Saturday, November 12, 2011

Terlerai Kasih 43

BAB 43

“SEDAP air asam tu, Am?” tanya mak memecahkan hening makan tengah hari kami yang sepi.

“Sedap, mak. Terima kasih sudi buatkan untuk Am,” jawab Ilham manis.

“Bukan mak buat. Mak celurkan pucuk ubi je. Cicah air asam tu, Fiah yang buat,” ujar mak bersama senyuman yang digariskan kepada aku dan Ilham.

“Ya ke, mak?” Ilham buat muka terperanjat.
Dalam hati aku mencebik. Buat-buat tak tahu konon. Tapi, bila difikirkan memang dia tidak pernah tahu akan anugerah Allah padaku. Pandai memasak. Bagaimana dia mahu tahu sedangkan dia tidak pernah membenarkan aku menyediakan segalanya seperti isteri yang lain sediakan buat suami sebelum kami menjadi suami isteri lagi.

“Abang tak sangka pula Fiah memang pandai masak. Semua sedap,” ujar Ilham teruja.

“Fiah tu yang lain pun pandai, Am,” sampuk Abang Zali tiba-tiba.
Aku alihkan pandanganku kepadanya. Ilham juga sama. Begitu juga dengan mak dan Kak Anah. Hanya Amira dan Amir yang masih menikmati hidangan di dalam pinggan mereka.

“Apa yang Fiah pandai, bang?” tanyaku terketar-ketar.
Dapat ku rasakan, Abang Zali cuba membuat onar lagi kali ini. Tidak cukupkah bayaran yang aku berikan pagi tadi?

“Mana abang tahu. Fiah kan pandai dalam semua benda. Berlakon pun pandai, kan?” Dia angkat kening padaku.

“Abang, jangan nak mengarut depan rezeki,” tegur Kak Anah keras.

“Eh, mengarut apa pulak?” bentak Abang Zali sedikit meninggi pada isterinya.

“Berlakon apa ni, Zali. Cuba cakap dekat mak.” Mak sudah bersuara.
Aku mula tidak sedap hati. Risau benar andai Abang Zali terlepas cakap tentang semua ini. Mahu saja aku simbah kuah panas ini ke muka Abang Zali. Dia memang berhati binatang. Hati yang langsung tiada belas kasihan.

“Tak ada apalah, mak,” nafinya. Dia ketawa.

“Zali saja bergurau. Nak ceriakan makan tengah hari ni. Diam je semua.” Dia gelak lagi sendirian.
Sedangkan aku telah dipanah oleh sepasang mata mak yang semakin tajam mrenungku. Penuh dengan pertanyaan.

“Em, Fiah ni memang pandai berlakon, mak,” sampuk Ilham pula.

Dia tenang saja mengerling ke arahku yang berada di sisinya. Aku mula takut. Tidak mahu mak tahu segala perkara yang buruk itu. Dalam hatiku tidak putus berdoa agar Ilham tidak membuka kekeruhan hubungan kami.

“Fiah ni kat luar je berlakon kuat tak ingatkan Am masa Am tinggalkan dia. Padahal tiap-tiap malam telefon Am merengek suruh Am balik,” ujar Ilham lagi.

Mata kami bertentangan seketika. Terasa perit tekakku hendak menelan makanan yang telah lumat aku kunyah. Terasa sesak dadaku. Pantas aku capai gelas air kosong itu dan aku sua ke mulut. Meneguk air itu perlahan-lahan bagi menghilangkan rasa sesak di dalam dada.

Wajah Ilham aku jeling lagi. Terkesan oleh mataku akan sengihan manisnya pada kami semua. Semakin terbunuh rasanya hati dengan senyuman itu. Mahu saja aku katakan padanya agar tidak terus menikam tepat ke jantungku dengan senyumannya itu. Hati aku ini masih perlu hidup demi keluarga tersayang.

“La, mak ingatkan apalah tadi.” Mak geleng kepala. Dia mengeluh kecil. Aku juga terpaksa tersenyum pahit.
Mata Kak Anah aku pandang sekilas. Ada kesedihan yang tergambar daripada kesayuan pandangannya. Dia lalu melirik ke arah Abang Zali yang sedang berselera sedangkan Amira tunduk menguis nasi di dalam pinggan. Pastilah dia dapat menangkap maksud ayahnya itu. Menyindirku dalam kiasan.

“Betullah kot, Am. Masa Am tak ada beberapa hari ni, Fiah ni termenung je. Air muka tu sedih manjang. Bila Am balik ni, mak rasa dia dah senyum balik dah,” beritahu mak pada Ilham.

Suapan Ilham terhenti. Dia kalih padaku seratus peratus. Aku pula yang naik malu dengan tindakannya itu. Tiba-tiba saja. Di meja makan, di depan mak, Kak Anah, Abang Zali dan anak-anak buahku dia boleh merenungku sedemikian. Kononnya menggambarkan tindak balas di luar batasan dengan kenyataan mak tadi.

“Kenapa?” soalku sepatah.

“Betul ke, apa yang mak cakap tu?”

Aku pandang mak, mak pula pandang aku. Aku angkat kening pada Kak Anah dan Kak Anah jungkit bahu tanda tidak mengerti.

“Mak cakap apa?” Aku benar-benar tidak reti dengan sikapnya.
Rasanya tidaklah penting mana kata-kata mak itu tadi. Sekadar naluri seorang ibu yang tepat namun aku tetap juga menidakkan segalanya.

“Mak cakap sayang rindukan abang?” tanya dia telus.
Rasa memerah wajahku kala ini bila mak mula ketawa. Kak Anah mencebik dan Abang Zali sudah pastilah tersungging dengan sengihan sinis pada bibirnya.

“Err, orang tak rindulah. Orang ingat je,” ujarku memberi jawapan tergantung.

“Mengaku jelah, Fiah. Mak tahu. Mak dapat rasa. Pengantin barulah katakan. Baru seminggu kamu berdua jadi suami isteri. Mak lalu dulu,” sampuk mak lalu dia bangkit mengangkat pinggannya ke sinki.

“Err, bukan macam tu mak,” protesku perlahan.

“Bukan macam mana lagi. Dah nama pengantin baru. Belum sempat apa-apa dah kena tinggal dengan suami, ya Fiah?!”
Hampir terjojol anak mataku bila Abang Zali bersuara. Tidak sudah-sudah hendak memberitahu keadaanku secara tidak langsung pada mak.

“Err, bukan macam tu lah,” dalihku malu-malu.
Aku benar-benar malu. Tidak pernah berasa begini. Tapi, hari ni aku rasa lain macam pula bila Ilham membiasakan diri dia abang dan membiasakan diriku sayang. Di depan mak dan keluarga yang lain.

Aku lihat Abang Zali mencebik. Sewaktu aku melihat wajahnya, dia menggerakkan bibirnya tanpa suara tapi masih dapat aku fahami maksud di sebaliknya. Tidak lain tidak, ugutan lagi. Benar kata Kak Anah, aku tak mungkin dapat lepas daripada cengkaman Abang Zali kini.

“Malu-malu pulak dia” usik mak. Aku senyum simpul.
Ilham di sebelah aku jeling dan pandangan kami bertaut lama. Kala itu, rasanya hanya aku dan dia di situ. Tiada yang lain. Riak matanya jelas menggambarkan cinta yang menggebu padaku dan aku pula, merasakan hangatnya renungannya bagai dulu.

“Ehem…ehem…” Aku dengar suara Kak Anah berdehem.
Wajahnya kelat. Tak pernah mahu senyum lagi selepas dia mengetahui hakikat sebenar antara aku dan Ilham.

Aku pantas jatuhkan pandanganku ke pinggan yang masih berbaki. Belum pun sampai separuh nasi itu aku nikmati, perut terasa kenyang tiba-tiba. Rasa laparku hilang dijamu renungan Ilham sebentar tadi. Rasa indah benar.

Mak ketawa kecil lalu dia teruskan suapan. Nampak benar dia sedang menikmati kebahagian lebih daripada menikmati hidangan tengah hari ini. Tanpa sedar bibirku menguntum senyum melihat riak bahagia mak.

Alhamdulillah, ya Allah! Di atas kebahagian yang engkau kembalikan buat ibu hamba yang tercinta. Hamba mohon, kekalkanlah senyuman itu dibibirnya. Jauhkanlah dia daripada derita. Sebagai gantinya, Engkau ambillah kebahagiaan hamba untuk digantikan dengan kedukaan mereka yang hamba sayang! Doaku di dalam hati.

Wajah Ilham aku kerling dengan ekor mata. Dia langsung tidak menyentuh hidangan lain kecuali ikan bakar yang aku siapkan dan juga pucuk ubi celur beserta dengan air asam itu. Selain hidangan itu, yang lain langsung tidak bersentuh.

“Kenapa tak makan lauk lain?” tanyaku separuh berbisik.

“Abang nak makan yang sayang masak je sementara berkesempatan ni,” balasnya juga berbisik.
Hatiku tertusuk sembilu. Tidak dapat menerima sebenarnya kenyataan ‘sementara masih berkesempatan’ itu biarpun berkali-kali dia telah aku sakiti hanya kerana rasa dendam yang mahu menebal di dalam diri.

Lantas, aku tunduk menguis nasi di dalam pinggan. Senyumku tadi mati dengan sendirinya. Sudah berkali aku ingatkan pada diri, usah tersenyum. Usah mengharapkan kebahagiaan kerana bahagia itu tidak sudi hendak bersamaku biarpun seketika.

Berkali-kali juga aku ingatkan diri agar redha menerima. Mak selalu berpesan, yang terjadi tidak pernah silap. Segala yang takdir aturkan buatku juga tiada khilafnya. Yang salah hanyalah diriku sendiri yang seringkali menidakkan takdir.

Cuba menongkah arus deras sedangkan aku tidaklah berkudrat mana. Terlalu lemah sebenarnya. Kelopak mataku terasa suam. Sukar hendak aku kawal air mataku kala ini.

Mahu saja aku mengalirkannya andai tidak memikirkan kami semua berada di depan rezeki yang Allah kurniakan. Tidak bersyukur nanti menangis di depan rezeki.

Kenapa hamba mesti diduga begini, Ya Allah? Cukup kuatkan hamba untuk menghadapinya? Hamba cinta dia. Dan hamba tahu, hadirnya rasa cinta ini adalah kerana izin-Mu. Namun, mengapa bila aku terasa dekat dengan cinta dia, semakin jauh pula kau bawa kasih itu pergi daripada hamba?

Hatiku semakin pedih merintih. Bukan hendak menyalahkan takdir. Jauh sekali menuding jari ke arah arwah ayah dan Kak Anah yang telah menyebabkan keluarga dipandang serong. Malah tidak mungkin aku mengeluh kerana lahir di dalam keluarga sebegini. Tapi, mengapa selepas dia berkata, ya dan aku juga angguk mengiyakan, Ilham kemudiannya menafikan hak itu pula?

Menodai cinta kami dengan sikapnya yang berubah dalam sekelip mata dengan begitu ketara. Menuduh aku perempuan jalang. Membangkitkan kembali hakikat yang aku adalah daripada keluarga yang tidak bermoral. Melemparkan aku jauh ke lembah kehinaan yang paling curam.

Bimbang juga andai aku tidak dapat mendaki ke tebing kembali. Bagaimana dengan nasibku? Sudahnya aku mengeluh lagi di luar sedar.

“Kenapa?” tanya Ilham.

“Err.. kenapa apa?” Soalan berjawab soalan.

“Sayang mengeluh, kenapa?” Kata-katanya terus mendera hati wanitaku.
Mungkin sudah tiada cinta di hatinya buatku, tapi dia tidak tahu betapa dalamnya cinta yang terpahat di hatiku untuknya.

“Tak ada apalah.” Aku bangkit mengangkat pinggan ke sinki dengan nasi yang masih tidak luak.

“Cepatnya. Dah siap ke?” tanya Ilham lagi. Suapannya juga terhenti.

“A’ah, Fiah dah kenyang.” Suaraku tenang.
Dari masjid berdekatan, sayup kedengaran azan menandakan masuknya waktu Zohor. Syahdu saja menerjah gegendang telingaku lalu turun ke hati. Tepat berdiam di situ membuatkan aku sedar akan diri yang suka mengeluh sejak akhir-akhir ini. Pantas aku beristighfar kerana hampir menjadi hamba yang tewas.

“Fiah nak masuk bilik dulu. Nak solat, berehat dulu kejap sebelum bertolak balik,” beritahuku lagi pada semua.
Mak mengangguk. Kak Anah hanya duduk saja. Sibuk melayan Amir yang meminta sedikit manja itu. Aku senyum pada Amira yang juga memandangku sewaktu aku melaluinya. Renungannya sayu. Lalu dia jeling ke arah ayahnya. Perlahan aku tepuk bahunya. Mohon dia mengerti dengan maksudku.
******
DAUN pintu tidak sempat aku rapatkan bila Ilham terlebih dahulu menahan dengan tangannya.

“Kenapa makan sikit?” tanya dia.

Aku tidak menjawab sebaliknya aku duduk bersila di lantai. Mengemas kembali beberapa barang yang aku rasakan perlu untuk kehidupan bujangku nanti.

“Kenapa?” tekan dia sekali lagi.

“Tak ada selera makan dengan awak,” jawabku tanpa memandang dia.

“Dah tu kau nak makan dengan siapa?”

“Dengan sesiapa saja tapi yang pasti bukan dengan awak,” tegasku lagi.
Ilham mendengus. Dia kembali menanggalkan t-shirt dari tubuhnya. Aku jeling sekilas. Nampak basah dengan peluh.

“Kenapa mesti nak bersusah payah rasa tak selesa duduk rumah kami yang buruk ni? Tak ada air cond, siling pun tak ada. Tak pasal-pasal awak berpeluh. Kan rasa tak selesa.”

Dia ketawa nipis. Tawa yang ku dengar agak ikhlas. Tawa yang pernah aku dengar satu waktu dulu.

“Kenapa tanya? Risau, ya?” tanya dia disulami senyuman.
Aku membalas senyum itu juga. Rasa bahagia menjalar ke dalam urat nadiku lalu aku angguk sekali.

“Risau awak tak selesa dengan keadaan macam ni sedangkan awak dah biasa selesa dengan kemewahan. Tapi hari ni, terpaksa pula berpanas sampai berpeluh-peluh,” jawabku ikhlas.

Tanpa sedar, kami masing-masing sudah berlembut. Sudah mahu bertutur dengan bahasa yang agak mesra walaupun kedinginan hubungan kami masih terasa.

“Aku okey je. Bukan tak biasa berpanas. Dekat site pun lagi panas daripada ni,” jawabnya sambil mengelap dadanya dengan t-shirt itu.

Aku bangkit menuju ke almari. Tuala milik ku itu, aku hulur padanya. Tidak selesa rasanya membiarkan dia mengelap badan menggunakan bajunya itu. Pastilah sudah kotor.

“Lap pakai tuala ni. Baju tu mesti dah kotor,” ujarku selepas dia menyambut tuala kuning itu.
Dia angguk tanda mengerti lalu dia letakkan t-shirt itu tadi di birai katil. Tanganku ringan saja mengutip.

Mungkin tanggungjawab sebagai isteri telah aku terapkan dalam diri ini biarpun keadaan rumah tangga kami masih tidak tahu di manakan permulaan dan penghujungnya.

“Aku tanya satu soalan boleh?” Ilham bertanya lembut.
Biarpun tidak semesra mana tapi setidak-tidaknya dia sudah tidak mengherdik dan menengking. Aku tidak tahu apakah yang menyebabkan dia berubah lagi. Tapi, aku syukur andai benar dia sudah mahu bercakap mesra. Cukuplah sudah andai tidak menghina aku.

“Tanyalah.” Aku labuhkan duduk di bangku meja solek dan dia pula masih setia di birai katil.

“Tadi masa makan tu, kau ikhlas cakap macam tu?”

“Err, yang mana?” Wajahku berkerut. Dalam banyak-banyak perkara yang aku cakapkan, aku benar-benar tidak tahu yang mana satu.

“Yang kau panggil aku abang tu. Lepas tu yang mak cakap kau rindu aku tu?” Dia nampak malu-malu mengucapkan perkataan rindu itu.

“Err, tu dah jadi dua soalan. Tadi kata satu je.” Aku saja hendak rasa bergurau dengannya lalu aku berkata begitu.

“Kalau dua pun kau tak boleh nak jawab ke?” Dia sudah mula merungut. Aku ketawa nipis.

“Saya tak kata tak boleh, tapi saya tanya jelah. Tak ada masalah pun,” selaku tenang.

“Boleh aku tahu jawapannya?” Dia jungkit keningnya yang hitam lebat itu.

“Saya panggil begitu sebab kita depan keluarga saya. Saya tak sedia lagi nak bagi tahu mak saya pasal hubungan kita yang tak ke mana ni.” Aku menjawab ikhlas.

Ilham nampak tidak puas hati. Andai tidak, masakan rahangnya sudah mula turun naik.

“Sebab keluarga kau ada sama, sebab tu kau panggil aku abang? Macam tu?” Soalannya itu menerima anggukanku saja sebagai jawapan.

Sudah tiada sebab lain rasanya biarpun hatiku benar-benar ingin memanggilnya begitu tatkala kami sah untuk masing-masing. Tapi, nampaknya aku tiada berkesempatan.

“Kau rasa aku panggil kau sayang tu, sebab keluarga kau jugak ke?” tanya dia lagi dan aku mengangguk juga lagi. Ilham mengeluh.

“Sampai situ saja kau fikir, kan Wafiah?” Dia raup wajahnya.
Aku mula tidak faham. Terbelit lagi dengan sikap Ilham yang tidak terjangka.

“Habis tu awak panggil saya macam tu ikhlas ke?” Kali ini biar aku pula yang bertanya dan aku mahu dia pula menjawab.

“Ya.” Ilham angguk.

Aku pantas tekup mulut. Terkejut dengan anggukan dan jawapannya sebentar tadi. Bagaikan tidak dapat aku percayai. Aku tahu Ilham sekali lagi mahu berlakon. Mahu berubah menjadi orang lain lagi.

“Saya tak percaya!” tekanku.

“Kenapa mesti tidak? Kenapa kau tak dapat rasakan keikhlasan hati aku bila aku panggil kau sayang?”

“Selepas apa yang berlaku antara kita, tak semudah itu saya mahu percaya, Ilham. Terlalu banyak perkara yang tidak terungkai antara kita. Awak suka bertanya sedangkan saya sendiri tidak dapat membaca apa yang ada dalam fikiran awak. Kalau dulu awak sentiasa cakap saya sukar diduga, tapi sebenarnya awak tu lah yang lebih sukar untuk saya duga. Kenapa mesti mahu berubah dalam sekelip mata dan sekelip mata pula berubah lagi?”

Wajah itu aku renung. Bila dia diam tidak terkata apa, aku mahu mengambil peluang ini untuk meleraikan kekusutan antara kami sebelum kasih kami yang tidak pernah terikat kemas ini terlerai juga nanti.

“Saya tak tahu apa nak jawab setiap kali awak tanya saya ada apa tak nak bagi tahu awak. Saya memang tak tahu. Kalau betul awak rasa saya ada sesuatu yang nak diberitahu pada awak, kenapa awak tak ungkapkan saja apa yang awak rasa tu? Masa tu senang saya iyakan aku saya tidakkan.je. Bila awak asyik bertanya macam tu saya pelik. Sampaikan saya dah jadi tak faham dengan diri sendiri dah!” Aku raup wajahku usai berkata-kata.

Kini, aku berharap agar Ilham tidak diam. Aku mahu dia bersuara juga.

“Kenapa pulak kau jadi tak faham dengan diri sendiri?” Soalan Ilham polos. Aku menggeleng kecil. Letih dengan karenahnya. Terlalu penat kini.

“Saya tak faham dengan diri sendiri sebab awak, Ilham. Kita dah janji nak sebelum kahwin lagi. Tapi, awak mungkir. Awak kata tak pernah harapkan saya hadir dalam hidup awak lagi tapi awak balik semua walaupun awak cakap dekat mak saya suruh saya balik sendiri. Lepas tu awak lukakan tangan awak dan saya yakin awak semata-mata nak menarik perhatian saya, kan?”

Anak mata redup itu aku renung lagi. Dia diam. Menggeleng tidak, mengangguk juga tidak.

“Awak herdik saya sesuka hati awak. Awak kata saya macam-macam dan awak nak saya percaya bila awak cakap awak ikhlas panggil saya sayang tadi?” tanyaku beremosi.

Kelopak mataku terasa suam. Ada air jernih yang sudah meniti di tubir mataku. Bila-bila masa saja akan tumpah di depan Ilham setelah aku berjanji pada diri sendiri tidak mahu membenarkan air jernih itu menitis lagi.

“Apa yang saya dah buat sampai awak berubah macam ni, Ilham?” tanyaku dengan suara yang lemah. Air mataku laju mengalir.

“Kenapa buat saya macam ni? Kalau betul awak nak pergi, kenapa awak nak balik lagi? Kalau betul benci dekat saya, kenapa mesti macam ni?”

Sesak dadaku menahan esakan agar tidak meninggi. Ilham masih merenungku tanpa bergerak. Sesaat pun tidak beralih mata itu dari wajahku.

“Mana janji awak nak ceraikan saya? Tolonglah, Ilham. Jangan dera saya macam ni sekalipun saya berdosa pada awak. Lepaskanlah saya seperti mana yang telah kita janjikan sebelum ni,” ujarku separuh merayu.

Rasanya aku sudah cukup kuat hendak menghadapi Ilham tapi rupanya aku mash terlalu lemah. Lemah ditimpa dugaan lalu aku bawa wajahku menekur ke lantai. Membiarkan air mataku menitis laju.

Dia bangkit mendekat padaku. Bila jemarinya singgah di kedua belah bahuku. Terasa erat genggaman itu. Dia memaksa aku berdiri sedangkan segala sendiku sudah lemah benar. Tidak mampu lagi menampung tubuhku yang tidak sebenar mana ini.

“Kenapa buat Fiah macam ni?” tanyaku lagi dengan esakan yang tertahan-tahan.
Bila dia merenungku, aku sudah tidak mampu melihatnya dengan jelas. Kabur dengan air mata.

“Ceraikan Fiah. Fiah boleh hidup sendiri,” sambungku lagi.

“Perkataan cerai tu tak akan ada dalam kamus hidup kita,” gumamnya ke telingaku. Serta merta itu Ilham paut aku ke dalam pelukannya.

~~~>bersambung

17 comments:

  1. sweetnyer ilham..cube brterus terang, nk tgk wafiah ngn ilham bahagia..ishh x suker btul la ngn abg zali tu, bu at org mympah jek..

    ReplyDelete
  2. apa yang pasti..jelas dimata...EGO mnguasai diri

    ReplyDelete
  3. i warn u ilham..take it or leave it...huh! bear in ur mind ehhh.....buat fiah bukan2..aku dtg bwk fiah pergi...hilang terus dr hidup kau...hahahaha (gelak jahat)....hati2 kak An....

    ReplyDelete
  4. panjang meleret2 ilham nie...seringkali mengikhlaskan diri dgn kata2 yang mungkin akan membuatkan wafiah sering dalam kedukaan...sedangkan diri penuh dgn tanda tanye

    ReplyDelete
  5. nak lg....harap lepas ni hubungan mereka ok.

    ReplyDelete
  6. huhuhuhu.best sangt nk lg rehan..

    ReplyDelete
  7. aaahh ! ilham sweeet sangadd , tapi kenapaaa egoo tu tingggi menjulangg ? Aigoo , cepuk laju laju kangg Ilham ni . kesian kat Wafiah . Btw , sambungggg lagi . Cepat cepat tauu

    ReplyDelete
  8. nak lagi nak lagi .
    ilham ego ! benci2 ! kesian tau kat wafiah .
    nanti dia lari baru tau .
    cepat sambung eh . tak sabar nak tau lagi .
    anyway, terbaek ar !

    ReplyDelete
  9. apasalah mamat tu tak nak berterus terang apa yg terbuku didalam hatinya..kenapa masih nak berahsia..sedangkan dia mahu fiah meluahkan apa yg dia rasa..yg telah fiah lakukan..apalagi pintanya pada sekeping hati yg setiap detik dan masa disakiti..sudah sudahla menngulamkan kesedihan buat fiah..
    Akak harap mamat poyo tu luahkan saja apa yg menyesakkan minda dan tercuit hatinya menyebabkan perlakuannya berubah..tak takut kah mamat tu yg minah tu kalo dia berlalu pergi..sukar untuk dia meraih kembali dirinya..sudah sudah lah ..umur pun da menginjak belajar befikir secara rasional..seorang yg berkedudukan dipejabat takkan menjadi selemah ini kan..setiap masalah..pasti ada jalan keluarnya..so..lu pikirla sendiri..ek..

    salam
    kak idA

    ReplyDelete
  10. alaaa...baru nak feeling, kena sambung lak..ish..:( sambung cepat pls...;) tq..:)

    ReplyDelete
  11. KAk..go2..,mcm nk bbaIK smula nmpaK!sweet & thaRU!

    ReplyDelete
  12. ego tu ilham...adess...hehe..sweet lak last tu...

    ReplyDelete
  13. hadui mmg lalang betul ilham ni kan.huhuhu kesian fiah

    ReplyDelete