MATANYA tunak memerhati pesanan yang baru sahaja masuk ke telefon. Tak perasan saat dia menerima tugasan itu. Nama dan alamat yang sama. Menu yang serupa. Boleh jadi ini adalah tugas terakhir yang dia terima memandangkan dia perlu menyiapkan tugasan universiti yang tertangguh.
Ayla dongak ke langit. Biarpun malam masih
muda, tapi suasana terasa cukup suram dan gelap. Bila-bila masa sahaja hujan
akan turun dan dia perlu cepat agar tidak berlaku peristiwa seperti malam tadi.
Ini pun, badannya dah rasa tak selesa sejak pagi. Seram sejuk.
Ayla berhenti di lampu isyarat simpang Jalan Tunku Abdul Rahman bila hujan mula menitis ke bumi. Sebaik sahaja lampu bertukar hijau, dia memecut laju. Menongkat motosikalnya di tempat semalam dan melangkah masuk ke dalam bangunan bila pintu kaca itu terbuka. Belum dikunci lagi. Tak seperti semalam.