Wednesday, November 16, 2011

Terlerai Kasih 50

BAB 50

MATA suamiku, aku renung lama. Dia sekadar tenang tanpa senyuman. Tapi, amarah di dalam yang mungkin sudah meletus tiada siapa yang tahu. Bila aku rapati dia, dia terus merangkul pinggangku rapat padanya.

“Abang jangan buat pandangan curiga macam tu. Jangan cakap abang dah fikir bukan-bukan, ya?” Aku mengingatinya. Ilham masih berwajah masam. Hati ini sudah dimamah risau.

“Abang jangan cakap abang nak cem…”

“Abang tak kata apa pun,” pangkasnya tenang. Bibir itu menguntum senyum akhirnya.

“Tapi, memang ada benda pun yang abang nak dari sayang ni.”

Lirikan matanya nampak lain macam. Bila dia tersenyum aku sudah dapat mengagak apakah yang tersembunyi di sebalik hatinya itu.Aku pantas tekup telinga dan memejam mata.
“Fiah tak nak dengar, memang tak nak dengar.” Aku geleng berkali-kali. Ilham ketawa.

“La, apa yang nak apa yang tak nak. Abang tak sempat cakap apa lagi, sayang dah geleng-geleng macam ni. Orang nak ajak dia keluarlah. Bukan buat apa pun,” ucap Ilham dengan suara yang mengejek. Nafasnya hangat menyapa wajahku kala ini.

Perlahan-lahan aku buka mata dan serentak itu Ilham mengucupku sekali. Terus dia ketawa.

“Itulah yang abang nak tadi,” selanya.

“Bencilah abang ni,” cebikku marah-marah manja.

“Tapi, abang sayang. Macam mana?” tanya dia polos.

“Fiah tak sayang abang ke?” Kali ini dia dah tayang wajah simpati.

“La, siapa cakap tak sayang. Suami ni,” jawabku memujuk.

“Kalau sayang, sila buktikan,” ujarnya berbisik.

“Abang ni memanglah kemaruk. Asyik ke situ je perginya.”

“Benda tak pernah dapat, dah dapat mestilah sayang nak lepas,” selanya bersama tawa.

Pinggangku makin erat dipeluknya. Aku mula naik geram dengan suamiku ini. Tidak kira tempat dan waktu. Janji ada aku, pastilah dia akan menunjukkan kemesraannya.

“Abang ni, malu la sikit. Kat rumah ni. Adik beradik abang ada. Mama, abah, mak semualah ada. Dia orang nampak nanti,” larangku sambil cuba meleraikan pelukan kemas Ilham.

“La, kat rumahlah nak bermesra, yang. Tak akan nak bermesra dekat stadium masa tengok bola pulak?” Dia sengih sinis. Aku ketap bibir menahan geram.

“Abang ni, kan… mengada,” marahku. Dia ketawa.

“Oh ya, yang. Abang tanya tadi, mama cakap apa semalam sayang tak bagitahu lagi. Abang tanya mama tadi, mama kata tanya Fiah. Sayang dengan mama ni ada rahsia, ya?” Ilham mengangkat jari telunjuknya padaku.

Hampir saja aku terbeliak biji mata mendengarkan kata-kata Ilham. Aku sendiri tidak tahu jawapan bagaimana yang harus aku berikan pada Ilham tentang adiknya yang seorang itu. Tentang apa yang sedang mama risaukan.

“Err, mama cakap Fiah tahu ke?” tanyaku, cuba berurusniaga sebenarnya.
Kalau boleh, aku tidak mahu menjawab soalan itu. Langsung tidak sudi hendak berbicara tentangnya. Ilham mengangguk dan hatiku pula mengeluh.

“Err, mama tu rasa Izham tu ada sukakan seseorang tapi segan nak cakap. Mama kata biar dulu, kita tunggu dia mengaku sendiri. Tu kot mama tak nak semua tahu dulu,” beritahuku.

Mungkin sedikit berselindung tapi begitulah pada dasarnya. Aku harus aku dengan kehendak mama. Hendak membiarkan saja perkara ni sehingga empunya diri sudi meluahkan.

“Patutlah abang nampak dia lain macam je. Asyik tengok kita je. Mesti dia jealous tengok kita mesra. Tak sabar nak kahwin jugak la tu.” Ilham ketawa mengekek.

“Dah tu tadi tu kenapa pulak?”

“Emm, tadi tu dengan Izham tu, ya?” tanyaku kembali. Ilham mengangguk.

“Iz bagi ni ha,,” Aku tunjukkan telefon bimbit Iqram padanya.

“Tadi, Aqam nak tunjuk apa entah dekat Fiah. Lepas tu Iz ambil sebab dia kata abang suruh Aqam masuk. Lepas Aqam masuk, dia bagi balik pada Fiah,” beritahuku jujur. Ilham mengangguk lagi.

“Amboi pengantin baru ni…,” tegur abah tiba-tiba.
Kami berdua serentak berpaling ke arah abah dan mama yang sedang meniti anak tangga menuju ke arah abah.

“Mari sini mamanya. Tengok anak awak ni. Tak kira tempat, nak menempel ke isteri je kerja dia. Jangan kamu tak masuk pejabat lepas tu cari alasan tak nak out-station sudah lepas ni, Am,” usik abah lagi.

Aku dah mula rasa kulit mukaku menebal. Biarpun berkali aku cuba melepaskan pelukan Ilham di pinggangku, dia semakin kuat menarik aku rapat padanya.

“Abang ni, malulah. Eii, geram dah Fiah dengan abang ni,” rungutku perlahan. Ilham begitu jugalah dia. Senyum saja.

“Am, dahlah tu. mama tengok Fiah tu tak selesa langsung. Kamu ni, karang mama suruh Fiah pakai gam gajah kat badan dia, terus melekat dengan kamu nanti, kamu nak?” Mama tersenyum tipis.

“Haa, cepatlah mama sapu. Am lagi suka,” jawabnya langsung tiada rasa malu.

Ya Tuhan, sabarkanlah hati hamba dalam melayani karenah suami hamba ini. Ucap hatiku. Sesekali terasa penat juga dengan dia. Mesranya lain macam. Tak kira masa.

“Abang ni, kan… “ Aku cubit lengannya. “…memanglah gatal, kan?” ujarku dengan gigi yang diketap.

“Abang gatal dengan sayang je,” bisiknya seraya melepaskan rangkulan lalu terus menarik tanganku memaksa aku mengikuti langkahnya keluar daripada rumah.

“Ha, nak ke mana pula tu?” jerit abah agak kuat.

“Malam ni nak doa selamat kamu, kamu berdua nak keluar pulak,” tempik mama pula.

Ilham ketawa. “Kami nak keluar kejap je. Makan angin petang.”

Sudahnya, aku tidak dapat tidak, mengikut jua. Bila aku berpaling hendak melambai kepada mama dan abah, tanganku yang baru hendak terangkat terhenti sekerat jalan tatkala mata ini menangkap susuk tubuh Izham yang berdiri di balik dinding tangga sedang meraup wajahnya.
*****
“KITA nak ke mana, bang? Dah dekat lewat petang dah kita ni. Malam karang ada kenduri doa selamat lagi. Esok pun ada lagi majlis,” ucapku pada Ilham yang tenang memandu.

“Kejap je. Ni dah sampai pun,” balasnya seraya memasuki tempat letak kereta di Dataran Glomac, Kelana Jaya.

“Kita jumpa orang kejap. Lepas ni kita terus balik, ya.” Ilham memujuk aku yang sedang kerisauan.

Sudahlah segala persiapan langsung kami tidak bantu, ini pula di akhir-akhir waktu, Suamiku ini tahu merancang saja. Lepas itu sesuka hati dia mengarah itu ini dan sudahnya dua orang adiknya itulah yang menjadi mangsa.

Sewaktu kami keluar tadi, aku terpandang juga Iqram yang terkial-kial mengusung permaidani dan mengemas ruang keluarga. Keluargaku pula pastilah sedang berehat.

“Kita nak jumpa siapa ni? Abang jangan cakap nak jumpa client masa ni. Fiah tak ada report nak bentangkan. Dah lama tak masuk office ni,” ujarku beriak risau.

Dia bukan boleh kira. Suka dengan kejutan. Mana tahu kala ini mengejutkan aku dengan pertemuan dengan pelanggan dan meminta aku memberikan status terkini perjalanan kewangan. Naya aku dibuatnya.

“Sayang ni…” Ilham ketawa kecil. Dia lantas keluar dari perut kereta dan aku juga mengikut sama.

“Nak jumpa siapa ni, bang?” tekan aku lagi sekali.

Sudah rasa risau la pula. Hati ini bagaikan sudah dapat mengagak akan apa yang dirancangkannya. Tadi dia memang mengajak aku keluar. Adakah kerana Fatehah?

“Err, nak jumpa Fatehah, ya?”

“Kita selesaikan sekarang juga. Abang dah tak nak bertanggung. Makin lama, makin parah pula budak tu. Abang tak kisah dia nak parah ke tak, tapi abang tak nak dia terus fikir Fiah yang salah. I just can’t accept it.”

Dia terus menarik tanganku menuju ke Darul Ehsan Corner. Sebuah restoran di deretan bangunan Glomac.

Bila melepasi pintu restoran, dari kejauhan mata ini sudah dapat menangkap wajah murung Fatehah. Tunduk saja sambil memainkan straw di dalam gelasnya.

“Abang.” Aku tarik lengan Ilham memaksa dia berhenti sama.

“Kenapa?”

“Fiah takut,” ujarku dengan wajah yang sedikit berkerut.

Aku tidak tahu apa yang harus aku takutkan. Yang pasti, telinga ini masih terasa pedih menerima herdikan dia dulu. Masih jelas dan masih berdengung. Puas juga aku usir, tapi tidak pernah mahu hilang.

Takut juga rasa sedih itu telah bertukar menjadi dendam. Tapi, rasanya tidak mungkin kerana aku benar-benar ikhlas melepaskan segalanya pergi. Benar tindakan Ilham untuk kami selesaikan segalanya daripada biarkan perkara ini terus berlarutan dan membiarkan Fatehah terus memandang serong ke arahku selaku isteri kepada majikannya.

“Sayang nak takut apa? Kita bukan datang nak gaduh. Kita datang nak selesaikan secara baik. Kita bersemuka. Abang pun nak tahu apa yang sebenarnya Fatehah nampak masa dekat tangga kecemasan dulu tu. Abang sendiri yang call dia, minta dia datang. Dah dia datang ni, mesti dia okey dah tu,” ucap Ilham memujuk. Bahuku dipeluk kemas. Bagaikan memberi keyakinan buat diri ini.

“Mungkin dia datang sebab abang suruh. Abang kan bos dia,” protesku perlahan. Masih ada rasa tidak puas hati sebenarnya. Bermacam andaian yang sedang melalui benakku kala ini.

“Nur Wafiah, permaisuri di hati suami…” seru Ilham lembut.

“Tak kisahlah sebab apa pun. Janji dia datang. Abang tak kisah kalau kata dia nak letak jawatan terus pun lepas ni. Janji kita dapat betulkan. Sekarang ni, Fiah adalah keutamaan abang. Yang lain tak penting dah. Banyak yang abang kena lakukan untuk tebus balik kesilapan abang yang tuduh Fiah melulu sebelum ni. Kita selesaikan hari ni, ya sayang?” Dia terus memujukku. Pipiku dielus sekali.

Sudahnya aku mengangguk jua dan dengan langkah yang berani-berani takut, aku mengikut juga Ilham mendekati meja Fatehah.
“Assalamualaikum, Tehah,” ucap Ilham mesra.

Fatehah panggung kepala dan tatkala mata kami bertentangan, aku terkesan kesedihan yang ada di balik mata itu. Langsung tiada senyuman buatnya sedangkan aku sedari tadi tersenyum padanya.

“Kenapa bos nak jumpa saya?” tanya dia tanpa menjawab salam.

Kami berpandangan sesama sendiri dan bila Ilham mengedipkan matanya sekali buatku, aku angguk jua Kami sama-sama melabuhkan duduk di hadapannya. Dia langsung tidak memandangku. Jika tidak melihat ke arah Ilham, matanya akan dihala ke arah lain.

Hati ini terasa perit tiba-tiba. Masih terasa yang Fatehah tidak sudah mahu menyalahkanku tentang Fazlee.

“Maaf ganggu awak masa cuti ni. Tapi, rasanya eloklah kita bincang segera perkara ni. Tak elok nak tunggu lama-lama. Saya nak Tehah ceritakan, luahkan semua apa yang awak pernah nampak dan apa yang awak rasa sekarang pada isteri saya. Saya tak nak timbul macam-macam hal lagi di depan hari. Awak bekerja dengan saya, Tehah. Jadi saya akan rasa tak selesa kalau awak tak sukakan isteri saya,” ujar Ilham panjang membuka bicara.

“Kenapa bos masih sudi nak terima perempuan murah macam ni?” tanya dia pada Ilham.

Aku ketap bibir. Aku lihat Ilham juga terkejut dengan soalan itu. dia genggam jemariku erat.

“Kalau betul dia perempuan murah, saya nak bukti Tehah. Saya nak awak ceritakan semula apa yang awak nampak hari tu. Kita bersemuka. Senang, kan?” pujuk Ilham tenang.

“Apa yang saya beritahu bos itulah yang saya nampak,” jawabnya sedikit marah.

“Tapi, isteri saya cakap lain. Awak pasti awak tak salah nampak dan apa yang awak beritahu saya tu betul semua?”

“Saya tak tahu,” jawab wanita di hadapanku ini. Riaknya sudah berubah mendung. Mata bulat itu mula digenangi air jernih.

“Kenapa mesti tak tahu sedangkan awak pernah cakap pada saya pasal ni. awak pernah cakap yang awak nampak tunang awak peluk isteri saya dan isteri saya akui, itu betul. Tapi, awak nampak tak yang isteri saya tampar tunang awak tu?”

“Saya tak tahu, bos.” Fatehah menggeleng.

“Atau awak tukar fakta semata-mata nak jaga nama baik tunang awak?” Aku diam mendengar. Ilham semakin hebat menyerang psikologi Fatehah hinggakan aku lihat pipi setiausahanya itu sudah ternoda dek air mata.

“Saya mohon pada awak dengan rasa rendah diri demi maruah isteri saya. Kalau kata awak tersilap membuat kenyataan hari tu, Tehah boleh betulkan sekarang. Yang betul tu, saya tak nafikan, tapi yang silap tu, saya merayu awak betulkan semula, Tehah,” pinta Ilham separuh merayu.

Ilham menjeling ke arahku. Dia senyum segaris sedangkan aku sudah mahu menitiskan air mata melihatkan kesungguhnya untuk membersihkan namaku kerana dia juga pernah tersilap menilai tindakan Fazlee terhadapku dulu. Sekadar melihat dengan mata kasar dan tidak tahu apakah sebenarnya yang terjadi.

“Tolong saya, Tehah. Kita leraikan semua kekusutan ni,” pujukku yang sejak dari tadi diam saja.

Tergerak pula hati ini mahu Fatehah berkata benar. Aku juga seperti Ilham, mahu membersihkan namaku sendiri agar tidak ada lagi sesiapa yang akan menggores maruah aku.

“Saya… minta maaf, puan,” ucapnya takut-takut. Anak mataku dia tentang lama. Air mata semakin lebat mengalir. Aku pula yang kerisauan.

“Memang saya nampak semuanya dan saya beritahu pada bos. saya juga nampak macam mana puan tampar Fazlee dan juga saya dengar dengan ikhlas puan minta Fazlee hargai saya. Tapi, silapnya saya, saya tak nyatakan perkara tu pada Encik Ilham. Masa tu, saya tak boleh nak terima perbuatan tunang saya sendiri. Saya rasa tertipu. Apatah lagi bila saya dengar berita tentang keluarga puan. Saya benar-benar keliru. Maafkan saya, puan.. Encik Ilham,” ujarnya lagi.

“Jadi, awak mengaku yang isteri saya tak bersalah dalam hal ni?” tanya Ilham tegas. Fatehah mengangguk.

“Saya silap masa tu. Silap sebab tak fikir panjang kesannya pada puan dan encik. Masa tu hanya satu yang saya fikir, saya perlu selamatkan maruah tunang saya.”

“Tanpa fikirkan maruah isteri saya?” pangkas Ilham dengan nada yang agar keras. Aku lihat bahu Fatehah terangkat.

“Abang…” Aku menggeleng. Melarang dia agar tidak terus marah.

“Tak mengapa. Saya faham kenapa awak jadi macam tu dan saya juga faham kalau awak prejudis terhadap saya bila dapat tahu tentang latar belakang keluarga saya. Iman tak dapat diwarisi, Fatehah. Kalau kata saya dari keturunan yang tidak baik sekalipun, saya telah cuba menjadi yang terbaik. Anak yang terbaik, hamba Allah yang sentiasa cuba yang terbaik. Mungkin sesekali tersasar jauh tapi saya tetap cuba kembali ke jalan-Nya. Fazlee itu pun dari keturunan baik-baik, Fatehah dan terpelajar orangnya. Tapi, kenapa dia masih bersikap buruk dan biadap macam tu sekali? Jangan nilai saya hanya kerana saya dari keluarga yang bukan-bukan. Hari ni, saya mohon maaf, dan saya juga dah maafkan awak. Saya harap lain kali tak akan ada lagi kekeliruan macam ni,” ucapku panjang.

Sedih benar hati ini bila mengetahui masyarakat tidak sudah-sudah mahu menghakimiku dengan salah silap keluarga yang aku sendiri tidak pernah minta. Hari ini, biarlah Fatehah tahu, aku tidaklah seburuk yang dia sangka.

Sekali aku jatuh cinta, selamanya cinta. Mungkin Ilham bukan yang pertama, tapi aku akan pastikan dialah yang terakhir dalam hidup ini. Tak mungkin akan ada pengganti biarpun satu hari nanti, Allah takdirkan dia untuk pergi.

“Tapi, sampai hari ni Fazlee masih tidak dapat lupakan puan. Saya sedih dengan keadaan kami puan. Tarikh nikah sudah makin hampir tapi hati dia masih pada puan,” ujar Fatehah bersama sendu.

“Maafkan saya sekali lagi, Fatehah. Yang ada pada saya sekarang hanyalah hati milik Ilham Fitri saja. Yang lain saya tidak tahu. Tentang Fazlee saya tidak mampu berbuat apa-apa. Saya bukan tak sudi menolong tapi saya dah larang keras diri saya ni dari mendekati dia. Cukuplah pengalaman lalu. Saya tak mahu berlaku perkara buruk macam ni lagi.”

“Tapi, puan tak kasihankan saya ke, puan? Macam mana saya nak kahwin dengan lelaki yang cintakan perempuan lain?” tanya dia pula.

Aku menggeleng. Wajah Ilham aku pandang. Berbicara melalui pandangan mata. Entah apa lagi yang harus aku ucapkan pada Fatehah agar reda sakit di hatinya.

“Macam ni lah, Tehah. Malam ni kami buat kenduri doa selamat sempenar pernikahan kami dan esok kenduri menyambut. Tehah bawa tunang Tehah sekali datang. Masa tu kita selesaikan. Saya tak rasa dia terlalu bodoh nak tunggu isteri orang. Sekarang dah jelaskan, isteri saya ni tak salah. Dan, Tehah jangan risau sebab saya tak salahkan awak, sebab saya sendiri pun pernah silap faham pada dia,” pujuk Ilham pada Fatehah tapi anak matanya yang melirik ke arahku.

Pastilah begitu kerana dia juga pernah terlihat peristiwa buruk itu tapi tidak tahu juga aku pernah menampar Fazlee untuk itu. satu yang aku perasan, Ilham tidak pernah menyebut nama Fazlee. Setiap kali hanya ‘tunang Fatehah’ dan juga ‘lelaki itu’

Hati ini rasa hendak ketawa saja. Dia memang sukar dijangka. Memang benar-benar tidak sudi biarpun aku direnung lelaki lain. Memang suka bila aku mendengar kata-katanya. Memang tidak suka dibantah.

“Saya tak boleh hadir, bos.” Fatehah menolak sambil mengelap pipinya.

“Kenapa?” tanyaku pantas.

“Saya malu dengan keluarga puan yang lain.”

“Tak, Fatehah.” Aku angkat tanganku lalu aku sentuh jemarinya yang ada di atas meja.

“Keluarga kami tak pernah tahu tentang ini. kami dah berbaik ni pun, Alhamdulillah sangat. Kita lupakan semuanya. Dan saya harap sangat Tehah dapat datang malam ni dan esok pagi. Kalau tak saya tak nak maafkan,” ugutku berseloroh.

Fatehah tentang mataku dan aku gariskan senyuman mesra buatnya. Bila dia membalas pegangan tanganku, aku lebarkan senyuman.

“Lagi satu, jangan panggil saya puan. Saya bukan bos Tehah. Saya tak kerja kat IF Group pun. Panggil je Kak Fiah,” sambungku selepas melihat Fatehah sudah mampu tersenyum.

“Maafkan saya sekali lagi, Kak Fiah. Saya buta.”

“Buta mata tak apa, Tehah jangan buta hati sudah,” sampuk Ilham sambil menyiku lenganku.
Dia menyindir aku barangkali kerana ayat itu pernah aku ucapkan pada dia hati tu. padan muka, abang. Ejek hatiku sendiri..

“Pasal Fazlee…” Suaranya mati.

“Pasal tu nanti kita bincang. Tapi, ingat. Kita tak boleh nak halang orang daripada sukakan kita, begitu juga kita. Tak akan dapat memaksa orang menyukai kita. Itu hakikat yang Fatehah kena tahu,” jawabku memberikan jawapan mati.

Sungguh begitu. Takdir cinta kita bukanlah milik kita. Kita hanya mampu merancang tapi Dia lah yang akan menentukan segalanya. Seperti aku dan Fazlee, bertahun bercinta, sudahnya terpisah juga bila tembok cinta Fazlee tidaklah sekuat mana hendak menahan badai dan aku dengan Ilham pula, biarpun baru seketika, cinta ini sememangnya Allah titipkan dalam hatiku buat dia yang aku pasti tidak akan hilang selamanya biarpun aku menutup mata.
*******
BIBIRKU tidak lekang dengan senyuman. Sesungguhnya aku bersyukur kerana Allah telah jodohkan aku dengan lelaki sebaik Ilham Fitri. Mungkin beberapa ketika saja dia tersilap tapi pada awalnya juga dia sangat baik melayaniku.

“Seronok nampak?”

Aku pusing kepala melirik ke arah Ilham. Dia senyum juga membalas senyumanku.

“Memang tersangat seronok,” jawabku bahagia.

“Allhamdulillah, semua dah selesai, kan?” Semakin lebar dia tersenyum

Aku dah pelik. Sepatutnya aku yang tersengih begitu. Ini pula dia. Bagaikan dia yang tertimpa bala selama ni.

“Abang seronok sangat.”

“Eh, terbalik dah kita ni.” Aku jungkit kening.

“Apa pulak? Masalah Fiah masalah abang tau. Bila dah selesai ni abang lega la. Lepas ni tak adalah Fiah masam-masam muka lagi dengan Tehah,” ucap Ilham gembira.

“Yalah-yalah.” Aku mengalah.

“Tapi, abang tu kan..pepandai je. Buatnya Tehah tu betul-betul letak jawatan, padan muka abang.”

“Tak ada masalah, la yang. Ramai lagi kat luar sana tu nak kerja, kan?”

“Memanglah ramai, abang. Tapi, berapa kerat je yang cekap macam dia?” tanyaku sinis.
Ilham usap janggutnya. “Ya tak ya jugak, kan? Tapi, rasanya abang tahu siapa seorang yang cekap. Lagi cekap dari dia.”

“Siapa?” tanyaku tapi dalam hati sudah dapat ku agak siapakah nama yang akan dia sebut itu.

“Nur Wafiah. Akauntan syarikat Megah. Abang nak suruh uncle Azhan pecat Fiah la. Nanti boleh abang sambar Fiah kerja dengan abang. Jadi setiausaha abang. Nak tak?”

Aku dah agak sangat dah. Dia memang nak sebut nama aku. Tapi, aku cepat-cepat menggeleng tanda tidak sudi bekerja dengan dia.

“Hai, tak sudi nak kerja dengan suami sendiri?” Ilham buat muka merajuk.

“Bukan tak sudi tapi takut…” leretku. Ilham jungkin kening bertanya.

“Fiah takut dekat abang. Bukan takut kena marah tapi takut abang tak buat kerja. Nanti dok melekat ke Fiah je 24 jam macam kena gam gajah bak kata mama,” ujarku sambil menahan tawa dari meledak.

“Tak sudi cakap tak sudi,” selanya. Merajuklah tu.

“Bukan tak sudilah. Kalau kata abang tu dok melekat ke Fiah tiap-tiap masa, mahu sepasukan bola sepak kita dapat anak nanti. Tu tak termasuk pemain simpanan lagi. Ha, abang nak macam tu?” Dia ketawa besar mendengarkan kenyataan itu.

“Tak naklah abang ramai sangat. Kasihan dekat Fiah je sebenarnya.”

“Tahu pun kasihan.” Kami sama-sama ketawa kecil dan serentak itu, kami sudah memasuki laman rumah.

Cahaya terang benderang menyambut kepulangan kami dengan penuh keceriaan. Meriah bagaikan merayakan Syawal. Aku jeling jam di pergelangan tangan, sudah menghampiri Maghrib. Kalau kata kami dimarahi mama dan mak, aku akan tuding jari pada Ilham.

“Dah lewat, bang. Nak Maghrib dah ni. Lepas Isyak nak doa selamat pulak,” aduku lemah. Risau juga dengan bebelan Kak Anah. Mak tak mungkin membebel. Mama pun pastinya tidak.

“Hah, baru balik? Bertuah betul kamu laki bini, ya?” sergah Kak Anah bila aku baru sahaja masuk ke dalam rumah.

Kan sudah aku cakap. Aku jeling Ilham dan jungkit kening padanya. Dia pula jungkit bahu.

“Fiah ajak Am jalan-jalan, kak,” adu Ilham pantas.
Belum sempat aku tuding jari ke arahnya, dia terlebih dahulu muncungkan bibir ke arahku.

“Erk, abang ni…”

“Ha, jangan nak salahkan Am pulak. Orang nak kenduri doa selamat sempena dia, dia boleh pula hilang dari rumah,” bebel Kak Anah terus.

“Sudahlah tu, Anah. Dia keluar dengan suami dia. Ikut dialah nak ke mana pun,” sampuk mak membela aku.

Tubuh mak aku rapati lalu aku kucup pipinya sekali. “Terima kasih, mak. Fiah naik atas dulu, mandi.”

Kak Anah merengus. Mak ketawa nipis dan si suami pula tahu melelar tanganku saja memaksa aku mengikut dia. Langsung tak boleh nak berenggang. Entah apa lagi yang perlu aku lakukan agar terlepas daripada Ilham biarpun untuk senafas. Ini tidak, rasanya nafas kami ini sudah bercantum menjadi satu. Sukar nak lepaskan diri.

Sedang aku membelek pakaian di dalam almari, Ilham tiba-tiba memelukku dari belakang. Rasanya baru saja dia ke bilik air dan kini sudah keluar dengan hanya mengenakan tuala sahaja. Dengan air daripada rambutnya yang masih menitis mengenai bahuku.

“Kejaplah, Fiah nak keluarkan baju ni,” larangku lembut.

“Fiah pun sekejaplah. Abang nak bagi sesuatu kat Fiah ni,” ajuknya pula.
Beberapa kali membelek pakaian di dalam almari, aku akhirnya menarik keluar baju melayu berwarna hijau muda itu dan aku rapatkan pintu almari. Pelukan Ilham aku leraikan dan aku melangkah mendekat ke arah katil dan meletakkan bajunya di situ. Mujur sahaja sudah bergosok kerana sebentar lagi pastilah abah akan mengajak kami berjemaah bersama.

“Okey, abang nak bagi apa?” tanyaku sambil berpeluk tubuh.

Ilham tidak menjawab, sebaliknya dia duduk di birai katil dan menghulurkan tuala kecil itu padaku. Aku sambutnya lalu aku lap kepalanya yang masih basah.

“Dulu masa Fiah tak ada, siapa yang lap rambut abang?”

“Abang tak lap pun. Bagi kering macam tu je,” jawabnya selamba.

“Bohonglah sangat…” cebikku. Dia ketawa.

“Dulu lap sendiri la, yang. Sekarang ni Fiah ada, apa salahnya abang bermanja. Banyak benda ni abang nak top-up balik dengan Fiah yang sepatutnya kita buat dari awal kahwin lagi,” akuinya telus.

“Tiap-tiap hari top- up dah, nak top-up apa lagi?”

Ilham menarik lenganku agar duduk di sisinya. Aku renung wajah itu. rambut basahnya yang terjuntai di dahinya aku tolak dengan jari. Perlahan-lahan aku elus pipinya. Hati ini terasa rindu benar pada dia kini.

“Fiah rindu abang,” ucapku beremosi.

“Abang lebih lagi rindukan sayang,” sahutnya pula. Tidak mahu kalah. Tetap mahu lebih segalanya daripada aku.

“Tunggu kejap.” I
lham bangkit menuju ke arah briefcasenya. Selepas mengambil sesuatu dia kembali semula kepadaku. Kertas nipis itu dihulurkan padaku. Bila aku sambutnya, terasa bulat biji mata.

“Apa ni?” Aku suakan cek yang bernilai RM30 ribu itu pada dia.

“Itu duit hantaran abang dulu. Itu memang hak Fiah. Jadi, abang kembalikan. Sebab kita akad pakai nilai tu, jadi itu memang hak Fiah,” jawabnya.

Bila aku lihat pada tarikh cek tersebut, ternyata tarikh itu adalah sehari selepas tarikh aku memulangkan duit itu padanya. Ternyata dia telah awal-awal lagi berniat hendak memulangkan duit itu padaku.

“Abang sebenarnya tak nak pun Fiah pulangkan. Tapi, sebab masa tu, Fiah pun degil, abang pun ego, jadi abang biarkan jelah dulu. Nanti Fiah cashkan dalam akuan Fiah. Tu hak Fiah. Jangan cakap tak nak pulak.”

Aku bangkit mendekati dia. Tanpa segan, aku terus memaut tubuh sasa itu ke dalam pelukanku. Rasa terharu benar. Air mataku gugur jua setitis.

“Terima kasih, abang,” ucapku sebak.

“Abang yang patut ucap terima kasih sebab Fiah sudi terima dan maafkan abang,” balasnya lantas menolak bahuku membawa aku menghadap dia.

Wajah itu sudah tersengih pelik. Perlahan-lahan dia merapatkan wajahnya ke wajahku. Bila aku membelakangkan sedikit tubuhku, dia terus menahan belakang ini. Wajah itu makin hampir dan makin mendekat.

Aku senyum. Bila saja bibirnya hampir singgah di bibirku, bunyi pintu dikuak membuatkan kami tersentak. Kami sama-sama kalih ke pintu. Wajah Iqram tersenyum-senyum melihat ke arah kami.

Pantas aku menolak tubuh Ilham yang hanya dibaluti tuala itu. mujur saja aku masih lengkap dengan tudung di kepala. Andai tidak, tidak dapat aku bayangkan betapa malunya pada Iqram. Tapi, tidak lepas juga bila Ilham semakin mengetatkan pelukan.

“Kau buat apa kat sini, Aqam?” tanya Ilham keras.

“La, bukan salah Aqam. Abah suruh panggil nak berjemaah kat masjid. Abang tu lain kali nak beromantika kunci la pintu. Tak adalah terkantoi,” balas Iqram dengan wajah yang selamba.

“Lain kali ketuk. Abang sekeh kau nanti, Aqam,” ugut Ilham pada adiknya.

“Tak apalah. Dapat tengok free-show. Mujur tak bawa kamera, kalau tak Aqam rakam letak dalam You Tube,” ujarnya bersama tawa.

“Kau ni kan..” Ilham leraikan pelukan lantas dia menggapai bantal kecil lalu dia lempar tepat mengenai wajah adiknya itu. Aku tekup mulut. Aqam mengaduh dan Ilham apa lagi, ketawa sajalah dia.

“Eii, Abang Am ni teruklah,” rungut Iqram lantas berlalu selepas menghempas pintu bilik kami. Berdentum bunyinya.

Aku dan Ilham saling berpandangan dan kemudiannya kami sama-masa ketawa. Lucu mengingatkan wajah cemberut Iqram.

“Abang ni, teruklah. Kasihan dia.”

“Tu bukan kasihan, tu padan muka,” jawab Ilham.
Dia sekali lagi merapatkan wajahnya ke wajahku dan kali ini aku lebih pantas menolak.

“Fiah nak mandi,” ucapku lantas aku berlari ke bilik air.
Fuh lega tapi sayang lega itu tidak lama, bila Ilham lebih dahulu menahan pintu bilik air itu daripada tertutup rapat.

“Let me in,” ucapnya tenang.

“Err, Fiah nak mandi. Kan abang dah mandi tadi?” Aku sudah mula kecut.

“Tapi, abang mandi tak bersabun tadi,” akuinya Aku hela nafas. Patutlah sekejap je mandi. Mandi kerbau rupanya laki aku ni.

“Tapi…”
Belum sempat berkata apa-apa, Ilham sudah menolak pintu dan terus memboloskan diri ke bilik air tanpa mampu aku melarang.

~~~bersambung

13 comments:

  1. Comel.....Comel.....

    ReplyDelete
  2. sweet... tapi risaulah dengan Izham tu... kak rehan... suh dia cari permpuan lain....huhuhu...bagi ilham bahagia dengan fiah...

    ReplyDelete
  3. ada-ada ja helah Ilham...
    Terima kasih Ilham sebab faham Fiah..

    ReplyDelete
  4. yeala kak. bg la izham jumpa new girl yg leh tambat hati dia. sedarla fiah tu isteri abg long dia. jgn diganggu gugat kebahagian n keharmornian keluarga yg tgh bahagia. hope love between fiah n ilham lasting forever. - ivoryginger

    ReplyDelete
  5. sweet gile couple ni.... hopefully bahgia selamanya.... good job writer....

    ReplyDelete
  6. sweettnyer..suka tgk fiah dgn ilham dah baik..x de wtk prmpuan tuk iz k?? sian iz

    ReplyDelete
  7. bestnya....romantik n sweet la mrk dua ni...hrp2 bahagia hinnga ke akhirnya......dah hbs kat blog ke?..atau ada smbgn lg...hrp2 ada lah ya...hehehe.

    ReplyDelete
  8. bahagia baca en3 ni.so sweet couple ni:)

    ReplyDelete
  9. yes..yes..inila yg akak n yr fan nak sangat..terungkai segala kekusutan antara Fartehah dan fiah mengenai isu Fazlee mamat poyo tu..syabas dik..akak suka scene ni..dah tak ada air mata .. tapi semangat utk bahagia tak ada dendam ..tak ada sengketa..hanya ketenangan dan kepercayaan..
    salam
    kak idA

    ReplyDelete
  10. kak rehan jgnla bg am tu salah sangka lg dgn fiah pasal iz...x sanggup dah tgk fiah sedih...biarlah dia bahagia jer....tp klu bahagia jer xdelah kontroversi citer ni kan? papepun tahniah. best sgt...


    -hanim-

    ReplyDelete