Wednesday, May 01, 2013

Hanya Ingin Kau Cinta 24


BAB 24

DIAM.  Tekun aku mendengar suara Amar di hujung talian. 
“Tuan Radzi ada beritahu I yang permohonan you sedang dipertimbangkan.  Tapi, satu soalan I nak tanya…”  Amar menghentikan suaranya. 
Nafasnya dihela dalam sebelum dia menyambung.
“Apa-apa terjadi, you dah kuat nak hadapi?” 
Serius saja soalan itu kedengaran.  Pada aku pula, apa saja terjadi, aku benar-benar telah nekad.  Ini yang aku inginkan. 

“I dah lama sedia, Amar.  Sejak I mula rasakan ada yang tak kena dalam kes kematian orang tua I bukan kemalangan biasa…”
“Kalau kata jawapan yang you dapat tu sangat menyakitkan, you sanggup?” 
“Ya!”  Tegas aku menjawab.
Amar harus mengerti.  Aku sungguh mahu mencari pembunuh ayah dan umi.  Biarpun Nine bagai tidak bersetuju tapi ini kehendak aku.  Laluan yang Tuan Radzi buka telah membawa bibir aku tersenyum tipis biarpun tak mampu melebar lagi. 
Dia memberi laluan  yang aku sedang cari.  Jadi, untuk apa aku sia-siakan peluang dan ruang yang ada? 
“Okey, Naina… Cuma satu you kena ingat, satu hari nanti kalau you terpaksa beralah, I akan teruskan niat you tu.  I akan ada bantu you di belakang.  Ini misi kita bersama.  Sebaik saja pihak atasan luluskan, I akan temankan you siasat semua perkara ni,” ujar Amar pula.
Dahi aku sedikit berkerut menerima kata-kata Amar.  Terasa sedikit pelik dalam setiap kata-katanya.
“Cuti habis lusa, kan?” 
Tersentak. 
Cepat-cepat aku kembali pada suara Amar. 
“Ya…”
“Nak I jemput?”
“Eh, jangan…”  Cepat-cepat aku melarang.
“I balik sendiri….”   Gelabah aku menolak pelawaan Amar.
Dia ketawa tipis.  “Ingatkan boleh jumpa keluarga bakal mertua,” selorohnya bersama tawa yang sedikit kuat.
Aku tahan hati dan mengerutkan wajah. 
“Keluarga mertua?  Bakal mertua you kat kampung ni ke?”  soal aku polos.
“Bakal isteri I pun kat sana,” jawab Amar.
Semakin terbelit kepala.  “I tak pernah tahu pun…”  sela aku sedikit tak berpuas hati. 
Sedangkan selama ini kami kerap kali bersama, tapi pandai sungguh Amar menyimpan rahsia.
“You ada cermin?” 
Ada,”  jawabku ringkas.
“Tilik muka you.  Kalau wajah you terpantul dari cermin tu, you lah orangnya.  Kalau orang lain, orang lainlah,” ujar Amar lantas dia matikan talian.
Nafas panjang aku hela.  Baru aku mengerti.  Amar menyukai aku dan aku juga begitu tapi cinta…
… untuk dia.
“Amar telefon?”  Suara Nine menegur sebaik saja aku matikan talian.
Pantas aku berpaling dan mengangguk.
“Awak dengar ke?” 
Dia kedipkan matanya sekali.  “Maaf, tak sengaja.  Terdengar dan tiba-tiba rasa ada perkataan mertua bagai, tertarik nak dengar.  Awak marah?”  tanya dia kembali.
Aku senyum dan menggeleng.  “Amar bergurau.”
“Pada saya dia tak bergurau.”  Suara Nine mendatar.  Tanpa nada.
“Awak marah?” 
Bibirnya tercebir.  “Why should I?”
“Saya tolak awak?” 
For your sake, itu semua tak jadi hal pada saya.  Janji awak kembali pada saya seperti mana yang telah awak janjikan,” jawab Nine cepat.
Aku diam seketika.  Telefon bimbit aku sumbat ke dalam poket seluar.  Nine juga menyeluk saku seluarnya. 
Mata itu merenung aku penuh tanda tanya.  Sesekali aku memandang ke pintu dapur.  Mengintai mak ngah yang baru saja masuk ke dapur.
Bibir aku bergetar hendak mengatakan sesuatu.  Aku tahu, kes kali ini tidak mudah.  Emosi aku mungkin tercalar bila melibatkan darah daging sendiri.  Boleh jadi aku bertindak di luar batasan dan boleh jadi juga, aku akan terkorban dalam sekelip mata. 
“Awak nak cakap, kalau awak tak mampu tepati janji dan tak akan kembali?”  duga Nine tepat.
Dia mampu… mampu membaca fikiran aku kali ini.  Sebenarnya dulu juga.  Lirikan dan pandangan dia, jelas berbicara biarpun bibir itu kerap kali terkatup.
Kepala aku jatuhkan beberapa kali.  “Awak boleh terima, kan?” 
“Tapi, rasanya awak yang akan terima jasad tak bernyawa saya, Naina…” 
Dan lidah aku, terpasung terus pada lelangit.  Cuba mencari apakah makna dari kata-katanya.



PAGI itu aku agak kalut mencari kelibat Nine.  Semua arah dan sudut rumah tiada bayangan dia.  Jengah  ke dapur, hanya mak ngah yang ada.  Sedang mengacau air. 
“Mak ngah ada nampak Nine?”  soal aku sambil kaki meniti anak tangga turun merapati mak ngah.
Kening mak ngah berkerut. 
“Mak ngah ingat dia dengan kau?  Bukan ke?” 
Sudah.  Hati aku sudah tidak betah.  Terasa Nine telah pergi jauh meninggalkan aku yang mahu tinggalkan dia. 
“Naina tak jumpa dia lagi sejak dari semalam, mak ngah.”  Wajah aku cuak.  Hati aku berdebar.
“Pagi tadi ada dia bangun solat Subuh.  Terserempak dengan mak ngah.  Lepas tu tak nampak pulak dia keluar bilik.  Dalam bilik tak ada ke?  Tidur kot?”  duga mak ngah tapi aku menggeleng.
“Tak ada.  Naina dah cari dalam bilik.  Dia memang tak ada dan pakaian dia…”  Kata-kata aku terhenti. 
Cepat-cepat aku berlari memanjat anak tangga menuju ke bilik dan menggeledah almari.  Ternyata, pakaian milik Nine sudah tiada.  Beg galasnya juga tiada.  Katil juga kemas terletak.  Tiada kedutan langsung. 
Segalanya sudah dikemas rapi.  Tak perasan bila aku sekadar menjenguk di balik pintu saja tadi. 
Ada ke, Naina?”  soal mak ngah sudah ada di belakang aku, mengelap tangannya yang basah.
Pada mak ngah aku berpaling dan menggeleng. 
“Nine dah pergi,” jawab aku perlahan. 
Airmata rasa hendak menitis tapi aku tahan.  Boleh jadi Nine pergi kerana ada urusan yang belum selesai tapi kenapa aku rasa, pemergian dia adalah kerana aku. 
“Kak Nai…” 
Aku dan mak ngah sama-sama berpaling pada suara yang memanggil.  Wajah Suryani terjengul di muka pintu.  Nampak sedih dan tidak beriak.
“Kenapa, Yani?”  tanya mak ngah bila aku bagaikan sudah tak mampu nak bersuara. 
Abang Nine bagi.”  Dia menunjukkan sekeping kertas pada kami. 
Berjalan menuju aku yang sudah terduduk di birai katil. 
“Dia pergi mana?”  soal mak ngah mula tidak sabar.
Suryani jongket bahu.  “Entah… dia bawa beg.  Lepas pesan kat Yani bagi surat ni dekat Kak Nai, dia senyum lepas tu terus pergi,” jawab Suryani yang juga nampak tidak mengerti akan apa yang jadi.
Aku tidak menyambut kertas  dari tangan Suryani.  Tetapi, mak ngah mengambilnya dan disuakan pada aku.
“Kau dengan Nine bergaduh ke?” 
Aku menggeleng. 
Mana ada. Kami tak bergaduh.  Bertekak juga tidak.  Menjeling jauh sekali.   Dia senyum menerima keputusan aku yang muktamad.  Tak kan kerana Amar?  Dia tahu aku mencintai dia.  Dia juga tahu aku tidak memilih Amar.  Tapi kenapa? 
“Kalau tak bergaduh tak kan dia lari macam tu je?”  tanya mak ngah sedikit keras.
Aku diam mengetap bibir. 
“Err… Abang Nine tak lari, mak.  Dia cakap dekat Yani.  Dia ada kerja perlu diselesaikan.  Dah selesai nanti, dia balik semula sini,” sampuk Suryani.
Mak ngah lepaskan nafas berat.  Dia duduk di sisi aku dan menyapa belakang tangan aku.  Menepuk perlahan kemudian memeluk bahu aku pula.
“Tak mungkin dia pergi sebab Naina tolak dia, mak ngah,” telah aku lebih pada diri sendiri.
“Dia cakap dia nak kembali, kan?” 
“Ya tapi…”  Suara aku mati.
Sudah tak tahu hendak mencerna kata-kata.  Pelik dengan perbuatan Nine.  Sentiasa hilang di saat genting begini.  Muncul di kala aku benar-benar memerlukan dan perginya di saat aku sendiri tak sedar.  Siapa dia?  Sungguh aku mahu tahu siapa dia sebenarnya.
“… dia tak boleh pergi macam ni je.  Buat Naina risau…”  sambung aku tertahan-tahan. 
Sebaknya dada hanya Tuhan yang tahu.  Mereka tidak tahu, Nine juga tidak tahu menahu.  Dia baru saja tiada tapi aku, sudah pandai merindui.  Adakah kisah ini adalah sebuah kisah yang salah, aku makin keliru. 
“Kalau risau, kenapa nak tolak lamaran dia?!”  sembur mak ngah sinis. 
Dia bangkit berlalu ke pintu.  Suryani hanya memandang kami tanpa berkata apa.  Mak ngah menyelak langsir dan berpaling seketika.
“Ingat senang lelaki yang nak terima kita seadanya kita, Naina?”  tambah mak ngah menjadikan pipi aku terasa hangat dinodai titisan airmata yang mengalir lesu. 
Susuk tubuh mak ngah yang hilang aku pandang.  Kini, hanya langsir yang melambai dan tubuh kurus Suryani berdiri tegak di sisi pintu. 
“Kakak okey?”  soal dia.
Cepat-cepat aku lap airmata dan tersenyum.  Kertas yang mak ngah letak di atas telapak tangan tadi, sudah renyuk rupanya. 
Tak sedar bila dia sudah merapati.
Abang Nine pergi sebab dia perlu pergi.  Itu yang dia pesan pada Yani kalau Kak Nai sedih,” jelas Suryani.
Aku senyum dan ketawa halus.  “Kakak sedih?  Sebab dia pergi?  Dah kenapa kakak nak sedih pulak?  Dia tetamu, Yani… bila-bila masa dia boleh pergi kalau dia nak.  Nak halang buat apa,” ujar aku bertahan dari pedih.
Teguh menyembunyikan rasa sebu. 
Suryani nampak terkebil-kebil memandang aku yang sudah menapak mendekati jendela.  Aku kuak langsir.  Angin menerobos masuk. 
Wangian Nine terasa memenuhi ruang.  Biarpun hanya beberapa hari dia menghuni bilik aku ini, rasanya sudah setahun dia di sini. 
“Apa lagi dia pesan?” 
“Kakak jaga diri baik-baik sementara dia pulang,” jawab Suryani perlahan.
Bibirku mengukir senyuman mengenget.  Jaga diri baik-baik.  Memang itu yang sentiasa meniti di bibir dia. 
“Dia tak bagi tahu bila nak balik?” 
Suryani diam.  Bila aku kalih, dia sedang menggeleng. 
“Dia nampak susah hati.” 
Sebaris ayat Suryani sudah cukup membuatkan aku mengeluh sendiri.  Dia lebih jauh susah hati daripada aku.  Boleh jadi susah hati kerana punyai wanita yang dicintai tapi tugas wanita itu tak ubah seperti telur di hujung tanduk.  Silap perhitungan, nyawa tergadai. 
“Sebab?”  Sepatah aku menyoal.
Mata Suryani aku tenung dalam-dalam.  Mencari jawapan yang pasti bila dia nampak teragak-agak hendak bersuara. 
“Yani pun tak pasti.  Apa yang pasti, dia pergi lepas dia terima panggilan.  Lepas tu dia terus bersiap.  Yang selebihnya Yani tak tahu, kak,” jawab Suryani lalu dia berpaling dan terus menapak keluar daripada bilik. 
Aku kembali terduduk di tepi dinding.  Memeluk lutut sendiri kemas.  Membayangkan wajah Nine yang sugul tapi panggilan?  
Ya, panggilan.  Setiap kali dia menerima panggilan, pasti ada perkara yang tak terduga berlaku. 
Pasti!
Serta-merta teringat akan perbualan kami yang terakhir sebelum aku pejamkan mata lewat malam tadi.  Nine menelefon.  Dua kali barulah aku temui kekuatan hendak menjawabnya.  Itupun setelah Suryani menegur. 
“Saya rindu awak.”  Ringkas dan tulus pengakuan dia.
Aku senyum.  “Tidurlah.  Dah lewat ni,” balasku langsung tidak memberi tindak balas pada pengakuan rindu dia.
“Saya rindu awak.”  Sekali lagi dia mengakuinya.
“Dah lewat.  Tidur, ya?”  suruh aku sekali lagi.
“Saya rindu awak.”  Kali ini ditekan sedikit hujung suaranya. 
Lama aku diam.  Menikmati helaan nafas Nine yang sedikit kasar. 
“Kenapa ni?”  tanya aku. 
Terasa pelik.
“Saya rindu awak.  Itu je yang saya tahu buat masa sekarang.  Tiba-tiba teringat pertemuan pertama kita, kes saya kena tembak, awak kena culik…”  Mati begitu saja suara dia kali ini. 
“Hal dah berlalu, Nine… lupakan.  Atau awak masih rasa sakit luka awak tu?” 
Nine diam tidak menjawab. 
“Parut masih ada, kan?” 
Nine tetap diam.
“Tak nak cakap, tidurlah.  Esok kita sembang…” 
“Tak nak…”  Dia mencantas.  Tak mahu aku mematikan talian.
“Saya takut tak ada esok untuk kita…”
“Lusa ada jugak…”
“I am serious, Naina…”  tekan Nine.
Terkaku aku seketika.  Biarpun suara itu cukup perlahan tapi cukup keras di telinga aku.
“Awak nak buru Neo, kan?” 
“Mungkin…  saya kena siasat dulu siapa dalangnya.  Boleh jadi Neo atau boleh jadi orang lain.  Saya harap awak dapat jauhkan diri daripada lelaki psiko tu, Nine.  Percayakan saya dan pasukan saya,” pujuk aku bila sudah mula menghidu sesuatu yang tidak enak.
“Kalau kata betul-betul Neo yang terlibat dalam kes arwah orang tua awak…”
“Saya mungkin akan bunuh dia dengan tangan saya sendiri,” cantas aku tak sempat Nine menyudahkan ayatnya.
“Puas hati dengan kematian Neo?”
“Kalau betul dia yang bertanggungjawab atas segalanya,” jawab aku pula.
“Tapi, kenapa awak tanya semua ni?” 
Nine diam.  Tidak menjawab soalan aku sebaliknya dia mengemukakan soalan lain pula. 
“Awak tak nak kenal saya siapa, Naina?  Maksud saya, Nine yang sebelum ni.”
“Penting ke masa lalu?”  soal aku kembali.
Nine mengeluh.  “Penting pada saya…” 
“Nine…”  Namanya aku seru panjang.
“Masa lalu awak tak penting pada saya.  Kenapa tiba-tiba ni?  Sebab saya tolak lamaran awak, awak rasa macam ni?  Kan awak dah cakap boleh terima.  Tapi, sekarang ni, kenapa tanya pelik-pelik?  Masa lalu awak, hak awak.  Janji awak berubah, itu dah cukup baik buat saya.  Saya kenal awak sekarang bukan dulu kala, Nine.  Kenapa?  Takut saya mungkir janji?  Jealous dengan Amar?” 
Tak sedar, bertubi-tubi soalan dan ditutupi dengan nama Amar.  Secara tak sedar terluah nama lelaki itu.
“Kalau Amar mampu jaga awak lebih baik, saya rela…”
You didn’t appreaciated me at all, don’t you?”  duga aku.
“Nope… saya hargai awak tapi jujurnya saya jahat, Naina…” 
Aku semakin pelik.  Selimut yang sedari tadi meliputi seluruh tubuh aku tolak ke tepi.  Rasa sesak tiba-tiba dengan pengakuan Nine yang juga tiba-tiba.  Sebelum ini aku ada bertanya tapi dia agak berahsia. 
Malam ini, saat kami mahu lelapkan mata, kenapa berbicara soal ini bila hati aku benar-benar tulus hendak menerima dia seadanya dia? 
“Kenapa ni?  Saya tak pernah persoalankan pun…,” ujar aku sedikit keras.
“Ya, mungkin dulu saya rasa nak tahu tapi bila fikir balik, buat apa.  Allah hantar awak untuk saya, pastilah dengan seribu satu kelebihan pada kekurangan saya,” sambung aku.
Aku dengar Nine mengeluh di hujung talian.  Lama kami sama-sama diam.  Hanya unggas malam  yang bernyanyi riang memecahkan hening. 
“Kalau macam tu, apa-apa pun saya hanya nak awak ingat satu… saya ni hanya lelaki yang ingin awak cinta, Naina.  Selamanya,” ujar Nine cukup lembut tapi menusuk tepat je jantung aku. 
Aku senyum sendiri.  “Saya tahu,” balasku.
Nafas lega Nine hela. 
“Tidurlah, Naina.  Apa pun terjadi, jangan biarkan cinta saya tewas,” bisik dia lagi. 
Kata-kata terakhir Nine aku terima dengan senyuman.  Lantas, mata terpejam rapat bila bisikan terakhir itu bagaikan nyanyian  yang mampu memberikan lena yang panjang. 
“Kak Nai…” 
Aku tersentak dengan panggilan Suryani.  Wajah dia cuak.  Dahinya berkerut sedikit.
“Kenapa?”  tanyaku. 
Terbang segala ingatan aku pada Nine.  Diganti pula dengan suara dan wajah Suryani.
Ada orang cari kakak?” 
“Siapa?” 
Aku bangkit dan meraup wajah.  Kertas yang Nine titipkan buat aku tadi, aku letak di dalam poket seluar.  Langsung terlupa untuk aku buka dan membacanya. 
“Entah…”  Mudah Suryani menjawab dan dia terus keluar.  
Dalam kepala aku ligat berfikir, siapa?  Tak mungkin Nine…

.. bersambung

RM : Guys, maaf amat.  seems like RM dah lost track utk cerita ni.  Meraban merapu apa entah.  Penangan lama tak ketuk keyboard kot (boleh jadi ya atau boleh jadi jugak tidak).  Apa2 pun RM tries harder nak back onto track ni.. Setelkan cepat2 HIKC dan buat cite lain plk.  wish me luck dan jangan lupa dapatkan STK di pasaran ya..

15 comments:

  1. amar datang...^___^

    ReplyDelete
  2. aduh..... suspen je...... hihi

    ReplyDelete
  3. RM nak nvlkan ke cite ni @ ending kt blog je.

    ReplyDelete
  4. makin byk tanda ??? pasal Nine ni...

    ReplyDelete
  5. nine nie neo ke??? tak nak lah nine mati....tak suka nia dgn amar.

    ReplyDelete
  6. Mungkin boleh jadi awak terima jasad tak bernyawa saya. Apakah semua ni RM? adakah mimpi naina akan jadi kenyataan? next n3 plze.

    ReplyDelete
  7. Rehan ni buat saya susah ati je baca crita ni :(

    ReplyDelete
  8. Next n3.....tiadaa kesabaran nok tahu siapa nine yg sebenarnya

    ReplyDelete
  9. makin saspen plak nih..

    ReplyDelete
  10. Dap dup dap dup jantung sy bc en3 kali nih. :'(

    ReplyDelete
  11. Mungkin amar is neo...maybe
    -_-!

    ReplyDelete