Friday, March 16, 2012

Ku Ingin Milikimu [4]

BAB 4

RAHANGKU jatuh bila tiba di sebuah rumah yang tersergam indah. Ingatkan dalam novel je ada orang kaya macam ni. Realiti pun wujud rupanya. Melihatkan rumah yang nampak mewah dengan kereta-kereta besar yang terparkir gah, membuatkan aku resah.
Audi, Caldina, BMW. Huh, benar-benar membuatkan aku kecut kerana aku ini hanya miliki kereta kecil saja.

“Errr… saya kat mana ni?” tanyaku pada salah seorang lelaki tadi.

Dia senyum. “Cik sekarang dah sampai destinasi dan sini adalah Bukit Jelutong kalau cik nak tahu. Cik jemput masuk, semua dah menanti cik kat dalam. Nanti dah selesai, kami hantarkan cik pulang dengan selamat.” Dia mempersilakan aku ke dalam.

“Saya tak ada apa-apakan, nanti?” tanyaku risau. Dia menggeleng.

“Cik masuk dulu. Kami memang tak tahu apa-apa. Tugas kami menjemput cik saja,” jawab mereka dan aku terus saja melangkah masuk ke dalam rumah besar ini.

Aku menjenguk ke dalam rumah dengan perasaan yang takut. Kasut aku buka dan aku menapak selangkah ke dalam. Sudahnya, aku terpaku di situ tanpa mampu melangkah lagi. Ada debar yang hadir. Terasa dekat dengan Mukhlis kala ini. Tapi, inikan mustahil. Tak mungkin. Hati kecilku membantah keras.

“Nak tercegat kat situ nak tunggu orang persilakan kamu masuk ke, Cik Anahara?” Aku dengar satu suara sinis padaku dan bila aku pandang wajah itu, ternyata dia seorang wanita anggun dan bergaya. Dan aku yakin, inilah Puan Sri yang dimaksudkan.

“Err, tak… tak… Puan… err… Puan Sri.” Aku menggeleng kalut. Dia menggariskan sebuah senyuman sinis padaku.

“Masuk! Lagi cepat kita selesaikan lagi baik!” tekan dia lantas dia berlalu dan aku terus mengikut langkahnya menuju ke ruang keluarga.

“Kamu tahu kami siapa?” tanya Puan Sri itu lagi setelah dia labuhkan duduk. Di sisinya ada seorang lelaki separuh umur, mungkin juga suami dia.

Aku kalih ke kanan, ada seorang lelaki muda dan juga seorang perempuan yang ku kira agak sebaya denganku. Bila aku senyum, dia menjeling.

“Maaf, Puan Sri. Saya tak tahu sebab saya di bawa ke sisi bukan kehendak saya,” jawabku sopan.

Dia merengus kecil. “Memang bukan kehendak kamu, Anahara. Tapi, kehendak saya. Sebab tu kamu di sini,” jawab dia bongkak.

Aku telan liur. Melihatkan renungan mereka padaku benar-benar membuatkan aku tidak betah sendiri. Air jernih sudah lama meniti di tubir mataku. Tinggal hendak mengalir saja.

“Kamu kerja apa? Sekolah sampai mana? Dan betul ke kamu seorang penulis?” tanya dia tegas.

“Saya penulis separuh masa je. Saya seorang setiausaha dan saya hanya ada Diploma. Itu je,” jawab aku dengan nada getar.

“Diploma je?” soal dia sinis. “Kenapa kamu tak sambung lagi atau memang kamu tak minat nak belajar. Minat menulis semata-mata?”

“Saya pernah belajar tapi masa tu, saya tak cukup duit dan saya buat keputusan untuk berhenti je bantu keluarga. Menulis ni bukan saja minat tapi hidup saya, Puan Sri,” jawabku dengan geram yang cuba aku tahan.

Sungguh aku tidak suka diasak begini. Hidup aku, akulah penentunya dan dia tiada hak hendak menyoal apa saja yang ada dalam hidup aku.

“Along, mama adik kamu ni? Panggil dia,” tekan Puan Sri itu pada lelaki tadi. Benar barangkali apa yang hati ini bisikkan.
Memang ini kerana dia. Benar juga dia berjaya jejaki aku hingga aku berada di sini hari ini dan saat ini. Ya Tuhan, kuatkanlah semangat aku untuk aku terus menghadapi semua ini.

“Kita selesaikan hari ini jugak, Anahara!” tekan Puan Sri ini lagi dan dia terus berbisik dengan suaminya di depanku yang masih tegak berdiri tanpa dipelawa duduk.

“I tak kira… kalau you berani buat macam ni, you over my dead body first!”

Aku tersentak bila mendengarkan nama lelaki yang selama ini mampu membawa getar di dalam hatiku. Lantas aku kalih dan ternyata seorang lelaki hadir dekat di depan wajahku.

Susuk yang agar sasa dan tidaklah setinggi mana orangnya. Berkulit sawo matang, berambut lurus dan punyai sepasang mata yang kuyu memikat. Di sisinya pula seorang perempuan yang cantik dan moden menapak mendekat ke arah kami. Mata lelaki itu terpaku terus padaku. Wanita itu juga sama.

“Oh, inilah perempuan yang you dok gilakan sangat tu, ya?” sinis perempuan cantik itu padaku.
Aku diam menantikan sebuah kebenaran yang telah pasti. Tidak mahu menebak sendiri sedangkan jawapannya sudah terang lagi bersuluh.

“Jeslina, duduk dulu. Kita selesaikan cara baik. Hari ni, semua orang ada dan kamu Mohd Mukhlis…”

Demi mendengarkan nama itu meniti dibibir Puan Sri ini, aku berpaling terus pada lelaki muda ini sekali lagi. Langsung terpaku mataku pada dia dan airmata ini juga laju menitis. Sungguh aku tak percaya, dia mengotakan kata-katanya. Hendak memburu aku hingga membawa pertemuan kami yang pertama.

“Ya, mama…,” sahut dia dengan anak mata yang masih terpaku padaku.

“Hari ni kamu kena memilih. Baik buruk keputusan kamu… kamu kena tanggung sendiri!” tekan Puan Sri itu.

Mukhlis angguk lantas dia berlalu agak dekat denganku meninggalkan wanita yang bernama Jeslina itu. Dia menjeling aku dan bibir itu tersenyum segaris. Sungguh, pertama kali bertentang mata, hebatnya detak hati ini. Resahnya jiwa ini apatah lagi pertemuan kami ini bagai memungkinkan segalanya.

Dia nampak biasa saja. Langsung tidak ada yang kurang pada mataku cuma kenapa dia terlalu kebudak-budakan begini, mencari aku sampai ketemu lantas membawa aku dibicarakan di dalam mahkamah keluarganya sedangkan aku bukanlah pesalah untuk mereka.

“Kamu kenal anak saya ni, Anahara? Cinta dia?” tanya Puan Sri padaku.

"Maaf Puan Sri... saya tak pernah kenal dan tak pernah ada cinta untuk anak Puan Sri. Sungguh saya tak kenal siapa lelaki bernama Mukhlis ni," tekanku tegas dengan anak mata yang terpaku tajam pada lelaki yang bernama Mukhlis itu.

"Tapi, anak saya kenal kamu, Anahara. Macam mana kamu boleh cakap kamu tak kenal dia sedangkan setiap masa nama Anahara yang dia sebut dalam rumah ni. Dekat cuping telinga ni!" Mama kepada Mukhlis meluruskan jari telunjukkan pada sisi kepala.

Aku renung lagi lelaki itu memberi amaran. Di bawa ke dalam rumah besar ini dalam keadaan begini membuatkan aku hampir menangis namun tewasku tak mungkin di sini.

"Saya tak pernah kenal dia, Tan Sri… Puan Sri dan keluarga semua. Sungguh saya tak tahu dia wujud dalam dunia ni," ucapku masih cuba bersopan.

Lelaki yang separuh umur itu bangkit berdiri tegap. Tangannya diseluk ke dalam poket seluar. Mata itu redup merenungku.

"Kamu ada apa-apa nak cakap, Mukhlis?" tanya dia pada lelaki yang sedari tadi merenungku tidak berkelip.

"Nikahkan saya dengan Anahara, abah. Dia marahkan saya sebab saya lakukan sesuatu yang buruk pada dia. Sebab tu dia tak nak mengaku dia kenal saya, bah... mama..."

Kata-kata lelaki ini membuatkan wajahku berkerut seribu.

Nope!!” bantah wanita bernama Jeslina itu. Dia merenung aku dan Mukhlis tajam silih berganti.

You just can’t! Kita dah tunang lama okey! Semua dah tahu yang kita akan kahwin by the end of this year? Macam mana you sanggup buat I macam ni, hah? Macam mana you boleh pilih perempuan kampung yang you sendiri tak tahu asal usulnya ni?” tengking Jeslina pada Mukhlis.

Aku hanya mampu diam terkedu seribu bahasa. Sungguh aku sendiri tidak mengerti tentang permainan mereka.

“Kita tunang kerana keluarga, Jes. I tak cintakan you. I cintakan dia…”

“Tapi, saya tak pernah dan tak akan cinta awak, Mohd Mukhlis!” cantasku keras memberi makna pada dia yang aku tiada cinta untuknya.

“Saya tahu, awak marahkan saya sebab pernah cuba lakukan yang tak baik pada awak, kan? Sebab saya pernah cuba usik awak, kan? Sebab tu awak tak mengaku kenal saya dan tak mengaku cintakan saya, kan Ann?” soal dia padaku. Mataku membulat. Sukar hendak aku percaya kata-kata lelaki ini.

“Apa kau cakap ni, Mukhlis? Kau terus terang sikit. Bagi kami faham!” tekan lelaki yang dipanggil Along tadi.

“Itulah hakikatnya, abang long. Kami pernah bertemu dan masa tu, saya pernah nak buat jahat pada dia, sebab tu dia kata dia tak kenal saya,” jawab dia tenang di dalam sebuah pembohongan.

“Tak… awak jangan nak adakan cerita, Mukhlis. Saya tak pernah kenal dan tak pernah jumpa awak pun sebelum ni. Awak tu peminat saya je dan saya ini hanyalah seorang penulis yang tak pernah awak kenal. Kenapa awak buat saya macam ni? Kenapa nak jatuhkan maruah sendiri dan maruah saya depan keluarga awak? Depan tunang awak?” tanyaku tegas dengan dada yang berombak laju dan suara yang bergetar hebat menahan tangis.

“Saya cinta awak, Anahara,” akui dia.

“Tapi, saya tak cintakan awak, Mukhlis,” tekanku.

“Cuma saya pelik, macam mana awak mampu selidik semua tentang saya? Tapi, tak apalah. Saya tak nak jawapan tu lagi. Dan Puan Sri, Tan Sri sekeluaga… Mukhlis sedang keliru. Dia memang keliru jadi hal ni tak ada kaitan dengan saya. Dia milik Cik Jeslina dan saya bukan sesiapa pun. Izinkan saya pulang kerana hal ini dah selesai sampai sini saja,” ucapku pada Puan Sri dan belum sempat aku berlalu, lenganku dilelar kasar.

“Kan saya pernah kata, awak boleh lari dan saya tak akan berhenti memburu. Bila dah jumpa, saya nak awak akuinya yang awak cintakan saya. Sekarang jugak, depan keluarga saya dan saya akan lepaskan segalanya demi awak!” gumamnya dengan anak mata yang merah menahan marah.

“Macam mana saya nak akui, sedangkan cinta ini memang tak ada untuk awak,” balasku pula.

“Okeylah. Kamu berdua jangan bergaduh kat sini… kita nak selesai. Mukhlis, memang abah percaya kalau kata kamu dan Anahara ni dah terlanjur sekalipun sebab abah kenal kamu dan seperti kata mama kamu, kamu pilih sekarang jugak!”

Aku menggeleng mendengarkan kata-kata abah Mukhlis. “Tak, Tan Sri. Mungkin saya biasa-biasa je. Budak kampung. Penulis cabuk. Tapi, maruah dan kulit saya ni tak mungkin sesiapa dapat sentuh sesuka hati!” tekanku membetulkan kenyataannya.

Dia tersenyum sinis. Isterinya juga. “Kami kenal anak kami macam mana, Cik Anahara sebab tu bila dia cakap macam tu, kami percaya. Entah-entah kamu dah berisi tak sebab tu budak Mukhlis ni bersungguh-sungguh nak kan kamu?” tanya Puan Sri.

Pedihnya telinga ini mendengar tohmahan itu. Sakitnya hati ini melihatkan senyuman penuh sindiran mereka.

“Mama… Jes tak kira. Jes nak nikah jugak dengan Mukhlis. Jes tak kira mama,” bentak Jeslina tiba-tiba.

“Jes… biar Mukhriz buat pilihan. Dia tahu apa yang terbaik untuk dia,” jawab Puan Sri lembut.

Bahu Jeslina diusap dan bibir itu menguntum senyuman. Nampak ikhlas benar. Tergambar kasih sayang antara Jeslina dan mereka sekeluarga bila aku lihat adik perempuan Mukhlis pergi memeluk pinggang Jeslina dengan mata yang menjeling tajam ke arahku.

“Mukhlis nekad, ma… Mukhlis nak Anahara… bukan Jeslina. Biarpun mama nak buang Mukhlis dari keluarga ni. Nak buang nama Mukhlis dalam pewaris mama, Mukhlis tak kisah. Nak ambil semua kereta, jawatan, rumah… Mukhlis tetap tak kisah mama….”

“Tapi, saya kisah, Mukhlis. Saya kisah. Jangan kerana saya, awak nak hidup melarat begini dan jangan kerana saya, awak lupa syurga awak di mana.” Aku memangkas pantas dengan suara yang tegas mendatar.

Puan Sri tersenyum. Jeslina juga. Hanya Mukhlis yang tunduk sugul menerima ketewasannya. Pertemuan pertama kami ternyata berbeza dari apa yang aku harapkan. Bagaikan langit dan bumi, akan meninggalkan kesan yang tak mungkin hilang selamanya. Kisah hati yang kekal selamanya dalam diriku.

‘Cinta ini buatmu, Mukhlis. Tapi, andai ini pengorbananmu untuk menuntut cintaku, biarlah kita begini. Usah menderita kerana kisah hati. Usah merana kerana cinta yang ternyata bukan milik kita,’ bisik hatiku sendiri. Pedih sebenarnya kerana hari ini aku tahu yang aku juga mencintai dia.

Setelah aku datang menemui dia, telah dia katakan cinta tapi aku akhirnya terpaksa menolak tanpa ucapan maaf. Aku sudah tidak sudi untuk biarkan mereka terus mencederakan perasaan dan hatiku, lantas aku bawa langkah ini keluar rumah. Tak sempat aku menyarungkan kasut ke kaki, lenganku sekali lagi dipaut oleh Mukhlis.

“Saya tahu awak cintakan saya, Anahara. Tolong jangan tinggal saya setelah saya bersusah payah berterus terang dengan keluarga saya tentang kita,” rayu dia.

“Kita??” tanyaku kuat.

Dua orang pengawal tadi memandang kami. Tapi, aku sudah tidak peduli. Sungguh aku tak sudi melihat dia lagi.

“Kita yang awak maksudkan tu besar bezanya Mukhlis. Kenapa awak sanggup cakap macam tu? Kenapa awak sanggup rosakkan kepercayaan saya pada awak? Kenapa awak buat semua ni? Kenapa awak biarkan pertemuan pertama kita bermula dan berakhir macam ni sekali?” tanyaku lirih. Airmata sudah laju menodai pipi.

Aku tak mampu bertahan. Sungguh tak mampu. Tewas pada cinta pada dia benar-benar membuatkan hati aku keliru malah bertambah kelam.

“Saya cintakan awak, Anahara. Terlalu cinta. Kalau saya pilih Jeslina, we both hurt. Kita terluka. Awak dan saya. Dia juga,” tekan dia.

Aku menggeleng. “Awak pernah cintakan dia, dan saya yakin awak mampu cintai dia lagi. Saya datang sekejap je Mukhlis… lepaskan saya, lupakan saya. Cukuplah awak tahu segalanya tentang saya.”

“Saya tak mampu, Anahara. Saya tak mampu tanpa awak. Cinta kat hati saya ni…” Dia lekapkan telapak tangannya yang satu lagi ke dada.

“… hanya sebut nama awak, Anahara. Begitu payah saya tahu nama penuh awak. Begitu sukar saya siasat di mana awak, tak kan awak nak tinggalkan saya macam ni je. Betul ke tak ada cinta dalam hati awak tu untuk saya?”

Sekali lagi aku menggeleng. “Memang tak ada Mukhlis. Dan kalau ada pun, saya akan kuburkan cinta ni untuk selamanya.”

“Tapi, saya ingin miliki awak, Anahara…. Please, be mine!”

“Saya tak perlukan orang yang nak miliki saya, Mukhlis. Saya hanya perlukan orang yang nak cinta saya,” bentakku cuba melepaskan lengan ini dari genggamannya.

“Tapi saya nak cintai seseorang yang telah saya miliki. Saya nak miliki awak kerana saya cinta awak, Anahara. Izinkan saya miliki seseorang yang saya cintai,” rayu dia lagi sambil memperkemaskan genggaman pada lenganku.

“Awak bakal miliki Jeslina. Dan awak masih boleh minati saya. Cukuplah sampai sini dan tahniah sebab awak berjaya jejaki saya,” ucapku sinis.

Kala ini, Jeslina tegap berdiri di belakang Mukhlis. “Mukhlis!” seru dia kasar.

“You dah buat pilihan, dan perempuan ni juga dah buat pilihan. Sekarang I tak kira. I nak kita nikah cepat. Kalau betul you nak sangat nikah dengan dia, I tak kisah kalau you nak nikah dua-dua sekali!”

Semudah itu, Jeslina menuturkan kata. Sesenang itu dia mahu berkongsi kasih sedangkan aku pasti tidak mampu kerana jerih perit mata memandang terlalu pedih, apatah lagi berat rebeh bahu yang memandangnya nanti.

“Jes… kalau kata you nekad, I tak ada pilihan. Bagi I Anahara adalah segalanya. Kalau you mampu terima, you jangan salahkan I satu hari nanti,” tekan dia pada tunangannya.

Aku ketawa sinis tiba-tiba pada mereka berdua. “Awak berdua jangan ingat hati dan jasad saya ni tak ada harga. Tak bernyawa sampaikan awak berdua boleh buat keputusan untuk saya. Dan awak Cik Jeslina… jangan diucap sesuatu yang sukar itu semudah ini. Awak jangan risau, saya tak akan hadir lagi dalam hidup awak berdua. Tak akan dan tak mungkin!” tekanku.

“Saya tetap akan bawa awak ke dalam hidup saya, Anahara. Ini janji saya. Kalau tak, nama saya bukan Mohd Mukhlis lagi!” tekan dia bersungguh-sungguh, lantas dia berpaling dariku menarik tangan Jeslina masuk ke dalam rumah membiarkan aku berlalu sendiri bersama airmata yang tidak mampu lagi aku bendung.

~~> bersambung

6 comments:

  1. fuhh...jahatnye Mukhlis..
    blh dier tipu parent semate2 nk dapatkan Ana..
    sian Ana..

    ReplyDelete
  2. O.o senang-senang je dorang uatkan decision untk Ana..
    ingat tkde pendirian ke?? heheh!
    anw, the storyline is interesting..=D

    ReplyDelete
  3. Pergh...dasyat mukhlis ni.sggup buat ape je utk dptkn ana

    ReplyDelete
  4. bagi mukhlis cinta adalah segalanya... kuat betul cintanya terhadap ana

    ReplyDelete
  5. kesian sggh dgn Ana.Mukhlis jgn jd budk2 la.matang please.buat perangai gini lagi la Ana xsudi man.

    ReplyDelete
  6. kesian ana...lari je la mane2 p oversea ke

    ReplyDelete