Tuesday, December 13, 2011

Terlerai Kasih 56

BAB 56

HARI ini aku menemani mama dan Faralina ke butik Aunty Seri untuk menguruskan barang-barang perkahwinan Iqram dan Faralina. Sudahnya mama mengizinkan juga Iqram dan Faralina bernikah dahulu dan kendurinya akan diadakan selepas Iqram menamatkan pelajarannya.

“Dulu Fiah datang sorang je,” ucap Aunty Seri pada kami.

“Tapi, lepas tu Am datang pulak.”

“Err, kami masing-masing sibuk masa tu, aunty. Terpaksalah datang sendiri-sendiri,” jawabku. Mama senyum. Fara juga.

“Sorry, tak boleh temankan kau buat persiapan nak kahwin dulu,” bisik Fara. Aku mencebik.

“Itulah, aku kau tak teman. Jangan kata nak teman, nak hubungi pun tak dapat. Tiba masa kau, aku pulak kena teman. Padahal aku berlambak kerja lain nak buat.”

Monyok wajah Fara mendengarkan kata-kataku. Aku ketawa dengan menutup mulut. Kelakar melihat wajahnya begitu. Sudah lama tidak melihat muncung Fara. Hilang seketika wajah Ilham dari mindaku.

“Kau ni, memang kan…” Dia cubit lenganku.

“Gurau saja,” balasku pula. Sudahnya kami hanya menahan tawa.

“Yang mana Fara nak?” tanya Aunty Seri.
Dia sedang menunjukkan beberapa jenis rekaan dari material yang berlainan. Fara pula aku lihat sudah rambang mata.

“Pilih jelah yang mana berkenan. Nanti aunty boleh alter mana patut. Kalau Fiah dulu dia pilih warna putih mutiara. Warna kegemaran Am katanya.” Aunty Seri ketawa. Mama dan Fara juga dan aku turut memaksa bibirku ketawa.

“Fara cuba try yang warna merah hitam tu. Mama nampak sesuai je dengan Fara,” cadang mama.
Fara pandang aku dan aku angkat kening. Bersetuju dengan mama. Fara bangkit dan terus berlalu ke bilik persalinan.

“Uncle Azhan cakap Fiah dah masuk kerja?”
Aku angguk pada Aunty Seri.

“Awal betul. Tak marah pulak Si Am tu, ya kak?” Dia angkat kening pada mama.

“Nak marah apa kalau dia lepas kenduri sehari dah masuk pejabat lepas tu balik mengamuk-ngamuk pasal adik dia. Boleh naik darah tinggi dengan budak-budak ni. Nak marah, dah ada isteri.” Mama mengeluh.

“Hai, sampai ke rumah bawa balik masalah. Jangan dengan Fiah sekali dia heret dalam masalah sudah…” Aunty Seri menggeleng.

“Itulah. Kak Irah risau juga sesekali dengan Am tu. Sehari dua ni dia asyik marah-marah Izham je. Rasanya dah lama dia tak marah adik dia tu sejak peristiwa basikal BMX dulu tu la. Nampak dia lain sikit sekarang,” beritahu mama pada Aunty Seri. Aku telan liur. Risau pula andai mata mama dapat menangkap keadaan kami.

“Fiah perasaan tak? Ke dia okey je dengan Fiah?” Mama alih pandangan padaku.

“Err, dengan Fiah okey je, ma. Mungkin dia banyak masalah kot dekat pejabat,” ujarku menyedapkan resah hati mama. Dia mengeluh. Aunty Seri senyum saja padaku.

“Okey tak?” Suara Faralina membawa kami memandangnya.

Aku angkat ibu jari. “Superb!”

Dia ketawa kecil. Mama juga angkat ibu jari. “Hai, menantu mama ni semua cantik-cantik. Risau pula terkena pandangan jahat orang,” ujar mama berseloroh.

Aku terdiam. Benar kata mama. Aku sendiri sudah lama terkena pandangan jahat tapi sedihnya pandangan jahat itu bukan dari orang lain melainkan suamiku sendiri, iaitu anak yang dia sayang.

“Fara pun suka, ma. Pilih yang ni jelah, aunty.” Faralina ku lihat sangat teruja.

“Boleh,” sela Aunty Seri dan mama hampir serentak dan serentak itu juga telefon bimbitku berdering dan bila aku tarik dari poket seluar, ternyata nombor yang tidak aku simpan di dalam memori telefon.

“Err… ma. Fiah keluar kejap. Ada call.” Aku terus berlalu selepas meminta izin daripada mama.

“Hello, siapa ya?” tanyaku pada si pemanggil selepas aku menutup pintu butik. Suara di hujung talian ketawa terbahak-bahak.

Kali ini, aku dapat mengecam siapakah dia. Abang Zali!

“Abang nak apa telefon Fiah ni?” tanyaku kasar.

“Nak apa kau tanya? Mestilah nak duit…” Dia ketawa lagi.

“Fiah dah tak ada duit. Lagipun, abang tak perlu nak ugut Fiah lagi. Kami dah berbaik,” jawabku menipu.

“Berbaik kau cakap? Memang betullah macam Waznah cakap dekat aku yang kamu berdua dah berbaik.”
Aku diam saja. Nafasku sudah berubah kasar. Ada rasa marah mula hadir di dalam diri.

“Mungkin betul yang Kak Anah kau cakap tu, Fiah. Tapi, aku rasa kamu dengan laki kamu tu berperang pulak, kan lepas dia baca mesej tu. Aku pasti dia baca sebab tu dia telefon aku balik,” akuinya.

Terbuntang biji mataku. Terperanjat usah dikata. Benarlah ada mesej yang aku terima pagi itu dan benar juga cakap Ilham. Tapi yang aku sukar hendak jangkakan dia adalah Abang Zali?

“Rupanya abang yang hantar SMS tu? Kenapa abang buat saya macam ni?” tanyaku dengan suara yang terketar-ketar.
Sungguh aku tidak dapat menduga. Dalam hati ini, hampir saja menuduh Izham namun memikirkan kebaikannya padaku, aku diamkan saja dan hari ini, ternyata silap segalanya.

“Kenapa buat saya macam ni, bang?” tanya aku lagi. Abang Zali ketawa.

“Duit Fiah. Duit. Kau tu lubuk emas aku, tau tak. Aku terkejut jugak bila lepas balik dari kenduri kau dekat sana, dia cakap aku tak payah nak mengugut kau lagi dah sebab kau dah berbaik. Tapi, sayang kan. Kau berbaik tak lama. Atau kau nak aku suruh mak tanya kau sendiri, baru kau nak mengaku?” tanya dia sinis.

Aku mengucap panjang. Pada Allah aku pohon dipinjamkan aku sedikit sabar. Aku tidak sanggup andai mak tahu.
Apatah lagi daripada mulut Abang Zali.

“Okey, bang. Jangan buat saya macam ni. Jangan beritahu, mak. Nanti saya masukkan duit ke akuan abang sehari dua lagi. Buat masa sekarang memang saya tak ada duit,” beritahuku jujur.

Gaji masih belum masuk. Segala simpanan sudah kering. Yang tinggal hanya cek RM30 ribu yang Ilham pulangkan tapi aku belum lagi cashkan. Duit yang ada di dalam laci RM10 ribu itu juga aku tidak mahu usik apatah lagi setelah keadaanku dan Ilham berubah mendadak begini. Aku tidak mahu dia mengungkit satu hari nanti.

“Esok boleh?”

“Tak boleh, bang. Saya memang tak ada duit sekarang ni. Gaji pun belum dapat lagi,” jawabku bersungguh-sungguh.

“Okey, aku faham keadaan kau. Nak suruh kau minta dengan laki kau dah sah-sah dia tak bagi, kan? Macam ni lah, Fiah. Aku bagi kau sampai hujung bulan ni. Kalau tak dapat juga, kau tahulah nasib kau orang sekeluarga. Aku kes yang kau tampar aku dulu tu, aku tak lupa lagi. Ingat tu!” Klik.

Aku terkedu sendiri selepas talian dimatikan. Airmata yang meniti di tubir mata aku kesat pantas bila Faralina menepuk bahuku.

“Siapa?” tanya dia. Riaknya seakan mengesyaki sesuatu.

“Er.. kakak aku. Kak Waznah,” jawabku berbohong.

Hari ini aku sedar yang berbohong itu sudah menjadi makanan hidupku. Sudah menjadi perisai untuk aku melindungi keresahan diri.

“Oh, cakap tak pasal kenduri ni?”

“Err, aku dah cakap. Tapi, mak aku dapat nak datang. Kan dah nak buka sekolah nanti.”

“Pulak. Tak apalah. Ni akad nikah je. Nanti kenduri keluarga kau kena datang tau. Tak boleh tidak.” Fara angkat jari telunjuknya mengamariku.

Aku ketawa. “Yalah… yalah. Dia dulu tak boleh nak cari pun nak ajak kenduri aku, aku buat tak tahu je,” sinisku.

“Ala, Fiah…”

“Fiah?” tanyaku. Sejak bila pula dia bertukar memanggilku Fiah. Rasanya bertahun lidah itu menyebut Wafi.

“Sejak bila?”

Fara ketawa. “Sejak nak jadi ahli keluarga kau lah.”

Sudahnya aku lihat saja wajah Fara yang ceria. Andainya aku seceria itu dulu, pastilah terkumpul jua kenangan manis antara aku dan Ilham. Tapi sayang, kenangan pedih itu telah Ilham hadiahkan sewaktu kami menjadi suami isteri lagi dan pastilah ini kerana salahku jua.

Baru saja hendak melangkah masuk semula ke butik, Fara menahan langkahku. Dia tunjuk ke arah sepasang kekasih bertekak. Suara masing-masing sudah mula meninggi.

“Biarlah dia orang, Fara. Jangan campur urusan orang,” larangku. Tapi, Fara masih juga menahan langkahku.

“Kejaplah, Fiah. Cuba tengok, perempuan tu kena cengkam rahang dekat lelaki tu ha. Macam teruk je mereka gaduh tu.” Matanya terus saja memerhatikan mereka.

Aku mengeluh. “Cuba jangan jadi busybody. Let them be, okay,” marahku.

Fara pegang pipiku lalu dia tolehkan kepalaku ke arah pasangan yang memang sedang hangat bertekak. Lama aku amati dan akhirnya mulutku melopong habis.

“Zura….,” seruku perlahan.

“Siapa? Zura? Kau kenal ke?” tanya Fara. Aku angguk.

“Siapa?”

“Err, budak kampung aku. Dia pernah kerja dengan aku dulu, lepas kau berhenti tapi lepas tu, dia pun berhenti,” beritahuku seadanya.

Malas hendak membuka cerita lama sedangkan cerita baru ini masih belum tentu di mana penamatnya. Aku memang perkara ini tidak akan berkesudahan.

“Eh, tak kan nak tengok saja, Fiah. Marilah kita tolong.” Fara terus mengheret kakiku mendekat pada pasangan itu.

“Hei, kau buat apa ni ha?” tanya Fara garang. Dia sudah bercekak pinggang.

Zura berpaling pada kami dan lelaki itu juga. Ternyata dia juga sama. Terkejut melihatku setelah sekian lama tidak bersua.

“Wafi!!” serunya kuat. Lelaki itu nampak terpinga-pinga dan terus berlalu dengan motosikalnya.

“Err, kau kenapa?” tanyaku.

Dia tidak menjawab sebaliknya dia terus menyapa tubuhku ke dalam pelukannya. Terkejut aku dengan tindakan Zura. Rasa lain macam pula bila dia yang pernah membuat onar dalam hidupku, kini memeluk aku erat dengan tangisan yang semakin meninggi.

“Kenapa ni?” tanyaku. Tiba-tiba saja hati disapa risau. Teringat pula pada kata-kata mak dulu. Zura lari dari rumah.

“Wafi tolong aku. Aku dah tak ada sesiapa lagi ni,” ngongoinya.
Aku pandang Fara dan Fara juga pandang aku dengan pandangan yang pelik. Bila aku angkat kening, dia jungkit bahu.

“Kau kenapa? Aku ada dengar pasal kau lari dari rumah. Kau tak pernah balik ke?”

Aku dapat rasakan Zura menggeleng di bahuku. Selepas seketika, aku tolak tubuhnya. Mata yang basah itu aku renung lama.

“Kenapa tak balik. Mak cik Zahrah risaukan kau, tau tak?”

“Aku takut nak balik, Wafi. Aku takut…” Dia kembali menangis.

“Macam mana ni?” bisik Fara ke telingaku.

“Aku tak tahu.”

“Kena tolong dia, Fiah. Kasihan la pulak aku tengok. Dia mesti ada masalah ni,” ucap Fara lagi.

Kali ini, aku mengangguk. Bahu Zura aku peluk erat. “Jangan takut. Nanti aku tolong kau.”

Kali ini, aku terlupa lagi yang dia pernah berlaku tidak adil padaku. Tapi, hati yang sememangnya sudah lembut dan jiwa yang semakin lemah ini memaksa aku untuk menolong dia.

“Nak bawak dia balik ke?” bisik Fara lagi.
Aku geleng kepala. Takut hendak membawa Zura balik sedangkan itu bukanlah rumahku.

“Kita bawa dia rumah sewa lama kita tu. Aku sewa lagi rumah tu. Barang-barang ada je lagi kat sana,” beritahuku pada Fara. Dia mengangguk.

“Mama?”

“Kau balik je dengan mama bawa kereta aku. Cakap aku ada hal dengan kawan aku.”

“Eh, tu menipu mama dah, Fiah.”

“Ala, terdesak ni. Lagipun memang dengan kawan pun ni. Nanti banyak cerita pulak kalau cakap pasal Zura ni. Jenuh pula aku nak terangkan. Makin panjangla episod ni,” rungut aku pula.

Fara mengalah jua. “Apa-apa hal telefon, tau!”

Aku angkat ibu jari dan terus menarik tangan Zura berlalu dari situ.

Sejam perjalanan, Zura hanya mengalirkan airmata. Aku malas hendak bertanya tapi awal-awal lagi aku sudah menghantar pesanan ringkas pada Kak Anah tapi aku mohon agar dia rahsiakan dulu pada mak kerana aku telah pasang niat, hendak menghantar Zura pulang dengan cara baik.

“Kenapa kau tolong aku, Wafi?” tanya Zura sebaik saja aku tutup daun pintu.

Aku senyum sinis pada dia. “Sebab kau pernah tolong porak perandakan hidup aku!”
Zura kelihatan tersentap dengan jawapanku dan aku melebarkan sengihan.

“Aku minta maaf, Wafi,” ucapnya dengan esakan.

“Kau tahu tak, Zura. Kau adalah orang entah ke berapa dah minta maaf dengan aku. Bila aku maafkan, aku jadi macam melepaskan anjing yang tersepit. Dah bebas, aku pulak kena gigit. Sedih, kan?”

Aku masuk ke bilik yang pernah menyaksikan kemesraan aku dan Ilham buat kali terakhir dulu. Tak sampai sehari selepas kami mengaminkan doa selamat di rumahnya sempena pernikahan kami yang aku harapkan akan berkekalan.
Selepas mengambil pakaian dan tuala, aku terus keluar. Tidak sanggup hendak menatap katil itu. Seperti aku terlihat Ilham di situ. Ilham yang merayu-rayu padaku. Yang meluahkan cinta dan yang memaknakan erti cinta itu dengan cara yang sangat romantis.

“Nah.” Aku suakan pakaian dan tuala itu padanya.

“Aku kena balik dulu. Hari dah petang ni. Kau tinggal kat sini dulu. Esok aku datang lagi. Jangan kau lari dari rumah ni pulak. Bilik ni kau tak boleh masuk. Kau boleh tidur bilik tu.” Aku juihkan bibir ke arah bilik yang pernah Fara huni. Rasanya masih lengkap dengan katil dan tilam juga.

“Kau nak ke mana?” Wajah Zura sedih.

“Aku kena balik. Kat luar sana tu, aku lagi banyak masalah nak selesaikan. Bukan masalah kau je. Kadang-kadang aku fikir, aku ni dah jadi macam pusat kebajikan pun ada. Semua orang datang nak aku tolong. Padahal diri aku sendiri pun aku tak mampu nak tolong.” Aku mengeluh.

Sudahnya, aku terus saja keluar daripada rumah. Meninggalkan Zura yang terkebil-kebil sendiri selepas padanya aku titipkan nombor telefon kepunyaanku.

Sepanjang perjalanan dengan menaiki komuter untuk pulang ke Petaling Jaya, aku tidak sudah-sudah memikirkan Zura. Entah mengapa dia berubah begitu. Andai dulu, lantang saja mulut itu mengata aku dan hari ini, ringan pula meminta maaf.

Aku tiba di stesen Subang Jaya tepat jam 7 malam. Begitu payah hendak mendapatkan teksi namun akhirnya berjaya juga dan aku tiba di rumah kala itu, waktu sudah menghampiri jam 7.30 malam dan kereta Ilham sudah tersadai di laman. Tapi, tiada pula kereta aku. Aku tarik nafas lega. Akan ada alasan yang dapat aku berikan pada Ilham andai dia bertanya nanti.

Bila aku masuk ke rumah, terasa sunyi saja. Mungkin semua berada di dalam bilik masing-masing memandangkan waktu Maghrib baru saja masuk. Perlahan-lahan aku melangkah ke tingkat atas.

Aku tolak daun pintu dan serentak itu, Ilham yang sedang duduk di beranda berpaling dengan wajah yang lebih kelat daripada biasa. Dia perlahan-lahan melangkah mendekatiku.

“Kau ke mana?” tanya dia. Aku senyum.

“Assalamualaikum, bang,” hulurku seperti kebiasaannya.

“Kau ke mana?” jerkah dia lagi. Terangkat bahuku terkejut dengan sergahannya.

“Err, saya kan keluar dengan Fara.”

“Kau jangan nak bohong aku, Wafiah!” Kuat saja suara dia memarahiku.

“Mama cakap kau keluar dengan aku. Dia pelik bila aku balik seorang diri. Kau kenapa menipu mama, hah? Tak puas kau tipu aku, kau nak tipu mama pulak?”

“Kalau saya katakan yang benar sekalipun, abang tak mungkin percaya, kan?” Aku menjawab soalannya dengan soalan juga.

“Memang aku tak pernah percayakan kau lagi lepas aku dengar suara jantan keparat hari tu!”
Kepalaku tiba-tiba saja teringatkan Abang Zali dan pengakuannya. Rasanya aku perlu memberitahu Ilham perkara ini.
Mungkin juga hubungan kami masih boleh diselamatkan lagi dan aku sudi memaafkan dia kali ini tanpa dia meminta.

“Saya minta maaf, bang. Tapi, saya tak ada pilihan. Ada perkara yang perlu saya selesaikan. Kebetulan, saya ada perkara nak beritahu abang.”

Ilham memandangku tajam. “Penipuan apa lagi kau nak beritahu aku?” Keningnya yang hitam lebat itu terjungkit sedikit.

“Pasal SMS tu…”

“Kau nak mengaku dah ke?” cantasnya. Aku menggeleng.

“Saya dah tahu siapa yang hantar,” ujarku dengan perasaan yang sedikit berbunga. Ada sinar harapan yang sedikit
memancar kali ini.

Tangan kasar itu aku raih. Biar dia terus membentak, aku raih lagi. Menggenggamnya erat memohon secebis pengertian daripada dia.

“Abang dengar dulu apa yang Fiah nak cakap ni,” rayuku mesra. Aku dongakkan kepala mencari sinar matanya yang kian pudar itu.

“Rupanya Abang Zali selama ni yang SMS Fiah tu. Bukan orang lain. Dia dah mengaku dengan Fiah tadi. Tapi, dia minta duit sebab dia tahu, abang marahkan Fiah balik. Abang tolong Fiah. Tolong selesaikan perkara ni sebelum Abang Zali beritahu pada mak,” rayuku.

Ilham ketawa. Ketawa yang pada awalnya kecil, bertukar besar. Dia menepuk tangannya beberapa kali.

“Fiah, Fiah. Kau memang suka bersembunyi di balik wajah lembut kau tu. Suka fitnah orang. Suka buat muka simpati. Aku tak akan percaya lagi. Kau memang tak pernah jujur dengan aku. Kali ini kau nak libatkan orang lain yang jauh kat kampung pulak?” herdiknya.

Laju saja airmataku mengalir bila mendapat tahu yang kepercayaan Ilham padaku sudah tiada bersisa. Kosong. Tiada berbaki walaupun secubit.

“Kenapa abang tak percayakan, Fiah. Fiah cakap yang betul. Ini nombor dia. Ini nombor yang abang tengok hari tu, kan?” Aku hulurkan telefon bimbitku pada dia dan bila dia mencapai telefon itu, dia tidak melihatnya langsung.
Sebaliknya, telefon itu terus dihempas ke dinding. Hancur berkecai seperti hatiku yang telah lama ranap kerana dia.

“Abang…” Aku sedikit terjerit. Airmataku mengalir laju melihatkan telefon bimbit yang sudah bersepah di atas permaidani.

“Kenapa abang tak nak percayakan Fiah? Kenapa buat Fiah macam ni?” tanyaku lirih. Wajah tampan itu aku tatap lama.

“Memang ini selayaknya yang kau dapat sebab dah rosakkan kebahagiaan aku!” tekan Ilham sambil menolak bahuku. Hampir saja aku terbalik ke belakang dan dia terus keluar daripada bilik.

Aku mengutip telefon yang sudah berkecai. Rasanya sedang mengutip hati sendiri. Tapi, aku silap kerana hati aku terlalu lumat untuk aku kutip.

“Kau jangan ada telefon lagi, Fiah!” tekannya lalu dia hilang dari balik pintu dan aku, hanya mampu mengalirkan airmata lagi.

Malamnya, aku tersedar lagi. Melihatkan Ilham tiada di katil, aku terus mencari kelibatnya. Sudahnya, aku berlalu ke bilik air untuk mengambil wudhuk untuk menghadap Yang Esa demi banyak pengaduan yang aku mahu Dia dengar. Rintih hati ini yang sentiasa tewas dengan dugaan. Yang sentiasa mengalirkan airmata kerana kalah tatkala terduga.

Usai berdoa, aku tiba-tiba teringatkan Abang Zali. Entah bagaimana hendak dia menghubungiku nanti. Andai aku menghubunginya melalui Kak Anah, pastilah kakakku itu mengesyaki sesuatu. Letih juga mencari jalan hendak mendapatkan wang seperti yang Abang Zali minta.

Tiba-tiba saja, aku teringatkan duit yang Ilham letak di dalam laci meja solek. Perlahan-lahan aku hampiri meja solek dan bila ku tarik laci itu, sampul putih pemberianku dulu terletak elok saja.

Aku tariknya dan ternyata, duit itu tidak pernah digunakan oleh Ilham. Tapi, itu memang haknya bila aku telah membayar hutang yang telah dia minta satu waktu dulu. Malah masih berbaki lagi dan andai dia menuntut, aku perlu membayarnya.

Wang kertas itu aku tarik keluar dari sampul. Selepas aku kira cukup untuk dua puluh keping not RM50 itu, aku letakkan kembali sampul itu seperti sediakala. Adakah aku ini dikatakan mencuri, aku juga tidak tahu. Andai benar, nampaknya aku sudah menjadi semakin teruk. Menipu, mencuri.

Tapi, aku segera pasang niat hendak mengganti semula duit itu. Mungkin bila mendapat gaji hujung bulan ni. Setelah itu, aku kembali merebahkan tubuh di atas sofa.

Esoknya, aku bangkit sedikit lewat. Ilham masih tiada di bilik. Mungkin sudah keluar atau memang tidak masuk sejak daripada malam tadi, aku tidak tahu. Segera aku bergegas ke bilik air.

Selesai bersiap, aku turun ke bawah untuk keluar ke pejabat. Suasana rumah ini semakin sunyi pula pagi Isnin ini. Bila tiada satu kelibatpun yang terbias di mataku, aku mengambil keputusan untuk ke luar saja.
Di pejabat, aku hanya termenung dan membilang waktu. Petang ini, aku harus pulang ke rumah sewa untuk menjenguk Zura. Risau juga dia bersendirian. Rasanya, aku perlu menghantar dia pulang secepat mungkin. Aku tidak mahu timbul pula masalah lain nanti.

Jam 6 petang, aku tiba di rumah sewa. Waktu itu, Zura sedang lena. Aku tidak boleh lama kerana merasakan langkahku diperhatikan saja sejak akhir-akhir ini.

“Zura, ni nasi. Kalau kata kau tak boleh nak telefon aku sehari dua ni, nanti aku telefon kau,” pesanku pada dia.

“Wafi, aku nak ucap terima kasih. Maafkan aku,” balasnya pula. Bungkusan nasi bertukar tangan.

“Aku maafkan,” balasku seraya berlalu keluar.

Aku tiba di rumah lebih lewat daripada semalam. Bersyukur amat bila kereta Ilham masih tiada di laman. Rumah masih sunyi seperti aku tinggalkan pagi tadi. Kala ini, mungkin mama dan abah serta Iqram ke masjid. Aku hela nafas lega bila dan terus berlalu ke bilik.

Tudung yang sepanjang hari membelit kepala aku, aku buka. Rambut yang menjadi kegemaran Ilham satu waktu dulu ini, aku kirai dengan jari. Tuala aku capai dan baru saja aku hendak melangkah ke bilik air, aku dengar suara mengaduh kuat.

Kaki ini pantas berlari keluar dan mataku bulat melihatkan Izham tergolek di anak tangga paling bawah. Tanpa memikirkan diri yang tidak bertudung, aku terus mendapatkan Izham yang sedikit berdarah sikunya.

“Iz, tak apa-apa ke?” tanyaku risau.

Dia diam dan hanya memerhatikanku saja.

“Iz, okey ke ni?” tekan aku lagi dan dia masih diam dengan mata yang masih merenungku.

“Err, Iz tak apa-apa,” balasnya. Aku hela nafas lega.

“Iz tak pernah tahu Fiah secantik ni kalau tak bertudung.” Kata-kata Izham kali ni membuatkan aku sedar akan diri yang tidak menutup kepala.

“Astagfirullahhal’azim…..” Aku beristighfar panjang. Sesungguhnya aku tidak sedar akan rambutku yang kini menjadi tatapan Izham. Segera kakiku melangkah naik tapi langkah kaki pegun jua akhirnya.

“Wafiah!!!” jerit Ilham kuat.

Tubuh itu tegap berdiri di muka pintu. Aku kecut bila tertangkap dalam keadaan begini dengan Izham. Biarpun aku tidak sengaja, tapi Ilham tidak mungkin mendengar alasanku.

“Dia tak sengaja, bang,” ujar Izham cepat-cepat.

“Kau diam, Iz. Kau jangan tak ingat aku tak tahu yang kau sukakan Fiah selama ni. Kau jangan ingat aku hanya tahu melihat tapi tak tahu menilai!” jerkah dia pada Izham. Bahu Izham ditolak kasar. Terus saja menikus Izham waktu itu. Tunduk menjadi pesalah pada Ilham.

“Sungguh, bang. Fiah tak sengaja,” ucapku pula lalu aku bawa langkahku ke bilik.

Pintu yang tidak tertutup rapat itu, ditendang kuat oleh Ilham. Aku tersentak. Rasa terbang seluruh semangatku kala ini melihatkan kemarahannya yang lain macam itu.

“Tergamak kau, kan? Tergamak, kan?!” tempiknya nyaring. Beg bimbit itu dicampak merata.

“Fiah tak sengaja, bang,” ujarku lagi mengharapkan pengertian dia. Bila dia menapak mendekat padaku setapak, aku berundur dua tapak.

“Dah berapa kali kau tertangkap dengan aku, tapi kau masih nafikan, ya?” Ilham mendekat lagi dan aku terus berundur.

“Sungguh, bang. Demi Allah, Fiah tak sengaja.” Aku terus berkata-kata dalam suara yang sudah terketar-ketar.

“Kau memang tak pernah sengaja. Kau menipu aku pun tak sengaja. Kau curang pun kau tak sengaja, kan? Dan hari ni, kau tunjuk rambut kau dekat Izham pun kau tak sengaja?” jerkahnya lagi.

Airmataku makin lebat mengalir. “Selama ni abang pernah cakap tak nak hiraukan Fiah, kenapa hari ni abang macam ni?” tanyaku perlahan. Berani dalam ketakutan.

“Memang aku dah benci dengan kau. Tapi, selagi kau hidup dalam rumah ni, kau kena hormat pada aku dan keluarga aku,” herdiknya dengan suara yang meninggi.

“Hari ni, aku tengok kau ke rumah sewa? Kau buat apa kat sana? Hari tu, aku nampak kau dengan Fazlee kat sebuah restoran tu, kau buat apa? Hari tu jugak, aku nampak kau tumpang Izham, kenapa? Apa lagi yang kau sorok daripada aku Fiah?”

Benar seperti yang aku rasa. Aku sesungguhnya diekori dan ternyata adalah dia.

“Fiah tolong kawan je, bang. Dia adalah masalah. Pasal Fazlee tu, Fiah tolong Fatehah je.” Aku ungkapkan kebenaran di sebalik semua itu.

“Lepas kau cakap kau dah tak nak jumpa Fazlee, kau nak aku percaya bila kau pergi jumpa dia di belakang aku?” tempiknya lagi.

Kali ini, Ilham sudah hampir benar padaku. Bila tangan itu mencengkam bahuku, aku sedikit terjerit.

“Jangan, bang. Sakit abang buat macam ni.” Aku terus merayu. Ilham pula langsung tidak peduli, sebaliknya dia capai pula rambutku.

“Sakit, bang!” ujarku keras. Terasa pedih kulit kepala.

“Terlalu banyak yang kau rahsiakan daripada aku, Fiah. Terlalu banyak hinggakan aku sendiri tak tahu, bila kau bercakap benar,” ujarnya. Aku lihat mata itu merah. Tubir mata itu sedikit berair.

“Macam mana Fiah nak beritahu abang bila abang tak sudah-sudah nak tuduh Fiah yang bukan-bukan,” protesku pula.

“Aku tuduh bersebab, Fiah. Tuduhan aku berasas,” tekannya keras.

“Tak, bang… Abang silap.” Aku terus menidakkan.

“Mata aku tak pernah silap, Fiah. Sekali je mata aku ni buat silap, iaitu bila terpukau dengan muka cantik kau ni. Kalau kau rasa kau nak tunjuk segala kecantikan kau pada orang lain, aku tahu apa yang perlu aku buat dekat kau ni.” Ilham terus merentap rambutku mengheret aku mendekat ke almari solek bersamanya.

Aku merayu bersungguh-sungguh bila Ilham menarik kasar rambutku. Sakitnya usah dikata. Bagaikan hendak tercabut kulit kepala.

“Sekarang ni kau dah berani tunjuk rambut kau pada lelaki lain, ya?” tengking dia lagi. Aku dipaksa mengikut langkahnya bila rambut ini terus ditarik.

“Jangan bang. Fiah tak sengaja. Memang Fiah tak sengaja. Jangan buat Fiah macam ni, bang,” rayuku dengan linangan airmata bila Ilham terus menyelongkar laci meja solek dan mengeluarkan gunting.

“Kalau kau rasa rambut kau ni kau nak jadikan tontonan umum, rasanya lebih baik kau tak ada rambut cantik macam ni, Fiah!!” jerkahnya lagi.

“Abang, abang buat apa tu?”
Aku dengar suara Izham menjerit kuat daripada luar.

“Tak cukup lagi ke abang nak seksa dia? Abang kena dengan abang ni?” jerit Izham lagi. Ketukan dipintu pula makin keras.

“Kau diam, Izham. Kau jangan masuk campur urusan aku. Jangan buat aku putuskan hubungan dengan kau, Iz,” balas Ilham marah.

Lama selepas tu, tiada lagi ketukan di pintu dan suara Izham juga hilang. Aku tahu yang Ilham tidak akan menolong kerana dia sangat menghormati abangnya itu. Tapi, sisa hormatku pada Ilham sudah hampir hilang. Aku terus saja menangis bila Ilham mendekatkan gunting itu ke kepalaku.

“Jangan potong rambut Fiah, bang. Jangan buat Fiah macam ni. Fiah minta maaf. Fiah minta maaf. Fiah salah. Fiah salah tapi jangan buat Fiah macam ni.” Aku merayu lagi

Tapi, sayang bila Ilham buat tidak peduli. Rambut yang dipegangnya, terus digunting sesuka hati. Rambut yang dulu pernah dibelai dan dikucupnya kini sudah menjadi salah satu kebenciannya pula.

Aku hanya mengalirkan airmata melihatkan rambutku sedikit demi sedikit jatuh ke permaidani bila dicincang oleh suami sendiri sebagai hukuman buatku. .

Titisan airmata yang mengalir tidak aku seka. Aku sudah tidak mampu menghalang bila Ilham bagaikan sudah kerasukan. Setelah seketika, dia menghentikan perbuatannya.

“Puas hati aku!!” tekannya lantas berlalu keluar daripada bilik. Gunting itu dicampakkan ke dinding.

Aku tersedu sendiri mengutip rambut yang jatuh di kaki. Terketar-ketar jemariku mengutipnya. Kemudian aku raba di bahagian belakang kepala. Sudah pendek benar hinggakan hanya menyentuh belakang leherku. Rasa terhina benar kali ini dan sudah pastinya, hati aku mula mati belumpun tiba waktu

~~~> bersambung

43 comments:

  1. First!!
    xbace lg..tp nk komen dulu
    sebb nak RM tahu smbungan TK amat2 lah dinantikan
    ;D

    ReplyDelete
  2. tragis beteul... pasni mesti banyak komen geram dengan ilham. hehe

    ReplyDelete
  3. wahhhhh..mcm nk tendang tumbuk lps tue bunuh ilham tue kejam2..potong buang dalam sungai..geram btowl la..sakit aty sgt,,nnt bt fiah tue lri tnglkn ilham.bt fiah jual mhl kt ilham lps ilham dah tw cite sbnr...GERAM SANGAT...KEJAMYE ILHAM TUE..EGO SANGAT!!!!!!!!!!!

    ReplyDelete
  4. Adoi bagai nak pecah dada ni baca n3 ni....emmm mmg dah agak yg sms tu zali keparat tu...fatehah pun rasenya saje nak kenakan lagi fiah tu...hei rasanya izham kena inform keluarga dia pasal ilham ni...dah makin terseksa sgt fiah ni...tak pun berhenti kerja dan jauhkan diri dr semua....Dah byk dah airmata ni gugur setiap n3...ilham sedang dirasuk cemburu dan curiga yg maha hebat...sampai lupa janji pada fiah.MMg masalah mental yg tak blh tgk haknya diganggu org lain...tp memudaratkan diri sendiri dan org yg sgt dia sayang. Fiah pun jgn la asyik pretend...terlalu defensive...cuba jgn byk menipu w/pun nak jaga hati org lain...tp dia yg akan merana...aduhhhhai.....sesaknya dada ni tgk ilham ni...

    ReplyDelete
  5. x sangka abg zali yg hntar msej tu..bukn fazlee bukn iz..owh
    tp apsal ilham susah sgt nk percaya
    ilham melampau! melampau!

    ReplyDelete
  6. waaa... kjam la am ni..
    huhu..
    smbg lg...
    best222...

    ReplyDelete
  7. ya Allah, kenapa kejam sgt. Ilham ni....

    ReplyDelete
  8. eeeeeeeeegeramnye ngan Ilham, buta hati tul.....
    jangan nanti sesal tak sudah dah ler...
    anyway thumbs up tuk RM nice story, menusuk kalbu gi2....hehe

    ReplyDelete
  9. sah!!ilham dah gila..
    tp knp fiah x ckp je psl kwn dy tuh

    ReplyDelete
  10. ilham betul2 dah kerasukan syaitan...fiah buat apa tunggu lagi kat rumah tuh...pegi la fiah..jangan jd bodoh..mmg ilham ni dah gila n sakit mental..tak tau nak kata apa lagi dah melainkan sakit ati n benci tahap petala 10 kat ilham jongos..

    ReplyDelete
  11. akk penulis..awatnya tragedis sgt ni..pliz3, x snggup dh nk bc...akk, buat la yang hepy2 plak lps ni...benci rr laki cm gini..

    ReplyDelete
  12. Hish, x guna btul la ilham ni.
    Mmg sakit jiwa. Ada ke buat fiah cmtu.
    Geram aku. Mcm nk cincang2 je. Pstu buang dlm laut. Biar jd santapan hidupan akuatik.
    Dasar lidah b'cabang. Bkn main b'janji hr tu. Blm apa2 dh buat perangai...grrr

    ReplyDelete
  13. first time singgah sini..
    terus fall in love with this..

    nice.
    terus pollow..heee~

    ReplyDelete
  14. geram sgt dgn Ilham. siannya Fiah. terasa sktnya Fiah huhuhu......

    ReplyDelete
  15. huhu sedihnya...
    sian fiah..
    ish3...ilham, knp la bertindak macam tu...
    bertuhankan nafsu amarah...

    ReplyDelete
  16. Jahatnyer Ilham....
    cian Fiah....mintak cerai cepat2...huh
    Thank RM for n3 post....

    ReplyDelete
  17. asl dgn ilham tu???
    biasala no one perfect..hehehe

    ReplyDelete
  18. kesian fiah...benci ilham ngan abg zali kejam sgt....huhuhu...rm dahla wat sedih2,rasa x sanggup dah.nak yg happy plak.plezzzzz

    ReplyDelete
  19. hehehe... gelak ja baca komen smua org. skrg mmg smua geram dgn ilham. I pun geram sbb cemburu buta but ada betul jgk ckp ilham, fiah dah janji taknak jumpa fazlee tanpa pengetahuan ilham. then boleh plak tipu mama Ilham kata dia kuar dgn Ilham pdhal dia dgn Zura. Klu fiah jujur ms tu msg ilham, wlaupun Ilham xlayan dia baca. cuma rasa tak patut bila dia potong rambut fiah akibat cemburu kat Izham. Wlau dia dah syak bukan2x tp bukan salah fiah pun. ni x. siasat dl apa yg blaku. But for fiah I rasa bwk ja diri jauh terus dr ilham. lps ni baru ilham sedar. n mungkin fatehah sndr dtg nk invite kenduri dia n ucap terima kasih pd fiah ats ptolongan. n sal abg zali biar dia kena dgn kak anah. smpai bila kak anah nk btahan dgn abg zali. dah la xhulur nafkah. lps tu layan bini n anak baik2x. tuntut ja cerai lps ni xde nya dia nk ugut ke apa. ikut fiah p jauh2x bwk mak. kan senang. jgn biar laki pijak kt. but hope still have chance for ilham bt fiah. kali ni biar ilham sedar akan sikap cemburu buta mbawa padahnya.

    ReplyDelete
  20. saya bukan benci dgn. Ilham tapi benci
    dengan sikap Wafiah... tidak pernah serik
    membiarkan dirinya dipergunakan.... terlalu berlembut hati dan dengan sengaja menyuruh orang lain membulinya...
    suka memperbodohkan diri sendiri;
    simpati dgn. orang lain tapi akhirnya memakan diri

    bila memulakan kebohongan, kebohongan akan terus terjadi
    walaupun niat mulanya untuk membantu tapi akhirnya akan mamakan diri sendiri...

    Wake up Wafiah, cukup-cukuplah diri dipersendakan,,
    bangunlah dari terus ditindas

    ReplyDelete
  21. kadang2 bila crta ni...asyik2 benda yg sama jer nk dijadikan isu..
    bukan apa rase mcm hidup wanita tu tertindas..
    rase2nya..dlm crta ni..
    hanya ada kisah sedih wafiah n kisah cemburu buta am
    seem mcm x der perkmbgn lgsng..
    smpi 1 thp sy rase scene yg cemburu-xjujur..mcm diulang2..

    ReplyDelete
  22. hari ni hari Am, esok-esok hari Wafiah pula. dan Wafiah, cuba kuat sikit. kalau dh mcm tu layanan suami, boleh dibuat aduan di Pej. Agama. you have good ground to file for divorce pun...

    ReplyDelete
  23. salam dik..akak rasa kesalahan mmg berpunca dari fiah sendiri. Walaupun dia tidak sedar dan menyalahkan ilham tetapi secara rasionalnya dia mmg telah melakukan kesilapan besar bila menipu ibu mertuanya dan menyatakan bahawa ia berjumpa ilham.Pendeknya pemikiran dia..apa salahnya kalo dia memberitau mamanya at least ilham tak lah cemburu sangat. Berjumpa fazlee walaupun dah berkali kali ilham telah mengingati nya walaupun apa alasannya tapi dia tetap ignore dan pergi pulak ngan ilham..mana tak mamat tu lagi marah..ditambah lagi bila berjumpa ngan keadaan Izham ngan fiah berdua duan dlm keadaan yg mencurigakan dan tanpa menutup aurat rambutnya..kesalahan kesalahan ni bila akak pikir tidak boleh diletakkan diatas bahau ilham untuk digalasnya..dah tahu ilham macam mana orangnya kan..seorang yg panas baran..cemburu dan tidak suka dirinya ditipu..Walaupun apa lasan fiah..dia tetap bersalah..
    Apa yg akak dapat fikirkan sekarang..biar lah fiah pergi sebentar dari rumah tu..untuk cooling period ..agar mereka berdua dapat melihat sejauh mana ikatan ini dapat pergi..kalau perkawenan dapat mendekat jiwa dua insan untuk berkaseh sayang..menerima kekurangan diri masing masing..tapi kalau dah ada ketidak percayaan dalam hubungan ini..biarlah ia terlerai..agar kedua dua dapat hidup dan melangkah dengan tenang mencari kebahgian masing masing..so akak harap fiah bertindak secara rasional..jangan pikir pasal orang lain..minta fara tolong sembunyikan dirinya..dan melihat bagaimana keadaan ilham bila ketiadaan fiah..biarlah semua terungkai dengan kedatangan fatehah dan ilham pergi kerumah sewa dan berjumpa ngan zura. Biaq ilham bertemu zali dan bersemuka ngan kak dan ibu fiah. Seorang wanita yg disakiti hatinya berulang kali oleh seorg suami yg menyatakan cinta sepenuh hati ..tapi perlakuannya adalah sebaliknya mendatangkan benci yg bukan sikit..
    tetapi kepercayaan yg semakin nipis dan cinta yang akan bertukar menjadi zero..!!!
    fiah bangkit dari tidur mu dan just walk out from ilham ..sesunnguhnya islam ugama kita tu tidak zalim..ada enakmen dalam keluarga islam membolehkan isteri meleraikan ikatan perkawenan bersebab..fikir fikirkanlah..
    Wah..RM ..ko da buat akak terlalu beremosi pagi pagi ni..sebagai ganti ..plz nak E3 baru..teruja nak tahu hala tuju..fiah ni..
    salam
    kak idA

    ReplyDelete
  24. R.M next n3,kalau boleh taknak sedih2 dah,kesian kat fiah.biarlah fiah bahagia walaupun tanpa suami di sisi.cepat2 la fiah tinggalkan am.jangan biarkan diri disakiti,hati dilukai lagi.tahniah R.M

    ReplyDelete
  25. benci ilham . benci ilham .
    huwaa~ naseb ilham ni tak wujud .
    kalau tak memang sy cari , pegi blasah dia .
    jantan tak guna tol . cuba caye kat fiah .
    cket pon tak pe la . dia tak pnh nak betolkan keadaan .
    fiah plak cuba je amek hati dia balek .
    jangan sampai ati fiah betol2 keras , br ilham nak mintak maaf .
    RM , next entry jangan buat tragis sangat boleh ?
    cket2 dah la . kesian kat fiah . mcm2 ilham buat .
    bg fiah strong cket . brani lawan ilham .
    jangan bg ilham buat kat dia sesuka ati .
    geram tol la .
    anyway , thumbs up ! sangat best !
    sentiasa nantikan cite ni . pandai RM buat sampai kitorang suma tertunggu-tunggu nak tau apa jadi .
    sambung lagi tau . :)

    [aya]

    ReplyDelete
  26. fiah sila kuar dari rumah tu.cian fiah huhuhu

    ReplyDelete
  27. kesian Fiah... serius entry ni memang buat saya sedih... sampai hati Ilham buat macam tu... TOLONGLAH ILHAM PERCAYAKAN FIAH!!! geramnya dengan Ilham...

    ReplyDelete
  28. geramnye kat ilhammmmmmmm!!!!!!
    benci. benci !
    sian kat wafiah..
    sob sob :'(

    ReplyDelete
  29. kesiannya....sedih lagi. bila la nak bahagia

    ReplyDelete
  30. aduhh rehan... sakit nye dada... tapi nak lg bolehhhhh...

    ReplyDelete
  31. Sedihnye...kuar air mata tu....good RM anda dah buat akak menangis dgn kekasaran dan penghinaan si Ilham tu dan rasa marah kat fiah sbb mcm tak serik2 dan tak ingat yg Ilham tu kaki cemburu yg amat sangat dan benci kat abg zali yg kaki kikis dan ugut tu sungguh pandai RM mainkan peranan2 mereka dan main2kan perasaan pembaca semua TAHNIAH bila nak sambung lagi.

    ReplyDelete
  32. waduuuu...cian kat fiah...kejam tul ilham....kuar jek dari umah tu fiah...kasi pengajaran kat ilham...biar dier merana lak..tiada maaf bagimu ilham....!!!!!

    ***ra***

    ReplyDelete
  33. kak RM nak smbungan lagi.boleh tak nak wafi dengan ilham jugak...sedihhhhh

    ReplyDelete
  34. jahat giler la ilham....wafi lak nape la duk tunggu jugak...tinggal je laki cam 2...byk lg y sudi...nape nk seksa diri if ada jalan tuk bahagia...tanpe laki cam 2 pun leh je idup bahagia asalkan ada famili...huhu3...kak RM nk baca sambungan lg.......heheh3...cepat2...xsabar da nie..

    ReplyDelete
  35. ish jht btl ilham ni.....nnt dia jgk yg mnyesal...xsbr nk bca next chptr...

    ReplyDelete
  36. Ilham... tiada maaf kedua buat mu
    Fazlee & Izham...jgn mengharapkan cinta Fiah
    Abg Zali...tunggu pembalasan drp NYA....
    Fiah...tidak salah menjaga hati org lain tp hati sendiri juga perlu dijaga, semoga hidupmu akan bahagia.....

    ReplyDelete
  37. sedihnyeeeeeee
    tp still nak ilham dgn wafi jgk

    ReplyDelete
  38. Wafiah bknlah seorg wanita yg bijak dlm menangani masalah yg melanda dirinya.... dia semakin mnambah masalah yg ada. Ingkar dan menipu suami sendiri sedangkan dh tau perangai suami dia mcmna.... jika dia terus mmbiarkan diri ditindas dn dibenci trlalu lama... jiwanya akn terus mati dan xkn ada istilah memaafkan org selapas ini... Wafiah... wake up... jgn terus mmperbodohkan diri... mmbiarkan diri terus disakiti bknlah 1 keputusan yg bijak. Sya ikuti cerita ni sbb nk tau kemana arah tuju Wafiah selepas ini... konflik yg lain2 spt diulang2 bnyak kali...

    ReplyDelete
  39. kak salmah, thanks untuk komen dan sudi ikuti TK..maaf atas kekurangan kak..lain kali sy akan lebih peka..

    ReplyDelete
  40. Makin panas lak citer ni...huhuhu....weyh jahat gila ilham😡😡

    ReplyDelete
  41. kalau aqu jadi piah aqu x tunggu lagi laki mcmtu..x perlu nak jg sgt hati semua org..

    ReplyDelete