Friday, November 11, 2011

Terlerai Kasih 41

BAB 41

MATAKU bulat memandang Ilham yang sudah berdiri tegak memegang ibu jarinya yang merah dengan darah. Tapi, rasanya dia sengaja menjatuhkan pinggan itu dan melukakan jemarinya.

“Kenapa?” jerit mak yang sudah muncul di sebelahku.

“Err, pinggan jatuh, mak,” jawab Ilham tergagap.

Riak wajahnya menunjukkan yang dia sedang menanggung sakit yang amat. Mak mula memandang aku yang masih terpegun di situ.

“Yang Fiah tengok je ni, kenapa?” tegur mak keras. Aku tersentak.

“Err, eh, ya..ya. Habislah pecah pinggan mak,” ujarku di luar kawalan.

“Ya Allah. Pinggan pulak yang kamu risaukan. Tu…” Mak tuding jari ke arah jari Ilham yang sedang mengalirkan darah merah.

“… tangan laki kamu tu luka Fiah. Pergi cepat letak ucap, lepas tu balut. Kaca tu biar mak je kemas.” Mak lalu turun ke bawah.

Ilham buat muka polos meminta belas. “Sakit, yang!”

Bila mak mula memandangku tajam kali ini, aku terpaksa juga turun mendapatkan Ilham. Memaut tangannya yang luka.

“Alah, tak adalah banyak sangat pun ni,” ucapku malas.

“Tak banyak pun, pergilah tolong dia letak ubat.” Mak menjeling ke arahku.

“Sakit ke?” tanya ku pada Ilham.

“Sakit tu tak. Tapi, pedih,” jawabnya manja. Aku mencebik.

“Dah tu, mari sini. Tahu pun pedih. Kenapa sengaja gatal nak pecahkan pinggan tu?”
bebelku.

Ilham senyum. Pertama kali melihat senyuman itu selepas sekian lama senyum itu pergi dari wajahnya. Biarpun wajah itu sudah agak tidak terurus. Jambang dan misai sudah mula tumbuh meliar, dia tetap tampan seperti pertama kali aku kenalinya dulu.

Sukar hendak ku bohongi diri sendiri, hatiku akui juga akan perasaan rindu ini padanya. Bukan setakat membusut, tapi menggunung tinggi. Hendak ku leraikan, tapi semakin kusut pula.

“Cepatlah Fiah. Kamu dok membebel lagi kat situ, darah tu tak keringnya.” Teguran mak membuatkan aku tersedar.

Bibir lelaki di depanku ini semakin mekar dengan senyuman. Entah mengapa, bibirku juga turut menggariskan senyuman tipis buatnya. Terasa bagaikan waktu kembali ke saat indah yang lalu. Tatkala hubungan kami yang singkat itu, dimesrai dengan kejujuran dan keyakinan cinta antara kami.

“Mari sini, Fiah cuci luka tu dulu,” ajakku lembut sambil menarik tangannya agar mengikut langkahku bila mak sudah berlalu ke luar rumah. Nak buang kaca katanya.

“Pedih di tangan ni tak seberapa kalau nak dibandingkan dengan luka kat hati aku ni,” gumam Ilham.

Tanganku yang memimpinnya terlucut. Langkahku pegun. Benar dia sukar dijangka. Hari ini juga lebih sukar. Baru sebentar tadi, aku merasakan kemesraannya tapi kini, sekelipan pula bertukar rentak lagi.

“Apa yang saya dah buat dekat hati awak tu? Saya rasa bukan saya yang buat awak, tapi awak tu yang dah berlaku kejam pada saya!” tekanku dalam keadaan marah.

Sebenarnya bukan marah pada dia, tapi marah pada diri sendiri kerana hampir saja tertipu dengan wajah manja Ilham sebentar tadi. Aku terus melangkah ke bilik tanpa menghiraukan dia lagi. Andai tadi, rasa risau juga tapi kini, menyampah pula.

Daun pintu aku tolak kasar. Almari solek aku rapati dan mengambil tisu basah dan juga first aid mini dari dalam laci. Aku tarik bangku kecil itu dan duduk rapat di depan Ilham yang sudah melabuhkan duduk di birai katil.

“Apa lagi yang tak kena dengan awak ni?” tanyaku dengan nada yang mendatar sewaktu sedang mencuci lukanya.

Ilham diam. Aku tahu, matanya sedang merenungku. Aku juga nampak dia menelan liurnya berkali-kali. Desah nafasnya agak lelah. Hatiku senyum. Lelaki. Sudah pasti kekal sebagai lelaki. Biarpun bibir berkata benci, tapi kehendak naluri fitrah kelelakiannya pastilah mahu menuntut sesuatu daripada seorang wanita yang telah sah bergelar isteri.

“Saya tanya ni, apa lagi yang tak kena dengan awak ni? Kenapa suka mungkir janji?”
ulangku sedikit keras. Sengaja aku cantas renungannya.

“Er, er…aku..aku…” Ilham tergagap-gagap.

Mahu saja kau ketawa kala ini melihatkan wajah yang kelam kabut itu. Hilang ketenangan wajah maskulin itu seketika. Pandai juga dia gelabah. Tapi, aku tahan saja rasa yang menggeletek tangkai hati. Hubungan ini tidak akan ke mana. Entah esok atau lusa, terlerai jua hubungan sah kami ini.

“Kau buat perlahan sikit boleh tak?” marah Ilham padaku.

Aku panggung kepala merenung dia. Apa masalah dia sebenarnya, aku sendiri tidak tahu. Rasanya sudah terlalu perlahan aku mencuci lukanya itu dan luka itu tidak seberapa. Tidaklah sedalam mana.

“Maaflah. Saya ni bukan nurse nak cuci luka awak baik-baik. Lagipun luka awak ni sikit je. Awak tu haa, mengada je lebih.” Aku mencebik.

“Sikit kau cakap? Dekat nak habis dah darah aku ni nak tunggu kau bertindak. Kau kata sikit?”

“Saya tak suruh awak lukakan diri sendiri pun. Yang awak terluka ni kenapa? Sengaja nak tarik perhatian?” tanyaku agak kasar.

Ilham diam tidak menjawab. Peluang ini aku ambil untuk terus bersuara.

“Lagipun, rasanya tadi awak cakap hati awak lagi parah saya lukakan. Rasanya dah terbalik kita ni. Bukan ke saya yang awak lukakan?” soalku tidak puas hati.

Mataku masih tertancap pada jarinya. Luka yang telah dibersihkan itu, aku sapu pula dengan ubat kuning. Rasanya ubat itu sajalah yang aku ada. Lelaki ini masih merenungku tidak lepas. Menyampah pula membiarkan wajahku dijilat mata kuyu Ilham.

“Yang awak dok renung saya tu kenapa?” soalku tanpa melihat ke arahnya.

“Kau halal untuk aku. Ikut suka aku la kalau aku nak renung pun. Atau kau lebih suka seseorang yang tak halal untuk kau yang renung kau?” Suara Ilham tenang saja.

Aku ketap bibir dengan pertanyaannya. Setiap kali pun, pastilah dia berkata demikian. Bagai benar memaksudkan yang aku adalah perempuan yang bukan-bukan. Yang boleh dikelek ke hulu dan ke hilir oleh mana-mana lelaki sedangkan, Fazlee lah satu-satunya lelaki yang aku kenali sebelum dia. Itupun, tidak pernah sekalipun aku biarkan Fazlee menyentuh kulitku sepanjang kami bersama.

“Daripada mata lelaki yang benci saya renung saya, saya lebih rela direnung oleh orang yang sukakan saya.”

Entah mengapa aku lebih memilih untuk menyakitinya biarpun kehendakku yang sebenar bukanlah demikian. Ilham menyepi. Aku mengambil peluang ini untuk menampal hujung jarinya dengan plaster. Selepas itu aku terus bangkit menyimpan kembali kotak first aid itu di dalam laci.

Kemudiannya, aku bawa tubuhku berdiri di depan Ilham yang masih duduk di birai katil dengan mata yang setia merenungku dengan seribu satu persoalan yang terbias di balik anak matanya.

Mahu saja aku bertanya, tapi aku tidak sanggup andai terpaksa menghadapi tuduhan dan cemuhan dia yang ku gelar suami. Sementara masih mampu mengelak, aku akan terus mengelak.

“Luka awak tu sikit je. Tak ada apa pun sebenarnya. Saya nak keluar. Bila-bila masa awak nak bertolak balik, cakap je. Saya dah ready semua dah.”

Aku pusing tubuh ke pintu hendak keluar. Tidak betah berada di dalam bilik bersama dia. Andai berlama-lama, aku risau aku terlebih dahulu yang mendakap tubuhnya sedangkan aku adalah manusia yang jijik pada matanya.

“Aku nak tanya satu soalan pada kau, Wafiah.”

Tanganku pegun daripada memulas tombol pintu bila Ilham menyeru namaku. Sudah berkali dia memanggilku Wafiah. Tiada lagi nama Fiah yang terbit daripada bibirnya. Sudah lama hilangnya kelembutan dalam seruan namaku itu.

Aku pusingkan semula badanku menghadap wajahnya. Kening aku jungkit sedikit bertanya dalam diam.

“Aku harap kali ni kau boleh berterus terang dengan aku, Wafiah!” tekan dia lagi.

“Rasanya saya tak pernah sorok benda dari awak, Ilham. Tentang keluarga saya, mak dan kakak saya sendiri yang berterus terang dan awak dah tahu semua ini sebelum saya ke rumah keluarga awak lagi.” Sengaja aku ungkit perkara ini. Aku puas bila kerut sudah mula terentang di dahinya.

“Jadi, rasanya… awak boleh tanya apa saja. Dan saya nak awak tahu yang saya tak pernah sembunyikan apa-apa daripada awak,” sambungku tegas.

“Kau yakin ke yang kau tak pernah sembunyikan apa-apa daripada aku?” tanya dia sinis. Bibirnya juga tersungging dengan senyum sinis juga.

Aku terngadah. Rasa macam ada sesuatu yang telah berlaku kepada Ilham. Hendak menjawab tapi rasa tidak mampu meluahkan kata. Kelu sungguh. Terbayang di mataku peristiwa aku bersama Fazlee di tempat letak kereta di Subang Jaya dulu. Dipeluk lelaki itu setelah aku keluar dari Butik Seri Pengantin dulu dan yang lebih teruk, bertelagah dengan Fazlee di tangga kecemasan pejabat Ilham.

Mungkin benar kata Kak Anah. Adakah benar Ilham ternampak semua itu hingga membawa dia ke arah perubahan besar begini? Tapi, aku yakin benar tidak. Dan perubahan Fatehah terhadapku juga, aku yakin kerana Ilham sudah tidak menyukaiku lagi. Sebab utamanya pula pastilah kerana aku daripada keluarga yang tidak baik keturunannya. Pasti! Seyakinnya pasti.

“Kau tak perlu jawab soalan aku, Wafiah! Kau perlu jawab satu je. Aku nak tanya kau sekali lagi, kau ada apa-apa perkara nak beritahu aku ke?”

Aku ketawa kecil. Entah mengapa terasa lucu pula soalan itu dipendengaranku. Ini adalah kali kedua soalan itu diutarakan.

“Ni kali kedua awak tanya saya soalan macam ni, Ilham. Dan sudah pastinya jawapannya juga sama,” ujarku dalam dalam tipis.

“Fikir dulu sebelum menjawab soalan tu, Wafiah. Kesannya terlalu besar untuk semua orang.” Ilham memberi amaran padaku.

Rasanya lebih serius daripada dulu. Andai dulu, bila aku menjawab tidak pada soalannya, dia meminta untuk mendakapku tapi hari ini dia sekadar kaku di birai katil yang masih tersarung indah dengan cadar pengantin.

“Tiada apa yang nak difikirkan lagi tentang kita, Ilham. Segalanya dah selesai. Rasanya, kita bertolak kejap lagi. Saya tak nak awak bersanggah di rumah keluarga saya lama-lama. Saya tak nak kita terus berlakon depan mak saya. Lepas sampai Kuala Lumpur nanti, kita akan bawa haluan masing-masing. Bersiaplah. Kalau kata awak tak larat pun, saya boleh bawa kereta sendirian sebab saya dah lama didik diri saya tiada berteman,” ujarku panjang lebar.

Kami perlu keluar daripada rumah mak dengan segera. Semakin lama, semakin parah pula nanti.

“Dengan kata lain, kau nak cakap kau menyesal kenal aku. Macam tu?” Suaranya sudah lain macam. Sudah tegas dan keras.

“Saya tak cakap macam tu. Tak pernah.” Aku geleng kepala.

“Tapi, rasanya awak yang pernah cakap pada saya macam tu. Masa perkenalan tu memang penting untuk sesebuah hubungan, kan? Dan, awak menyesal kenal dengan saya yang tak layak untuk dicintai malah untuk menyintai!” tekanku keras.

Jangan sesedap itu dia menuduhku. Kerana perkataan menyesal itu terbit daripada bibirnya suatu hari itu. Bukan dari bibirku. Atau dia sudah lupa atau sengaja mahu mengubah fakta, menjadikan aku pesalah sekali lagi?

Mata kami beradu lagi. Ada rindu hadir di hatiku. Ada rasa asing yang singgah. Rasa ingin dibelai dan disayangi. Namun, lain pula yang aku lihat pada wajah Ilham. Hanya rasa benci yang meluap-lupa.

Dia melebarkan senyuman yang langsung tidak ikhlas di pandanganku. Senyuman yang menyatakan rasa sesalnya kerana bersua lagi denganku.

“Memang pun aku menyesal kenali kau terlalu singkat, Wafiah. Aku silap menilai kau. Entah mengapa, biasanya kata hati aku betul tapi bila dengan kau hati aku ni sering menipu aku.” Ilham geleng menggambarkan kekesalan.

“Kalau hati awak tu menipu awak, awak tak boleh nak salahkan saya, Ilham. Saya benar-benar nak tahu, apa silap saya sampai awak berubah dalam sekelip mata? Sampai awak tergamak buat saya macam ni?” Aku sudah mula beremosi.

Sungguh, aku benar-benar mahu tahu mengapa dia berubah begitu. Dulu aku pernah bertanya pada dia sekali, tapi jawapannya sangat menghampakan.

“Silapnya kau tu memang perempuan hina, Wafiah. Kau tak layak untuk aku dan keluarga aku!” Ilham menjawab tegas.

Matanya juga menggambarkan ketegasannya. Aku melepaskan keluhan. Hatiku menangis menerima jawapan itu tapi seperti yang telah aku janjikan pada diri sendiri, tiada lagi air mata. Tak akan ada.

Untuk apa menangis, jika telah lama aku didik hatiku agar kental menerima dugaan. Mak juga telah berpesan dan aku akan terus gagahkan bahuku untuk menopang segala masalah yang bakal menimpa.

“Kalau awak dah letak saya sebagai perempuan macam tu, saya dah tak ada apa lagi yang nak dicakapkan. Selepas keluar daripada rumah mak saya ni, kita selesaikan segalanya. Maksud nama saya adalah menepati janji dan saya akan tepatinya.” Aku ulang semula ayat itu.

Maksud namaku yang pernah dia ungkapkan satu waktu dulu. Mendoakan aku menjadi hamba Allah yang sentiasa menepati janji. Tapi, bila aku mahu menepati janjiku, mengapa dia pula mahu mungkiri janjinya untuk melepaskanku pergi?

“Jadi, elok juga kalau awak turut sama tepati janji awak nak lepaskan saya,” sambungku kemudiannya.

Wajah Ilham berkerut seribu. Aku sengih pada hujung bibir. Aku tahu dia terhenyak dek kata-kataku. Biarlah begitu. Biarlah aku ungkit segala kemesraannya yang dulu. Yang menjadi racun dalam hatiku kini.

“Kenapa kau yakin sangat yang aku akan lepaskan kau pergi, Wafiah?” tanya Ilham beriak bongkak. Aku jungkit bahu.

“Terserahlah. Saya tak yakin tapi saya meminta apa yang telah awak janjikan. Kalau kata awak tak boleh nak tunaikan pun, saya tetap tak kisah untuk hidup dengan status isteri walaupun tiada suami. Saya takut awak tu haa… yang sangkut nanti kalau nak beristeri lain,” selaku sinis.

“Sekarang ni bukan soal aku, Wafiah!” gumam Ilham. Dia sudah ketap gigi menahan geram.

“Ni soal kau! Aku tanya kau sekali lagi, Wafiah! Betul ke kau tak ada apa-apa perkara yang nak kau beritahu aku?” Matanya menyoroti anak mataku dalam.
Aku geleng. “Kalau ada pun, saya tak pernah beritahu awak yang saya tak pernah cintakan awak selama ni!” tekanku sengaja menyakiti hati dia.

Sengaja aku bohongi diri sendiri. Setidak-tidaknya, luka hatiku tidaklah semakin parah. Terasa kuat juga bila akal sering berkata tidak pada cinta yang dirasakan hati.

Sekali lagi, aku capai tombol pintu. Tapi rasanya, ada satu perkara yang aku perlu tanyakan pada dia.

“Oh ya…” Aku kalih wajahku separuh.

“…kenapa awak sanggup balik jemput saya hari ni sedangkan mak saya cakap awak nak suruh saya balik sendiri hari ni? Apa yang membawa awak tiba-tiba muncul kat rumah kami pulak pagi ni?”

Kami sama-sama diam. Tiada jawapan yang aku terima dariapada Ilham. Hanya dengusan nafasnya yang semakin kasar menerjah gegendang telingaku. Bagaikan menahan amukan perasaan yang semakin hebat. Marahkah dia? Aku tidak pasti untuk apakah kemaharan itu andai benar dia benci padaku.

“Saya tak fikir sebab mama awak je baru awak jemput saya. Membazir tiket kapal terbang untuk perempuan tak bermaruah seperti saya ni. Untuk keluarga yang yang dari keturunan yang bukan-bukan macam saya ni,” sambungku senafas.

Lama juga aku berdiri di depan pintu menunggu jawapan Ilham tapi bila selepas seketika masih tiada suara dari mulutnya, aku tarik daun pintu.

“Kau tahu jawapannya, Wafiah.”

Sebelum sempat aku melepasi ambang pintu, telingaku menangkap jawapan lemah Ilham. Membuatkan aku semakin tidak faham.

“Dan, ini juga bukan setakat soal saya je, Ilham. Ini adalah soal kita!” tekanku lalu aku berlalu dan merapatkan pintu.

~~~> bersambung...

Saya akan up kan TK sampai 50 sebab dalam manuskrip saya ni bab ni baru bab 31..saya arranger balik susun atur bab ni..kira 50 dalam blog, tapi 40 gak ar dalam manuskrip saya..hehe..

8 comments:

  1. hai..ksian btul wafiah ni..dua2 keras kpala, camana nk baik..

    ReplyDelete
  2. ilham ni napa la tak trus trang jek...tanya yg sebenar2nya apa yg dia nampak..wafiah pun spatutnya awal2 lagi ceritakan ttg fazlee pd ilham..kan dah salah faham...sapa yg kena tanggung..wafi jugakkk...

    ReplyDelete
  3. ilham ni tanye la betul2 apa yg x tau ni tanye yg pelik2 mane fiah nak jawab.
    smga fiah mendapat kebahagiaan

    ReplyDelete
  4. Ilham apa lah susah sangat berterus-terang ja lah...
    Kasiha Wafiah ..... jangan dah terlerai baru nak menyesal...
    Wafiah..... nak sediah bersama bolehhhh.....

    ReplyDelete
  5. ilham nie bagitw j la apa yang di tw,nie x berteka teki plak..jgn dah menyesal nt baru la nak pujuk rayu...lelaki la kata kan

    ReplyDelete
  6. kaK,dua2 keraS kple!but siaN fiaH

    ReplyDelete
  7. alahai dik..terubat rindu akak..terima kasih dik..kerana E3 ni..
    Kesian ilham dan Fiah..kenapalah ilham tak cakap straight to the point..kenapa mesti tanya berbelit belit..ini semua masalah komunikasi..alahai..bole tak sit down dan bebicara secara baik..bukan menyindir..kerana ..both of you are grown up not a small kid anymore..ini sebuah perkawenan yg betui betui dan bukan kawen olok olok mcm budak budak hingusan..
    salam
    kak idA

    ReplyDelete
  8. alamak ngantuk, tetiba ayat last tu tak berapa nak paham.huhuhu

    ReplyDelete