Sunday, February 05, 2012

Bila Nak Saksi? [16]

[16]

JAM 4.00 pagi. Aku tarik nafas dalam-dalam menghirup udara segar dinihari ni. Dah lama tak buat kerja macam ni. Aku sengaja kunci jam untuk bangkit waktu ni. Rasa geram yang bersarang dalam hati aku ni memang perlu dilepaskan. Aku memang dah tak tahan dengan karenah semua orang lebih-lebih lagi dia!

Masa aku bangkit tadi, dia mengerekot di atas sofa di ruang tamu. Kesian sungguh. Hati ini berasa belas. Sudahnya pakai baju pagoda yang tipis tu. Kipas kemain kuatnya. Nak je aku selimutkan dia tapi bila fikir, dia siapa pada aku. Dia bawa masalah dan aku tak mungkin berbelas kasihan dengan orang macam ni.

Sekali lihat, wajah itu polos dan jujur saja. Apatah lagi selepas dia kemaskan wajahnya. Bersih. Sungguh aku jatuh cinta malah bukan hanya sekarang tapi sejak daripada dulu lagi.

Benar kata mama, pertama kali aku terjatuh dulu, hati aku sudah terjatuh sama dan pastilah yang yang mengutipnya.

Malas nak lihat wajah tampan itu lama-lama, aku terus berlalu ke dapur dan terus keluar rumah menuju ke kebun abah. Ada dendam yang perlu aku lunaskan.

Lama aku renung batang pisang yang baru hendak membesar tu. Ada rasa tak sampai hati la pulak nak kerjakan batang pisang ni. Tapi, kalau aku tak hentam batang pisang ni, semakin sebak dalam dada aku ni. Nak tunggu mama dan abah bangkit ajak berjemaah nanti, sudah pastilah aku kena hadapi mereka semua lagi. Hadapi lelaki yang mengaku suamiku.

Akhirnya, aku tumbuk juga batang pisang itu bertubi-tubi. Aku sedih lihat batang pisang tu dah hampir terkulai layu tapi aku tak dapat nak tahan amarah dalam hati ni. Makin aku tumbuk, makin aku dengar suara mesra Usop menyapa telingaku. Semakin hebat tendanganku, semakin hebat juga bisikan mesranya menyapa peluput telingaku. Abang! Ada rasa getar dalam hatiku bila dia mengucapkan sepatah perkataan keramat itu.

Rasa lain macam bila orang lain menyebutnya. Biasa dengan Abang Jeff biasa-biasa saja. Dengan Usop, ada rasa aneh menyelinap masuk ke dalam diri lalu berdiam di hati. Bila difikirkan, indahnya andai hubungan kami ini benar. Tapi, segalanya mustahil tapi Usop dah memainkan soal nikah kahwin ni. Dia tak kenal abah lagi. Dia tak tahu ketegasan abah.

Aku berhenti menumbuk batang pisang itu bila merasakan buku limaku melecet lagi. Lepas ni tampal pelekat, mesti mama tanya. Apa nak jawab dan macam mana nak bagi alasan. Semalam dah hampir selesai perkara ni, tapi aku sendiri pun silap sebab pergi pertahankan Usop tu, kenapa?

Hai. Aku mengeluh lagi. Sungguh buntu. Tapi, aku harus nekad. Usai Subuh nanti dan sebelum abah keluar hendak ke sekolah, aku perlu berterus terang. Aku perlu memaksa Usop berterus terang juga. Aku akhirnya memeluk batang pisang itu. Airmataku menitis setitis tak tahu kerana apa. Tapi, rasanya aku kecewa sebab sampai hati Usop buat aku macam ni. Sampai hati juga abah dan mama tak nak percaya. Sampai hati Abang Jeff buat tak tahu je bila Usop masuk ke bilik aku. Pendek kata, semua orang sampai hati buat aku macam ni. Usop lebih-lebih lagi.

Kalau kata, aku dah kacau dia dengan Shila tempoh hari, aku sudi nak betulkan keadaan tapi tak sangka begini sekali dia membalas perbuatanku hari itu. Terlalu berat andai terbongkar semuanya. Lepas tu, surat nikah tu… hebat.
Sungguh macam betul. Langsung tak tipu. Atau sebenarnya kau yang tertipu? Aku pun tak tahu.

“Ada suami… nak peluk batang pisang!”

Aku tersentak. Berderau darahku kerana terkejut. Bila aku berpaling, ternyata Usop. Entah bila dia berada di situ, bersandar pada bucu dinding dengan memeluk tubuh yang kedinginan barangkali.

“Awak ni buat terkejut orang jelah!”

Dia senyum. Wajah lelaki bangkit daripada lena, ternyata dapat memikat hatiku. Rambut yang agak berserabai itu juga membuatkan dia nampak manja dan menggoda.

“Kenapa sayang nak peluk batang pisang tu bila abah dah gantikan batang pisang yang hidup buat sayang?” tanya Usop semakinlah mesra.

Siap sayang dah pulak. Aku telan liur bila terasa ada rasa hangat yang menjalar naik ke wajah.

“Err… batang pisang tak halal buat apa?” soalku sinis.

Dia ketawa kecil. Lalu mendekat padaku dan mendaratkan telapak tangannya pada batang pisang tersebut memaksa aku menjauh daripada dia.

“Dah tu kalau tak halal, kita halalkan hubungan kita nak?” Usop jungkit kening lebatnya itu.

Aku menggeleng. “Kalau sebelum awak buat saya macam ni, jawapan saya mungkin ya tapi bila dah jadi macam ni, jawapan saya tak mungkin. Senget!” luahku geram.

Usop ketawa lagi. Kali ini agak kuat sebelum dia menutup mulutnya.

“Abang senget sebab sayang yang buat abang senget. Dah alang-alang sayang cakap kita tak halal, abang ajak kita halalkan hubungan kita… tak salah, kan? Nanti tak adalah abang kena lena dekat sofa kat bawah lagi…”

“Mengada awak ni, kan? Nak ber sayang-sayang. Buat tabiat ke apa? Kalau kata dah halal pun tapi sebab nak tutup perbuatan senget awak ni, bilik saya tu tak cukup besar nak kongsi dua orang. Cukup-cukup muat untuk saya sorang je.” Aku mencemik.

“Bilik kecil tak apa, yang. Janji katil sayang besar. Kalau tak nak katil besar tu, abang ada katil bujang kat rumah sewa abang. Nak tak kalau abang punggah katil bujang tu bawa masuk bilik sayang? Abang rasa muat kot untuk kita berdua,” balas dia dengan wajah yang tersengih-sengih. Sengih gatal!

Dia semakin menambahkan minyak tanah pada bara yang tak akan padam ni.

“Awak jangan nak mengada, ya Usop. Semalam tu jangan ingat saya selamatkan awak daripada pelempang abah, awak jangan ingat awak boleh nak mengada dengan saya, ya?!” Aku memberi amaran keras. Siap naik jari telunjuk lagi.

Selama ni mama sangat melarang kami angkat jari telunjuk pada orang, kurang ajar katanya tapi dengan Usop ni, aku tak boleh nak haling. Kerap kali dah jari aku terangkat. Tinggal telapak tangan je tak terangkat lagi.

“Kalau kata awak nak balas dendam sebab saya buat awak dengan Shila hari tu, okey… saya mengaku salah saya sebab ikutkan perasaan dan saya minta maaf. Kita boleh betulkan semula pada Shila. Awak boleh keluar daripada rumah dan keluarga saya dan boleh hidup dengan Shila,” sambungku tegas.

Dia menggeleng. “Kenapa sayang nak bagi abang pada Shila pulak? Sayang memang tak sayang abang ke sampai sanggup bagi abang pada orang lain?”

Aku cengkam rambutku dan aku garu kepalaku sekuat hati. Nanti senang, dah tertanggal kulit kepala, aku korek otak ni bawa pergi cuci sikit. Dah berlumut dek kerana Usop ni.
Aku dengar Usop ketawa bila dia melihatkan aku begini. “Botak kepala karang, yang,” tegur dia.

“Botak pun awak apa kisah? Bukan rambut awak pun,” selaku sinis. Dia senyum saja.

“Emm, pasal Shila tu, kan abang dah bagi tahu sayang… abang minta dia berlakon je tapi dia tangkap cinta dengan abang. Abang nak buat macam mana sedangkan abang dah ada isteri masa tu,” ujarnya.

Memanglah nampak sejuta keberanaran di balik tutur katanya membuatkan orang lain boleh percaya tapi tidak pada aku lah sebab aku yang dikatakan isteri ni, tak tahu pun aku ni isteri.

“Saya pun tak reti dah nak cakap apa. Saya ni bukan isteri awak tau tak? Awak sengaja nak kenakan saya dan saya akui saya dah terkena. Kira kosong-kosonglah kan. Awak boleh pergi dan jangan ganggu saya lagi,” marahku lalu aku berpaling hendak masuk ke rumah bila sayup-sayup kedengaran suara orang mengalunkan ayat suci Al-Quran di masjid hujung taman ni.

Belum sempat nak melangkah, Usop melelar pergelangan tanganku dan aku cuba merentap tapi sayang langsung tak terlepas. Wajahnya tenang bersama senyuman menggoda. Oh tidak… senyuman menggoda dah pulak. Dia tengah nak goda aku tapi aku tak mungkin tergoda.

“Lepaslah!” arahku tegas.

Say you love me. Just once,” pinta dia dengan wajah yang merayu.

I won’t!” balasku keras.

Say it, Jelita. Say you love me, then I let you know everything!” ucap dia sekali lagi.

Aku terdiam. Terasa masam je air liur yang aku telan ni. Siapa dia. Aku tak sangka Usop boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris. Selama ni tidaklah aku memandang rendah pada dia, tapi bila hari ini dia begini, aku yakin dia adalah seseorang yang punyai ilmu atau juga mungkin seseorang di luar sana di sebalik abang long di rumah anak-anak yatim tu.

Say it, sayang.” Dia sekali lagi merayu. Aku menggeleng.

“Kenapa nak saya cakap pulak sedangkan saya tak cinta awak?”

Usop mengeluh.

Deep down in your heart, I know you love me a lot, don’t you?”

Makin bulat mata aku kala ini. Hebat Usop ni. Masa ni, aku rasa dia bagaikan seorang arkitek macam Abang Jeff. Nampak romantik macam abang aku melayani Kak Shima. Nampak berseni.

My answer is NO!” tekanku.

“Lepas apa yang awak buat pada saya selama ni, awak ingat semudah tu saya nak jatuh cinta pada awak? Tak mungkin dan tak akan dah saya harap sangat, sebelum awak keluar daripada rumah saya untuk selamanya ni, silalah berterus terang pada abah dan mama saya yang kita tak ada hubungan. Titik!”

Serentak itu aku rentap tanganku dari genggamannya.

“Tak baik membentak suami, sayang,” ujar dia belumpun sempat aku melangkah.

“Kalau awak tu suami saya…,” selaku sinis.

“Awak cabar abang lagi, kan?”

Aku berpaling bila dia berkata demikian. Aku lihat Usop meraup wajahnya berkali-kali. Air liur ditelan kasar. Rahang turun naik. Tahu nak marah, habis tu dia buat aku dia ingat aku tak marah ke? Dia ingat aku suka gamaknya bermain dalam soal begini. Andai benar dia ingin nikahiku, biarpun hantaran dan mas kahwin percuma, aku pun tak kisah, janji dia ikut adapt dan ajaran agama. Ni main langgar je. Siapa tak hangin.

“Cabar tu taklah tapi nak jugak tengok keberanian awak macam mana?” Aku ketuk jari telunjuknya pada pipi. Usop senyum tiba-tiba. Makin lebar dan terus melebar.

Aku saja nak hangatkan emosi dan perasaan serta angin Usop dinihari ni tanpa sedar, ada yang berdehem di belakang aku. Abah! Aduhai, patutlah mood Usop berubah!

“Errr… abah!”

“Emm… abah,” ejek abah.

Usop ketawa nipis.

“Kamu berdua buat apa kat sini? Bangkit pagi-pagi bukan nak kejut orang bangkit. Ni kamu ni Jelita mesti pergi rosakkan batang pisang abah lagi, kan?” tebak abah.

Aku telan liur. Abah dan mula melepasi ambang pintu dapur dan dah sarungkan selipar di kakinya, hendak menuju ke kebun yang agak tersorok di bucu dinding dan aku pandang Usop yang sedang buat muka selamba.

“Err… dia ngigau abah. Tu Usop ikut dia. Memang dia kerjakan batang pisang abah tu. Sop rasa dia ingat masa hari dia kena belasah tu. Nantilah Sop tanam balik untuk abah, ya.” Cepat je Usop menjawab.

Abah mendengus. “Manjakan sangat bini kamu ni, Usop. Ni sebab kami tak bagi dia lepas keluarlah sampai macam ni jadinya dia. Kamu pandai-pandailah tune dia balik. Letaklah frekuensi apa-apa yang sedap dilayan sikit,” sinis abah.

Dia terus kembali ke pintu dan masuk ke rumah tanpa sempat sampai ke kebun dia. Aku bercekak pinggang. Sampailah hati abah cakap aku macam tu. Ada ke dia kata aku ni macam frekuensi. Usop tu apa lagi yang dia boleh buat. Ketawa jelah.

“Hah, buat apa lagi? Nak honeymoon jangan dekat kebun abah. Masuk mandi, orang nak siap berjemaah dah ni,” laung abah dari dalam rumah. Tawa Usop mati.

Dia memandangku dan kening itu terjungkit sikit. “Bila sayang sudi nak honeymoon dengan abang?” tanya dia.

Aku hentak kaki kuat ke rumput karpet mama. “Bencilah! Tak selesai perkara ni hari ni, jangan kata honeymoon, sampai moon saya tendang awak nanti!” tekanku lalu aku berlalu ke dalam rumah melarikan telingaku daripada tawa Usop.

***

PENING dah kepala aku ni nak fikirkan masalah ni. Nak harapkan Kak Shima memang tak boleh sekarang sebab dia memang sedang alami alahan yang teruk. Tak sudi aku nak bebankan dia lagi dan aku rasa Abang Jeff pun tak cakap pada Kak Shima lagi pasal ni.

“Kamu dah jadi suami ni, Sop… pandai-pandailah kamu didik Jelita tu. Memang salah kami la kot terlalu kongkong kehidupan dia selama ni. Sekarang ni bila dia keluar sorang-sorang ada je benda jadi kat dia.”

Itulah pesanan abah lepas mengaminkan doa usai berjemaah Subuh diimamkan Usop pagi tadi. Hampir menitis jugalah airmataku bila abah berpesan macam tu. Terasa bagaikan benar aku ini telah diangkat menjadi isteri kepada Usop.

“Mama pun harap, Sop jagalah Lit baik-baik. Dia memang kasar sikit tapi hari dia baik. Dia tu lembut hati sebenarnya. Pandai-pandailah Sop lentur dia, ya?!” sambung mama pula.

Abang Jeff aku lihat diam je di sebelah Usop. Nampak sangat muka keliru atau muka risau. Boleh jadi abang aku tu risaukan isteri dia agaknya. Orang dah nak jadi bapak, mesti risau lebih sikit.

“InsyaAllah, ma… bah… Jelita tu amanah buat Usop. Sop akan jaga dan didik serta lentur dia sebaik mungkin,” janji Usop pada mama dan abah.

Memang parah dia ni. Mama menitiskan airmata. Wajah abah sugul dalam keharuan dan aku angin dalam kemarahan. Kenapalah dia janji macam tu? Buatnya sebentar lagi hal sebenarnya tersingkap, jenuh laki airmata mama menitis. Bertambah sugul la wajah abah.

Awak nak main-main pun agak-agaknya la Usop. Amanah? Dia pernah mengatakan aku ni amanah dia beberapa kali. Tapi, kala itu aku juga rasa aku ini adalah amanah dia sebab aku berkhidmat untuk persatuan dia tapi hari ni, aku memang tak ada kaitan dengan dia dan jelas aku bukan amanah untuk dia. Apa lagi yang tak kena.

Bila aku lihat mereka hendak beransur keluar, aku cepat-cepat ke atas. Aku harap sangat abah tak suruh Usop masuk bilik aku dah. Sungguh aku tak selesa. Bilik anak dara dimasuk sesuka hati oleh anak teruna, tak ke tak molek dan syukur, setelah beberapa lama pun, memang tiada siapa mengetuk pintu bilikku.

Tapi, itu peristiwa Subuh tadi dan ini, sudah lepas waktu Syuruk dan tak lama bila kali ini ada ketukan beberapa kali pada daun pintu. Pada pendapatku, mungkinlah mama.

“Ya, mama… masuklah Lit tak kunci pintu,” laungku kuat.

Masa ni, aku sedang duduk di depan cermin menyikat rambut panjangku. Entah bila nak bertutup. Aduhai. Rasa tu ada tapi kenapa masih belum terbuka hati ini hendak melestarikan rasa itu.

Mama tak masuk juga. Sudahnya aku bangkit dan rapat ke pintu.

“Ma…” Belum sempat habiskan ayat, aku terkedu bila wajah Usop dekat dengan pintu bilikku dengan rambut yang basah, baju T pagoda tu dan tuala?

Aku bulatkan mata memandang dia. “Awak nak apa, hah?” tanyaku agak kasar.

“Kenapa suami Lit mandi dekat bilik air kata bawah pulak? Bilik air bilik Lit rosak ke?”

Entah dari mana, mama tiba-tiba muncul di belakang Usop menghulurkan pakaian yang tergantung padaku.

“Err, elok je… Emm Lit pun tak tahu kenapa dia nak mandi kat bawah,” balasku cuba berbahasa.

“Emm, tak apalah. Nah…” Mama hulurkan seluar slack dan sehelai kemeja berwarna hijau lembut itu padaku.

“Kak Shima tak larat nak bangkit sungguh ke, ma?” tanyaku.

Mama kerutkan wajah. “Elok je. Dah pergi kuliah pun.”

Aku pula kerutkan wajah. “Dah tu, kenapa abang tak gosok baju sendiri je?”

Mama dan Usop berpandangan dan kemudiannya mereka tersenyum tipis bagaikan menyembunyikan sesuatu. Aku rasa mama dah jatuh kasih pada Usop ni sedangkan dia tak tahu yang Usop ni bukan menantu dia pun. Aku yakin mama akan kecewa amat bila dia dapat tahu nanti.

“Ini baju abang. Tolong gosok. Abang dah lambat ni,” ucap Usop menyampuk perbualan aku dan mama.

Aku mengerutkan wajah tak percaya. Baju yang baru aku sambut tu terlepas ke lantai.

“Bila masa ada baju ni pulak?”

“Baju abanglah. Ada dalam kereta.” Usop tunduk mencapai bajunya.

“Cepatlah, yang. Abang dah lambat ni,” pintanya sambil mengerling ke arah jam di dinding. Baju itu sekali lagi dihulurkan padaku tapi aku membatu, tidak menyambutnya.

“Err… mama… Lit…”

“Apanya, pergilah gosok. Lambat nanti suami awak ni nak pergi kerja,” tukas mama lantas dia berlalu.

“Mama dah goreng mee, nanti Lit layan suami kat meja makan. Besar pahalanya,” jerit mama sewaktu dia menuruni anak tangga.

Aku terduduk dan menepuk dahi. Berkali-kali aku menggeleng.

“Kenapalah awak ni tak sudah-sudah nak buat keluarga saya jatuh suka pada awak, hah?” tanyaku pedih.
Usop duduk mencangkung di hadapanku.

“Sebab sayang tak nak suka abang. Jadi, abang tackle la hati keluar sayang dulu, nanti barulah sayang jatuh suka pada abang, kan?” bisiknya.

Aku pantas bangkit. Dia juga.

“Tak ingin!” Aku terus menolak daun pintu rapat.

Biar kena batang hidung Si Usop tu. Biar bengkok hidung mancung dia tu. Biar tak tampan dah. Geram aku!
Usop mengetuk pintu. “Sayang, tolonglah. Abang dah lambat ni. Hari ni hari penting tau tak. Tolong, yang. Tak nak gosok sangat pun, baju saja pun jadilah. Tolonglah, yang.”

Aku dengar dia merayu sambil mengetuk pintu perlahan. Aduh. Aku buntu dah ni. Dalam sehari, tunggang terbalik hidup aku sebab Usop ni. Aku rasa dia hilang akal sebab tu dia berani menjerumuskan diri dalam permainan macam ni.
Bila abang aku tanya, are you game, aku patut je jawab, death game. Memang permainan yang mampu membawa maut.

“Sayang….” Sayup je aku dengar suara dia terus menyeruku.

Hati aku ni, tak boleh nak berbunga bila dia panggil aku sayang. Sepatutnya aku bahagia bila lelaki yang aku cinta memanggilku begitu, tapi aku tak sudi begini. Hubungan berlandaskan penipuan yang terlalu besar. Saja cari penyakit.

“Sayang...,” seru dia lagi.

“Awak pergilah gosok sendiri. Kat dalam bilik solat tu ada tempat menggosok satu. Malas nak melayan awaklah!” balasku agak kuat.

“Abang ada isteri, abang nak lah isteri abang siapkan makan pakai abang. Abang dah terlalu lama buat semuanya sendiri. Abang dah lama hidup sendiri.” Dia membalas dengan suara yang sayu.

Terasa sedih pula hatiku bila mengenangkan asal usulnya. Bila mengenangkan keadaan dirinya yang bergelar anak yatim selama ni. Tapi, kaki ini terasa berat saja hendak menapak ke pintu. Bila dia diam, aku juga diam.

Hampir lima belas minit, aku bangkit hendak melihat sama ada dia sudah pergi tapi bila aku tarik daun pintu, ternyata dia sedang duduk mencangkung di depan bilikku. Bersandar pada dinding dengan memegang pakaiannya itu.

“Ehem…”

Dia berpaling bila aku berdehem sekali.

“Dah elok-elok menumpang kat rumah orang, nak jadi pengemis depan bilik saya pulak?” Aku menyindir.

Usop mendongak memandangku. Dia bangkit dan giliran aku pulak mendongak.

“Abang sanggup menjadi pengemis untuk kasih sayang daripada isteri sendiri,” ucapnya romantik.

Aku telan liur. Andai benar aku adalah sah untuknya, aku nak saja peluk tubuh sasa itu erat-erat. Aku nak saja mengucup jemari kasar itu meminta ampun atas kekasaranku selama ini tapi tak mungkinlah sebab dia bukan suami aku.

“Tolong sayang. Abang tak biasa lagi dengan rumah ni. Tolong gosok baju abang.” Dia suakan sekali lagi pakaiannya itu.

“Boleh!”

Usop senyum.

“Tapi, jangan panggil saya sayang macam tu boleh tak? Sayang tu hanya suami saya je boleh panggil saya nanti,” sambungku.

Usop menggeleng. “Betullah ni, sebab tu abang panggil sayang… sayang!” Dia masih cuba menegakkan sesuatu yang mustahil. Cuba menggapai puncak KLCC dengan tangan dia.

“Ikut suka awaklah!” Aku rampas pakaian itu daripada tangannya lalu menapak turun ke bawah.

Masa ni, mama dekat taman orkid dia dan sangat bahaya untuk aku berdua-duaan di dalam rumah ni dengan Usop biarpun mentari sudah terang benderang. Paling selamat, aku paksa dia duduk di ruang tamu, dah aku berlalu ke bilik solat. Bilik itu terbuka, tiada pintu. Senang untuk aku bersiap siaga andai berlalu apa-apa.

Paling tidak pun, aku tenyeh jelah seterika panas kat pipi dia nanti. Bagi cap sirim sikit kononnya milik aku dah dia nak sangat.

Lebih kurang sepuluh minit je, aku dah siap menggosok sepasang pakaian Usop. Kerja? Entah apa kerja yang dia buat. Mujur dah biasa gosok pakaian kerja Abang Jeff dan abah. Jadi, tak adalah kekok sangat. Baru nak kalih, Usop dah terjengul di pintu.

“Awak ni… terkejut saya!” marahku sambil mengucap dada.

“Nah!” Aku hulurkan pakaian yang elok berada pada penyangkut tu pada dia.

“Maaf… sayang jangan terkejut macam tu tau. Risau abang. Nanti menduda abang tak pasal-pasal,” ucapnya dengan senyuman yang tersungging di bibir.

Erk… aku tersedak sendiri. Ni dah kali ke berapa dia kata aku macam ni. Macam nak sangat aku pergi dulu.

“Kalau betul pun, awaklah yang kesian nanti.”

“Emm, memanglah abang yang kesian sebab hidup tanpa isteri tersayang,” ujarnya lagi. Sengaja nak sakitkan hati aku.

“Bukan macam tu maksud saya.”

Dia jungkit kening. “Dah tu apa maksud sayang?”

“Maksudnya, hidup awak tu nanti tak tenanglah. Tiap-tiap malamlah saya datang kacau hidup awak,” ugutku.
Usop ketawa kecil. “Kalau yang kacaunya isteri abang, abang memang sanggup. Tapi, masa tu kalau abang dah ada pengganti jangan kacau tau. Kesian pengganti sayang tu,” sela dia lalu dia berlalu ke dapur.

Aku terkedu. Bila dia berkata begitu, terasa dihiris sembilu hati aku ni. Terasa bagaikan digergaji sebenarnya. Sakitnya, hanya Tuhan yang tahu. Aku cemburu. Memang aku cemburu.

Waktu ini, aku mula teringkat kata-kata Usop semasa kami berada di kebun abah dinihari tadi. Nak ke aku halalkan hubungan kami dan nak ke aku tukarkan lakonan ini menjadi kenyataan. Siapa nak walikan? Nak minta tolong Abang Jeff rasanya tak boleh sebab abah masih sihat dan berkemampuan menjadi seorang wali lainlah kalau abah dah wakilkan pada Abang Jeff.

Malas dah nak fikir, aku berlalu ke papan gosok, terus aku lipat dan meletakkan kembali di tempat asal. Nanti mama bising tak kemas.

Aku terus keluar daripada bilik solat dan terus menuju ke dapur. Perut dah lapar. Biasalah kalau tak ada buat apa-apa, mesti lapar. Usop tu nanti dia keluar rumah, pandai-pandailah dia dan harap jangan kembali lagi sebab aku dah sedia nak bercerita pada abah dan semua malam nanti. Kena halau atau tidak, aku dah sedia nak hadapi semua tu.

Baru aku hendak capai pinggan, Usop menegurku lagi. Bila aku berpaling aku terpegun seketika. Memanglah dia tampan. Sungguh mata aku tak menipu kali ini. Dia memang setampan Yusuff barangkali. Andai Yusuff di depan mataku ini sebegini tampan dan indah rautnya, entah bagaimana Nabi Yusuff a.s sampaikan Zulaikha sendiri terhiris jarinya dek ketampanan Yusuff. Subhanallah….

Dia benar-benar segak dengan baju kemeja hijau lembut lengan panjang dan seluar hitam serta lengkap dengan vess biru gelap. Rambut itu masih terpacak dan janggut sejemput dan misainya dikemas rapi.

Bila begini, aku mula teringatkan seseorang. Dan seseorang tu siapa, aku tak ingat la pulak. Rasa macam pernah tengok penampilan macam ni. Siapa tu, aku tak temui jawapan. Jenuh nak ingat.

“Kenapa renung abang tak berkelip?”

Aku tersentak. Lupa aku sedang merenung dia. Malunya tak boleh nak cakap apa dah sebab memang salah aku renung dia.

“Mana ada renung,” dalihku.

“Dah tu, tergamam tengok suami sendiri, macam tu?”

“Eiii…” Aku hentak kaki lagi. “Tolonglah jangan mengaku awak tu suami saya, boleh tak? Jatuh saham macam nit au!”

Usop menyilang tangannya ke dada. “Selain abang siapa yang sanggup melayan karenah Lit lagi. Cuba cakap pada abang?” suruhnya.

Aku diam sebentar sebelum menjawab. “Kalau ada, awak nak selesaikan semua hal ni, macam tu?” tanyaku cuba berkompromi dengannya.

“Selesai tu, ya. Tapi, Lit tetap isteri abanglah!” jawab dia.

Aku ambil pinggan Luminarc mama tu dan terus berlalu ke meja makan di luar. Malas nak layan Usop.

“Kalau kata macam tu, buat apa tanya! Tak ada bezanyalah!” bentakku.

Aku tahu Usop mengekoriku dan belum sempat aku duduk dia dah duduk dulu hendak bersarapan.

“Abang saja nak sudi sayang. Tak boleh ke? Nampak sangatlah tak ada, kan? Abang je sanggup. Jadi, tugas pertama untuk hari ni, sila layan abang makan. Abang nak cepat ni. Nanti malam ni abang nak bawa Lit ke rumah sewa abang ambil barang!”

Aku baru nak sendukkan mee goreng untuk dia tapi tak jadi bila dia berkata demikian.

“Kenapa macam tu pulak?”

“La, kan malam ni Lit nak berterus terang dengan abah dan mama. Sah-sahlah Lit kena halau keluar rumah. Abang ajaklah Lit datang rumah abang. Tak boleh ke?” tanya dia serius.

Langsung tiada riak main-main. Aku hentak pinggan yang sudah berisi mee goreng tu agak kuat di depan dia.

“Eh, sayang ni… nasib baik rumah abang pakai pinggan plastik je semua. Kalau kata sayang buat macam ni, sebulan sekalilah abang kena beli pinggan untuk sayang. Haihh…” Dia menggeleng kepala kononnya tak puas hati aku hentak pinggan mama tu.

“Awak jangan nak macam-macam, ya?! Saya hentak kepala awak karang. Kalau kata saya kena halau pun, rumah awak tu adalah tempat yang tak mungkin saya jejak!” balasku geram lalu aku tarik kerusi dan duduk agak jauh dari dia.

Dari ekor mata, aku tahu Usop sedang tersenyum melihat ke arahku.

“Tengok apa?” tanyaku keras.

Dia senyum. “Bila sayang nak bertudung? Sayang cantik. Memang jelita. Tapi, lagi jelita kalau sayang simpan untuk abang je kejelitaan sayang dari hujung rambut sampai hujung kaki tu,” ucapnya lembut.

Aku terngadah. Sekali lagi pedih telingaku disindir demikian tapi dalam hati, aku akuinya juga. Aku juga mahu begitu tapi orang kata, seru tak sampai lagi. Buatnya seru ajal sampai dulu, terbakar rambut aku.

Tanpa sedar, aku pegang rambutku yang aku lepas bebas. Mengucup sikit. Emm, masih wangi. Kemudian aku pandang Usop pula.

“Tunggulah awak betul-betul jadi suami saya. Itupun kalau saya terima!” ejekku.

“Sayang cabar abang lagi, kan?”

Aku gariskan senyuman sinis.

“Kalau saya cabar, macam mana? Awak kan pantang dicabar,” selaku sinis.

“Sayang pun…,” ujarnya lalu dia menelan mee di dalam pinggan dengan agak gelojoh.

“Abang nak cepat. Malam ni siap terus. Abang jemput!” ucapnya lantas dia berlalu keluar rumah.

Sungguh aku rasa aku dan Usop ni suami isteri tapi bila aku ingatkan pesanan dia, aku rasa betul juga. Aku nekad hendak memperbetulkan semuanya malam ini. Abang Jeff perlu menolong tapi aku tak mungkin salahkan dia dan boleh jadi benar juga aku bakal dihalau dan itu adalah sesuatu yang aku takutkan biarpun aku sudah berpuluh kali merasakan aku mampu menerimanya.

Aku pandang pinggan Usop. Langsung tak bersisa. Macam tak pernah makan pulak. Atau lebih tepat lagi, tak pernah ada yang menyediaakan makan untuknya dan melayan dia di meja makan. Aku ikhlas andai aku isterinya tapi kala ini aku terpaksa juga kerana dia.

Tekak ini dah tak mampu nak menelan makanan jadi aku bangkit dan angkat pinggan Usop ke dapur. Baru saja aku letakkan pinggan di dalam sinki, aku dengar suara mama dari luar.

“Lit tak hantar ke, Sop?”

“Tak apalah, ma. Sop ada hal penting ni. Nak cepat. Dia tengah makan lagi,” jawab Usop.

Aku malas nak peduli lagi lalu aku buka paip dan membasuh pinggan yang sebiji itu. Sedang elok aku tutup paip, aku dengar enjin kereta dihidupkan.

Eh, tak kan Usop pakai kereta mama kot. Cepat-cepat aku berlari ke pintu besar dan aku sekali lagi tergamam melihatkan kereta yang baru saja keluar daripada porch. Honda EK warna perak metalik tu!

~~~> bersambung

Cik Penulis : Tak tahu dah nak kata ape..jemput baca, komen dan maaf atas kekurangan...

20 comments:

  1. suka tol usop suntorian kacau si jelita .. ehek.. tpi adakalanya, ayat usop tu mcm panah terkena kat jntung ... uhuk

    ReplyDelete
  2. kelakar2.....mati kutu Lit dibuat Usop.....

    ReplyDelete
  3. penin sudah ni rehan...cepat lah leraikan hubungan ape diorg sebenarnye ni...mcm suami is3 je...

    ReplyDelete
  4. seram... tapi sweet...
    dia org mcm couple betul2x tapi bila masa kawin???
    rehan .... jng ckap itu cuma mimpi Jelita aje.... time pengsan waktu pertandingan hari tu....

    ReplyDelete
  5. iyer ke da kawen ni...saspen la gni..

    ReplyDelete
  6. masih lagi musykil. dah kahwin ke belum? ana fenin....fenin...

    ReplyDelete
    Replies
    1. lit mmg isteri usop tp bila pula nikahnya...aduh.....mmg dah fenin ni....bila ye nak terungkai....

      Delete
  7. penin penin ...
    -che`leen-

    ReplyDelete
  8. Satu lagi misteri Usop telah terungkai. Betullah abang yang dikatakan oleh Wahyudah yang Jelita nampak tu ialah Usop.

    Makin syok baca...Rasanya trafik blog ni naik kot. Tahniah Rehan ... Teruskan berkarya...

    Chaiyo!!!

    -ety.s

    ReplyDelete
  9. lit ni jual mahal la, kalo aku konpem dah melting ngan usop..huhuhu.
    tapi takut gak ngan abah, abah lit tak pe la guru besar, kalo jadik kat aku camni..abah aku tu bekas tentera..mau maut aku...hahaaha

    ReplyDelete
  10. bila nak terbongkar? jgn la meleret sangat, tak patut tau kalau dah kawin tapi tipu2 macam tu dekat jelita. kalau dia tahu ini semua konspirasi keluarga dia lagi la sakit hati walaupun dia sukakan usop.

    ReplyDelete
  11. Makin menarik... x sabar nak tunggu n3

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul2....nak pula tgk apa jadi bila lit ikut usop ke umah sewanya utk ambil brg......tp ikut ke lit nanti....

      Delete
  12. mmg suspen dan best. mmg knpem dah nikah ni tapi mgkin lit tak tahu. mgkin betul abg dia jd wali. apapun cter ni paling best dlm online skang. 5 bintang untuk RM cpt2 sambung ek!

    ReplyDelete
    Replies
    1. agtee ....mmg best sgt...jln cite lain .....tiap2 hari ke sini kot2 ada new n3.....moga sentiasa dikurniakn ilham yg baik rehan...

      Delete
  13. cepat2 lah sambung. dah pening baca. suami isteri ke tak diorang ni? ehh cepat next entry xD

    ReplyDelete
  14. best2. nk tahu ending niee. cepat2 :)

    ReplyDelete
  15. aduh, xjumpa2 lg bab cmner diorg dinikahkn ni... xsabar nk tau...

    ReplyDelete
  16. AHHHHHHH... mesti nikah pakai wali mujbir ni kot...

    ReplyDelete