Thursday, May 17, 2012

Suami Tak Kuhadap 3

BAB 3

BIBIRKU hanya tersungging dengan senyuman kala melihat beberapa temanku merokok di belakang bangunan sekolah yang di dalam pembinaan. Bila disuakan, aku menggeleng dan membelek buku di tangan.

Bibir ini biarlah merah tak tercela. Aku tidak sudi membiarkan benda itu menyentuh bibirku. Aku masih waras. Pesanan ibu akan hal ini aku semat di dada sekemas mungkin. Yang lain tidak mengapa tapi hendak rosakkan diri sendiri, adalah tidak mungkin. Lantas, sebuah komik yang aku ambil dari meja salah seorang pelajar kelasku.


“Kau ni, Syai… lepak dengan kitorang kenalah ranggi sikit. Ni semua benda kami sua kau tak nak,” ejek Laila padaku.

Aku jungkit kening tinggi. “Aku ponteng kelas je. Niat nak hisap benda tu tak ada pun. Kalau rasa tak selesa aku lepak dengan korang, aku boleh pergi.”
Serentak itu, aku angkat tubuh. Panggilan mereka langsung tidak kuendah. Bagiku, mereka hanya kawan semata-mata. Kala sukar, aku sendiri juga. Sekadar menjadi teman memonteng kelas saja. Kesannya masing-masing tanggung sendiri.

Komik di tangan aku belek. Beg galas aku baiki sikit bila hampir melurut ke bahu. Tanpa sedar, aku terlanggar susuk tubuh seseorang dan belum sempat aku terjatuh ke belakang, tangan sasanya menarik lenganku membantu aku berdiri kembali.

Dadaku berdetak hebat. Aku kalih ke belakang. Nampak asap berkepul-kepul di udara lantas aku kalih pandang pada Budriz yang merenungku dengan tautan tangan kami yang masih tidak lepas.

“Syai buat apa kat sini? Bukan ke Syai ada kelas masa ni?”

“Aku ponteng,” jawabku mendatar sambil menjeling ke belakang sekali lagi. Risau kawan-kawan tertangkap oleh Budriz sebagai Ketua Pelajar.

“Mudahnya Syai jawab soalan abang, kan?”

“Eh…” Aku luruskan jari telunjukku dekat dengan hidung mancung milik Budriz.

“Siapa abang aku? Aku bukan adik kau, okey?” tekanku geram.

“Ayah dah amanahkan Syai untuk abang jaga.” Suara dia agak meninggi.

Aku jegilkan mata. “Eh, ada aku kisah ke? Aku boleh jaga diri sendirilah. Kau balik nanti, kau tanya Encik Syakri tu baik-baik. Selama ni dia jaga aku ke? Bukan ke dia sibuk dengan kau dan bonda kau je ke?” soalku sinis.

Dia melepaskan lelah. “Ayah tak bermaksud macam tu, Syai?”

“Eh, kau tutup mulut boleh tak? Kau cakap kuat-kuat ni kau nak suruh satu sekolah tahu tentang kita? Tentang ayah aku dirampas oleh kau dan bonda kau? Tentang aku yang hidup sendiri dengan ibu aku?”

Sekali lagi jari telunjukku naik ke wajahnya dan kali ini, Budriz menolak lembut. Dia memegang jariku namun aku cepat-cepat membentak.

“Tak salah kan kalau sekolah tahu,” sela dia.

“Salah tu tak. Tapi aku tak sudi nak ada hubungan dengan kau. Sebagai musuh sekalipun!”

Syed Ahmad Budriz mengeluh berat. Dia meramas rambutnya yang terpacak lalu kembali menatap wajahku.

“Syai baliklah ke kelas sekarang. Kejap lagi cikgu-cikgu dan pengawas semua datang spot-check kawasan ni. Abang tak nak Syai kena nanti. Komik tu bagi abang simpan dulu.” Dia cuba mencapai komik di tanganku namun aku cepat-cepat larikannya.

“Ini bukan hak aku pun. Lantaklah kalau kena rampas,” cebikku.

“Syai… kalau Syai kena tangkap lagi kali ini, naya je. Syai nak SPM nanti, kan?”

“Dan kau nak hadap STPM, kan?” pangkasku.

“Eh, Budriz… kau jaga hal kau, aku jaga hal aku. Dan aku tak akan maafkan kau sampai bila-bila kalau kau buat satu sekolah tahu, hubungan ayah aku dan bonda kau. Faham?” tekanku memberikan amaran.

“Kenapa? Syai malu ada abang tiri macam abang?” tanya dia dengan kening hitam lebat itu terangkat tinggi.

“Habis tu, kau nak aku bangga?”

Budriz terdiam. Dia melemparkan pandangan ke belakang.

“Syai lepak dengan budak-budak tu lagi, ya? Syai merokok, ya?” tebak dia tanpa usul periksa.

“Eh, Budriz… aku nak hisap rokok ke, dadah sekalipun, kau kisah apa?” soalku kembali sambil memasukkan komik di dalam beg dan mengetatkan ikatan tocang kuda pada rambutku.

“Kenapa Syai macam ni? Kenapa Syai layan abang dan bonda macam ni? Abang sayang Syai. Kita dah lama jadi adik beradik, kan? Dari Syai umur sepuluh tahun lagi.”

“Dan dari situ juga, aku lihat susah payah ibu aku besarkan aku sendiri setelah ayah nikah dengan bonda kau masa tu, Budriz.” Sekali lagi aku mencatas kata-katanya.

“Ya Allah…” Dia mengeluh dan menggeleng kesal.

“Syai pergilah dari sini. Kejap lagi cikgu semua sampai. Abang tak nak Syai kena,” ujar dia sambil menolak bahuku berlalu dan belum sempat aku menapak, beberapa orang cikgu dan pengawas lain tiba.

Pandangan mereka lain macam saja. “Kamu buat apa ni, Riz?” tanya salah seorang daripada mereka.

“Errr… saya jumpa Syaima kejap, cikgu,” jawab dia agak gagap.

“Kamu buat apa kat sini, Syaima?” soal cikgu pada aku pula.

“Saya ponte…”

“Maaf cikgu. Saya ajak dia jumpa kat sini kejap,” akui Budriz tiba-tiba.

Dia memandangku dan mengisyaratkan agar aku diam saja. Sukar hendak aku ertikan apa yang bermain di fikiran Budriz kala ini.

“Kenapa pulak?” Agak meninggi suara cikgu kali ini.

“Alaa… dating la tu, cikgu. Bukan tak ada orang tahu. Satu sekolah tahu, Budriz ni sukakan, Syaima. Ambil berat lain macam je,” sampuk kawan Budriz bersama senyuman sinis.

Aku telan liur. Rasa hendak dicarik wajah dia. Budriz diam dan menekur ke lantai. Bagaikan menerima segala tuduhan temannya itu.

“Betul, Budriz?” tekan cikgu lagi.

Lambat-lambat Budriz mengangguk. “Maafkan saya, cikgu. Lain kali semua ni tak terjadi lagi.”

Cikgu mengeluh dan aku hanya tenang saja. “Kamu tu ketua pelajar, Budriz. Kamu tak boleh bercinta kat sekolah ikut suka kamu macam ni.”

Bibirku senget dengan senyuman. Padan muka kau. Siapa suruh mengaku? Ejek hatiku lantas kaki ini terus berlalu bila Budriz memberi isyarat agar aku berlalu saja.

Beberapa hari setelah itu, aku mendapat khabar, kawan-kawanku digantung sekolah. Budriz pula dikenakan tindakan disiplin kerana mencalar kredibaliti seorang ketua pelajar dan akulah yang paling gembira waktu itu.

***

PON!!!

Huh. Aku terkejut sendiri. Ingatan sepuluh tahun lalu terbang melayang meninggalkan benak ini. Benak yang semakin sarat dengan benci dan amarah. Aku panjangkan leher ke luar rumah. Menyewa bilik di sebuah rumah teres setingkat bersama beberapa orang teman sejak dari dulu, membuatkan aku dipulaukan sendiri.

Tiada teman yang rapat denganku biarpun kami serumah. Masing-masing menjaga hal masing-masing. Apatah lagi bagi mereka akulah insan terpelik. Sepuluh tahun beraya sendiri. Tidak pernah sekali pun aku tinggalkan rumah ini. Tidak seperti mereka yang ada keluarga yang bahagia dan harmoni.

Aku cepat-cepat bangkit bila kali ini kedengaran salam dari luar pagar. Aku hampir pada tingkap dan menyelak langsir sedikit. Tanpa sedar, bibir ini menguntum senyum. Faez! Seru hatiku agak tenang.

Rambut yang lepas bebas aku ikat kemas agak tinggi. Menampakkan leher yang agak jinjang. Cepat-cepat aku bukakan pintu dan menapak ke luar rumah. Beberapa hari tidak bersua dengan dia. Tanpa panggilan telefon dan juga SMS membuatkan aku yakin, dia telah membuang aku jauh-jauh. Tapi kali ini, bila dia hadir di depan pagar rumah, aku mula menerima yang dia faham akan fitnah yang Budriz taburkan.

“Syai…,” seru Faez lembut namun riak wajahnya tidaklah seperti yang dia gambarkan. Tangannya mendarat pada pagar.

Aku senyum dan mendekat pada pagar. “Aez okey? Syai bukan tak nak call Aez tapi Syai nak Aez tenang dulu,” ujarku lembut. Berubah lagi menjadi orang lain.

Dia angguk beberapa kali. “Aez faham dan akan cuba faham.” Penuh makna dia menuturkan kata membuatkan keningku hampir bertaut.
Semakin lebar senyumku tanpa memikirkan lebih teruk apa yang bermain di dalam kepala Faez.

“Aez tak kerja ke?” Rasanya waktu ini, dia perlu ada di pejabatnya.

Dia angguk. “Kerja tapi ada hal sikit nak jumpa Syai.”

“Rindu?” tekaku sendiri bersama seulas senyum.

Faez tersenyum pahit. Lambat-lambat dia angguk.

“Tapi sayang… ada yang menghalang rindu dalam dada Aez ni,” ujarnya.

Ulas senyumku mati. Debar di dada ini kain menghentak. Entah mengapa, aku terdetik sendiri. Kedatangan dia bukanlah seperti sebelumnya. Kedatangan dia kali ini ingin membawa khabar duka. Meyakinkan tingkahnya beberapa hari sudah kala dia meninggalkan aku sendiri bersama sedikit rayuan.

“Apa maksud, Aez?” Kata-kataku sudah mula berubah intonasinya.

Semakin kuat detak di dada, semakin resah nafas. Semakin kuat dengusan, semakin panas membakar hati. Semakin tajam juga renungan mataku.
Faez nampak kecut. Dia nampak tergagap-gagap sendiri. Tangannya terlepas dari pagar dan dia menjauh setapak ke belakang. Aku mendekat pada pagar, dan aku kuak pagar besi itu sedikit lebar. Membawa tubuhku berada agak dekat dengan Faez.

“Apa maksud Aez?” soalku lagi dan kali ini lebih keras.

Dia tunduk dan menggeleng beberapa kali. Sengaja mencabar sabarku. Sengaja menduga kasih sayang yang aku janjikan untuk dia.

“Apa maksud kau, Faez?” tanyaku dengan suara yang berdentum.

Dia terkejut. Mata itu memandangku tidak percaya. Nampak sedikit merah dan wajah itu berkerut sana sini.

“Kau datang nak cakap yang kau percaya cakap jantan keparat hari tu? Kau datang cari aku kat rumah ni sebab kau nak cakap yang kau nak tinggalkan perempuan jahat macam aku? Kau nak cakap aku tak layak nak berganding dengan kau lelaki yang baik sedangkan aku perempuan yang dirosakkan hanya dengan fitnah? Macam tu ke, hah?” sergahku lagi.

Bahu Faez terangkat. “Aez cintakan Syai tapi Aez tak mampu kalau betul…”

“Kalau Faez… kalau! Kenapa kau susah nak percayakan aku? Kenapa kau lebih nak percayakan jantan setan tu daripada aku yang kau kenal lebih lama ni?” soalku tegas hendak menutup kecewa.

Berderai lagi harapan dan impian. Ada rasa hendak disayangi oleh lelaki bernama Faez ini, namun hari ini aku sedar. Aku juga tidak sebetulnya mencintai dia. Dan kala ini, rasa hendak aku usir dia menjauh dariku melihatkan sikap pengecut dan lemah itu.

“Aez… Aez…”

“Kau memang tak mampu cinta dan lindungi aku, Faez. Jadi lebih baik kau hentikan semua ni, Faez and just leave. Aku tak nak tengok muka pengecut macam kau lagi. Mulai hari ni, kau tak ada kena mengena lagi dalam hidup aku dan ingat, jangan sesekali kau merangkak mencari aku sebab kala tu, aku takut aku hanya kuis kau dengan kaki aku nanti,” pangkasku lantas aku berpaling melangkah ke dalam.

“Aez tak mampu, Syai. Aez tak kuat,” tempik dia sambil menggugah sedikit pagar besi itu dan aku hanya diam.

Tak mampu hendak mencerna makna ‘tidak mampu’ yang Faez zahirkan. Dia juga sama macam Budriz dan lelaki itu, akhirnya ternyata dia memang tidak layak hendak aku kasihi malah tidak layak untuk dibenci juga.

Lantaran itu, aku tekad akan jadikan hidupnya lebih seksa daripada neraka. Aku mahu lihat Mak Usu tersungkur di kakiku melihat kehancuran Budriz setelah dia sampai hati merampas ayah daripada ibu.

Dan, airmataku menitis setitis kala terbayangkan wajah ibu di saat kapas putih itu hendak menutup wajahnya buat kali terakhir.

“Syai akan balas segala yang telah mereka lakukan pada kita, bu. Syai janji demi ibu!” gumamku keras dan akhirnya aku tepis sisa airmata lalu aku ukir senyum sendiri.

Aku hempaskan tubuh di atas katil bujang milikku. Katil bujang dari dulu hingga kini. Tidak pernah berubah hiasan di bilik ini begitu juga dengan diriku. Bertukar pekerjaan berpuluh-puluh kali dan mujur juga aku akan memulakan kerja baru di tempat kerja yang baru dan di samping orang-orang baru.

Kipas yang ligat berputar aku pandang lama. Membawa putaran di dalam ingatan ini pada kejadian beberapa hari sudah. Membawa wajah itu dekat di depanku. Akhirnya, dia berjaya menghalau Faez pergi dariku. Membiarkan aku bersendiri untuk ke sekian kali.

Terasa ada air hangat yang mengalir di hujung juring mataku. Rasa sebak, rasa sesak dan rasa hendak meraung sebenarnya. Berkali-kali aku telan liur cuba menghalau rasa resah ini. Mengharamkan airmata ini menitis demi jantan begitu.

“Lepaskan aku Budriz,” arahku keras bila dia semakin merapatkan tubuhnya padaku.

Aku jeling lengan sasa yang menghalang pergerakanku kiri kanan. Langsung tiada tanda hendak berganjak. Bila aku tolak, sedikit pun tidak beralih.

“Kau nak apa, hah?” tekanku marah. Mata ini terasa berair menahan marah dan mata dia juga merah padam menahan marah barangkali.

“Abang nak Syai balik jumpa ayah. Abang nak Syai balik tinggal dengan kami. Ayah rindukan Syai. Kenapa Syai nak malukan abang macam ni?” soal dia perlahan. Hampir berbisik.

“Eh, aku tak ada keluarga macam kau. Aku dah biasa hidup sendiri dari dulu sampai sekarang. Yang kau tiba-tiba jumpa aku ni, lepas tu ajak aku balik kenapa? Buang tabiat? Nak mampus?” cemuhku sinis.

Dia menggeleng. “Jangan cabar sabar abang Syai. Abang lelaki. Abang cari Syai dah lama. Apa Syai ingat lepas jumpa ni Syai boleh semudah tu nak lepas dari abang? Abang janji dengan ayah nak bawa Syai balik. Payah sangat ke Syai nak terima ajakan abang ni? Bukan sekarang tapi nanti-nanti bila Syai bersedia. Susah sangat ke?”

“Sebelum ni memang hidup aku tak susah pun, Budriz.”

“Habis tu, apa yang buat Syai rasa susah dengan permintaan abang ni?”

“Sebab permintaan tu dari kau. Itu yang menjadikan hidup aku susah dalam sekelip mata. Kau tahu tak?” jawabku geram.

Dia ketap bibirnya. Rahangnya turun naik menahan geram namun tangannya masih belum di angkat dari terus mengepung tubuhku di tengah-tengahnya.

“Nur Syaima kenapa jadi macam ni?” Dia mengeluh lagi.

“Jawapannya ada dalam diri kau ni, Budriz!” tekanku sambil menyentuh dada bidangnya dengan hujung jari.

Sepantas kilat Budriz menyambar jariku yang terjulur padanya. Erat genggamannya hinggakan tak mampu aku tarik melepaskan diri. Ditariknya rapat dan terus rapat pada dia dan bila aku diam membeku, dia merapatkan tubuhnya padaku yang memang sedari tadi terperangkap di dinding kereta.

“Kau jangan buat gila, Budriz!” larangku sambil menolak tubuhnya.

Dia diam dengan senyuman sinis. “Syai yang cabar abang,” ucapnya berbisik mesra.

Aku pejam mata dan hela nafas dalam-dalam. Pantas aku renggut tanganku dari pegangannya lalu tak semena-mena, telapak tangan ini akhirnya singgah di pipi wajah maskulin itu buat pertama kalinya.

“Syai…” Dia menyeru aku dengan wajah terkejut.

“Patutnya dari dulu lagi aku tampar kau Budriz. Saat kau lepaskan aku dari tertangkap oleh cikgu disiplin dulu. Saat kau tak nafikan bila kau kata kita bercinta masa tu. Saat itu lagi patut aku toreh muka kau. Dan ini baru permulaan Budriz. Hanya secubit pembalasan atas niat suci kau yang nak cium aku di khalayak umum macam ni. Memang kau bangsat. Lelaki yang memang tak layak wujud atas muka bumi ni,” luahku dengan dada yang turun naik menahan amarah yang sedang memuncak.

Budriz nampak pegun. “Syai… abang… abang.. tak sengaja..,” dalih dia gugup.

“Oh… tak sengaja? Dan aku juga tak sengaja tertampar kau Budriz,” ejekku lantas aku tarik pintu kereta dan membiarkan Budriz termangu sendiri kala teman-temannya mendekati.

Aku pandang ke atas bertahan dari mengalirkan airmata bila Budriz tergamak hendak menyapa bibirku dengan bibirnya yang merah sensual itu. Sampai begitu sekali dia sanggup mencalarkan maruah ini. Bila aku intai dari cermin pandang belakang, aku nampak dia meraup wajah dan meramas rambut yang menyatakan kekesalan. Aku tahu itu kerana aku amat mengenali dia. Satu tabiat yang sukar untuk dia ubah agaknya.

~~>bersambung

Cik Penulis : Mula2 letak nota kaki.. seems like tak faham kot.. apa2 pun saya memang tak akan tukar tajuk ni kecuali publisher suruh 1 hari nanti.Maaf atas kekurangan kali ni. Tajuk pun tak salah..haihh..

61 comments:

  1. wow..ganas heroin nih.. hero plak gatai lebih.. tak tahan faez tu.. hahaha..

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha :) mcm2 la hero ngan heroin nie!

      Delete
    2. hahhahah...betul la heroin ganas + hati kering, hero gatal la plak...

      Delete
  2. Pening...pening...Sama aje degil n keras kepala si budriz ngan syai ni...

    ReplyDelete
  3. layannnnnn........memang terbaik dari RM... hahahaha... i likeeeee!

    ReplyDelete
  4. siap buat nota kaki tuh... x menahan sungguh..
    wahai reader2 sekalian,, sila redha dengan tajuk nih..
    okay ape.. sesuai dgn jalan cerita..

    okay... mmg terbayangkan CYKB.. hehe..
    faez tu mmg x leh dibuat suami.. aishh

    ReplyDelete
    Replies
    1. saya belajar untuk redha dengan tajuk ni.. harus suka sebab RM yang buat..

      Delete
  5. akak still tercari2... apa yg mmbuatkan Syai mmbawa diri dgn penuh dendam.. adakah akak x paham isi hati Syai..o akak x paham jalan cerita nii... or akak kena baca dr mula balik...hmmmmm............

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kak hanim nk tau jwpn kpd persoalan akak tu, cuba la dulu baca cerpen rehan dlm blog ni tajuk cinta yg kau bunuh, mesti boleh faham punca dendam syaima tu..

      Delete
  6. tp lelaki mcm Faez tu x guna buat suami... hampeh..!!!

    ReplyDelete
  7. rm sambung lg..ni mesti syai ada hati kt budriz kan,benci tapi syg kot

    ReplyDelete
  8. Alahai... Budriz ni syok dgn Syai, tu yg tak dpat kawal diri bila dia bgeitu hampiir dgn Syai.Tanpa sedar bibir Syai nk di ciumnya... hihihihi

    ReplyDelete
  9. Hanim69... mungkin awak tak pernah bca novel yg permulaannya kita tak faham kenapa jdi bgitu, kenapa jdi begini. Lepas masuk bab2 setrusnya bru kita fham jlan citanya...

    ReplyDelete
  10. ala... pendeknya.... cepat2 next n3...

    ReplyDelete
  11. erm nota kaki pasal hadap tu.. kalau letak makna kata kerja lagi sesuai kot.. sebab 'ku' rasanya cuma dieja rapat dgn kata kerja cthnya kulihat, kucari, kudamba, etc.. dan bukannya dengan kata nama.. huhu ada sape2 pakar bahasa yg boleh bantu?

    ReplyDelete
    Replies
    1. err..bukan ke hadap tu salah satu kata kerja. jdi salah rasanya kuhadap tu ejaannya~

      Delete
    2. Hehe mmg la hadap pun boleh jd kata kerja tapi makna dia bukan la mcm yg kt nota kaki tu.. Maybe kalau telek kamus dewan, sesuai kot maksud 'semuka', 'temu', 'pandang' dgn konteks tajuk cerpen cik RM kita ni ;)

      Delete
    3. betul la tu. hadap dlm konteks cerita ni, rasanya bermaksud pandang. ala, maksudnya syaima tak suka suaminya tu. sampai nak pandang wajahnya pun tak sudi. terima je la tajuk ni. lain sikit dr yg lain. k.ju

      Delete
  12. rasa nak lempang laju2 jer kat si Faez tu..tak guna langsung..go Budriz go...suka-suki dia jer nak cium orang..kan dah kena lempang...hehehe..

    ReplyDelete
  13. Budriz dah lama sukakan Syai kan???.... x pa cuba lah sampai hati Syai terubat...
    Faez x boleh buat untuk Syai berlindung... sebab Faez x ada keyakinan diri.... sepatutnya perjuangan itu penting.... macam Budriz

    ReplyDelete
  14. Wah...best cite Rehan Kak Nor suka....ganas pempuan ni....hahaha....

    ReplyDelete
  15. nk sepak jer si faiz nie.. lelaki pengecut..
    yg si budriz nie plak fitnah syaima...
    Ish! mcm nk lempang jer si faiz n budriz nie...

    ReplyDelete
  16. keras betul hati Syai ni..

    ReplyDelete
  17. cis, jantan ke faez ni? haha sorry ayat kasar tp pengecut sngt lah si faez ni. geram dibuatnya.

    ReplyDelete
  18. budriz mmg dah lama ad hati dekt syai kn..heehe.menrik
    tajuk dh ok Rm x pyah nk tukar2..ok ape.

    ReplyDelete
  19. heroin die mmg ganas abis hehee

    ReplyDelete
  20. x tau nak coment pe...
    'pokoknya' superbbb...
    hehehe....

    ReplyDelete
  21. garangnya dan ganasnya heroin.... Kalau balas balik secara subtle, ok gak kan....

    ReplyDelete
  22. bestnye Riz ni.. bagus2 teruskan menganggu hidup Syai hahhaa... haru biru akan bakal muncul

    ReplyDelete
  23. cam pernah baca cerita ni. cerpen rehan gak kan...

    ReplyDelete
  24. physo gile si syai nih...huhu..

    ReplyDelete
  25. dashyat bnor si syai ni..mmg hati batu la..steruk mana pon ayh dia patutnya jgnlah smpai mcm tu..dia slhkn ayh dia,Budriz dan mak tiri dia atas kematian mak dia..Syai seolah-olah tak redha je yg mak dia dh meninggal.dia pon tak pernah cuba nak kenal hati budi mak tiri dia dan budriz(dlm cerpen budriz dgn mak dia baik yg ni x tau la,hehe).tp yelah dia dah terluka sangat ssh nak rawat.yang Budriz nak pegi cium syai tu salah Syai jugak.Sape suruh cabar orang llaki,haha.Budriz ni pon rsenya dah lama tgkap cintan sama Syai tp dia takut nak luahkan kot.hmm,x tau la.pndapat sy je.mgkin org lain x stuju.lain org lain pndpt.apapun sperti biasa mmg x sbar tggu next n3..superb sgt cite ni :)

    ReplyDelete
  26. dan elok2 feeling baca,,bila scroll ke bawah,terbaca pulak "bersambung",,haish,,
    ps : please cepat smbung.

    ReplyDelete
  27. memang takleh buat laki faez tu.pengecut

    budriz gak hero.haha

    sambung kak.saya setia menanti;)

    ReplyDelete
  28. go budriz go...i sokong budriz...tp, klu nak cium syai tu agak2 ler, kena dapat lesen besar dulu baru boleh on..hahaha

    ReplyDelete
  29. Memang padan muka Budriz tu....
    Next entry please ....^_^)Y

    ReplyDelete
  30. owh, kerasnya hati syai..mesti susah nak lenturkan

    ReplyDelete
  31. pengecut la c aez 2...suke budriz tp padan muke dye jgk...hahaha...syai fighting
    akak next en3 plez...hehehe

    ReplyDelete
  32. nk lagi.. :) pendek nya bab ni.. huhuhu
    pnjangkn lagi... please.. :D

    ReplyDelete
  33. suka la cite nie...hehehe smbg cpt ar...sy ari2 update blog awk nk bc ....heheh suke sgt..bezzz

    ReplyDelete
  34. Like it...enjoy baca

    ReplyDelete
  35. ganaz la syai ni..hati keras dek kerana dendam.. menarik2..sian plak klu betul2 de pompuan mcm syai ni..just nk lindung diri sendiri dr kesedihan dan keperitan yg dia hadapi..biar semua org tau yg sebenarnyer dia ni kuat..tp dlm hati...

    ReplyDelete
  36. wah...
    mnrik...
    suka sngt crt ni...

    ReplyDelete
  37. suke !! suke !! suke !!

    ReplyDelete
  38. hamik ko! dpt pelempang setepek...padan muka budriz...patutnye faiz pun dpt setepek

    ReplyDelete
  39. alahai syai..mmg berat beban d bahu yer...sian2

    ReplyDelete
  40. dlm sungguh dendam syai.tkut klau2 syai jtuh cinta plak dgn budriz.atau mmg pn?
    hehe...lg byk soalan x trjwb
    cite ni byk pgjrn n sarat dgn emosi.suka dgn karya rehan yang hebat.cpat2 smbg sbb x saba nk tau kesudhan syaima n budriz

    ReplyDelete
  41. mula2 bace bab 1 rasa frust sikit,..sbb harapkan cite senada dgn resa and zafran..heheh. tp rupanya cite ni pun x kurang menyengat! suka idea kak rehan!

    ReplyDelete
  42. best cite nie sambunglah cepat...he...he...he

    ReplyDelete
  43. ok jer RM.. tak yah tukar tajuk dah ok da tu...

    ReplyDelete
  44. sy ok jek gn title ni..malah sy rasa sesuai jek...bio je la org nk kata ape pun RM...xyah tkar2 la..perfect dah..
    sbnrnya syai tu xjahat..dia cm xleh nk terima bl ayah dia kwin lain n mak dia mati..pastu ayah dia xda ms mak dia mati lagi mnmbahkan kebencian dia tu..klu sy pun sy xleh accept bkn sj ayah malah suami kwin lain pun xsggup la..1 pnyeksaan la...ape2 truskan berkarya..sy suka cerita ni malah smua karya RM sy likeee...^___^

    ReplyDelete
  45. awat faez pengecut sangat..

    ReplyDelete
  46. cmment bab 3 stk
    ermmmmm...nk kata ape ye cik rm? tp jujur lah sy ckp.. jalinan plot dh mula merapu sudah..terlalu banyak flashback sampai sy pun tak tahu mana hujung mana pangkal sudah...hehehe...pasti sy kena belasah dgn penyokong tegar anda cik rm..as you know sy mmg jujur bila sy komen..langsung kaitan sahabat sy tolak tepi..mmg bad n3 kali nie..

    ReplyDelete
  47. erk, x fhm ngan watak budriz..
    huhu~
    faez pengecut, x suka ~ dh pegi jauh2 ~

    ReplyDelete
  48. Faez xmampu nk lindungi Syai...
    so, Budriz kena terus sabar la ye nk menangani Syai yg keras hati tu... sbb Budriz pun sama naik keras kepalanya, ha3...

    ReplyDelete
  49. rasa nyer, jalan cerita ni macam cerpan RM bertajuk Cinta Yang Kau Bunuh. Betul x? masa saya baca cerpen tu, memang bagi kesan mendalam lah... okay RM terus kan...

    ReplyDelete
  50. saya baru mula baca novel ni..nak suggest supaya dapat bezakan sikit antara situasi semasa dan imbasan lampau dalam sesuatu bab tu..sebab macam takde beza antara kenangan masa lalu syai dan keadaan sekarang..sekadar pandangan untuk rehan..

    peace no war =)

    ReplyDelete
  51. syai nie nape lah mcm nie. hahahaha. macam kawan sy lak.

    ReplyDelete
  52. Syai ganas, kasar, krg ajar tp pandai jaga maruah diri

    ReplyDelete