Buya tapi aku pujuk hati aku sebab dah itu pilihan Sera.  Melainkan harap yang terbaik, aku dah tak mampu nak buat apa…” 
Riz menyepi.  Kata-kata Naz bersalut kebenaran.  Dia tak boleh nak sangkal.  Tapi, kenapa hatinya rasa tak sedap.  Lama-lama dia pandang Naz.
“Mak su okey?” 
Mata Naz mengerdip sekali. 
“Sebab mak su okey, baru Sera okey.  Dia tak akan terima Buya selagi mak su tak okey.”
“Tapi, kenapa aku rasa tak sedap hati, Naz?”  Mata Riz nampak basah.
“Kenapa?  Kau tak rasa Sera akan bahagia?” 

Riz menggeleng.  Dia kembali tunduk.  Bukan itu.  Sera memang benar-benar sayangkan Buya tapi bagaikana jika hati yang begitu suci dan polos itu dikhianati?  

6 comments:

  1. Abis kt sini ke msuk PBAKL ni RM?

    ReplyDelete
  2. kenapa Riz x sedap hati yek... ni buatkan akk pon x sedap hati

    ReplyDelete
  3. Ehhh nape riz pulak yg sibuk nk rasa Xsedap ati? Hahahaha wp masih doubt buya, tp Xsuka bila riz sibuk2 gitu 😅 thx RM for the update 🌹🌷

    ReplyDelete
  4. kenapa rasa buya akan khianati sera ? Duh

    ReplyDelete