Thursday, July 19, 2012

Untuk Dia [18]


BAB 18

HARI berlalu lagi.  Tanpa sedar, setengah tahun berakhir lagi.  Anaresa semakin tembam dan berseri.  Seri seorang bakal ibu dan semester depan dia akan tangguh pengajiannya. 

Beruntung dia dapat Abang Zafran yang memang bertanggungjawab.  Sampaikan alahan pun suami dia yang kena.  Sangat-sangat bertuah itu orang. 
Aku gariskan senyuman.  Andai aku dan Zafrin macam tu, aku mahu beranak ramai-ramai untuk dia.  Mudah cakap tapi aku ini hanya seorang diri je.  Masa kecil-kecil selalu bermalam di rumah Anaresa hinggakan mak dan ayah bising.  Yalah dah tak ada kawan. 
Huh, bila macam ni rasa rindu pada Zafrin pula.  Bila rindu tak mampu bertahan, aku mula termenung sendiri.  Suara riuh rendah kenduri kesyukuran di rumah Anaresa ni langsung tak mengganggu aku. 
Masih sabar menanti keluarga Zafrin tiba.  Bukan nak meminang tapi nak raikan rasa syukur atas kandungan Anaresa yang sudah mencecah bulan ke tujuh tapi aku nampak macam orang mengandung terlebih bulan. 
“Resa cakap dekat akak tadi, keluarga Zafrin on the way,” beritahu Kak Aniraha pada aku saat aku kalut di dapur.  Ringankan tulang membantu apa yang patut. 
Aku pandang Kak Aniraha dan Kak Anisara silih berganti.  Kedua-duanya tersenyum.  Kakak Anaresa tapi kakak aku juga.  Aku angguk dan senyum.  Selendang aku betulkan sikit dan kemudian aku sambung kerja.  Mengelap pinggan yang baru di cuci. 
Berdebar rasanya.  Bagaikan aku yang hendak dipinang.  Ralit buat kerja, akhirnya aku dengar suara Pak Long bising menyambut kedatangan tetamu  yang dinanti iaitu keluarga Abang Zafran dan pastilah  keluarga Zafrin juga. 
“Keluarga Zafrin dah sampai dah, Mak Ngah.”  Aku dengar suara Kak Aniraha memberitahu itu pada mak.
La… kenapa nama Zafrin dia sebut dan kenapa pada mak dia tuju?  Inikan majlis kat rumah dia.  Ini mesti tak lain tak bukan, kes sengaja nak kenakan aku la ni. 
Aku pandang Kak Aniraha tapi wajah itu tetap selamba.  Dia memandang mak dan Mak Long pula. 
“Ibu… Mak Ngah, marilah kita sambut tetamu.  Mi toksah ikut.  Dok situ je,” pesannya lalu dia menghilang dari pandangan mata. 
Aku pandang mak dan Mak Long. 
“Mi dok dapur je.  Tolong siapkan apa-apa yang tak siap lagi,” pesan mak dan dia berlalu bersama Mak Long ke atas. 
Aku hanya duduk sendiri mengelap pinggan yang masih sikit berbaki.  Kenduri di kampung macam inilah.  Semua buat sendiri.  Satu persatu pinggan aku lap dan tanpa sedar, ada yang duduk di sisi aku.
“Boleh abang tolong,” ujarnya. 
Aku keraskan leher.  Tak sanggup nak berpaling pada dia.  Sejak kali terakhir kami bersua di depan KLIA dulu, setelah itu kami kurang berjumpa.  Aku tahu dia sibuk dan aku juga.  Cukuplah aku tahu dia masih di bumi Malaysia ni. 
“Sombongnya dia.  Mentang-mentanglah abang ikut je apa dia nak, suka buli abang, kan?”  seloroh Zafrin lagi. 
Aku pantas kalih pada ambang pintu dapur dan sekeliling dapur.  Tiada orang.  Yang ada hanyalah kebingitan di ruang tamu rumah Anaresa ni. 
“Mana ada macam tu.  Orang tak halang awak pergi belajar dulu pun…”
“Tapi, orang tu sedih kemain, kan?”  pangkas dia mengejek. 
Aku ketawa halus.  Tangan ini masih ligat mengelap pinggan dan pinggan yang sudah dilap itu aku sua pada dia untuk disusun di satu tempat. 
“Abang tak pergi sebab abang bertimbang rasa.  Awak tu langsung tak fikirkan abang.  Hari demi hari, dah lepas enam bulan dah.  Kak Long dah nak bersalin dah.  Rina dah dekat jadi doktor dah.  Kita je masih macam ni…”
“Tapi, Mi lagi setahun lebih nak tamat belajar dah,” ujarku  penuh makna.  Berharap agar dia mengerti akan apa yang aku maksudkan. 
Zafrin senyum lagi.  Mata itu tajam menilik pinggan kaca tersebut lantas kain lap itu dia capai dari tanganku dan dilapnya sekali lagi. 
“Tak lama dah tu.  Tapi, alang-alang Mi sentiasa cemerlang, abang nak Mi sambung master terus.  Tak lama, dalam setahun je dah habis tapi jangan extend la,” cadang dia.
“Sanggup tunggu?” 
“Alang-alang abang kena tunggu, apa salahnya abang tunggu lagi sikit masa.  Tapi boleh tak cakap Mi cinta abang sekali ni je.  Dari dulu sampai saat ni, Mi tak pernah cakap,” rungut dia sedikit. 
Aku ketawa.  “Tak sampai masa lagi.  Sampai masa jangan kata dengan suara, dengan perbuatan sekali Mi lahirkan cinta tu,” gurauku.
Pandangan kami bersabung dan mata Zafrin membulat.  “Pandai bergurau kunyit dengan abang sekarang, kan?”  usik dia. 
“Kunyit sikit je pun.  Tapi, itulah hakikat.  Cinta halal itu hebat tapi kita ni tak sampai seru lagi.  Kita sama-sama tamatkan pengajian, kerja dulu baru kita rancang semula.”
Zafrin mengangguk dengan kata-kataku. 
“Amboi angah… tahlil nak mula dah ni!” 
Aku dan Zafrin tersentak.  Ada  yang menegur dan bila kami berpaling, ternyata Abang Zafran dan Anaresa sedang tersengih ke arah aku. Malunya toksah kata. 
“Err… pergilah naik atas.  Nanti kita sambung, ya?”  suruhku dan tanpa kata, Zafrin bangkit menggaru kepalanya. 
Kala dia melepasi abangnya itu, aku lihat Abang Zafran menepuk sikit bahu Zafrin bersama tawa dan kemudiannya, Anaresa mendekat pada aku dengan perut yang membusung. 
“Rancak sembang?”  soal dia kala dia melabuhkan duduk.
“Biasa-biasa je.  Pasal pelajaran je.  Yang lain tak ada,” dalihku. 
Dia angguk macam tak percaya.  “Sampai bila nak belajar?”
“Sampai PHd terus alang-alang tu,” tukasku main-main.
Mata Anaresa membulat.  Sesekali aku lihat dia hela nafas dalam-dalam.  Nampak mengah dan lelah kala mengusung tanda cinta dia dan suaminya itu.
“Gila kau.  Nak ke Rin tunggu kau?” 
Bibir aku mengulum senyum.  “Dia yang cadang.  Aku suka je. Alang-alang, kan?  Esok-esok kami sama-sama ada title Dr. lah.”  Aku ketawa kecil.
Anaresa mengerutkan wajah.  “Eh, Mi… kejayaan sebenarnya sorang wanita tu adalah dengan menjadi isteri yang diredhai suami dan ibu yang mithali.  Belajar tinggi-tinggi kalau ada rezeki kau tak apalah, bolehlah belajar tapi bagi aku, baik  kau nikah dulu.  Halalkan hubungan kau dengan Rin dan sama-sama pergi belajar,” ucap Anaresa panjang lebar. 
Aku terdiam seketika dan mencerna kata-kata sepupu aku ni.  Melihatkan perut dia itu, aku juga ada keinginan yang sama tiba-tiba.  Boleh juga macam tu tapi masalahnya, mampu ke aku?  Haruslah tak mampu.  Kalau macam, enam bulan sudah aku dah nikah dengan Zafrin. 
“Aku bukan macam kaulah, Resa.  Aku tak boleh nak fokus dua perkara.  Nak belajar lagi, nak jaga keluarga lagi.  Takut salah satu terabai,” jawabku. 
Anaresa merengus.  “Kau ni kan… ada je jawabnya.  Haih…” 
Aku ketawa lagi.  Lucu melihatkan Anaresa ni.  Sebaya dengan aku tapi sikapnya dah macam mak aku dah. 
“Ada jodoh tak ke mana, Resa.”  AKu memberikan jawapan mati dan dia hanya mencebirkan bibir lalu turut sama membantu aku bila majlis tahlil sudah bermula. 

**

MAJLIS dah siap.  Makan juga dah siap.  Yang tinggal  hanyalah pinggan mangkuk yang masih berselerakan.  Jiran tetangga sudah balik.   Yang ada hanyalah keluarga aku dan keluarga Anaresa serta keluarga mertuanya. 
Nak tak nak, aku tak kan nak paksa Anaresa pulak tolong aku.  Kak Aniraha dan Kak Anisara ada kerja lain.  Kerja dia, mengagihkan lauk pauk pada jiran tetangga yang tak sempat datang.  Adat di kampung, macam tu lah. 
Seperti awal tadi, aku juga yang sendirian mengemas pinggan mangkuk ini bila Zafrin ada di sisi. 
“Banyaknya?  Abang tolong, nak?”  tanya dia tersengih. 
Aku senyum.  “Banyak ni.  Tak balik rumah karang.”
“Abang boleh tidur sini.  Lagipun, esok abang tak ada kuliah,” jawab dia. 
Amboi berani nak tidur sini.  Memang muka tak malu ajak diri sendiri tidur kat rumah aku. 
“Berani ke nak tidur sini?”  soalku mencabar. 
Dia jongket kening.  “Mi cabar abang ke?” 
Aku jatuhkan kepala mengiyakan. 
“Abang berani je.  Mi ingat abang takut?  Kalau dulu abang berani pinang Mi sendirian dan itu pun nak nego lagi dengan ayah Mi, jangan ingat sekarang abang tak berani nak tidur kat sini tau.  Atau Mi tu takut tertukar bilik nanti tak?”  usik dia. 
Aku bulatkan mata.  “Ke situ je perginya,” tegurku dan Zafrin ketawa lagi.
Kala ini, berdua bersama Zafrin sama-sama mengelap pinggang mangkuk ini membuatkan jantung aku hampir melompat setiap kali dia menjeling mesra.  Biarpun tanpa suara, aku yakin mata itu sedang berbicara denganku.  Sedang mengucapkan kata cinta  yang tak pernah tandus dari bibirnya. 
“Mi harap awak setia sampai Mi habis belajar ni.  Tak lama dah.  Sikit masa je lagi,” pintaku pada Zafrin. 
Dia angguk dan mengedipkan matanya sekali.  “Abang tunggu Mi.  Jangan risau.  Dalam tiap-tiap sujud abang, abang mohon pada Allah moga kita dipertemukan dalam hubungan yang halal sampai ke syurga.  Buat masa sekarang, Mi belajar dulu.  Abang pun nak tamatkan lagi setengah tahun ni atau boleh jadi juga tambah lagi setengah tahun.  Itu yang tak nak tu.  Yang pasti kita jaga hubungan kita sebaik-baiknya,” ujarnya membalas permintaanku.
Saat ini, renungan dia jatuh lagi pada raut wajah aku.  Sampaikan kau tak tahu nak letak kat mana mata aku ni namun dari sinar mata itu, dapat kurasakan jujurnya kasih, setianya sayang dan luhurnya cintanya buat aku.  Aku bersyukur kerana Allah telah hadirkan Zafrin dalam hati aku.  Seorang lelaki  yang aku temui dengan cara begitu namun mampu membuatkan aku jatuh hati berkali-kali kala melihatnya. 
“Angah…”
Aku dengar ada suara yang menyeru Zafrin tapi rasa bagaikan dalam mimpi saja lalu aku balas pandangan matanya dengan senyuman malu. 
“Angah…” 
Sungguh.  Aku dengar lagi sekali tapi bila Zafrin sendiri buat tidak tahu, aku hanya diamkan saja hinggalah…
“Zafrin!”
Aku dengar nama dia pula diseru tapi setelah itu, suara itu hilang.  Bila aku ukirkan senyum, Zafrin masih begitu.  Tenang dan redup pandangannya bersama tangan yang masih lagi ligat mengelap pinggan yang basah.
“Hah...  Aku nikahkan dikau Zafran bin Zaini dengan Haqimah binti Hamzah dengan mas kahwinnya free sebab dok bercinta sakan kat sini!”
Kali ini kami sama-sama hampir terlompat.  Pinggan di tangan hampir terlucut bila aku berpaling, ternyata seluruh ahli keluarga ada di depan kami kini tersenyum penuh usikan. 
Aku tahan wajah yang pijar.  Zafrin pula garu kepala tersengih.  Dia menjeling aku dan aku hanya mampu menunduk. 
“Kenduri bulan depan ni, bah!”  ujar Abang Zafran lagi.  Mereka ketawa lagi.
“Err… bulan depan?  Macam Along tak boleh ke?  Minggu depan  je,” ujar Zafrin pula.  Dia kenyit mata padaku yang sedang membulatkan  mata memandang dia. 
Aku tahu dia sekadar bergurau kerana tadi telah kami bincangkan apa yang perlu kami lakukan terlebih dahulu.  Sejauh mana kemampuan kami, itu adalah perlu menjadi ukuran untuk kami mendirikan rumah tangga nanti.
“Amboi… duit pun minta dengan Along lagi, ada hati nak bela anak dara orang?”  sinis aunty pula. 
“Dah diorang nak, kami izinkan saja,” ujar ayah pula memberi keizinan. 
Aku senyum.  Zafrin tertawa dan menggeleng. 
“Kami dah rancang  yang sepatutnya untuk masa depan kami,” ujarnya penuh makna padaku.
Setelah segalanya selesai, Zafrin berlalu bersama keluarganya.  Sudah sedia hendak pulang.  Aku pandang dia dan dia menghampiri aku sedikit di depan semua orang. 
“Abang doakan kita sama-sama jaga hubungan kita.   Kejar dulu cita-cita kita sebab abang tahu, Mi seorang  yang ambitious.  Tunggu abang kerja dulu, kita segerakan pernikahan kita,” ujarnya dan aku hanya mampu mengangguk bangga.
Sesekali macam tak percaya pulak, dia adalah  lelaki yang aku langgar beberapa bulan dulu, lelaki yang aku maki dan aku herdik dulu kerana sikapnya yang menjengkelkan dan lelaki yang aku cintai dalam diam.  Dia adalah dia.  Segalanya untuk dia.

**

2 tahun berlalu

MASA berlalu lagi.  Memang tak sedar.  Selama ini, hanya aku dan Aziana turun naik panjat tangga fakulti tanpa Anaresa memandangkan dia sedang pantang bersalin anak kedua.  Aziana juga semakin serius dengan Jimmy.  Okeylah tu.  Nampak makin matang Si Jimmy tu bila kena tune oleh kawan aku tu. 
“Tahniah Mi.  tak sia-sia kau dapat anugerah Dekan tiap-tiap semester.  Dapat lagi anugerah Naib Canselor.  Ni dapat lagi dua offer buat master?  Gila kau.  Aku tabiklah!”  puji Aziana pada aku setelah kami selesai mengambil surat tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat master biarpun kami belum lagi menghadiri majlis konvokesyen. 
Aku hanya sengih saja.  Dalam hati memikirkan Zafrin saja.  Haruslah dia bangga tapi aku pastilah sukar hendak membuat pilihan.
“Kau macam mana dengan Rin?  Tak sedia nak kahwin lagi?”  soal Aziana lagi.
Akhir semester lepas, terus saja aku dan Aziana mohon.  Kini, umur sudah menginjak ke angka 23 tahun.  Sebelum tamat peperiksaan yang terakhir dulu, aku terus memohon untuk menyambung pelajaran bersama Aziana memandangkan Anaresa masih belum mampu tamatkan pengajiannya. 
“Entah… ikutkan aku dah ready tapi Rin baru kerja, kan?  Kesian jugak dia delay master sampai setahun setengah.  Banyak main sangat!”  Aku sengih pada Aziana dan dia ketawa.
“Pakwe siapa jugak kena repeat pun,” sela Aziana dan kali ini giliran aku pula ketawa. 
“Ni kau dapat offer luar negara, dia tahu ke?” 
Aku menggeleng.  “Nak bagi surprise,” jawabku dan Aziana jegilkan mata. 
“Nak balas dendam Rin buat kau dulu la kot,” tukasnya dan aku angguk. 
Dalam hati langsung tiada niat begitu.  Aku akan pergi.  Tak kiralah dalam atau luar negara.  Kini, tawaran di dalam negara sudah aku dapat, begitu juga dengan luar negara dan tempatnya juga sama dengan tawaran Zafrin dulu.  Jerman.  Andai aku memilih hendak ke negara orang, aku yakin yang Zafrin tak akan menghalang. 
“Nak pilih mana satu?”  soal Aziana kala kami sama-sama berjalan keluar daripada pagar UiTM.
Aku jongket bahu.  “Entahlah.  Nak kena bincang dengan keluarga aku dulu…”
“Zafrin…” 
“Aku maklumkan dia nanti.  Tapi, aku rasa dia tak akan menghalang,” tukasku yakin dan tersenyum tawar.  Rasa bersalah tiba-tiba andai meninggalkan Zafrin lagi untuk beberapa tahun sedangkan dia dulu kemain memilih Malaysia saja kerana aku.
“Untuk masa depan kau, Rin akan izikan Mi tapi hati dia tu macam mana?  Larat ke dia nak sabar menunggu kau lagi?” 
Persoalan Aziana aku biarkan tak bersambut.  Aku sendiri tak yakin sama ada Zafrin nak menanti aku atau tidak setelah selama ini.   Jodoh itu benar rahsia Allah tapi kami ini sedang berusaha tapi aku bagaikan melarikan diri pula mengejar cita-cita.
Sudahnya aku diamkan diri saja.  Balik ke rumah sewa hari tu, aku menghubungi Zafrin.  Sejak dia membina kerja sebagai seorang Jurutera Mekanikal di pejabat Sime Darby, Jalan Sultan Ismail tu, kami jarang-jarang dapat berhubung. 
“Mi ada benda nak cakap,” ujarku bila Zafrin menjawab salam. 
“Apa?  Abang busy sikit hari ni.  Tak sempat nak jumpa Mi.  So, macam mana?  Dapat kat mana?” soal dia.
Aku diam seketika sebelum menjawab.  Menyusun ayat di dalam kepala sebelum aku luahkan agar dia tidak fikir yang bukan-bukan.
“Emm… Mi dapat dua tawaran,” beritahu aku memulakan kata. 
“Tahniah, sayang.  Kat mana?”  tanya dia.
“Kat UiTM juga dan satu lagi dekat…”  Bicara aku mati di situ.  Tak sampai hati nak sebut. 
Oversea?”  teka Zafrin dan aku diam saja lagi. 
Dia mengeluh.  “Abang dah agak.  Mi tiap-tiap semester dean list.  Result gempak tiap-tiap kali pun.  Abang dah agak Mi akan dapat offer ke luar negara juga,” ulasnya. 
Aku diam lagi.  Hanya menanti kata-kata Zafrin seterusnya.
“Mi mesti nak ke luar negara, kan?”  tanya dia. 
Aku masih kelu tak mampu bersuara kerana apa yang Zafrin katakan itulah yang bermain dalam minda aku. 
“Abang dah tahu Mi akan pilih cita-cita instead of me.  Tak apalah.  Mi buatlah pilihan.  Macam abang dulu, abang lebih rela dok Malaysia ni.  Now, abang dah kerja dan Mi dah habis degree.  Kalau ikut perjanjian lama kita dulu, Mi habis belajar, abang kerja, kita akan nikah.  Tapi itu dua tahun lalu.  Hari ni, Mi dapat tawaran lain.  Pergilah sayang kalau itu  yang Mi niatkan.  Abang tak mampu nak halang.  Abang mampu menanti je Mi pulang pada abang nanti dan abang harap, masa tu abang dah mampu adakan rumah sendiri dan segalanya buat Mi,” ucap dia. 
Nada Zafrin jelas dia sedih.  Berkali-kali keluhan dia lepaskan menggamarkan  yang dia agak kecewa. 
“Mi minta maaf…”  Aku hanya mampu berkata demikian kala ini bila ada airmata yang berjuaraian ke pipi. 
“Nope.  Jangan minta maaf.  Seperti mana Mi pernah cakap pada abang, mencari ilmu ni ibadah dan jihad.  Tetapkan hati, niat insyaAllah setiap langkah Mi diberkati.  Begitu juga hubungan kita.  Abang mampu bertahan dua tahun lalu, apa salahnya abang bertahan lagi untuk dua tahun akan datang, kan?” 
Aku ketap bibir. Terasa bagaikan satu sindiran pula ayat-ayat Zafrin pada aku.  Haih… kalau tak bagi pergi baik jangan bagi.  Cakap jelah tak bagi pergi.  Ini tidak, bagi pergi tapi menyindir, kenapa?
“Tak nak halang, Mi?” 
“Nak halang kenapa?  Itu cita-cita Mi.  Dulu kita pernah cakap, kan?  Selagi mampu belajar, kita belajar dan Mi habis master nanti, jangan cakap apalah  kalau abang nak mohon buat PHd pulak lepas ni.”  Huh, pedih je kata-kata Zafrin pada aku.
Perbualan kami tamat begitu saja.  

~~> bersambung

23 comments:

  1. Rm u the best....hahah

    ReplyDelete
  2. kalau berderet entry sekali jalan nih...mesti bekal utk over the weekend sekali nih...

    keep up the good work RM :)

    ReplyDelete
  3. alamak, camne yerk...dulu si rin sanggup lepaskan yg obersi sebab mi, takkan mi nak lepaskan rin sebab nak p obersi.. sian rin..wah, 1st time hati cakap sian kat rin...

    ReplyDelete
  4. educated couple:))))

    ReplyDelete
  5. dah 2 tahun berlalu pon masih x bersama lagi..
    aduhhh pedihhh lah cam ni..
    sorang nk amik master.. lps tu sorang nk amik phd.. uittt biler nk habis blajaq ni.. kakak n abang oi..

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehehe. belajar lah selagi ada kemampuan. bcinta lah selagi ade hati dan perasaan. namun yang pasti semuanya dengan izin dariNya. apa pun keep it up. good job writer. (y)

      Delete
  6. alaaa.. zafrin dah macam merajuk..apalah kau nie mi..kang dia beralih arah dah satu hal..

    ReplyDelete
  7. uihh.RM please jgn bg haqmi pntingkan diri...nk nangis skali ngn rin dah ni..kawinkan la diorang..:)

    ReplyDelete
  8. ermm..so sadd, terbaik lah Ann..

    ReplyDelete
  9. huhuhu...sedih jek si zaf nih...

    ReplyDelete
  10. Mi itu tandanya Rin x bagi pi ..... guna bahasa yang lebut ja.... sendiri mahu faham ja lah.... buatlah macam Rin ... sambung dalam negara ja.... Mi kasihan Rin tunggu lama sangat....

    ReplyDelete
  11. rehan tq 4 this n3, tapikan kalu x silap akak anak anaresa tu kan lahirnya dlam thn yg sama 1 awal n 1 akhir tahun nape lak slps 2 thn maseh dlam pantang anak yg ke2 lak...

    hairiah

    ReplyDelete
    Replies
    1. erk silap..hahaha..nnt kita tukar ek..hahaha..lupa la kak dh lama tinggal kSC..hahaha..

      rehan makhtar

      Delete
  12. RM, U ARE THE BESTT..THANKS 4 NEW N3..

    ReplyDelete
  13. mi plak nk smbung oversea,cmne la plak dgan rin tp rin first2 bg rstu nk smbung.tp stdy luar byk la dugaan nnti xpe de jdoh bsama la dorang..

    ReplyDelete
  14. ala sedihnya....nmpk sgt matang Rin dlm n3 kli nie..cita-cita @ cinta???hope Mi dpt bt kptsn terbaik..RM chaiyokk.... U're the best lah...

    ReplyDelete
  15. Ala keisan nya Rin..
    Mi jgn la zalim sangat..
    dah lama Rin tunggu...
    adoi RM.. sukakan siksa jiwa dan raga....

    ReplyDelete
  16. uikss..takkan nak tangguhkan lagi mi. sian kat rin.
    jgn smp dia bosan menunggu dah..

    thanks rehan. gud n3 :)

    ReplyDelete
  17. ayakss... mcm ni plak ke?dh touching dh rin...huhu

    ReplyDelete
  18. Cik Penulis ~~~~> :-)

    ReplyDelete
  19. JOIN NOW !!!
    Dan Dapatkan Bonus yang menggiurkan dari dewalotto.club
    Dengan Modal 20.000 anda dapat bermain banyak Games 1 ID
    BURUAN DAFTAR!
    dewa-lotto.name
    dewa-lotto.com

    ReplyDelete