Thursday, September 08, 2011

Terlerai Kasih 21, 22, 23


BAB 21

DARI jauh aku melihat Am sudah memanjangkan lehernya. Mencari kelibatku barangkali. Aku mempercepatkan langkah, ingin segera menemui kekasih hati yang sudah menanti.
Rindu benar aku pada wajah itu selepas dia ke luar daerah untuk beberapa hari kerana arahan daripada pihak atasan. “Itupun aku diberitahu selepas kepulangannya. Patutlah dia tiada sewaktu aku ke IF Group beberapa hari sudah.
“Assalamualaikum, lama tunggu?” Aku menyapa lembut.
Waalaikummussalam! Tak ada la lama! Sampai dekat nak jadi kera langsat la Am kat sini,” guraunya. Aku melepaskan tawa halus.
“Minta maaf!”
Am tersenyum membuatkan hati wanitaku bergelojak tiba-tiba. Killer smile! Am mengajakku ke Restoran Dapur Penyet di tingkat bawah bangunan pejabatku. Katanya sudah lama dia tidak merasai ayam penyet. Adakah rasanya sama sewaktu dia menjamu masakan itu di Bandung! Mujur sahaja orang tidak terlalu ramai kerana jam masih belum merangkak ke waktu puncak.
Sesekali pelik juga dengan hubungan kami. Dalam waktu yang singkat kami memeterai cinta biarpun tidak pernah aku ungkapkan kata-kata keramat itu padanya. Memang aku menyintainya tapi entah mengapa, sukar benar kata-kata itu hendak terluah. Rasa takutku masih berbaki biarpun tidak separah dulu.
Masih banyak yang perlu aku aku tahu pasal dirinya. Keluarga dan Am sendiri dan tentu saja keluarganya bukan orang biasa. Andai tidak, tak mungkin percutian keluarga sampai ke Bandung sedangkan aku, hanya sekali tercampak ke Jepun kerana menghadiri seminar di sana dulu. Itupun atas cadangan Encik Azhan.
“Sibuk lagi ke?” soalnya saat kami melabuhkan duduk.
“Sibuk dengan bos dok pujuk Fiah ke majlis ulang tahun untuk meraikan pengarah baru syarikat tempat Am kerja tu!”
“So? Tak nak pergi ke?”
Aku tidak menjawab terlebih dahulu dan memberi peluang kepada pelayan mengambil pesanan kami.
“Fiah tak sudi nak pergi, ya?” soal Am ke sekian kali bila pelayan itu sudah menjauh. Aku mengjungkitkan bahu.
“Tak tahu lagi! Tak pernah pergi pun dalam dua tiga tahun ni,” luahku jujur.
“Fiah yang tak nak pergi, dia orang semua jemput, kan?” Aku mengangguk mengiyakan soalan Am.
“Lagipun, elok jugak! Kalau Fiah pergi sebelum ni, tak jumpa juga dengan Am sebab Am kan baru masuk kerja dengan syarikat tu! Kang tak pasal-pasal kena sambar dengan orang lain dulu!” gurau Am dengan ketawa yang mengekek-ngekek. Aku mencemik. Ada-ada saja dia nak mengenakan aku.
“Fiah jangan tak tahu, mula-mula Am masuk syarikat tu, ada orang cakap dengan Am, akauntan syarikat Uncle Azhan cantik. Cun melecun orangnya tapi sikap dia dingin macam ais kutub! Tu yang Am ke sana pergi juga mesyuarat mula-mula dulu tu. Tak pasal-pasal kena bidas dengan akauntan tu dulu!”
Aku tergamam! Mataku terbuntang luas. Rupa-rupanya ceritaku heboh di IF Group.
“Patutlah Am renung Fiah semacam je hari tu. Dah tu tanya soalan yang bukan-bukan! Mau tak kena smash! Nasib baik Fiah tak buat sommersault. Kalau tak lagi haru!” Aku menghadiahkannya satu jelingan tajam. Buat-buat marah padanya. Am ketawa.
“Masa dalam bilik Fiah tu, mati-mati Fiah ingat Am maksudkan bilik itu dingin, rupa-rupanya Am mengata Fiah ya?”
Ketawa Am makin kuat. Dia langsung tidak menghiraukan beberapa mata yang sudah beralih kepada kami.
“Fiah memang dingin masa tu! Dingin sangat! Sampai naik beku la Am duduk dalam bilik Fiah,” usiknya dan aku terus menjegilkan mata.
“Mana Am tahu Fiah dingin ke tak?” Aku tidak puas hati bila dituduh demikian.
“Tak nak mengakulah tu!”
“Bukan Fiah tak nak mengaku, tapi Am main tuduh-tuduh, bukannya kita dah lama kenal. Hari tu kali pertama Fiah tengok Am. Selalunya Encik Izham datang dengan orang lain, tiba-tiba hari tu dengan orang lain pulak! Baru kenal dua saat nak kata orang macam tu,” ejekku. Am meledakkan tawa.
“Am tahulah. Biasanya pandangan wanita ni lembut je tau walau macam mana keras pun dia tapi Fiah ni Am tengok, orang lemah lembut tapi pandangan Fiah tu nampak kosong. Dingin je! Macam tak ada perasaan!” jelasnya tanpa berselindung.
“Tu yang Am dok tenung je Fiah masa tu! Patutlah bos Fiah cakap Fiah ni susah nak jangka. Kadang-kadang nampak senang didekati tapi hakikatnya macam merpati. Makan di tangan, nak tangkap lari!” Madah Am membuatkan aku menggeleng kecil.
“Fiah pun ada satu perkara nak tanya Am!” Dia angkat kening memberi laluan padaku meneruskan soalan.
“Am ni pandai sangat bermadah berhelah ni, kenapa Am tak jadi lawyer ke? Kenapa mesti nak kerja dalam sektor pembinaan?” Dia melepaskan keluhan tipis.
“Am memang ingat nak jadi lawyer ke, cikgu sastera ke tapi dah amanat papa nak Am nak ambil alih syari…ops.” Dia menekup mulutnya.
Suara Am terhenti di situ tatkala pesanan kami tiba dan Am dengan seleranya terus menjamu selera.
“Nampak macam kebuluran la Am ni?” usikku. Langsung terlupa akan penjelasannya yang tergantung tadi.
“Sikit la,” jawabnya dan terus menyisip ice lemon tea hingga separuh gelas dan terus menyuakan sudu ke mulutnya. Suapan demi suapan.
Entah bagaimana, aku teringatkan nota yang aku jumpai dulu dan nota itu masih setia terselit di celah hand bag!
“Agaknya surat ni…” Aku menyuakan kertas yang sudah nampak sedikit kekuningan itu kepada Am.
“… Am yang tulis kot?” soalku sedikit kuat.
Dia tersedak demi melihatkan sekeping nota yang aku suakan padanya. Am terbatuk keras. Dia lantas mengurut dadanya dan meneguk sedikit air. Selepas itu dia berdehem beberapa kali. Aku tetap sabar menanti pengakuan darinya.
“Mana Fiah jumpa kertas buruk tu?” soalnya tidak mengerti akan maksudku.
“Mana ada buruk! Ni Am yang tinggalkan dalam bilik Fiah dulu, kan?” gesaku.
“Mana ada?” dalihnya terus.
“Am jangan nak bohong!” tekanku.
“Mana ada bohong? Tipu sikit je!” akuinya selepas seketika sambil tayang wajah selamba.
“Tak sangka Fiah simpan lagi. Am sajalah letak kat situ, biar Fiah tahu sikit keadaan Fiah masa tu! Macam ketul ais je!”
Aku membuntangkan mata. Berani dia mengata aku. Andai aku adalah Wafiah yang dulu, mahu saja aku hamburkan rasa marahku padanya tapi kini aku sekadar menerima semua itu sebagai usikan.
“Banyak betul rahsia dia! Tapi kenapa IF. Tu nama glamour ke? Apa lagi yang Am rahsiakan daripada Fiah?” Aku curiga. Am tersengih nakal sambil menaikkan jari telunjuknya.
“Ada lagi!”
“Apa?” soalku pantas. Tidak sabar untuk mengetahuinya.
“Mana boleh bagi tahu! Tunggulah dulu! Sabar tu kan separuh daripada iman!” ujarnya melepaskan diri.
“Eleh, Am tu ada jelah alasan nak lepaskan diri, kan? Berapa banyak lagi Am rahsiakan daripada Fiah!” Am merenungku lantas membilang jemarinya.
“Satu, dua, tiga, empat, lima, enam…”
“Am jangan buat lawak boleh tak?” marahku padanya. Sesekali timbul juga rasa baran dengan sikapnya yang jarang hendak serius. Kalau dulu, moodnya boleh berubah sekelip mata, hari ini juga lebih sukar hendak ku telah.
“So, Fiah pergi ke tak annual dinner IF Group?” tanya Am menukar topik perbualan kami. Aku menggeleng lemah.
“Kali ni Fiah kenalah pergi. Am kan ada kat sana! Pergi, ya?” Am memujuk.
“Malaslah,” jawabku ringkas. Dia mengerutkan wajah. Barangkali kecewa dengan sikapku yang dingin tiba-tiba.
“Fiah, pergi ya!” pujuk Am lagi. Aku terus diam agar dia berjanji untuk memberitahuku akan rahsianya yang selebihnya.
“Okey, kalau Fiah pergi malam ni, Am janji Am akan beritahu semua rahsia Am pada Fiah malam ni jugak!”
Kali ini Am termakan umpan pancingku. Aku terus mengangguk bila dia berjanji untuk membongkarkan semua rahsianya padaku. Entah apa rahsia, aku tidak pasti tapi hatiku bulat mengatakan yang aku akan tetap menerimanya biar siapa pun dia.
“Suka sangat, ya?” tanya Am dengan wajah yang mencemik. Aku ketawa kecil dan mengangguk.
“Lagipun, Am nak kenalkan Fiah dengan mama dan abah Am! Fiah sudi tak?” Aku menjegilkan bola mata. Suapanku terhenti lagi.
“Kenapa tak cakap awal-awal?” Aku melahirkan rasa tidak puas hati.
“Kenapa pulak?”
“Kalau tak Fiah boleh get ready dulu! Ni nak pakai apa pun tak tahu!” rungutku. Am mengeluh tipis.
“Fiah tak payah nak ready apa-apa. Buat macam biasa je! Lagipun Fiah boleh pakai apa yang Fiah nak, janji sopan dan menutup aurat! Macam yang biasa Fiah pakai je, dah boleh!”
Aku melarikan pandangan ke arah tubuhku. Melihat penampilanku yang mungkin sedikit kekampungan. Tapi, tiada salahnya pada pandanganku. Bukankah baju kurung boleh dibawa ke mana-mana majlis? Yang penting kemas dan menutup aurat.
“Baju kurung macam ni, okey ke?” Berkerut wajahku apabila Am mengangguk. Andai dia sudah memberi pendapat, hal lain aku tidak mahu ambil pusing lagi.
“Oh ya, Fiah ada satu lagi soalan,” beritahuku padanya yang sedang mengelap jarinya dengan kertas tisu. Am angkat kening.
“Banyak betul soalan Fiah hari ni?”
“Kenapa Am panggil bos Fiah, Uncle Azhan?”
Kali ini, wajah Am tetap tenang. Tidak seperti kali pertama aku menanyakan soalan yang sama padanya dulu. Dia sekadar tersenyum menghantar seribu kemungkinan dalam jawapannya.
Usai makan tengah hari, Am mengiringiku sampai ke pintu lif. Saat pintu terkuak, wajah Zura, Suraya dan Fariha tersembul di pintu lif. Aku berundur setapak, memberi laluan pada mereka untuk keluar.
Saat itu, dapat ku rasakan pandangan Zura jatuh terpaku pada seraut wajah Am. Hatiku berlagu gundah. Risau andai rahsia yang ku simpan kemas selama ini, terbongkar jua.

BAB 22

KAMI tiba sedikit lewat ke majlis ulang tahun IF Group yang berlangsung di Hotel Legend di Jalan Putra.
Sesudah menunaikan solat Maghrib, aku terus ke pejabat menjemput Suraya, Fariza dan Zura bila aku meminta mereka berkumpul di satu tempat. Puas aku menolak pelawaan Am untuk menjemputku kerana aku mahu bersama-sama dengan teman sepejabat. Aku mahu memulakan hubungan mesra antara kami.
Mereka semuanya tampil bergaya lebih-lebih lagi Zura yang mengenakan dress putih bunga-bunga separas betis dan blouse kosong berwarna pink.
Aku tetap yakin dengan penampilanku biarpun hanya mengenakan baju kurung moden yang sedikit mengikut potongan badan berlatar hitam dan bercorak abstrak warna ungu kebiruan.
Kami mengatur langkah menuju ke meja penyambut tetamu di tingkat 9, Hotel Legend. Wajah Fatehah dan beberapa orang lagi tersenyum padaku dari kejauhan.
“Selamat datang semua! Silakan masuk,” tuturnya halus.
“Cantik Cik Wafiah!” Aku sekadar tersenyum sumbing mendengar pujian yang terbit dari Fatehah.
Fariza, Suraya tersenyum padaku sambil mengiyakan. Lain pula pada Zura yang melemparkan satu pandangan jelek buatku.
“We all masuk dulu, ya?” ujarku lantas mengatur langkah bersama-sama teman ke arah pintu Legend Ballroom.
“Cik Nur Wafiah boleh tunggu sebentar?” Langkahku mati bila suara Fatehah lembut memintaku tunggu.
“Awak semua masuk dulu. Kejap lagi saya masuk,” beritahuku pada teman pejabatku semua. Ada rasa gementar bila Fatehah meminta aku mengikutnya ke satu tempat duduk yang telah dikhaskan untukku.
“Majlis dah lama mula ke?” tanyaku menyembunyikan rasa gugup.
“Dah agak lama. Mantan Pengarah dah beri ucapan, kejap lagi Pengarah baru pulak akan berucap! Lepas tu makan-makan dan ada sedikit persembahan,” jelasnya teratur.
“Silakan, Cik Wafiah!” Aku sekadar membontoti langkah Fatehah tanpa banyak soal.
Sungguh! Hampir pitam aku dibuatnya bila Fatehah meminta aku duduk di kalangan orang-orang besar. Berkali-kali aku mengedipkan mata. Masakah tidak, Tuan Fakhri dan wanita di sebelahnya pula mestilah Puan Insyirah, Encik Azhan dan isterinya Puan Seri Intan, Izham dan beberapa orang lagi yang memang aku tahu kedudukan mereka dalam projek IF Tower.
“Silakan duduk!” pelawa Fatehah lagi lantas terus berlalu.
Aku mengambil tempat di sebelah Encik Azhan dan di sebelah kananku masih ada sebuah kerusi kosong dan di sebelah kanan lagi, ada Izham yang duduk di situ. Merenungku sedari tadi. Di hadapanku pula, wajah Tuan Fakhri dan isterinya tersenyum padaku. Aku malu bila Puan Insyirah tidak sudah-sudah memerhatikanku.
“Lambat awak sampai, Wafi?”
“Maaf. Jalan jammed, bos!” jawabku pada Encik Azhan lantas menghulurkan salam pada isterinya.
Aku melarikan anak mata ke sana sini bila mana anak mataku dengan Puan Insyirah bertembung pandang dan terpaku di situ. Aku sekadar mampu menghadiahkannya sebuah senyuman.
“Cantik sungguh, kan bang? Sopan je.” Aku buat-buat tidak dengar suara Puan Insyirah memujiku pada suaminya.
“Mestilah. Emm..” balas si suami tersenyum mesra.
“Dah lama tak jumpa, macam mana kerja dengan bos baru?” Aku
sedikit terkejut dengan soalan yang Tuan Fakhri ajukan padaku secara tiba-tiba.
“Baik, Tuan,” jawabku penuh tertib. Menghormati orang yang lebih tua.
“Patutlah anak bujang abang tu angau!”
Aku sekadar tidak mengerti akan perbualan pasangan suami isteri itu dan hanya mampu tersenyum dan terus tersenyum.
Sesungguhnya aku tidak mampu berbuat apa-apa. Niat hati untuk merasa semua makanan yang terhidang terbantut sudah bila bersama-sama dengan mereka yang berpangkat dan berdarjat. Hanya Am yang tiada di sini. Sejak dari tadi aku mencari kelibatnya tapi tidak pula berjumpa.
“Tuan-tuan dan puan-puan, sekarang majlis mempersilakan Pengarah Urusan yang baru, Encik Ilham Fitri bin Fakhri untuk menyampaikan sepatah dua kata!”
Suara pengerusi majlis disambut dengan tepukan yang gemuruh. Seluruh dewan bergema. Aku mendengar sebaris nama itu dengan tenang. Tidak pernah sekalipun kami bersua muka. Hanya sekadar menandatangani perjanjian dihubungkan oleh orang tengah.
“Assalamualaikum and good evening to all!” Suara itu membuatkan aku menoleh ke pentas. Dalam kecerahan cahaya lampu yang memancar, aku tidak dapat mengamati wajah itu namun aku kenal benar suara itu. Tak mungkin! Aku cuba menidakkan andaianku.
“Thanks a lot to my parents, Tuan Fakhri and Puan Insyirah for trusting me to lead this company eventhough, I’d just finish my master in UK last six months. This company means a lot to my parents, my brother, Izham Fahri and the other one, Iqram Farihi. Iqram is still continuing his bachelor at UMS, to all my precious staff and our business partners, we always appreciate our cooperation all this time and special dedicated to abah, Tuan Fakhri, uncle Azhan. I owed you both a lot to be here!”
Benar! Mata dan telingaku tidak menipu. Sesungguhnya Am yang sedang berucap di pentas. Am adalah Ilham Fitri, Am bukan Amri yang ku kenal. Dia adalah seorang yang berpangkat dan mempunyai kedudukan dalam masyarakat. Jauh benar jurangnya antara kami.
Kelopak mata terasa suam dengan tiba-tiba. Hampir saja airmataku menitis. Benarlah katanya, aku akan mengetahui segala-galanya bila aku hadir ke majlis ini dan kejutan? Kejutan inikah yang dimaksudkan oleh Izham tempoh hari? Terlalu banyak persoalan yang tak dapat ku rungkai.
Ucapan Am tidak lagi menarik perhatianku. Aku tenggelam dalam persoalan yang bertalu-talu. Terlalu besar rahsianya. Encik Azhan juga adalah pakciknya. Kenapa aku tidak pernah tahu? Ya, Allah! Ku pohon kesabaran hati dari-Mu.
Aku melarikan mindaku jauh. Tidak sedar bila Am mengambil tempat di sebelah kananku lantas dia bersalaman dengan beberapa orang yang ada di meja kami. Lirikan matanya padaku tidak ku balas.
Wajahnya muram tiba-tiba. Aku dapat melihatnya dari ekor mataku. Biarlah dia, terlalu banyak dia sembunyikan daripadaku.
“Jadi, inilah dia wanita yang berjaya membuat anak sulung mama ni angau, ya?”
Suara Puan Insyirah membawa aku kembali ke alam nyata. Aku tidak hanya bersama Am. Aku terlupa yang aku sedang berada di tengah-tengah tetamu Am yang dihormati. Tidak dapat tidak, aku tersenyum malu. Mempamerkan reaksi yang amat kontra daripada apa yang aku rasakan sekarang.

BAB 23

AKU terpaksa bersetuju bila Am mendesak agar aku meminta Fariza sahaja yang menghantar teman-teman pejabat yang lain dan langsung membawa kereta kesayanganku itu pulang. Dia beria-ia ingin menghantarku kerana baginya terlalu banyak perkara yang perlu dibincangkan.
Pastilah kerana peristiwa sebentar tadi. Sedari tadi aku menjadi pelakon di pentas drama yang Am arahkan. Terpaksa mengulum senyum sepanjang masa kerana tidak mahu ketara kecanggunganku pada mata mereka yang tidak pernah lepas dari kami.
Aku benar-benar keliru dengan perasaan hatiku kala ini. Marahkah aku dengan penipuan Am? Sedihkah hati apabila dibohongi begini? Sanggupkah aku menerima penjelasannya?
Selepas kunci keretaku bertukar tangan, aku membawa langkahku ke luar dewan. Jauh daripada hingar bingar alunan muzik dan suara-suara yang riuh itu. Mencari mana-mana sudut yang boleh membuatkan memujuk agar hati terus didakap sabar hingga akhirnya aku duduk di kerusi yang disediakan di lobby sambil menekup wajah di tempat yang sedikit terselindung. Mencari jawapan yang pasti akan semua yang telah berlaku sebentar tadi.
“Fiah kat sini rupanya. Mama tanya Fiah. Mari kita ke dalam.” Teguran Am sedikit sebanyak membuatkan aku jantungku hampir gugur. Namun, cepat-cepat ku kawal rasa terkejut itu. Wajahnya langsung tidak ku pandang. Ajakan Am ku biarkan sepi.
“Fiah marah Am, ya?”
Aku menggeleng. Sekadar menayang muka tiada perasaan. Aku juga tidak kalah jika mahu dibandingkan dengan Am.
“Habis tu kalau tak marah kenapa duduk kat luar sorang-sorang? Am ajak masuk pun tak nak! Jangan kata nak masuk, nak bercakap pun tak sudi dah!” Suara Am kedengaran sayu.
“Fiah…,” ujar Am bersulam keluhan.
“Bukan tak sudi tapi Am rasa betul ke apa yang Am buat pada Fiah ni?” soalku kemudiannya dengan suara yang lembut, masih cuba mengawal intonasi suaraku agar tidak terus bergema menjerkah Am atas pembohongannya padaku. Wajahnya langsung tidak ku pandang.
“Am minta maaf!”
“Lagi-lagi maaf!” cantasku lemah.
“Kalau nak buat tu cubalah fikirkan dulu kesannya. Fiah malu Am, malu dengan keluarga Am, malu dengan bos Fiah, dengan Izham, dengan teman pejabat, dengan semua orang,” luahku memaknakan rasa malu itu pada Am. Perlahan-lahan aku meraup wajah menyembunyi airmata yang hampir menitis.
Kali ini hampir saja airmataku menitis. Dadaku sudah hampir pecah akibat mengawal emosi yang tidak tentu hala. Bagaikan diserang dari empat arah. Selatan, utara, timur dan sekaligus dari arah barat.
“Apa yang nak dimalukan? Mereka semua dah tahu pasal kita. Am dah ceritakan semuanya. Lagipun Am ada satu lagi surprise untuk Fiah!” pujuk Am lembut. Aku lantas berdiri. Perkataan surprise itu langsung tidak menarik minatku. Rasa fobia pula dengan perkataan surprise ni.
“Maknanya, semua orang dah tahu tapi yang je Fiah tak tahu siapa Am sebenarnya, macam tu?” Suaraku kini sudah mula berubah nada. Sudah mula bertukar tone. Mula keras dan membentak.
“Am memang sengaja nak memperbodohkan Fiah atau Fiah yang terlalu bodoh sampai tak tahu pasal semua ini?”
“Fiah, please! Ini bukan masa yang sesuai kalau Fiah nak marahkan Am. Marilah kita masuk dulu, mama dengan abah tengah tunggu tu! Lagipun Am ada lagi satu surprise untuk Fiah!” ulangnya sekali lagi.
“Apa lagi surprise Am tu? Tak puas lagi nak memperbodohkan Fiah?” Aku memicit kepala yang sedikit berserabut. Am melepaskan keluhan berat. Wajahnya jelas menunjukkan yang dia benar-benar rasa bersalah.
“I didn’t expect this to happen, Fiah! Am rasa Fiah boleh terima tapi Am tak sangka, Fiah boleh cakap Am nak perbodohkan Fiah!”
Aku cuba membentak tapi kata-kata itu ku telan sendiri bila wajah Puan Insyirah mula mendekat kepada kami. Aku mengulum senyum seikhlas hati, menyembunyikan wajah yang sedang marah.
“Am, kan majlis ni untuk Am. Boleh pulak dia berdua-duaan kat sini. Mama suruh Am panggil Fiah, bukan suruh Am melekat kat sini!”
Usikan Puan Insyirah tidak langsung berbekas di hatiku. Masih banyak perkara yang aku ingin hamburkan pada Am dan demi itu aku memujuk hati agar bersabar untuk seketika. Lepas ini, aku akan kenakan dia cukup-cukup! Bentak hatiku marah.
“Maaf, Puan! Saya ke bilik air kejap tadi!”
“Fiah tak apa-apa? Yang Am ni, mama suruh dia tengokkan Fiah, dia pulak melekat kat sini!”
Aku terlopong saat telingatku menangkap sepatah perkataan itu dari celah bibir Puan Insyirah. Mama! Terasa sejuk hati panasku bila dia membiasakan dirinya begitu denganku.
Dengan kata lain, dia mengizinkan hubungan kami dan telah mendapat restu daripada kedua-keduanya.
Mungkin benar kata orang, andai di situlah jodoh kita, perjalanan untuk menuju untuk membina masjid baru itu akan dipermudahkan Allah.
Sekiranya di pertengahan jalan terdapat beberapa dahan-dahan atau ranting kecil yang menghalang perjalanan, itu sekadar dugaan menguji ketabahan dua hati dalam mencari cinta yang suci.
“Mari!” Am cuba meraih tanganku ke dalam genggamannya Tersentak aku dari satu kenyataan yang indah bagaikan kristal itu. Silap perhitungan, terlepas dari genggaman, akan hancur berkecai jua.
“Jangan sentuh Fiah! Cukuplah sekali dulu. Tolong jaga maruah Fiah!” tegasku.
“Nanti Fiah akan jadi milik Am jugak, kan?” soal Am masih cuba mengikut kehendaknya. Cuba menghalalkan sesuatu yang masih haram.
“Satu hari nanti yang tak tahu bila tu mungkin ya! Tapi, yang penting bukan sekarang!” tegasku sinis.
Aku tidak mahu lagi mana-mana bahagian tubuhku dicuit-cuit dan dipegang sesuka hati oleh Am. Cukuplah sekali dulu sewaktu peristiwa di KLIA. Menyesal tak sudah rasanya dengan diri sendiri. Mudah digugah dengan perasaan halus itu. Aku mahu dia tahu, maruahku tak mungkin boleh digapai oleh mana-mana lelaki yang bukan bergelar suami.
“Ini yang membuatkan Fiah sangat istimewa di hati Am,” ujarnya dengan nada memujuk biarpun terselit sedikit nada kecewa di antaranya.

Dewan sudah tampak agak lengang. Meja kami juga hanya tinggal kaum keluarga kecuali aku saja yang tersesat di sini angkara ‘surpise’ yang Am aturkan. Kelibat teman-teman juga sudah tidak kelihatan dan malam pula sudah merangkak tua. Aku sedang asyik melayani lagu Careless Whisper yang dinyanyikan oleh salah seorang kakitangan IF Group. Siapa dia, tidak pula aku kenal.
Lagu yang asalnya dinyanyikan oleh George Michael itu menjadi sedikit sumbang bila dinyanyikan olehnya. Hatiku yang tegang, kendur sedikit melihatkan telatahnya yang ku kira syok sendiri.
“Abang Am memang nak buat macam yang dirancang ke?” Suara papa Am membawa aku memandangnya.
“Fiah setuju ke?” soalnya terus kepadaku.
“Setuju?” soalku kembali yang langsung tidak memahami untuk apa soalan itu diajukan padaku.
Tuan Fakhri melarikan pandangannya ke arah Am. Mungkin terkesima dengan soalanku tadi yang jelas kebingungan.
“Am tak bincang dengan Fiah lagi ke?” Keluh Tuan Fakhri.
Aku memandang Am di sebelahku. Menghantar pertanyaan dalam diam. Sudahnya dia sekadar tersengih sumbing memandang kami silih berganti.
“Nak masuk meminang anak dara orang ni kenalah bincang dengan empunya diri dulu!” sambung Puan Insyirah pula.
Hampir pitam aku dibuatnya dengan apa yang telah ku dengar. Aku paut bucu meja. Sejak bila Am merancang untuk menghalalkan hubungan kami, aku benar-benar tidak tahu. Bukan aku tidak sudi menjadi seseorang yang halal buatnya, tapi bila aku terima berita baik itu dalam keadaan begini, sedikit sebanyak hatiku keliru.
Terlalu banyak perkara yang tidak dapat aku jangkakan dan kini hinggalah ke majlis peminangan. Marahku yang sudah agak reda tadi kembali meluap-luap. Namun, aku terpaksa mengawal rasa terkejutku demi menjaga air muka Am di depan keluarganya.
“Am ingat Fiah ni siapa sampai Am tak bincang dulu dengan dia pasal hal ni! Ini bukan perkara main-main Am! Kot ya pun kamu berdua saling menyintai, Am tetap kena bincang dengan dia dulu. Dapatkan persetujuan dia, ni main ambush macam ni je!”
Suara Tuan Fakhri kedengaran jelas kecewa dan aku terpaksa mengawal rasa terkejutku apabila soal. Rasa malu deras menyerbu ke muka. Terasa wajahku sudah memerah bagaikan dibakar apabila hubungan kami menjadi topik hangat malam ini.
Pandanganku jatuh silih berganti kepada Encik Azhan dan isterinya, mama dan abah Am serta Izham yang sedari tadi merenungku tajam. Renungan yang sejak akhir-akhir ini membuatkan aku rimas.
“Emm… se… sebenarnya Am dah bincang dengan saya! Mungkin saya yang terlupa!” jelasku tergagap-gagap, tersengih mempamerkan barisan gigiku macam orang bodoh.
Huh, tidak pernah pula aku berbohong! Disebabkan kau, aku terpaksa berbohong! Seretak itu, aku menghadiahkan Am satu jelingan maut. Nak kena kau nanti! Marah hatiku.
“Haa… betul tu abah, mama! Dengarkan Fiah cakap apa?” Suaranya teruja bila aku jelas terentang membela salahnya.
“Tak payah la Am nak berdalih. Fiah tu cakap macam tu takut Am malu sendiri je, tu yang dia mengaku! Tengok Fiah, cakap pun dah tahu yang dia saja nak bela Am. Bukan Pakcik tak kenal dia. Dia dah lama la kerja dengan Pakcik! Budak tak pernah berbohong ni, mana reti nak berbohong sekarang!” Suara Encik Azhan membawa mereka tawa yang berdekah-dekah.
“Ala, Uncle! Kalau Am cakap awal-awal tak jadi surpise la pulak!”
Kali ini, ketawa mereka bersambung. Hanya aku dan Izham yang tidak berkutik. Aku sesungguhnya malu dengan pembohongan yang cepat saja ditangkap oleh Encik Azhan. Dalam hatiku tidak puas-puas mengutuk Am. Banyaklah kau punya surpise!
Aku mengangkat pandanganku dan sungguh, wajahku berkerut seribu bila Izham tidak sudah-sudah merenungku sedari tadi. Bagaikan ada sesuatu yang ingin disampaikan kepadaku. Sesuatu yang terlalu penting, sesuatu antara hidup dan mati!

...bersambung...

3 comments:

  1. hee...novel ni dah lama pending pada bab 40...hee..ni RM up kan yang dah ada je..ingat dh siap manuskrip penuh nak hantar la..erk(macam la cite best sangat)..hee

    ReplyDelete