Sunday, April 08, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 28

AIRMATA Sera jatuh melihatkan Rizqi menghampiri.  Segak berbaju Melayu siap bersampin.  Tersengih tipis. 
“Aku… kacak tak?”  Itulah ayat pertama yang Riz ucapkan pada Sera saat itu. 
“Tengoklah kawan siapa.  Dah tentulah kacak…”  Sera menjawab.  Suaranya serak.  Airmatanya diseka perlahan. 
“Tapi, kacak pun kau tak pandang jugak…”  Bibir Riz mencebek. 
“Hey, aku pandanglah.  Selama ni memang aku pandang.  Dalam pandangan aku ada kau dengan Naz sejak dulu.  Kita kan kawan.  Sahabat sampai syurga…” 
Tawar senyuman yang terukir pada bibir Riz.  Ya, kawan sampai syurga.  Kerana itu dia hadirkan diri, menunaikan janji untuk menghantar Sera melalui gerbang bahagia memandangkan Sera hanya ada mak su.  Biarlah dia tunaikan tanggungjawab untuk bawa Sera dengan selamat tanpa calar dan cela pada lelaki bertuah itu.

“Kau nanti jangan menyesal tau.  Lepas tu cari aku nangis-nangis.  Masa tu aku dah jauh bawa diri dah…”  Riz sengaja bergurau nak melawan rasa canggungnya.
“Eh, kau ni, Riz… mulut tu jaga sikit…”  Naz luruskan telunjuk pada wajah lelaki itu.  Ada ke cakap dekat kawan sendiri macam tu. 
Riz terus hamburkan tawa.  Fuh, lega.  Biarpun sukar, dia akan cuba.  Ini yang terbaik.  Bukan dia yang atur semuanya tapi semua ini kehendak Tuhan. 
“So, macam mana?  Dah ready?  Nak tukar status?” 
Sera angguk.  Senyum.
“Rasa lengkap bila kau, Naz dan mak su ada…” 
Riz senyum.  Sera akan akad nikah di masjid dan lepas tu, akan terus ke rumah Buya.  Katanya, hanya ada satu majlis saja di rumah Buya.  Eloklah.  Buat kerja last minutes macam ni.  Harap semuanya berjalan lancar. 
“Janji dengan kami, Sera… kau akan bahagia selamanya,” pesan Riz perlahan.
“Insyaallah.  Aku janji, aku akan bahagia…” 
Riz angguk.  Resah di hati, dia campak jauh.  Melihat keindahan Sera dalam persalinan serba putih itu, benar-benar buat dia tak mampu alihkan pandangan.  Dan, Buya akan jadi manusia paling malang kalau sakiti hati wanita secantik dan sebaik Sera.  Gadis yang terlalu baik dan setiasa positif biarpun sedang hadapi perkara terburuk.  Yang tak pernah curiga pada sesiapa.  Yang sentiasa percaya, masih banyak kebaikan di dalam dunia. 




KETUKAN pada bilik Balqish berakhir.  Wajah itu muncul akhirnya.  Dia bukan tak boleh nak mendesak, tapi ini bukan masanya.  Balqish perlu dipujuk dengan baik. 
“Qish tak siap lagi?”  Melihatkan adiknya hanya berseluar jeans dan baju-T. 
“Dah pukul berapa ni?  Semua orang dah siap nak ke masjid.  Tetamu pun dah sampai.  Qish macam ni lagi…”  Buya mula rasa nak marah tapi dia pujuk hati.
Hari ini, hari baik.  Dia tak nak marah-marah.  Lagipun, dia tak pernah marah Balqish.  Biasanya, andai dia berubah nada… Balqish akan mengalah dan berlalu.  Kerana itu dia tak pernah meninggikan suara. 
Tapi, hari ini sepertinya Balqish sengaja cabar dirinya.
“Qish nak protes?” 
Balqish masih diam.  Dia mahu menutup pintu tapi tangan Buya menahan.  Ditolak pintu agar terkuak lebar.  Dia pandang baju Balqish yang tergantung.  Sepertinya langsung tak berusik padahal dia yang sediakan. 
“Qish kenapa ni?”  Buya melangkah masuk mengikut Balqish dan duduk di birai katil. 
“Qish tak suka sangat ke abang nikah dengan Sera?” 
“Abang dah ada jawapan tu…”  balas Balqish dingin.  Airmatanya mahu meleleh.  Kenapa terlalu cepat abang buat keputusan untuk menikahi perempuan tu?  Rasanya daddy baru pergi tak berapa lama. 
Dia sendiri masih sukar nak terima kepergian daddy tapi abang pula sedang bina bahagia sendiri?  Tanpa memikirkan dia?
“Qish… abang…”
“Ya, Qish tahu abang nak cakap yang itu hak abang, kan?”  Laju Balqish mencantas.  Dia memandang Buya.  Tajam. 
“Memang.  Sejak dulu, Qish memang diajar untuk patuh pada abang.  Abang lelaki.  Abang berhak buat keputusan dalam hidup abang.  Tapi, pernah abang fikir tentang Qish.  Qish dah tak ada sesiapa.  Qish ada abang sorang aje.  Setidak-tidaknya, abang bincang dulu dengan Qish.  Sama juga tentang wasiat arwah daddy.  Qish berhak tahu tapi abang diam-diam aje.  Sampai Qish tahu sendiri.  Lepas tu, abang pergi meminang Sera padahal bila Qish tanya abang, abang kata bukan dalam masa terdekat ni.  Kenapa, abang?  Kenapa abang belakangkan Qish?”
“Balqish, abang tak pernah belakangkan Qish.  Abang buat semua ni untuk kebaikan Qish.  Sebab kita hanya berdua, apa salahnya kita jadi sekeluarga dengan Sera.  Dia baik.  Dia boleh temankan Qish…”
“Baik?”  Balqish ketawa.  Dikesat airmatanya kasar. 
“Kalau baik, tak akanlah dia terima abang macam tu aje.  Dia bukan kenal abang pun.  Atau sebab keluarga kita ni keluarga yang ada kedudukan?”
“Untuk apa kedudukan kita sekarang, Qish?  Sedangkan semua harta dah jadi milik Sera?  Abang dengan Qish, ada sikit aje.  Lebih separuh, itu milik Sera?  Cuba Qish fikir?”
“Sebab dia nak lebih lagi!  Abang tahu tak?”  Suara Balqish berdentum. 
Man dan Zul di luar pintu, hanya diam.  Gamam.  Tak pernah-pernah Balqish berkasar dengan Buya.  Fuh… apalah nak jadi dua beradik ni nanti dan mangsanya pastilah Sera.
“Jangan jerit, Balqish.  Dekat bawah ada tetamu.  Hari ni hari abang nikah.  Nak atau tak, Qish siap.  Kita nak ke masjid.  Jangan buat abang marah.  Qish bukan tak tahu kalau abang marah macam mana.  Abang bagi Qish lima belas minit.  Siap ala kadar aje.  Pakai baju abang beli tu.  Abang tunggu dekat bawah!”  Buya bangkit dengan nafas yang mengah.
Mengah menahan marah! 
“Abang…” 
Buya hentikan langkah sebelum tiba di muka pintu.  Dia menoleh. Airmata Balqish berjejeran.  Dia faham.  Dia tahu Balqish rasa dikhianati dan Balqish rasa seperti tiada apa.  Seperti mana dia rasa pertama kali kerana wasiat itu.  Dan, Balqish akan mengerti kenapa dia lakukan ini.  Cuma, bukan sekarang. 
“Abang buat semua ni, sebab Qish, kan?”  soal Balqish dan dia yakin Buya mengerti akan apa yang dia maksudkan.
“Kalau abang jawab ya… jawapan tu akan buat Qish lega ke?”  soal Buya perlahan.
Bibir diketap.  Balqish tak beri apa-apa reaksi. 
Buya melangkah pergi.  Menutup pintu.  Memandang pada Man dan Zul. 
“Kau okey?”  soal Zul. 
Buya angguk lemah.  “Aku risaukan Balqish…” 
“Habis tu, macam mana?” 
“Dia akan faham bila sampai masanya…” 
“Aku harap benda yang sama,” ujar Zul.
“Sera dah gerak ke masjid?”  tanya Buya pada Man.
“Tadi katanya belum lagi.  Dia tengah tunggu kawan baik dia datang.  Lepas tu, diorang gerak sama-sama.” 
“Kawan baik dia?”  Kening Buya berkerut.  Dalam dadanya terasa panas tiba-tiba bila dia yakin, bukanlah Naz yang Man maksudkan.
“Rizqi?”  duganya.
Bila Man tunduk, dia lepaskan nafas berat.  Ingatkan dah berakhir, tapi kembali bersambung.  Kejamkah dia bila ada niat untuk singkirkan Rizqi daripada hidup Sera sepenuhnya? 
“Relakslah, bro.  Jangan jealous tak tentu hala.  Sera akan jadi hak kau sepenuhnya kejap aje lagi.  Aku yakin, dia pun tahu batasnya nanti…”  Zul senyum.  Seperti dapat dibaca apa yang bermain dalam kepala Buya. 
“Sera betul-betul dah terima aku, kan?”  Entah kenapa, rasa resah pula.  Atau dia yang terburu-buru padahal Sera dah cakap, pelan-pelan. 
“Kalau dia tak terima, dia tak kahwin dengan kau…”
“Macam mana kalau dia…”  Buya matikan kata.  Dia toleh pada bilik Balqish bila pintu itu dibuka.
Balqish dah siap.  Matanya nampak sembab.  Dia menoleh dan terus memeluk Balqish.
“Abang buat semua ni untuk Qish.  Abang tak akan tinggalkan adik abang sendiri.  Abang janji…”  pujuknya lembut. 
“Qish percaya abang…”  balas Balqish sebak.  Ya, abang akan lakukan yang terbaik untuk mereka. 

Hati Buya resah.  Adakah Balqish faham akan apa yang dia cuba sampaikan?  Atau dia juga terpesong dalam mentafsir akan apa yang Balqish fikirkan?  

6 comments:

  1. Tolonglah jgn main2kn Sera ye Buya..huhu

    ReplyDelete
  2. Panjangnya lagi kisah ni gamaknya

    ReplyDelete
  3. Mcm ada airmata nk jatuh lagi jer

    ReplyDelete
  4. Aduhaiiiii, risau betul... Xpaham apa sbnrnya maksud qish dan apa sbnrnya maksud buya 😓🤔 thx RM for the update 🌹🌷

    ReplyDelete
  5. Please jgn khianati sera 😭😭😭

    ReplyDelete