Wednesday, December 28, 2011

Bila Nak Saksi? [1]

[1]

BUKU-BUKU yang ada di depan aku ni aku belek satu-persatu. Rasanya semua aku dah baca. Ada yang dah berkali-kali khatam dah. Masa ni mula la nak merayap ke MPH ke, Popular ke, atau mana-mana kedai yang dinamakan kedai buku.

Baru beberapa hari aku tamatkan ijazah dan kini memeruk di rumah, aku dah mula bosan. Andai di kampus waktu begini, aku mula la menapak ke pustaka. Nak tunggu abang aku balik, rasanya lambat lagi. Itu pun kalau abang aku, Jeffry sudi nak temankan aku keluar. Kalau tanpa dia, jangan harap mama lepaskan aku keluar. Dengan isteri abang Jeff, Kak Shima pun, mama larang.

Buku Indahnya Cinta itu aku tolak ke tepi lalu aku turun dari katil dan terus menuju ke pintu. Bila aku tarik pintu bilik, rumah aku ni rasa sepi semacam je. Ni mesti mama tak ada sebab rumah sunyi lain macam je. Kalau tak mesti riuh rendah macam orang buat kenduri kahwin walaupun dalam rumah ni tinggal kami berdua je.

”Mama!!” Aku panggil mama sekuat hatiku dari tingkat atas.

Eh, tak ada jawapan padahal bergema dah suara aku dalam rumah ni. Siap ada echo lagi. Bila tiada jawapan, aku terus mengatur langkah kaki ini meniti anak tangga dengan pantas.

Aku jenguk ke dapur. Mama tak ada. Aku jenguk ke bilik air, lagilah mama tak ada sebab pintu tu tak bertutup. Sah-sahlah mama tak ada. Kalau dia di dalam, mesti berkunci.

Puas mencari dalam rumah, aku terus keluar rumah pula dan itu dia. Aku nampak mama sedang rawat pokok orkid dia. Teliti sungguh. Berkerut-kerut wajah ayu itu. Ya, dia memang ayu kalau nak dibandingkan dengan aku yang agak sememeh ini tapi yang pasti, aku pun ada rupa sebab kejadian Allah itu semua mempunyai rupa. Bezanya mungkin cantik dengan tidak saja.
Kaki ini menapak perlahan-lahan mendekati mama. Padahal niat nak kejutkan dia, alih-alih dia kalih dulu.

”Hah, nak kejutkan mama nampak?” tanya mama sinis.

Aku sengih dan garu kepala sambil mengetatkan ikatan ekor kuda pada rambutku. Tubuh yang agak gempal itu aku peluk dari belakang.

”Lit bosanlah. Jom kita keluar nak?” ajakku. Mama tidak menjawab sebaliknya dia terus je dok belek orkid dia tu.

”Mama... Lit ajak mama jalan-jalan ni,” ulangku lagi. Aku dah mula rasa nak hentak kaki ke rumput karpet mama ni.

Kali ini, mama kalih. ”Jangan nak rosakkan rumput mama tu,” larang mama. Kemudian, dia kalih semula pada bunga dia.

”Mama tu, sayang sangat dekat rumput ni. Dekat bunga pun sama. Lit bela kambing kat rumah ni, mesti gemuk kan kambing tu ma? Dapat makan rumput dan bunga-bunga mama ni tiap-tiap hari. Waaa...” Aku buat muka teruja. Siap angkat kening lagi.

Mama menjeling tajam. Bagi amaran tu. Tak payah dia cakap aku dah tahu. Mesti dia nak marah aku sebab mulut dia dah senget ke kiri kanan.

”Kenapa tak bela gajah sekali?” tempelak mama.

”Gurau pun tak boleh. Emm, jomlah keluar kejap, nak tak?” Aku tak akan puas hati selagi mama tak setuju. Aku akan ajak juga sampai dia kata ya walaupun dengan muka ketat.

”Tak mahulah,” tolak mama perlahan.

”Kenapa pulak tak mahu?”

”Lit tu bukan mama tak tahu. Kalau ajak mama keluar, nak ajak lepak dekat kedai buku la tu. Tak cukup banyak lagi buku-buku Lit dalam bilik tu, sampai nak duduk membaca kat kedai buku. Itu satu hal. Dah beli pula berdozen-dozen buku. Nanti papa balik, Lit suruh papa buatkan rumah kita ni jadi pustaka, ya nak?” sinis mama.

Aku bantai gelak siap-siap dah. Kali ini memang muka dia kelat lain macam. Terjuih-juih bibir merah merekah itu memarahiku. Memang dia mama aku. Kalau tak, mama siapa lagi.

”Dah gelak pulak? Lit dengar mama buat lawak ke?”

”Ehem... ehem....” Aku berdehem beberapa kali cuba mengawal tawa. Kalau tak nanti tak pasal-pasal kena lagi.

”Lit saja gelak. Seronok sebab nak buat library kat rumah. Lepas tu deal terus dengan publisher mana-mana suruh hantar buku kat rumah tiap-tiap kali ada keluaran baru. Lepas tu kita upah, librarian seorang dua. Buat kad pinjaman dan taging semua
buku-buku kita tu. Nanti boleh suruh orang ramai datang. Kan mama?” Aku sengaja usik mama lagi.

Dia cubit lengan aku kuat. ”Budak ni, kan... Kalau kita cakap, ada je jawab dia.”

”Aduh, sakit ma...” Wajah aku ni dah menyeringai dah. Memang pedih sengat jari mama ni. Bila dia lepaskan cubitan, aku gosok lengan aku.

”Sakitlah...,” rengekku. Mama senyum.

”Kalau kata Lit ada kawan kan senang, boleh keluar tak payah ajak mama,” ucapnya tiba-tiba.

Aku ingat nak gelak lagi tapi takut kena cubit lagi, aku buat muka serius. Muka monyok sebenarnya cuba raih simpati mama agar dia sudi nak temankan aku keluar. Dok rumah pun bukan siapa ada. Semua orang lewat petang baru sampai.

”Ada sorang tapi Abang Jeff dah rampas dari Lit.”

Mama ketawa. ”Kak Shima tu dah jadi isteri Abang Jeff. Nak kata apa? Nak berkawan macam mana sangat kalau dah jadi isteri ni?”

”Eleh, abang tu memang kedekut bini. Dulu masa Lit dengan Shima tu kawan elok-elok je dia pergi ngorat kenapa? Lepas tu tak dan-dan nak nikah. Dah hilang satu-satunya kawan Lit,” rungutku geram.

Memang aku geram dengan abang aku tu. Elok-elok je aku dengan Shima buat tesis dulu kat rumah kami ni, boleh pulak dia lempar pancing. Mata kail tajam berkilat pulak tu. Dah sangkut pulak Si Shima ni. Lepas tu, terus kahwin. Siap merayu-rayu dekat abah. Ni aku dah habis belajar, Shima tak habis-habis lagi sebab dia tangguh pengajian dulu nak ikut Abang Jeff ke luar negara. Buat rugi je.

“Sebab tu mama nak Lit cari teman lain. Kalau kata ada juga teman perempuan pun, tak kekal lama. Sampai masa, dia akan kahwin dan Lit tinggal seorang lagi. Esok-esok, ada kawan perempuan lagi macam tu jugaklah jadinya. Cuba cari teman yang boleh lekat dengan Lit selamanya,” ujar mama tiba-tiba.

Aku dah rasa pelik dengan kata-kata mama kali ini. Renungan dia juga nampak lain. Tadi kelat je. Ni kelat juga tapi ada manis tu sikit. Lama aku pandang dia, mama jungkit kening.

”Err, tak faham maksud mama,” ucapku dengan wajah tak beriak.

Gunting di tangan mama tu, aku ambil dan terus aku potong ranting-ranting pokok daun teh itu. Saja menyibukkan diri. Cuba mencari minat macam mama. Berkebun sebab selama ini, aku hanya sukakan buku. Padahal pokok tu dah kemas cantik dah mama rias.
Dia tak menjawab sebaliknya dia ambil gunting tu dari tangan aku. Siap dengan jari telunjuk yang lurus ke wajah aku. Maknanya, tanda amaran la tu.

”Jangan nak pandai-pandai rosakkan pokok mama ni. Pokok hijau ni beri kita oksigen tau tak. Cuba hargai sikit anugerah Tuhan ni,” bebel dia. Kan aku dah cakap. Mula-mula beri amaran. Lepas tu bonus dia, bebel.

”La, mana ada nak rosakkan. Orang nak kemas sikit je ni,” protesku. Gunting itu aku capai kembali. Mama menggeleng dan aku... tersenyumlah. Apa lagi.

”Lit kemaskan dulu hidup Lit tu. Sekarang dah habis belajar. Tak ada fikir apa-apa rancangan ke lepas ni?”
Aku garu kepala dengan muncung gunting tu. Mama tepuk tangan aku dan dia ambil semula gunting tu.

”Koyak kepala karang....,” marah dia.

”Err, tadi mama cakap lain. Ni cakap lain pulak. Padahal Lit hanya ajak mama keluar dan jawapan dia sepatutnya ya dengan tidak je. Tapi, mama bagi jawapan panjang sangatlah. Dalam panjang-panjang jawapan tu, ada ya atau tidak tak?”

Mama dah buat muka lagi. Aku pun buat muka juga tapi muka blur. Memang aku blur dengan mama hari ini. Sejak aku habis belajar dan tunggu masa nak konvokesyen je ni, ayat dia semakin terbelit. Kadang-kadang tu aku rasa, abah, Abang Jeff dengan Kak Shima pun tak faham.

”Maksud mama, cuba fikir jauh sikit. Ada tak?” Dia angkat kening. Aku garu pipi.

”Emm, Lit nak mohon buat Master lepas ni, boleh tak?” tanyaku pada mama. Bulat mata dia.

”Bila mohon? Kenapa tak tanya mama dulu?” Dia dah bercekak pinggang.

”Err, Lit tak cakap dah mohonlah. Lit cakap nak mohon. Nanti nak cakaplah. Tak mohon lagi, tak cakaplah. Mama ni kenapa?”

”Nak mohon tu kena bincang dengan mama dulu, tau?” Dia tegas saja mengingatkanku.

Dia bukan apa, takut aku mohon ke luar negara sedangkan selama ini, dia memang melarang keras. Semua tak boleh. Nak buka kelas karate pun tak boleh. Risau katanya. Risau aku tak dapat pasangan hidup sebab terlalu kasar dan agresif.

”Emm, kalau bincang mama belum tentu bagi. Lit nak buka kelas karate pun mama tak kasi. Nak keluar sorang-sorang lagi la mama tak kasi. Dengan Kak Shima pun sama jugak. Semua mama tak bagi. Terpaksalah tunggu abang balik. Itupun kalau abang sudi bawa Lit keluar jalan-jalan. Kalau tak, memang Lit tercongok jelah kat rumah sorang-sorang. Mama sibuk dengan bunga, kebun, rumput karpet mama ni.” Tanpa sedar aku merungut sendiri sambil mengutis daun bunga teh.

Mama tepuk belakang tangan aku melarang aku dari terus rosakkan bunga yang telah hias cantik-cantik itu. Dia tarik tangan aku duduk di kerusi batu tepi taman orkid ni. Aku rasa, rumah aku ni kalah Taman Orkid Kuala Lumpur sebab bermacam-macam orkid ada. Sekeliling rumah sampaikan kami pagar rumah kami dengan pokok bunga je. Tak ada tembok.

”Ni sebenarnya nak keluar sendiri la ni, ya?” duga mama.

Aku diam dan pandang ke arah lain, menyembunyikan bunga tawa pada bibir. Dalam hati, rasanya nak ketawa kuat bila mama macam nak beri keizinan untuk aku keluar sendiri buat pertama kalinya pada usia 24 tahun ini.

”Lit nak sangat ke keluar sendiri?”
Aku renung bening mata mama. ”Kalau mama izinkan...”

”Kalau mama izin, Lit tetap kena minta keizinan abah.”

Aduhai, mama ni dia corner ke abah la pulak. Ingatkan tadi dah nak masuk jarum dah. Kalau tak nak bagi, tak nak teman, tak apa. Rintih hatiku penuh dengan rasa kecewa.

”Emm, tak apalah. Lit tunggu abang dengan kak Shima baliklah dulu. Kalau-kalau dia sudi nak temankan Lit keluar.” Aku angkat tubuh bila mama menarik lengan aku.

Dia kedipkan mata sekali memaksa aku duduk semula di depannya. Gunting itu dia letak di atas meja batu ini. Bibir tua itu menguntum senyum.

”Bila Lit nak bertudung?” tanya mama tiba-tiba. Lari tajuk yang pasti.

”Dah tudung pulak?” Aku mengeluh berat. Rasanya tak terjawab soalan mama tu.

”Tak sampai masa lagi la, ma. Lit tak terpanggil nak pakai tudung lagi,” jawabku ringkas. Mama senyum.

”Didik hati untuk bertudung. Tutup segala aurat yang hanya menjadi hak milik suami Lit je satu hari nanti.” Nasihat mama aku terima dengan anggukan.

Bukan sekali dia menasihati aku begini tapi setiap kali, hati aku masih belum ikhlas hendak bertudung. Ada satu dua selendang yang mama dan Kak Shima hadiahkan, tapi akhirnya aku jadikan mafela sewaktu ke kuliah.

”InsyaAllah, satu hari nanti. Mama doakan Lit, ya?” Aku pegang tangan mama erat. Dia senyum lagi.

”Mudah-mudahan kerana kecantikan seorang isteri itu hanya untuk suami. Dah la...” Mama bangkit.

”...Lit nak keluar, kan. Sebab Lit dah habis belajar, mama benarkan Lit keluar untuk hari ini dengan syarat, jangan balik lepas Asar. Tak baik anak dara keluar rumah lama-lama sangat merayap tak tentu hala.”

Terlompat aku dengan keizinan mama. Rasa macam terlepas dari kandang harimau. Terlucut dari jerut yang membelit diri. Yahoo!!

”Terima kasih, ma.” Aku peluk mama dari belakang.

”Lit janji Lit jaga diri. Jangan risau, Lit akan sampai depan rumah sebelum waktu Asar,” janji aku pada mama.

Selepas mengucup pipinya sekali, aku terus berlari ke dalam rumah. Gembiranya usah dikata sebab aku memang dah kehilangan kata untuk menyatakan kebahagiaan sebab dapat keluar sendiri. Tanpa jelingan abang Jeff dan pautan lengan Kak Shima!
***
RUPANYA, jalan sorang-sorang ni memang bosan. Nak tanya pendapat payah, nak suruh pilihkan barang yang sesuai pun payah. Kalau tanya jurujual, semuanya cantik dan sesuai saja dengan aku.

Aku tebarkan pandangan ke sekeliling kedai buku Popular. Sepi je. Sebab hari ni, hari bekerja. Jadi, tak ramai orang keluar bandar. Kaki ini melangkah saja ke sana sini tanpa ada arah dan tujuan. Menyesal pula keluar bersendirian. Nak telefon abang
Jeff dengan Kak Shima, masih terlalu awal.

Em, bila lagi nak merayap sorang-sorang. Peluang datang bukan sekali. Pujuk aku pada diri sendiri hendak mengatasi rasa bosan yang melampau dah ni.

Aku singgah di sebuah booth yang menjual beraneka selendang. Dari jenis, Lycra hinggalah kepada jenis pashmina. Semuanya cantik-cantik. Terngiang-ngiang nasihat mama padaku untuk menutup kepala. Bukan tidak mahu, tapi belum tiba masanya.

”Boleh tengok-tengok dulu, dik,’ ucap jurujual itu lembut.

Aku senyum. ”Banyak ya jenis selendang sekarang?” soalku pada dia.

Memang aku tak sedar yang jenis tudung ini sudah terlalu berfesyen namun masih menutup aurat. Cantik dan anggun pada sesiapa yang pandai menggayakannya.

”Tudung sekarang semua berfesyen, dik. Kalau kata adik nak beli untuk hadiahkan pada kawan-kawan, akak boleh bagi diskaun,” ujar dia lagi.

Erk, aku tersengih sumbing. Beli untuk hadiahkan pada kawan-kawan? Maknanya, aku ni tak sesuai ke kalau nak pakai sendiri? Memanglah jurujual ni nak kena karate ni. Rungut hatiku geram.

”Emm, saya tengok-tengok je, kak. Tapi, kalau kak nak bagi diskaun, saya nak pashmina yang warna ungu tu.” Aku luruskan jari menunjuk ke arah selendang yang telah berjaya menambat pandangan mataku.

”Ini ya.” Jurujual itu menghulurkan padaku dan aku segera membayar tanpa banyak soal. Tanpa sempat dia nak letak dalam beg plastik, aku terlebih dahulu lilit ke leherku.

Emm, sesuai dengan blouse putih dan jeans biru laut aku ni. Selelas itu, aku terus berlalu. Diskaun? RM10 saja. Nak diskaun apa. Kasihanlah dekat kakak tu nanti!

Kaki aku melangkah, tapi mata aku asyik sangat menelek selendang yang baru aku beli. Langkah terus melangkah sampailah, aku jatuh terduduk di atas kaki lima.

Aduh!! Sakitnya punggung. Siapa pulak yang langgar aku ni? Atau aku yang langgar dia? Tanpa aku duga, ada tangan yang menghulurkan bantuan dan tanpa melihat, aku sambut huluran tangan itu. Rasa kasar semacam dan bila aku lihat, erk, lelaki!
Cepat-cepat aku tarik tangan aku semula.

”Err, maaf. Saya langgar awak ke, awak langgar saya?” tanyaku pinta kepastian. Kalau aku langgar dia, aku nak minta maaf dan kalau dia langgar aku, aku nak dia minta maaf.

”Kita sama-sama berlanggar,” jawab dia. Tak ku duga jawapan itu terbit dari mulut dia membuatkan aku berfikir, siapa yang salah siapa yang tak.

”Maknanya kita sama-sama salah la ni, ya?” soal aku lagi. Dia angguk dan tersenyum.

”Saya minta maaf,” ucap dia laju. Aku angguk.

”Saya pun minta maaf juga.” Adil dan saksama. Sama-sama salah, sama-sama mohon maaf dan selesai.

Aku atur langkah kemas hendak berlalu bila lelaki ini sekali lagi melelar pergelangan tanganku. Mujur juga tak tertelentang ke belakang.

”Eh, apa ni?” marahku. Memang geram. Tadi tak sengaja, tak mengapa. Ni dah sengaja aku memang nak tampar je dia.

”Jangan suka-suka hati sentuh oranglah.” Aku rentap tanganku dan dia terus menghulurkan pashmina milikku tadi yang ternyata sudah kotor amat.

Rasanya nak menangis tengok selendang aku baru beli tu. Mungkin harga murah tapi aku suka. Suka sangat.

”Siapa yang buat ni?” tanyaku mula berkasar.

”Tadi kan awak jatuh.”

Aku mendengus dan terus berlalu. Bila aku kalih ternyata lelaki ini sedang mengekori aku.

”Awak ni kenapa, hah?” tanya aku kasar. Aku dah kepal penumbuk. Kalau murah rezeki dia ni, memang balik rumah dengan mata
lebam.

”Saya nak pulangkan selendang awak ni. Awak tak nak ke?” tanya dia polos.

Dia ku jeling tajam. ”Selendang tu dah jatuh, dah kotor. Saya tak nak dah!” ucapku bongkak. Lelaki itu terus menggariskan senyuman. Huh, berkarisma betul. Dari tadi diherdik, senyum je. Lahir kembar dengan senyum ke apa?

”Hari ni, selendang awak terjatuh, saya kutipkan tapi awak tak nak. Satu hari nanti, kalau kata hati awak terjatuh, kalau saya kutip, saya tak pulang macam ni dah, tau! Saya bawa lari je,” ucap dia lembut.

Mataku buntang. Dia ni bergurau lain macam. Tadi, aku rasa nak tumbuk dia, tapi kali ini aku rasa nak cabut cepat-cepat. Nak buka langkah seribu dah.

”Hati saya tak pernah jatuh kat mana-mana pun,” selaku selamba.

”Dah tu, ni....” Dia sekali lagi unjukkan selendang itu padaku. ”Tak nak?”

Aku menggeleng. ”Awak buang jelah. Tu tong sampah kat sana.” Aku luruskan jari telunjuk ke arah tong sampah di belakangnya.
Rasanya tadi, kami sama-sama terlanggar. Lepas tu sama-sama minta maaf dan ni, sama-sama bergaduh pulak.

”Saya Usop,” beritahu dia tiba-tiba.

”Tak tanya dan tak nak tahu,” tekanku lalu aku berlalu.

”Kalau kata sayang nak buang, hadiahkan je untuk kekasih hati awak tu, Encik Usop!” Sempat lagi aku memerli dia.
Nama pun Usop. Usop Sontorian ke apa. Nasib baik gigi tak ke depan. Kalau tak, dia memang spesis Usop Sontorian. Menyampah.
***
MAMA senyum dari jauh bila aku menghampiri dia. Wajah itu tenang je. Hanya wajah aku yang keletihan sebab terpaksa berhimpit-himpit dalam bas. Nak bawa kereta mama, tak ada lesen. Memanglah terpaksa naik pengangkutan awam. Teksi pulak payah betul hari ni. Rasanya hari ni, adalah hari malang aku sebab tak dengar mama larang. Dah kena, Tuhan balas terus atas dunia.

”Awal balik? Ingatkan, nak melepak kat luar sejam dua dah alang-alang ada keizinan ni.”
Aku tak tahu mama memerli atau bertanya sungguh. Tapi, aku terima itu sebagai satu sindiran sebab aku bersorak sarai masa nak keluar tadi. Alih-alih, baru nak masuk sejam, aku dah kembali terpacak kat rumah!

”Tak best la keluar sorang-sorang. Lit jumpa dengan orang jahat.” Aku labuhkan duduk di depan mama. Tubuh mama terangkat. Aku duduk, dia berdiri la pulak. Mama ni pun pelik.

”Orang jahat?” tanya mama kuat. Dia bercekak pinggang.

Aku angguk. ”Jahat la jugak dari tak jahat langsung tu,” selaku lemah. Beg tangan, aku letak atas meja. Air oren mama, aku teguk sikit. Fuh, hilang lelah.

”Kat mana Lit jumpa? Dia buat apa kat Lit? Kenapa tak telefon mama? Sebab tu mama larang Lit keluar sendirian. Kat bandar sekarang ni macam-macam boleh jadi. Dah tu, Lit tak apa-apa ke ni?”

Tu ha, bertubi-tubi soalan mama. Sampaikan aku sendiri pun tak tahu apa jawapan yang perlu aku berikan. Soalan pun dah lupa. Aku ingat yang akhir sekali tu je.

”Lit tak apa-apa. Okey je,” jawabku tenang. Mama tak puas hati. Dia langsung duduk menyempit di atas bangku kecil di tepi aku ni. Mama ni, tak muat dah ni. Adeh!

”Mari sini mama check, kot-kot Lit calar kat mana-mana ke.” Mama raih lengan aku. Lengan blouse tu dia singsing dan terus mata itu menilik lengan aku.

”Tak ada apalah, ma.” Aku ketawa dan tarik balik tangan aku. Takut aku dengan mama. Kot dia jumpa kesan gigitan nyamuk ke, dia kata apa pulak.

”Lit satu-satunya anak perempuan mama. Dia buat apa kat Lit?”

”Dia terlanggar Lit. Eh, entah. Kami sama-sama terlanggar kot.” Aku betulkan pertanyaan. Memang lelaki nama Usop tadi tu menyampah, tapi tak baik juga kalau nak salahkan dia seorang sedangkan aku salah juga.

”Dah tu jatuh?” Mama angkat kening. Aduhai mama. Dah berlanggar mestilah jatuh. Aku angguk. Gelas air oren itu aku capai lagi. Perlahan-lahan aku teguk airnya. Sejuk anak tekak.

”Dia tolong tak?”

”Dia tolong Lit bangkit tapi dari cara dia tu Lit nampak dia nak mengayat Lit. Lit cabutlah. Menyampah pulak. Mula-mula tu rasa dia biasa je, tapi lama lepas tu rasa dia luar biasa. Kalau ikut hati, nak je Lit tumbuk dia,” ucapku geram. Penumbuk aku kepal lagi.

Berdengung suara Usop di telingaku. Kalau hati aku jatuh satu hari nanti, lepas tu dia kutip, dia tak nak pulangkan dah. Dia ingat hati aku ni boleh tanggal-tanggal ke?

”Tak apalah. Janji Lit tak apa-apa. Jangan dok fikir nak karate orang je. Inilah sebab utama kenapa mama dengan abah tak setuju Lit jadi jurulatih karate. Belajar cukuplah untuk mempertahankan diri, dah.” Mama usap kepala aku.

”Baiklah, mama!” Aku tabik spring pada mama.

Mama pandanga ku lama. Renungan itu nampak lain macam pula. Tiba-tiba je. Tak pernah-pernah mama pandang aku macam ni. Sebelum ni, ada juga pandangan risau, tapi ni terlebih risau kot.

”Mama rasa Lit dah sampai masa kahwin kot?”

Gulp!! Aku telan liur berkali-kali. Rasa pahit dan kesat je anak tekak aku ni kala ini. Rasanya baru aku minum jus oren yang masam manis tu. Dan kali ini, rasa pahit pulak. Kahwin? Ini madu ke hempedu ni? Ini racun ke penawar ni?

”Kenapa tiba-tiba pulak?” Aku buat muka pelik.

”Senang Lit nak ke mana-mana. Ada teman sebab mama bukan boleh selalu temankan Lit,” jawab mama pula.

Lengan mama aku paut erat. Kepala ini aku lentokkan ke bahu dia. Aku sayang dia dan aku tahu dia juga terlalu sayangkan aku sebab tu semua pergerakan aku dikawal. Keselamatan aku terjamin.

”Lit muda lagi la, ma. Tapi, betul ke Lit boleh kahwin ni?” tanyaku bernada gatal. Sengaja aku usik mama.

”Anak perempuan lagi elok kahwin awal, sayang. Kalau kata Lit bersedia, mama dengan abah restuinya. Setidak-tidaknya Lit berteman. Tapi, jangan pulak kahwin dengan cara bukan-bukan,” tekan mama keras.

Aku telan liur sendiri. Mama ni boleh tahan kalau dia memberi amaran. Lebih keras dari konkrit. Aku angkat wajahku menghadap mata mama.

”Kalau kata Lit dah kahwin?” Aku memberi pertanyaan tergantung dan mama diam dengan wajah tidak beriak.

~~~> bersambung

15 comments:

  1. nakalnye lit..lit!! knapa x amik pashmina tu, aisey, klu kotor kn bleh basuh..membazir tu amalan syaitan..heheheh

    ReplyDelete
  2. "kalau kata lit dh kawen?"

    ....uuuu jntung saye lit dh bawak lari..suspen..

    ReplyDelete
  3. cik writer..ni cerpen ke or e-novel??hmm..

    ReplyDelete
  4. rasa macam pernah baca. tapi tak dapat nak recall kaitan dengan cerpen yang mana. haha.

    lit, kalau nak buat kejutan pls make sure mama takde sakit jantung ya?

    ReplyDelete
  5. erkk.. betul ke jelita dah kawen ni? hmm.. siapakah si dia yg sebenarnya?

    ReplyDelete
  6. haaaa... garang sungguh... keje nak karate org aje... huhu...

    ReplyDelete
  7. best best best gerenti best punye... next n3 pleaseee RM.. tq

    ReplyDelete
  8. macam pernah baca...tapi kat mana yea??? silap kut. hehehe. ok la. intro yang baik n makin lama makin bagus. keep it up. tbaik! alhamdulliah...

    ReplyDelete
  9. best... best...!!! terbaik...

    ReplyDelete
  10. jelita??? teringat iklan safi rania..
    jelita tak kenal usia.. hahhaa..
    wah,,, sikit2 nk karate orang eh!!!
    hmm,, menyantaikan..
    mcm duk tepi pntai plak.. haha..
    usop santorian pun boleh ada??? kih kih kih..
    dah kahwin ke belum nih??? asihh..
    saspen bebenor... hehe

    ReplyDelete
  11. best2...
    org lain dh smpai bab23,
    sy bru merangkak2 curi masa nk baca BNS...

    ReplyDelete