Saturday, July 07, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 31


BAGASI sederhana itu diseret dengan tangisan yang kian laju.  Apa dia nak jawab pada mak su?  Macam mana keyakinan dia runtuh begitu saja angkara Buya?  Macam mana dia mahu hadapi Naz dan Riz yang selama ini begitu menjaga hatinya?  Sekalipun tak pernah dilukai.  Tapi, dengan mudah Buya toreh luka yang sebegini dalam pada hatinya. 
Sera terduduk di tepi jalan.  Jalan yang senyap sunyi tiada satu kenderaan pun yang lalu lalang.  Dia dongak ke langit.  Tiada satu bintang pun menghiasi sejak awal tadi sepertinya sudah tahu akan takdir hidupnya yang sebegini.  Mulut ditekup rapat.  Takut mendengar tangis sendiri.  Biarlah airmata itu mengalir lesu tanpa suara.  Sejak dulu, dia tak pernah menangis.  Dirinya begitu disayangi dan dia sentiasa berbahagia dalam hidup yang serba sederhana. 

Namun, dia bukan menangis kerana apa yang telah terjadi.  Tapi, airmata ini adalah airmata kesal kerana begitu berkeras dengan mak su.  Menolak mentah pendapat Naz dan Riz.  Macam mana dia begitu yakin sedangkan dia tak pernah bercinta.  Dia tak pernah kenal lelaki yang sudah tak mampu digelar suami. 
Tuhannn…
Sera mendongak ke langit.  Dibiarkan airmatanya jatuh melalui juring mata.  Dia menutup mata.  Menyedut nafas dalam dan menghelanya panjang.  Dia kena kuat.  Dia akan kuat. 
“Apapun jadi nanti, mak su ada di sini tunggu Sera.  Kalau kata Sera dah tak diperlulan dalam rumah tu, atau Sera memang dah tak nak duduk situ, Sera balik sini.  Mak su akan sentiasa ada untuk Sera…” 
Pesanan mak su sejurus dia menjadi seorang isteri terngiang-ngiang dalam kepala.  Sepertinya mak su telah dapat agak akan apa yang akan terjadi. 
“Sera minta maaf, mak su.  Sera anak yang tak taat…”  Suaranya tersangkut direngkung bahana rasa sebak yang mencengkam. 
Tangan digenggam kemas.  Kekuatan yang tersisa dikumpul sehabis daya.  Tubuh diangkat dan dia terus mengatur langkah saat lengannya dilelar orang.  Saat ini, tiada langsung rasa takut yang menyerang melainkan rasa reda atas segalanya.  Apatah lagi bila dia cam haruman yang datang daripada jasad itu. 
“Sera?”  Nafas Buya mengah.  Lelah mengejar isteri yang tiba-tiba pergi. 
Seperti mimpi.  Berkali-kali dia tanya Zul.  Malah, setiap wajah dalam rumah itu dipandang.  Pada mulanya, dia mahu ketawa.  Tapi, ini semua kenyataan yang telah dan sedang terjadi. 
Sera pergi!
“Saya tak benarkan Sera pergi,” luah Buya perlahan. 
Saat ini, Sera toleh.  Senyuman tersungging kemas pada bibirnya.  Bukan senyuman sinis atau sepertinya.  Itu senyuman ikhlas.  Senyuman yang dia akan ukir buat lelaki ini untuk kali terakhir. 
“Sera tak dengar ke?  Saya cakap saya cintakan Sera?”  Sekali lagi, Buya ulang pengakuan itu. 
Namun, Sera masih kaku.  Tak membentak.  Malah hanya memandang wajahnya dengan senyuman tipis.  Mata itu nampak merah tapi tiada airmata yang mengalir.  Wajah Sera kelihatan tenang sehingga sukar untuk dia tebak apa yang sedang bermain dalam kepala wanita ini. 
“Saya tahu saya salah cakap.  Saya tak patut cakap macam tu…”
“Tak patut cakap macam tu hingga saya dengar, kan?”  Akhirnya,  soalan itu membalas bicara Buya. 
Kala ini, dadanya benar-benar sesak.  Serasa begitu sempit untuk dia hela nafas tapi dia perlu kuat.  Dia tak akan lemah kerana lelaki ini. 
“Bukan macam tu maksud saya, Sera…”
“Kiranya, ada lagi maksud lain bila awak ada niat nak kahwin dengan saya?  Apa lagi maksud yang awak sembunyikan daripada saya, Bunyamin?  Awak cakap sekarang.  Biar saya kira segalanya.  Sungguh, saya tak nak lepas ni kita saling berhutang.  Saya akan bayar segala yang awak dah bagi pada saya…”  Sera ketap bibir bawah.  Menahan sendu yang mula mahu berlagu.
“Awak salah faham, Sera…” 
“Ya, saya salah faham dengan awak.  Salah sebab yakin yang awak benar-benar cinta saya tapi kenyataannya berbeza.  Saya salah faham dengan awak sebab saya berkali-kali yakinkan semua orang yang awak jujur dengan saya tapi kenyataannya jauh panggang daripada api.  Memang salah saya daripada awal sebab dah salah faham dengan niat dan kehendak awak.  Jadi, saya tak akan salahkan awak.  Saya tak pernah diajar untuk tuding jari pada sesiapa bila berlaku benda yang tak elok.  Saya dididik untuk tilik diri sendiri.  Puncanya adalah saya.  Awak jangan risau, Buya.  Saya tak akan biarkan sesiapa tuding jari pada awak juga dalam hal ni.  Tapi, awak kena tunaikan syarat saya…” 
Buya gigit bibir bawah.  Ya, dia dah dapat agak syarat Sera.  Tapi, itu adalah sesuatu yang sukar.  Macam mana Sera boleh letak syarat begitu?
“Saya tak akan terima syarat awak, Sera…”
Sera tergelak.  “Macam mana awak tolak sedangkan awak belum dengar lagi syarat tu?”  Tawanya makin tajam dan sinis.
“Sekilas ikan di air, Sera… saya dah dapat…”
“Untung awak, Buya.  Sekilas ikan di air, awak dah dapat tahu jantan betinanya ikan tu,” caras Sera lembut. 
Dia pandang lengannya yang masih ada dalam genggaman Buya.  Ya, kali ini saja.  Lepas ni, dia akan pastikan Buya tiada hak lagi ke atas kulitnya. 
“…sayangnya, saya tak pernah tahu semua tu.  Saya Cuma tahu perasaan sendiri.  Saya Cuma jujur dengan hati sendiri.  Itupun, saya tak sangka akhirnya perasaan itulah yang membuatkan saya berdiri di sini…”  Matanya diangkat memandang Buya.  Akhirnya, airmata itu jatuh jua ke pipi. 
Dia sudah tak mampu bertahan. 
“Saya nak balik rumah mak su saya…”
“Tak…”  Buya menegah.  Menggeleng berkali-kali. 
“Sera isteri saya.  Tempat Sera adalah dengan saya…”    Genggaman pada lengan Sera dieratkan.  Katalah apa saja, merayulah semahunya… dia tak akan lepaskan. 
“Lepaskan saya?”  pinta Sera.  Permintaan yang mempunyai dua maksud.  Satu yang nyata dan satunya yang tersirat. 
Sekali lagi Buya menggeleng.  “You’re my wife, Sera Nur.  I’m gonna keep you by my side, forever…”  ujar Buya perlahan.  Rahang diketap kuat.  Dia mahu heret Sera mengikutnya tapi dia tak mahu berkeras. 
Sera sedang rapuh sekarang.  Dia perlu pujuk wanita ini dengan sehabis daya yang ada. 
“Kalau dah macam tu kata awak, saya akan ikut awak balik,” putus Sera perlahan.  Dia juga resah.  Tak sampai hati mengejutkan mak su malam-malam begini. 
Setidak-tidaknya, dia mahu mak su bernafas tenang buat seketika sebelum dia pulang menyembah di kaki mak su. 
“Thank God, sayang.”  Buya hela nafas lega.  Dia pegang kedua belah bahu isterinya.  Direnung dalam mata basah itu.
“Sera tahu kan… saya tak ada niat macam tu…”
“Saya tahu…”  jawab Sera antara dengar dan tidak. 
Buya tarik beg Sera dan sebelah lagi menggenggam tangan halus itu erat.  Maaf, Sera Nur… aku tak akan lepaskan kau biarpun kau perlu menderita di sisi aku.  Buya renung sisi wajah isterinya. 
Rasa di hati tidak lagi tenang. 
Sabar gadis seperti Sera tercabar. 
Entah apa yang akan terjadi esoknya. 
Sepertinya dia mahu rantai kaki tangan Sera tapi, mana mungkin.
“Sera tak akan tinggalkan saya, kan?”  soal Buya tiba-tiba.
Sera menoleh.  Mata kuyu Buya direnung lama.  Jika sebelum ini, keikhlasan begitu jelas terpancar pada renungan lelaki ini.  Tapi kenapa tidak sekarang?  Sedangkan mata itu adalah mata yang sama?  Adakah kerana malam yang kelam, atau cinta di hatinya yang kian padam? 
Lantas, soalan itu dibiarkan tergantung.  Sepi. 



SEJAK tadi, dia tak pernah lepas memandang isterinya.  Sejak dia naik ke bilik, Sera dah siap menukar pakaian.  Baju kurung kain kapas bunga halus kuning cair itu nampak begitu manis bila tersarung pada tubuh Sera.  Dan, di kepalanya terbalut selendang.  Kemas.  Dia pandang bagasi di sisi Sera.  Sekali pandang, dia seperti dapat agak yang Sera sedang bersedia untuk apa saja kemungkinan.  Malah, sejak tadi Sera memegang telefon tapi tak dihubungi sesiapa.  Dia tahu. 
Kakinya menghampiri Sera yang sedang duduk di atas sofa putih di tepi katil.  Menarik bangku meja solek dan duduk tepat di depan Sera.  Pandangan wanita ini begitu kosong. 
“Sera call mak su ke?”  soalnya cuba berbahasa. 
Sera geleng.  Dia tak telefon sesiapa.  Malah, whatsapp daripada Naz pun dia tak jawab.  Rasa pupus segala kosa kata dalam dunia setelah apa yang telah jadi dan dia masih terkurung di sini. 
“Dah lewat.  Tak nak tidur lagi?”  Tangan Buya menarik telefon daripada tangan Sera dan diletak atas meja kopi. 
Sera mahu capai telefon tersebut tapi ditahan oleh tangan kekar Buya. 
“Dah masa  untuk tidur.  Biar aje telefon tu dulu.  Esok pagi baru Sera telefon mak su.  Jom…”  Buya angkat tubuh.  Dihulur tangan pada Sera tapi langsung tak bersambut. 
“Sayanggg…”  Keluhan Buya lepas.  Dia kembali labuhkan duduk. 
“Saya minta maaf.  Saya tak sengaja…” 
“Awak dah minta maaf.  Awak juga dah cakap yang awak tak sengaja.  Tak perlu nak ulang ayat yang sama, Buya.  Saya dah boleh faham sekarang…”
“Faham?”  Buya hampir merentap tangan isterinya.  Geram dengan wajah dan kata-kata Sera.  Rasanya, sekali imbas saja dia dah tahu, bermacam fikiran negative bermain dalam kepala Sera tapi tidakkah dia juga yang menjadi puncanya.
“Apa yang Sera faham?  Atau Sera nak bagi jawapan, yang Sera faham kenapa saya kahwin dengan Sera?  Langsung tak faham bila saya cakap saya cintakan Sera?”
Sera angkat wajah.  Tersenyum tipis.  Lama dia renung mata Buya yang susah untuk dia tafsir sekarang.  Marahkah Buya pada dia?  Benarkan lelaki itu cintakannya?  Betulkah bagai dikata bila Buya tidak sengaja meluahkan kata-kata yang begitu menggores hati di belakangnya? 
Padahal dia, sepatah pun tidak pernah berkata buruk tentang Buya. 
“Mesti dah banyak masa dan usaha awak untuk cintakan saya, kan?”  soalnya lembut.
Kala ini, Buya lepaskan nafas pendek.  Dadanya begitu sesak.  Syukurlah jika Sera faham biarpun sedikit.  Dia melutut di depan Sera.  Menarik tangan halus itu dan menggenggam kemas. 
“No words can describe, Sera.  Sera sendiri tahu, bukan sikit usaha saya demi cinta saya pada awak…”  Lantas, Buya tunduk.  Membiarkan dahinya jatuh ke tangan Sera.  Sungguh, dia mahu Sera maafkan dia.  Dia mahu Sera usap kepalanya.  Dia benar-benar perlukan perempuan ini.
Jika dulu begitu  jauh, tapi terasa sangat dekat apatah lagi bila tahu Sera juga mencintainya.  Namun sekarang, dia telah sah memiliki Sera.  Segalanya.  Tapi, mengapakah mereka begitu jauh.  Hingga tak terjangkau dek tangan yang pendek dan tak tersapa oleh suara yang memanggil. 
“Bagi saya masa, Buya…”
Buya angguk saja dengan wajah yang masih menyungkur pada tangan isterinya.  
“Saya akan bayar setiap masa dan usaha yang telah awak korbankan untuk saya…”
“Hah?”  Kepala Buya terangkat.  Dahinya berkerut lebat.  Apa yang Sera cakap ni?  Ingatkan…
“Kenapa Sera cakap macam tu?  Apa yang saya buat bukan untuk Sera bayar.  Saya buat sebab saya sanggup.  Saya nak buat.  Saya ikhlas cintakan…”
“Jangan cakap tentang cinta, Buya!!!”  Tak semena Sera menjerit.  Tangannya direntap.  Tak mahu lagi ada dalam pegangan Buya.  Dia tak sanggup disentuh oleh lelaki yang punyai lidah yang bercabang.  
Tangisnya mula kedengaran.  Bahunya terhinggit menahan esakan.  Sejak malam tadi, Buya tak sudah-sudah mengatakan cinta.  Apa makna cinta pada Buya?  Dia tak tahu.  
“Jangan cakap tentang cinta, Buya.  Sejak saya tahu niat awak kahwin dengan saya, saya tahu… saya tahu…”  Nafas Sera tercungap.  
“…kita dah mula hilang arah kita…”  sambung Sera cukup syahdu.  
Buya kelu.  
Sera.  
Nama itu, hanya mampu dia sebut di dalam hati.  


... 

19 comments:

  1. Huaaaaa sedihnyaaaaaaaa...Sera terluka sgt tu...jenuhla buya nk raih balik kepercayaan Sera...tq sis rehan

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah ada jga smbungan trubat juga rindu wlaupin sedih..������ sis smbung lgi

    ReplyDelete
  3. Lukanya hati bila disakiti....Sera Nur...Come on Buya...Hendak seribu daya...Thanks Rehan..lama tunggu...

    ReplyDelete
  4. Sedihnye..
    Itu lah..
    Xnak berterus terang..

    ReplyDelete
  5. TQ Rehan ...rindu sera n Buya..

    ReplyDelete
  6. Huwaaaa... 😭😭😭 Kenapa??

    ReplyDelete
  7. Begitulah sifat wanita yang mencintai dan mempercayai sepenuh hati. Tapi kadang kala apabila perasaan itu goyah atau dicarik carikkan cinta itu mati. Harap Buya melalui penyeasalannya dapat meraih semula cinta mengukuhkan dasar rumahtangga dan menghargai seorang wanita bernama Sera.
    Jangan pisahkan.

    ReplyDelete
  8. Luka di hati Sera terlalu dlm😭😭

    ReplyDelete
  9. inikah suratan takdir buat mrk berdua...dekat pada pandangan mata...tapi sebenarnya hati mrk begitu sakit...bagi Sera..dia rasa dia ditipu hidup hidup tapi pada Buya..satu permulaan cinta yg amat mendalam pada Sera...

    ReplyDelete
  10. huyaaaaa.... sadisnya buya, bila pasangan dah salah nilai apa yg sebenarnya cuba tersirat.

    ReplyDelete
  11. Seraaaa, sabar sera..moga awak cepat terbuka hati..jangan tutup hati lama sgt..buya doa banyak2 k

    ReplyDelete
  12. Plz sambung cpt skit RM..jgn amik msa bbulan utk next n3..x sabar

    ReplyDelete
  13. Sebaknya.. of coz sera terluka teruk!! You must work harder to earn her trust back, buya! Thx RM for the update 🌹🌷 Moga dpt idea mencurah2 utk terus berkarya ☺

    ReplyDelete