Thursday, March 22, 2012

Ku Ingin Milikimu [17]

BAB 17

BEG duit kulit berwarna coklat itu aku buka. Sebentar lagi, aku harus membayar yuran pengasuh Aryana. Biarpun aku penulis sepenuh masa, namun tuntutan program yang penerbit aturkan membuatkan ada masanya aku terpaksa meninggalkan Aryana dengan agak kerap.

Rasanya bulan lepas juga aku belum sempat berikan pada Kak Pah. Asyik terlupa saja hak orang. Berlaku kejam tanpa sedar. Lama aku termenung di dalam kereta, dia depan rumah Kak Pah, memikirkan kejadian beberapa hari sudah.

Aku pejamkan mata dan menyembamkan wajahku pada stereng kereta. Wajah Mukhlis hadir lagi. Wajah Zafran juga. Tangisan dan rengekan Aryana juga jelas di telingaku memanggil papa tidak henti-henti bagaikan dia pernah bersua dengan Mukhlis berkali-kali. Indah percaturan-Mu, Ya Allah namun mengapa sukar untuk hamba terima?

“Anak papa…,” ucap Mukhlis kala itu bila dia berjaya meraih Aryana lagi.

Aku lihat, airmatanya menitis setitis membasahi wajah cengkung itu. Luluh hatiku kala ini. Meleleh kecairan melihat keakraban Aryana dan papanya bagaikan mereka sentiasa bersama.

“Ana…,” seru Zafran.

Sungguh aku terlupa akan dia. Bila aku berpaling, wajah itu mendung. Dia ukir senyum namun segala hambar dan tawar. Bagaikan langit yang semakin kelam membawa awan mendung yang berarak menutup sang suria.

“Awak tak mampu nak halang hubungan bekas suami awak dengan anak awak, kan?” tanya dia biarpun jawapan kini sudah jelas di depan mata.

“Saya juga langsung tak mampu untuk halang biarpun saya memang cintakan awak, Anahara. Tapi, hati awak tu, biarlah saya miliki dan saya janji, saya tak akan halang
Aryana jumpa papa kandung dia, Ana,” luah Zafran.

Memiliki? Bergetar seluruh sendiku mendengar sepatah perkataan itu. Kecut hati ini. Bagaikan dihiris dengan betali. Pedih terasa namun entah bila tergoresnya.

“Saya pernah dimiliki, Encik Zafran tapi sayang, saya tak dicintai oleh insan yang memiliki saya,” ucapku diluar sedar dengan mata yang masih terpaku pada Mukhlis.

“Tapi, saya akan cintai awak, Anahara. Saya janji…”

“Janji manusia boleh berubah. Janji manusia boleh kalah dengan sifat amarah,” pangkasku.

Dia mengeluh. “Janji saya janji yang pasti, Ana.”

“Dan penolakan saya adalah sesuatu yang pasti juga, Encik Zafran. Kalau encik datang nak berkawan, insyaAllah saya terima kerana Sarina, tapi andai encik nak menduga sedalam mana kasih sayang dan cinta dalam hati saya, toksahlah encik. Pergilah, jangan ganggu saya lagi,” luahku lembut.

Zafran meraup wajahnya kasar. Dapatku lihat dari ekor matanya itu, dia bagaikan tidak berpuas hati.

“Saya bukan lelaki yang mudah putus asa, Anahara.”

“Dan saya juga seorang wanita yang tak mudah kalah dengan nasib, Encik Zafran.”

“Awak masih cintakan bekas suami awak, Ana?” Pertanyaan Zafran kali ini membawa aku memandang dia.

“Cinta itu pernah ada. Tapi hari ini, cinta ini hanya untuk Allah yang Maha Menyembuhkan luka di hati saya,” ujarku lembut lantas aku berlalu menapak ke arah Mukhlis yang pegun mendukung Aryana.

Meninggalkan Zafran sendiri dengan keluh kesahnya. Aku rapati Mukhlis. Mata itu aku renung dalam-dalam.

“Kenapa baru sekarang nak datang cari kami? Kenapa tidak dulu lepas Ann tinggalkan nombor telefon dan alamat pada awak?” soalku agak meninggi.

“Abang minta maaf, sayang. Nasib abang sentiasa silap,” jawab dia menyalahkan nasib.

“Jangan salahkan nasib kalau awak sendiri tak pernah nak hargai peluang yang datang, Mukhlis!” tekanku geram.

Airmata di pipi aku kesat rakus. Aku nampak jemari Mukhlis bagaikan ringan saja hendak hendak menyentuh pipiku. Aku tahu itu kerana aku kenal dia dengan baik namun sayang, bila dia tidak pernah kenal akan hati ini dengan baik juga.

“Tak selesa ni kat sini… kesian anak. Kita masuk ke dalam mall dulu. Duduk,” ajak dia.

Tersentuh hatiku bila dia tiap kali menyebut ‘anak’ tapi aku cepat-cepat juga menggeleng.

“Ann nak cepat. Aryana perlu rehat.”

“Kawan Ann tu dah balik.” Bibir itu terjuih sedikit ke belakang.

Serta merta aku kalih ke belakang dan sungguh, Zafran sedang menapak lemah menuju ke arah sebuah Mazda 5 berwarna merah garang itu. Terasa berdosa bila membawa dia terjebak di dalam hal ini tapi segalanya di luar kemampuanku. Sungguh aku tak pinta lalu aku menghantar kepergiaannya dengan rasa bersalah membelit hati.

“Kenapa? Nak suruh dia datang? Ann panggil dia,” ugutku.

Mukhlis menggeleng. “Abang nak masa Ann sikit hari ni,” pintanya entah kali ke berapa.

“Okey. Ann ada depan mata awak sekarang ni. Sila cakap apa yang awak nak cakap sebab kami nak balik!”

“Tapi, kat sini tak sesuai, sayang. Lagipun, mendung ni. Hari macam nak hujan.” Dia mendongak ke langit.

“Tadi terang elok je. Tiba-tiba awak muncul terus mendung!” sinisku. Mukhlis ketawa halus.

“Ann suka sindir abang sekarang, kan?”

“Sepatutnya dulu lagi bila awak tu buktikan hak memiliki awak tu!”

Tawa halusnya mati. “Maafkan abang. Abang mencintai tapi abang silap masa tu. Maafkan abang, ya? Mari kita masuk dalam mall dulu. Dah hujan pun ni ha..”

Aku dongak ke langit. Setitis air hujan jatuh mengena tepat pada dahiku. Kemudian aku pandang Mukhlis. Dia jungkit kening lebatnya tinggi.

“Dah hujan ni. Kita masuk mall, ya?”

Aku menggeleng. “Ann nak balik. Mari sini Aryana. Kita balik. Papa ada hal. Nanti dia jumpa Arya lain kali pulak.” Aku cuba memujuk anak kecil yang sedang menampar-nampar pipi Mukhlis itu.

Dibiarkan saja tanpa ada rasa hendak menghalang malah semakin disuakan pipinya menjadi sasaran tangan kecil itu.

“Bagi abang masa sikit, sayang…” Suara itu mendayu resah.

Aku sekali lagi mendongak ke langit. Titisan hujan semakin kasar menitis dan aku tidak dapat tidak, mengambil Aryana dari gendongannya dan terus hendak berlalu tapi Mukhlis pantas menahan.

“Kalau tak nak masuk dalam mall, kita masuk dalam kereta abang,” ajak dia.

Dia menunjukkan ke arah Porche Cayenne hitam itu padaku. Membuatkan nostalgia lama terungkit kembali.

“Mari sayang. Kesian dekat anak tu, kena hujan. Nanti demam pula dua-dua. Dahlah abang tak boleh nak jaga Ann lagi setakat ni.”

“Dari dulu pun awak tak pernah jaga kami, kan?” soalku sinis.

Mukhlis diam. Aku tahu dia diserang rasa bersalah dan aku juga. Sungguh lantang lidah ini berbicara sekarang.

“Memang silap abang dan abang akuinya tapi kita masuk kereta dulu. Hujan dah makin lebat ni.”

Tanpa sedar, Mukhlis mengambil Aryana dari pelukannya lantas dia berlari menuju ke arah keretanya. Aku pula tiada pilihan melainkan berlalu juga mengikut dia. Bila tubuhku berada di dalam kereta mewah itu, hujan terus menyimbah lebat dan segala yang pernah terjadi antara aku dan dia terlakar jelas.

“Ann tak suka kereta ni!” ucapku di luar sedar.

“Esok abang tukar kereta,” sahut dia pantas.

Eh, dia ni. Main-main pulak. Getus hatiku geram. Aku menjeling tajam. Inilah orang kaya. Suka bermain dengan harta dan wang ringgit hinggakan diri ini dan hatiku juga dipermainkan sewenangnya oleh dia satu waktu dulu.

Aryana yang masih di ribaannya. Menekan-nekan segala punat yang ada pada stereng tapi Mukhlis hanya membiarkannya saja.

“Arya, tak naklah tekan-tekan. Rosak kereta mahal papa ni nanti,” larangku sambil menarik tangan kecil itu.

Aryana merengek dan Mukhlis pantas menolak jariku. Kala bersentuhan itu, ada getar yang membuatkan arus darahku mengalir bagaikan menongkah aturan alam. Aku cepat-cepat tarik tanganku dan wajah Muklis berubah.

“Abang minta maaf tersentuh tangan Ann,” ucap dia bernada salah.

“Awak nak cakap apa? Silakan cakap cepat.” Pantas aku mengubah perbualan agar kecanggungan ini tidaklah ketara mana.

“Ann tak nak tanya kesihatan abang?” soal dia.

Aku menggeleng. “Kalau kata awak kat sini bermakna awak sihat la tu,” selaku.

“Sebulan dua yang lepas?” tanya dia lagi.

Aku terus memusingkan kepalaku menatap bening matanya. Bila tiba-tiba Aryana menepuk bahuku, Mukhlis terjerit kecil. Berkerut wajahku kala ini.

“Kenapa?” soalku ingin tahu.

“Ann nak tahu kenapa abang tak mampu nak jejak Ann lepas kita jumpa dekat pesta buku dua tiga bulan sudah tu?” tanya dia lagi.

Aku diam bertujuan memberi laluan pada dia meneruskan kata-katanya. Aku juga tahu mengapa begitu? Aku berharap sebenarnya dia hadir dekat pada anaknya itu biarpun tidak memandangku hingga akhirnya, aku pujuk hati dan berkata dia bukanlah tidak sudi tapi masa tidak mengizinkan kami.

“Cuba Ann tanya abang, kenapa abang tak jejak Ann hari tu?”

Aku mengerutkan wajah dan bertanya sepatah. “Kenapa?”

Mukhlis tidak menjawab sebaliknya, dia menyelak jeansnya sampai ke paras lutut. Bila seluar itu tinggi tersingkap, mataku bulat. Aku tunduk sedikit memerhatikan kesan jahitan sepanjang hampir sejengkal itu di betis kirinya.

“Kenapa?” tanyaku dengan jari yang hampir menyentuh luka itu tapi aku tarik kemudiannya bila mengingatkan batas-batas antara kami.

Mukhlis senyum dan mengelak pula lengan baju T yang terbalut di tubuhnya. Menunjukkan tempat di mana Aryana menepuknya tadi dan ternyata, di situ juga terdapat kesan jahitan.

“Awak kenapa?” soalku risau.

“Lepas abang balik hari tu, abang tahan airmata abang dari jatuh tapi sungguh, abang tak kuat nak hadap kehilangan Ann buat kali kedua bila Ann pergi macam tu je bawa

Aryana biarpun abang merayu-rayu Ann kembali pada abang,” jawabnya perlahan memulakan cerita.
Aku hanya tekun mendengar. Memasang telinga menanti bait-bait ayat yang bakal terbit dari celah bibir yang kekal merah sensual itu.

“Abang menangis, yang. Abang kena akui memang abang menangis masa memandu. Ya Allah… bila abang fikir balik, abang tak tahu macam mana abang boleh hilang pertimbangan masa tu. Dan… abang…”

Mukhlis menjeling ke arahku dengan bibir yang bergetar hebat. Tubir mata kuyu itu bergenang lagi. Menari-nari air jernih itu hendak melalui lekuk pipi yang agak cengkung itu.

“Awak nak cakap awak kemalangan?” tanyaku pantas.

Dia angguk. “Abang terlantar. Alamat Ann, nombor telefon Ann semua tak ada dah. Bila abang sedar, ayat pertama abang sebut, Anahara dan Aryana. Mama menangis bila abang kata abang dah jumpa Ann. Dah peluk cucu mama tu. Nayli pun sama. Rindu nak tengok anak buah dia. Abang toksah cakaplah, yang. Sampai hari ni dia tuding jari pada abang. Caldina abang, totally lost. Sebab tu abang pakai kereta ni. Maaf kalau Ann tak suka kereta ni,” sambung dia panjang.
Aku menggeleng. “Jangan jadi kurang cerdiklah. Ann tak kisah pasal kereta tapi betullah. Ann tak sangka macam ni sekali keadaan awak. Tak apalah. Ann tak salahkan awak dan keluarga awak sikit pun.”

Sebenarnya, kala nama-nama itu meniti di bibir Mukhlis, ada rasa rindu berbisik pada mereka. Rindu panggilan kakak dari bibir mungil Nayli, rindu sebutan mama dari celah bibir tipis Puan Sri, biarpun dia memanggilku dengan mesra setelah hubunganku dengan anaknya putus terlerai. Rindu pada kemesraan Tan Sri yang tidak lokek memberi sayang dan tarafku di dalam rumah banglo itu dulu.

“Padanlah nampak awak macam tak terurus. Jalan macam tak betul je. Awak tak sihat rupanya. Tapi, macam mana boleh ada kat sini hari ni?”

“Abang nampak iklan dekat fan page Ann yang Ann akan berada kat sini hari ni. Tu abang kejar datang biarpun mama dan abah sibuk nak teman sebab abang tak boleh nak bergerak sendiri sangat lagi,” jawabnya.

Tiba-tiba, aku teringatkan sesuatu. Dia keluarga kaya. Dengan wang ringgit, segalanya bagai terkawal di hujung jari. Bagai satu waktu dulu, di mana dia nekad mengupah orang untuk menyiasat tentangku, tapi di mana ego keluarga kaya ini bila tidak mampu menjejaki langkahku dan Aryana. Pelik!

“Tapi, bukan ke awak dah biasa siasat hal Ann sebelum ni sejak dari awal lagi. Kenapa tentang Ann hari awak tak mampu nak siasat?” tanyaku sinis.

“Abang dah siasat.”

“Habis tu kenapa tak ada sorang pun datang jenguk Aryana. Puan Sri mungkin. Atau Nayli?” dugaku lebih sinis.

“Seperti yang abang cakap, abang masih belum sedia dan masa pun belum tiba. Dan abang memang larang keras mama dan Nayli jenguk sayang sebab abang nak mama dan keluarga tungguh abang bawa balik Ann semula ke rumah tu dalam keadaan halal sekali lagi,” jawab dia yakin.

Aku menggeleng dan tersenyum. “Usah terlalu yakin diri, Mukhlis. Saya dah cukup dimiliki oleh awak satu waktu dulu jadi toksah la berharap lagi,” perliku.
Dia senyum pahit. “Atau Ann memang dah ada Zafran tu dalam hati Ann sekarang?”

Mendengarkan tekaan tak berasas itu, aku pantas cuba membuka pintu kereta tapi tangan sasa itu pantas melelar pergelangan tanganku.

“Hujan, sayang. Nak ke mana?” Dia menggeleng menghalang aku dari keluar menjadikan aku kembali membetulkan duduk.
Tanganku yang digenggam erat olehnya, aku rentap agak kasar.

“Dari dulu lagi Ann pernah cakap dekat awak masa pertemuan pertama kita. Kulit Ann ni terlalu mahal untuk disentuh oleh lelaki yang tak halal buat Ann!” marahku.
Dia angguk. “Abang tahu. Maruah dan harga diri serta hati Ann terlalu mahal untuk abang miliki semula tapi abang rayu, sayang… abang perlukan peluang kedua untuk buktikan abang bukan sekadar memiliki tapi abang mencintai,” ujar dia bersungguh-sungguh.

“Ann pernah dimiliki tapi Ann tak pernah dicintai!” balasku pula. Penuh dengan ketegasan biarpun sebak makin melilit jiwa dan seluruh tubuhku waktu ini.

“Aryana perlukan abang, kan?” Dia mula memancing jiwaku dengan nama anaknya itu tapi aku tetap menggeleng.

“Aryana memang perlukan awak sebab tu saya tak pernah halang awak datang jumpa dia, tapi Ann… tak perlukan awak lagi lepas awak jatuhkan talak sebab salah faham awak tu, Mukhlis!”

Kala ini, mata kami sama-sama sarat dengan airmata. Lama kami saling bersabung pandang hingga akhirnya, aku yang tertewas terlebih dahulu kala air jernih itu mengalir hangat di pipiku.

“Jangan menangis, Ann. Hati abang sakit sangat tengok sayang menangis. Jangan menangis dulu buat waktu ni sebab abang tak mampu nak seka airmata tu. Jangan hari ni dan jangan sebab ni,” larang dia lembut.

Kepala Aryana dikucup lama. Pelukan pada Aryana juga, aku lihat semakin erat. Dia memejamkan matanya lama cuba melarikan renungan itu dari wajahku yang sudah dijeruk airmata. Selebat titisan hujan yang semakin kasar di luar sana.

“Hak awak pada Aryana, Ann tak pernah pertikaikan, tapi tolonglah Mukhlis… tolong jangan buat Ann macam ni lagi. Tolong jangan buru Ann macam dulu. Ann takut. Jangan ulangi lagi hal yang sama, Mukhlis. Tolonglah…,” ujarku separuh merayu.

“Atau memang Ann dah nak serah hati Ann pada Zafran? Ann memang nak sambung kisah hati kita dulu dengan Zafran, macam tu?” tebak dia lagi.

Dan kali ini, aku langsung tidak teragak-agak menarik tubuh Aryana ke dalam pelukanku lantas aku membolos keluar dari perut kereta mewah Mukhlis dan berlari di dalam hujan sambil melindungi kepala Aryana.

Setelah aku berjaya masuk ke dalam kereta, Mukhlis nampak terkial-kial cuba mengejarku di dalam hujan yang masih lebat namun aku terus saja meluncur laju. Tidak mahu mempedulikan dia lagi setelah berkali-kali dia menyebut nama Zafran.

Bagaikan tidak ikhlas hendak memujukku. Membuatkan aku berperang dengan perasaan akan lamaran cinta yang lama yang sememangnya telah ku rasa pahit dan manisnya. Hendak dibandingkan dengan lamaran cinta baru yang belum ku tahu apakah perjalanannya akan menjadi sehebat cinta lama juga.

***

AKU tersentak. Ketukan pada cermin kereta membuatkan aku mengangkat wajahku pantas daripada terus menyembam pada stereng. Ya Allah, Kak Pah rupanya. Hampir terloncat keluar jantungku kala ini.

Cepat-cepat aku buka pintu kereta dan menghulurkan salam pada Kak Pah. Dia senyum dan menunjukkan kea rah Aryana yang sedang bermain di laman rumah teresnya itu.

“Err… maaf, kak,” ucapku.

Dia angguk. “Ana buat apa kat dalam kereta? Tadi dah nampak Ana sampai tapi tak keluar-keluar jugak. Terlena ke? Itu yang Kak Pah datang tu.”

“Berehat kejap, kak. Terlena pun, ya. Macam-macam urusan sehari dua ni,” beritahuku pada dia sambil tersengih menyembunyikan wajah resah.

“Marilah masuk,” ajak dia.

Aku mengangguk dan terus menggapai beg tangan lalu menapak mengikuti langkahnya menuju ke rumah.

“Arya, anak mama yang bulat. Semua bulat. Tak ada yang tak bulat. Semua tak sama dengan mama. Semua sama dengan papa,” luahku tanpa sedar sambil menyapa tubuhku ke dalam pelukannya dan membawa dia duduk di atas kerusi kayu di depan rumah Kak Pah.

Aryana aku letak ke bawah. Beg duit kulit itu aku tarik dan beberapa not RM50 aku keluarkan lalu aku hulur pada Kak Pah.

“Maaf, kak. Bulan lepas punya upah Kak Pah, Ana tak sempat nak bagi. Ingat tu ingat, tapi sampai masa tak ingat. Sibuk sangat,” luahku penuh dengan rasa bersalah.

Kak Pah senyum dan menggeleng. Dia menolak huluranku membuatkan aku pelik pula.

“Tak usahlah, Ana. Duit upah jaga Aryana ni dan semua keperluan dia, dah ada yang tolong bayarkan. Untuk sepanjang tahun ni,” jawab Kak Pah.

Bulat mataku demi mendengarkan kata-kata Kakk Pah. Tapi dia, hanya tersenyum senang. Sungguh aku berasa pelik.

Bila mengingatkan kejadian ini, sewa rumahku juga sama. Bila aku berkata pada tuan rumah, sewa rumah telah dibayar, dia mengembalikan semula wang sejumlah RM800 itu padaku. Pelik sungguh. Penat berfikir tapi pada fikiranku, mungkin boleh jadi aku terbayar awal sebulan jadi haruslah begitu.

Namun, bila dengan Kak Pah juga begini, tak mungkin ini satu kebetulan. Segalanya berlaku sejak aku kenali Zafran. Adakah dia? Terasa tidak logik pula.

“Err… siapa yang baik hati tu, kak?” tanyaku berseloroh hendak memancing agar Kak Pah memberitahu tentang hamba Allah yang baik hati itu.

“Emm… yang ni Ana tak boleh nak tanyalah. Dia dah pesan minta Kak Pah menjaga amanah. Dia kata, dia tahu Ana akan tolak dia, jadi biarlah dia membuktikan cinta dia pada Ana dari jauh,” jawab Kak Pah tersenyum sumbing.

Aku geleng kepala tidak percaya. Cinta yang akan ditolak? Rasanya beberapa hari sudah, aku tekad menolak cinta Zafran dan Mukhlis juga tapi kenapa dari awal dia tahu yang cintanya akan aku tolak? Tak mungkin Mukhlis kerana dia terlantar saja sebulan dua sudah. Mungkinkah Zafran? Ya Allah… Aku meraup wajah kusut tiba-tiba.

“Sikit pun tak boleh bagi tahu ke, kak?” tanyaku masih cuba merayu.

Kak Pah menggeleng. “Kak Pah menjaga amanah, Ana. Ana kena faham jugak tu. Besar tanggungjawab Kak Pah pikul nak jaga amanah orang ni.”

Aku akhirnya mengangguk mengiyakan kata-kata Kak Pah. Benar begitu. Andai aku, aku juga akan menjaga amanah itu sampai mati. Sarat dosa andai meleburkan kepercayaan orang nanti. Jadi, usah dipaksa Kak Pah kerana dia pastilah serba salah.

“Tak apalah, kak. Ambillah juga. Ni bahagian saya. Kalau lebih, Kak Pah simpan buat beli keperluan Aryana nanti. Kirim salam dekat orang tu, ya. Moga hidup dia akan ada kesudahan yang baik biarpun bersama siapa pun nanti,” ucapku.

Aku bangkit dan menyalami Kak Pah. Aryana aku pimpian dan terus kami menuju ke arah keretaku. Namun, hati ini rasa lain macam. Rasa tidak sedap. Rasa diintip dan kini, muncul pula pengintip baru setelah Mukhlis membuatkan aku mengeluh tanpa sedar.

~~> bersambung

26 comments:

  1. mukhlis kn yg tolong byar suma tu? kan3? hee
    hero ketiga? wah2, ramai benor hero anahara a.k.a ann rahana nie..

    [hawa]

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha..mane ada dh..2 org dh penin..sape bayar..jeng jeng jeng..cik penulis pegi makan kejap..hehe..

      Delete
  2. Sapa la bayar tu . Mesti mukhlis kan . Hihi . Best2 !

    ReplyDelete
  3. x brpa suka kalu hero ramai sgt.
    2 org dah cukup ... ;)

    ReplyDelete
  4. akak rasa ni mesti mukhlis yg bayarkan... sbb anak dia nampak rapat semacam je dgn dia... :)

    ReplyDelete
  5. sy rasa mukhlis yg bayarkan............ hehehe. nak ann ngan mukhlis.

    ReplyDelete
  6. Tk mo tk mo.biar lah ann dgn org lain. :(
    Ajar sikit mukhlis tu

    ReplyDelete
  7. ntah2 zafran yg bayar.sy rasa ending cite KIM2 ni mcm ann dgn zafran.x suka betul la.nak dgn muklis..memang mcm ann dgn zafran je.redha je la wahai pro2 muklis sekalian..termasuk ler sy ni.

    ReplyDelete
  8. ada insan ketiga??? aduhai makin mereng la mukhlis lps ni nk beli jiwa ann blik hehehe.

    ReplyDelete
  9. hahhaah ! bestt..:) sambung lagi kak..hehe

    ReplyDelete
  10. rasa mcm mukhlif yang bayar kan.. aper2 pun tak salah bagi peluang kedua kan... setiap manusia mesti melakukan kesilapan..tak gitu?

    dania

    ReplyDelete
  11. saya stuju ngn k.zue..mesti mukhlis yang bayarkan. kalo bkn die mcm mane si aryana rapat je ngn papa die kan?..wat spekulasi sdiri plak. hehe

    ReplyDelete
  12. aku ni jahat.....jadi aku tak nak ann ngan mukhlis.
    yang dah dibuang jangan dikutip kembali. anak bukannya alasan. pertalian darah itu xkan putus, tapi hati kita tak yang pernah sakit tak mungkin boleh sembuh. melupakan senang tapi menyembuhkan susah.....

    alamak......aku pulak yang terlebih sudah. Heee....

    sorry ek!

    ReplyDelete
  13. jeng...jeng..jeng... saya rasa mesti mukhlis yg bayarkan...nak mukhlis jugak..taknak zafran...hehehe..tapi sebelum Ann terima cinta mukhlis kembali..mukhlis mesti diajar cukup2..supaya dia ingat di masa akan datang..best la rehan..cepat2 update new chapter ye...

    ReplyDelete
  14. sapa lah pulak ek..yang bayar tu semua..Mukhlis kot..kan dia mmg kena bayar nafkah janda dan anaknya..
    Masih terluka lagi ana ngan Mukhlis walaupun 2 tahun telah berlalu..apa ek cara Mukhlis nak merebut hati ana balik..kesian aryana yang dahagakan kasih ayah..

    ReplyDelete
  15. harap happy nding untuk mukhlis n annahara n aryana..

    ReplyDelete
    Replies
    1. where have u been..r u ok..sihat?..be waiting for u..baru terfikir about u actually..just read ur last pm..hope u r ok..

      Delete
  16. bestlah Rehan dh tak sabar nak baca n3 baru....

    ReplyDelete
  17. Kak Rehan.... suka main 'ba ba cak' dengan peminat ya? Saya pun setuju dengan peminat yang lain...mesti mukhlis yang bayar kan? tak suka zafran walau mungkin dia baik.... nak ann dengan mukhlis jugak.

    ReplyDelete
  18. harapnya mukhlis yg byr

    ReplyDelete
  19. ala....xmo la dgn zafran....nak mukhlis jugak...please RM...adoi...sesak nafas baca citer RM ni...SAKIT ATI LAK DGN ZAFRAN TU!!!!tahniah RM...sbb berjaya mempengaruhi perasaan ni....jiwa kacau btol...heheehheeh

    ReplyDelete
  20. ala...kesianla plak dkt mukhlis... ingat nak sokong zafran... tp rasanya mcm mukhlis lagi kesian.....

    ReplyDelete
  21. pity mukhlis.. kerana kemarahan yg tak terkawal masa lalu, sampai takda peluang nak melihat saat2x comel anak membesar..
    rehan!!! ni ayat nak pujuk ni...

    ReplyDelete
  22. akak rasa Tan Sri yg bayar ......sebab dia seorang yang memahami dan rasa bertanggungjawap kerana Aryana tu cucu
    dia atau adekah abang long Mukhlis yang berasa bertanggung jawap tidak menghalang akan perceraian Mukhlis dan Ann....
    ada betul ke writer...

    ReplyDelete
  23. sape byr?Mukhlis rs nya sbb ank dia tiba2 rapat xingt dunia dah.tp ana mmg xleh buat kptsn sbb ank.ingt Ana,sekali dia buat,xmustahil dia boleh buat lg.zafran pulak,belum dpt mmgla semua manis bila dh dpt wassalam pun xtahu la.jd Ana mmg kena bnyk2 doa.

    ReplyDelete