Thursday, September 22, 2011

Terlerai Kasih 28, 29, 30

BAB 28

JAM sudah menginjak ke petang. Waktu pejabat sudah hampir berakhir sedangkan perutku masih berlum terisi daripada pagi. Menyesal pula menolak pelawaan Am untuk makan bersama usai kerja mengemas tadi dan dia terpaksa bergegas ke pejabat bila mendapat panggilan daripada adiknya, Izham.
Aku mencuci cawan di dalam pantry selepas menikmati minum petang dengan beberapa keping biskut sebagai alas perut sebelum waktu makan malam seperti yang telah Am janjikan.
Setelah meletakkan mug di meja kosong di depan bilikku, aku segera berlalu ke bilik air demi menyahut seruan alam. Saatku menolak daun pintu bilik air rapat, beberapa suara mula kedengaran bersama sedikit gema di luar. Suara itu jelas di telingaku. Farina dan Suraya.
“Tak sangka Wafiah macam tu, kan?”
Aku mengamati suara tersebut. Nyata suara Suraya yang menyebut-nyebut namaku. Aku terus memasang telinga.
“Emm… itulah! Nampak baik je. Tapi tak sangka betul! Patutlah dia dingin je selama ni! Rupanya memang tak ada orang nak berkawan dengan dia! Kalau Zura tak cerita sampai ke mati la kita ingat dia memang baik yang amat!”
Kali ini, Fariza pula menyambung ulasan Suraya. Debar hatiku berdetak hebat bila namaku dan nama Zura dikaitkan. Dalam mindaku, tidak lain dan tidak bukan pastilah angkara Zura.
“Kau bayanglah Iza, tup-tup je boleh tunang dengan anak Tuan Fakhri sedangkan dia dari keluarga yang bukan-bukan! Aku yakin yang Encik Ilham tak tahu pasal keluarga dia. Kalau dia tahu, masakan dia nak kan Si Wafiah tu!”
“Eh, kau jangan cakap, Su! Kan Wafi tu cantik! Aku sendiri pun terpegun dengan raut wajah dia. Tak ada cacat celanya! Mestilah Encik Ilham nak! Kalau dulu, Encik Izham tu selalu datang sini tanya aku pasal dia, aku ingatkan dia dengan Encik Izham. Tiba-tiba, dengan abang Encik Ilham pulak! Memang pelik, kan? Dua-dua pun dia nak sambar!”
Entah dari mana khabar pertunanganku bertiup hingga sampai ke telinga mereka. Sungguh aku terhenyak dengan kenyataan yang Farina dan Suraya ungkapkan. Aku tiada sekelumit perasaan pun dengan Izham. Tidak pernah dan tak akan ada! Kenapa harus dikaitkan aku dengan keadaan macam tu?
“Hah, kalau kau nak tahu, itulah cacat celanya Si Wafiah tu! Harapkan rupa je cantik tapi perangai macam perempuan jalang buat apa? Tengah hari tadi, aku tengok ada sorang lelaki masuk bilik dia. Handsome jugak!”
Fikiranku kembali menerawang kepada peristiwa kemunculan Fazlee secara mengejut di pejabatku tadi. Sudah pasti dia! Andai Am, Suraya pasti cukup kenal. Kenapa mereka harus merumitkan keadaan dengan nama Izham dan sekaligus ditambah dengan kehadiran Fazlee?
“Siapa?” Suara Fariza jelas teruja.
“Entah tapi yang pasti aku dengar diorang bertekak sakan. Aku yakin tu mesti pakwe lama dia. Entah-entah Wafi tinggalkan pakwe dia sebab nak bersama dengan Encik Ilham. Yalah, dah la kaya, kacak, sempurna la untuk dijadikan suami idaman!”
Hampir saja aku terduduk di atas lantai tandas akibat kata-kata Suraya. Selama ini aku bimbang dengan sikapku yang banyak menjauhkan diri dari mereka tapi hari ini, aku yakin tindakanku selama ini adalah tepat.
Sebetulnya aku harus terus mengasingkan diri dari mereka. Cukuplah hubungan antara kami kekal sebagai kakitangan dan ketua andaiku tahu inilah kesudahannya bila aku menghijrahkan diriku kepada kemesraan.
“Agaknya, betullah tu, Su! Eii… seriau aku dengan Wafi ni. Rupa cantik perangai macam puaka. Terkejut aku dengar Zura beritahu pasal kisah keluarga dia!”
Kali ini, ku rasakan sudah tertimpa langit yang runtuh. Ternyata, Zura telah menceritakan segalanya hingga membawa mereka mencemuhku. Maruah emak pasti tercalar lagi! Ya Allah, selamatkanlah maruah emak biarpun kebahagiaanku menjadi galang gantinya!
Hampir merintik airmataku kala itu. Selepas berbelas tahun rasa aib itu meninggalkanku dan kini keaiban itu hadir lagi kerana hasad dengki Zura padaku. Mahu saja ku tampar kedua wajah yang ada di luar itu biar mereka tahu, pedih pipi mereka, betapa pedih lagi mahu menghadapi cemuhan dan herdikan orang selama ini.
“Kesian Zura tu, kan! Baru kerja tak sampai dua bulan macam ni pulak Wafi buat kat dia! Kot ya pun salah, janganlah sampai buang kerja. Berlagak macam bos! Mentang-mentanglah bos bagi power dekat dia!” Suara Suraya jelas jelak denganku.
Aku sekadar memaksa telingaku menerima setiap kritikan mereka terhadapku. Hendakku tangiskan, rasanya bukan masa yang sesuai. Sekarang ini, aku amat memerlukan kekuatan dan tangisan hanya akan membuatkan aku menjadi manusia putus asa.
Tidakkah mereka tahu kesannya pada syarikat dan aku sendiri andai tindakan itu tidak disedari oleh Encik Azhan? Atau mereka memang mahu menyingkirku daripada syarikat?

LEWAT petang itu aku melangkah lemah menuju ke tempat letak kereta di basement. Kepenatan akibat berkemas sepanjang hari ditambah pula dengan ejekan dan cemuhan daripada Suraya dan Farina yang ku dengar tadi benar-benar membuatkan otakku penat benar.
Aku menarik Nokia C3 dari dalam hangbag bila lagu Suratan atau Kebetulan menjerit nyaring. Nama Am jelas terpapar pada skrin. Beban di mindaku lepas seketika.
“Assalamualaikum,” hulurku mesra selepas menekan punat hijau.
“Waalaikumusalam!” Suara Am mesra menjawab salam.
“Malam ni kita kena cancel la date kita, Fiah! Sebab Am ada urusan sikit petang ni, takut membawa ke malam!”
Aku tidak memberikan sebarang komen bila Am membatalkan temujanji kami! Aku sekadar menyatakan persetujuan bilamana badanku sendiri bagaikan sudah tidak berpijak di bumi akibat keletihan yang mula menjalar ke dalam setiap urat sarafku.
“Sorry, ya!”
“Tak apa! Lagipun Fiah sendiri penat ni. Nak balik berehat jap!”
“Tapi weekend ni Am jemput Fiah, mama nak jumpa Fiah! Ada hal nak bincang sikit katanya! Boleh?”
Lama aku diam sebelum memberi jawapan. Berkira-kira hendak menyatakan persetujuan atau tidak. Niatku adalah untuk berterus terang terlebih dahulu sebelum perkara-perkara lain berkaitan pernikahan kami terus dibincangkan.
“Fiah dengar tak?” Suara Am dihujung talian sedikit terjerit.
“Oh, ya! Fiah dengar!”
“So, boleh ke?” tanya Am sekali lagi.
“Boleh tapi sebelum tu, Fiah ada perkara nak bincang dengan Am dulu!”
“Okey, tapi esok Jumaat dah! Am tak sempat nak jumpa Fiah sebab nak ke Janda Baik, tengok site kat sana dengan Izham! Balik pun mungkin dah malam. Hari Sabtu tu kita jumpa mama. On the way tu kita Fiah boleh cakap, setuju?”
Aku diam lagi. Sedikit sebanyak nama Izham membuatkan persoalan demi persoalan timbul dalam benakku. Apakah maksud di sebalik kata-kata Suraya dan Farina tadi? Sempatkah masa untuk aku memohon pengertian daripada Am nanti? Andai dia menerima, aku amat bersyukur dan andai tidak, bagaimana nasibku nanti?
“Fiah dengar tak?” tekan Am bersama rengusan yang keras.
“Dengar! Okey, Fiah setuju je!” putusku akhirnya.
Perbualan aku dan Am mati selepas seketika dan aku mula menarik pintu kereta. Belum sempat aku membuka pintu kereta, tanganku terlebih dahulu digapai seseorang. Aku tersentak dan serentak itu aku merentap kuat bila wajah Fazlee muncul lagi di depanku.
“Damn it, Fazlee! What are you trying to do?”
Mataku lantas melilau sekeling. Keadaan parkir yang lengang dan kegelapan yang mula menjengah menambahkan risau di hatiku. Terlalu berani dia sekarang! Andai dulu berlembut sahaja denganku tapi kini, segala berubah! Langsung tidak ku kenali siapa dia kini.
“Lee cintakan Wafi lagi! Lee tak percaya Wafi dah bertunang dengan lelaki tadi!” ujar Fazlee bersungguh-sungguh.
“You have to, Fazlee! Sebab itulah hakikatnya! We are getting married soon! Aku pohon janganlah kau ganggu hidup aku!” ujarku separuh merayu.
“Tapi Lee cintakan Wafi! Lee tak mungkin biarkan Wafi pergi dari hidup Lee lagi!”
“Siapa yang tinggalkan siapa, Fazlee?!” bentakku meninggi bila ungkapannya jelas meletakkan salah ke atasku dalam perpisahan kami yang telah jelas dia yang meninggalkanku tanpa sempat aku mempertahankan diri.
“Okey, Lee minta maaf! Lee yang tinggalkan Wafi tapi masa tu Lee buntu bila kawan baik Wafi sendiri cakap pada Lee macam mana keadaan Wafi dan keluarga Wafi! Masa tu Lee tak dapat nak terima!” Aku ketawa sinis mendengar pengakuan Fazlee.
“Habis tu kenapa sekarang kau boleh terima pulak?”
“Sebab Lee cintakan Wafi!” pantas jua Fazlee menjawab.
“Maruah keluarga aku terlalu mahal harganya untuk dibandingkan dengan harga cinta kau yang tidak bernilai satu sen pun di mata aku sekarang. Kalau dulu kau pergi kerana aib keluarga yang tak pernah aku pinta dan hari ini kau datang menyatakan cinta?” Aku muak menatap wajahnya.
“Semua itu tidak membawa apa-apa makna dalam hidup aku lagi. Sejak dari hari kau tinggalkan aku, aku tak pernah putus memanjatkan doa pada Allah agar Dia terus menjauhkan kau dari hidupku!” ujarku. Fazlee meraup wajah kusutnya.
“Mungkin betul Wafi dah bertunang dengan dia tapi Lee tak percaya yang Wafi cintakan dia lebih dari Wafi cintakan Lee dulu?”
Aku melangkah mendekati Fazlee yang bagaikan sudah kehilangan kata-kata bila aku mengangguk.
“Mungkin Ilham bukan yang pertama buat aku tapi aku akan pastikan dialah orang yang terakhir dalam hati ini. Tak mungkin ada sesudah dia kerana aku terlalu menyintai dia. Cinta yang tak pernah aku rasa selama bersama dengan kau. He touched my heart!” ucapku separuh berbisik. Fazlee menggeleng beberapa kali.
“Lee tak tunggu Wafi seharian ni untuk dengar Wafi cakap macam tu?” ucapnya sayu.
“Kalau kerana hal ini yang membawa kau menunggu aku seharian di sini, maaflah! Sebab itulah hakikatnya!”
Aku kembali rapat ke pintu kereta dan terus menariknya hingga separuh terbuka. Aku harus segera berlalu sebelum mata-mata sumbing melihat kami berdua. Tentu timbul fitnah baru nanti.
“Oh ya, siapa kawan baik aku yang terlalu baik hati untuk menceritakan kisah aku kepada kau tu, Fazlee?” soalku sebelum masuk ke perut kereta.
“Rasanya nama dia Zura!” jawab Fazlee tanpa perasaan.
Aku sekadar tenang mendengar sepotong nama itu. Sudah ku telah! Nama itu pasti keluar dari mulut Fazlee. Zura memang membenciku. Saat aku menghidupkan enjin kereta, Fazlee masih berdiri kaku di situ.
Memandangku dengan pandangan yang ditimpa kenyataan dan sejurus seketika, kereta Suraya melintas laju di depan kami dan aku pasrah andai terpaksa menghadapi fitnah baru nanti. Oh, Fara! Andai kau di sini! Rintih hatiku sayu.

BAB 29

HARI Sabtu itu aku sekadar mengenakan sepasang baju kurung dari jenis kain kapas berlatar warna kuning cair dan juga dihiasi bunga-bunga kecil dari rona kuning terang serta tudung yang mengikut rona bunga.
“Cantik!”
Sepatah pujian yang terbit dari mulut Am langsung tidak memberi kesan kepada emosiku. Kelapaku ligat menyusun kata agar Am dapat menerima dengan hati yang terbuka apa yang bakal aku cakapkan.
“Fiah kata ada perkara nak dibincangkan! Apa dia?” aju Am saat kereta Honda Civicnya laju membelah lebuhraya persekutuan menuju ke rumah keluarganya di Petaling Jaya.
“Emm… Fiah macam tak tahu nak cakap macam mana?”
“Fiah cakap je. Cakap macam biasa-biasa Fiah cakap dengan Am!” balas Am seraya mematikan suara dari DJ dari radio bagaikan memberi laluan kepadaku untuk berkata-kata.
“Fiah, cakap jelah!” pujuk Am bila aku masih diam sendiri.
“Susahnya Fiah nak buka mulut kali ini! Kenapa ni? Nampak macam takut je? Cakaplah, Am tak gigit Fiah la!” pujuk Am berjenaka.
Aku mengumpul segala kekuatan yang ada. Segala perlu diungkapkan dalam satu nafas sahaja. Selebihnya terserah kepada jodoh kami. Tekadku bulat di situ.
“Fiah sebenarnya bukan dari keluarga baik-baik, Am,” ucapku dengan nada tersekat-sekat. Entah mengapa, bila sahaja aku menuturkan sebaris ayat itu, semangatku terbang pergi entah ke mana. Yang tinggal hanyalah getaran pada bibir dan mata yang mula berkaca. Airmata terasa sudah sarat di tubir mata. Aku menunduk merenung jemariku yang ku sulam sesama sendiri.
“Am terima Fiah seadanya Fiah! Kan dah pernah cakap dulu!” Am meraih jemariku. Terlupa agaknya akan laranganku agar tidak menyentuhku dan aku sekadar membiarkan dan genggamanku sendiri semakin kemas bila Am mengangguk menjawab segala persoalan yang ku hulurkan padanya melalui anak mata yang berkaca.
“Am terima Fiah seadanya Fiah! Perkara dah lama berlalu, tak payah nak kenang,” ulangnya lagi dan kali dengan nada yang lebih meyakinkanku.
“Mana Am tahu?” soalku bernada getar. Menahan tembok air mata dari pecah.
“Mak dan Kak Anah cakap kat mama sebelum kami ke rumah Fiah dulu! Lepas tu mama cakap dengan Am! Bagi kami itu semua bukan salah Fiah! Tak ada siapa minta untuk melalui semua tu! Patutlah Fiah menitiskan airmata dulu sewaktu Am bertanyakan Fiah tentang ayah. Kalaulah Am tahu, Am tak kan selaser tu!”
Kenyataan yang Am baru utarakan telah membuatkan air jernih itu menitis jua menuruni lekuk pipiku tanpa ku pinta. Terharu dengan penerimaan keluarga dan terharu dengan tekad emak dan Kak Anah demi menjaga kebahagiaanku.
Patutlah emak dan Kak Anah nampak terlalu gembira dan tenang saat majlis itu berlangsung sebulan lalu dan aku segera memanjatkan syukur atas penerimaan Am ke atas aku dan keluarga.
“Don’t cry. Bila Am tahu cerita sebenar, baru Am terfikir. Patutlah Fiah bersungguh-sungguh menjaga maruah Fiah. Meminta Am turut sama menjaga maruah Fiah bila Am nak pegang tangan Fiah tempoh hari! Maafkan Am sebab dah buat Fiah macam tu masa di KLIA dulu!”
Aku menyeka airmataku bila air jernih itu bagaikan tidak mahu meninggalkan ruang wajahku.
“Fiah tak tahu nak cakap apa!” komenku.
“Tapi kan, ni Fiah pegang tangan Am. Nak kira macam mana?”
Aku pantas melepaskan genggaman tangan kami dan menolak kasar tangan Am dari ribaanku. Am ketawa dengan telatahku.
“Fiah sekarang dengan Fiah yang mula-mula Am kenal dulu sudah jauh berbeza,” ucap Am lembut sambil mengerling ke arahku sekilas.
“Dulu Fiah garang, tegas, dingin je. Tapi sekarang lembut, manja, pemalu! Am rasa inilah diri Fiah yang sebenarnya, betul tak?” rumus Am sendiri.
Aku menjungkitkan bahu. Entah betul entah tidak, aku sendiri tidak tahu mengapa aku bisa berubah begini. Andai benar kata Am, memang hatiku mudah tercuit biarpun pada zahirnya sikapku tegas dan kasar.
“Tapi hari ni, Am nak minta exception, boleh?”
“Exception macam mana?” tanyaku pelik. Tidak faham dengan permintaannya.
Am meraih kembali tanganku ke dalam genggamannya lantas jemari kami bertaut sesama sendiri. Aku cuba menarik tapi tautan semakin kemas.
“Hari ini Am nak minta izin nak pegang tangan Fiah sampailah kat rumah nanti. Am windu sangat dah ni!” ucap Am manja. Perkataan ‘windu’ itu menggamit senyum di bibirku.
“Tadi kata nak jaga maruah Fiah!” selaku mengingatkan Am tentang janjinya sebentar tadi.
“Sebab tu Am cakap, hari ni minta pengecualian!”
Aku tersenyum nipis lantas mengeratkan genggaman kami. Am mengerling sekilas dengan pandangan yang penuh makna.
Kini, aku mampu menghela nafas lega bila semuanya telah selesai. Terima kasih mak, terima kasih Kak Anah! Tiada lagi ugutan Zura berdengung di telingaku. Pergilah segalanya. Pergilah jauh dari kami. Biarlah kami dengan kebahagiaan kami dan usah kau datang lagi wahai derita!

KERETA sudah berhenti tepat di hadapan pagar sebuah rumah banglo sederhana dua tingkat di Kampung Tunku, Petaling Jaya. Dadaku dipalu debar. Pertama kali menjejakkan kaki ke rumah keluarga Am benar-benar membuatkan aku tidak keruan.
Mata Am ku renung bagi mengurangi debar di hati bila Am meminta aku keluar dari kereta.
“Mari! Dah hampir waktu makan tengah hari ni. Semua dah tunggu tu!”
Aku keluar dari perut kereta bila Am sedia membuka pintu. Rasa bagaikan kaki tidak rapat ke bumi bila terdengar riuh rendah suara dari dalam rumah saat kami mampir ke ambang pintu.
“Assalamualaikum,” laung Am kuat sambil membuka kasutnya.
“Waalaikummussalam!” Bergema suara dari dalam rumah bila mereka menjawab salam hampir serentak.
Sejurus itu wajah Puan Insyirah tersembul di muka pintu. Dia nampak elegent dengan baju kurung dari jenis kain chiffon ungu lembut dan juga tudung dari rona yang sama. Aku menyusun jari menghulurkan salam.
Tanpa sempat aku menunduk mencium tangan itu, tubuhku terlebih dahulu disapa ke dalam pelukannya. Aku terpempan seketika dan dia lantas menarik aku ke dalam selepas meleraikan pelukan.
Izham yang duduk di sofa hampir kepada kami. Begitu juga dengan seorang lagi lelaki yang ku kira adik kepada Am. Pandangan Izham jatuh lama ke wajahku hinggakan aku terpaksa melarikan anak mata ke tangga yang kebetulannya Tuan Fakhri menuruni anak tangga.
“Sihat, Wafiah?”
“Sihat, Tuan!” jawabku mesra.
“Bertuan-muan apa pulak Fiah ni! Abah la!” usik adik Am sambil tersengih sumbing.
“Aqam, cakap baik-baik sikit. Jangan nak kurang ajar!”
Am mula memberi amaran pada adiknya. Aku tidak pasti di manakah maksudnya kurang ajar pada Am.
“Maaf, Fiah! Ni adik bongsu Am. Iqram Faremi nama dia. Tahun akhir Master di UMS. Ingat tak dulu tu?”
“Wafiah!” ucapku pada adik Am.
Kata-kata Am itu membawa aku kembali kepada peristiwa di KLIA beberapa bulan sudah hingga akhirnya aku terus menyerahkan hati ini kepada Am. Ah, malunya peristiwa itu.
“Ala, Abang Am ni! Tunang Abang Am dengan Aqam, sebaya je! Panggil nama jelah, boleh?”
Am membulatkan matanya kepada Iqram. Menunjukkan rasa tidak puas hati bila Iqram bagaikan menolak permintaannya.
“Tak kiralah kau dengan dia sebaya ke tak! Pangkat dia dalam rumah ni nanti itu yang penting! Aqam panggil Kak Fiah! Jangan nak gatal mulut panggil nama macam tu je,” ujar Am serius.
“Yalah-yalah!” balas Iqram mengalah.
“Kalau Fiah… ops… Kak Fiah nak tahu, Abang Am ni ortodok sikit. Semua hak dia tak usah nak usik. Saja cari nahas la tu, lepas tu nak orang dengar cakap dia je!”
Iqram terus melompat dari kerusi bila Am mula mendekatinya. Tawanya lepas bila Am mengangkat penumbuk. Aku tersenyum melihatkan keakraban keluarga ini.
“Kau pun sama, Iz! Jangan nak panggil Wafi ke apa ke. Panggil Kak Fiah tau!” tekan Am pada Izham tiba-tiba.
“Apa pulak Abang Am ni. Iz pula kena!” protes Izham dengan wajah yang berkerut hebat sambil menoleh ke arahku. Aku sekadar menjungkitkan bahu.
“Dah la tu, Am. Depan Fiah pun dia nak membebel kat adik-adik dia! Inilah Fiah kalau dah ada hero semua! Tu belum lagi bertekak. Mahu pecah rumah ni!” ujar Tuan Fakhri pula.
“Kamu semua ni dah la tu! Mama nak ke dapur kejap! Fiah duduklah dulu ya!”
Suara Puan Isnyirah menghalau niatku dari duduk. Aku lantas menyaingi langkahnya menuju ke dapur.
“Eh, kenapa Fiah ke dapur? Kan mama suruh Fiah duduk luar je! Biar mama buat sorang. Dah siap pun, tinggal nak hidang je!”
“Tak apalah, Datin! Saya tak biasa makan yang dah terhidang! Orang kampunglah katakan. Dah biasa buat kerja-kerja dapur,” jawabku lantas menyinsing lengan baju dan terus mengambil beberapa biji mangkuk dan aku cedokkan lauk pauk ke dalamnya.
“Cantik dapur Puan! Luas je. Selesa nak buat kerja macam ni, kan?” pujiku mematikan renungan Puan Insyirah kepadaku. Dia tersenyum dan mengangguk.
“Memang senang nak buat apa-apa kenduri! Semua ni Am yang bagi cadangan, nak besarkan dapur ni sebab katanya dia nak isteri dia nanti sama-sama duduk dengan mama kat dapur. Menyediakan makanan sama-sama. Katanya dia nak tinggal di sini lepas kahwin!”
Aku senyum mendengarkan cerita Puan Insyirah tentang Am. Seraya itu aku dan Puan Insyirah mengangkat beberapa mangkuk yang sudah terisi ke meja makan dan kami kembali semula ke dapur.
“Fiah setuju ke Am nak tinggal di sini lepas kahwin?” Soalan Puan Insyirah kali ini jelas yang dia sedang mengharapkan sesuatu.
Aku tidak terus menjawab sebaliknya aku capai beberapa gelas dan ku susun kemas di atas sebuah dulang lantas mengelap gelas-gelas itu dengan sehelai kain bersih.
“Insyaallah, andai jodoh tu milik kami, Fiah ikut je ke mana Am pergi. Bukankah tempat seorang isteri itu adalah di sisi suaminya. Kalau Am dah putuskan nak tinggal di sini, Fiah tak kisah!”
Puan Insyirah tersenyum senang mendengar jawapan dari mulutku. Sesungguhnya itulah yang ku rasa. Sebelum maut menjemput pulang, tempatku adalah di sisi suami biarlah ke lurah mana dia turuni, biar ke gunung mana dia mendaki, aku pasti akan setia padanya. Itulah janji aku pada emak.
“Kali pertama mama jumpa Fiah dulu, memang mama dah terpaut. Tapi, mama bimbang sikit dengan anak mama yang sorang lagi tu!”
Aku mengangkat wajah menentang wajah Puan Insyirah. Gerakan tanganku terhenti kaku.
“Siapa?” soalku sepatah.
“Iz… Izham!”
“Kenapa dengan dia! Fiah tengok dia baik-baik je!” rumusku tenang. Puan Insyirah mengeluh berat lantas dia menghampiriku. Tanganku diraih perlahan lalu digenggamnya erat.
“Zahir tu insyaAllah okey tapi dalam hati dia kita tak tahu!”
“Maksud Puan?”
Kali ini pandangan Puan Insyirah terus menerobos ke dalam anak mataku dengan wajah yang bimbang.
“Iz pernah cakap apa-apa pada Fiah?”
Aku menggeleng. Memang itulah yang sebenarnya. Kami tidak pernah berbicara lebih-lebih kecuali hal-hal pejabat sahaja. Biarpun sesekali Izham pernah mengusikku, tapi aku sekadar menerima usikan itu sebagai salah satu sifat lelaki.
“Betul dia tak pernah cakap apa-apa?”
“Tak ada,” jawabku seraya menggeleng.
“Kalau macam tu tak apalah! Mama saja nak tahu!”
“Tapi kenapa Puan tanya macam tu, ya?” soalku pula pinta penjelasan.
Sungguh! Aku dihambat rasa ingin tahu. Tiap-tiap renungan Izham bagaikan menghantar sesuatu kepadaku. Mungkin kali ini, aku bisa mendapatkan kepastian akan tindakannya itu setiap kali bersua denganku.
“Tak ada apalah!” balas Puan Insyirah.
“Yang Fiah ni dari tadi dok berpuan tuan segala ni, kenapa? Kami ni nak jadi mak mentua Fiah dah tau,” usik Puan Insyirah mengubah topik.
“Segan pulak nak panggil mama,” balasku tersipu-sipu.
Sedaya upaya aku cuba tersenyum sedangkan hatiku gelisah dengan soalannya sebentar tadi namun bila difikirkan dia sudah tidak mahu berbicara akan hal itu, aku terpaksa menelan semua telahanku sendiri.

BAB 30

USAI makan tengah hari, aku terus mengemas semua pinggan mangkuk. Saat aku sedang mencuci gelas-gelas kotor, Puan Insyirah menghampiriku.
“Sudahlah tu Fiah! Mari kita ke depan. Tinggal je nanti mama buat semua tu. Kita ada benda lagi penting nak bincang ni. Nak kena dapatkan persetujuan Fiah ni!”
Aku tidak dapat mengelak bila Puan Insyirah tidak sudah-sudah menarik tanganku walaupun gelas kotor masih berbaki di dalam sinki.
“Mama ingat kita buat kenduri menyambut tiga hari selepas kenduri kahwin, kamu berdua setuju ke?” soal Puan Insyirah saat aku melabuhkan duduk di sofa merah hati itu.
“Am tak kisah! Baik pada mama, baiklah pada Am!” Itulah keputusan Am dan bagiku rasanya lagi elok kalau lepas seminggu. Aku mahu berada bersama emak untuk seketika selepas menjadi isteri nanti.
“Fiah macam mana?” Kali ini semua mata terarah kepadaku bila Datin Insyirah menyoalku pula.
Berada di tengah-tengah keluarga yang sangat baru bagiku ini membuatkan aku tidak mampu meluahkan hasrat hati sendiri hingga akhirnya aku terpaksa mengiyakan sahaja.
“Fiah ikut jelah!”
“Mama kamu ni tak sabar-sabar nak tunjuk menantu kat kawan-kawan dia la tu!” usik Tuan Fakhri pada isterinya.
“Eh mestilah abang! Mana nak cari menantu secantik dan sebaik ni!” Datin Insyirah mengerling ke arahku dan aku sekadar tunduk memandang permaidani indah itu.
“Ni set barang kemas yang mama dengan Am belikan semalam. Fiah tengok dulu, kalau tak berkenan nanti kita tukar!”
Puan Insyirah menolak sebuah kotak baldu berwarna merah hati di depanku. Aku membukanya bila didesak oleh Am. Patutlah dia batalkan janji kami. Inilah hal yang dia maksudkan rupanya.
Subhanallah! Tidak pernah aku duga untuk menerima satu set barang kemas yang semewah ini. Aku kembali menutup kotak tersebut lantas aku tolak semula kotak itu kepada Puan Insyirah. Lima pasang mata yang memandangku pelik dengan tingkahku sebentar tadi.
“Fiah tak suka, kita pergi tukar!” ujar Am. Aku menggeleng.
“Tak! Fiah suka! Cantik sangat tapi Fiah tak boleh nak terima!”
“Tapi kenapa?” tanya Am tidak sabar.
“Fiah tak boleh nak terima barang kemas ni. Tak sesuai dengan Fiah!” ujarku lambat-lambat. Penuh hati-hati. Bimbang andai mereka berkecil hati.
“Habis tu Fiah nak apa untuk membatalkan air sembahyang nanti?” suara Puan Insyirah jelas gusar.
“Cukuplah dengan sebentuk cincin. Bagi Fiah, simbolik sebuah perkahwinan tu tetap pada cincin yang akan disarungkan nanti. Kalau gelang ke, rantai ke Fiah rasa sentimental value sebuah perkahwinan tu agak berkurangan!” jelasku lembut cuba menyatakan pendapatku.
“Fiah punya fikiran sama dengan abah. Tapi tak apalah, dah alang-alang Am dah beli, Fiah terimalah sebagai hadiah. Tak nak pakai simpan,” pujuk Tuan Fakhri.
“Dengar tu Am. Bertuah Am dapat isteri macam ni!” sambungnya lagi.
Aku mula tersipu malu. Sememangnya itulah yang aku rasa. Sebentuk cincin itu lebih hebat nilainya dalam sebuah perkahwinan andai hendak dibanding dengan barang kemas yang lain.
“Mama, Aqam nak tunang juga, boleh tak? Cincin mama banyak, kan? Bagi Aqam satu!” Suara Iqram yang tiba-tiba membuatkan mulut mama dan abahnya melopong hebat dan dia hanya tersengih sumbing.
“Kamu ni biar betul Aqam?” soal abahnya tidak percaya.
“La… apa pulak yang tak betul?”
“Kau ni main-main ya, Aqam?” sergah Izham tiba-tiba. Sedari tadi berdiam diri, ingatkan dah bisu! Getus hatiku sendiri.
“Entah dia ni! Dah gatal sangat la tu,” sampuk Am pula.
Iqram melepaskan tawa lantas dia mampir pada mamanya lantas duduk di birai sofa seraya melilitkan pelukan pada bahu mamanya.
“Sungguh ni, mama, abah! Aqam kan dah 26 tahun. Tak salah kan kalau Aqam nak tunang dulu. Boleh, kan? Cincin mama kan banyak. Bagi Aqam satu, tak payah nak beli!” ujarnya ceria.
“Boleh tu memang boleh tapi dengan siapa? Anak siapa? Nama apa? Kamu nak abah pergi pinang anak siapa ni?” Tuan Fakhri jelas memerli anak bongsunya. Aku hanya membantu menjadi pendengar setia. Dalam hatiku ada bunga bahagia melihatkan kemesraan mereka sekeluarga. Terselit jua rasa cemburu bila mengenangkan keluargaku yang sukar untuk meraih kebahagian.
“Adalah…,” jawab Iqram berselindung.
“Aduhai kau ni Aqam, nak tunang, tak nak cakap pulak siapa. Entah-entah kau nak tunang dengan anak kucing agaknya! Tak pun orang Marikh?” Suara Izham membuahkan tawa pada semua dah aku masih sekadar tersenyum melihatkan usikan mereka.
“Mana ada alien la, Abang Iz! Betullah! Manusia ni! Aqam jumpa dia dalam flight masa nak bertolak ke KK hari tu? Tak adalah cantik sangat macam Kak Fiah ni, just fine!”
“Pramugari ke? Mama tak berapa berkenan pramugari, Aqam!” pintas Puan Insyirah.
“Tak la mama. Dia cikgu la! Nak tunjuk gambar tak ada lagi tapi nama dah ada. Aqam panggil dia Lin,” beritahu Iqram bangga dengan buah hatinya.
“Mama ingatkan pramugari.”
“Kalau macam tu bawa dia datang rumah, senang kita bagi kahwin terus! Kita buat sekali dengan kenduri Abang Am ni. Hah, kamu Iz, tak ada calon?” Suara Tuan Fakhri membuahkan tawa pada mereka tapi Izham diam membisu. Hatiku dipagut curiga. Rasa ingin tahu membentak dengan kenyataan tergantung daripada Puan Insyirah tadi.

Puan Insyirah menjemput aku naik ke tingkat dua untuk menunaikan solat Zohor bersamanya. Aku sekadar menurut bila mengenangkan jam sudah menginjak ke jam 3.30 petang.
Selesai mengaminkan doa, aku hampir pada Puan Insyirah. Tangannya ku gapai lembut lantas ku kucup lama. Saat merasakan telapak tangannya singgah di belakang kepalaku yang masih bertelekung, setitis airmataku menitis jua.
“Terima kasih sebab menerima kami sekeluarga, Puan!” ucapku syahdu. Puan Insyirah mengangkat wajahku menghadap mata beningnya. Tersenyum bagaikan mengerti maksud di sebalik ucapan terima kasihku.
“Perkara lalu usah diungkit! Tiada siapa minta untuk berada dalam keadaan Fiah tak takdir Allah tak kira siapa, nak! Kesilapan itu semua bukan dari Fiah. Kejujuran keluarga Fiah dalam berterus terang patut dipuji. Benda yang paling jauh daripada kita adalah sejarah, Fiah sedangkan mati itu semakin menghampiri. Dah jodoh kamu berdua. Dengan izin Allah, kami semua merestui kamu! Mama harap Fiah boleh menjaga Ilham sebaik mungkin. Mungkin dia sedikit mengongkong dan pemarah sikit tapi mama yakin Fiah boleh terima dan atasi semua tu sebab dia hanya akan menyekat sesuatu yang di sayang agar tidak dicapai orang lain. Barang-barang dia pun dia jaga rapi apatah lagi wanita yang akan berkongsi hidup dengannya!”
Aku menunduk mendengar ulasan panjang Puan Insyirah mengenai anak sulungnya. Memang begitulah Am yang aku kenali beberapa bulan ini.
“Kalau kata Am tersilap langkah, tersalah simpang, mama mohon, Fiah tuntunlah dia agar sentiasa berada di atas kebenaran,” sambungnya lantas menarik aku ke dalam pelukannya.
“Fiah cerdik, baik, menjaga solat, tak kekok di dapur, taat pada orang tua, macam mana mama tak berkenan pada Fiah. Fiah adalah kejadian Allah dan kejadian Allah itu penuh dengan rahsia, hikmah dan keindahan. Mama nampak hikmah dan keindahan itu dalam diri Fiah.”
Kata-kata Puan Insyirah kali ini membuatkan airmataku menitis laju. Terharu benar dengan penerimaannya. Andai emak mendengar pujian ini menyiramiku, pasti emak turut menitiskan airmata setelah sekian lama anaknya diherdik orang sesuka hati.

MALAM itu aku menelefon emak menyatakan niat keluarga Am untuk mempercepatkan majlis pernikahan kami dua minggu.
“Macam mana pendapat mak?” soalku.
“Mak ikut je Fiah! Lagi cepat lagi elok sebenarnya. Dah alang-alang Am nak cepatkan, Fiah terima jelah. Lagipun mak dah hampir siapkan semua keperluan yang kat kampung ni! Persalinan Fiah atau barang-barang keperluan yang Fiah rasa tak ada kat kampung ni, Fiah sediakan kat sana! Barang hantaran semua macam mana?”
“Emm… inilah Fiah nak cerita kat mak ni! Dah siap semua mak. Si Am tu entah bila dia belikan untuk dua belah pihak sekali. Katanya tinggal barang-barang tradisi jelah. Fiah pun pening dengan dia ni. Buat semua tak nak bincang dulu. Dia dah siapkan semua, baru dia bincang dengan Fiah!” rungutku pada emak.
Emak ketawa dan serentak itu aku mendengar suara riuh rendah di belakang emak. Mungkin saja Amir dan Amira bergaduh sesama sendiri. Sudah lama tidak ku dengar suara mereka. Terasa rindu benar.
“Kenapa tu mak?”
“Budak berdua tulah. Kejap main elok, pastu bergaduh. Biarlah dia! Yang Fiah ni macam mana?”
“Macam mana apa?” soalku kembali dan aku dapat menangkap satu keluhan kecil di hujung talian.
“Fiah ni mengalamun ke apa?”
“Dah itu kata mak, Fiah okeykan jelah! Esok ni nak fitting baju pulak. Terpaksalah minta cuti lagi! Nak raya nanti terus tak ada cuti Fiah ni mak!”
Aku sedikit sebanyak lega bila emak menyatakan persetujuannya bila Am mahu mempercepatkan majlis itu. Tak sabar betul dia ni! Rungutku sendiri. Mindaku sudah tiada daya memikirkan kejutan demi kejutan yang Am berikan untukku.
Padahal berbuih mulutku berpesan padanya agar segala benda dibawa berbincang denganku terlebih dahulu tapi akhirnya, ingatan itu berlalu di angin lalu. Mata yang berat sudah hampir tertutup.

TENGAH hari esoknya aku sendirian ke Butik Seri Pengantin di Subang Jaya bila Am tidak dapat datang kerana terpaksa mempengerusikan satu mesyuarat penting. Biarpun Am meminta agar aku menangguhkan dahulu temujanji untuk mencuba pakaian pengantin kami, aku tetap berkeras mahu ke sana kerana aku telah memohon cuti pada hari tersebut.
Dia akhirnya merelakan dengan berat hati. Aku puas hati bila kemenangan kali ini adalah milikku. Setelah berkali-kali aku mengikut kehendaknya, aku ingin dia mengikut kehendakku pula. Sementelah pula, aku harus mengambil kad jemputan yang telah siap dicetak.
Butik Seri Pengantin itu telah dipilih sendiri oleh bakal mentuaku. Ditambah pula butik itu adalah milik isteri Encik Azhan iaitu Puan Seri. Katanya dia sentiasa berpuas hati dengan rekaan yang dihasilkan. Aku sekadar mengikut, andai itu yang terbaik.
Puan Seri mendekatiku dengan wajah yang manis. Aku lantas menghulurkan salam dan dia menyambut huluran jemariku lembut.
“Pandai Am pilih suri hidup dia,” usiknya bersahaja.
“Nama Fiah, kan?” Aku mengangguk. “Ya, Puan Seri.”
“Fiah tak payah la nak berprotokol sangat. Aunty ni bukan Puan Sri tu tapi dah memang nama Seri. Seri Intan,” selanya lantas ketawa. Aku tersenyum sumbing.
“Tapi Puan kan isteri bos saya!” protesku lembut.
“Tak ada-ada. Suami aunty memang bos Fiah tapi aunty ni tak. Fiah duduk kejap ya? Aunty pergi pilih beberapa pasang untuk Fiah cuba. Kalau tak kena, terbesar ke terkecik ke, nanti kita boleh alter! Amnya tak datang pulak?”
Aku menggeleng. “Dia sibuk sikit hari ni!”
Puan Seri seraya menepuk bahuku lembut dan dia lantas berlalu dan menghilang di sebalik langsir labuh warna kuning keemasan itu. Sebentar kemudian dia muncul kembali dengan seorang pekerjanya membawa beberapa pasang persalinan pengantin yang aku kira elegan semuanya.
“Cantik, Puan Seri!” Suara pekerja Puan Seri aku dengar sekadarnya. Memang cantik semua persalinan yang ditayang di depan mataku.
“Memang semuanya cantik-cantik. Saya dah mula rambang mata,” selorohku.
“Fiah ni, dia maksudkan Fiah la! Apa pulak baju ni!” Aku memandang kepada pekerjanya.
“Cik Fiah memang cantik. Patutlah Puan Insyirah asyik dok puji Cik Fiah!” ujarnya.
Aku mengerutkan wajah. Lain yang dimaksudkan, lain pula yang aku faham. Aku tersengih menahan rasa malu yang menjilat wajah. Rasa malu sendiri bila diriku sudah menjadi topik hangat Puan Insyirah.
“Mari Fiah. Kita ke dalam. Cuba beberapa baju ni dulu atau mana-mana yang Fiah berkenan. Aunty akan jadikan wedding kamu dengan Am menjadi wedding of the year. Aunty penat pun tak apa, janji aunty nak abadikan semua kreativiti aunty ni dalam majlis kamu berdua nanti,” terangnya bersungguh-sungguh.
Aku dan pekerjanya itu membontoti langkah Puan Seri ke dalam.
“Dah lama Puan Seri kenal Puan Insyirah?” soalku sewaktu mencuba baju pertama.
Hatiku terpaut benar pada baju kurung moden labuh dari jenis kain lace dipadankan dengan kain potongan payung yang mewah berkilau dengan batu-batu kristal berwarna putih mutiara seperti kegemaran Am. Jatuh cinta pandang pertama lagi! Hatiku malu!
“Lama dah. Sebelum aunty kahwin dengan bos Fiah lagi. Kebetulan pula aunty kahwin tu memang Kak Irah kenalkan dengan saudara dia. Masa tu Ilham tu baru tadika! Budak tu dulu garang! Tak berubah sampai la masuk sekolah rendah, menengah, lepas tu ke oversea. Aunty memang ikut perkembangan budak tiga beradik tu! Lebih-lebih lagi Am. Kerap kali jugak mama dia luah perasaan dekat aunty. Pantang barang dia terusik, habis satu rumah dia amuk,” terang Puan Seri tanpaku pinta.
Sesekali mendengar cerita tentang bakal suamiku dari mulut orang lain seronok juga. Dari situ, aku bisa memahami dirinya sedikit demi sedikit dalam pada kami ingin menjurus ke arah hubungan suci itu.
Agaknya, mungkin itulah yang dimaksudkan oleh Tuan Fakhri perihal anak-anaknya. Mungkin sahaja, semua pergaduhan itu berpunca daripada bakal suamiku? Teringat pada kata-kata Iqram. Ordotok katanya! Kuno! Aku ketawa sendiri.
“Kak Irah pernah mengadu dengan aunty, dia risau kalau Am payah nak dapat jodoh dengan sikap dia yang tak tentu hala tu. Dengan semua perempuan yang nak dekat dengan dia habis dibuat seteru. Tapi dia penyayang. Ambil berat dekat semua orang lebih-lebih lagi orang-orang yang dia sayang. Kami tahu, jauh di lubuk hati dia tu, dia mudah terluka. Cuma ego dia tu dok kat puncak KLCC!” Puan Seri ketawa kecil.
“Aunty ingat masa dia bersekolah di tingkatan lima dulu, bergaduh dengan adik dia Izham, semuanya pasal Izham usik basikal BMX kesayangan dia, jenuh bertumbuk. Sudahnya, dia yang menangis!”
Mata Puan Seri ku tenung dari dalam cermin. Dia menggeleng kepala. Mungkin tercuit dengan kenangan lama. Tangannya masih lincah membelek pakaian di badanku.
“Dia tumbuk orang dia menangis, kenapa?” tanyaku pelik.
“Itulah Kak Irah cakap. Am ni memang susah nak duga perangai dia. Dalam sekelip mata dia boleh bertukar-tukar mood. Izham yang dah lebam tak ada pulak menangis! Itulah, bila mama dia cakap dengan aunty yang Am jatuh cinta pandang pertama, aunty terkejut! Lepas tu nak kahwin tak dan-dan! Lagilah aunty terkejut,” luah Puan Seri lantas meletakkan sehelai selendang dari rona warna yang sama di kepalaku.
Selama ini, Am sentiasa mengecop aku sebagai seorang yang sukar untuk diduga sedangkan dia lagi payah untuk ku baca. Benarlah seperti yang aku dengar sekarang, setiap tindak tanduknya sukar ku tafsir.
“Bos Fiah tu bukannya nak bercerita dekat aunty ni. Lepas majlis hari tu aunty ada jugak usulkan pasal Fiah. Dia kata tak nak komen hal orang-orang muda ni tapi dia yakinkan aunty yang pilihan budak Am tu tepat,” omelnya lagi. Aku sekadar tersenyum nipis menerima kata-katanya.
“Puan Seri memang rapat dengan mereka, ya?” Puan Seri melepaskan keluhan tipis. Bening matanya tampak suram.
“Aunty tak ada anak, Fiah! Itu sebab aunty baik dengan anak-anak Kak Irah dan Abang Ri! Aunty dah anggap mereka semua tu macam anak-anak aunty! Alhamdulillah, kami suami isteri tetap bahagia,” luahnya bernada getar.
Kini fahamlah aku mengapa dia terlalu mengambil berat akan pernikahanku dengan Am. Dia terlalu rapat dengan Puan Insyirah.
Selama ini, tidak pernah aku mengambil tahu akan keadaan keluarga Encik Azhan dan dia tidak pernah bercerita. Hajat untuk bertanya lanjut ku pendamkan sahaja bila Puan Seri sendiri mula mengubah tajuk perbualan. Aku tidak tahu. Yang nyata, wanita ini juga sebaik emak, sebaik Puan Insyirah.

Sudah berbelas baju yang aku cuba, namun yang pertama itu juga yang telah menambat hatiku. Yang pertama itu jugalah yang menambat citarasa. Memang itulah yang akan membaluti tubuh kami di hari bahagia itu nanti.
Perasaanku kala ini terlalu sukar untuk ku gambarkan. Betapa aku bahagia dengan rahmat Allah. Kurang daripada sebulan, aku akan menjadi suri lelaki yang aku cintai. Yang penting bagiku, dia jua menyintaiku. Janji Am padaku kemas tersemat di hati. Janjiku padanya juga akan ku pertahankan sampai mati.
“Wafiah!”
Aku tersentak bila ada suara menegurku. Aku berpaling mencari empunya suara dan seperti yang ku jangka, Fazlee hadir lagi di depan mataku. Cuma aku tidak menjangka, secepat ini dan di tempat ini pula.
“Memang satu kebetulan kita boleh jumpa di sini,” selaku sinis. Fazlee tersenyum tawar.
“Bukan kebetulan. Lee memang ikut Wafi!” Aku tersenyum tipis. Seperti yang ku telah.
“Lee nak cakap sikit, boleh?”
“Kenapa kau tak nak faham, Fazlee? Aku tak nak kau hadir lagi depan mata aku. Bumi Allah ni luas, kenapa mesti kau muncul depan aku saat aku tak sudi menerima kehadiran kau?”
Fazlee terdiam bagaikan kehilangan kata dan aku ingin mengambil peluang ini meluahkan segala. Aku mahu menoktahkan segalanya. Andai dulu Fazlee yang menoktahkannya tapi kali ini biarlah aku pula.
“Kenapa kau mesti nak seksa hidup aku macam ni? Tak puas lagikah kau nak merosakkan hidup aku? Aku bakal bersuami Fazlee dan aku tak nak dia dapat tahu akan kehadiran kau!” luahku bertubi-tubi.
“Wafi tak nak dia tahu sebab Wafi takut dia tinggalkan Wafi sebab Wafi masih cintakan Lee, macam tu?” Suara sebak Fazlee sedikit mengugut.
“Tidak Fazlee sebab kau adalah masa lalu. Tak ada gunanya aku mengungkit hal yang lepas pada dia kerana dia adalah masa depan aku! Lagipun aku tak pernah melakukan hal yang memalukan dengan kau, tiada istilah takut ditinggalkan atau sebaliknya!”
Aku tenang meluahkan kata. Biarlah aku menang secara psikologi dengan lelaki ini. Hendak beradu tenaga itu tidak mungkin. Kehadiran Fazlee yang merayuku sedikit sebanyak membuatkan jiwa wanita cuak. Bimbang andai benar perkara ini sampai ke telinga Am dengan cara yang salah.
“Lee tak boleh nak terima semua ni, Wafi. Lee kecewa Wafi ambil keputusan nak berkahwin! Lee tak boleh nak terima!” Fazlee mula membentak dan hatiku mula membengkak. Darah panasku mendidih sudah.
“Berani kau cakap macam tu pada aku? Dulu masa kau tinggalkan aku ada kau fikir perasaan aku? Ada kau fikir aku boleh terima atau tidak keputusan drastik kau tu selepas bertahun aku setia pada kau? Ada aku persoalankan keputusan kau untuk tinggalkan aku?” herdikku turut meninggi.
Aku menahan rasa. Ikutkan hati ingin saja aku menghamburkan maki hamun kepada lelaki ini dengan kata-kata kesat. Mengapa sukar benar itu dia mengerti. Wajahku pula sudah menebal bila ada mata-mata yang sudah memandang ke arah kami. Menyaksikan adegan yang aku sendiri benci.
Fazlee menunduk lagi sebelum dia meraih pergelangan tanganku ke dalam jemarinya. Aku terpempan.
“Kau jangan nak kurang ajar kat sini, Fazlee! Kau tak ada hak nak sentuh aku!”
Aku merentap kasar tanganku dari pegangannya dan pantas aku berlari menuju ke keretaku yang terparkir di belakang bangunan.
Belumpun sempat aku menekan punat hijau pada kunci kereta itu, Fazlee sekali lagi meraih tanganku. Kunci kereta jatuh di hujung kaki. Aku tidak menyangka tindakan Fazlee yang tegar mengekoriku.
Hari ini aku telah salah membuat perhitungan dalam keputusanku. Bersungguh-sungguh Am meminta aku menangguhkan dulu dan beria-ia juga aku ingin ke sini seorang diri. Akhirnya aku terjerat oleh Fazlee.
Lorong belakang bangunan yang kosong membuatkan aku tidak betah dengan setiap tindakan Fazlee. Ringan saja aku ingin menampar wajah sayu itu.
“Jangan kau sentuh aku!” jeritku lantang.
Fazlee tidak ambil peduli dengan rontaan aku dalam pada usaha melepaskan tangan yang sudah menjadi mangsanya.
“Kenapa kau buat aku macam ni? Kenapa kau datang lagi dalam hidup aku ni? Tak cukupkah sekali kau datang ke tempat kerja aku sampaikan kau sanggup ikut aku sampai ke sini?” ucapku sayu bila Fazlee tiada tanda untuk merelakan langkahku.
“Lee datang hari tu Lee nak minta maaf dengan Wafi. Tapi, tiba-tiba lelaki tu masuk! Lee tak sempat cakap apa-apa!” akuinya.
Aku pandang wajah Fazlee. Menghantar rayuan dalam diam agar dia melepaskanku.
“Fazlee, lelaki yang kau maksudkan tu nama dia Ilham Fitri dan dia adalah bakal suami aku. Dia akan menjadi ayah pada anak-anak aku. Hal kita dah lama berlalu. Bukan salah sesiapa tapi dah tersurat di landasan takdir! Pergilah Fazlee. Aku tak perlukan kau dalam hidup aku walaupun sebagai teman!”
Suaraku sudah tenggelam timbul dek rasa sebak yang sudah mencengkam diri. Rasa sebak bila Fazlee tidak sudah-sudah mahu membawa hujan airmata dalam hidupku.
“Lee cintakan Wafi! Kita kahwin. Lee akan tinggalkan segala-galanya untuk Wafi! Lee tak kisah siapa keluarga Wafi! Lee yang salah dulu sebab tinggalkan Wafi walaupun Lee tahu semua tu bukan kehendak Wafi. Wafi kena faham, masa tu Lee keliru. Tapi, selepas pemergian Wafi, Lee yakin Lee masih cintakan Wafi. Berkali-kali Lee lukakan Wafi tapi Wafi tetap maafkan Lee. Lee yang jahat sebab tinggalkan Wafi dulu. Kita kahwin, sayang?!” Luahan hati Fazlee aku biarkan di angin lalu. Aku penat untuk terus lari. Aku letih untuk membuat dia mengerti.
“Kalau kau dah tahu salah kau, pergilah! Jangan ganggu aku!” ujar lemah.
Aku tunduk menggapai kunci kereta di kaki Fazlee dan saat aku berdiri, tubuhku sudah berada di dalam pelukan Fazlee.
“I love you damn much!” gumamnya ke telingaku.

~~~>bersambung

No comments:

Post a Comment