Wednesday, April 24, 2013

Hanya Ingin Kau Cinta 21


BAB 21

PANGKAL HIDUNG AKU PICIT PERLAHAN.  Sakit kepala tiba-tiba.  Soalan Nine tidak aku jawab.  Malah, aku tinggalkan dia terkulat-kulat begitu saja.  Bukanlah berniat tapi rasa semakin tidak selesa.  Berperang dengan kehendak diri dan kehendak Nine. 

Dia pemilik hati ini.  Aku sedari hari ini tapi payah hendak aku katakan tidak.  Aku mahu menggali dan mencari penjenayah yang mendendami ayah.  Fail-fail lama itu masih belum aku temui nama penjenayah itu.  Terlalu banyak fail yang telah dibuka.  Hendak mencari semua maklumat, memakan masa dan hubungan singkat antara aku dan Nine juga perlukan masa.
Nine perlu menanti untuk apa yang dia mahukan.  Aku juga perlu bersabar untuk memberi apa  yang dia inginkan. 
Baru hendak pejamkan mata, getaran telefon menyentakkan lamunan.  Aku yakin itu Nine.  Aku tahu dia tidak betah tanpa jawapan. 
Lambat-lambat aku menjawab. 
Answer me,” gesa Nine.
“Awak dah tahu jawapan saya,” jawab aku lemah.  Separuh berbisik. 
Itupun aku rasa sudah cukup bergema suara aku melawan kesepian malam.  Dia diam seketika.  Hanya nafasnya yang menyapa telinga. 
“Boleh tak kita biarkan yang lalu itu berlalu?” 
Giliran aku pula diam.  Mata sudah kian berat.  Suasana sejuk dan sepi di kampung benar-benar menggoda jiwa untuk lelapkan mata. 
“Naina… saya serius,” akui dia.
“Saya tahu…”
So?”  Cepat saja dia mencaras.
“Saya perlu selesaikan kerja saya sikit…”
“Kerja  yang awak bagitahu mak ngah tadi, kan?” 
Aku diam mengangguk biarpun aku tahu Nine tak nampak.  Sesekali aku mengerling pada Suryani yang sudah terlena pulas.  Memang aku harus selesaikan perkara yang masih belum selesai.  Biarpun tidak aku temui pangkalnya, setidak-tidaknya aku pasti temui penghujungnya. 
Biar umi dan ayah tak akan kembali lagi ke sisi aku, tapi kenangan dan kasih sayang mereka mewah merajai hati.  Hinggakan aku rasa kehadiran mereka dalam setiap helaan nafas aku dan mereka tak layak untuk dikejami sedemikian.
“Tidurlah, Nine… dah lewat malam ni.  Dok sembang masa ni, nanti Yani jaga pulak.” 
“Tunggu…”  Baru hendak aku putuskan talian, suara Nine menahan. 
“Kalau boleh saya tahu kes apa yang berkaitan dengan arwah ayah dan umi awak tu?”  pancing dia.
“Kes lama, Nine... dan tak ada kaitan dengan awak.  Saya cuma perlukan masa...”
“Dan saya perlukan awak,” ujar dia memintas kata-kata aku.
Siling  yang nampak samar-samar aku pandang lama.  Air jernih sudah mengalir melalui hujung mata.  Bukan sedih tapi tanda sudah terlalu mengantuk.  Berkali-kali aku tahan kuap.  Dan Nine ni...tak letih ke dia?
“Tidur dulu.  Esok kita sembang panjang, ya?  Awak jalan jauh hari ni.  Esok, ya?”  pujuk aku. 
“Saya tak boleh nak tidur.  Saya risau...”  keluh-kesahnya menyapa telinga.
Aku senyum tipis.  Airmata yang melekat pada tepi wajah aku sapu dan hidung  yang mula terasa berair juga aku lap sedikit.  Gebar aku tarik hingga menutupi kepala bila mana aku lihat Suryani mengiring menghadapi aku.
“Nak risau apa?”
“Risaukan awak.  Saya tak nak awak terlibat dengan kes-kes bahaya lagi.  Saya tak sanggup,” ujar Nine prihatin.
“Mana ada bahaya.  Lagipun, awak lupa siapa yang escort awak dulu?  Siapa yang jaga keselamatan awak dan rombongan awak tu?”
“Dan  nampaknya awak pun lupa, siapa yang kena belasah masa kena culik hari tu?”  sindir dia dalam nada yang rata.
Aku ketawa kecil. 
“Macam tu sekali risau?” 
“Tak pun... orang tak perlukan kita.  Nak risau buat apa.  Orang boleh jaga diri, nak hiraukan buat apa?”  tanya dia  berjauh hati.
Hati aku ketawa terbahak-bahak tapi yang terzahirnya hanyalah senyuman yang aku rasanya agak lebar. 
“Oh... sebab tak risaulah terpacak depan rumah orang, ya?”  tanya aku.  Kembali menyindir.
Nine terkedu.  Nafasnya tenang tapi riaknya tak mampu aku duga bagaimana.
“Nine...”  seru aku.
Dia diam. 
“Nine...”  Kali kedua pun dia masih diam.
“Tak nak cakap, saya nak tidur...”
“Erm...”  Perlahan dan terasa jauh saja suara itu menyahut. 
Tahu takut.  Telapak tangan menekup mulut.  Bimbang tawa besar terledak.  Mengganggu lena Suryani dan boleh jadi menjadi bahan usikan dia nanti.
“Tidurlah, ya?  Kita jumpa esok.  Kat kampung kena bangkit pagi-pagi walaupun air dia sejuk.  Kat sini tak ada water heater, tak ada jakuzi, tak ada kolam renang atau paling lekeh... tab mandi pun tak ada.  Paip ada tapi kalau nak seronok lagi, kita mandi air perigi nanti, ya?”  ujar aku memujuk. 
Tiba-tiba saja Nine ketawa halus.  Tawa yang tertahan-tahan.
“KITA mandi?  KITA?’  tanya dia. 
Perkataan KITA itu ditekan kuat.  Dahi aku mula melapis-lapis dengan sendirinya.  Bibir aku ketap.  Tersalah kata ke?
“Bukan masanya lagi untuk kita mandi sama, Naina,” tukas dia lantas talian dimatikan begitu saja.
Terkebil-kebil aku dibuatnya dengan kata-kata Nine yang terakhir.  Padahal aku yang mahu terlebih dahulu mematikan talian tapi dia terlebih dahulu memutuskan panggilan. 
Lama aku pandang telefon bimbit yang sudah gelap skrinnya.  Sah, aku tersalah kata dan Nine juga jauh tersalah tafsir.  Aku menggeleng kecil mengingatkan sikap Nine yang kini aku rasakan ada sedikit kebudak-budakan.  Lama-lama mengenali dia, mengembalikan aku menjadi manusia yang punyai jiwa. 
Telefon aku letak di bawah bantal tapi tak lepas lagi menarik tangan, getaran terasa sekali.  Aku cepat-cepat memandang skrin yang kembali cerah. 
SMS!  Dan pastilah dia.


            Empuk betul tilam ni.  Rasanya buat pertama kali dalam hidup,
            saya mampu tidur selena-lenanya. J


            Liar!  SEND!


            Want me to prove it?  Come here. Live in my heart for free. 


Aku senyum malu.  Berjiwa!  Cemik aku. 


Nite... 


SEND! Telefon aku kunci pad nya dan terus aku letakkan di bawah bantal.



DARI JAUH aku nampak mak ngah yang sedang terbongkok-bongkok mencedok air daripada lubang perigi.  Cepat-cepat aku hampiri dia. 
“Mak ngah buat apa?”  tanya aku seraya aku ambil tali timba itu daripada tangan mak ngah yang jelas sudah berbirat. 
Sudah berapa lamalah dia mencebok air, aku tak pasti. 
“Air tak ada pulak dah,” keluh mak ngah. 
Lengan baju kurung kedahnya diturunkan.  Dia duduk di atas kekuda di tepi perigi yang arwah ayah gali dulu.  Untuk saat-saat kecemasan seperti ini.  Pagi tadi sewaktu bangkit Subuh, elok je air laju.  Ini belum lagi menginjak ke jam 9 pagi.
“Kenapa tak panggil Naina ke, Yani ke?” 
“Yani dah keluar ke pekan.  Katanya nak emel kerja rumah apa entah dekat U dia.  Nine dah bangun nak mandi tapi mak ngah kata tak ada air, dia terus naik semula.  Mula-mula tu dia nak mandi perigi je tapi mak ngah larang.  Risau...” 
Dahi aku berlapis-lapis kerutannya.  “Dah kenapa mak ngah nak risau?  Dia kan jantan.  Bukan kerja berat pun...” 
Dalam hati aku menyambung, sebelum ni boleh bertumbuk sakan dengan Neo dan juga begitu berani dia mengacukan pistol pada Neo.  Setakat air perigi ni pejam mata sebelah aje kot. 
“Orang bandar lain, Naina,” bantah mak ngah. 
Jelas lagi bersuluh menyokong Nine.  Aku menghalakan mata menadah langit.  Hebat Nine mampu membuatkan keluarga aku jatuh hati pada dia. 
“Dia dah biasa susahlah, mak ngah...”
“Ya ke kau ni?  Tak percayalah,” bantah mak ngah. 
Dia bangkit dan menggantikan baldi yang sudah penuh dengan air.  Aku menurunkan timba laju.  Mahu mengisi baldi  yang lain pula. 
“Ya ke?”  Soalan sama berulang.
“Sungguhlah.  Dia tu sebatang kara...”
“Eh, kalau betul sebatang kara, dia nampak macam anak orang kaya aje.  Tak pernah susah pun nampak dia tu?”  komen mak ngah.
“Kaya dan senang tu atas usaha dia sendiri, mak ngah.” 
Kata-kata itu terus membuatkan mak ngah memandang aku.  Tak berkelip-kelip.  Riak wajah yang terkejut dan tidak percaya.
“Anak yatim...” 
Aku angguk. 
“Piatu?” 
“Aku jatuhkan kepala lagi sekali. 
Mak ngah nampak menelan liur.  Dia berpaling ke belakang sedikit bagai mencari kelibat Nine.  Hingga aku juga turut sama berpaling. 
“Mak ngah sebenarnya tak nak kau pilih orang yang tak ada keluarga, Naina...”  Terluah makna di sebalik wajah resah mak ngah. 
Aku diam.  Senyum seketika dan terus menarik tali timba.  Air yang hanya tinggal separuh itu aku curahkan di dalam baldi.  Senang untuk kegunaan semua nanti.  Aku penuhkan semua air. 
“Naina rasa tak ada masalah sebab Naina pun sama, mak ngah... yatim piatu,” sambung aku lambat-lambat.
“Kau berbeza, Naina...”
“Tak ada yang beza, mak ngah.  Mak ngah tahu tak dekat pejabat tu ada sorang lagi lelaki yang Naina rasa lengkap segalanya tapi tak mampu buat Naina senyum ikhlas pun.  Tapi dengan Nine...” 
Aku menghentikan kata.  Baru hendak menyambung, mak ngah terlebih dahulu bersuara. 
“Mak ngah tahu.  Mak ngah nampak senyuman yang tak pernah kau ukir sejak pemergian orang tua kau dulu.  Mak ngah boleh nampak Naina... tapi kalau boleh...”  Dia berjeda. 
Tangannya menyentuh belakang aku lembut.  Mata kami saling bertatapan.  Bening mata tua mak ngah nampak kian resah.
“...mak ngah nak kau hidup meriah macam orang lain.  Bersuamikan seseorang ada keluarga.  Yang sempurna keluarganya.  Mak ngah tahu kau sunyi.” 
Bibir aku tersenyum tipis.  Tapi sedihnya, senyuman itu senyuman sinis.  Tidak ikhlas lagi.  Sudah kian tawar. 
“Kalau kata ada keluarga bahagia pun, belum tentu Naina bahagia, mak ngah.  Kadang-kala Tuhan datangkan seseorang tu dalam hidup Naina untuk buat Naina gembira dan dia adalah dunia Naina biarpun dia bukan sesiapa pada dunia ni,” jelas aku lembut moga mak ngah mengerti. 
Dia diam tidak berkata apa.  Hanya memandang kocakan air di dalam baldi yang baru aku curahkan airnya.  Aku pula meletakkan timba di birai perigi.  Melihat telapak tangan yang sedikit birat.  Merah. 
“Dia adalah dunia Naina, mak ngah biarpun dia bukan sesiapa pada dunia ni,” ujar aku mengulangi sekali lagi.
“Kau nekad?” 
Aku angguk.  “Kalau mak ngah izinkan...” 
Lambat-lambat mak ngah gariskan senyuman.  Bibir tua itu nampak merekah dengan senyuman yang cukup ikhlas.  Juring matanya dikesat. 
“Kalau kau bahagia, mak ngah berpuluh kali bahagia.  Mungkin dah tiba masa  untuk mak ngah lepaskan kau untuk orang yang lebih layak dan dia adalah Nine dan mak ngah tak harap, kalau dia dah ambik kau daripada tangan mak ngah, mak ngah haramkan dia pulangkan kau balik.  Kalau dia pulang nanti, mak ngah parangkan dia...”  ujar mak ngah bersama gigi yang diketap.  Buat-buat.
Dia ketawa sejurus kemudian.  Aku ketawa juga tapi tidak lama bila aku dengar derap tapak kaki di belakang.  Bila kami berpaling ternyata Nine sedang mendekati kami dengan menggalas tuala putih pada bahu kirinya. 
“Err... saya mengganggu ke?”  soal Nine sambil berpeluk tubuh.
“Sejuk betul.”  Dia bergumam sendiri. 
Mak ngah senyum.  “Tak adalah... nak mandi ke?” 
Nine senyum tipis. 
“Tapi, sejuk betul kan kat kampung,” beritahu dia lagi sekali. 
Entah apa  yang dia nak aku pun tak pasti.  Apa yang pasti aku benar-benar nampak tubuh tegap itu menggigil. 
“Manja!”  cemik aku pada dia.
“Mana ada manja, kan Nine?”  bela mak ngah. 
“Memang sejuk, Nine... kalau orang tak biasa memang boleh kejang.  Nak-nak musim padi nak naik sekarang.  Kalau Nine nak mandi, mak ngah suruh Naina rebus air.  Bagi suam-suam kuku sikit.  Lagipun, mandi sejuk-sejuk sangat tak elok jugak kalau tak biasa,” ujar mak ngah memandai.
Aku bulatkan mata.  “Naina nak kena rebus air untuk dia?”  Jari telunjuk lurus pada wajah sendiri.
“Dah tu, siapa?  Nak suruh mak ngah, mak ngah nak siapkan sarapan.  Dah pukul 9.00 pagi dah ni.  Kebulur kita semua nanti.”  Selamba, mak berkata dan terus berlalu. 
Sampai hati.
Aku tarik muncung.  Nine pula sudah menyangkut tualanya pada sebatang tiang yang memang disediakan khas. 
“Awak mandi nantilah… tunggu ada air kejap lagi.  Biasa kejap je tak ada air.  Air paip hangat sikit,” suruh aku selamba dan aku letakkan timba pada penyangkutnya.
Baru hendak melangkah, Nine bersuara.
“Eh, tak naklah.  Saya dah biasa mandi pagi.  Ini pun dah kira lewat.  Lagipun, kalau ada air pun saya nak mandi air perigi.  Bukan ke ada orang tu ajak saya mandi sama-sama dekat perigi ke semalam?”  ujar Nine bersama kening yang terjongket sebelah. 
Aku kerutkan kening memandang dia. 
“Awak merepek, ya?!”
Why shoud I?”  Dia mendepangkan tangannya sedikit dengan rupa suci.
“Salah ayat semalam tu.  Awak pun laju je salah tafsir…” 
Tubuh Nine sedikit membongkok.  Kaki seluar track bottomnya disinsing hingga ke betis.  Dia menapak mendekati birai perigi.  Dijenguknya lama sebelum memandang aku.
“Saya nak mandi,” ujar dia sedikit merengek.
“Mandilah… apa kena dengan saya pulak?”  Aku dah mula memasang langkah hendak berlalu.
Tak mungkinlah hendak aku bertunggu-tangga di situ hendak menonton susuk tubuh anak teruna orang. 
“Pakai air ni?”  Jari telunjuknya lurus pada berbaldi-baldi air yang aku cedok.
“Ha’ah… dah cedok, tinggal simbah je…” 
Aku mencemik sedikit dan terus menapak. 
“Air panasnya?” 
Serta-merta aku tolehkan kepala ke belakang bila Nine sedikit terjerit. 
“Kenapa  manja sangat?  Saya tahu awak bukan takut sejuk.  Mengada dengan mak ngah, kan?” 
Dia angkat bahu dengan bibir terceber. 
“Apa nak buat… saya dah beli jiwa mak ngah.  Tinggal nak beli jiwa awak sepenuhnya je,” tukas dia.
Huh… “Beli tak beli.  Awak nak mandi, mandi.  Nanti nak sarapan.  Saya ada  homework nak buat…”
Kan cuti…”  Nine nampaknya kurang berpuas hati dengan kata-kata aku. 
Wajah dia nampak berkerut sana-sini. 
“Kerja macam saya ni, kalau cuti pun, tetap kerja… awak tahu, kan?”  tanya aku. 
Dia diam dan aku menyambung kata.
“Mandilah… jangan nak manja sangat.  Tak sesuai,” cemik aku bersama senyuman pada hujung bibir.
Nine tersenyum tawar.  Tanpa rasa.  Dia menekurkan wajahnya ke simen di sekitar perigi lama sebelum mengangkat wajah memandang aku pula.
“Tahu tak kenapa saya buat-buat manja?” 
Kening aku naik, bertanya.
“Sebab saya tak pernah dimanjai.  Tak tahu rupanya wujud perkataan manja tu dalam dunia ni,” ujar Nine berbasa-basi. 
Sengihnya kian pudar. 
“Saya juga sendiri, Nine,” ujar aku cuba memujuk wajah yang mencuka itu.
 “We’re different…”
Nine angkat wajah. 
“Awak ada mak ngah, Yani dan Amar…”  Lambat dia sebut nama Amar. 
Aku ketap bibir.  Terdiam terus.
“Tapi saya hanya ada awak sekarang…,” sambung dia dengan resah yang jelas terpancar dalam helaan nafasnya yang langsung tidak lancar. 
Ya Allah… Nine… 

... bersambung

RM : Bilalah nak tamat cerita neh?  Tetiba rasa L.E.T.I.H... ohmai phewww (lap dahi)

24 comments:

  1. mohon RM jangan letih menulis cerita ni, nanti kami semua rindu Nine and nanti RM akan semakin letih sebab kami semua asyik tanya bila nak sambung... kihkihkih :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul tu.......teruskan sambungannya yer RM

      Delete
    2. ya...setuju bangat!!! silalah sambung ye RM :-)

      Delete
  2. mahunya lps kena air perigi tuh, menggigil gigi atas bawah berketip ketip..

    ReplyDelete
  3. ah jgn letih ulu k...hehe...papepn thr bestla

    ReplyDelete
  4. ah jgn letih ulu k...hehe...papepn thr bestla

    ReplyDelete
  5. Dua2 sunyi...syg btul mak ngah kat dua2 tu...


    RM jgn letih menulis....peminat sntiasa support...

    ReplyDelete
  6. Jgn letih RM..makan bitamin banyak2 ya.. Up kan tenaga jari dan minda...

    ReplyDelete
  7. RM.....jgnlah letih utk kami semua yg sentiasa menyokong blog ijow nie.........

    ReplyDelete
  8. atau Nine yang menyebabkan umi dan ayah Naina kemalangan??

    ReplyDelete
  9. Nak bermanja rupanya c Nine ni... :D

    ReplyDelete
  10. tetiba berair mata ngan ayat sentap si nine nih..siannn..

    RM jgn le letih..sentiasa sokong RM dr blakg..chaiyookkk..

    ReplyDelete
  11. wah.. sedih pula dgr ayat Nine..... huhuhuhu

    ReplyDelete
  12. Yelah Rehan....jgnlah letih. Kami yg jengok tiap2 hari ni tak letih langsung pon.... :)

    ReplyDelete
  13. jgn risaulah!!.. RM sbrnya cuma letih layan intip si nine manja2 dgn naina kat perigi jerrr!!..

    ReplyDelete
  14. Janganlah begitu RM! Hehehe! Btw, I love you Nine! Hohoho! :D

    ReplyDelete
  15. kak RMjgn letih lagi....ktorg kan pembakar semangat akak..chaiyok2!!!!! smg akak terus sihat n success selalu untuk berkarya...

    ReplyDelete
  16. thanx kak rm...

    da trima bukmak..

    comel..suma novel 2 saya ada...

    nt nk leminate la...huhu

    ReplyDelete
  17. jangan laaaa letih kak Rm..cter nie tersangatlah bez....xsabar nak tunggu n3 baru..saya sentiasa support cter kak rm

    ReplyDelete
  18. hu...hu...hu...
    tersentuh saya ^_^

    nak lagi kak RM :D ;)

    ReplyDelete
  19. Biarpun cite ni x jthkn air mata sy tapi cite ni best. jgn ltih menulis utk kmi ya, RM. mcm2 pesoalan yg ada dlm kpla ni ttg kes ayah n umi naina. teringin
    nk tau family nain siapa. bgimn die jdi ank angkt tn benjamin. adakh die senarnya dalang dlm kes kemalangan tu? bgimn kesudahan cite ni ya? next n3 plzze.

    ReplyDelete