Friday, March 16, 2012

Ku Ingin Milikimu [2]

BAB 2

MALAM-MALAM begini, aku selesa melayan pembaca di fan page. Melewati blog sendiri. Mengemaskini cerita-cerita baru yang sempat aku garapkan dan kemudian, melayan komen-komen pembaca yang terdiri dari pelbagai luahan. Ada ramai yang suka dan tak kurang juga yang memberi kritikan.

Sebagai penulis, aku perlu berjiwa terbuka. Segala teguran membina aku kutip dan segala kritikan buruk, aku abaikan saja. Jenuh juga otak hendak mencerna idea baru bagi menyudahkan tugasan kedua yang perlu dihantar sikit masa lagi.

Andai di pejabat, aku jarang benar menulis cerita kerana tugasan itu sendiri mengajar aku erti amanah pada waktu dan tanggungjawab. Mungkin ada masa itu namun aku akan pastikan tiada kerja tertangguh tapi hari ini, aku benar-benar buntu. Sepatah ayat pun tak mampu aku lakarkan.

Baru saja hendak mematikan komputer, mata ini tertangkap pada tanda merah di atas sebelah kiri komputer aku ni. Hati ini kuat mengatakan dia dan serentak itu, bibirku menguntum senyum bila nama itu benar-benar hadir lagi.


Ann, saya nak tahu… apa perasaan awak pada saya.


Kelu aku hendak menjawab soalan itu. Sejak akhir-akhir ini, Mukhlis kerap bertanya soalan yang pelik-pelik membuatkan aku sendiri keliru.


Mukhlis, saya suka semua peminat saya tapi kalau awak rasa awak suka saya lebih dari seorang peminat atau juga mungkin awak rasa awak dah jatuh cinta pada saya, saya yakin, hati awak tu keliru. Serah pada Tuhan, nanti awak akan temui jawapan.


Kali ini, lama pula Mukhlis membalas. Aku resah sendiri. Tidak pernah-pernah begini. Sudahlah sepatah ayat tak mampu aku garap, kini dihambat soalan membunuh begini. Tidak lama kemudian, dia membalas. Mataku tenang menatapnya tapi hentakan di dada tidak setenang mana. Ada resah yang mula hadir, ada takut yang mula memburu.


Saya dah kemaskan perasaan saya pada awak Ann Rahana… Saya memang suka malah saya jatuh cinta pada awak. Pelik, kan? Tanpa tahu rupa awak, tanpa saya tahu nama betul awak, saya macam ni sedangkan saya tak mampu nak jatuh cinta. Apatah lagi awak seorang penulis, ada ramai peminat dan saya hanyalah salah seorang daripada peminat awak saja.


Sungguh kata Sarina. Dia jatuh cinta padaku yang tidak pernah dia ke temui. Aku bawa telapak tangaku ke dada kiri. Aku pujuk jantung itu agar tidak terlalu gundah. Aku harus halau rasa ini pergi. Aku tidak mahu dia terus mencari aku kerana aku bukan untuk dia dan pastinya dia juga bukan untuk aku.


Saya suka awak, Mukhlis sebab awak peminat saya. Tapi, saya yakin awak sedang keliru. Perbetulkan semua kekeliruan awak tu. Jaga diri.


Aku tekan ENTER dan terus saja aku matikan komputer cuba menghalau jauh perasaan asing ini pergi. Cuba mendamaikan resah hatiku sendiri. Apakah rasa ini? Aku sendiri tidak tahu.

Pelik rasanya menerima seorang peminat lelaki dalam hidup aku. Dia menyokong dan aku berterima kasih tapi bila begini, aku mula risau. Risaukan hati sendiri.

“Ya Tuhan, andai ini adalah keburukan buat aku, Kau jauhkanlah dia dengan apa cara sekalipun dan janganlah Kau bawa dia hadir dekat denganku biarpun beribu batu jaraknya,” gumamku memanjatkan doa pada Ilahi.

Esoknya, aku ke pejabat seperti biasa namun rasanya tidaklah seceria biasa. Wajah Sarina yang terjengul di muka pintu aku sambut dengan senyuman hambar.

“Apa hal kau Ana?” Dia duduk di depanku.

Aku menggeleng. “Tak ada apa-apalah. Bos cuti. Bosan la pulak. Kerja tak ada ni. Aku curi masa menulis la sikit,” luahku menukar haluan emosiku.

“Ni mesti pasal peminat kau tu, kan?” tebak dia.

“Tak adalah,” dalihku. Sarina tersenyum tipis.

“Kau bukan jenis pandai nak menipu, Ana. Jadi buat apa kau nak menipu dan apa yang buatkan kau rasa kau berjaya menipu aku ni?” Suara Sarina sinis.

“Tipu apa pulak, dah memang aku tak ada-apa. Aku cakap jelah.”

Dia menggeleng. “Ni tak lain tak bukan la ni. Ni mesti pasal mamat Mukhlis tu, kan?”

Mendengarkan nama itu, aku sedikit merengus. Resah hati ini sebenarnya. Sedaya upaya aku cuba halau, Sarina pula menarik nama itu dekat ke hatiku.

“Dia salah seorang pembaca jelah. Tak ada apa pun.” Aku terus memberi alasan.

Namun, aku tahu, pandangan Sarina jelas menunjukkan yang dia tidak percaya langsung akan apa yang sedang aku katakan.

“Betullah dia tu pembaca kau, tapi aku pelik satu hal je. Dia lelaki, tapi boleh pulak dia dok melayan novel-novel online, bertahan mata baca dekat skrin, kan?”

Aku jungkit bahu. “Kau jangan tak tahu, dia tu kaki buku.”

“Maknanya kau tahulah?”

Aku angguk mengiyakan soalan Sarina. Dia tersenyum tipis.

“Maknanya kerap kalilah kau sembang dengan dia? Telefon mungkin,” tebak Sarina tiba-tiba.

“Ya Tuhan… aku sembang dengan dia dekat facebook jelah. Tak pernah bagi nombor telefon pada dia pun,” bantahku sedikit keras.

“Ala, maaflah Ana. Aku teka je. Manalah tahu, dah dia fanatik macam tu pada kau, dia boleh cari nombor telefon kau ke. Siapa tahu, kan?”

“Tak ada siapa tahu pasal aku, okey? Nama pun dia teka macam tu je dan kebetulan betul aku nak kata apa. Iyakan jelah!”

“Pasal nama kau tu, macam mana dia boleh tahu ya? Pelik jugak aku ni.” Sarina menggaru kepalanya yang diliputi tudung.

Wajahku sedikit berkerut mengingatkan perbualan bisu pertama antara aku dan Mukhlis. Terkejut sungguh aku kala itu bila dia dengan tepatnya meneka nama penuhku hanya melalui alamat blog. Sungguh peka orangnya. Segalanya sangat teliti.

“Nama kat blog,” jawabku lambat-lambat.

“Nama kat blog?” soal Sarina tidak percaya.

Aku angguk lagi. “Tak kan nak tipu pulak! Tapi, tak adalah tepat.”

“Emm… menarik lelaki ni dan aku tak rasa mustahil kalau suatu hari nanti, dia boleh tercongok di depan kau, bersama bunga.” Sarina sengih.

“Jangan nak melalut sangat, ya.” Aku memberi amaran keras.

“Kalau dia muncul depan aku, memang aku lari dok planet lain dah. Nak lebih haru lagi, aku tukar nama pena aku. Muncul sebagai penulis baru. Tak ada siapa kenal!”

“Wa.. tak sayang peminat nampak?”

“Mereka tu bukan peminatlah, Ina. Mereka semua tu pembaca aku dan aku sayang mereka semua tau.”

“Tapi, sayang pada Mukhlis lebih sikit, kan?” Sarina menduga lagi.

Aku terdiam tak mampu terkata apa. Akal menafikan tapi hati mengatakan ya. Ada rindu andai tanpa pesanannya. Ada sayang bila membaca bait-bait pesanannya. Haruskah aku terus membohongi Sarina demi semua ini? Membohongi diri sendiri akan perasaan yang aku sendiri tidak pasti dan aku sesungguhnya yakin bahawa Mukhlis juga sangat keliru kala ini.

Tidak dapat membezakan realiti dan fantasi. Jatuh cinta padaku hanya kerana ayat-ayat yang membuai jiwa tapi siapa kita hendak mempersoalkan perasaan yang Allah anuegarahkan?

Aku pandang Sarina lama. Tanpa sedar aku mengangguk mengiayakan. Sarina jungkit kening bertanya dalam diam.

“Dia confess dekat aku pasal perasaan dia,” ujarku tenang.

Sarina hanya tersenyum manis. “Aku dah agak dah pun. Tak mungkin sampai dia sanggup hantar pesanan pada kau tiap-tiap masa. Dia kat mana, makan apa, buat apa. Lepas tu kau kata apa?”

“Aku cakap hati dia keliru. Kemaskan hati dia dan cari aku lain kali. Sungguh aku rasa dia tu hidup dalam mimpi je. Aku takut bila dia sedar, dia sebenarnya bukan suka Anahara tapi suka Ann Rahana,” jawabku jujur.

“Emm, betullah tu. Kan dia dah tahu nama penuh kau, tak mungkin dia jatuh cinta pada penulis tu kot. Boleh jadilah, tapi aku yakin dia memang jatuh cinta pada siapa kau sebenarnya. Aku memang yakin dia cintakan kau, tapi cinta alam maya macam ni ada bahaya sikit,” ujar Sarina. Dia menghela nafasnya seketika.

“Kau tak kenal dia, dia pun tak kenal kau. So, itu jelah. Biar dia tetapkan hati keliru dia tu, dan kau pun tetapkan hati kau yang keliru tu jugak!” Nasihat Sarina aku dengar dengan teliti.

“Tapi, hati aku tak keliru. Sungguh, aku yakin aku dengan dia hanyalah seorang penulis dan peminat je,” bantahku.

“Itu kata kau, Ana. Tapi, aku boleh tahu. Senyuman kau, lenggok bahasa tubuh kau, aku yakin kau juga keliru. Kat sini…”
Sarina menyentuh dadanya.

“… pasti sangat kelam kabut sejak akhir-akhir ni,” sambung dia lantas di bangkit dan menepuk bahuku lembut.

“Jom makan dulu,” ajak dia dan terus saja dia berlalu ke tempatnya.

Aku tidak berganjak. Kenapa hati ini rasa sepi tiba-tiba. Aku buka laman sosial itu sekali lagi. Tapi, ada hampa mengetuk hati, di dalam banyak-banyak pesanan itu, nama itu tidak muncul. Aku mengeluh tanpa sedar.

“Saya harap saya tak keliru macam awak Mukhlis. Sungguh saya tak nak hati saya keliru sebab saya risau saya tak mampu nak pakukan kasih sayang pada awak nanti.” bisikku sendiri lantas aku tutup laman itu.

~~> bersambung

2 comments:

  1. mcm faham apa yg ana rs sbb sndr prnh rs.kita kata dia keliru alih2 kita pulak yg jd keliru.last2 berdiam dan biarkan keliru tu berlalu dgn masa.

    ReplyDelete