Tuesday, March 20, 2012

Ku Ingin Milikimu [13]

BAB 13

AKU aminkan doa setelah usai solat hajat dua rakaat biarpun tanpa Mukhlis lagi malam ini kerana dia menemani Jeslina di bilik tetamu di bawah membiarkan aku bertahan demi cinta dan janji hendak mencintaiku setelah dia berjaya miliki.

Rasanya sudah lama tidak bercerita. Jadi, peluang ini aku ambil untuk menyudahkan tugasan yang ada. Tarikh akhir yang penerbit berikan hampir tiba dan aku perlu menjaga etika sebagai seorang penulis.

Tidak sedar, sudah berapa lama aku menulis dan melayan komen-komen peminat, aku akhirnya terlena di meja tulis bertemankan komputer riba yang tidak dimatikan.

Kala aku tersedar, sayup-sayup suara azan mendayu-dayu memanggilku menunaikan tanggungjawab kepada Sang Pencipta. Aku bangkit dan mengambil pakaian solat Mukhlis. Tuala baru juga aku keluarkan.

“Abang… bangkit. Kita berjemaah dulu. Nanti abang sambung tidur kalau dah penat sangat,” ucapku seraya berpaling ke arah katil dan terduduk aku sendiri kerana terlupa Mukhlis tidak bermalam bersamaku.

Katil itu kemas. Langsung tidak terusik kerana aku juga terlena di meja tulis. Tanpa sedar, airmata ini menitis lagi.

“Ann rindukan abang…,” bisikku sendiri bersama doa yang tidak putus-putus agar aku mampu bertahan hingga ke akhirnya.

Setelah Usai Subuh, Mukhlis kembali ke bilik. Rambut itu kusut masai. Wajah itu keruh dan nampak penat.

“Abang pergi mandi. Ana dah siapkan pakaian abang ni.” Aku bangkit sambil membuka telekung.

Dia mengangguk lantas berlalu ke bilik air. Setelah beberapa ketika, dia keluar dengan hanya memakai tuala. Melihat kesan merah di dadanya, aku tahan hati.

“Nah, baju melayu abang.” Aku suakan pakaian itu dan dia menyambutnya tenang.

Setelah itu dia berlalu ke sejadah dan menunaikan Subuh setelah jam hampir menginjak ke angka tujuh.

Mukhlis mengaminkan doa. Lebih lama dari sebelumnya cuma suara itu hanya sayup-sayup, tenggelam timbul saja menyapa peluput telingaku. Tidak jelas sebenarnya. Dia berpaling dan menggamit aku hadir dekat pada dia. Tanpa paksa, aku membawa diriku berada di hadapannya. Melutut bagaikan menagih kasih andai masih tersisa buatku.

“Abang minta maaf pasal semalam. Tak dapat temankan Ann. Maafkan abang, sayang,”

Aku menggeleng. “Ann maafkan dan Ann redha.”

“Abang tak adil pada Ann, kan? Memang abang tak adil pada Ann,” keluh dia.

“Abang sentiasa adil pada Ann. Ann tak rasa kurang sikit pun,” ucapku berharap agar dia tidak terus berasa bersalah.

Dia mengangguk lantas menarik aku ke dalam pelukannya. “Abang rindukan Ann. Sungguh rindu.” Dia berbisik syahdu.

Aku tolak tubuhnya dan tersenyum seketika. “Jes dah balik?” tanyaku.

“Entah. Tidur lagi kot. Ikut dialah.” Mukhlis bangkit.

Suasana bilik yang masih dalam cahaya samar-samar kerana cuaca di luar juga masih agak gelap, menambahkan rasa rindu yang menggebu.

“Abang rindu Ann. Rindu Anahara, rindu Ann Rahana,” gumamnya.

“Kalau rindu Anahara ada kat sini. Kalau abang rindu Ann Rahana, abang kena pergi jenguk fan page dia, tak pun blog dialah.

Rasanya malam tadi dia ada update blog dia tu,” selaku sengaja mengusiknya.

“Sayang menulis ke malam tadi?”

Aku angguk. “Dateline dah dekat. Nanti penerbit bising pulak tak tepat janji.”

“Penat tak menulis, sayang?”

“Penat tu penat kot, nak-nak ada pembaca macam abang ni. Cuma satu kepuasanlah sebab Ann kan memang suka menulis.”

“Eh, kenapa pulak?” soal dia tak puas hati. Aku ketawa.

“Yalah, lambat update sikit, mulalah komen marah-marah. Lepas tu komen semua macam real je. Padahal cerita je kot,” jawabku.

Mukhlis senyum segaris. “Maknanya cerita sayang tu tinggalkan kesan mendalam dalam diri pembaca. Nak nak pembaca macam abang ni. Sampai teringin nak cari, nak miliki, nak cintai Ann Rahana tu sebab setiap cerita dia tu, rasa macam dekat je dengan jiwa abang.” Dia memulangkan paku buah keras.

“Macam mana Ann buat cerita sampai macam tu, ya? Sampai abang sendiri pun rasa nak sepak-sepak je kalau watak tu jahat ke apa ke?” tanya dia lagi.

“Haa… itulah rahsia Ann. Abang tak tahu. Bila Ann menulis, Ann all out semua. Kena cari kelainan dalam setiap patah ayat tu. Kalau cerita sedih, Ann menangis dululah. Kalau cerita happy, Ann ketawa dululah. Macam tu, baru boleh capture jiwa pembaca.”

Dia mengangguk tanda faham.

“Tapi, Ann peliklah. Ada juga pembaca macam abang ni. Ingatkan perempuan je semua. Lelaki tua adalah sorang dua tapi tak adalah emotional macam abang ni.”

“Haa… yang tu, tak boleh nak kata apa. Sayang tahu, kan. Almari tu…” Mukhlis memuncungkan bibirnya pada almari di sebelah meja tulis itu.

“… penuh dengan buku. Abang memang suka buku tapi sejak bila terjebak dengan cerita-cerita online ni, tak pasti pulak. Yang pasti, abang memang pengunjung setia blog Ann Rahana tu,” luahnya.

Aku angguk tanda mengerti. “Okeylah tu. Menyokong kami penulis-penulis amatur ni.”

“Abang rasakan, yang… ada lagi la kat luar sana tu yang jatuh cinta dengan Ann Rahana tu tanpa diorang tahu yang abang dah miliki sayang terlebih dahulu.” Wajah itu nampak bangga.

Aku mencemik. “Memiliki dengan syarat mencintai dan menjaga tau. Bukan memiliki semata-mata.” Aku mengingatkan dia tanpa sedar.

Mukhlis mendekat padaku. Jemariku diraih lantas dikucupnya lembut. Setelah jemari kami terpisah, dia lantas menarik baju melayu itu dari tubuhnya dan dicampaknya ke atas permaidani berwarna biru lembut bercorak abstrak buatan Itali ini.

Aku pandang baju melayu itu. “Kenapa campak merata-rata? Nanti nak pakai lagi solat karang. Baru pakai sekali je ni.”
Aku berlalu dan cuba hendak mengutip pakaiannya namun dia pantas menahan. Bila aku pandang wajah itu, dia menggeleng.

“Abang rindu Ann,” luah dia sekali lagi dan aku hanya mampu tersenyum.

Mengerti benar dengan kehendaknya bila dia menyatakan rindu dengan cara yang begitu. Dada itu turun naik menahan nafas yang kian bergelora. Aku menapak mendekat padanya dan membawa tangannya melingkari pinggangku.

“Ann rindukan abang juga.”

Mukhlis meleraikan pelukan. Aku hanya memandang dia yang membetulkan urat sarafnya. Dia menggosok belakang lehernya dan sesudah itu, tangan itu menggapai jemariku lalu dia menarik aku ke tempat beradu dan aku tak mungkin menghindar andai ini mampu membuatkan dia bahagia.

***

SUDAH tiga hari mama dan abah kepada Mukhlis tiada di rumah. Pada Jeslina dia amanahkan untuk menjaga Nayli, namun sesaat pun tidak dijenguk. Mengerti dengan tugas Jeslina yang sentiasa sibuk itu, aku ambil keputusan hendak bercuti saja sementara Puan Sri pulang dan rasanya sebentar lagi, mereka akan tiba kerana Mukhlis sedang dalam perjalanan mengambil mereka di KLIA.

Aku juga ada khabar yang hendak aku sampaikan pada Mukhlis. Khabar yang pasti membuatkan dia bahagia. Khabar yang bakal mengikat kasih kami hingga akhirnya.

Sedang aku di dapur, aku dengar suara Jeslina bergaduh dengan Nayli. Cepat-cepat aku keluar dan terus menuju ke anak tangga.

“Kak Jes, mama minta tolong kakak jaga Nayli, kan? Nayli nak turun bawah je. Nayli minta kakak tolong Nayli sikit je. Tak boleh ke?” jerit Nayli bersama tangisan.

“Nayli, kakak nak cepat ni. Itulah, siapa suruh sakit. Kan dah susahkan orang. Even my parent pun tak pernah kacau kakak tau. Kakak tak laratlah nak papah Nayli. Nayli panggil jelah orang gaji mama tu. Kakak nak keluar ni sebelum Mukhlis balik,” bentak Jeslina.

Aku nampak Nayli sendiri terjingkit-jingkit hendak merapati Jeslina yang sedang menuruni anak tangga dan mataku bulat bila tanpa sempat Nayli berpaut pada Jeslina, wanita itu menepis kuat menyebabkan Nayli jatuh tergolek.

Sepantas kilat aku berlari menyambutnya namun apalah dayaku yang sememangnya tidak berkudrat mana sehari dua ini. Sudahnya, aku tergolek sama bersama Nayli dan seboleh-bolehnya, aku tahan tubuh kecil itu agar tidak terkena bucu tangga namun dahi itu tetap luka berdarah dan dia kini sedang menangis teresak-esak di atas ribaku.

Jeslina kalut dan serentak itu, Mukhlis, Tan Sri, Puan Sri dan abang long mereka muncul di ambang pintu. Melihat aku bagaikan singa kelaparan.

“Anahara!!!” tempik Mukhlis kuat. Jeslina terus berlari rapat pada Puan Sri.

“Jes tak tahu mama. Jes tengok, Nayli dah jatuh sebab Anahara kot,” ucap dia mencipta pembohongan lagi.

Aku telan liur dan menggeleng pasrah. Melihatkan mata Mukhlis yang tajam dan merah bagaikan biji saga, aku tahu aku tiada ruang untuk pertahankan diri lagi.

“Kan mama dah cakap pada kamu, Mukhlis. Dia memang tak suka keluarga ni. Dia ada sebab kamu je. Tengok apa dia buat pada adik kamu tu? Kamu pilih hari ini, nak keluarga ni atau kamu nak Anahara ni?” tanya Puan Sri kuat.

Abah mengucap panjang. “Sabar sikit awak pun. Kita tak tahu apa jadi. Kita bawa dulu Nayli ke hospital. Ini yang penting.”

Abang Long terus meluru ke arahku. Mukhlis diam kaku dan Puan Sri sedang mengalirkan airmata di bahu Jeslina yang berwajah cuak.

Melihat Nayli yang dicempung oleh Abang Longnya lantas di bawa keluar, Mukhlis mendekat padaku.

“Pertama kali Ann tak mengaku yang Ann buat Nayli luka. Ann kata Ann tak buat tapi ni depan mata kepala abang sendiri, Ann buat adik abang, Ann masih tak nak mengaku ke?” soal dia marah.

Aku menggeleng. “Ann tak buat abang.”

Airmata ini laju saja menitis apatah lagi bila aku cuba raih tangannya, dia menepis kasar. Aku mahu bawa telapak tangan itu menyentuh perutku sebenarnya berharap agar dia reda dari amarahnya itu.

“Tak buat apa, Anahara? Kami nampak dan Ann masih cuba nak nafikan?” herdik dia.

“Sungguh, abang. Ann tak buat. Jes yang tolak…”

“Anahara!!” tempik Mukhlis kuat.

Terangkat bahuku demi mendengarkan dia menyergah aku begitu. Semakin laju airmataku mengalir, semakin sesak nafasku kala ini. Belum sempat aku habiskan ayatku, dia sudah membentak.

“Jangan nak tuduh Jeslina, Anahara kalau diri sendiri tu yang salah. Aku kenal Jeslina dah lama. Dia sepupu aku. Aku lebih kenal dia siapa dan aku tahu, dia sangat sayangkan Nayli. Tergamak kau tuduh dia, ya?” soal Mukhlis berubah kasar.

Bahuku dicengkam kuat. Aku menggeleng dan terus menggeleng ketakutan. Bukan takut disakiti namun aku lebih takut andai dia memaksa aku pergi dari hidupnya setelah pada dia, aku korbankan segalanya.

“Maaf, abang. Ann tak tuduh tapi…” Aku tidak mampu bersuara lagi bila melihatkan mata Mukhlis yang merah bagaikan saga.

Rahang itu turun naik. Giginya diketap kuat. Hanya kerana peristiwa ini, dia mula melupakan cinta dan janji yang telah dia berikan padaku. Dia menyayangi Nayli dan aku juga begitu. Tidakkah dia sedar akan hakikat ini?

“Sudahlah. Aku tak sangka, kau tak pernah sayangkan keluarga aku, Anahara. Sungguh aku terbuai dengan ayat-ayat cinta yang kau tulis selama ni hingga aku buta membezakan realiti dan hakikat,” tekannya padaku.

Airmatanya mengalir dan terus mengalir bagaikan tiada tanda hendak berhenti bila aku terkesan akan pudarnya kasih sayang dan cintanya buatku di sebalik renungan tajam itu.

“Sabar dulu Mukhlis. Jangan cepat marah. Yang penting sekarang adik kamu tu,” marah abah dan dia terus berlalu bersama mama mengikut Abang Long.

“Ann… tak salah abang. Ann sayangkan keluarga abang seperti mana Ann sayangkan abang,” ucapku merayu sambil memegang perut yang kini berisi.

“Tak salah apa kalau depan mata kami kau buat adik aku macam tu, Ann? Ini dah kali kedua, Ana. Macam mana aku nak maafkan kau? Buruk sangat ke keluarga aku ni pada kau? Tak boleh ke kau sabar sikit dengan layanan mereka ni?” tanya dia kasar.

Jeslina tersenyum sumbing melihat ke arahku yang hampir putus nafasnya.

“Kalau macam inilah, betul cakap mama. Aku memang kena memilih.” Mukhlis bersuara keras.

Aku pejamkan mataku erat. Tidak mahu menatap wajah bengis itu. Wajah yang pernah merayuku. Wajah yang pernah berjanji denganku. Aku bimbang akan apa yang bakal terluah dari celah bibirnya. Aku tidak mahu begitu kerana kala ini, aku amatlah memerlukannya.

“Anahara… mulai hari ni… aku ceraikan kau! Kau keluar dari rumah ni dan dari hidup aku! Pergi!!” tempik Mukhlis kuat.

Mataku yang terpejam terbuntang luas dan airmata jatuh berjuraian ke pipi tanpa tangisan jauh sekali esakan.
Hanya air jernih saja yang mengalir dan terus mengalir bertali arus tanpa mampu aku seka lagi.

“Abang…,” seruku dengan nafas yang lelah.

Tanpa sempat aku raih tangannya, dia berlalu menarik Jeslina pergi meninggalkan aku sendiri. Benar kata Sarina dulu, janji manusia mampu berubah kala dilanda marah dan Mukhlis telah menjadikan telahan Sarina itu suatu kenyataan.

“Ann nak cakap ni… Ann mengandung anak abang. Anak tanda cinta kita setelah abang miliki Ann. Tapi, ternyata abang hanya nak miliki Ann, bukan cintai Ann,” ujarku sendiri bersama hati yang tersayat luka.

Benar dia hanya memiliki. Setelah segalanya dia miliki, cinta dia padaku juga seakan-akan pergi hanya kerana kekhilafan yang sememangnya bukan dariku.

~~> bersambung

14 comments:

  1. cdih nyer,,,
    knpe la si mukhlis 2 iktkan sgt marah dia 2...
    kesian kt ann,,,

    ReplyDelete
  2. terharunya..sakit dada baca..

    ReplyDelete
  3. tme bca ni tngah dengar lgu tuhan berikan aku cinta....nyanyian ayushinta....bapak sedih....lgu 2 mcm kna dgn cerita ni...

    ReplyDelete
  4. huhu.. sedeh ke..maaf2..tak sengaja buat cite sedih (padahal sengaja)..hehe..thanks sudi layan

    ReplyDelete
  5. astaghfirullah... gila betul si Mukhlis ni.. xde hati perut. lelaki apa yg buat keputusan ikut nafsu?... dah Ann, walk out of that door.. jgn hidup dlm mimpi.. jaga anak tu Ann.. itu pembakar semgt utk terus hidup dgn penuh kasih syg yg baru... lupakan si Mukhlis bodoh tu..

    ReplyDelete
  6. RM...biarkan ana carikebahgian sendiri...xna ana rujuk blk...benci la dgn leleki mcm tu..

    ReplyDelete
  7. giler si mukhlis tu.. adoi... kesian kat ann..

    ReplyDelete
  8. jahat nyer jeslina...mentang2 la mentua sayangkan dia...menangguk di air keroh...oh..i hate her,..ahaks..emosi lebih

    ReplyDelete
  9. I аm really еnjoying the themе/dеsign of your ѕite.
    Do yοu еvеr run into аny wеb broωser compatibility problemѕ?

    A ѕmall numbег of my blog readers have cоmplaіned аbout
    my blog not worκing сoгrectly in Exρlorer but looks great in Chrome.
    Dо you have any аԁvіcе to
    help fіx this issue?
    Also visit my web page : work from home

    ReplyDelete
  10. mula dah rs cuak menyampah dgn Mukhlis.xreti nk b'sbr ker?syaitan mn masuk kpla kamu ni.aduyaai.ni la,sakah guna kuasa talak.

    ReplyDelete
  11. eh...kalo jmpa muhklis ni mmg mkn pnumbuk jwbnya...haishhh...npe wt cter ni kejam sgt

    ReplyDelete
  12. sedihnye...sebak dada baca cite sampai x sedar air mata mengalir sendiri....

    ReplyDelete