Friday, March 16, 2012

Ku Ingin Milikimu [5]

BAB 5

PERTANYAAN Sarina aku biarkan sepi. Sudah tidak tahu hendak memulakan dari mana apatah lagi hendak mengakhirinya.

“Kau boleh tak cakap kau pergi mana beberapa hari sudah, Ana? Mujur bos sayang kau, tau tak? Tiba-tiba kau ambil cuti kecemasan. Kau balik kampung ke? Ada masalah?” tanya dia cemas.

Aku menggeleng. “Kan aku dah cakap, aku kena culik!”

“Kau biar betul.” Dia ketawa tidak percaya dengan kata-kataku.

“Percaya atak tidak, itu hak kau. Aku tak kisah. Cakap pada bos, aku nak cuti lagi beberapa hari. Ada hal aku nak kena uruskan.”

Sesungguhnya aku jadi takut hendak ke pejabat memandangkan Mukhlis sendiri sudah tahu tempat kerjaku tapi aku yakin, dia masih belum tahu tempat tinggalku dan rasanya inilah tempat yang paling selamat buat masa ini.

“Kau rindu dia, ya? Sampai tak makan, tak minum. Tak menulis? Jiwa kacau sangat eh?” tebak Sarina lagi.

Aku menjeling dia tajam.

“Ni bukan setakat jiwa aku je kacau, Sarina. Tapi, otak aku ni kacau bilau dah tahu tak?!” tekanku sambil menujah kepala sendiri.

Wajah Sarina bertukar kelat. “Jangan kata kau dah jumpa…”

Belum sempat kata-kata Sarina tamat, aku mengangguk. “Kan aku dah cakap, aku kena culik dibawa ke rumah dia hari tu. Kenapa kau susah sangat nak percaya?” tanyaku.

Sarina tekup mulut. “Ya Allah, Ana. Sungguh macam aku duga, lelaki tu memang fanatik gila dengan kau. Kau dah jumpa keluarga dia? Kau tak apa-apa, kan?”

“Jangan kata keluarga dia, tunang dia pun ada. Aku memang tak apa-apa, Ina. Tapi… hati aku ni terluka sangat.” Aku mula teresak-esak sendiri.

Sukar hendak aku mengerti. Bibir menolak, hati ini terus menarik. Berkali aku katakan benci, tapi sayang juga yang hati aku akui.

“Kau cintakan dia, kan?” Sarina menduga dan aku tiada pilihan lain selain mengangguk saja.

“Ada nombor dia… bagi aku!”

Aku menggeleng.

“Dia ada nombor kau?”

Aku menggeleng juga. Sarina mengeluh. “Sabarlah, Ana. Kau kena kuat. Soal hati ni, aku sendiri pun tak reti. Sampai tahap ni dia sanggup buat, aku rasa dia betul-betul cintakan kau,” ucap Sarina memujuk lantas dia bangkit meninggalkan aku sendiri.

Setelah Sarina berlalu, aku rapat pada komputer di meja tulis. Tetikus aku larikan. Mungkin jiwa ini menderita, tapi peminat yang setia tidak mungkin menerima tempias pedih di hatiku.

Sungguh bagai yang aku rasa. Pesanan daripada dia muncul lagi. Airmataku menitis tanpa aku pinta. Ayat-ayat yang dia berikan padaku membuatkan aku pilu.


Anahara… saya suka nama awak. Tapi, saya lagi cintakan awak. Bukan Ann Rahana tapi Anahara. Betapa sukar saya temui awak hingga akhirnya untuk saya temui yang awak tak cintakan saya. Begitu payah saya tolak segalanya untuk saya temui, awak tak sudi terima saya. Saya tunggu awak, Anahara. Saya tahu awak kenal kereta saya. Keluar dan jumpa saya. Kita selesaikan segalanya. Saya menyeru awak, datanglah dan temui aku kerana aku akan katakan, aku sangat mencintai kamu. Aku ingin milikimu atas restu Allah, Anahara…


Tangisku bagaikan sudah tiada hentinya. Menatap luahan hati Mukhlis membuatkan aku tercampak jauh ke dalam cinta yang menyakitkan. Sudah tidak mampu menahan, aku pantas bangkit. Tudung aku capai lantas aku belit ala kadar saja ke kepala. Belum sempat aku memulas tombol pintu, Sarina menyeru aku.

“Nak ke mana malam-malam ni, Ana?” tanya dia.

“Mukhlis ada sekitar sini. Aku nak jumpa dia. Aku cinta dia. Aku tak mampu nak biarkan dia lagi,” jawabku sambil menyarungkan kasut dengan tergesa-gesa.

“Anahara… kau bukan macam diri kau sekarang. Tapi, kalau betul kau nak pergi jumpa dia, tolong jaga diri. Aku akan sentiasa ada untuk kau. Akan sentiasa ada,” ucap Sarina dan aku terus berlari keluar daripada rumah tanpa berpaling lagi.

Aku tiba di bawah dan mata ini meliar mencari kereta milik Mukhlis. Demi terpandangkan susuk tubuh yang sedang bersandar pada Toyota Caldina biru miliknya itu, aku perlahankan langkah. Dalam benar aku terjerumus dalam cinta seorang peminat sampaikan begini sekali tindakanku.

“As… assalamualaikum…” Aku menyapa dengan suara yang resah. Dia pantas berpaling dan wajah itu mengukir senyuman hambar.

“Waalaikummussalam, Ann,” jawabnya lantas dia mendekat padaku.

“Macam mana awak tahu semuanya tentang saya sampaikan tempat tinggal saya pun awak tahu?” tanyaku.

Dia ketawa kecil. “Kan saya dah cakap, kalau saya nak semua saya boleh cari dengan sikit usaha,” jawab dia lembut.

“Sejak bila awak tahu siapa saya?”

“Sejak saya mula cintakan awak.”

“Macam mana awak tahu tempat kerja dan semua tentang saya yang orang lain tak pernah tahu?”

“Saya ramai kawan yang boleh siasat awak siapa, Ann. Memang dah lama saya tahu awak kerja di mana, nombor telefon awak dan semuanya tentang awak. Cumanya, saya perlukan sedikit kekuatan untuk muncul depan awak. Cuma sungguh tak sangka, kita bersuara dalam keadaan macam tu dekat rumah keluarga saya hari tu,” jawab dia panjang lebar.

Aku gariskan senyuman tipis. “Hebatkan permainan orang kaya?”

Wajah Mukhlis nampak terkedu. Dia kaku. Senyuman di bibir tipis itu mati tiba-tiba.

“Semudah dan sesenang ini awak bawa saya terjerumus dalam permainan awak ni, kan?”

Dia diam menekur ke bumi. “Maafkan saya, Ann.”

“Permainan apa lagi yang awak nak mainkan ni, Mukhlis? Biar saya turut sama dan kali ini saya declare siap-siap, saya ikut dalam game awak ni?”

Dia terus diam dan aku terus mengambil peluang ini untuk berbicara sepuas hatiku. Biar dia tahu, apakah yang terbuku di dalam hati milik seorang penulis yang dia cinta.

“Permainan cinta awak? Kisah hati awak?”

Mukhlis menggeleng bola aku bertanya demikian.

“Jangan salah faham saya, Ann. Cukup permainan antara kita. Kini, saya nak semai cinta saya dalam hati awak dan mewujudkan kisah hati antara kita. Kisah hati yang awak kata tak pernah ada, jadi kita sama-sama adakan. Kisah hati yang awak cakap bukan milik kita, tapi kita akan sama-sama milikinya dan akan kita jaga sampai ke akhir hayat,” tukasnya tegas.

“Tapi, tak terlalu awalkah kita mengenali ni, Mukhlis?”

Sungguh aku bimbang dia berubah hati kala aku mengakui cinta. Sedangkan detik pertemuan ini terlalu singkat dan cinta datang terlalu mudah.

Mukhlis menggeleng yakin. “Cukuplah asal kita saling cinta, Ann dan saya akuinya sekali lagi, saya cinta awak.”

Suara itu tegas dan yakin. Riaknya juga nampak meyakinkan. Aku ukir senyum lagi. Senyuman yang ku rasakan memang khusus untuk dia. Wajah itu aku renung lagi. Biarpun pertama kali menatapnya, aku yakin wajah itu pernah hadir dekat dalam mimpiku. Ya, mata itulah yang selaku aku impikan. Mata kuyu itulah yang sentiasa memburuku di dalam mimpi dan kini di dalam jaga pula.

“Kenapa awak datang? Kenapa awak nak saya datang juga temui awak?”

“Saya datang kerana hati saya ada pada awak dan saya nak awak datang jumpa saya sebab saya nak mengaku berkali-kali, saya cintakan awak. Saya nak miliki awak,” jawab dia lembut.

“Awak cintakan saya, kan?” Suaranya tenang tapi resahnya nafas itu menyatakan sebaliknya.

Aku renung dia lagi. “Apa syaratnya untuk saya mengaku pada awak?”

“Berhenti menulis… saya tak nak kongsi awak dengan semua peminat awak.”

Aku ketawa tanpa sedar. “Menulis hidup saya. Peminat tu tu istimewa untuk saya tapi rasanya awak juga istimewa sebab mampu cari siapa Anahara Rahman di sebalik Ann Rahana tu,” ucapku,

Mukhlis menggeleng. “Saya gurau je. Saya tak punyai sebab untuk awak terima saya dan saya juga hanya ada satu sebab untuk cintai awak. Saya suka awak terlalu suka sampai saya tak tahu nak kata apa dah,” luah dia.

Aku diam mendengarkan kelunakan suara yang bersulam sebak itu. Dada itu nampak turun naik. Aku tahu dia agak resah waktu ini kerana aku juga begitu.

“Menulislah, Ann. Menulislah andai itu mampu buat awak bahagia. Dan saya harap, awak sudi dan mampu hidup dengan saya sebab saya mungkin akan hilang segalanya. Tak akan ada harta nanti. Hanya hati ini semata-mata,” sambung dia dengan wajah yang sikit berkerut.

Sukar hendak aku tolak rasa hati bila cinta ini sememangnya untuk dia. Mata kami beradu sesama sendiri. Anehnya cinta, peliknya rindu. Cinta bersatu melalui kata, rindu menderu hanya sekadar bicara namun bila mata bertatapan, aku kelu seribu bahasa. Sudahnya aku angguk jua.

“Maafkan saya sebab saya juga cinta awak, Mukhlis,” akuiku bersama esakan kecil. Dia mengucap syukur dan meraup wajahnya berkali-kali.

~~> bersambung

1 comment: